Selasa, 1 September 2015

Hari 1 (Yangon, Myanmar - 08 hingga 09 Ogos 2015) - မင်္ဂလာပါ ရန်ကုန် (Maingalarpar (Hello) Yangon).

Bersambung dari Pra Kembara.

Jika mahu lihat: 

If want to read in English: 
  • PreJourney; 
  • Itinerary; 
  • Day 1 (this part); or 
  • Day 2. 

08 Ogos 2015 (Sabtu).

Saya telah bangun pagi pada pukul 3:45 pagi setelah cuma tidur selama 4 jam 15 minit sahaja. Setelah selesai membersihkan diri dan bersolat sunat, saya mula menunggang motorsikal dari rumah ke klia2 pada jam 4:15 pagi. Saya sampai di klia2 pada pukul 5:10 pagi.  Rupanya saya paling akhir sampai di klia2. Sahabat-sahabat yang bersama dalam kembara ini telah menunggu saya di balai berlepas.

Akmal sudah sampai sejak malam sebelumnya, kerana penerbangan dari Kota Bahru sampai pada pukul 10:00 malam. Hafiz pula sampai awal pagi setelah memandu kereta dari Pasir Gudang. Kemudiannya, sebelum saya, Pak Din telah sampai dari Putrajaya 15 minit sebelum saya sampai. Semangat betul mereka. Di balai berlepas pun agak ramai.

Kami bertemu dan kemudian beratur di kaunter pengesahan dokumen, kerana pihak AirAsia perlu memeriksa bahawa kami telah mempunyai visa untuk ke Myanmar, walaupun kami telah mendaftar masuk melalui laman webnya. Lagipun kami tiada beg untuk didaftar masuk. Hendak beratur di kaunter ini yang biasanya tidak ramai, pun agak ramai. Alhamdulillah, ia selesai tidak lama kemudian.


Sejurus selepas selesai urusan pengesahan dokumen, di mana pas pelepasan kami dicop sah, maka kami semua terus masuk ke pintu berlepas untuk urusan imigresen, dengan menggunakan pintu auto gate. Setelah semua selesai, kami ke pemeriksaan kastam pula untuk diimbas beg kami. Di sini tidak perlu lagu untuk buka tali pinggang dan barangan berlogam serta membuang barangan bercecair lagi. 

Selepas melepasi pemeriksaan kastam, saya terlihat di sebelah kiri, terdapat kaunter pembayaran balik GST tetapi khidmat ini hanya untuk warganegara asing sahaja. Sebelum ini saya melihatnya di pier L semasa perjalanan saya mengembara ke India pada bulan Mei 2015 lepas.


Kami terus berjalan terus menuju ke pier P, bermakna akan menggunakan jambatan udara klia2. Saya berjalan agak laju, dan dimaklumkan bahawa Akmal mengalami sakit kaki akibat terjatuh dua hari sebelum itu. Kalau dimaklum awal, bolehlah menaiki kereta buggy yang ada tadi. Tidak mengapa, sekarang di klia2 sudah ada banyak walkalator yang memudahkan perjalanan. Maklumlah, agak jauh juga untuk ke pier P & Q itu.

Kami terus ke kawasan pemeriksaan keselamatan (Polis Bantuan Malaysia Airport Berhad). Sementara beratur, saya membuka tali pinggang dan memasukan benda-benda lain di dalam poket saya ke dalam beg dan memaklumkan yang lain untuk melakukan perkara sama. Kami semua lepas kecuali Hafiz. Rupa-rupanya terdapat sebotol body wash yang berisipadu lebih 100 ml dibawa. Apa lagi, "halal"lah untuk diambil oleh pihak keselamatan klia2. Peringatan buat kami semua, huhuhu.

Kami seterusnya singgah ke surau berdekatan untuk menunaikan solat Subuh. Setelah selesai, kami terus ke pintu P13 untuk menunggu untuk pelepasan.



Dalam pukul 6:35 pagi, pintu pelepasa pun dibuka, kami pun memasuki pesawat 9M-AHV yang mempunyai hiasan badan aplikasi LINE, sebagai penaja pesawat ini. Kecuali saya, kami duduk di barisan 15 sebelah kanan pesawat, manakala saya pula duduk di tempat duduk 16F, di tepi tingkap, di tengah-tengah pesawat, sebelah sayap pesawat, di belakang Hafiz.



