Memaparkan catatan dengan label Panduan Kembara Sydney Australia. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Panduan Kembara Sydney Australia. Papar semua catatan

Isnin, 5 Disember 2016

Panduan Kembara - Sydney (Sydney, Australia - 26 hingga 31 Oktober 2016).

Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • Pre Journey;  
  • Itinerary;
  • Day -1;
  • Day 1;
  • Day 2; 
  • Day 3; 
  • Day 4 & 5; or 
  • Travel Guide - Sydney (this part). 



Saya berlatar belakangkan Sydney Opera House di kawasan Circular Quay.




Sydney, Australia, merupakan sebuah bandaraya yang terbesar di Australia dan terletak di dalam negeri New South Wales (NSW). Merupakan ibu negara kedua Australia selepas Canberra, ia dihuni kira-kira 5 juta orang yang mempunyai pelbagai etnik dan budaya, walaupun majoriti penduduknya adalah berketurunan Eropah. Ia adalah pusat ekonomi yang utama di Australia. Ia juga merupakan bandaraya yang tertua di Australia 

 
Peta: Sydney, New South Wales, Australia


WAKTU
Waktu di Sydney adalah UTC +11 iaitu tiga jam lebih lewat dari waktu Malaysia (UTC +8) pada setengah tahun (musim bunga dan musim panas) daripada bulan Oktober ke Mac.  Ini kerana ia mengadaptasi sistem Penjimatan Waktu Siang (Daylight Saving Time system - DST). Contohnya jika di Malaysia pukul 12:00 tengahari, di Sydney pula pukul 3:00 petang.

Bagi setengah tahun seterusnya iaitu daripada bulan April ke September (musim luruh dan sejuk), waktu di Sydney menjadi UTC +10 atau 2 jam lebih lewat dari waktu Malaysia. Contohnya jika di Malaysia pukul 12:00 tengahari, di Sydney pula pukul 2:00 petang.


MATAWANG
Australia menggunakan matawang Dollar Australia (AUD) dengan singkatan $ apabila digunakan di Australia. Bagi mengelakan kekeliruan dengan matawang Dollar lain, ia dibezakan dengan pengguaan simbol A$ atau AU$ atau AUD. Kadar pertukaran semasa boleh dilihat di sini.

Dominasi yang Dollar Australia adalah:
Syiling: 5¢, 10¢, 20¢ & 50¢ (warna perak), $1 & $2 (warna emas);
Nota polimer: $5 (ungu), $10 (biru), $20 (merah), $50 (kuning) & $100 (hijau).


AUD 5.00 baru (+- RM16.50)


AU$5.00 lama (masih dalam edaran) = +-RM16.50

AU$10.00 = +-RM33.00

AU$20.00 = +-RM66.00

AU$50.00 = +-RM165.00

AU$100.00 = +-RM330.00.


VISA
Pemegang pasport Malaysia yang ingin ke Australia atas tujuan melancong, adalah layak memohon kebenaran memasuki Australia melalui ETA (Electronic Travel Authority) Australia, dengan memohonnya melalui laman web agendi berkenaan dengan bayaran AUD 20.00 (+- RM66.00), yang boleh dibayar dengan kad kredit atau debit daripada Visa, MasterCard, American Express, Diners Club atau JCB. Maklumat lanjut boleh layari Jabatan Imigresen dan Sempadan Australia.


Contoh-contoh ETA Australia.

Selain itu, terdapat pilihan lain untuk memohon ETA Australia ini dengan cara lebih murah. Ia boleh dimohon melalui beberapa agensi-agensi pelancongan di Malaysia, dimana kebanyakan dari mereka mengenakan caj antara RM20.00 ke RM40.00 sahaja. 

Juga, terdapat yang mengatakan ia boleh dibuat di kaunter daftar masuk penerbangan, dengan bayaran seperti dikenakan agensi pelancongan, cuma ia boleh dipastikan kesahihannya.

Apabila mendapat kebenaran ETA ini, pemohon akan diberi kebenaran untuk memasuki Australia banyak kali dalam tempoh setahun dari tarikh kelulusan. Namun setiap kali memasuki Australia, terhad berada di Australia maksima 3 bulan setiap kemasukan.

Jika ingin membuat lawatan lebih dari masa itu atau visa jenis lain, perlu memohon visa sama ada di Suruhanjaya Tinggi Australia (di negara-negara Komanwel termasuk Malaysia) atau Kedutaan Australia (di negara bukan Komanwel) atau semasa di dalam Australia, di Jabatan Imigresen dan Sempadan Australia. Pemegang pasport negara lain atau ingin memohon visa lain boleh rujuk laman web Kementerian Luar Negara dan Perdagangan Australia  (juga boleh rujuk artikel Wikipedia).


KETIBAAN

Perlu diingatkan untuk mengisytiharkan segala barang yang berasaskan haiwan dan tumbuhan tidak kira belum masak atau sudah masak. Produk mentah seperti telur, daging (apa-apa jenis haiwan), ikan mentah (termasuk ikan bilis dan ikan kering), makanan laut, bijirin dan rempah adalah tidak dibenarkan. Makanan yang terproses perlu ada senarai ramuan untuk memudahkan.

Kesemua ini perlu diisytiharkan di dalam Borang Masuk Australia Imigresen Australia yang biasa diberikan di dalam penerbangan atau sebelum kaunter pemeriksaan imigresen. Borang ini akan disemak dahulu oleh pegawai imigresen, seterusnya diberikan semula kepada kita untuk diserahkan kepada pegawai kastam pula selepas pemeriksaan imigresen. Kita perlu bersedia dengan pemeriksaan lanjut oleh pihak kastam seperti perlu dibuka beg dan sebagainya, justeru itu, bersedialah dengan mengemas beg dengan posisi susunan yang sebaiknya, untuk memudahkan pemeriksaan dan juga agar barangan peribadi kita tidak dilihat orang lain. Sebaiknya, isytihar segala yang kita bawa, isytihat lebih tidak mengapa jangan kurang isytihar, kerana jika ada barang yang tidak diisytihar dijumpai, denda sebanyak AU$200 (+- RM660.00) bagi setiap item akan dikenakan (kalau jumpa 2 item, maka AU$200 kali dua!) dan barang tersebut akan dibuang juga!


Borang Masuk Australia Imigresen Australia.

Perlu diingatkan bahawa pihak imigresen akan membuat pemeriksaan lanjut semasa pemeriksaan imigresen (pasport) kita. Akan ada soal siasat kerana untuk mengelakan pengunjung ke Australia menyalah guna kebenaran (visa) yang telah diberikan. Ini hak mereka, dan jika kita disyaki akan menyalah gunakan visa, maka mereka akan menghantar balik kita tanpa sebarang soal (juga hak mereka). Jadi kita kena sentiasa tenang, bersedia dan tegas semasa menghadapi mereka. Tunjukan kebenaran kita!


Udara
Bagi ketibaan langsung dari Malaysia, penerbangan Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia X menyediakan penerbangan terus dari Kuala Lumpur. Penerbangan tersebut akan mendarat di Terminal 1 (juga dikenali sebagai Terminal Antarabangsa), Lapangan Terbang Antarabangsa Kingston Smith, Sydney (kod IATA: SYD). 

Penerbangan domestik Australia pula berada di Terminal 2 dan 3, yang mana kedua-dua terminal ini bersambung (selepas ini disebut Terminal Domestik). Terminal 3 khas untuk QANTAS dan Terminal 2 untuk penerbangan lain termasuk juga QANTAS. Memandangkan Terminal 1 dengan Terminal Domestik dipisahkan dengan lantasan terbang, jadi ia agak jauh, kira-kira 4 kilometer antara kedua-duanya. 

Pengangkutan antara terminal:

  1. Jika penumpang QANTAS atau ahli kumpulan One World (termasuk MAS) boleh menggunakan shuttle airside khas;
  2. Keretapi Sydney* (AU$5.40 (+- RM17.82)): hanya satu stesen, dan tidak perlu membayar tambahan bayaran akses khas stesen lapangan terbang AU$13.40 (+- RM44.22).
  3. T-Bus (AU$5.00 (+- RM16.50)): Shuttle lapangan terbang yang menggunakan jalan awam (landside), pengguna penerbangan Virgin atau berkongsi kod denganya, layak mendapat pas percuma menggunakan T-Bus ini.
  4. Bas Sydney* nombor 400 (AU$3.00 (+- RM9.90)): bas henti-henti biasa yang laluannya sampai ke kawasan Pantai Bondi.
  5. Teksi (lebih kurang AU$10.00 (+- RM33.00);
  6. Berjalan kaki: boleh, perlu ambil jalan kaki di kiri jalan kerana di sebelah kanan tidak mesra pejalan kaki (ada kawasan tiada kaki lima). Tiada mempunyai bumbung.
*Dikendalikan oleh Agensi Pengangkutan NSW (Transport for NSW). Layari laman webnya untuk informasi pengangkutan di Sydney dan NSW.

Pengangkutan ke bandar:
  1. Keretapi Sydney: terdapat perkhidmatan yang kerap dari Stesen Terminal Antarabangsa dan Terminal Domestik ke Stesen Central dan stesen-stesen lain di pusat bandar Sydney. Tambang sehala adalah AU$18.10 (+- RM59.73) bagi masa puncak dan AU$17.30 (+- RM52.47) bagi masa luar puncak. Harga adalah termasuk bayaran akses khas lapangan terbang sebanyak AU$13.40 (+- RM44.22) bagi penggunaan stesen-stesen keretapi di lapangan terbang. Harga menggunakan kad Opal (akan disentuh di bawah) adalah lebih murah.
  2. Bas Sydney + Keretapi Sydney:
    • Dari Terminal 1: menaiki bas bernombor 400 yang melalui juga Terminal Domestik, dan kemudian turun di 100 meter dari Stesen Keretapi Mascot (di jalan Coward Street) (tiket AU$3.30 (+- RM9.90)). Seterusnya menaiki keretapi dari Stesen Mascot ke Stesen Central (tiket AU$3.40 (+- RM11.22)) dan stesen-stesen lain di pusat bandar Sydney.
    • Dari Terminal Domestik: menaiki bas 400 (sama langkah seperti dari Terminal 1 (di atas)). Atau menaiki bas M20 yang membawa ke Central, Wynyard, Town Hall dan North Sydney (tiket AU$3.50 (+- RM11.55)). Perhentian bas di Terminal Domestik ini adalah di depan Terminal 3.
  3. Berjalan kaki + Keretapi Sydney (merupakan kaedah termurah): 
    • Terminal 1:  Berjalan kaki dari dari Terminal ke pekan Wollie Creek (sejauh kurang 2 kilometer) untuk ke Stesen Keretapi Wollie Creek. Perjalanan melalui Jambatan Marsh Street dan melalui Taman Cahill Park. Semasa perjalanan, boleh melihat permandangan cantik Sungai Cook, cuma ketika malam, suasana agak gelap. Cuma bayar tambang keretapi ke Stesen Central AU$3.40 (+- RM11.22) atau stesen-stesen lain. 
    • Terminal Domestik: Berjalan kaki dari dari Terminal ke Stesen Keretapi Mascot (kurang 2 kilometer dari terminal). Ruang siar kaki memang ada di sepanjang laluan. Cuma bayar tambang keretapi ke Stesen Central AU$3.40 (+- RM11.22) atau stesen-stesen lain. 
  4. Bas Shuttle: Terdapat beberapa kaunter bas shuttle ke bandar (terus ke hotel-hotel tertentu) di balai ketibaan. Ia juga boleh ditempah secara dalam talian. Jika dari penginapan, boleh menempah perkhidmatan ini dari pihak pengurusan penginapan. Harga biasanya dari AU$12.00 ke AU$20.00 (+- RM39.60 ke RM66.00).
  5. Teksi: Mengambil teksi di perhentian khas di lapangan terbang. Tambang ke pusat bandar kira-kira AU$40 (+- RM132.00). Kita perlu menjangkakan untuk membayar AU$3.80 (+- RM12.54) untuk levi teksi lapangan terbang dan AU$5.50 (+- RM18.15) untuk bayaran tol Lebuhraya Eastern Distributor. Boleh meminta pemandu teksi untuk melalui jalan O'Riordan Street yang lebih murah dah pendek cuma agak sesak.
  6. Uber: Penumpang boleh mengambil Uber yang telah ditempah dari tempat  teksi mengambil penumpang. Ia lebih murah daripada perkhidmatan teksi.
  7. Kereta sewa: Terdapat banyak penyedia perkhidmatan kereta sewa dengan melihat senarainya di laman web lapangan terbang SYD. Pastikan pemulangan semula kereta adalah di tempat letak kereta sewa diambil.
Keretapi
Keretapi daripada luar Sydney sama ada dari dalam NSW atau dari negeri-negeri lain kebiasaannya akan tiba di Stesen Keretapi Central.

Bas
Bas daripada luar Sydney sama ada dari dalam NSW atau dari negeri-negeri lain kebiasaannya akan tiba di Terminal Bas Sydney yang bersebelahan dengan Stesen Keretapi Central.

Kapal Laut
Kapal laut terutama kapal persiaran (cruise) akan berlabuh di terminal kapal laut di Circular Quay atau White Bay. Kini terminal di Darling Harbour ditutup.


TELEKOMUNIKASI

Kad SIM Prabayar
Di Australia terdapat tiga penyedia syarikat telkomunikasi utama iaitu TelstraOptus dan Vodafone. Selain itu juga terdapat juga operator MVNO (Mobile Virtual Network Operator - Penyedia Rangkaian Mudah Alih Virtual), yang menggunakan liputan salah satu dari ketiga-tiga syarikat telekomunikasi tadi, yang mana, mereka bersaing amat sengit seperti LycaMobile, ALDI mobile, amaysim, boost Mobile, Coles Prepaid, dodo, gotalk, Hello Mobile, Lebara Mobile, Woolworth Connect, Yomojo Mobile, Virgin Mobile dan sebagainya. Aldi, Coles dan Woolworth adalah rangkaian pasaraya di Australia yang menjual kad sim prabayar sebagai salah satu produknya.

Di balai ketibaan Terminal 1 SYD, terdapat kaunter bagi Optus, Vodafone dan LycaMobile. Kaunter syarikat telekomunikasi di SYD menjual semua pakej yang ditawarkan oleh syarikat masing-masing. Malah, di kaunter ini, akan mendapat kad SIM percuma, manakala jika beli di dalam pusat bandar, perlu membeli kad SIM ini (dari AU$2.00 (+- RM6.60)). Mungkin di cawangan syarikat telekomunikasi ini memberikan tawaran yang sama.

Pilihan saya adalah daripada Optus dengan plan My Prepaid Daily Plus di mana hanya perlu membayar AU$2.00 (+-RM6.60)/hari, akan mendapat data maksima 500MB setiap hari dengan panggilan suara, sms dan mms adalah percuma dan tiada had. Jika data terlebih guna, akan dicaj AU$2.00 (+-RM6.60) lagi untuk 500MB seterusnya sehingga maksima 1GB dan ikut kadar biasa. Cuma pembelian minima adalah AU$10.00 (+-RM33.00) walaupun kami cuma hanya 4 hari sahaja di Australia. Tidak mengapa, adalah keperluan baki AU$2.00 tu nanti. Jadi maksima data yang akan dapat untuk 4 hari adalah 2GB. Ia lebih murah berbanding apa ditawar oleh syarikat lain.


Kad SIM Yes Optus Australia.

Internet
Terdapat banyak akses WiFi di Sydney ini, namun kebanyakannya adalah berbayar atau perlu berbelanja untuk mendapat akses (seperti di Starbucks Coffee).


PENGANGKUTAN BANDAR

Pengangkutan Awam
Pengangkutan bandar dan juga di pinggir bandar di Sydney khususnya dan di dalam negeri NSW amnya amat efisyen sekali. Dengan ditadbir oleh sebuah agensi di bawah kerajaan negeri NSW iaitu  Agensi Pengangkutan NSW (Transport for NSW), semua pengangkutan awam utama disatukan pengurusannya. Ini amat memudahkan para pengguna pengangkutan awam di Sydney. Perkhidmatan pengangkutan awam di Sydney telah dibahagikan kepada empat jenis mod pengangkutan iaitu:

  1. Keretapi (Train);
  2. Bas (Bus);
  3. Feri (Ferry);
  4. Keretapi Ringan atau Tram (Light Rail).

Terdapat simbol-simbol bagi setiap mod pengangkutan yang ada di Sydney seperti di bawah ini:


Simbol-simbol Pengangkutan Awam di Sydney

Walaupun masih ada perkhidmatan yang masih menerima wang tunai (semakin berkurangan), pihak Agensi Pengangkutan NSW telah memperkenalkan kaedah pembayaran secara kad prabayar tanpa sentuh bagi memudahkan dan memberikan perkhidmatan lebih efisyen, iaitu pengenalan kad Opal.

Teksi & Uber
Selain itu, perkhidmatan teksi dan Uber juga terdapat di Sydney.


Kad OPAL
Kad Opal, yang mula diperkenalkan sejak tahun 2013, telah mula digunakan menggantikan pelbagai sistem tiket sebelumnya pada 01 Ogos 2016, menjadi satu-satunya mod pembayaran prabayar tunggal di NSW. Kad ini umpama seperti kad TouchnGo di Malaysia atau kad MyRapid di Kuala Lumpur, cuma kad ini hanya digunakan untuk pembayaran sistem pengangkutan di NSW sahaja buat masa ini.

Kad Opal ini boleh dibeli di banyak tempat terutama di kaunter-kaunter khidmat pelanggan di stesen-stesen keretapi utama seperti di Central, Wynyard, Circular Quay dan beberapa lagi (tidak semua stesen ada menjual). Juga ia dijual oleh banyak agen-agen yang terdiri terutamanya kedai-kedai serbaneka seperti 7-Eleven atau kedai runcit di stesen-stesen keretapi dan juga di pasaraya-pasaraya. Di lapangan terbang SYD, ia boleh dibeli di kedai WHSmith.

Kad ini mempunyai jangka hayat sebanyak sembilan tahun, begitu juga nilai kredit di dalamnya. Kad ini tidak mempunyai sebarang caj pengurusan, bermaksud ia percuma dan nilai yang kita beli ketika mula-mula menggunakannya adalah 100% untuk nilai kredit di dalamnya. Ia boleh ditambah nilai di mesin-mesin tambah nilai yang ada di stesen-stesen keretapi, atau di agen-agen jualan kad dengan tunai. Ia juga boleh ditambah nilai dengan kad kredit/debit di mesin tambah nilai dan juga secara dalam talian (internet).

Digalakan untuk mendaftar kad ini, di mana hanya kad berdaftar sahaja yang boleh mempunyai penyata penggunaan dan juga untuk menuntut balik baki di dalam kad ini (setelah penyerahan kad dibuat). Tetapi pembayaran balik hanya diberikan melalui akaun bank di Australia sahaja.

Pengguna kad ini akan mendapat harga tambang yang 10% lebih murah daripada harga tambang yang dibayar tunai. Selain itu, pengguna kad ini juga layak mendapat harga tambang yang lebih murah, biasanya sekitar 30%, untuk perjalanan yang dibuat di luar masa puncak.


Kad Opal.

Bukan itu sahaja insentif yang diberikan, tambang akan dikira berdasarkan jarak perjalanan, akan dikira sebagai perjalanan bersambung jika mod pengangkutan digunakan adalah sama dan sentuhan mula bagi sambungan perjalanan dibuat dalam masa 60 minit dari sentuhan keluar bagi perjalanan sebelumnya. Contohnya jika menaiki keretapi dari Emu Plain sampai ke Stesen Central, kemudiannya menyambung perjalanan seterusnya dengan keretapi juga, tidak kira dari Stesen Central atau stesen-stesen keretapi lain ke Stesen Macarthur dalam tempoh 60 minit selepas sentuhan akhir di Stesen Central, maka tambang akan dikira adalah dari Emu Plain hingga ke Macarthur bukan dari Emu Plain ke Central dan kemudian dari stesen yang dinaiki ke Macarthur.

Malah setiap pertukaran mod pengangkutan, akan mendapat potongan AU$2.00 dari keseluruhan tambang, dengan syarat, setiap pertukaran mod pengangkutan adalah dalam masa 60 minit dari sentuhan keluar mod pengangkutan sebelumnya.. Contohnya jika menaiki bas dari pantai Bondi ke Stesen Central dan kemudian menaiki tram ke Arlington, maka harga tambang AU$3.60 (+- RM11.88) dikenakan berbanding AU$5.60 (+- RM18.48) yang sepatutnya dikenakan.

Memang amat disarankan untuk mendapatkan kad Opal ini untuk memudahkan perjalanan di Sydney dan NSW. 


PENGINAPAN
Pelbagai jenis penginapan boleh didapati di kawasan bandaraya Sydney ini. Dari yang mewah, bajet, backpackers ke service apartment. Kawasan Haymarket dan Chinatown terdapat banyak hotel bajet dan backpackers, dan ia tidak jauh dari kawasan hotel mewah di Hyde Park. Walaupun bajet atau backpackers, namun harganya juga boleh tahan, kira-kira RM150/malam (hotel mewah (empat bintang ke atas) kadarnya dari RM700/malam bagi bilik Standard), jika menempahnya lebih awal di pelbagai laman web penyedia penempahan hotel di internet. 

Saya menempah hotel backpackers The George Street Backpackers Hotel di jalan George Street melalui Hotels.com. Saya menggunakan Hotels.com kerana kebiasaannya, harganya termurah dan program kesetiaannya terbaik, lebih baik dari Agoda atau Bookings.com. Cuma Hotels.com ini agak kurang penawaran hotelnya dan kurang menyediakan pembayaran di hotel (tempah dahulu baru bayar seperti Booking.com), di mana perlu membayar semasa menempah. Hotel ini agak strategik lokasinya yang dekat dengan pelbagai mod pengangkutan, Paddy's Market, Hyde Park, Town Hall dan sebagainya.


Penginapan kami sepanjang di Sydney.


BEKALAN ELEKTRIK
Soket plug elektrik digunakan di Australia adalah dari soket jenis I. Bekalan elektrik pula menggunakan voltage 230V 50Hz.


Soket elektrik yang digunapakai di Australia (jenis I).


TEMPAT MENARIK / LAWATAN

Circular Quay / The Rock
Di ini merupakan tempat tumpuan umum di mana kedua-dua ikon Sydney iaitu Panggung Opera (Opera Housedan Jambatan Pelabuhan (Harbour Bridge) terletak berdekatan. Banyak aktiviti boleh dibuat di sini seperti mendaki jambatan. 
Keretapi atau feri ke Circular Quay.


Taman Botani DiRaja Sydney
Taman ini amat besar dan mempunyai banyak tarikan. Tarikan utama adalah Mrs. Macquairie Point, di mana di sinilah sudut paling menarik untuk mengambil kedua-dua gambar ikon Sydney seperti gambar di bawah ini. Selain itu Goverment House yang ini menjadi Muzium Sydney juga boleh dilawati.
Keretapi atau feri ke Circular Quay atau keretapi ke St James, kemudian berjalan kaki.


Saya berlatar belakang dua ikon Sydney iaitu Opera House 
dan Harbour Bridge diambil dari Mrs Macquarie's Point.


Darling Harbour / Pyrmont
Di sini mempunyai pelbagai tarikan malam seperti restoran, kelab malam, restoran terapung (kapal), namun pada siangnya juga agak menarik juga. Di sini juga terdapatnya WILD LIFE Sydney ZooSEA LIFE Sydney Aquarium, Madame Tussauds Sydney, pusat membeli-belah Harbourside dan Pusat Pameran dan Konvension.
Feri ke Darling Harbour dari Circular Quay atau tram ke perhentian tram Exhibition Centre atau Convention Centre atau Pyrmont Bay.

Taronga Zoo
Zoo ini merupakan zoo terbesar di Sydney, juga merupakan tempat bertugas mendiang Steve Irwin, selebriti haiwan liar terkenal satu masa dahulu.
Feri ke Taronga Zoo dari Circular Quay atau bas 247 dari Wynyard.

Bondi (dan pantai-pantai sekitarnya, Tamarama, Bronte, Covelly & Coogee.)
Antara pantai yang popular di Sydney.
Bas 380 dari Circular Quay atau Stesen Museum.

Manly
Juga antara pantai yang popular di Sydney.
Feri ke Manly dari Circular Quay atau bas 136 dari Stesen Keretapi Chatswood.

Featherdale Wildlife Park
Antara zoo yang ada di Sydney. Paling murah dan boleh memegang haiwan yang dijagai (petting zoo).
Keretapi sehingga Stesen Blacktown kemudian bertukar kepada bas 729 (platform E).

Blue Mountains / Katoomba
Permandangan Pergunungan Blue Mountains dengan tarikan utama batuan Three Sisters dan juga tarikan Scenic World.
Keretapi ke Katoomba dari Stesen Central.

Tarikan lain antaranya: Wollongong (selatan Sydney, sejam perjalanan  berkereta) dan Newcastle (utara Sydney, sejam setengah perjalanan  berkereta).



MAKAN / MINUM
Oleh kerana Sydney dan juga Australia ini merupakan negara bukan Islam, maka untuk mencari makanan halal, kita perlu mencari. Untuk perhatian, daging mentah daripadalembu, kambing, ayam malah kangaru kebanyakannya adalah disembelih secara Islam dan halal. Namun terdapat juga daging tidak halal dijual bersama. Kita boleh menggunakan aplikasi mudah alih untuk mencari tempat makan halal. Jika tidak jumpa, kita boleh makan di tempat makan boleh makan (terutamanya makan laut tetapi menjual arak) seperti McDonald's (makan Fillet-O-Fish), atau makanan laut seperti Fish & Chips.

Di Sydney, yang merupakan tempat pelbagai kaum dan budaya berhubung, agak tidak susah untuk mencari tempat makanan halal sebenarnya. Malah di Haymarket, kawasan tempat kami tinggal terdapat banyak tempat makan halal boleh dijumpai. Saya kongsi beberapa yang sering kami pergi sepanjang perjalanan kami.

Oz Kebab Restaurant
Restoran makanan ala Arab yang betul-betul di bawah penginapan kami. Memang sedap dan harganya berpatutan. Fish & Chipsnya murah sikit dari harga tempat lain. Cadangan, kebab campur dan kebab kangaru. (Halal).
704 George St, Sydney NSW 2000, Australia;

Just Fry
Kedai menjual makanan goreng terutama ayam. Terdapat juga menjaul cendawan, sayur, tahu yang digoreng. (Halal).
3/710-722 George St, Haymarket NSW 2000, Australia;

Greco's Fish & Chips
Tempat makan kami semasa di Katoomba. Bahagian makanannya agak besar. Mereka menjual burger yang mempunyai bacon, berlainan tempat masak dengan Fish & Chips(Boleh makan). 
55 Katoomba St, Katoomba NSW 2780, Australia.


BELI-BELAH
Tidak sah kalau tidak membeli-belah semasa berada di Sydney. Tidak kira untuk beli barang keperluan semasa perjalanan atau untuk ole-ole.

Makanan / Minuman

Pasaraya Woolworth, Coles atau Aldi
Daging lembu, kambing dan ayam mentah yang dijual di pasaraya adalah halal cuma ada daging babi diletakan bersebelahan dengan daging tersebut. Jika ingin membeli air minuman botol (orang Malaysia panggil air mineral, orang Australia panggil spring water), belilah di pasaraya-pasaraya ini, cuma 70¢ (+- RM2.31) untuk air botol 1.5 liter. Barangan lain pun lebih murah di sini berbanding tempat lain.
Mudah dijumpai di banyak tempat.


Pasaraya Woolworth, Wolli Creek.

7 Eleven
Mudah dijumpai di segenap tempat. Cuma harga agak mahal, dengan air minuman botol (air mineral) berharga dari AU$4.00 (+- RM13.20). Di sini terdapat kopi fresco (seperti caffe latte, cappuccino dan sebagainya) yang murah, dari AU$1.00 (+- RM3.30) sahaja secawan. Dibuka 24 jam. 
Boleh didapati di serata tempat.


Saya di depan sebuah cawangan 7-Eleven di George Street dengan secawan kopi berharga AUD1.

Paddy's Market
Jika duduk di area Haymarket atau Chinatown atau sekitar CBD atau South Sydney, Paddy's Market ada menjual sayur-sayuran dan buah-buahan serta lain-lain barang basah yang segar dan paling penting, sangat murah.
Tram ke Paddy's Market.

Cenderhati

Paddy's Market
Tempat paling murah untuk membeli cenderahati di Australia. Pelbagai barangan dari kemeja T, rantai kunci, magnet peti ais dan pelbagai lagi boleh didapati di sini.
Tram ke Paddy's Market.


Paddy's Market di kawasan Haymarket.

Lain-lain

Queen Victoria Building (QVB)
Tempat jualan barangan berjenama mewah. Namun harganya agak murah di sini.
Keretapi ke Town Hall.

DFO Homebush
Tempat jualan barangan berjenama yang murah, dengan harga jualan kilang (Factory Outlet). Terdapat beberapa tempat lain seperti di Alexendria tetapi di Homebush (dekat dengan Kompleks Sukan Olimpik Sydney 2000). Set pinggan mangkuk, barangan berjenama mewah dan pakaian berjenama terkenal dijual di sini.
Keretapi ke Strathfield dan bertukar bas 526 ke DFO Homebush.


PATUT TAHU

LGBT (Lesbian Gay Bisexual Transgander)
Australia amat liberal mengenai LGBT ini. Ia diamalkan secara terbuka dan seperti seolah-olah sebahagian dari budaya mereka. Di beberapa tempat, bendera LGBT (seperti di bawah ini) seperti di pantai Bondi dan di kawasan kami tinggal di Haymarket, terdapat bendera ini. Jadi kita perlu sedar dengan perbuatan kita agar tidak mengganggu mereka atau kita diganggu mereka.

Bendera LGBT.

KESIMPULAN
Sydney tidak seperti yang dikatakan orang, yang mengatakan salah sebuah bandaraya yang mempunyai kos hidup yang tinggi, namun bagi kami ia agak rendah berbanding beberapa bandaraya yang lebih mahal seperti Seoul, Macau dan Shanghai, malah ia setara dengan Singapura dan Hong Kong.

Untuk hidup di Sydney agak tidak susah, dan agak selesa. Bagi saya, Sydney dan sekitarnya, mungkin juga keseluruhan Australia agak sesuai untuk mengembara, asalkan kita mengikut peraturan pihak berkuasa (kerana penguatkuasaan yang tegas disamping agak tinggi dendanya dan hukuman penjaranya) dan budaya setempat. 

Semoga anda dapat manfaat dari panduan ringkas ini dan selamat mengembara.


KembaraGD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan.

Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • Pre Journey;  
  • Itinerary;
  • Day -1;
  • Day 1;
  • Day 2; 
  • Day 3; 
  • Day 4 & 5; or 
  • Travel Guide - Sydney (this part).