Memaparkan catatan dengan label 28 Februari hingga 01 Mac 2015 - Ipoh Perak Malaysia. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label 28 Februari hingga 01 Mac 2015 - Ipoh Perak Malaysia. Papar semua catatan

Ahad, 8 Mac 2015

Hari 2 (Ipoh, Perak, Malaysia - 28 Februari hingga 01 Mac 2015) - Redah Kasi Pecah Versi Ipoh.

Dari Hari 1.


Jika mahu lihat: 

If want to read in English: 
  • PreJourney;
  • Itinerary; 
  • Day 1; or 
  • Day 2 (this part).

Hari 2 - 1 Mac 2015 (Ahad).

Pagi ini saya bangun agak awal juga, dalam pukul 5:30 pagi, menandakan saya hanya tidur 2 1/2 jam sahaja. Tidur saya pun tidak begitu nyenyak. Sementara menunggu subuh, saya melayan telefon bimbit saya untuk melihat Facebook dan WhatsApp. Sambil-sambil itu boleh memuat naik gambar dan mengemas kini status semasa. Azan pun kedengaran, saya solat, setelah usai, saya kejut yang lain untuk solat dan saya sambung tidur kerana kami hanya akan berkumpul jam 9:00 pagi.



Saya bangun kembali pukul 7:30 pagi untuk membersihkan diri dan mengemas beg saya. Begitu juga rakan sebilik iaiu Nizar, Anwar dan Beerey. Mereka berdua (yang disebut kemudian) masuk bilik lewat sikit iaitu Anwar betul-betul sebelum lawatan ke lorong seni dan Beerey selepas sesi malam iaitu pada 3 pagi. Jam 8:30 pagi, kami mendaftar keluar dan bayaran RM95 diberikan. Saya memberikan RM23 kepada Nizar sebagai bahagian saya.


Sepatutnya kami berkumpul di Chokodok, namun menerusi group WhatsApp yang menjadi komunikasi utama kami, Kak Zam memberitahu, terdapat makanan sedap dan istimewa berdekatan, iaitu mee kari dan mee kicap. Saya yang menggemari makanan ala-ala Cina ini apa lagi, terus mencari Kedai Makan Mat Jasak. Ia terletak di Jalan Dato' Onn Jaafar, namun kedainya tutup. Kak Zam membawa kami ke kedai sebelah iaitu Restoran Haji Yahaya, yang mempunyai hidangan yang sama cuma mungkin tidak setanding Mat Jasak kot. Oleh kerana ramai sudah ke sini, maka Moji menukar tempat berkumpul ke restoran ini.



Sampai di sana, lepas duduk di meja, terus saya ke gerai kecil di dalam restoran ini untuk melihat apa yang menarik. Bagus, kerana mee karinya adalah versi Cina kerana saya tidak menggemari versi Melayu. Menariknya juga, isinya boleh dipilih seperti yong tau foo. Apa lagi saya letak semua yang ada seperti bebola ikan, foocuk, kek ikan dan sebagainya. Biar melimpah ruah. Saya kemudian menunggu ia disiapkan di meja. Rupanya gerak geri saya juga diikuti oleh ahli rombongan lain. Mereka juga memesan makanan di gerai ini. Selain mee kari, terdapat juga mee kicap dan mee sup. Jenis mee yang ada adalah mee kuning dan kuay teow. Harga bagi mee kari saya cuma RM6.00 dengan isi yang banyak. Murah dan puas hati.


Tidak berpuas hati dengan mee kari, melihat orang lain makan mee kicap, saya pun pesan mee kicap dengan isi (lauk pauk) yang lebih kurang sama. Ambil kau, alang-alang makan, biar rasa semua, bukan selalu ke sini. Kan di dalam page Facebook SantapanGD saya, foto covernya menyatakan bahawa bakat saya adalah makan, hehehe. Di sini juga saya duduk di sebelah pendatang baru rombongan, yang mana menjadi viral kerana dia tidak muncul-muncul. Rupanya ada sedikit salah komunikasi dengan Moji. Dia adalah Sara Bashah (gambar bawah, wanita di hadapan sekali). Jadi dia agak pelik sikit lah, kerana semua ahli rombongan pakai baju program warna kuning, dia seorang ja tidak pakai. Borak-boraklah sikit dengan dia.



Setelah selesai sarapan pagi, kami berjalan menuju ke Jalan Horley yang terkenal dengan pasar barangan lama, lebih dikenali sebagai Pasar Karat di dalam bahasa Melayu, Memory Lane dalam bahasa Inggeris dan dalam bahasa Cina (Kantonis) Lok Hin atau Lokkin. Di sini memang banyak barang lama di jual, malah banyak yang menarik hati. Cuma saya kawal diri kerana kalau hendak beli, nanti payah hendak bawa balik. Mungkin saya akan kembali dengan cara lebih sesuai. Sekurang-kurangnya ini pendedahan kepada saya mengenai Lok Hin ini. Lama juga kami di sini, lebih kurang 2 1/2 jam juga.



Setelah puas meronda-ronda Lok Hin aka Pasar Karat, kami berjalan pula (mengikut kaki masing-masing) ke Padang Ipoh untuk berkumpul di restoran Cendol Padang Ipoh. Dalam perjalanan dapat tengok Sekolah St Micheal dan juga Masjid India Muslim. Ketika kami tiba di Padang Ipoh, terdapat pertandingan ragbi sedang berjalan.

Sampai di Cendol Padang Ipoh, kami pun memesan minuman. Harga di sini tidaklah murah, hendak kata sedap pun tidak lah sedap. Malah layanan pun seperti tidak profesional. Lain di minta lain yang sampai, meja lain yang pesan, meja lain yang dihantar, malah ada yang dipesan tidak sampai-sampai seperti air sirap bandung saya. Di sini saya minum cendol pulut kacang dan mengambil air botol 1.5 liter. Semua berharga RM5.70. Saya tidak kira air saya yang tidak sampai.


Tiba masa untuk bayar, kebetulan Eggie yang bayar pertama sekali, taukeh restoran itu tidak mahu menerima pembayaran seorang demi seorang tapi mahu bayaran sekali gus ikut pesanan. Menariknya, pesanan itu bukan secara berkomputer atau bersistematik, tapi bertulis sahaja. Jadi dikumpullah bayaran mengikut apa yang diminum. Jumlah yang dikumpul untuk kira-kira dekat 30 orang minum, jika tidak silap dalam lebih kurang sekitar RM130 tetapi apa yang dibilkan adalah RM160 setelah diskaun RM7.00 (bil asal RM167.00). Alasan tidak terima bayaran seorang demi seorang takut keliru dan tidak bagitahu awal-awal. Kasihan Eggie kena bagi duit tambahan yang tidak cukup. Saya memang mengesyaki perkara ini akan berlaku cuma tidak sangka ia teruk sekali. Jelas, minuman yang salah bagi dan tidak sampai pun dikira sekali. Jadi bagi saya, saya tidak akan ke restoran ini lagi, dan memohon sahabat-sahabat semua tidak ke restoran Cendol Padang Ipoh. Tidak berbaloi. 


Kami duduk di Padang Ipoh berdekatan dengan Rumah Kelab DiRaja Ipoh untuk menyambung sesi berkongsi pengalaman dan pendapat. Sambil-sambil berehat. Saya bertemu dengan Eggie, hendak berikan wang agar dapat tampung kerugian dia, Moji terlebih dahulu buat perkara sama. Tapi Eggie memang gentleman tidak terima. Akhirnya semasa kami buat keputusan agar mengutip wang secara beramai-ramai agar Eggie dapat terima.


Semasa kami berehat, azan Zohor berkumandang, kami ada pilihan untuk ke Masjid India Muslim atau ke Masjid Sultan Idris Shah Ke Dua yang juga merupakan Masjid Negeri Perak. Kami ke Masjid Negeri. 


Usai solat, kami kembali dengan aktiviti kami di Padang Ipoh. Di Padang Ipoh ini juga terdapat juga seni lorong yang terletak di tepi dinding kafe OldTown White Coffee.


