Memaparkan catatan dengan label 07 hingga 09 Mac 2014 - Batam Indonesia. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label 07 hingga 09 Mac 2014 - Batam Indonesia. Papar semua catatan

Ahad, 13 April 2014

Hari 3 (Batam, Indonesia - 07 hingga 09 Mac 2014) - Terbang Pulang ke Subang.

Sambungan dari Hari 2.

Jika mahu lihat: Hari 1.

If want to read in English: 





09 Mac 2014 (Ahad)

Saya tersedar pada jam 05:00 pagi. Selang 5 minit kemudian, kedengaran sayup-sayup suara azan. Terus saya menunaikan kewajipan solat Subuh di dalam hotel sahaja. Memandangkan penerbangan saya adalah pada pukul 11:10 pagi, maka masih banyak masa. Lagipun saya percaya, banyak premis-premis perniagaan masih tutup. Maka saya sambung melayan menonton televisyen. Sambil-sambil itu, melayari internet di hotel ini, memandang ia menawarkan WiFi percuma. Dapat saya ikuti Facebook dan WhatsApp saya, yang mana topik utama saya perhatikan adalah mengenai kehilangan MH370. Menonton TV pun saya, beritanya terutama TV berita menumpukan berita kehilangan MH370. Malah saya lihat, skop berita TV One dan MetroTV ini seolah-olah menjadi akhbar tabloid, mensensasikan cerita MH370, sehingga memaparkan kononnya rakaman kota hitamnya disiarkan (kemudian diketahui bahawa rakaman itu adalah rakaman kota hitam tragedi terhempasnya Adam Air tahun 2009 yang lepas). Harap media Malaysia tidak terikut-ikut dan lebih berdisiplin dalam skop beritanya. 



Memandangkan saya masih belum bersarapan, pada pukul 07:00 pagi, saya pun keluar memerhatikan sekitar hotel. Waima warong pun belum buka lagi. Nampak gaya berlaparlah saya.



Memandangkan perut saya mula ber"nyanyi", maka pukul 08:00 pagi, saya mengambil keputusan untuk mendaftar keluar. Mudah dan cepat sahaja urusannya. Terus saya berjalan keluar, secara automatik, ada seorang lelaki yang duduk di bawah pokok memanggil saya. Saya menggangukkan kepala saya dan terus dia berlari mengambil keretanya. Sebelum masuk ke dalam kereta "sapu"nya, saya menanyakan berapa tambangnya ke bandara (istilah Indonesia bagi lapangan terbang). Beliau berkata Rp80ribu (+- RM24.00). Dalam hati saya berkata agak mahal bagi kereta "sapu" untuk perjalanan hampir 20 km selama kira-kira setengah jam. Saya cuba tawar menawar, pelbagai alasan diberikan, namun pasal saya tidak sabar untuk ke lapangan terbang dan meninggalkan Batam yang kurang menarik ini (rasa tidak adil diluahkan, asalnya saya berniat untuk berjalan-jalan lebih banyak tempat, tapi hati saya seperti tidak selesa dengan karenah orang-orang di Batam ini).



Di dalam perjalanan, pemandu kereta ini mengagak saya ini datang dari Jakarta. Biar betul, lengkok bahasa saya memang cuba meniru lenggok bunyi orang Jakarta, tapi saya tidak sangka orang Indonesia sendiri yang sangka saya orang Jakarta. Sama ke? Tidak dinafikan, perbendaharaan Bahasa Indonesia ala Jakarta masih ada sedikit di dalam minda saya, tapi saya sendiri tidak sangka perkara itu berlaku. Bermakna, harga yang diberikan itu adalah harga orang Indonesia bukan harga orang Malaysia, huhuhu. Ngak sangkain gue. Lalu saya kata saya mahu pulang ke Kuala Lumpur. Terkejut betul dia. Terkejut ada makna ke?



Sengaja tidak mahu bertanyakan namanya kerana rasa tidak mahu terikat menjadi sahabat, kerana hati ini seperti ralat. Namun rancak juga kami berbual, dari isu MH370, ke jati diri orang Melayu kedua-dua negara, ke pemilihan umum (pilihanraya), ke kisah orang Cina Indonesia dan macam-macam lagi. Dia kata dia berasal dari Padang (bermankna dia orang Minang) dan sudah lebih 20 tahun di Batam. Memang jelas pun Batam sudah tiada identiti bandar Melayu. Semuanya ingin mencari sesuap nasi hasil kemajuan yang pesat di Batam ini. Saya sempat katakan, kalau di Malaysia, Minang ke, Jawa ke, Banjar ke, waima mualaf Cina dikira Melayu (bermakna Melayu di Malaysia adalah bangsa terbuka), bukan seperti istilah suku kaum atau etnik Melayu di Indonesia yang khusus untuk etnik Melayu di Riau (termasuk Kepulauan Riau) dan Jambi. Barulah dia tahu.



Asyik berborak, perjalanan selama lebih sedikit dari 40 minit tidak terasa walaupun dia bawa agak perlahan. Nasib baik saya keluar awal, kalau tidak mahu suruh dia bawa lebih laju dan rasa-rasanya kena caj lebih. Sampai di Bandara Internasional Hang Nadim Batam lebih kurang jam 09:00 pagi, saya serahkan nota Rp100ribu dan ucapan terima kasih kepada beliau, dan Rp20ribu dan sama-sama diberikan. 



Saya tidak terus mendaftar masuk, kerana ada lebih dua jam lagi penerbangan saya. Jadi saya berjalan-jalan sekitar bangunan terminal lapangan terbang ini. Lapangan terbang ini mengingatkan saya dengan Lapangan Terbang Sultan Ismail, Kota Bharu, Kelantan (LTSI). Saiz antaranya lebih kurang sama, cuma lapangan terbang ini berbentuk tegak, berbanding LTSI yang berbentuk L. Satu lagi, ruangan umum lapangan terbang ini tidak tertutup tapi berbumbung (lebih kurang LCCT), bermakna tiada kemudahan pendingin hawa, termasuk papan kenyataan penerbangan seperti gambar di bawah ini. Pintu memisahkan ruang terbuka dengan pengudaraan terbuka dengan ruang tertutup dengan berhawa dingin adalah mulai ruangan daftar masuk hanya diterhadkan kepada pemegang tiket sahaja, dan di pintu ini ada pemeriksaan keselamatan oleh pihak keselamatan lapangan terbang. Selain dari itu, tidak dibenarkan masuk. Kalau sudah daftar masuk, untuk keluar balik, bermakna perlu masuk ke ruangan daftar masuk ini lagi untuk ke balai pelepasan dan melalui pemeriksaan keselamatan kembali. Lain betul sistem di sini. Kalau majoriti tempat saya pernah pergi, daftar masuk termasuk dalam ruangan umum sehingga kawasan pelepasan sahaja. Balai daftar masuk untuk penerbangan domestik dan antarabangsa adalah sama. Tempat orang kita ikutkan sahaja, bukan itu pengalaman yang ingin dicari.

Sebelum saya daftar masuk, lebih baik saya berjalan-jalan dahulu untuk kenal lapangan terbang ini. Ini kali pertama dan kemungkinan kali terakhir saya di sini, nanti ralat pula.  Kalau di Malaysia, ia lebih kelihatan seperti terminal bas ekspress berbanding lapangan terbang. Malah TBS dan Pudu Sentral lebih moden daripada lapangan terbang ini. Orang-orang di sini agak ramai pada pagi ini. Mungkin kerana pagi Ahad, ramai yang mahu kembali ke tempat asal. Terdapat banyak kemudahan di sini. Saya singgah dahulu kedai cenderahati, pasal saya tidak membeli sebarang cenderahati di Batam. Sempat saya beli magnet peti ais, walaupun hanya satu, kerana harganya agak mahal, Rp25ribu (+- RM7.50) bagi sebuah. Harga sebuah di Masjid Sultan di Singapura lebih murah... Membantutkan saya hendak membeli sehelai baju I  Love Batam, kerana harganya Rp50ribu (+- RM15 sehelai).

Seterusnya, kerana perut sudah berbunyi maka saya pun duduk di sebuah kedai nasi padang di sini. Saya memilih daging dendeng bolado (berlada) dan sayur nangka muda sebagai lauk bersama air Sastro Teh Botol sejuk. Lega saya. Walaupun ia terletak di kawasan lapangan terbang, harga makanan saya kesemuanya berharga Rp30ribu (+- RM9.00) sahaja. Alhamdulillah.


Selepas makan, masa menunjukkan pukul 09:50 pagi. Saya terus ke balai daftar masuk untuk melaksanakan proses daftar masuk. Lapangan Terbang Antarabangsa Hang Nadim, Batam (BTH) (istilah di dalam Bahasa Melayu Malaysia) tiada kemudahan untuk membuat daftar masuk secara online (web) atau melalui telefon pintar (mobile), jadi perlu membuat daftar masuk secara manual. Di sini saya puas mencari kaunter daftar masuk FireFly. Puas saya cari tidak jumpa, dari kiri ke kanan. Akhirnya jumpa juga, terletak di hujung paling kanan (jika kita dari pintu masuk balai daftar masuk). Mungkin kerana khidmat FireFly masih baru, kira-kira kurang enam bulan sahaja. Terus saya daftar masuk tanpa daftar masuk bagasi, memandangkan saya hanya bawa beg galas sahaja. Diserahkan pasport untuk pengesahan dan cetakan emel tempahan, namun kerani kaunter daftar masuk kata tidak perlu. Setelah selesai, saya diberikan pas pelepasan.


Selepas itu saya segera menuju ke balai pelepasan. Namun sebelum itu, kita perlu ke kaunter caj perkhidmatan penumpang (saya alih bahasakan mengikut Bahasa Melayu Malaysia, kalau dalam Bahasa Indonesia istilahnya adalah lain, iaitu pelayanan jasa penumpang pesawat udara), atau lebih selalu dikenali sebagai cukai lapangan terbang untuk membayarnya. Pas pelepasan perlu diberikan kepada kerani kaunter dan kita perlu memberi Rp100ribu (+- RM30.00) untuk penerbangan antarabangsa. Jika penerbangan domestik, cajnya hanya Rp30ribu sahaja (+-RM9.00). Caj ini dikenakan kepada semua penumpang tidak kira warganegara Indonesia dan bukan. Untuk membayar caj ini, perlu bayar dengan menggunakan rupiah dan bukan matawang lain seperti juga pengalaman saya di pelabuhan-pelabuhan di Indonesia. Untuk pengetahuan caj ini tidak kira di lapangan terbang atau pelabuhan maritim, ia hanya dibayar ketika mahu berlepas sahaja dan semasa ketibaan tidak perlu membayarnya.

Selepas dibayar, maka saya  mendapat sekeping pelekat (sticker) dan ia dilekatkan pada pas pelepasan saya. Selepas itu, saya menuju ke balai berlepas antarabangsa yang terletak di sebelah kiri eskalator. Eskalator ini adalah untuk ke tingkat atas yang mana ia membawa ke balai berlepas domestik.


Sebelum memasuki balai berlepas antarabangsa, saya perlu melalui kaunter imigresen untuk prosedur imigresen. Alhamdullillah, saya tidak hadapi masalah dan cop diberikan dalam pasport saya. Dapatlah saya cop pasport yang antara tercantik pernah dapat. Kedua-dua cop pasport masuk dan keluar Indonesia di Batam ini agak berbeza berbanding dengan cop di tempat lain seperti cop di Jeti Tanjung Balai Karimun.


Selepas itu, perlu menjalani imbasan beg dan badan sekali lagi, kali ini oleh pihak kastam pula. Dua kali imbas badan di lapangan terbang ini, hebat kastam, siap ada pengimbas badan lagi. Akhirnya, barulah sampai ke balai berlepas atau pintu berlepas. Nampaknya, hanya ada satu sahaja pintu pelepasan dan ia tiada kemudahan jambatan udara seperti gambar di bawah ini. Saya agak, ini kerana hanya baru sekarang lapangan terbang ini mengendalikan penerbangan antarabangsa dan pesawat tersebut hanya pesawat turboprop kecil pula tu iaitu ATR72. Saya lihat, hanya FireFly sahaja pengendali penerbangan antarabangsa di sini dan tidak lama lagi Malindo Air dengan pesawat ATR72nya juga akan ke sini. Nampak gaya, penerbangan domestik lebih untung dapat guna kemudahan jambatan udara.

Ruangan pintu berlepas agak biasa besarnya sebagai mana ruang pintu pelepasan Air Asia X di LCCT yang saya rasai semasa ke Shanghai pada bulan November 2013 yang lepas. Di sini, boleh kita dapat perhatikan aktiviti-aktiviti di kawasan landasan utama dan kawasan laluan teksi serta tempat parkir pesawat-pesawat ini dengan jelasnya. Saya dapat lihat pesawat Garuda Indonesia, CitylLink (anak syarikat Garuda), Lion Air dan lain-lain pesawat mendarat, berlepas dan bergerak di laluan teksi serta pesawat diparkirkan. Juga, kenderaan perkhidmatan lapangan terbang lalu lalang serta penumpang-penumpang pesawat kecil berjalan kaki dari dan menuju balai ketibaan.


Nampak saya penerbangan saya bakal tertanggung seketika kerana pada pukul 10:30 pagi, waktu sepatutnya pesawat FireFly dari Subang mendarat (berdasarkan maklumat di papan kenyataan ketibaan pesawat di balai umum lapangan terbang tadi) belum sampai lagi. Sepuluh minit kemudian baru saya perasan, pesawat berwarna oren putih mendapat di landasan utama. Nampak dilihat kemudian kapal terbang ini parkir agak jauh dari pintu berlepas dan penumpang-penumpang dari Subang keluar berjalan menuju ke balai ketibaan. Akhirnya lima belas minit kemudian, kami penumpang-penumpang FY3426 boleh bergerak menuju ke pesawat.


Apabila saya disapa oleh pramugari FireFly, hati saya gembira kerana mendapat layanan Malaysia (Malaysia Hospitality) yang mesra dan ikhlas. Malah tidak marah dan tergelak, apabila saya sempat mengambil gambar di bawah ini. Setelah semua penumpang mengambil tempat dan bersedia untuk berlepas, maka pada jam 11:25 pagi pesawat ini berlepas dengan lancarnya.


Saya mendapat tempat duduk di tepi tingkap. Dapat saya perhatikan keadaan muka bumi Batam, timur Singapura, Johor, Melaka,Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur. Ketika memasuki Selangor, keadaan udara agak kelam kerana jerebu melanda bahagian tengah Semenanjung Malaysia. Setelah sejam lima belas minit, pesawat FY3426 melalui ruang udara Kuala Selangor berpusing menuju ke Subang. Ketika ini saya menukar kad SIM iPhone5 saya kembali ke DiGi. Alhamdulillah, 13:50 (1:50 tengahari) waktu Malaysia setelah penerbangan sejam 25 minit, pesawat ATR72 FireFly ini selamat mendarat di Lapangan Terbang Sultan Sallehuddin Abdul Aziz Shah, Subang (LTSAAS). Alhamdulillah, di saat peristiwa menimpa MH370 sibuk diperkatakan, syukur kepada Allah, perjalanan saya menggunakan pengangkutan udara selamat sampai.

Keluar dari pesawat, saya terus ke kaunter imigresen untuk pasport saya diimbas. Oleh kerana saya berada di tengah-tengah (kerana tempat duduk saya agak terhadapan di dalam pesawat, maka saya lewat keluar, kerana pesawat ATR72, pintu masuk dan keluarnya adalah di belakang pesawat), masa saya tidak meminta untuk pegawai imigresen itu untuk mengecop pasport saya. Setelah selesai urusan imigresen, saya terus ke surau kerana sudah masuk waktu dan saya tiada mendaftar bagasi tadi di Batam.

Surau di Terminal Subang Skypark (nama komersil bagi kompleks terminal penumpang LTSAAS) adalah di tingkat atas, apabila keluar dari pintu ketibaan, perlu belok ke kanan, dan mencari eskalator atau tangga kira-kira 30 meter sebelah kanan dan naik. Surau adalah sebelah kiri selepas tandas. Alhamdulillah, saya dapat laksanakan solat jamak qasar Zohor dan Asar, kerana saya masih di luar bermukiman saya, maka saya boleh melaksanakan rukhsah solat lagi.

Setelah selesai, saya sempat melihat dari tingkat atas, pesawat-pesawat termasuk pesawat saya naiki tadi parkir di ruangan parkir. Seterusnya saya terus ke jejantas untuk menyeberangi Jalan Subang - Sungai Buluh untuk ke perhentian bas bagi mengambil bas RapidKL laluan U81 atau U81 (W) untuk ke KL Sentral. Sambil saya berjalan, saya membuat tinjauan lapangan parkir untuk motorsikal. Cuma yang rasmi seakan tiada, tetapi boleh parkir di beberapa kawasan di dalam kawasan parkir kereta. Cuma harga bayaran saya belum tahu. Mungkin bayar, mungkin percuma.

Baru saya sedar, yang perhentiannya bukan di seberang jalan tetapi perlu berjalan kaki 200 meter ke hadapan, iaitu selepas pintu masuk ke ibu pejabat MAS & FireFly. Semasa berjalan, saya terlepas sebuah bas. Tetapi semasa saya hendak tiba di perhentian bas tersebut, saya pandang ke belakang dan sebuah bas U81 kelihatan hampir mahu tiba. Saya berlari dan menahan bas tersebut. Alhamdulillah, ia berhenti dan saya naik. Dengan tambang RM2.50 untuk ke KL Sentral (maaf tiketnya hilang sebelum sempat saya mengambil gambarnya atau mengimbasnya ke bentuk imej digital), maka saya pun dibawa ke KL Sentral.




Sepanjang jalan, tiada sebarang kesesakan lalu lintas, selang 20 minit, bas ini sampai juga di KL Sentral. Saya terus ke tempat parkir skuter saya di parkir motorsikal di Plaza Sentral, dan pada 15:15 (3:15 petang), saya tiba di rumah. Akhirnya tamat kembara saya dengan pelbagai mod pengangkutan saya. Selepas ini, insya Allah boleh ikuti percutian kembara bersama keluarga saya di pulau Borneo pula.

Semoga berjumpa lagi, insya Allah pada nukilan akan datang. Assalamualaikum.


Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan...

Ingin melihat:



If want to read in English: 

Sabtu, 12 April 2014

Hari 2 (Batam, Indonesia - 07 hingga 09 Mac 2014) - Berjalan-jalan di Singapura & Batam.

Sambungan dari Hari 1.

Jika mahu lihat: Hari 3.

If want to read in English: 






08 Mac 2014 (Sabtu)

Saya sedar dalam tidur-tidur ayam, ketika di Gemas dalam pukul 01:30 pagi, agak lama di sini, lebih kurang dekat sejam. Mungkin kerana menunggu kepala keretapi dari landasan sebelah timur. Kemudian, dalam kepekatan malam, keretapi meneruskan pejalanan ke selatan.

Saya tersedar ketika keretapi ini sampai di Sedenak pada pukul 05:00 pagi. Landasan keretapi di sebelah selatan ini tidak seperti ke utara. Proses pembinaan landasan berkembar yang hampir siap, hanya setakat ke Gemas sahaja. Selepas Gemas ke selatan, tiada kemajuan yang didapati, kecuali beberapa tempat yang mungkin salam proses kajian. Agak berbeza juga, walaupun dalam tidur, saya rasa perbezaan landasan sebelum Gemas dan selepas Gemas. Sebelum Gemas (kecuali sebelum Seremban, yang mana proses permodenan landasan dibuat hampir 20 tahun lepas, agak bergegar sedikit), kurang gegeran semasa luncuran keretapi ke atasnya. Ini mungkin kerana lapik landasan menggunakan lapik konkrit yang kukuh. Untuk landasan selepas Gemas, majoritinya masih menggunakan lapik kayu, jadi ada tempat yang agak kuat gegarannya. Tapi yang hairan, lebih nyenyak saya tidur dalam kembara ini berbanding kembara ke utara, dua minggu sebelumnya.

Selepas Sedenak, menuju ke Kulaijaya, dan kemudian ke Kempas Baru seterusnya ke Johor Bahru, saya lihat semak samun dan aset keretapi yang kurang urus, tetapi lebih baik dari landasan keretapi di Thailand. Bilalah sektor ini akan dinaiktaraf. Semasa selepas keretapi mula bergerak dari stesen Kulaijaya, saya terdengar sayup-sayup azan di luar dan juga dari iPhone5 saya. Jadi saya mengambil wuduk dengan menggunakan spray dan menunaikan solat subuh secara duduk di atas tempat duduk saya.

Akhirnya pada jam 06:25 pagi, keretapi Tren 25 Senandung Sutera ini sampai di stesen Johor Bahru Sentral. Semua penumpang tidak kira turun di Johor Bahru atau Singapura perlu turun di sini. Kami semua menaiki eskalator untuk ke aras atas. Bagi penumpang ke Johor Bahru, boleh membelok ke kiri untuk ke stesen, manakala ke Singapura perlu terus untuk urusan formaliti imigresen dan kastam.


Di sini terdapat lebih kurang 6 kaunter yang ada dan 4 daripadanya dibuka. Selain itu, terdapat juga pintu pemeriksaan automatik  untuk pasport biomatrik Malaysia. Walaupun saya ada kemudahan itu, namun saya memilih untuk ke kaunter manual, untuk mencuba nasib mendapat cop keluar imigresen Malaysia di sini. Kebetulan staf imigresen yang memeriksa saya itu seorang wanita Iban (dilihat dari nama dan loghat bahasanya). Setelah beliau mengimbas pasport saya, saya cuba meminta untuk mendapatkan cop. Huh, dengan angkuhnya (ini pertama kali saya terkena dengan keangkuhan pegawai imigresen Malaysia), beliau berkata, kalau sudah imbas TIDAK BOLEH dicop. Walaupun ketika itu saya memakai sport jacket berlogokan jata negara, menegaskan bahawa saya ini pegawai kerajaan. Siap tambah lagi kalau hendak juga, sila bercakap dengan penyelia saya. Kalau ikut hati, memang mahu sahaja, tapi benda ini remeh, dan memandangkan saya antara yang awal sampai di kaunter imigresen tersebut dan saya tidak mahu disebabkan saya, terganggu barisan penumpang lain di belakang saya, maka saya mengalah. Memang betul, di kaunter imigresen kompleks Bangunan Sultan Iskandar (di mana Johor Bahru Sentral adalah sebagaian daripada komponen kompleks ini) agak sukar untuk mendapatkan cop masuk/keluar imigresen di dalam pasport Malaysia, lebih-lebih lagi diperiksa oleh wanita, terutamanya wanita suku kaum dari Sarawak. Huhuhu, saya sengaja mencuba, rupanya betul yang dikatakan oleh beberapa rakan pengembara dan pelancong.

Setelah selesai rutin imigresen, saya lalu pula di lorong kastam, pegawai itu bertanyakan ada bawa barang-barang yang perlu diisytihar, saya kata backpack saya ini hanya berisi baju, sejadah dan kemudahan asa peribadi sahaja. Maka beliau melepaskan saya. Agak tegas dan ketat juga di sini. Mungkin disebabkan ramai warga Malaysia atau Singapura yang membuat perkara tidak betul di sini. Wallahuaklam.

Setelah itu, saya menunggu di hadapan pintu yang menuju ke eskalator di bawah. Ia tidak dibuka bagi memastikan penumpang ke Johor Bahru selesai melintasi (mungkin kawalan bagi mengelakan mereka membolos masuk ke Singapura tanpa melalui prosedur imigeresen dan kastam). Setelah pasti tiada penumpang ke Johor Bahru, maka polis bantuan KTM di Johor Bahru Sentral pun membuka pintu, dan kami pun segera turun ke bawah untuk menaiki semula keretapi ini untuk ke destinasi seterusnya yang tak sampai 2 km lagi. Dari eskalator saya lihat stesen Johor Bahru Sentral ini agak besar dengan ada 4 pulau platform (bermakna boleh buat 8 atau 9 platform), lebih banyak dari KL Sentral. Mungkin untuk kemudahan masa akan datang.


Semasa saya duduk semula di tempat duduk saya di dalam keretapi, saya mengeluarkan kad SIM DiGi Pascabayar saya dari iPhone5 saya untuk ditukarkan kepada SIM SingTel Prabayar Hi! yang saya beli minggu sebelumnya di HarbourFront ketika perjalanan pulang saya dari Pulau Karimun melalui Singapura. Saya periksa plan data saya, oh, langganan plan data 7 hari Value (Nilai) 1GB bernilai SG$ 7.00 (+-RM18.20) pada 3 hari sebelum (ketika saya membuat lawatan kerja di Johor Bahru), masih boleh digunakan. Saya juga mengaktifkan perkhidmatan Flexiroam bagi di Singapura, bagi perkhidmatan perayauan antarabangsa yang lebih murah. Pada jam 06:50 pagi, keretapi pun bergerak dengan perlahan-lahan menuju ke stesen Woodlands CIQ.

(Nota: Istilah CIQ atau ICQ atau yang terkini CIQS atau ICQS (untuk perhatian, huruf C = Customs (Kastam), I = Immigration (Imigresen), Q = Quarantine (Kurantin) dan S = Securities (Keselamatan)) adalah istilah pusat pemeriksaan pintu sempadan di Malaysia. Bagi Singapura, ia dikenali sebagai Checkpoint (Pintu Masuk di dalam Bahasa Melayu) dan di Thailand pula, ia dikenali sebagai Customs House (Rumah Kastam jika dalam Bahasa Melayu), walaupun kastam dan imigresen Thailand dibawah Polis DiRaja Thai.)


Akhirnya jam 07:00 pagi, keretapi Tren 25 Senandung Sutera pun tiba di stesen Woodlands Train Checkpoint (nama rasmi di Singapura). Sebelum itu, dapat lihat, kereta, motorsikal, bas berbaris untuk masuk ke dalam Singapura. Belum sempat keretapi berhenti di platform, ramai yang turun (atau terjun?) dan berlari untuk ke kaunter imigresen. Huh, jangan ingat Singapura ini kena ikut peraturan, kena jadi kiasu juga...

Bilangan kaunter saya lihat banyak dibuka. Ada laluan khas untuk pemegang kad khas, mungkin untuk warganegara Singapura atau Malaysia yang selalu keluar masuk kedua-dua negara. Memandangkan saya agak terkehadapan, (kerana saya pun "terjun" sekali setelah melihat ada yang "terjun") dan saya sudah pun mengisi borang ketibaan/pelepasan imigresen Singapura yang sememangnya disimpan di dalam kereta-kereta saya & isteri saya di KL (kerana kami agak biasa ke Singapura, jika berkereta agak sukar hendak dapat borang ini), maka saya antara yang awal di hadapan kaunter imigresen. 

Sambil tu saya terlihat, ada beberapa orang warganegara bukan Singapura, yang kebanyakannya Malaysia, di mana mereka perlu ada borang ketibaan/pelepasan imigresen Singapura, menulis borang terbabit di sebuah meja. Di atas meja itu ada tersedia banyak borang berkenaan, jadi dah dapat satu maklumat yang borang memang disediakan cukup di sini. Tidak seperti di pintu masuk Thailand atau Indonesia, sama ada tidak disediakan borang (kena tanya di kaunter, biasanya diberikan dengan bayaran (sah atau tidak, wallahua'lam) atau ada kaunter petugas khas yang bukan pegawai imigresen (sudah tentu dengan bayaran). Sudah pastinya di Malaysia sudah tiada lagi pengisian borang baik untuk warganegara Malaysia mahupun bukan, kerana ia tidak lagi dipraktikan sejak tahun 2011.


Giliran saya tidak lama lepas itu. Pemeriksa dari Penguasa Imigresen dan Pintu Masuk Singapura (seperti yang dinyatakan dalam wikipedia) atau nama Inggerisnya Immigration and Checkpoints Authority of Singapore (ICA) memeriksa pasport saya. Di sini amat jelas saya dapat perhatikan paparan komputernya, barulah tahu rupa perisian yang memeriksa mereka yang keluar masuk ke Singapura. Satu lagi saya perhatikan, sejak kebelakangan ini, yang memeriksa saya adalah staf Melayu. Ada ini satu kebetulan atau satu ironi? Alhamdulillah, tiada apa yang menahan saya dari memasuki Singapura buat masa ini, huhuhu (terkenang ada satu ketika saya ditahan sementara selama setengah jam dan kemudian dilepaskan).



Selepas selesai, saya perlu naik sebuah eskalator untuk keluar dari pusat pemeriksaan itu. Rupa-rupanya ia bersambung dengan jejantas pejalan kaki untuk ke Pusat Pemeriksaan Imigresen Woodlands yang biasa. Jadi saya tahulah ia akan keluar ke kawasan perumahan Marsiling dan kawasan komersil Woodlands Points. 

Sejurus keluar dari kompleks pusat pemeriksaan ini, memang ada perhentian teksi dan bas. Namun saya memilih untuk berjalan kaki sahaja untuk ke stesen MRT terdekat iaitu stesen Marsiling, kira-kira 1 km. Saya melihat di dalam blog, ramai yang menyarankan agar mengambil bas atau teksi ke Causeway Point (pusat membeli-belah) atau nama lainnya Woodlands Interchange (stesen bas bersepadu di bawah Causeway Point) yang jaraknya kira-kira 4 km. Jadi sebagai salah satu alternatif yang lebih murah dan menyihatkan, lagipun tidak berapa jauh, kira-kira 10 minit berjalan kaki, stesen Marsiling adalah satu pilihan. Dengan plan data yang ada, sempat juga saya saya Skype dengan keluarga saya semasa berjalan ke stesen MRT.



Kali ini saya mengambil laluan lain untuk ke stesen MRT HarbourFront (boleh semak laluan MRT di laman web SMRT) iaitu melalui laluan Utara Selatan (North South) berwarna merah ke stesen Dhobi Ghaut, kemudian tukar laluan Timurlaut (Northeast) berwarna ungu. Laluan ini hanya tukar sekali berbanding apa yang saya lakukan pada kembara pulang ke KL dari Pulau Karimun minggu sebelumnya, namun laluan ini melalui kawasan yang agak padat. Masa yang saya tempuh adalah selama lebih kurang 51 minit berbanding yang lepas selama 45 minit.


Saya tiba di stesen MRT HarbourFront pada jam 08:30 pagi. Saya terus menuju ke Cheers (seperti 7-Eleven) untuk membeli roti dan susu kota sebagai alas perut, sebenarnya ada tujuan lain. Saya ingin mendapatkan duit syiling baru Singapura yang belum saya perolehi, untuk koleksi saya. Akhirnya berjaya. Berikut adalah gambar duit-duit tersebut:


 5 cents Singapura (versi 2013) = +- 13 sen Malaysia


10 cents Singapura (versi 2013) = +- 26 sen Malaysia


50 cents Singapura (versi 2013) = +- RM1.30


Seterusnya saya segera ke tingkat 2, Pusat Feri & Kapal Persiaran Singapura (Singapore Cruise Centre) untuk ke kaunter Batam Fast untuk menempah tiket. Nampak gaya, saya terlepas feri ke Harbour Bay, Batu Ampar, Batam jam  09:10 pagi kerana saya berada di situ jam 08:45 pagi. Tiket perlu dibeli 45 minit sebelum berlepas, bagi tujuan untuk urusan imigresen dan pelepasan oleh pihak pengurusan terminal. Cuma ada tiket 11:50 pagi sahaja. Itulah, terhegeh-hegeh berjalan. 

Untuk pengetahuan, di Batam, terdapat enam jeti terminal feri penumpang iaitu Waterfront City (Teluk Senimba), Sekupang, Harbour Bay (Batu Ampar), Batam Centre, Nongsapura dan Telaga Punggur (diuruti dari barat ke timur). Terminal utama bagi laluan dari bandar-bandar di provinsi lain di Indonesia dan Tanjung Balai, Karimun, ada di Sekupang. Jeti di Telaga Punggur pula adalah untuk feri ke pulau-pulau di provinsi Kepulauan Riau (Kepri) di sebelah timur seperti Bintan dan Lingga. Feri dari dan ke Singapura boleh didapati di Waterfront City (kadang-kadang), Sekupang, Harbour Bay, Nongsapura (jarang dan perlu ke jeti Tanah Merah, Singapura kerana dari HarbourFront tiada perkhidmatannya) dan paling kerap di Batam Centre (setiap setengah jam). Saya memilih untuk ke Harbour Bay kerana ia lebih dekat dengan hotel dan pusat utama di Batam iaitu di Bukit Nagoya. Orang Singapura lebih suka ke Batam Centre kerana di sana terdapat pusat membeli-belah yang berhubung terus dengan terminal feri (sebenarnya Harbour Bay pun sama, nanti saya akan ceritakan).

Harga tiket sehala Batam Fast adalah SG$25.00 dan SG$48 bagi dua hala. Kemudian saya ke tingkat 3 untuk ke kaunter Prima Ferry pula. Ada juga tiket pukul 10:00 pagi, cuma tiketnya berharga SG$32.00 sehala dan SG$46.00 bagi dua hala. Saya hanya perlu tiket sehala kerana saya ada tiket pulang ke KL menaiki pesawat FireFly. Jadi dengan beza SG$7.00 maka saya turun ke bawah untuk menempah tiket pukul 11:50 pagi di kaunter Batam Fast. Lagipun saya boleh berjalan-jalan di Singapura sementara menunggu feri tersebut juga kerana waktu untuk saya mendaftar masuk di Pagoda Hotel, Batam adalah pukul 14:00 (2:00 petang) Waktu Indonesia Barat (WIB) iaitu pukul 15:00 (3:00 petang) waktu Malaysia & Singapura. Buat apa pergi awal-awalkan. Mulalah nampak sup tulang merah di kepala...


Saya segera kembali ke stesen MRT untuk ke stesen MRT Bugis bagi menuju ke Kampung Glam. Di Kampung Glam ini terletak Masjid Sultan, Istana Kampung Glam dan Arab Street, yang mana ia amat berkait dengan kewujudan Melayu di Singapura. Untuk ke MRT Bugis dari stesen MRT HarbourFront, ada banyak cara, saya mengambil laluan Timurlaut (Northeast) berwarna ungu dan membuat tukaran ke laluan Timur Barat (West East) berwarna hijau di stesen MRT Outram Park, menuju ke timur (Pasir Ris) menuju ke stesen MRT Bugis. Perjalanan mengambil masa selama 15 minit sahaja. 



Keluar dari stesen MRT Bugis, jika ke Kampung Glam, sebaiknya keluar di pintu nombor 4, yang akan keluar di kawasan Raffles Hospital. Kira tidak jauhlah, dalam 5 minit berjalan kaki, sampailah ke kawasan Kampung Glam.


Sampai di sana, saya terus ke barisan restoran mamak di sepanjang jalan North Bridge Road berlawanan dengan Masjid Sultan, untuk makan. Terdapat tiga buah restoran yang popular, di mana ketiga-tiga adalah sebaris. Restoran itu adalah Restoran Zam zam, Restoran Victory dan Restoran Tasneem. Kali ini saya mahu cuba makan di Restoran Tasneem. Lalu saya pesanlah tulang merah, akan tetapi ia belum sedia, kata tokey restoran, kerana masih pagi (baru pukul 09:30 pagi), pukul 3.00 petang baru ada, jadi saya tak dapat berkongsi di sini apa itu tulang merah, insya Allah lain kali bila saya berkesempatan. Jadi dia cadang agar saya ambil murtabak rusa. Apa, murtabak rusa, saya kata, saya nak berjalan jauh, kalau makan rusa nanti panas, lalu saya pesan mutabak kambing dan teh ais. Sedap, dan harga agak masuk akal, kira-kira SG$6.20 (+- RM16.12).



Sudah beralas perut saya, walaupun hampa tak dapat tulang merah, alhamdulillah. Habis sarapan, maka saya menyeberang ke seberang jalan untuk bersolat sunat tahyatul masjid dan dhuha di Masjid Sultan. Masjid ini boleh dikira sebagai masjid negara bagi negara Singapura. Masjid ini mula diarah oleh Sultan Hussien untuk dibina pada tahun 1824 iaitu ketika British mula-mula dapat mentadbir Singapura ini setelah membuat perjanjian dengan Sultan Hussein. Ia sebagai tanda kekuasaan Sultan Hussein sebagai penguasa di Singapura dan daerah Muar. Namun selepas itu sejarah yang telah menceritakan bagaimana keluarga Sultan Hussein dijatuhkan. Namun yang penting, masjid ini masih utuh, mencerminkan kedaulatan Islam dan Melayu di Singapura. Harap ia dapat dipertahankan sampai bila-bila waima pembangunan amat pesat menghimpit masjid ini.

Jika diperhatikan, Masjid Sultan ini amat aktif dengan pelbagai aktiviti yang dianjurkan. Malah semasa saya bersolat di dalam masjid ini, sesi pembelajaran al-Quran kepada anak-anak sedang dijalankan. Bahasa penghantar adalah Bahasa Melayu dengan dicampur sedikit Bahasa Inggeris. Juga, terdapat pelancong-pelancong yang hadir untuk mengambil gambar kenang-kenangan, namun ada batasnya tentang tempat-tempat yang boleh dilawati. Saya rasa bersyukur, kerana saya sebagai Muslim, boleh meneroka lebih lagi dari mereka.




Antara gambar-gambar yang saya tangkap untuk kenangan saya. Sesungguhnya ada perbezaan suasana berbanding kali terakhir saya ke masjid ini lima tahun lepas. Selepas itu, kunjungan saya ke Singapura tidak melawat masjid ini.




Seterusnya saya ke Pusat Warisan Melayu (Malay Heritage Centre) yang kedudukannya hanya sebelah sahaja dengan Masjid Sultan. Pusat ini dahulunya adalah merupakan Istana Kampung Glam, iaitu istana bagi keturunan Sultan Hussien yang pernah menjadi Sultan bagi Singapura. Kunjungan terakhir saya dahulu, pusat ini masih dalam pembinaan, dan saya pernah singgah datang ke sini semasa keturunan Sultan Hussien masih tinggal di sini. Bila mengenangkan peristiwa mereka diheret keluar dari istana ini, amat menyedihkan. Kini, istana ini menjadi muzium bagi warisan orang Melayu di Singapura.






Alhamdulillah, walaupun ada kontranya peristiwa yang mewujudkan pusat ini, namun pusat ini juga ada pronya. Anak-anak muda di Singapura ada tempat untuk menyuburkan kembali warisan dan kebudayaan Melayu. Antaranya semasa saya hadir, terdapat sekumpulan pelajar, sedang belajar berkompang, di mana , pengajarnya agak ceria. Malah sempat menyakat saya ketika saya sedang mengambil gambar selfie (di atas). Jadi saya pun ambil gambar selfie saya berlatar belakang mereka pula.



Agak lama juga saya di Pusat Warisan Melayu ini. Jam di tangan pun menunjukan pukul 10:30 pagi. Maka saya perlu untuk kembali ke HarbourFront untuk menaiki feri. Sebelum itu, saya sempat membeli cenderahati di sekitar kawasan Pusat Warisan Melayu (Istana Kampung Glam) dan Masjid Sultan ini. Harga cenderahati seperti magnet peti ais, baju T, pemegang kunci dan sebagainya begitu murah di sini berbanding di tempat lain di Singapura. Dengan harga SG$ 10.00, anda boleh mendapat sehelai baju T, 5 buah pemegang kunci dan 5 buah magnet peti ais. Lebih banyak boleh dapat dari membelinya di Orchard Road atau di Merlion Square.

Untuk pulang ke HarbourFront, kali ini saya mengambil MRT laluan Downtown berwarna biru, dari stesen Bugis ke stesen Chinatown, sebelum bertukar laluan ke laluan Timurlaut (Northeast) berwarna ungu, menuju ke stesen HarbourFront. Saya perlu berjalan kali semula ke stesen Bugis yang mengambil masa kira-kira 10 minit. Masa yang diambil untuk perjalanan MRT kira-kira 14 minit.




Memandangkan ketika saya sampai di pintu masuk untuk pelepasan masuk adalah pukul 11:15 pagi, maka saya terus menuju ke pintu tersebut untuk daftar masuk. Saya diperiksa keselamatan dan seterusnya membuat formaliti imigresen dan kastam. Inilah pertama kali saya berada di dewan menunggu terminal feri HarbourFront.



Tiba jam 11:40 pagi, maka kedengaran pengumuman kepada penumpang-penumpang feri MV Batam Fast 15 untuk masuk ke dalam feri. Kami semua beratur dan pas pelepasan diimbas satu demi satu. Kira macam di KLIA, dimana pas pelepasan diimbas dengan mengunakan bar kod 2D. Selepas diimbas, maka saya berjalanlah menuju ke feri. Menaiki feri, pas berlepas dan tiket diambil oleh petugas feri (itu sebab saya hanya ada resit sahaja yang sempat diimbas, pas pelepasan dan tiket pun saya lupa nak ambil gambar, huhuhu).


Saya ambil tempat duduk di atas feri dan ia berbumbung. Tempat duduk di bawah berhawa dingin, tapi saya inginkan angin semula jadi, lebih mudah, lebih nyaman dan kepada yang mudah mabuk laut, angin semula jadi ini akan mengurangkan kejadian mabuk laut. Tapi bagi saya, perjalanan ini cuma 45 minit ke sejam sahaja, mungkin tidak akan mabuk, insya Allah.


Tepat jam 11:55 pagi, feri pun berlepas dari jetinya. Sempat saya ambil gambar sekeliling HarbourFront ini dari atas feri. Permandangan Pulau Sentosa dengan kereta kabelnya, Resort World Sentosa, Universal Studio Singapore dan Pelabuhan Singapura amat jelas sekali.












Perjalanan feri melalui laluan perkapalan antarabangsa. Kapal-kapal yang lalu di sini amat besar-besar belaka. Ada yang lalu sipi-sipi kapal besar ini. Sambil itu dapat juga merakamkan gambar pusat bandaraya Singapura.




Selepas setengah jam berada di atas feri, terminal feri Harbour Bay, Batu Ampar, Batam jelas kelihatan. Cuma air laut di sini agak tercemar sedikit dengan minyak-minyak kapal dan agak keruh sedikit. Pada masa ini, saya memasukan kad SIM TelkomSel SIMpati yang saya beli minggu lepasnya di Tanjung Balai, Karimun, pada minggu sebelumnya. Juga saya aktifkan pula Flexiroam bagi penggunaan di Indonesia. Sepuluh minit kemudian, iaitu pada jam 11:,35 pagi Waktu Indonesia Barat atau WIB (jangan keliru, WIB adalah sejam lambat dari waktu Malaysia & Singapura), , feri pun berlabuh dan saya pun buat pertama kali menjejakkan kaki di pulau Batam ini.



Urusan imigresen agak mudah di sini. Tiada sebarang rayuan laluan ekspres, dan tiada pemeriksaan kastam. Di terminal ini juga terdapat kedai bebas cukai, tapi bukan tujuan saya.

Keluar sahaja balai pemeriksaan imigresen, saya lihat terminal ini lebh kurang seperti terminal feri ke Pulau Pangkor di Lumut. Ada tempat makan dan ada tempat membeli-belah. Malah ada jejantas menuju terus ke sebuah pusat membeli-belah. Saya mengikut laluan ke pusat membeli-belah bagi mengelakkan panggilan daripada penyedia pengangkutan seperti angkot (van atau lori kecil yang diubahsuai menjadi bas kecil, istilah ini adalah singkatan dari angkutan kota), ojek (teksi motorsikal) dan teksi biasa. Saya mendapat maklumat, penyedia pengakutan di sini agak agresif dalam memanggil orang untuk mencari penumpangnya.

Saya pun lalu melalui pusat membeli-belah Harbour Bay Point. Pusat membeli belah ini agak kosong dan tiada tarikan. Tidak hairanlah kenapa warga Singapura tidak ke sini tetapi lebih ke Batam Centre, mungkin kerana sana lebih meriah dan terminalnya lebih lama wujud, walaupun Harbour Bay ini lebih dekat ke Bukit Nagoya dari Batam Centre. Terminal feri Harbour Bay ini sebenarnya baru 2-3 tahun beroperasi, berdasarkan maklumat saya.

Memandangkan berdasarkan app Google Maps di iPhone5 saya, Pagoda Hotel boleh berjalan kaki, maka saya ambil keputusan untuk berjalan kaki sahaja.


Ambil kau, nak sangat berjalan. Rupa-rupanya Batam ini bukan syurga pejalan kaki. Jalan di Batam ini agak pedestrian hostile istilahnya, atau maksudnya agak tidak mesra pejalan kaki. Lebih teruk lagi dari Johor Bahru, malah lebih teruk dari pekan-pekan mati di negeri Perak. Walaupun digambarkan Batam ini maju dan dilimpahi kemajuan dari Singapura dan Malaysia, keadaan bandarnya agak berdebu, tiada kaki lima untuk pejalan kaki dan keadaan jalan yang tidak berapa baik penyelenggaraannya. Bila berjalan seolah-olah berada di Malaysia pada tahun 1960an atau 1970an (saya gambarkan kerana ketika saya membesar pada tahun-tahun 1980an, keadaan adalah lebih baik di Malaysia secara amnya). Selama ini saya menyatakan Johor Bahru merupakan bandar pedestrian hostile kerana bandar itu tidak berapa pentingkan laluan pejalan kaki kecuali tempat-tempat tertentu, tapi di Batam adalah lebih lagi, langsung, diulangai langsung tiada laluan pejalan kaki. Malah bangunannya hanya mempunyai kaki lima yang tak sampai 5 kaki, kira-kira separuh dari ruang kaki lima bangunan rumah kedai di Malaysia.

Dalam keadaan panas kerana tidak ada banyak pokok di sepanjang perjalanan, peluh membasahi baju saya. Kerap kali juga saya memeriksa app Google Maps untuk mengetahu jarak perjalanan. Akhirnya selepas setengah jam berjalan, saya mula nampak pusat membeli-belah DC Mall (seperti di bawah), menunjukkan  destinasi sudah hampir tiba. Pagoda Hotel, hanya terletak di belakang pusat membeli belah ini. Sepanjang perjalanan, banyak kali saya dipanggil (bagi saya secara kurang ajar) oleh pemandu kenderaan pengangkutan baik dari jalan raya , mahupun dari tepi jalan. Tapi saya tidak endahkannya. Siap berhoi-hoi, bertepuk dan macam-macam lagi.




Akhirnya pada jam 12:25 tengahari, saya sampai ke Pagoda Hotel. Alamak, ada lagi lebih sejam setengah untuk daftar masuk. Saya pun dah tak tahan dengan kepanasan dan mula rasa tidak selesa, dengan selamba, saya bertanya kepada kerani kaunter sama ada sudah boleh daftar masuk. Kerani kaunter (seorang lelaki) berkata boleh dan saya serahkan voucer tempahan Agoda kepada beliau. Alhamdulillah, dah boleh masuk tanpa bayaran. Tetapi sebelum saya beredar, sempat lagi dia bertanya saya adakah mahu berurut atau mencari teman... Dalam hati saya, sabar sajalah, memang kebanyakan orang lelaki ke Batam atas urusan itu tapi bukan saya. Saya kata mungkin nanti dulu, lalu dia berikan nombor telefon dia untuk membolehkan saya menelefon jika mahukan perkara-perkara berkenaan. 

Apa lagi, saya terus masuk bilik, saya rasa hendak berehat. Penat sangat, hehehe, penat yang diminta. Tidak mengapa, pengalaman. Biliknya agak bersih dan kemudahan agak lengkap, bolehlah dengan harga kurang dari RM50.00. Siap dengan tuala dan alat-alat bilik air. Bilik airnya pun bolehlah. Apa lagi, saya terus tukar baju, buka televisyen dan nak tidur.

Baru sahaja hendak terlelap, kebetulan TV yang dibuka memaparkan saluran TV One, saluran berita Indonesia, memaparkan berita kehilangan sebuah pesawat Malaysia Airlines atau MAS di sekitar Laut China Selatan, semasa menuju ke Beijing China. Kod penerbangan pesawat itu adalah MH370. Saya agak terkesima dan terkejut. Inilah pertama kali dalam sejarah pesawat MAS hilang semasa terbang. Semua orang di Malaysia dan banyak orang lain di dunia tahu tahap keselamatan MAS amat tinggi dan taraf keselamatan di KLIA juga agak ketat. Bagaimana ia boleh berlaku? Wallahua'lam, tuhan sahaja yang tahu. Di dalam hati, saya berdoa agar peristiwa ini akan bertemu jalan penyelesaiannya sesegera mungkin. Lebih-lebih lagi, esoknya saya akan menaiki pesawat FireFly yang juga anak syarikat MAS. Memang cerita di TV One dan satu lagi saluran berita Indonesia, MetroTV menyiarkan kisah kehilangan MH370 dengan acuan mereka. Sedang saya menonton, tanpa saya sedari, saya tertidur...


Tiba-tiba saya terjaga, jam menunjukan jam 15:45 (3:45 petang). Dekat 3 jam saya tidur rupanya. Perut saya terasa lapar. TV One pula memaparkan rancangan khas  seperti iklan tetapi selama sejam, memaparkan tentang sebuah gedung membeli-belah di Jakarta, Harco Glodok. Saya memang kenal tempat ini, seumpama Jalan Pasar di KL, tempat jual barangan elektronik. Kenapa saya samakan dengan Jalan Pasar, bukan Low Yat Plaza, kerana seingat saya, gedung itu amat uzur. Rupanya rancangan khas ini memaparkan perancangan memodenkan Harco Glodok oleh pemilik hartanahnya. Begini mereka hendak cari duit sampai buat rancangan khas selama sejam lebih. Astro Awani, Bernama TV mahupun Capital TV pun tak buat seperti ini apatah lagi stesen terestarial seperti stesen-stesen RTM dan Media Prima. Sabar sahaja.

Kemudian saya keluar menuju DC Mall, sahaja hendak tahu apa di dalam. Tiada apa, cuma banyak kedai menjual pakaian wanita seperti tudung, telekung dan baju. Ada juga beberapa kedai makan seperti KFC, BFC dan lain-lain. Saya hendak makan makanan istimewa Batam yang tiada di tempat lain. Maka saya mengambil keputusan untuk ke pusat membeli-belah Nagoya Hill, kira-kira 1.5 km dari situ. Nampak macam dekat sahaja di dalam Google Maps.

Perjalanan ini memperkuatkan lagi pandangan saya tentang Batam ini merupakan bandar pedestrian hostile. Beberapa kali saya hendak dilanggar kenderaan, kerana jalannya tiada ruang siar pejalan kali. Jika seperti kampung tak apa lah juga, tapi ini bandar. Naik kematu kaki saya, dengan naik bukit turun bukit. Nampaknya saya tertipu dengan gambaran dalam Google Maps. Nampak macam mesra pejalan kaki, tapi tidak juga. Dalam perjalanan juga saya ada melihat keadaan sungai atau lebih sesuai saya kata longkang. Airnya hitam legam bak belakang kuali dengan sampah memenuhi sehinga tersekat sungai itu. Tak hairanlah kenapa air laut Batam agak tercemar.



Akhirnya saya tiba juga di luar gedung Nagoya Hill. Sebelum itu saya hendak menukar wang Ringgit Malaysia kepada Rupiah Indonesia kerana bekalan wang Rp saya makin susut. Kedai terbabit menawarkan RM300 dengan Rp 1 002 000 sahaja!!! Di KL pun boleh dapat Rp1 046 000, kalau di Tanjung Balai, Karimun dapat Rp 1 048 000!!!... Memang kadar pertukaran di Batam agak mahal, jesteru di lain masa tidak perlu tukar di sini. Lepas tawar menawar dapatlah Rp1 020 000 bagi RM300... Dapat juga satu koleksi duit yang belum ada iaitu Rp20ribu.



Nota Rp 20 000 (versi tahun 2013) = +- RM6.00

Selepas membuat tukaran, saya pun segera ke Nagoya Hill. Agak ramai juga pengunjung-pengunjung di sini. Ada persembahan kugiran, ada promosi, yang menariknya, kugiran itu memainkan lagi balada 90an kumpulan dari Malaysia, seingat saya lagu kumpulan Slam. Tidak sangka saya. Harga barang-barang sini kalau tak sama dengan harga di KL, lebih mahal. Kenapalah ramai orang Singapura rela ke sini, lebih baik pergi JB. Mungkin saya hanya tengok dari sudut kecil sahaja kot, saya belum mengupas keseluruhan Batam lagi.


Nampaknya saya tidak jumpa lagi makanan yang saya ingin makan, jadi saya makanlah di sebuah restoran yang ada di dalam gedung ini. Saya makan bakso special (selain ada pentol daging kecil dan besar, ada isi ketam, kek ikan dan beberapa jenis lagi) bersama air teh o ais (di sini dipanggil teh o beng). Semuanya berkoskan Rp44 500. Saya beri Rp100ribu dan dapat baki Rp55 500. Hah, dapat lagi duit untuk koleksi iaitu versi terkini nota Rp 50ribu (versi tiada titik-titik oren seperti di bawah ini) dan buat pertama kali saya mendapat syiling Indonesia setelah sekian lama (saya pernah mendapat syiling pada 12 tahun lepas semasa bertugas dengan sebuah syarikat Indonesia), iaitu syiling Rp500. Alhamdulillah.


Nota Rp 50 000 (versi tahun 2013) = +- RM15.00


Syiling Rp 500 (versi tahun 2008) = +- 60 sen Malaysia

Saya jelas sudah tidak larat lagi, terus saya mencari ojek di luar gedung Nagoya Hill itu, untuk pulang ke hotel. Dia minta Rp20 ribu!!! Apa??? Oleh kerana saya sudah tidak larat, saya pun tidak larat nak menawar, saya terima sahaja. Rasa tidak berbaloi. Di atas motor itu, penunggang ojek itu membawa jalan yang lebih pendek. Lebih rasa tidak berbaloi, perjalanan tak sampai 1.5 km berharga lebih kurang RM6.00!!! Semasa atas motor juga, dia siap tanya saya soalan yang hampir sama, nak cari urut atau teman pak!!! Udah-udah la kata kalbuku, huhuhu... Sampai sahaja hotel, terus bayar dan segera ke hotel. Batam bukan jiwaku rupanya.

Saya terus layan televisyen sampai pukul 21:00 (9:00 malam) untuk saya turun ke bawah untuk makan di restoran di hadapan, macam sedap sahaja saya lihat dari atas. Macam ada ikan bakar dan makanan laut. Bila sampai di restoran tu, terus tertutup selera saya, kerana ia adalah restoran cina dan ada seekor anjing di dalam restoran. Terus saya pulang ke bilik, dan layan televisyen yang hanya ada beberapa saluran Indonesia, saluran 8 Singapura (Cina) dan beberapa saluran satelit. Dapat mengubat hati yang agak menyesal datang ke Batam secara kembara kali ini. Mungkin ini bukan rezeki saya mengembara. Batam bukan jiwaku rupanya. Tanpa saya sedari TV pula melayani saya zzz...


Insya Allah akan bersambung ke Hari 3.

Atau ingin melihat Hari 1.

If want to read in English: