Memaparkan catatan dengan label 02 hingga 03 Oktober 2015 - Narathiwat Thailand. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label 02 hingga 03 Oktober 2015 - Narathiwat Thailand. Papar semua catatan

Isnin, 5 Oktober 2015

Narathiwat, Thailand - 02 hingga 03 Oktober 2015 - Menziarah Saudara.

If want to read in English.



02 Oktober 2015 (Jumaat).

Pada hari ini, saya mengambil cuti kecemasan kerana ingin menziarah saudara yang duduk di Tanyongmat (Tanjung Mas) yang juga dikenali sebagai Rangae, Narathiwat, Thailand. Saya dan keluarga bergerak dari rumah pada pukul 10:30 pagi di mana kami singgah ke sekolah anak lelaki saya untuk mengambil dia di sekolah. Jadi dia pulang awallah. Lagipun jerebu di Kuala Lumpur ini menyesakan pernafasan apa lagi permandangan. Jadi, sebenar-benarnya, kami mula bergerak dari kawasan perumahan kami pada pukul 11:30 pagi.


Masjid Keputeraan, Paloh, Gua Musang, Kelantan.

Kami melalui Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak. Di lebuhraya ini, sudah melaksanakan pembayaran elektronik sahaja, iaitu memakai Touch n Go atau SmarTAG sahaja. Kami meneruskan melalui bandar Bentong dan Raub. Kami singgah di Raub untuk makan tengahari. Setelah selesai, kami teruskan perjalanan dan berhenti seketika mengisi minyak di Kuala Lipis, kerana saya tidak mengisinya awal-awal tadi. Seterusnya diteruskan, dah selepas Padang Tengku, alhamdulillah, jalan baru bertaraf lebuhraya telah siap. Jadi selesa sikit perjalanan sehingga Sungai Yu, berhampiran Merapoh. Jadi sudah jimat lebih sejam perjalanan dan 50 km.

Selepas Sungai Yu, diteruskan melalui jalan lama, kerana bahagian ini belum siap lagi. Diteruskan perjalanan melalui Gua Musang dan kemudian berhenti untuk solat di Masjid Keputeraan di Paloh, Gua Musang. Usai solat, kami meneruskan perjalanan kerana tidak mahu sampai di sempadan ketika waktu sudah malam. Kami melalui Kuala Krai, Machang, Tanah Merah, Bukit Panau dan akhirnya sampai di Rantau Panjang pada jam 5:45 petang. Saya mengisi minyak sepenuhnya agar tidak perlu mengisi minyak di Thailand yang harganya lebih setengah kali ganda lebih mahal. Ingatkan selepas mengisi minyak ingin meneruskan perjalanan tetapi anak-anak saya ingin memakan KFC yang terletak di sebelah stesen minyak. Layan sahajalah...

Pintu keluar Malaysia di Kompleks ICQS Rantau Panjang, Kelantan
(selepas pemeriksaan imigresen/kastam).

Jadi pada jam 6:30 petang, barulah kami bergerak menuju ke pintu sempadan. Kami melihat-lihat juga jika ada kedai-kedai yang membolehkan kami menukar duit Bath Thai dan insurans kereta Thailand, tapi semua kedai sudah tutup termasuk di dalam pekan Rantau Panjang. Jadi kami redha sahaja untuk masuk ke sempadan tanpa sebarang duit Baht. Maklumlah, perjalanan ini pun tiada rancangan. Kami pun memasuki kaunter imigresen (pandu lalu), alhamdulillah tiada masalah.

Pintu masuk Thailand di Sungai Kolok, Narathiwat, Thailand
(sebelum pemeriksaan imigresen/kastam).

Orang agak ramai juga di kedua-dua hala, tetapi yang menghala ke Malaysia lebih ramai lagi, malah sehinggakan kenderaan beratur di atas Jambatan Persahabatan Malaysia-Thai. Kami memarkirkan kereta kami di hadapan pejabat pintu sempadan sebelah Thailand untuk urusan imigresen dan kastam.

Hadapan pejabat pos sempadan Thailand di Sungai Kolok, Narathiwat, Thailand.

Huh, keadaan di kawasan pejabat imigresen agak ramai! Saya pun cuba meminta borang imigresen Thailand (biasa dipanggil white form) untuk diisi di kaunter imigresen, namun disuruh untuk pergi ke dalam pejabat kesihatan untuk tujuan tersebut. Rupanya ada "penulis" borang dengan "tauliah oleh pegawai imigresen situ" yang akan menuliskan borang kami. Jadi saya berikan pasport kami. Pasport pun kena beratur. Akhirnya selepas hampir setengah jam menunggu sambil berdiri, selesailah penulisan borang tersebut dengan upah RM9.00 bagi 4 borang!

Kaunter imigresen Thailand.

Setelah itu, kami pun segera beratur di hadapan kaunter imigresen untuk proses yang sepatutunya. Agak berjalan lancar dan cop masuk Thailand pun diberi tanpa sebarang permintaan bayaran walaupun masa tersebut sudah pukul 6:30 petang waktu Thailand (7:30 malam waktu Malaysia).

Cop masuk imigresen Thailand.

Kaunter kastam Thailand.

Selesai urusan di imigresen, kami ke kaunter kastam di sebelah pula untuk urusan membawa masuk kereta ke Thailand. Untuk prosedur bawa kereta ke Thailand boleh rujuk artikel Petua: Bagaimana Untuk Membawa Masuk Kenderaan Ke Thailand Melalui Pintu Masuk Darat di dalam blog ini. Ini pertama kali kereta isteri saya dibawa masuk. Sebelum ini, kami masuk dengan menggunakan kereta saya. Urusannya agak mudah dan cepat juga. Kerani kastam yang bertugas menawarkan untuk membeli insurans kereta Thailand dengannya pada harga RM35 bagi sebulan. Agak mahal sebenarnya, kerana kami hanya masuk dalam dua hari sahaja, cukuplah insurans untuk seminggu (minimum). Tapi tiada dijual untuk seminggu, minimum sebulan, katanya (dalam bahasa Melayu ye). Oleh kerana risau kedai-kedai di sebelah Thai sudah tutup maka isteri saya bersetuju untuk membelinya. Jadi borang membawa masuk kereta dan polisi insurans diberikan kepada kami.

Gambar Insurans Thailand.

Setelah selesai, kami kembali semula ke kereta dan menuju ke kaunter pandu lalu imigresen dan kastam. Di kaunter imigresen (sudah tidak aktif kerana urusan perlu ke pejabat tadi), saya sempat mengambil gambar bayaran "yuran lebih masa" imigresen Thailand untuk rujukan. Cuma nasib baik kali ini kami tidak perlu bayar. Biasanya "yuran" ini tidak mengikut kadar yang disebutkan tetapi kadar tetap antara RM1.00 ke RM2.00. Memang biasa pihak imigresen Thailand di pintu sempadan Malaysia-Thailand ini mengambil "yuran" tidak rasmi ini. Kecuali di pintu masuk Ban Prakob (sebelah Kota Putra (Durian Burung), Kedah), Buketa (sebelah Bukit Bunga, Kelantan) dan di Tak Bai (Pengkalan Kubor, Kelantan), pada pengalaman saya tidak meminta "yuran" ini dan juga dalam kes tertentu macam di Sungai Kolok ini, meminta borang ditulis oleh orang yang "ditauliahkan" sahaja.

Kadar "bayaran yuran lebih masa" imigresen Thailand.

Saya memandu terus sehingga memarkirkan kenderaan selepas kaunter kastam untuk menyerahkan borang membawa masuk kereta kami kepada pegawai kastam untuk disahkan. Nasib baik pegawai tersebut mempunyai mood baik, menyatakan kami tidak perlu bayar "caj lebih masa". Aik, kastam pun dah mula minta. Saya pun ucapkan terima kasih kerana tidak perlu bayar. Setelah disahkan, kami pun beredar dari kawasan pintu sempadan. Kelihatan kenderaan dari Thailand beratur untuk memasuki pejabat pintu sempadan Thailand bagi memasuki Malaysia.

Peringatan kastam Thailand mengenai denda lebih tempoh bawa kenderaan ke Thailand.

Kami pun memasuki bandar Sungai Kolok (Sungai Golok sebenarnya, tapi bahasa Thai tiada huruf G). Kedai-kedai sudah tutup, kecuali kedai 7-Eleven. Walaupun dibuka namun kedai 7-Eleven hanya terima duit Baht sahaja tidak seperti kedai lain yang terima Baht dan RInggit Malaysia. Jadi kami memang gamble meneruskan perjalanan tanpa duit Baht, talian telefon dan internet (bagi tujuan peta di telefon bimbit). Saya pun terlupa untuk memuat naik peta offline Selatan Thai sebelum ini. Cuma hanya bergantung pengalaman saya melalui jalan-jalan tersebut sebelum ini. Destinasi kami adalah untuk ke Rangae. Jadi kami ikutlah papan tanda, mula-mula kami ikut ke Sungai Padi, kemudian ke Narathiwat kerana di tengah-tengah perjalanan, seingat saya terdapat papan tanda ke Rangae.


Semasa dalam perjalanan, terdapat banyak halangan jalan yang tiada staf baik dari polis mahupun tentera. Ada juga banyak juga yang mempunyai staf bertugas. Jika dari polis, memang tidak ditahan untuk ditanya tetapi jika askar, kami ditahan untuk pertanyaan. Memamg betul, di waktu malam, kawalan agak ketat sikit. Malah kami ditahan sebanyak 5 kali di mana 4 kali perlu diberikan pasport untuk pengenalan. Malah diambil gambar kami dan kereta kami. Cuma perlu diingatkan, setiap kali melalui halangan jalan berstaf, perlu matikan lampu hadapan kerata atau menggunakan lampu kecil dan hidupkan lampu dalam kereta. Alhamdulillah, kami berjaya melepasi semuanya dengan selamat walaupun hati ini agak berdebar.

Kami sampai di sebuah kampung dekat Rangae, di mana kami singgah di sebuah kedai. Isteri saya berjumpa dengan pemilik kedai untuk bertanya jalan dan pemilik tersebut menawarkan untuk menggunakan telefon. Alhamdulillah dapat juga, dan terdapat dua orang pelanggan yang sudi menunjukkan jalan dengan motorsikal. Kami dibelanja minum dahulu sebelum dibawa ke kampung saudara itu. Kalau ikutkan kami mahu beli sahaja makanan (nasi kerabu asli) tetapi mereka sudah tidak terima Ringgit Malaysia, jadi simpan sahaja hasrat.

Akhirnya pada pukul 9:00 malam waktu Thailand, sampailah kami ke kampung saudara kami. Dua orang yang membawa kami tidak menerima duit kami kerana mereka ikhlas. Alhamdulillah, selesai misi "sukar" kami. Kami pun berehat dan berbual dengan saudara kami dan menjelang tengah malam, kami pun merehatkan diri.


03 Oktober 2015 (Sabtu)

Tidur di rumah saudara kami ini agak sejuk, maklumlah kawasan kampung dan dekat dengan kawasan bukit pula. Suka betul anak-anak kami duduk kampung. Siap main kejar-kejar dengan ayam itik dan kucing lagi. Cuma kami tidak boleh lama di sana. Kalau ikut hati hendak sahaja duduk lama di kampung tu, tapi kami ada hal lain pada hari Ahad.

Jam 9:30 pagi waktu Thailand, kami meninggalkan kampung saudara kami itu. Destinasi pertama kami adalah bandar Narathiwat. Tidak berapa jauh mana pun, dalam 20 kilometer dari pekan Rangae (30 kilometer jika dari kampung saudara kami). Kami pusing-pusing sahaja di bandar ini.

Seterusnya kami ke Tak Bai pula. Di sini dapat lihat Malaysia di Pengkalan Kubor, Kelantan. Saya pernah ke Tak Bai dari Pengkalan Kubor menaiki feri. Jadi ia terus ke pejabat pos sempadan Thailand. Harga tambang dalam 60 sen sahaja.

Sebelum ini juga saya mencari jeti bot penambang. Cuma jumpa jeti bot pancung sahaja yang tambangnya RM5.00 sehala perjalanan. Kali ini saya dapat mencari jeti bot penambang dari Tak Bai ke Pengkalan Kubor pula. Jumpa juga. Banyak juga orang yang guna perkhidmatan ini. Jeti ini agak terselindung sikit.


Jeti bot penambang Tak Bai.

Kaunter bayaran tambang bot penambang Tak Bai.

Tambang bot penambang ini cuma RM1.20 atau ฿10 sahaja. Biasalah di bandar-bandar sempadan ini boleh sahaja pakai Ringgit Malaysia apatah lagi Baht. Bot penambang ini akan menunggu penumpang sehingga penuh barulah ia berlepas dari jeti.

Bot penambang Tak Bai.

Di Tak Bai atau nama Melayunya Tabal atau dalam dialek Kelantan atau Pattani, Taba, kami membeli belah sedikit kerana harga barang di sini lebih murah dan di sini juga lebih mudah untuk membeli belah berbanding di Sungai Kolok, kerana sukar sikit dalam mencari parkir. Setelah selesai membeli belah, kami pun makan tengahari di sini dengan hidangan tom yam, sup perut tembusu (sup bulat kata orang Tak Bai), kailan ikan masin dan telur dadar. Minuman pula biasalah air teh o beng (teh o ais), memang lebih sedap berbanding Malaysia. Harga pun cuma RM24.00 sahaja.

Selesai makan, kami pun pulang menuju ke Buketa melalui Sungai Kolok. Kiranya kami melalui sipi-sipi dua pos sempadan. Sengaja saya melalui Buketa, pasal nak tahu apa perkembangan pembangunan di sana, di samping melengkapkan keluar dan masuk semua pintu sempadan Malaysia-Thailand. Rupanya di Buketa sudah mula ada kedai-kedai yang menjual barangan sebagaimana jirannya di Malaysia, Bukit Bunga. Cuma Bukit Bunga lebih meriah.

Cop keluar imigresen Thailand

Urusan imigresen dan kastam (pemulangan kembali borang kemasukan kereta) berjalan dengan lancar. Selesai urusan di situ, kami pun melintasi Jambatan Persahabatan Malaysia-Thailand II. Di tengah-tengah jambatan dapat lihat garisan berkembar di tengah jalan bertukar dari kuning (Thailand) kepada putih (Malaysia).

Pintu keluar Thailand / masuk Malaysia 
di Buketa, Narathiwat, Thailand / Bukit Bunga, Kelantan, Malaysia.


Sampai di Malaysia pun macam biasa lagi lancar. Tidak sampai 2 minit semua selesai. Dengan kastam pula kami cuma cakap kami hanya beli sedikit, terus dilepaskan. Lagi bagus Bukit Bunga ini tiada halangan jalan dari pihak Unit Pencegah Penyeludupan (UPP). Jadi selepas keluar dari komplek ICQS Bukit Bunga pada jam 2:00 petang, kami pun terus pulang ke Kuala Lumpur.


Cop masuk imigresen Malaysia

Kami hanya singgah di sebuah stesen minyak di Machang untuk bersolat, di sebuah stesen minyak di R&R Gua Musang untuk mengisi minyak dan singgah makan kari kepala ikan di Restoran Ratha di bandar Raub yang saya tulis aritikelnya di blog SantapanGD. Kami juga singgah di R&R Gombak untuk solat juga.



Akhirnya kami sampai di rumah pada pukul 9:00 malam. Alhamdulillah selesai perjalanan kali ini. Saya memohon maaf kerana posting kali ini saya kurang mengambil gambar. Cuma tujuan posting kali ini adalah untuk berkongsi pengalaman sahaja. Insya Allah selepas ini akan berkongsi dalam perjalanan lain pula.



Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan...



If want to read in English.