Pada pukul 4:00 petang, kami bergerak ke Jalan Dato' Maharaja Lela untuk ke Restoran Rasheed untuk makan lewat tengahari, sebagai alas perut sebelum bertolak kembali ke Kuala Lumpur. Sempat juga saya mengambil gambar matahari yang dilindungi awan petang.


Sampai di Restoran Rasheed, pekerja-pekerjanya seperti tidak bersedia untuk menerima kami. Lauk pauknya seperti sudah habis. Tapi mereka sanggup memasaknya. Tapi kami tidak boleh tunggu lagi, mana yang ada kami habiskan, malah siap ambil sendiri. Tambahan pula, perkhidmatan pekerja di restoran ini agak cepat dan pantas, dan tidak merungut dengan kerenah kami. Harga pun agak murah.


Selesai makan, lebih kurang sejam kami di Restoran Rasheed, kami beransur ke stesen keretapi. Sebenarnya, sejak dari di Padang Ipoh, sedikit demi sedikit ahli rombongan telah beransur, terutama yang dari sekitar Ipoh, yang datang dari utara Semenanjung Malaysia dan juga yang datang dengan mod pengangkutan lain seperti berkenderaan sendiri mahupun menaiki bas ekspres. Jadi mana yang tinggal, bergambar kenangan di kawasan Tugu Birch di Jalan Dato' Sagor. Di sini baru tahu ada lukisan yang dibuang kerana dikatakan menggambarkan imej Nabi Muhammad SAW.



Setelah bergambar, kami segera ke stesen keretapi. Dalam perjalanan, terperasan terdapat program dapur jalanan di mana terdapat sukarelawan akan memasak dan menjamu para gelandangan dan orang kurang bernasib baik di kawasan sebelah Masjid Negeri ini. Satu usaha yang amat baik.



Akhirnya kami sampai di hadapan stesen keretapi. Di situ masih sempat lagi bergambar buat kali terakhir bagi trip kali ini di Ipoh.


Malah dalam stesen pun sempat lagi, huhuhu. Orang memang amat ramai menunggu tren ETS ke KL Sentral. Pada pukul 5:50 petang, pintu ke platform pun dibuka dan kami terus ke koc masing-masing, melambai sahabat-sahabat yang masih bersama untuk menghantar kami. Tepat jam 6:00 petang tren ini pun bergerak meninggalkan Ipoh. Memang IPOH MALI TALAK SOMBONG...


Perjalanan pulang agak sunyi sikit berbanding semasa pergi, kerana hampir semua kami tertidur kepenatan. Saya sendiri tidak sedar bila masa saya tertidur, yang saya ingat sehingga stesen Kampar. Mungkin lepas itu saya tertidur agaknya. Saya terjaga ketika tren melalui (tidak berhenti) stesen Serendah. Terdapat beberapa sahabat-sahabat yang turun di stesen Rawang dan Kepong Sentral. Dalam perjalanan di antara Rawang dan KL Sentral, saya, Nizar, Moji dan Rini duduk lepak di kantin. Sambil-sambil itu menyapa juga petugas-petugas KTM di situ, dapat sikit maklumat, mana tau untuk aktiviti seterusnya.



Akhirnya, tepat jam 8:20 malam, sampailah kami di stesen KL Sentral. Sebelum pulang, sempat juga sahabat-sahabat berkumpul dan kami meminta Moji membuat persembahan permainana yoyo.

Akhirnya isteri saya sampai dan pulanglah saya ke rumah. Singgah sebentar di sebuah masjid untuk solat jamak Maghrib dan Isyak. Sebelum menaiki rumah, sempat saya membeli beberapa cucuk steamboat cucuk untuk makan malam ala kadar.

Sememang trip kali ini amat seronok dan saya dapat mengenali ramai kenalan baru. Harap maaflah jika banyak nama sahabat-sahabat ini saya tidak masukkan, tapi anda semua memang terbaik. Paling utama, terima kasih diucapkan kepada Moji dan group Malaysian Backpackers Club kerana dengan merekalah wujud program ini. Semoga diadakan lagi program yang lebih kurang sama dan juga hubungan ukhuwah ahli-ahli rombongan #MBC_Backpacking101_Ipoh akan terus berkekalan selamanya.



Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan...

Jika mahu lihat: 

If want to read in English: 
  • PreJourney;
  • Itinerary; 
  • Day 1; or 
  • Day 2 (this part).

Sabtu, 7 Mac 2015

Hari 1 (Ipoh, Perak, Malaysia - 28 Februari hingga 01 Mac 2015) - Ronda-ronda Ipoh.

Dari Pra Kembara.


Jika mahu lihat: 

If want to read in English: 
  • PreJourney;
  • Itinerary; 
  • Day 1 (this part); or 
  • Day 2.

Hari 1 - 28 Februari 2015 (Sabtu).

Pagi ini saya bangun pagi agak awal, iaitu pada pukul 4:30 pagi, walaupun pada malam sebelumnya hanya tidur pada pukul 11:30 malam. Bersemangat untuk mengembara lagi agaknya. Memeriksa balik beg galas yang akan dibawa bersama isi kandungannya. Kemudian membersihkan diri dan membuat ibadah-ibadah sunat. Pada jam 7:40 pagi, saya bersama keluarga saya pun ke kereta isteri saya untuk bergerak ke KL Sentral.

Asalnya, kami hendak bersarapan pagi dahulu, tetapi dalam hati saya, merasakan tidak sempat, lalu saya meneruskan perjalanan ke KL Sentral. Akhirnya pada jam 7:55 pagi, kamipun sampai di KL Sentral.

Saya bersarapan di Subway KL Sentral, sementara menantikan masa berkumpul pada jam 8:30 pagi. Setelah selesai bersarapan, saya terus ke hadapan restoran McDonald's KL Sentral untuk berkumpul pada pukul 8:25 pagi. Rupanya sudah ramai orang sudah sampai. Termasuk juga Moji. Rupa-rupanya ramai yang pertama kali menaiki KTM ETS, bahkan ada yang pertama kali menaiki perkhidmatan KTM Antarabandar. Saya yang pernah beberapa kali menaiki keretapi KTM Antarabandar, menunjukan pintu A, namun saya kata, biasanya pintu belum dibuka, hanya dibuka 10 ke 5 minit sebelum berlepas.

Memang benar apa yang saya katakan, ramai yang menunggu di depan pintu A kerana pintu belum dibuka. Jadi sempatlah juga kami membuat wefie sebagai perasmian program #MBC_Backpacking101_Ipoh - Redah Kasi Pecah ini.


Tepat jam 8:55 pagi, pintu dibuka dan kami terus ke pintu A untuk terus ke platform dengan menggunakan eskalator dan tangga. Setelah sampai di platform, kami ke koc-koc berdasarkan tiket kami. Kedudukan kami agak bersepah juga. Saya duduk di koc C bersama Moji dan Nizar, sahabat yang baru dikenali. Sebenarnya majoriti ahli rombongan ini memang tidak langsung mengenali satu sama lain. Itulah yang menariknya.


Sebenarnya, kami sedang menunggu salah seorang ahli rombongan iaitu Fzly Omar (di dalam gambar atas, depan sekali sedang melayan telefon, yang senyum sambil buat peace itu kami panggil Eggie). Kami sudah merasakan dia akan terlepas, rupanya betul-betul keretapi ETS ini bergerak, dia pun sampai dan orang pertama yang ditegurnya adalah saya. Dia macam  confident sahaja tegur saya (saya tanya lepas tu kenapa tegur saya, rupanya dia kenal saya berdasarkan profail Facebook saya, perasan popular macam artis sekejap saya, huhuhu). Syukur sampai, kalau tak memang tertinggal. Mana taknya, rupa-rupanya dia berlari dari stesen monorel KL Sentral ke platform, perkh, mantap beb.



