Memaparkan catatan dengan label 17 Februari 2016 - Bandar Sunway Subang Jaya Selangor Malaysia - BRT Sunway. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label 17 Februari 2016 - Bandar Sunway Subang Jaya Selangor Malaysia - BRT Sunway. Papar semua catatan

Sabtu, 27 Februari 2016

Bandar Sunway, Subang Jaya, Selangor, Malaysia - 17 Februari 2016 - BRT Laluan Sunway.

Click here if want to read in English version.


Bas elektrik yang digunakan dalam sistem BRT Laluan Sunway.

Pada 02 Jun 2015, pihak Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) melalui RapidKL Bus telah memperkenalkan perkhidmatan BRT Laluan Sunway. Projek BRT Laluan Sunway ini merupakan sebuah projek yang dilaksanakan melalui kerjasama kerajaan Persekutuan dan swasta di mana ia dibiayai sebanyak 70% oleh Prasarana (yang merupakan sebuah syarikat 100% milik Kementerian Kewangan Diperbadankan), 15% oleh pihak Sunway Berhad (Sunway) (pemaju utama Bandar Sunway di Petaling Jaya/Subang Jaya) dan baki 15% oleh kerajaan Persekutuan Malaysia melalui Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri (UKAS).

Projek BRT Laluan Sunway ini sebenarnya projek BRT yang pertama di Malaysia. Menariknya juga, ia juga merupakan perkhidmatan BRT yang menggunakan jalan bertingkat khas yang berasingan dari jalan raya biasa yang pertama di Asia Tenggara. Sebelum ini saya pernah menggunakan perkhidmatan BRT di Jakarta Indonesia iaitu TransJakarta sebagai mana catatan perjalanan saya ke Jakarta pada bulan Februari 2015.

BRT yang merupakan singkatan dari Bus Rapid Transit sebenarnya adalah salah satu konsep perkhidmatan awam yang menggunakan bas di mana ia berbeza sedikit berbanding perkhidmatan bas henti-henti bandar yang biasa. Melalui BRT ini memerlukan laluan khas sama ada menggunakan jalan raya biasa (perlu ada pengasingan antara bas-bas BRT dan kenderaan lain) seperti yang digunakan oleh sistem TransJakarta atau jajaran jalan baru atau menggunakan jalanraya bertingkat khas untuk kegunaan BRT sahaja sepert BRT Laluan Sunway dan BRT Xiamen di China. Kos pembangunan BRT adalah lebih rendah berbanding pembinaan pengangkutan berasaskan rel lain seperti LRT, MRT atau Monorel. Maklumat lanjut tentang BRT boleh membacanya di Wikipedia.

Perkhidmatan BRT Laluan Sunway ini sebenarnya telah membuat promosi pengenalan dengan perkhidmatan percuma pada dua bulan pertama perkhidmatannya. Saya pun banyak kali menggunakan perkhidmatan ini semasa ia membuat perkhidmatan percuma. Namun mulai 01 Ogos 2015, perkhidmatan BRT pertama di Malaysia ini mula mengenakan tambang kepada pengguna-penggunanya.

Waktu operasi bagi perkhidmatan BRT Laluan Sunway ini adalah dari pukul 6:00 pagi sehingga pukul 12:00 tengah malam setiap hari. Kekerapan yang dijanjikan adalah setiap 4 minit bagi waktu puncak dan 8 minit bagi bukan waktu puncak.

Tujuan perkhidmatan BRT Laluan Sunway ini diperkenalkan adalah bagi mengurangkan kesesakan jalan raya di kawasan sekitar Bandar Sunway ini. Selain itu, perkhidmatan ini akan menghubungkan kawasan Bandar Sunway dengan perkhidmatan pengangkutan awam rel yang mana perkhidmatan-perkhidmatan rel seperti KTM Komuter dan RapidKL Rel (LRT) Laluan Kelana Jaya tidak melalui kawasan Bandar Sunway tetapi melalui kawasan berhampiran seperti Setia Jaya dan USJ7. Dengan adanya laluan khas, maka bas-bas yang digunakan dalam sistem BRT Laluan Sunway ini tidak akan melalui jalan biasa, maka ia akan memudahkan perjalanan kedua-dua laluan.


Laluan masuk ke jejantas untuk ke Perhentian BRT Laluan Sunway Sunway-Setia Jaya 
dan Stesen KTM Komuter Setia Jaya.