Pukul 7:00 pagi, pesawat ini meluncur ke udara dari landasan terbang ketiga KLIA. Kali ini ia terbang menghala ke selatan, tidak seperti biasa, terbang ke arah utara. Pesawat ini terus membelok ke kanan sebaik sahaja berlepas.

Selepas isyarat tali pinggang dipadamkan, krew-krew kabin pun mula mengagih-agih makanan yang telah ditempah awal. Saya antaranya, dengan mendapat Nasi Tomato dengan Ayam Percik dan Nasi Biryani Bukhara. Lega rasanya pasal saya tidak bersarapan lagi sebenarnya. Sedap pun sedap,maklumlah makan di aras 10 ribu kaki dari aras laut, selera pun berbeza.



Selepas makan, kami diberikan pula borang imigresen Myanmar (di atas) dan borang kastam Myanmar (di bawah), untuk kami isikan. Nasib baik macam biasa, saya membawa pen. Cuma lupa hendak minta lebih, saya memang suka minta lebih borang-borang ini. Mungkin kerana mamai lagi kot. Selepas selesai mengisi borang-borang tersebut, saya pun melelapkan mata.



Alhamdulillah, dapatlah lelap dalam sejam suku, saya pun terjaga ketika pesawat hendak memasuki ruang udara Yangon. Cuma pendaratan dilewatkan sedikit, kira-kira sepuluh minit. Akhirnya mendarat juga pesawat AirAsia AK504 di landasan terbang Lapangan Terbang Antarabangsa Yangon (RGN) pada pukul 8:10 pagi waktu Myanmar (UTC +6:30) iaitu sejam  setengah lewat dari waktu Malaysia (UTC +8) yang sudah pukul 9:40 pagi.




Pesawat kami parkir di pintu 1 di antara 4 pintu yang ada aerobridge di lapangan terbang ini. Agak moden juga terminal antarabangsa lapangan ini. Tapi terminal domestik agak bercirikan keMyanmaran (maaf, saya tidak sempat hendak ambil gambar, namun boleh Google gambarnya).



Kami terus ke kaunter imigresen untuk prosedur imigresen. Sejurus selepas menuruni tangga/eskalator, saya perasan terdapat kaunter untuk visa-on-arrival yang berharga US$40 (+- RM165), di mana pemegang pasport Malaysia termasuk di dalam program tersebut. Terdapat juga papan tanda yang mengatakan jika sudah memohon visa melalui kemudahan eVisa (permohonan visa secara elektronik) boleh terus ke kaunter imigresen. (Maklumat lanjut tentang permohonan visa Myanmar ini, telah saya kongsikan di coretan Petua - Permohonan Visa Myanmar di Kuala Lumpur).


Tapi kami sudah ada visa biasa bermakna sudah ada visa yang semestinya membolehkan masuk ke Myanmar tanpa dakwa-dakwi lagi, huhuhu. Jadi teruslah kami ke kaunter imigresen. Beraturlah kami di kaunter. Pastikan ikut kaunter yang ditetapkan iaitu bertulis "Foreigners" jangan masuk ke kaunter "Diplomatic" pula, kalau untuk "Myanmar Nationals" memang ramai dan panjang barisannya. Namun jika kaunter lain panggil, barulah boleh pergi. Maklumlah masuk negara orang, lagipun Myanmar ini negara junta tentera, kalau masuk penjara, naya juga.


Alhamdulillah, dapat juga kami masuk ke Myanmar ini secara rasmi kerana pasport kami sudah dicop masuk. 

Jangan lupa simpan bahagian keberangkatan (departure card) borang imigresen Myanmar yang diberikan bersama-sama pasport kerana bahagian ini perlu ada semasa hendak berangkat keluar dari Myanmar. Jadi SIMPAN baik-baik dan JANGAN HILANGKANnya! Jika hilang, kita akan susah semasa di dalam Myanmar apatah lagi ketika di kaunter imigresen sebelum kita hendak keluar dari Myanmar nanti.


Selepas semua pasport kami dicap, kami segera berjalan ke hadapan. Tujuannya adalah untuk mencari tandas, agak lama juga kami menahan hajat. Kebetulan ternampak kaunter-kaunter pengurup wang di situ. Juga terdapat kaunter menjual kad SIM prabayar Telenor Myanmar di antara kaunter-kaunter pengurup wang. Tidak mengapa, kami tunaikan hajat tertangguh dahulu.


Dengan tandas yang bersih, di mana di dalamnya terdapat kemudahan paip air sebagaimana di Malaysia dan India, serta ruangnya agak selesa, baru sesuai. Setelah selesai, kami keluar dari tandas dan melihat semula kaunter-kaunter tersebut. Kebanyakan kaunter menawar kadar yang hampir serupa, cuma beza dalam K1 ke K5. Matawang Myanmar adalah Kyat (disebut Cat (cat (paint) bukan cat (kucing)) dan simbolnya adalah K dan simbol ISOnya MMK. Namun ada juga guna Ks.

Namun semuanya hanya menerima matawang utama dunia seperti US$, Euro atau SG$ sahaja, mereka tidak menerima Ringgit. Namun terdapat satu kaunter yang menerima RM dan ironinya kaunter itu memberikan kadar terbaik untuk tukaran US$, SG$ dan sudah tentulah RM. Jadi saya boleh berjimat simpanan SG$ yang saya bawa. Saya cuma menukar SG$50 yang dapat ditukar kepada K44 250 (bermakna mereka membeli SG$ 1 pada K8850) dan RM100 kepada K30 000 (bermakna mereka membeli RM1 pada K3000). Kini saya sudah ada K74 250 di tangan. Sahabat-sahabat lain pun menukar di kaunter ini.


K50 = +- RM0.20

K200 = +- RM0.80


K1000 = +- RM4.00


Selepas mendapat duit Kyat, kami pun segera keluar di mana kena serahkan borang kastam di kaunter kastam. Betul, kaunter-kaunter tadi adalah sebelum kaunter pemeriksaan kastam. Di sini hendak tidak hendak, perlu imbas beg kita walaupun hand luggage. Selepas itu kami pun keluar dari balai ketibaan ini dan ramai juga yang menunggu, yang pastinya bukan menunggu kami, kami tidak ada saudara-mara di Yangon ini, buat masa ini, huhuhu. Baru teringat yang saya tidak membeli kad SIM lagi.


Laa, di ruang legar balai ketibaan ini ada banyak kaunter lagi rupanya. Ada kaunter teksi, kereta sewa, pengurup wang, mesin ATM malah kaunter telco yang menjual kad SIM prabayar. Kadar di pengurup wang itu lebih kurang sahaja, tapi masih terbaik di kaunter kami tukar tadi. Malah tiada satu pun yang terima RM. Mesin ATM pula ada dua buah, dan terdapat logo Visa, MasterCard, Union Pay dan American Express. Kira sudah terbukalah sistem kewangan Myanmar, pasal sebelum ini dimaklumkan kad ATM luar negara tidak boleh digunakan. Sekarang sudah boleh, saya pun dah mencuba, cuma tidak mengeluarkan wang, pasal sudah ada wang Kyat yang berpatutan.

Bagi telco pula, terdapat lagi dua penyedia perkhidmatan telco yang ada di situ iaitu ooredoo Myanmar dan MPT. Berdasarkan penyelidikan saya sebelum ke Yangon ini, ooredoo adalah yang terbaik dan termurah, jadi saya pilih ooredoo. Nasib baik saya tidak mengambil Telenor tadi.


Untuk pek permulaan, ia berharga K1500 (+- RM6.00). Setelah diaktifkan, kita akan mendapat kredit percuma sebanyak K500 (+- RM2.00), bonus untuk panggilan dan sms ke nombor ooredoo Myanmar sahaja K3000 (+- RM12.00) dan data sebanyak 10MB. Sikit sangat, jadi saya tambah data 500MB sebanyak K3900 (+- RM15.60), tapi perlu beli kredit K4000 (+- RM16.00). Jadi saya beli kredit di kaunter itu juga sebanyak K5000 (+- RM20.00) (dengan K1000 (+- RM4.00) untuk persediaan untuk perkara lain). Jadi jumlah semuanya adalah K6500 (+- RM26) untuk kesemua. Petugas di kaunter itu mengaktifkan dan membuat semua langganan sehingga lengkap. Bagus juga khidmat ooredoo ini, malah terdapat semua jenis SIM termasuk nano SIM, tanpa perlu memotong. Pasport tidak diminta, bermakna membeli kad SIM di Myanmar tidak perlu dokumen pengenalan diri. 