Fasiliti di dalam tren ETS ini memang baik. Dengan mempunyai 6 gerabak, semuanya mempunyai penghawa dingin. Tren ini hanya mempunyai satu kelas sahaja, dan susunatur seperti lebih baik sedikit dari tren KTM Komuter. Bagi saya, keadaan tren ini memang amat selesa, jika perjalanan dalam lingkungan 2 ke 3 jam. Hanya gerabak B dan E sahaja mempunyai tandas, namun tandasnya amat bersih dan moden. Ruangnya agak besar berbanding tandas-tandas di tren KTM Antarabandar (contoh Ekspres Rakyat dan Senandung Langkawi) . Setiap gerabak yang mempunyai tandas mempunyai 2 buah tandas di mana salah satunya merupakan tandas orang kurang upaya.



Tempat duduk saya betul-betul berhadapan dengan kantin tren ini. Tapi biasalah, harga makanan atas tren kan lebih mahal sikit berbanding di kedai biasa. Saya menahan diri kerana seolah-olah makanan di kantin ini memanggil-manggil saya untuk menjamahnya. Selain itu juga, terdapat juga skrin paparan yang menayangkan filem namun kita tidak dapat mendengar bunyi atau suaranya. Cuma kedengaran jika ada sebarang pengumuman daripada pihak KTM seperti ucapan selamat datang dan ketibaan stesen. Dari paparan, terdapat juga masa dan kelajuan tren ini disamping makluman tentang ketibaan stesen dan stesen seterusnya.


Pada mulanya, tren ini bergerak tidak berapa laju dan agak bergoyang dari stesen KL Sentral ke stesen Rawang. Mungkin kerana landasannya sudah agak lama iaitu dari projek landasan berkembar tahun 1990an. Namun selepas Rawang, tren ini agak laju dan agak stabil (tidak bergoyang) kerana landasan di sini lebih baru hasil projek landasan berkembar alaf baru (tahun 2000 ke atas). Sehinggakan pernah mencapai 160 km/j!!! Pada bahagian atas koc, terdapat juga tempat simpan beg. Di tempat-tempat strategik, terdapat juga tentang laluan tren ini, susunan koc iaitu di mana koc ada kantin (koc C) dan koc ada tandas (koc B & E). 



Semasa tren berhenti di stesen-stesen di pertengahan seperti di Slim River, Sungkai, Tapah Road dan sebagainya, sempat juga kami, antaranya Moji juga keluar sekejap. Memang besar stesen-stesen keretapi yang baru ini. Agak panjang juga. Memang dibina untuk keperluan masa hadapan.


Akhirnya setelah 2 jam 20 minit, iaitu perjalanan agak tepat masanya, sampailah kami ke Stesen Keretapi Ipoh. Stesen ini agak besarlah juga. Kemudahan moden untuk keretapi laju sudah ada termasuk eskalator bagi menaiki jejantas ke platform lain, dengan keseluruhan ruang platform tertutup dari sinar terik mentari dan renjisan hujan. Keretapi kami berhenti di platform 1 iaitu platform terdekat dengan stesen, tidak perlu naik jejantas. Saya kagum, walaupun agak moden di bahagian platform, namun di stesen, seni bina zaman kolonial masih terpelihara. Suasana di dalam stesen agak ceria dan bersih berbanding dulu agak kelam dan sedikit kotor. Malah agak moden. Nampak luas walaupun agak ramai orang. Memang di hujung minggu, stesen keretapi ini agak meriah, sehinggakan tiket ETS sentiasa habis pada hujung minggu.



Kami semua berkumpul di luar stesen keretapi ini bagi bergabung dengan ahli-ahli rombongan yang menunggu di sini yang terdiri dari orang sekitar Ipoh sendiri mahupun dari utara Semenanjung Malaysia. Baju kemeja-T yang ditunggu-tunggu diedarkan di sini. Memang tidak sabar, akhirnya baju ini menjadi milik kami. Cuma tidak pakai pada hari ini, kerana kami akan pakai pada keesokan harinya. Setelah semua sampai, kami bergambar kenangan di hadapan pokok Ipoh di hadapan stesen keretapi ini. Di sekitar stesen ini terdapat banyak bangunan pentadbiran dan antaranya bangunan lama seperti Bangunan Perbandaran Ipoh, Pejabat Pos, Masjid Negeri dan sebagainya.



Kami meneruskan perjalanan ke tempat-tempat penginapan kami melalui masjid negeri, kemudian melalui kawasan pekan lama (old town) dan pekan baru (new town). Pekan lama dan baru dipisahkan oleh Sungai Kinta. Sejarahnya, Ipoh dahulunya dibina di mana terletaknya pekan lama yang dekat dengan kawasan pentadbiran pemerintah penjajah British. Pekan lama ini yang diduduki oleh orang Cina satu ketika mengalami kebakaran besar yang memusnahkan pekan lama. Oleh itu, pekan baru dibangunkan untuk menjadi ganti pekan lama.



Kami seterusnya terus menuju ke Chokodok Raggae Backpackers Hostel yang terletak di persimpangan Jalan Sultan Iskandar Syah, Jalan Raja Ekram dan Jalan Yang Kalsom, di hadapan Balai Polis Pekan Baru, untuk berkumpul dan menunggu aktiviti seterusnya. Asalnya nama saya termasuk di dalam lapan orang yang duduk di hostel ini. Namun terdapat 9 orang ketika itu dan rakan sebelah saya di dalam tren, Nizar diberitahu Moji untuk ke Hotel Ipoh Sakura. Memandangkan dia seorang, jadi saya sukarela untuk menemani dia walaupun saya sudah membayar RM20 untuk duduk di Chokodok  (di Chokodok perlu bayar dulu untuk duduk di situ). Saya kata biar yang datang kemudian bayar pada saya menggantikan tempat saya di Chokodok. Saya bersama Nizar terus ke Hotel Ipoh Sakura. Di Chokodok ini ada WiFi percuma.



Kami pun mendaftar masuk di Ipoh Sakura Hotel yang tidak berapa jauh dari Chokodok, terletak di Jalan Che Tak. Namun sudah tidak banyak kosong kerana ahli-ahli rombongan wanita dan sebahagian lelaki sudah mendaftar masuk di sini. Terpaksa mengambil bilik Deluxe Superior yang berharga RM95 semalam yang boleh masuk 4 orang. Tapi kira berbaloi jika dibahagi 4 cuma hanya RM23 sahaja. Lagipun terdapat kemudahan yang selesa berbanding duduk di Chokodok. 


Terdapat 2 katil single dan sebuah katil double yang kecil sedikit dari saiz queen. Ada penghawa dingin dan kipas dan bilik air luas. Cukuplah selesa untuk sekadar melelapkan mata untuk semalam. Ada juga televisyen tapi memang kami tidak sempat hendak buka pun sepanjang program ini. Penting sekali, di hotel ini juga ada WiFi percuma, senang nak upload, jadi jimat sikit penggunaan mobile data. Cuma nama laluan dan kata kunci WiFi adalah berbeza bagi setiap bilik.



Setelah selesai daftar masuk dan meletak beg kami, perut saya memang sudah rasa lapar. Semasa berjalan dari Chokodok ke Ipoh Sakura Hotel, kami melalui Kedai Nasi Kandar Ayam Merah yang popular dikenali sebagai Nasi Wanggey yang asal dan asli, yang terletak di dalam Kedai Kopi Yong Suan. Memang panjang juga orang beratur, jadi memang itu sasaran kami untuk makan tengahari. Alhamdulillah dapat juga rasa Nasi Wanggey yang diperkatakan ramai.


Asalnya saya mengikut sahaja orang beratur, kerana Nizar sedang membeli barang yang tertinggal/lupa bawa. Dia akan datang kemudian. Rupanya saya diberitahu, kita boleh duduk sahaja dan kita pesan di meja. Nasib baik saya tidak tunggu lama. Jadi terus saya duduk dan kebetulan terdapat ahli rombongan wanita tiga orang sampai terus saya panggil untuk duduk bersama. Kedai ini terdapat dua bahagian, minuman adalah orang Cina dan Nasi Wanggey adalah India Muslim. Jadi kena pesan asing dan bayar pun asing.