Saya mencuba sekali lagi perkhidmatan ini pada 17 Februari 2016 lepas untuk review khas untuk catatan blog ini. Saya meletakan kenderaan saya di Pangsapuri Makmur berhampiran dengan perhentian BRT Laluan Sunway Mentari dan kemudian berjalan kali ke perhentian BRT Laluan Sunway Sunway-Setia Jaya yang tidak berapa jauh dari situ.


Jejantas ke Perhentian BRT Laluan Sunway Sunway-Setia Jaya 
dan Stesen KTM Komuter Setia Jaya.


Aras bawah Perhentian BRT Laluan Sunway Sunway-Setia Jaya.

Bagi ke perhentian BRT Sunway-Setia Jaya, kita perlu melalui jejantas yang dibina bagi menghubungkan pusat komersil Leisure Commerce Square dengan stesen KTM Setia Jaya. Malangnya pada ketika ini, sistem tiket antara perkhidmatan KTM Komuter dan sistem pengangkutan awam rel dan BRT di bawah RapidKL belum disepadukan lagi, jadi perlu membeli tiket secara berasingan bagi kedua-dua perkhidmatan. Mungkin pada masa akan datang kedua-dua sistem ini boleh disepadukan bagi memudahkan pengguna. Mungkin di kawasan Setia Jaya ini, kaunter dan mesin tiket boleh diletakan di pintu masuk jejantas ini. Namun perlu buat pengasingan laluan bagi kawasan berbayar dan tidak berbayar (untuk kemudahan pejalan kaki biasa yang mahu ke perhentian bas di Lebuharaya Persekutuan.


Stesen KTM Komuter Setia Jaya dari jejantas.

Ruang legar Perhentian BRT Laluan Sunway Sunway-Setia Jaya.

Saya mengambil laluan ke Perhentian BRT Laluan Sunway Sunway-Setia Jaya dan seterusnya ke aras 1 (atas) untuk ke ruang legar perhentian BRT ini. Saya membeli tiket di mesin tiket automatik yang terletak di ruang legar ini. Selain itu juga terdapat kaunter khidmat pelanggan merangkap kaunter tiket manualdi ruang legar ini. Selain eskalator, terdpaat juga tangga biasa dan lif di semua perhentian BRT.

Jadual tambang BRT Laluan Sunway.

Token tiket BRT Laluan Sunway.

Bagi saya, tambang perkhidmatan BRT Laluan Sunway ini agak mahal berbanding lain-lain mod perkhidmatan awam, di mana tambang terendah adalah RM1.60 bagi perjalanan tidak sampai 1 kilometer. Bagi perjalanan paling jauh iaitu antara Perhentian Sunway-Setia Jaya ke USJ7, ia semahal RM5.40 untuk perjalanan cuma hampir 7 kilometer (6 stesen sahaja) dengan perjalanan tidak sampai 20 minit. Lebih mahal dari tambang termahal sistem LRT terjauh di KL. Jadi saya ambil tiket untuk ke Mentari sahaja, namun saya akan ke USJ7 terlebih dahulu dan kemudian baru ke Mentari tanpa keluar dari sistem. Tiket yang digunakan menggunakan token bagi perjalanan sehala yang mana ia serupa dengan token yang digunakan sistem berel RapidKL yang lain (LRT Laluan Kelana Jaya, LRT Laluan Ampang/Sri Petaling dan Monorel). Kad prabayar MyRapid dan Touch'nGo juga boleh digunakan.

Bas sedang menghampiri platform Perhentian BRT Laluan Sunway Sunway-Setia Jaya.

Setelah saya membeli tiket, saya terus melalui pintu khas dengan mengimbas token saya beli itu bagi memasuki zon berbayar. Kawasan menunggu bas BRT terletak betul-betul selepas pintu ini. Bagi saya, kawasan menunggu ini agak kecil, dan rasanya ia tidak dapat menampung jumlah penumpang yang ramai jika berlaku kesesakan. Namun pihak pengurusan BRT Laluan Sunway ini mengatakan ia sesuai kerana kekerapan bas adalah setiap 3 ke 10 minit sekali. Disamping itu, bangku yang disediakan juga agak sedikit. Sistem keselamatan juga agak kurang kerana tiada kaedah yang dapat memisahkan penumpang dengan jalan raya kecuali di perhentian USJ7.

Bas elektrik yang digunakan dalam sistem BRT Laluan Sunway.

Di perhentian Sunway-Setia Jaya, saya dan beberapa penumpang lain hanya menunggu tidak sampai 2 minit untuk bas. Bas-bas yang digunakan adalah bas eletrik yang dibina oleh BYD, sebuah syarikat dari Shenzhen, China yang terlibat dalam pengeluaran bateri untuk peralatan elektronik dan juga pembuatan kenderaan elektrik. Model yang dibekalkan untuk sistem BRT Laluan Sunway ini khas untuk sistem ini dan berbeza dari model BYD K9 yang dibuat untuk bas eletrik komersil BYD.

Ruang dalaman bas BRT Laluan Sunway.

Susun atur dalaman bas ini agak berbeza dari susun atur biasa bas-bas henti-henti di Malaysia. Tempat duduknya disusun secara bersisi ke dinding, sebagaimana susunan tepat duduk di sistem pengangkutan rel di Kuala Lumpur kecuali KTM Komuter. Ini mungkin bagi memaksimakan ruang penumpang di dalam bas ini. Juga, ia juga bagi membolehkan sel-sel bateri diletakan secara lebih optima. Kerusi yang digunakan juga agak selesa dan bukan jenis keras.

Papan petunjuk laluan BRT Laluan Sunway.

Di dalam bas-bas sistem BRT ini juga terdapat 3 paparan LCD, yang mana dua darinya berupa seperti set televisyen yang mana terdapat maklumat laluan juga paparan iklan disiarkan padanya. Di ruang pintu masuk (hanya terdapat satu pintu masuk bagi setiap bas, namun ruang pintunya agak luas, lebih luas dari bas biasa) juga terdapat satu paparan skrin LCD yang lebih kecil yang menunjukan laluan bas BRT dan kedudukan bas pada masa kini. Suasana dalamnya agak selesa dengan berhawa dingin dan dalaman yang bersih. Perjalanan bas juga agak baik dan lancar. Saya dapat perhatikan permandangan kawasan Bandar Sunway terutama di kawasan sekitar Sunway Hotel, Pusat Perubatan Sunway dan kampus Sunway Universiti (Sun U) dan Monash University kampus Malaysia.

Kompleks Parkir Bertingkat BRT dan pejabat BRT Laluan Sunway berhampiran Perhentian BRT Laluan Sunway Sunway U-Monash.

Berdekatan dengan Perhentian Sun U-Monash, terdapat satu bangunan yang menempatkan kompleks parkir bertingkat untuk pengguna-pengguna berkenderaan sendiri untuk parkir dan kemudian menggunakan sistem BRT Laluan Sunway melalui kaedah Park 'n Ride. Bayaran parkir yang dikenakan adalah RM4.00 per kemasukan per hari. Kompleks parkir ini dihubungkan terus dengan Perhentian Sun U-Monash. DI kompleks ini juga terletak pejabat pengurusan sistem BRT ini dan juga depoh bagi bas-bas BRT ini.

Platform di Perhentian BRT Laluan Sunway USJ7.

Setelah melalui juga kawasan USJ 1 (yang terdapat pasaraya besar Mydin dan Giant) dan sebelumnya melintasi Lebuhraya Shah Alam, akhirnya sampai juga ke Perhentian USJ7. Bas agak perlahan ketika menghampiri platform, mungkin untuk menyelaraskan dengan pintu platform, juga bagi mengelakan kerosakan pada bas dan platform (mungkin kerana kelemahan rekabentuk). Saya dan penumpang lain pun keluar kerana dimaklumkan bahawa bas ini akan ke depoh.

Ruang legar Perhentian BRT Laluan Sunway USJ 
yang juga Stesen LRT Laluan Kelana Jaya USJ7.

Peta Transit Berintegrasi Lembah Klang.

Saya mengambil kesempatan dalam menunggu bas seterusnya untuk melihat kawasan Perhentian USJ7 ini yang mana ia bersambung dengan Stesen LRT USJ7. Intrastruktur stesen LRT memang sudah siap, malah, pintu keluar perhentian BRT adalah berkongsi juga dengan stesen LRT. Cuma menunggu sahaja perkhidmatan LRT sambungan dari Laluan Kelana Jaya sedia ada yang dijangkakan akan mula beroperasi pada suku ketiga tahun 2016 ini.

Papan makluman ketibaan bas BRT Laluan Sunway 
di Perhentian BRT Laluan Sunway USJ7.

Ketika saya leka bersiar-siar sekitar perhentian/stesen USJ7 ini, saya terlepas bas seterusnya yang datang 5 minit selepas bas yang saya turuni. Jadi perlu menunggu bas seterusnya. Namun saya dan ramai penumpang lain menunggu agak lama, kira-kira hampir setengah jam juga. Ini kerana terdapat tiga buah bas tidak mengambil penumpang kerana hendak ke depoh dan tiada bas yang mengantikannya. Sambil itu, saya dapat perhatikan, terdapat sistem paparan maklumat bas seterusnya di platform perhentian sistem BRT ini, cuma kecewa bas yang datang tidak dapat mengambil kami. Akhirnya pada bas keempat, barulah bas ini mengambil kami untuk kembali ke arah Sunway-Setia Jaya.

Permandangan Hotel Sunway dari Perhentian BRT Laluan Sunway Sunway Pyramid.

Aras tengah (aras 1) Perhentian BRT Laluan Sunway Mentari.


Saya pun kembali menuju ke arah perhentian Sunway-Setia Jaya. Akhirnya, saya sampai ke Perhentian Mentari. Di perhentian ini, saya dapat perhatikan platform bagi perhentian-perhentian selain Perhentian Sunway-Setia Jaya dan Perhentian USJ7 adalah berplatform sisi berlawanan. Nampak sahaja dekat tetapi penumpang tidak dibenarkan untuk menyeberangi jalan raya untuk ke platform berlawanan. Malangnya, penumpang perlu keluar sistem dan terpaksa turun dan naik semula serta perlu membeli token lain untuk menyeberang platform. Bagi saya ini adalah satu kesilapan rekabentuk bagi perhentian-perhentian ini. Memandangkan setiap perhentian dibina 3 aras, maka sepatutnya aras tengah perlu diperuntukan untuk ruang legar dan aras atas hanya untuk ruang paltform sahaja sebagai mana di stesen-stesen LRT. Sewajarnya pihat Rapid Bus perlu menilai semula rekabentuk ini dan untuk projek seterusnya seperti projek BRT Kuala Lumpur - Klang dan BRT Kota Kinabalu tidak mengulangi kesilapan ini.


Perhentian BRT Laluan Sunway Mentari.

Secara kesimpulannya, sistem BRT Laluan Sunway ini amat baik dijalankan bagi memudahkan pengguna-pengguna perkhidmatan awam di sekitar Bandar Sunway dan USJ malah ia dapat mempromosikan kawasan tarikan pelancong di sekitar seperti Sunway Lagoon & Sunway Pyramid. Pengguna juga tidak perlu membawa kereta, sekaligus mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Projek BRT Laluan Sunway ini agak moden berbanding sistem yang sama di bandaraya lain di dunia. Namun, dengan kos pembangunan lebih RM630 juta agak merugikan dengan kelemahan-kelemahan ini disamping ia hampir sama sahaja kosnya dengan pembinaan sistem rel. Mungkin konsep ini baru tapi untuk akan datang ia dapat diperbaiki terutama bagi projek BRT mendatang di Malaysia. 

Paling utama, harga tambang perlu dikaji semua, kerana ia agak mahal, dan tidak berbaloi dengan perkhidmatannya yang bagi saya lebih teruk berbanding sistem rel RapidKL yang mana lebih sistematik dan lebih dipercayai. Dengan jadual masa yang tidak mengikut kekerapan seperti dijanjikan, sewajarnya pihak pengurusan BRT Laluan Sunway dapat memperbaiki perkhidmatan mereka agar lebih baik lagi, sekaligus, pengguna tidak merasa rugi menggunakan perkhidmatan BRT ini, menyebabkan lebih ramai yang akan menggunakan perkhidmatan ini. Tidaklah ia menjadi projek gajah putih sahaja. 

Terdapat juga teguran yang yang saya berikan sebelum ini (di atas) yang perlu diperbaiki oleh pihak pengurusan BRT Laluan Sunway agar dapat meningkat kualiti dan juga menaikan penarafan Gangsa bagi Piawaian BRT yang diberikan oleh Institut Dasar Pengangkutan dan Pembangunan (Institute of Transportation and Development Policy - ITDP) agar boleh dinaikan menjadi Perak, Emas atau Platinum seperti yang sepatutnya.

Selain daripada itu, sistem BRT Laluan Sunway ini amat baik dan amat wajar sekali dilaksanakan. Semoga dengan ada perkhidmatan ini, pengangkutan awam di Kuala Lumpur dan Malaysia menjadi lebih baik. Paling penting, setiap tempat di Lembah Klang ini dapat diliputi oleh pengangkutan awam yang lebih dipercayai (reliable). Ini membantu lagi Kuala Lumpur dan Lembah Klang untuk menjadi bandaraya bertaraf dunia.



Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan...



Click here if want to read in English version.