Setelah selesai, petugas kaunter memaklumkan bahawa dia terlupa memberitahu bahawa setiap langganan data akan dapat bonus sekali ganda. Bermakna saya telah melanggan 500 MB, akan dapat 500 MB lagi. Kiranya saya mendapat hampir 1GB lah. Ini yang menyebabkan saya sayang dengan ooredoo ini. Lain kali kalau ke Myanmar, saya ooreedoo (bermaksud saya mahu di dalam bahasa Arab) dengan telco ooredoo ini, hehehe. Untuk pengetahuan, ooredoo ini adalah anak syarikat telco ooredoo Qatar, sama juga Telenor yang merupakan anak syarikat Telenor Norway kira "adik beradik" DiGi Malaysia dan dtac Thailand la.



Selesai sahaja urusan di kaunter ooredoo, kami pun keluar dari balai ketibaan lapangan terbang ini. Sebenarnya sejak keluar dari kaunter kastam lagi, kami diikuti oleh ulat-ulat teksi walaupun di sini terdapat kaunter teksi. Mereka tidak mengenal penat, meminta kami menggunakan khidmat mereka. Rupanya apabila kami kata kami tidak mahu, terus mereka menghormatinya dan tidak menggangu kita lagi. Begitu rupanya, kalau tidak mahu khidmat mereka, terus terang sahaja di sini.


Saya mengambil keputusan untuk tidak menggunakan teksi kerana ingin menaiki bas. Jika menaiki teksi, untuk ke pusat bandar, harganya adalah K8000 (+- RM32) untuk teksi tiada hawa dingin dan K10 000 (+- RM40) untuk teksi berhawa dingin. Jika dengan bas,berdasarkan maklumat di Wikitravel, hanya perlu membayar K300 (+- RM1.20) sahaja.


Rupanya untuk mengambil bas, bukan terletak di luar lapangan terbang sahaja, tetapi perlu keluar ke jalan besar iaitu Jalan Pyay kira-kira hampir 2 kilometer. Kami pun berjalan. Setelah berjalan seketika, baru saya teringat yang Akmal sedang sakit kaki. Tetapi semangat Akmal begitu kuat, jadi kami teruskan berjalan dengan perlahan-lahan. Semasa perjalanan dapat melihat kaedah-kaedah pembinaan (sama ada kerja-kerja naik taraf lapangan terbang mahupun pembinaan longkang di tepi jalan) menggunakan kaedah manual iaitu tulang empat kerat. Agak kagum kami dengan kekuatan yang ada pada pekerja binaan Myanmar ini.


Sambil-sambil itu, kami boleh mengambil beberapa gambar, di mana jika menaiki kereta atau teksi tidak akan dapat peluang sebegitu. Kami juga dapat melihat, bahawa di Myanmar, kenderaan di bawa di sebelah kanan jalan tetapi kebanyakan kenderaan di sini dipandu di sebelah kanan. Agak pelik juga, bagaimana hendak memotong, jika pemandu berada di sebelah luar jalan bukan tengah jalan! Diperhatikan juga sebenarnya jalan-jalan ini dibina untuk pemanduan sebelah kiri. Rasanya asalnya jalan-jalan ini dipandu di sebelah kiri jalan, mungkin ada arahan untuk menukarnya ke sebelah kanan jalan. Lagipun jiran-jirannya seperti India, Bangladesh dan Thailand menggunakan sistem jalan sebelah kiri dan pemanduan kenderaan sebelah kanan.


Semasa hampir ke perhentian bas, kami nampak bas-bas di Yangon ini. Terdapat yang mempunyai hawa dingin, terdapat juga yang tiada. Setelah berjalan kaki lebih sedikit dari 2 kilometer, maka sampailah kami di perhentian bas. Kebetulan pada masa itu terdapat sebuah bas yang datang menghampiri. Saya menahan dan bertanya, adakah ia ke Sule. Nasib baik konduktor bas itu faham Sule, dan dia mengiyakan. Apa lagi kami naiklah. Alhamdulillah, ia berhawa dingin, cuma penumpang agak ramai, kami berdiri sahaja. 

