Rabu, 28 Januari 2015

Pra Percutian (Jakarta & Bandung, Indonesia - 29 Januari hingga 03 Februari 2015) - Membawa Keluarga Bercuti Secara Kembara Buat Kali Pertama.

Jika mahu lihat: 

If want to read in English: 
  • Pre Vacation (this part);  
  • Itinerary; 
  • Day 1; 
  • Day 2; 
  • Day 3; 
  • Day 4; 
  • Day 5; or 
  • Day 6.

Pengenalan.

Saya sebenarnya merancang untuk percutian keluarga ke Jakarta & Bandung sejak tahun lepas lagi. Rancangannya adalah untuk bercuti semasa cuti sekolah pertengahan tahun (bulan Mei & Jun 2014). Namun ia terpaksa dibatalkan kerana beberapa kekangan yang berlaku semasa membuat rancangan percutian tersebut.



Namun pada 03 Jun 2014, saya telah mendapat emel daripada pihak Think Big Digital Sdn Bhd, anak syarikat AirAsia yang mengendalikan program kesetiaan AirAsia BIG, bahawa ia akan membuat jualan murah bagi beberapa destinasi, di mana dengan menebus 0 mata dan hanya membayar cukai lapangan terbang, surcaj bahan api dan caj pentadbiran sahaja. Jualan ini akan dibuka hanya pada 05 Jun 2014.

Jadi pada 05 Jun 2014, saya memeriksa beberapa destinasi, akhirnya saya memilih tiket ke Jakarta pada 29 Januari hingga 03 Februari 2015 yang mana di dalamnya merupakan cuti hari Wilayah Persekutuan dan Thaipusam. Saya merancang untuk ke Bandung sekali di dalam percutian tersebut. Saya membayar RM484.00 (RM420.00 untuk harga tiket dan RM64.00 caj penggunaan kad kredit) untuk tiket 4 orang pergi balik klia2-Jakarta. Dalam masa itu, saya menambah RM189.80 untuk beberapa penambahan seperti bagasi, makanan atas pesawat dan perkhidmatan Skybus dari/ke KL Sentral ke/dari klia2.



Pada keesokannya (06 Jun 2014), saya melihat laman web Hotels.com pula untuk melihat tawaran hotel di Bandung dan Jakarta. Setelah meneliti lokasi dan harga serta beberapa aspek lain, maka saya melilih hotel Zodiak @asia Afrika, Bandung dan ibis Jakarta Kemayoran semasa percutian tersebut. Saya membayar sebanyak RM343.86 bagi tiga malam di Zodiak @asia Afrika, Bandung (semalam hanya RM114.62) dan RM186.74 bagi dua malam di ibis Jakarta Kemayoran (semalam hanya RM93.37) .

  

Pada 25 Oktober 2014, saya mendapat emel dari AirAsia Indonesia, yang menyatakan penerbangan pulang kami diawalkan penerbangannya dari pukul 1635 (4:35 petang Waktu Indonesia Barat, WIB) kepada pukul 1315 (1:15 tengahari). Kami diberikan pilihan untuk mengubah jadual kami kepada mana-mana penerbangan dari CGK ke KUL dari 14 hari sebelum sehingga 14 hari selepas atau pengembalian wang (disimpan di dalam credit shell) atau kekal dengan perubahan tersebut. Setelah berbincang dengan isteri, kami kekal dengan perubahan itu.



Setelah beberapa kali cuba menempah tiket keretapi di laman web PT Kereta Api untuk perjalanan Bandung ke Gambir (Jakarta) tapi tidak berjaya, kerana tempahan belum dibuka, akhirnya pada 20 November 2014, tempahan itu dibuka, namun ia tidak menerima bayaran kad kredit atau debit daripada kad luar Indonesia. Maka terdapat alternatif lain, iaitu menempah dari laman web Tiket.com. Malah rupanya beli di sini lebih murah. Saya membayar Rp302 500 (+- RM85.73) (setelah dimasukan caj dan ditolak diskaun Tiket.com) untuk tiket 2 orang dewasa dan seorang kanak-kanak. Harga sama sahaja bagi dewasa dan kanak-kanak, cuma kanak-kanak bawah 3 tahun dianggap anak kecil (infant) yang hanya perlu bayar 10% dari harga tiket tapi tiada tempat duduk.