Memang ramai orang, tapi perkhidmatan memang terbaik. Nasi dapat cepat begitu juga minuman. Cuma nak cepat nasi, dapat yang standard iaitu nasi berlaukkan sayur kobis goreng dan ayam goreng. Terdapat juga lauk lain seperti ikan, daging dan sebagainya, tapi ayam goreng pun sedap juga. Yang terbaik adalah kuang campur dan sambal pudinanya, terbaik, memang selera saya. Boleh datang lagi. Saya siap tambah lagi nasi lagi. Harga juga berpatutan, dengan hanya RM5.30 untuk nasi, sayur dan ayam. Nasi tambah 50 sen sahaja, dan minuman saya limau asam boi cuma RM2.00. Jadi ini akan jadi alasan saya untuk singgah ke Ipoh selepas ini.



Setelah makan, kami berkumpul semula di Chokodok dan setelah semua berkumpul, kami pun bergerak menuju ke Lorong Seni (street art) di pekan baru. 






Di sini iaitu di jalan belakang antara Jalan Sultan Iskandar Syah dengan Jalan Masjid, terdapat banyak hasil-hasil seni anak tempatan terutama daripada penuntut-penuntut pusat pengajian tinggi. Memang bijak juga, mengubah jalan belakang yang kotor dahulunya menjadi tempat tarikan perlancongan. Bukan kami sahaja ada di sini, terdapat ramai juga pelancong-pelancong lain bukan dari dalam negara bahkan dari luar negara. Hasil-hasil seninya juga agak kreatif. Saya kongsikan beberapa contoh hasil-hasil seni. Untuk melihat lebih lagi, perlu datang ke sini.




Di penghujung lorong seni di pekan lama Ipoh ini, terdapat sebuah masjid yang berwarna biru. Masjid ini diberi nama Masjid Panglima Kinta. Mengikut salah seorang ahli rombongan yang saya panggil Kak Zam yang merupakan warga Ipoh tetapi kini bertugas di Butterworth, Pulau Pinang, dulu masjid ini namanya Masjid Tengah kerana masjid ini merupakan tengah-tengah bandar Ipoh. Juga dia menceritakan sepatutnya jawatan Panglima Kinta sepatutnya Panglima Kenta (bunyi Kente) tetapi akhirnya akibat sebahagian orang agak pelat, akhirnya menjadi Kenta menjadi Kinta.


Di sebelah masjid ini, terdapat ikon lorong seni pekan baru Ipoh, iaitu kucing bermain dengan mahjong seperti di bawah ini. Sempatlah saya "bergeletek" leher kucing ini, hehehe...



Selepas di pekan baru, kami menyeberang jambatan untuk ke pekan lama pula. Di sini ada juga lorong seni tapi agak selerak juga. Ia dilukis oleh orang sama yang melukis hasil-hasil seni di lorong seni di Georgetown, Pulau Pinang iaitu Ernest Zacharevic. Cuma di sini kurang sedikit bilangannya.


Di sini (di Jalan Bijih Timah) juga terdapat sebuah bangunan yang dahulunya merupakan rumah kelab bagi Persatuan Hakka Ipoh yang namanya Han Chin Pet Soo. Di sini merupakan tempat berkumpul taukeh-taukeh Cina menghabiskan masa. Semasa kami hadir di sini, rupanya tempat ini dibuka untuk lawatan tapi perlu menempah dahulu. Kami tidak tahu, jika tahu boleh menempahnya. Mungkin lain kali boleh datang ke sini lagi. Boleh ke laman ini untuk maklumat lanjut dan tempahan.



Selanjutnya kami ke Concubine Street atau dinamakan Lorong Cinta dalam bahasa Melayu. Di sini, masih terdapat penduduk tempat duduk di sini, namun dikomersilkan suasananya. Asalnya lorong ini adalah penempatan perempuan simpanan atau pelacur tapi kini sudah berubah. Semakin cantik dan banyak peninggalan yang agak menarik. 


Gambar di atas adalah plak insurans bagi setiap rumah yang dilindungi tiga syarikat insurans pada satu ketika. Ia umpama sijil atau polisi insurans pada ketika ini. Di lorong ini banyak juga kedai-kedai yang menjual cenderahati, namun harganya agak mahal dan tidak berbaloi.



Seterusnya kami ke Plan B. Di sini lanskap dan suasananya agak unik. Terdapat gabungan sentuhan moden dan sentuhan silam. Asalnya dahulu tempat ini merupakan kawasan opera dan kemudian ditinggalkan, namun kini dibaikpulih dan menjadi tempat komersil. Memang kini ramai datang ke sini untuk berehat. Terdapat restoran dan juga gerai-gerai cenderahati.



Yang menjadi tarikan ke sini adalah air batu kepal. Mengimbau kenangan silam. Tapi banyak ahli rombongan tidak merasai pengalaman ini kerana mereka membesar pada tahun 1990an ke atas, jadi tidak merasai. Ada antara mereka pertama kali merasainya. Cuma bagi saya harga air batu kepal ini agak mahal sikit. Tapi ia tiada harga berbanding imbauan kenangan silam. 



Antara suasana di Plan B.



Di Plan B ini juga ada sudut cinta di mana terdapat sebuah jerigi besi yang terdapat banyak mangga di situ. Ia umpama mengunci cinta bagi pasangan bercinta. Jadi kita tidak perlu lagi ke Paris atau Korea untuk mengunci mangga cinta, kita boleh ke Plan B, Ipoh untuk tujuan ini.


Selepas itu, kami kembali ke Chokodok untuk membuat sesi bersama sesama ahli rombongan seperti taaruf (perkenalan) dan perkongsian pengalaman sehingga Maghrib. Saya minum air teh Earl Gey air di sini kerana cuaca agak panas dan saya kehausan. Hampir 2 botol air 1.5 liter habis sepanjang lawatan hari ini. Ketika hendak Maghrib, kami pulang ke bilik masing-masing untuk membersihkan diri dan bersolat. Tepat jam 8:30 malam, kami berkumpul di Chokodok untuk berjalan kaki ke Thumb's Cafe di Jalan Sultan Abdul Jalil di Greentown.


Di sini kami makan makanan barat, di mana saya memesan Lamb Chop dan air jus tembikai susu. Saya tidak nampak air botol perisa seperti di bawah ini, kalau nampak, tentu saya akan pesan minuman ini. Memang Ipoh ini mengimbaukan saya kepada perkara silap. Bagus sekali. Cuma di Thumb's Cafe ini, perkhidmatan agak lambat sikit, mungkin mereka memasak apabila pesanan diperolehi. Tapi tidak mengapa, makanannya memang sedap dan harganya pun berpatutan. Saya membayar cuma RM16.50 sahaja.



Setelah selesai makan malam, kami ke Dataran Ipoh untuk meneruskan sesi perkongsian pengalaman. Banyak yang diperolehi, tapi biarlah kami ahli rombongan mengetahuinya. Di sini dapat dilihat, memang di Dataran Ipoh ini menjadi tumpuan warga Ipoh untuk aktiviti malam. Terdapat anak-anak muda dengan aktivitinya. Ada yang bermain skateboard, basikal dan lain-lain lagi. Terdapat juga gerai-gerai makanan di sekitar padang ini. Memang hidup suasana di sini.



Kami di sini sehingga pukul 2:00 pagi. Di akhir sesi, kami diberikan pelekat (sticker) rasmi program untuk kenangan kami. Kami kemudian pulang dan ada antara kami termasuk saya ingin ke Gerbang Malam iaitu pasar lewat malam di Ipoh, namun ia telah ditutup. Ia beroperasi dari pukul 8:00 malam ke 2:00 pagi sahaja. Malangnya, tiada rezeki kami ketika program ini.


Jadi kami pun pulang ke bilik untuk merehatkan diri kerana esok kami perlu beredah Ipoh kasi pecah... Hehehe...

Bersambung ke Hari 2.


Jika mahu lihat: 

If want to read in English: 
  • PreJourney;
  • Itinerary; 
  • Day 1 (this part); or 
  • Day 2.