Konduktor itu meminta bayaran tambang. Saya tanya berapa, dan dijawab seorang K200 (+- RM0.80)! Terkejut saya, alhamdulillah, lebih murah, cuma Akmal terasa kakinya lebih sakit. Kesian dia. Jadi saya memberikan K1000 dan saya menerima K200 untuk bakinya. 


Bas-bas di Yangon ini menggunakan nombor dalam tulisan Myanmar, jadi kami memang tidak tahu bas-bas ini nombor berapa. Bas yang kami naiki ini merupakan bas terpakai dari Jepun, cuma diubah-suai sedikit dengan mengubah pintu masuk penumpang dari kiri bas ke kanan bas. Di luar, saya melihat terdapat juga yang menggunakan bas terpakai dari Korea berdasarkan tulisan yang terdapat pada bas tersebut.


Pemanduan oleh pemandu bas di Yangon agak ganas juga. Teringat semasa menaiki busway di Jakarta dan lebih nostalgia lagi bas mini di Kuala Lumpur satu masa dulu. Kenalah bertahan, tangan kena kuat pegang pemegang. 

Jalan menuju ke pusat bandar pun ada bahagian lancar, ada bahagian agak sesak. Kesesakan lalu lintas lebih kepada kerana kenderaan kena berhenti akibat lampu merah. Lampu merahnya pun lama. Di pertengahan jalan, kami semua dapat duduk, lega alhamdulillah. Saya dapat Pagoda Shwedagon yang begitu besar semasa dalam perjalanan. Pagoda Shwedagon ini adalah mercu tanda utama Yangon. Insya Allah esok hari kami akan ke sana.


Akhirnya bas kami tiba di Jalan Merchant di depan sebuah bangunan yang seperti ditinggalkan. Apabila melihat aplikasi Google Maps di telefon bimbit saya, ia sudah hampir dengan hotel kami. Oleh kerana masa masih lagi pukul 10:45 pagi manakala waktu daftar masuk adalah pukul 2:00 petang maka kami mengambil keputusan untuk bersiar-siar dahulu. Perkara pertama adalah mencari tempat untuk makan tengahari terutama bagi sahabat-sahabat saya yang bersarapan awal pagi kerana jika di Malaysia sudah pukul 12:15 tengahari ketika itu.


Kami pun berjalan menyelusuri jalan. Kelihatan terdapat banyak penjaja-penjaja menjaja jualan di tepi-tepi jalan. Bas-bas pun banyak berhenti di sini. Kiranya tempat ini merupakan antara perhentian bas utama di pusat bandar Yangon. Kami kemudian membelok ke Jalan Sule Pagoda. Sudah jelas kelihatan Pagoda Sule. Terdapat juga sebuah pusat membeli belah yang sedang diubahsuai. Jelas kelihatan papan tanda Maybank & AirAsia di situ, menunjukan kehadiran syarikat Malaysia di Myanmar.

Kami meneruskan perjalanan, sampai di kawasan sekitar Pagoda Sule yang terletak di tengah-tengah bulatan. Kemudian kami menemui sebuah masjid, betul-betul sebelah bulatan Pagoda Sule ini, iaitu di sebelah barat. Masjid ini tidak dibuka kerana belum masuk waktu. Saya bertanya dengan pekedai yang berniaga di kedai di masjid tersebut, mengenai di mana kami boleh makanan halal. Lantas dia memberikan arah jalan ke Restoran Nilar. Bahasa Inggerisnya pun ok juga, boleh difahami.


Kami pun segera mengikut apa yang diberitahu oleh pekedai terbabit. Memang betul, mudah sahaja ke restoran terbabit. Kami pun segera ke situ setelah menjumpainya. Terasa lapar pula perut ini. Makanan yang ada di restoran ini lebih kepada makanan India seperti biryani. Saya memesan biryani kambing. Harga pun agak berpatutan dan lazat. Bahagiannya pun agak banyak. Harga biryani kambing adalah K2300 (+- RM9.20) sahaja. 


Usai sahaja makan tengahari, kami kembali semula ke masjid tadi. Sepanjang tepi kaki lima, memang banyak gerai-gerai yang didirikan. Terdapat pelbagai barangan dijual. Orang pun agak banyak pada masa ini, walaupun matahari terik memancar. 



Kami sampai juga semula di masjid tadi. Nama masjid terbabit adalah Masjid Jamek Bengali Sunni. Perlu diingat, di Yangon ini terdapat juga masjid Syiah, jadi perlu periksa dahulu agar kita tidak berjemaah dengan jemaah Syiah. Layanan agak mesra daripada jemaah masjid apabila orang luar singgah ke masjid mereka. Masjid ini hanya dibuka pada waktu solat sahaja, bukan sepanjang masa. Untuk memudahkan kami mengetahui waktu solat, saya mengambil gambar papan kenyataan waktu solat, walaupun kami mempunyai aplikasi waktu solat dalam telefon masing-masing.


Di sini waktu azan dan waktu iqamah ditetapkan. Jadi pada waktu azan zohor dan iqamahnya, terdapat selang masa 15 minit. Kami menggunakan masa itu untuk membuat perkara-perkara sunat. Tepat jam 12:30 tengahari, iqamah pun dikumandangkan. 



Usai solat, kami bergerak ke hotel, sempatlah mengambil gambar beberapa buah bangunan di sepanjang perjalanan.


Juga warga-warga Yangon tidak kira wanita mahupun lelaki, juga tidak mengira usia, tua atau muda, memakai kain seperti kain sarong. Kain ini dinamakan sebagai "long yi". Ia adalah pakaian kebangsaan bagi warga Myanmar. Malah di pejabat dan sekolah pun mereka memakainya. Beza long yi dengan kain sarong kita adalah long yi tidak mempunyai kepala iaitu corang yang sama di seluruh kain. Kain sarong kita sama ada kain pelekat atau kain batik mempunyai kepala iaitu penanda untuk bahagian belakang. Cara mengikatnya berbeza.




Akhirnya sampailah kami ke hotel kami. Walaupun awal sejam, kami dibenarkan untuk mendaftar masuk. Layanan pemilik hotel ini agak baik. Malah diberikan minuman selamat datang untuk kami. Boleh rujuk catatan Pra Kembara atau Itinerari untuk mengetahui lanjut tentang tempahan hotel The Willow Inn, Yangon ini.


Bilik yang kami dapat merupakan bilik yang berkongsi empat, di mana terdapat dua buah katil dua tingkat. Bilik ini boleh ditempah satu bilik sekali gus atau menembah katil sahaja. Harga agak berpatutan dengan bilik yang selesa, lengkap dengan pengahwa dingin dan televisyen dan kedudukan hotel yang hampir dengan pusat bandar. Harga yang ditawarkan adalah K10 000 (+- RM40.00) bagi sebuah katil atau K40 000 (+- RM160) bagi sebuah bilik. Cuma bilik mandi dan tandasnya adalah di luar bilik, iaitu dikongsi dengan penyewa lain. Namun bilik mandi dan tandasnya terjaga bersih. Satu lagi, setiap katil mempunyai lampu peribadi sendiri dan juga tempat suis elektrik peribadi. Jadi tidak perlu berebut dan privasi dijaga.



Menariknya, hiasan dinding hotel ini bermotifkan artifak sejarah dengan gambar-gambar tokoh, keadaan tempat-tempat utama di Yangon atau Myanmar malah terdapat peta-peta lama Yangon. Kira seperti melawat muzium pula.




Selanjutnya, Akmal dan Hafiz mengambil keputusan untuk berehat, saya dan Pak Din berjalan-jalan sekitar hotel. Terdapat banyak penjaja-penjaja dan kedai-kedai di sekitar hotel kami. Malah di aras bawah hotel kami terdapat pengurup wang yang nilai tukarannya (juga pengurup-pengurup wang di sekitarnya) lebih kurang sama dengan di lapangan terbang. Malah di pengurup wang tersebut menerima RM. 