Saya menghubungi Kiki, melalui Facebook Messenger pada 12 Januari 2015, untuk mendapatkan pengurusan pengangkutan di sana. Saya cuba mendapatkan sebut harga bagi menyewa kereta bersama pemandu selama dua hari dan Kiki memberikan kadarnya Rp900ribu (+- RM270) atau Rp450ribu (+- RM135) sehari. Kira agak murah juga. Malah beliau siap menawarkan perkhidmatan mengambil kami dari terminal bas di Batununggal, Bandung untuk dihantar ke hotel yang kami tempah (Zodiak @asia Afrika, Bandung) dengan percuma sahaja. Alhamdulillah, dia ok pada masa itu, selesai juga perancangan saya untuk perjalanan kali ini. Jika mahukan perkhidmatan beliau, boleh melalui Facebooknya atau WhatsApp/telefon +62 852 21660678 (0852 21660678, jika dalam Indonesia).

Saya menghantar e-mel kepada pihak Kedutaan Malaysia di Jakarta, bagi memaklumkan kehadiran kami, pada 15 Januari 2015. Ini memudahkan mereka untuk membuat pengurusan berkaitan dan jika berlaku sebarang perkara, mereka dapat bertindak dengan sepatutnya. Ia juga baik untuk kami, sekurang-kurangnya pihak mereka dapat mengetahui pergerakan kami, maka kebajikan sebagai rakyat Malaysia, akan terjaga.


Pada 15 Januari 2015, saya mendaftar masuk melalui applikasi AirAsia di telefon pintar dan mendapatkan salinan lembut untuk dicetak di laman web AirAsia untuk perjalanan pergi ke Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta, Jakarta. Bagi perjalanan pulang ke klia2 pula, saya mendaftar masuk melalui cara sama pada 20 Januari 2015.


 

Bagi kusyen jika berlakunya perkara diluar jangkaan, saya membeli pada 18 Januari 2015, takaful perjalanan antarabangsa daripada eTiQa Takaful (produknya International World Traveller Care Takaful). Sekurang-kurangnya boleh mengurangkan beban di kala kita dalam kesusahan. Saya memilih plan Platinum Keluarga bagi 6 hingga 10 hari ke zon 2 iaitu negara-negara Asia yang terpilih (kebanyakan negara Asia termasuk Indonesia), berharga RM148.50 sahaja. Ini senang sahaja, kerana perniagaan saya, HidayahWEALTH, merupakan ejen korporat bagi eTiQa Takaful. Untuk mendapatkan takaful tersebut atau lain-lain takaful, boleh mesej saya melalui Facebook saya atau kaedah-kaedah lain.



Untuk perjalanan kali ini, saya menggunakan baki duit Rupiah Indonesia yang tersisa dari kembara saya ke Sumatera pada bulan Disember 2014 lepas. Saya menambah bekalan Rupiah saya dengan menukar RM100, cukup untuk membayar tambang bas ke Bandung dari Terminal 3, Bandara Internasional (Lapangan Terbang Antarabangsa) Soekarno Hatta sahaja serta sedikit sisa untuk sebarang kecemasan. Harga Ringgit Malaysia memang sudah jatuh pada masa ini. Dulu biasanya Rp1 juta boleh dibeli dengan RM270 hingga RM280. Kini paling murah pun saya dapat pada 28 Januari 2015 adalah pada harga RM291, di Ampang Park. Di Masjid India pun sama juga harganya.



Saya akan mendapat Rupiah Indonesia selebihnya melalui pengeluaran melalui mesin ATM Bank CIMB Niaga Indonesia dengan menggunakan kad ATM CIMB Islamic Malaysia saya, kerana cara ini boleh dapat Rupiah Indonesia dengan Ringgit Malaysia lebih rendah. Ini kerana tiada caj dikenakan oleh kedua-dua bank tersebut. Juga pengeluaran di mesin ATM, menggunakan kadar tukaran perdagangan (tanpa komisen) bukan kadar tukaran runcit yang digunakan di pengurup wang yang termasuk komisen. Boleh lihat contoh pengeluaran melalui mesin ATM lepas semasa hari pertama kembara saya ke Sumatera (di Medan) baru-baru ini. Insya Allah Kiki akan membawa kami ke mesin ATM CIMB Niaga sebaik sampai ke Bandung nanti untuk menarik uang (istilah Indonesia bagi membuat pengeluaran wang).

Alhamdulillah, selesai segala persediaan untuk perjalanan kali ini. Jadi cuma menunggu untuk hari penerbangan sahaja.

Akan bersambung ke Hari 1.


Jika mahu lihat: 

If want to read in English: 
  • Pre Vacation (this part);  
  • Itinerary; 
  • Day 1; 
  • Day 2; 
  • Day 3; 
  • Day 4; 
  • Day 5; or 
  • Day 6.

Khamis, 8 Januari 2015

Hari 6 (Sumatera Utara, Aceh & Riau, Indonesia - 20 hingga 25 Disember 2014) - Menyeberangi Selat Melaka Untuk Kembali Ke Melaka.

Bersambung dari Hari 5.


Jika ingin membaca catatan: 

If want to read in English: 
  • Pre Journey
  • Itinerary; 
  • Day 1 Part 1 
  • Day 1 Part 2; 
  • Day 2; 
  • Day 3; 
  • Day 4; 
  • Day 5; or  
  • Day 6 (this part).


25 Disember 2014 (Khamis)


Perjalanan bas masih diteruskan dan malangnya bas ini tidak berhenti untuk solat subuh. Kami sampai di terminal bas Dumai pada jam 6:35 pagi, sudah lepas waktu syuruk di Dumai. Nampak gaya saya dan Pak Nasir perlu berpisah dengan Azmi kerana pemandu angkot shuttle ke pelabuhan mengatakan feri ke Batam akan bertolak pada pukul 7:00 pagi. Jadi kena berkejarlah. Jadi kami bersalam dan berpeluk dengan Azmi dan berharap semoga berjumpa lagi. Angkot yang kami naik pun berbeza.



Pada jam 7:00 pagi, angkot yang kami naik berlepas dari terminal bas. Kami ke pelabuhan dahulu untuk menurunkan beberapa penumpang yang akan menaiki feri domestik, yang akan berhenti ke Bengkalis, Tanjung Pinang, Tanjung Balai Karimun dan Batam, mungkin penumpang feri yang sama dengan Azmi. Kemudian, angkot menghantar kami ke kedai kaunter tiket feri Indomal Express di Jl Jenderal Sudirman. Angkot yang kami naik ini sebenarnya percuma sahaja, kerana telah dibayar oleh syarikat bas untuk membawa penumpang ke jeti pelabuhan.



Sampai di kedai kaunter, pemandu angkot ini membawa terus ke kaunter untuk membantu tiket. Saya syak ada udang di sebalik batu ni. Nasib baik saya masih ada wang rupiah, dan memberikan Rp300ribu (+- RM100) untuk tambang feri. Pak Nasir yang hampir kehabisan wang rupiah, memberikan RM150 kepada pemandu itu untuk membeli tiket. DI kaunter itu boleh sahaja tukar wang Ringgit Malaysia kepada Rupiah Indonesia cuma kadarnya agak teruklah, iaitu untuk membeli Rp1juta bersama dengan RM350.00. Rugi RM69 berbanding jika kita mengeluarkan wang melalui ATM CIMB atau rugi RM65 berbanding kadar pengurup wang di Ampang Park.

Kami diminta untuk diberikan pasport untuk urusan pembelian tiket. Pengurus kaunter tiket mengatakan tiket ke Melaka pukul 10:00 pagi telah habis, begitu juga feri tambahan pada pukul 12:00 tengahari. Bagaimanapun dia memberikan kami tempat duduk untuk feri tambahan pukul 2:00 petang alhamdulillah. Cuma kasihan kepada Pak Nasir, baki wang bayaran feri itu, diambil terus oleh pemandu angkot itu, atas alasan duit rokok katanya.


Silap saya juga, sepatutnya saya perlu menempah tiket feri ini awal-awal lagi, kerana saya telah ada nombor telefon kaunter ini (sila rujuk catatan Pra Kembara). Kalau tempat awal, mungkin kami dapat naik feri pukul 10:00 pagi punya. Tidaklah masa berbazir begitu sahaja. Memang kembara ini masa banyak dibazirkan mengunggu. Agaknya macam manalah kalau orang Indonesia balik kampung sempena hari lebaran (hari raya) ya. Berhari-hari baru sampai kampung.

Saya terpaksa mengambil tiket ke Melaka kerana Pak Nasir pun akan ke Melaka, jadi mudah saya untuk kembali ke Kuala Lumpur melalui Melaka Sentral. Dari Dumai, terdapat perkhidmatan feri setiap hari. Kalau ke Pelabuhan Klang, hanya ada pada Hari Isnin, Rabu dan Jumaat sahaja. Ke Port Dickson pula pada Isnin, Selasa, Khamis, Jumaat dan Sabtu, tapi susah sikit pasal pengangkutan ke Kuala Lumpur sukar sikit berbanding dari Melaka, yang ada bas setiap setengah jam, dan banyak penyedia bas ekspres.



Indomal Express sebenarnya perkhidmatan antarabangsa bagi PT Pelnas Lestari Indomabahari dan rakan kongsi Malaysia Rupat Follow Me Sdn Bhd. PT Pelnas Lestari Indomabahari sendiri mempunyai perkhidmatan domestik yang dinamakan Dumai Express. Kaunternya terdapat di sebelah kaunter Indomal Express. Kami tidak dapat pasport ketika itu, tapi perlu menunggu sehingga pukul 10:00 pagi katanya. Jadi kami perlu duduk di sekitar dahulu, risau kerana jika tiada pasport, mungkin akan jadi sesuatu yang tidak diingini.



Teg beg Feri Indomal Express.


Jadi kami bersarapan di sebelah kaunter Indomal Express ini. Memang kebiasaan di Indonesia ini, sarapan pagi sudah makan berat, iaitu makan nasi putih berlauk. Dari dalam kedai, saya melihat papan yang berwarna warni, serupa yang didapati di Medan. Banyak yang mengucapkan tahniah atas kejayaan, perkahwinan, kelahiran atau apa-apa yang menggembirakan. Setelah itu, saya berjalan-jalan di sekitar, dan menjumpai masjid. Jadilah, subuh gajah pun subuh gajahlah, jadi saya tunaikan solat subuh walaupun sudah pukul 9:30 pagi. Solat sekali bersama beberapa solat sunat.


Sudah pukul 10:00 pagi, masih belum dapat pasport kami. Kami tunggu lagi, akhirnya pada jam 10:30 pagi, kami dapat pasport kami. Dapatlah kami berjalan-jalan di sekeliling bandar Dumai ini. Bandar Dumai ini tidaklah besar sangat. Kemudahan pun tidaklah moden sangat, sama sahaja bandar-bandar dan pekan-pekan di Sumatera lain. Tidak begitu bersih pun. 


Kami berjalan-jalan di Jl Jenderal Sudirman dari satu kedai ke satu kedai. Kemudian ke Jl Sultan Syarif Kasim. Singgah ke sebuah kedai emas untuk Pak Nasir menukar sedikit Ringgit Malaysia kepada Rupiah Indonesia. Selepas itu kami terjumpa sebuah pasar dan berjalan-jalan ke dalamnya. Harga barang-barang yang dijual amat murah jika dibandingkan dengan Malaysia. Antara yang saya beli adalah setengah kilogram ikan kerisi masin yang bernilai Rp20ribu (+- RM6.00) sahaja.

Di Kota Dumai, persimpangan Jalan (Jl.) Jendral Sudirman dan Jl. Sultan Syarif Kasim.




Boarding Pass Indomal Express.


Kemudian kami kembali ke kaunter Indomal Express untuk mengambil tiket, boarding pass, dan resit cukai pelabuhan. Pada pukul 12:30 tengahari, kami menaiki angkot khas yang disediakan pihak Indomal Express untuk ke jeti penumpang, Pelabuhan Dumai. Alhamdulillah, di Dumai, tiket feri adalah termasuk bayaran cukai pelabuhan sekali.



Resit cukai Pelabuhan Dumai.

Di pelabuhan, rupanya penumpang feri pukul 12:00 tengahari belum menaiki feri lagi. Suasana di bangunan ini juga agak panas, ada beberapa alat pendingin hawa tapi tidak dibuka. Menjadikan saya tidak sabar nak balik ke tanah tumpah darah saya.

Di sini terdapat surau untuk bersolat, namun saya risau hendak pergi ke situ, kerana terletak selepas pemeriksaan imigresen. Tandas pun terletak di situ. Rupanya boleh masuk dengan selamba sahaja. Dapatlah bersolat Zohor dijamakan dengan Asar. Tapi untuk pengetahuan, surau ini surau uniseks, iaitu tiada yang mengasingkan lelaki dan wanita. Sudah jadi budaya di Indonesia kot.


Rupanya feri kami ditunda kerana pada pukul 2:00, feri jam 12:00 baru berlepas, dan feri dari Melaka belum sampai. Pada ketika itu juga, kami sebagai penumpang feri pukul 2:00 petang dipanggil untuk pemeriksaan imigresen. Kena beratur panjang, namun alhamdulillah lepas dengan tiada masalah.


Kaunter Imigresen, Pelabuhan Penumpang Dumai.




Rupanya kena tunggu lagi, di ruangan menunggu selepas pemeriksaan imigresen. Pada pukul 2:30 petang barulah feri dari Melaka sampai. Kami kena tunggu untuk proses pembersihan feri dan sebagainya.





Akhirnya pada jam 3:00 petang kami dapat menaiki feri kami. Setelah 20 minit kemudian, berlepaslah feri kami ini menuju ke Melaka. Selamat tinggal Sumatera.

Keadaan kapal yang berlabuh di Selat Dumai.

Jeti Penumpang Dumai.

Nombor pendaftaran feri.



Inilah pengalaman pertama saya menyeberangi Selat Melaka. Jika sebelum ini hanya melalui udara sahaja atau hanya menyeberanginya ke Pulau Langkawi atau Pulau Pinang juga Pulau Pangkor dari tanah besar Semenanjung Malaysia. Kini saya menyeberangi antara dua negara pula. 



Sepanjang perjalanan hampir 3 jam kami ini, kami hampir berselisih dengan beberapa kapal-kapal besar seperti kapal kontena dan kapal tangki. Ini kerana kami melintasi laluan perkapalan tersibuk di dunia. Memang kapal tidak putus-putus berlayar di Selat Melaka ini.

Permandangan bandaraya Melaka dari Selat Melaka.
Nampak kurang jelas kerana cuaca mendung.


Alhamdulillah, setelah hampir 3 jam, akhirnya pada pukul 7:00 malam waktu Malaysia (awal sejam dari waktu Indonesia), kami sampai ke Kompleks ICQS Melaka yang serba moden. Kompleks ini baru setahun lebih digunakan. Kami terus ke laluan untuk rakyat Malaysia dan tidak sampai 10 saat, urusan imigresen selesai. 

Di Kompleks ICQS (Imigresen, Kastam, Kurantin & Keselamatan) Melaka, 
sejurus selepas keluar dari pemeriksaan imigresen Malaysia setelah sampai dari Dumai.



Kami telah ditunggu oleh anak Pak Nasir di luar kompleks dan kemudian mereka menghantar kami ke Melaka Sentral. Mereka hantar saya sehingga ke pintu depan Melaka Sentral. Saya mengucapkan selamat tinggal kepada Pak Nasir dan anaknya. Rasa sedih pula kerana dekat seminggu kami mengembara. Tapi pertemuan dan perpisahan itu adat manusia biasa. Insya Allah, ada rezeki dan kesempatan, kita akan mengembara lagi.



Seterusnya saya pergi ke mencari tiket ke Kuala Lumpur dan alhamdulillah mendapat tiket bas yang paling awal pada jam 8:30 malam (ketika saya sampai di Melaka Sentral, pukul 7:30 malam), dengan bas KKKL, dengan harga RM13.40. Jadi dapatlah saya bersolat dan makan malam dahulu. Pada jam 8:20 malam, saya menaiki bas dan sepuluh minit kemudian tayar bas KKKL ini bergolek meninggalkan Melaka Sentral.



Saya tidak sedar bila saya tertidur, namun saya tersedar ketika bas sudah berhenti di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) pada pukul 10:15 malam. Nasib baik bangun, kalau tak, jadi benda lain pula. Isteri saya sampai 10 minit kemudian dan kami sampai ke rumah kami beberapa minit sebelum pukul 11:00 malam.

Itulah pengalaman saya mengembara ke utara Sumetera sehingga tidak sedar telah melalui 3 buah provinsi. Banyak pengalaman yang didapati, secara amnya dapatlah saya mengetahui bagaimana sebenarnya Sumatera ini, yang sebelum ini hanya dapat dari orang lain sahaja. Insya Allah segala kenangan di kembara ini akan menjadi kenangan dalam hidup saya, dan juga dapat saya kongsikan kepada siapa yang memerlukan.

Insya Allah, akan bersambung pula ke trip yang akan datang, insya Allah percutian sekeluarga ke Jakarta dan Bandung pada akhir Januari/awal Februari sempana cuti Hari Wilayah Persekutuan dan Thaipusam nanti.


Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan...

Jika ingin membaca catatan: 

If want to read in English: 
  • Pre Journey
  • Itinerary; 
  • Day 1 Part 1 
  • Day 1 Part 2; 
  • Day 2; 
  • Day 3; 
  • Day 4; 
  • Day 5; or  
  • Day 6 (this part).

Hari 5 (Sumatera Utara, Aceh & Riau, Indonesia - 20 hingga 25 Disember 2014) - Medan Penantian.

Bersambung dari Hari 4.


Jika ingin membaca catatan: 

If want to read in English: 
  • Pre Journey
  • Itinerary; 
  • Day 1 Part 1 
  • Day 1 Part 2; 
  • Day 2; 
  • Day 3; 
  • Day 4; 
  • Day 5 (this part); or  
  • Day 6.

24 Disember 2014 (Rabu)

Bas berhenti untuk solat antara selepas sempadan provinsi Aceh dan Sumatera Utara dan sebelum sampai di Pangkalan Beradan pada jam di tangan saya menunjukan pukul 6:15 pagi. Kepala saya masih pening-pening akibat aroma asap rokok keretek yang dilepaskan di dalam pendingin hawa bas. Sebenarnya sudah lewat juga subuh ini kerana cahaya matahari mulai menampakan sinarnya. Saya ke tandas untuk membuang apa yang patut dan membersihkan diri sedikit. Tetapi tandas masjid sedikit sahaja. Memang masjid ini agak kecil dan sempit, dan ia terletak betul-betul di bahu jalan. 

Terpaksa menunggu untuk menggunakan tandas. Apabila sebuah tandas telah kosong, saya masuk dan terlihat di lubang tandas, najisnya tidak dijirus, dan terus, wweeekkk, saya termuntah. Pertama kali dalam hidup saya, saya muntah akibat mabuk perjalanan. Atau sebenarnya saya muntah kerana kegelian. Entahlah. Agak banyak juga muntah yang keluar, habis makan malam saya. Selepas itu saya mendapat kelegaan, alhamdulillah. Dijirus tinggalan saya dan terus saya keluar, mengambil wuduk dan solat Subuh. Usai sahaja, saya terus menaiki bas, selang 5 minit kemudian, bas pun mula bergerak menuju ke Medan.

Saya kepenatan akibat muntah tadi, dan melelapkan mata, lambat lagi hendak sampai, kurang-kurang dua jam lagi. Tapi mata tidak boleh tidur. Pekan Pangakalan Beradan, Tanjung Pura, Stabat (juga dikenali sebagai Langkat) dan Kota Binjai dilepasi. Selepas melepasi Kota Binjai, jalan sudah mula sesak menunjukan sudah hampir sampai ke Medan. Namun perjalanan dari Kota Binjai ke terminal bas Pusaka mengambil masa hampir sejam setengah. Kami sampai di terminal bas Pusaka pada jam 9:15 pagi. 

Turun sahaja di terminal bas, kami mencari tempat untuk berehat. Di terminal ini terdapat juga kemudahan untuk membersihkan diri. Kami bergilir-gilir mandi dan menjaga beg-beg kami. Selepas mandi, perlu memberikan sedikit wang kepada penjaga, dalam kes mandi, perlu bayar Rp3000 (+- RM1.00). Semasa saya keluar, rupanya Pak Darwis dan isterinya telah sampai. Isteri Pak Darwis memberikan kami hasil tangan kerja kaum wanita di kawasan perkampungan tempat mereka duduk, iaitu serbuk halia segera, yang boleh dicampurkan ke dalam minuman. Dalam labelnya ditulis JAHE INSTAN. Jahe adalah halia di dalam Bahasa Indonesia.

Memandangkan jalan di hadapan terminal bas Pusaka ini tidak banyak angkot lalu, Pak Darwis menghantar kami ke jalan yang ada banyak perkhidmatan angkot. Mula-mula dibawa Azmi, kemudian saya, Pak Nasir baru isterinya menaiki kereta eh silap motorsikalnya. Jangan keliru, di Medan mereka memanggil motorsikal itu sebagai kereta, kereta itu sebagai mobil atau motor. Jadi boleh keliru juga kita, huhuhu.

Kemudian kami mendapat angkot, dan kami berpisah dengan Pak Darwis dan isterinya di situ. Kami meminta angkot itu menghantar kami ke terminal bas Makmur, untuk mendapatkan perkhidmatan bas ke Dumai. Perjalanan mengambil masa kira-kira dua jam untuk sampai. Di sini kami melalui beberapa jalan yang sesak dengan kenderaan. Disiplin lalu lintas jangan cakaplah. Dengan angkot yang tiada penghawa dingin dan penumpang selang turun naik dan apabila penuh, tempat agak sempit, bersabarlah kami. Jadi saya tidak hairan kenapa beza perangai orang Indonesia di Malaysia, kerana penghidupan mereka di Indonesia memang sebegini.

Kami melalui beberapa kawasan di kota Medan seperti kampus Universitas Sumatera Utara (USU), pusat membeli-belah Carrefour, kembali ke kawasan Padang Bulan dan akhirnya sampai juga ke terminal bas Makmur yang terletak di kawasan Amplas.


Kesesakan lalu-lintas di Medan.


Kami sampai di terminal bas Makmur pada jam 12:00 tengahari, sejurus sebelum azan Zohor. Terus ke loket (kaunter) bas, dan mendapatkan bas ke sana. Terdapat beberapa perkhidmatan dari pukul 4:00 petang ke pukul 9:00 malam. Kami mendapat bas pukul 6:00 petang, alhamdulillah. Namun perkhidmatan kami itu adalah perkhidmatan ekonomi, yang mana bas kami tiada penghawa dingin. Alamak, macam mana ni, dah lama tidak rasa bas tiada pendingin hawa. Lagilah kuat orang Indonesia ini merokok. Ini kerana pemerhatian bebas yang saya buat, kira-kira 75% lelaki dewasa Indonesia, tidak termasuk remasa awal belasan tahun, adalah perokok. Tidak mengapalah, asalkan dapat bas. Tambang yang kami dapat adalah Rp145ribu (+- RM44).


Pak Nasir bertanyakan kepada saya, hendak ke kita pergi ke Istana Maimun atau tempat-tempat lain di Medan. Saya rasa tidak mahu lagi hendak mengharungi kesesakan lalu lintas Medan lagi. Tidak mengapalah tiada cenderahati. Jadi kami duduk sahaja di terminal bas itu sehingga bas bertolak. Kira-kira enam jam juga kami di situ. Kami rehat & tidur di tempat duduk di situ. Solat terdapat surau (tetapi bahagian lelaki dan wanita hanya dipisahkan dengan sekeping papan sahaja. Masjid pun ada dekat terminal ini. Terdapat juga kantin. Jadi agak selesa juga menunggu di sini.


Akhirnya tiba masa kami berangkat. Bas kami meninggalkan terminal bas pada jam 6:15 petang tanpa menunggu solat Maghrib. Saya berdoa agar adalah berhenti untuk solat. Sembang-sembang dengan orang tempatan, perjalanan sejauh 450 kilometer ini mengambil masa selama 12 jam juga. Huhuhu, memang kematu punggung, kerana ini perjalanan lebih 12 jam ketiga dalam masa 5 hari kami di Sumatera ini. Memang patutpun lambat, pasal jalan utama di Sumatera ini adalah Jalan Lintas Sumatera yang kebanyakannya hanya dua lorong (selorong sehala) dan banyak penempatan ada di bahu jalan ini. Semua kenderaan, dari motorsikal, kereta, lori kontena dan trailer melalui jalan ini. Juga, pemandu suka menekan hon, kerana di sini hon bermaksud saya di sini, sila bagi laluan, harap maklum.

Hendak lepas Medan pun ambil masa dekat dua jam (iaitu hendak sampai ke simpang ke Lapangan Terbang Kualanamu). Jadi saya cuba tidur dengan kebingitan bunyi hon, bau asap rokok kretek dan kadang-kadang air hujan yang masuk melalui lubang udara di bumbung dan tingkat bas. Namun saya cuma boleh tidur-tidur ayam sahaja. Lagipun bas ini tidak disediakan selimut.


Pada pukul 10:30 malam, kami sampai di Simpangampat, di mana bas berhenti untuk berehat. Alhamdulillah, di dalam sebuah restoran Minang, terdapat surau, dapat saya laksanakan solat. Di sebelah surau terdapat juga tandas. Seperti biasa, perlu diberikan sumbangan walaupun kemudahan ini di dalam restoran.

Setengah jam kemudian, bas meneruskan perjalanan menuju ke Dumai. 


Akan bersambung ke Hari 6.


Jika ingin membaca catatan: 

If want to read in English: 
  • Pre Journey
  • Itinerary; 
  • Day 1 Part 1 
  • Day 1 Part 2; 
  • Day 2; 
  • Day 3; 
  • Day 4; 
  • Day 5 (this part); or  
  • Day 6.