Gerai yang banyak didirikan adalah gerai menjual sirih. Jadi kami melihat bagaimana penyediaan sirih. Pembeli membeli sirih yang telah siap dibuat iaitu termasuk gambir dan kapur. Malah ada yang menawarkan perisa tambahan seperti rempah ratus khas, perisa vanila dan sebagainya. Juga banyak juga terdapat gerai-gerai yang menjual batu-batu permata seperti jed, batu akik, zamrud dan sebagainya.



Memang banyak bangunan-bangunan rekabentuk penjajah British yang ada di pusat bandar Yangon ini. Banyak juga yang ditinggalkan kosong. Namun ada juga syarikat-syarikat swasta terutama bank mendiami bangunan-bangunan ini. Hotel kami juga termasuk antara bangunan-bangunan ini.

Gambar di bawah adalah sebagai satu cara warga Yangon memberi makan kepada burung-burung yang ada di sekitar pusat bandar ini.





Seterusnya saya dan Pak Din berjalan-jalan ke Pagoda Sule. Namun kami sebagai pelancong warganegara asing perlu membayar sebanyak US$3 (+- RM12) untuk memasuki pagoda ini. Orang Myanmar percuma sahaja. Mungkin kita boleh menyamar jadi warga Myanmar dengan pakai kain long yi atau kain pelekat kot? Namun kami boleh membayar K3000 sebagai ganti. Kira untung sedikit kerana jika ikut nilai semasa US$1 bernilai RM4.00 manakala K1000 bernilai RM3.70. Selain itu dapat mengurangkan penggunaan US$ yang boleh digunakan apabila perlu sahaja. Setelah dibayar tiket masuk di kaunter, akan diberikan pelekat untuk dilekatkan di baju. Pastikan anda menyimpan kasut/selipar di tempat penyimpanan kasut dan perlu "mendermakan" sedikit wang ke dalam tabung. Jika ada K50 pun boleh, tapi perlu duit kertas.



Bagi saya, pagoda ini tidak ada apa yang menarik, cukup untuk melihat apa yang ada di dalam dan aktiviti orang-orang di dalamnya.



Selepas keluar dari pagoda tersebut, saya terlihat bas-bas yang lama, masih memberikan khidmat di jalan-jalan kota Yangon ini.



Seterusnya kami menuju ke Taman Maha Bandoola yang berdekatan. Terdapat ramai warga Yangon duduk beristirehat di sini. Oh, lupa dimaklumkan, sepanjang kami di sini, terdapat banyak kelibat anak-anak muda membuat kutipan di mana-mana waima di tengah jalan untuk mangsa-mangsa banjir di serata Myanmar. Memang ketika itu seluruh Myanmar sedang mengalami musim hujan, tapi hari tersebut, cuaca umpama mengalu-alukan kehadiran kami.


Anak-anak muda banyak lepak di taman ini untuk melepaskan lelah mereka. Kelihatan mereka sedang mengira-ngira wang kutipan mereka. Kiranya warga Yangon ini agak prihatin dan pemurah juga.



Sekitar taman ini terdapat banyak bangunan-bangunan yang bersejarah. Dahulunya, bangunan-bangunan sekitar taman ini merupakan bangunan-bangunan kerajaan. Kini ia masih juga pusat pentadbiran tetapi bukan kerajaan pusat Myanmar tetapi kerajaan tempatan, kerana kerajaan pusat telah berpindah ke Naypyitaw.




Setelah itu kami ke Jalan Anawratha dekat dengan Masjid Jame Sunni Bengali untuk makan makanan ala-ala tosei. Setelah itu kami pun pulang semua ke hotel dan berehat. 

Pada sebelah malam, kami semua pergi semula untuk makan malam di Restoran Nilar, saya memilih untuk makan Nasi Goreng Singapore. Setelah itu saya kepenatan dan pulang ke hotel. Akmal, Pak Din dan Hafiz ke Chinatown untuk berurut. (Esoknya saya difahamkan mereka tidak jadi untuk mengurut kerana ia lebih kepada "urut" bukan urut sebenar). Saya pun terus tidur.

Bersambung ke Hari 2.

Jika mahu lihat: 
If want to read in English: 
  • PreJourney; 
  • Itinerary; 
  • Day 1 (this part); or 
  • Day 2. 

Tiada ulasan: