Ahad, 28 Februari 2016

Subang Jaya, Selangor, Malaysia - 17 Februari 2016 - Bas Percuma Bas Selangorku Subang Jaya (MPSJ).

Click here if want to read in English version.

Bas Selangorku Subang Jaya (MPSJ).

Sebelum ini, saya telah mencuba beberapa bas-bas percuma di sekitar Lembah Klang seperti di Kuala LumpurPetaling JayaKlangAmpang Jaya (Ulu Klang)  Kajang dan Shah Alam. Pada kali ini, saya mencuba bas percuma Bas Selangorku Subang Jaya (Majlis Perbandaran Subang Jaya  (MPSJ)) pula.

Perkhidmatan ini adala inistiatif Kerajaan Negeri Selangor melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) MPSJ untuk memudahkan perhubungan penduduk di dalam kawasan PBT berkenaan. Perkhidmatan ini dimulakan pada 01 Julai 2015 bersama-sama perkhidmatan yang sama di Shah Alam dan Klang di bawah jenama Bas Selangorku.

Bas-bas ini sama ada Bas Selangorku atau Bas SMART Selangor sememangnya percuma dan kos operasinya ditanggung oleh Kerajaan Negeri Selangor.Bagi jenama Bas SMART Selangor yang dimulakan pada 01 Januari 2016, terdapat dua lagi kawasan yang diliputi iaitu Kajang dan Ampang Jaya (Ulu Klang).


Stesen LRT Laluan Kelana Jaya USJ7.

Pada 17 Februari 2016, selepas saya mencuba perkhidmatan BRT Laluan Sunway sebagai mana di dalam catatan ulasan saya mengenainya di blog KembaraGD, saya mencuba pula perkhidmatan Bas Selangorku Subang Jaya pula. Asalnya saya ke hadapan kompleks Bangunan MPSJ di Persiaran Bakti, USJ6 melalui carian yang saya perolehi di dalam Google. Namun rupanya sejak permulaan lagi, terminal permulaan perkhidmatan bas ini terletak di perhentian Stesen LRT USJ7. Sewajarnya ini perlu diperbetulkan kerana semua maklumat termasuk di laman web RapidKL (laluan SJ01) juga menunjukan terminal permulaan adalah di USJ6!

Perhentian bas di Stesen LRT Laluan Kelana Jaya USJ7.

Bas Selangorku Subang Jaya (MPSJ).

Saya terus ke perhentian Stesen LRT USJ7 untuk menaiki bas ini. Apabila tiba di sana, terdapat beberapa bas yang sedang berhenti di perhentian ini. Perhentian ini memang betul-betul di bawah Stesen LRT/Perhentian BRT USJ7. Memang memudahkan pengguna-pengguna kedua-dua perkhidmatan itu kerana Bas Selangorku Subang Jaya ini terus boleh didapati sejurus keluar dari stesen.

Banner Promosi Bas Selangorku Subang Jaya 
di perhentian bas Stesen LRT Laluan Kelana Jaya USJ7.

Diperhatikan juga, terdapat beberapa banner promosi Bas Selangorku Subang Jaya didapati walaupun banner-banner ini sebenarnya sudah usang. Buat masa ini, hanya terdapat satu perkhidmatan Bas Selangorku Subang Jaya ini yang menggunakan nombor SJ01.

Banner pelancaran Bas Selangorku Subang Jaya 
di perhentian bas Stesen LRT Laluan Kelana Jaya USJ7.

Carta Laluan Bas Selangorku Subang Jaya di dalam bas tersebut.

Saya menaiki sebuah bas yang kebetulan sudah hendak bergerak pada masa itu. Saya duduk di tempat duduk belakang tempat duduk pemandu bas dan terdapat carta laluan di papan kenyataan yang terletak di belakang tempat duduk pemandu bas tersebut. Ketika itu, masa menunjukkan pukul 2:30 petang.


Peta: Laluan Bas Selangorku Subang Jaya.

Keadaan dalaman Bas Selangorku Subang Jaya.

Keadaan dalam bas ini sama sahaja dengan perkhidmatan bas percuma lain di Selangor, di mana terdapat skrin paparan LCD di ruang hadapan bas ini. Susun atur juga sama seperti bas RapidKL yang lain kerana pihak RapidKL atau lebih tepat Rapid Bus sdn Bhd yang mendapat kontrak mengendali perkhidmatan bas ini. Bas yang digunakan juga sama iaitu daripada model bas henti-henti bandar dari jenama MAN atau Scania.

Paparan LCD di ruang hadapan dalam Bas Selangorku Subang Jaya.

Jaringan WiFi di dalam Bas Selangorku Subang Jaya.

Di dalam bas ini juga terdapat perkhidmatan WiFi percuma untuk kegunaan pengguna-pengguna bas ini.

Salah satu perhentian bas Bas Selangorku Subang Jaya sepanjang laluannya.

Memandangkan waktu yang saya menggunakan perkhidmatan ini, pelajar-pelajar sekolah rata-rata sudah pulang atau sudah sampai di sekolah, namun terdapat juga beberapa orang pelajar yang menggunakan perkhidmatan ini. Selain itu, banyak juga penduduk terutama dari kawasan USJ dan Subang Jaya Seksyen 18 dan 19 menggunakan bas ini untuk ke kawasan Seksyen 15 Subang Jaya yang terdapat banyak komplek membeli belah seperti Subang Parade, Empire dan Aeon Big. Juga banyak juga pengguna-pengguna KTM Komuter yang menggunakan bas ini bagi untuk ke atau dari Stesen KTM Subang Jaya. Di perhatikan juga, laluan sambungan LRT sedang disiapkan, maka perkhidmatan Bas Selangorku Subang Jaya ini akan menjadi perkhidmatan sokongan utama bagi perkhidmatan LRT sebagi bas pengantara.

Namun kebanyakan perhentian Bas Selangorku Subang Jaya ini tiada kemudahan lengkap sebagai perhentian bas. Kebanyakannya termasuk di USJ6 (depan Bangunan MPSJ) dan Stesen KTM Subang Jaya tiada berbumbung dan tempat duduk. Cuma perhentian di Stesen LRT USJ7 sahaja yang agak lengkap kemudahannya. Sewajarnya, pihak MPSJ dan Kerajaan Negeri Selangor perlu membina perhentian bas yang lengkap bagi kemudahan yang lebih baik.

Kesimpulannya, perkhidmatan ini amat baik diwujudkan namun terdapat beberapa kelemahan yang perlu diatasi. Semoga perkhidmatan ini dapat di kekalkan dan dikembangkan ke tempat lain selain yang telah ada perkhidmatan ini (Petaling Jaya, Shah Alam, Subang Jaya, Klang, Kajang dan Ampang Jaya) serta menambahkan lagi perkhidmatan bagi tempat-tempat yang sudah ada perkhidmatan ini, demi kemudahan rakyat. Juga, inisiatif ini perlu dicontohi oleh pihak berkuasa tempatan atau kerajaan negeri lain.



Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan...



Click here if want to read in English version.

Sabtu, 27 Februari 2016

Bandar Sunway, Subang Jaya, Selangor, Malaysia - 17 Februari 2016 - BRT Laluan Sunway.

Click here if want to read in English version.


Bas elektrik yang digunakan dalam sistem BRT Laluan Sunway.

Pada 02 Jun 2015, pihak Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) melalui RapidKL Bus telah memperkenalkan perkhidmatan BRT Laluan Sunway. Projek BRT Laluan Sunway ini merupakan sebuah projek yang dilaksanakan melalui kerjasama kerajaan Persekutuan dan swasta di mana ia dibiayai sebanyak 70% oleh Prasarana (yang merupakan sebuah syarikat 100% milik Kementerian Kewangan Diperbadankan), 15% oleh pihak Sunway Berhad (Sunway) (pemaju utama Bandar Sunway di Petaling Jaya/Subang Jaya) dan baki 15% oleh kerajaan Persekutuan Malaysia melalui Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri (UKAS).

Projek BRT Laluan Sunway ini sebenarnya projek BRT yang pertama di Malaysia. Menariknya juga, ia juga merupakan perkhidmatan BRT yang menggunakan jalan bertingkat khas yang berasingan dari jalan raya biasa yang pertama di Asia Tenggara. Sebelum ini saya pernah menggunakan perkhidmatan BRT di Jakarta Indonesia iaitu TransJakarta sebagai mana catatan perjalanan saya ke Jakarta pada bulan Februari 2015.

BRT yang merupakan singkatan dari Bus Rapid Transit sebenarnya adalah salah satu konsep perkhidmatan awam yang menggunakan bas di mana ia berbeza sedikit berbanding perkhidmatan bas henti-henti bandar yang biasa. Melalui BRT ini memerlukan laluan khas sama ada menggunakan jalan raya biasa (perlu ada pengasingan antara bas-bas BRT dan kenderaan lain) seperti yang digunakan oleh sistem TransJakarta atau jajaran jalan baru atau menggunakan jalanraya bertingkat khas untuk kegunaan BRT sahaja sepert BRT Laluan Sunway dan BRT Xiamen di China. Kos pembangunan BRT adalah lebih rendah berbanding pembinaan pengangkutan berasaskan rel lain seperti LRT, MRT atau Monorel. Maklumat lanjut tentang BRT boleh membacanya di Wikipedia.

Perkhidmatan BRT Laluan Sunway ini sebenarnya telah membuat promosi pengenalan dengan perkhidmatan percuma pada dua bulan pertama perkhidmatannya. Saya pun banyak kali menggunakan perkhidmatan ini semasa ia membuat perkhidmatan percuma. Namun mulai 01 Ogos 2015, perkhidmatan BRT pertama di Malaysia ini mula mengenakan tambang kepada pengguna-penggunanya.

Waktu operasi bagi perkhidmatan BRT Laluan Sunway ini adalah dari pukul 6:00 pagi sehingga pukul 12:00 tengah malam setiap hari. Kekerapan yang dijanjikan adalah setiap 4 minit bagi waktu puncak dan 8 minit bagi bukan waktu puncak.

Tujuan perkhidmatan BRT Laluan Sunway ini diperkenalkan adalah bagi mengurangkan kesesakan jalan raya di kawasan sekitar Bandar Sunway ini. Selain itu, perkhidmatan ini akan menghubungkan kawasan Bandar Sunway dengan perkhidmatan pengangkutan awam rel yang mana perkhidmatan-perkhidmatan rel seperti KTM Komuter dan RapidKL Rel (LRT) Laluan Kelana Jaya tidak melalui kawasan Bandar Sunway tetapi melalui kawasan berhampiran seperti Setia Jaya dan USJ7. Dengan adanya laluan khas, maka bas-bas yang digunakan dalam sistem BRT Laluan Sunway ini tidak akan melalui jalan biasa, maka ia akan memudahkan perjalanan kedua-dua laluan.


Laluan masuk ke jejantas untuk ke Perhentian BRT Laluan Sunway Sunway-Setia Jaya 
dan Stesen KTM Komuter Setia Jaya.

Saya mencuba sekali lagi perkhidmatan ini pada 17 Februari 2016 lepas untuk review khas untuk catatan blog ini. Saya meletakan kenderaan saya di Pangsapuri Makmur berhampiran dengan perhentian BRT Laluan Sunway Mentari dan kemudian berjalan kali ke perhentian BRT Laluan Sunway Sunway-Setia Jaya yang tidak berapa jauh dari situ.


Jejantas ke Perhentian BRT Laluan Sunway Sunway-Setia Jaya 
dan Stesen KTM Komuter Setia Jaya.


Aras bawah Perhentian BRT Laluan Sunway Sunway-Setia Jaya.

Bagi ke perhentian BRT Sunway-Setia Jaya, kita perlu melalui jejantas yang dibina bagi menghubungkan pusat komersil Leisure Commerce Square dengan stesen KTM Setia Jaya. Malangnya pada ketika ini, sistem tiket antara perkhidmatan KTM Komuter dan sistem pengangkutan awam rel dan BRT di bawah RapidKL belum disepadukan lagi, jadi perlu membeli tiket secara berasingan bagi kedua-dua perkhidmatan. Mungkin pada masa akan datang kedua-dua sistem ini boleh disepadukan bagi memudahkan pengguna. Mungkin di kawasan Setia Jaya ini, kaunter dan mesin tiket boleh diletakan di pintu masuk jejantas ini. Namun perlu buat pengasingan laluan bagi kawasan berbayar dan tidak berbayar (untuk kemudahan pejalan kaki biasa yang mahu ke perhentian bas di Lebuharaya Persekutuan.


Stesen KTM Komuter Setia Jaya dari jejantas.

Ruang legar Perhentian BRT Laluan Sunway Sunway-Setia Jaya.

Saya mengambil laluan ke Perhentian BRT Laluan Sunway Sunway-Setia Jaya dan seterusnya ke aras 1 (atas) untuk ke ruang legar perhentian BRT ini. Saya membeli tiket di mesin tiket automatik yang terletak di ruang legar ini. Selain itu juga terdapat kaunter khidmat pelanggan merangkap kaunter tiket manualdi ruang legar ini. Selain eskalator, terdpaat juga tangga biasa dan lif di semua perhentian BRT.

Jadual tambang BRT Laluan Sunway.

Token tiket BRT Laluan Sunway.

Bagi saya, tambang perkhidmatan BRT Laluan Sunway ini agak mahal berbanding lain-lain mod perkhidmatan awam, di mana tambang terendah adalah RM1.60 bagi perjalanan tidak sampai 1 kilometer. Bagi perjalanan paling jauh iaitu antara Perhentian Sunway-Setia Jaya ke USJ7, ia semahal RM5.40 untuk perjalanan cuma hampir 7 kilometer (6 stesen sahaja) dengan perjalanan tidak sampai 20 minit. Lebih mahal dari tambang termahal sistem LRT terjauh di KL. Jadi saya ambil tiket untuk ke Mentari sahaja, namun saya akan ke USJ7 terlebih dahulu dan kemudian baru ke Mentari tanpa keluar dari sistem. Tiket yang digunakan menggunakan token bagi perjalanan sehala yang mana ia serupa dengan token yang digunakan sistem berel RapidKL yang lain (LRT Laluan Kelana Jaya, LRT Laluan Ampang/Sri Petaling dan Monorel). Kad prabayar MyRapid dan Touch'nGo juga boleh digunakan.

Bas sedang menghampiri platform Perhentian BRT Laluan Sunway Sunway-Setia Jaya.

Setelah saya membeli tiket, saya terus melalui pintu khas dengan mengimbas token saya beli itu bagi memasuki zon berbayar. Kawasan menunggu bas BRT terletak betul-betul selepas pintu ini. Bagi saya, kawasan menunggu ini agak kecil, dan rasanya ia tidak dapat menampung jumlah penumpang yang ramai jika berlaku kesesakan. Namun pihak pengurusan BRT Laluan Sunway ini mengatakan ia sesuai kerana kekerapan bas adalah setiap 3 ke 10 minit sekali. Disamping itu, bangku yang disediakan juga agak sedikit. Sistem keselamatan juga agak kurang kerana tiada kaedah yang dapat memisahkan penumpang dengan jalan raya kecuali di perhentian USJ7.

Bas elektrik yang digunakan dalam sistem BRT Laluan Sunway.

Di perhentian Sunway-Setia Jaya, saya dan beberapa penumpang lain hanya menunggu tidak sampai 2 minit untuk bas. Bas-bas yang digunakan adalah bas eletrik yang dibina oleh BYD, sebuah syarikat dari Shenzhen, China yang terlibat dalam pengeluaran bateri untuk peralatan elektronik dan juga pembuatan kenderaan elektrik. Model yang dibekalkan untuk sistem BRT Laluan Sunway ini khas untuk sistem ini dan berbeza dari model BYD K9 yang dibuat untuk bas eletrik komersil BYD.

Ruang dalaman bas BRT Laluan Sunway.

Susun atur dalaman bas ini agak berbeza dari susun atur biasa bas-bas henti-henti di Malaysia. Tempat duduknya disusun secara bersisi ke dinding, sebagaimana susunan tepat duduk di sistem pengangkutan rel di Kuala Lumpur kecuali KTM Komuter. Ini mungkin bagi memaksimakan ruang penumpang di dalam bas ini. Juga, ia juga bagi membolehkan sel-sel bateri diletakan secara lebih optima. Kerusi yang digunakan juga agak selesa dan bukan jenis keras.

Papan petunjuk laluan BRT Laluan Sunway.

Di dalam bas-bas sistem BRT ini juga terdapat 3 paparan LCD, yang mana dua darinya berupa seperti set televisyen yang mana terdapat maklumat laluan juga paparan iklan disiarkan padanya. Di ruang pintu masuk (hanya terdapat satu pintu masuk bagi setiap bas, namun ruang pintunya agak luas, lebih luas dari bas biasa) juga terdapat satu paparan skrin LCD yang lebih kecil yang menunjukan laluan bas BRT dan kedudukan bas pada masa kini. Suasana dalamnya agak selesa dengan berhawa dingin dan dalaman yang bersih. Perjalanan bas juga agak baik dan lancar. Saya dapat perhatikan permandangan kawasan Bandar Sunway terutama di kawasan sekitar Sunway Hotel, Pusat Perubatan Sunway dan kampus Sunway Universiti (Sun U) dan Monash University kampus Malaysia.

Kompleks Parkir Bertingkat BRT dan pejabat BRT Laluan Sunway berhampiran Perhentian BRT Laluan Sunway Sunway U-Monash.

Berdekatan dengan Perhentian Sun U-Monash, terdapat satu bangunan yang menempatkan kompleks parkir bertingkat untuk pengguna-pengguna berkenderaan sendiri untuk parkir dan kemudian menggunakan sistem BRT Laluan Sunway melalui kaedah Park 'n Ride. Bayaran parkir yang dikenakan adalah RM4.00 per kemasukan per hari. Kompleks parkir ini dihubungkan terus dengan Perhentian Sun U-Monash. DI kompleks ini juga terletak pejabat pengurusan sistem BRT ini dan juga depoh bagi bas-bas BRT ini.

Platform di Perhentian BRT Laluan Sunway USJ7.

Setelah melalui juga kawasan USJ 1 (yang terdapat pasaraya besar Mydin dan Giant) dan sebelumnya melintasi Lebuhraya Shah Alam, akhirnya sampai juga ke Perhentian USJ7. Bas agak perlahan ketika menghampiri platform, mungkin untuk menyelaraskan dengan pintu platform, juga bagi mengelakan kerosakan pada bas dan platform (mungkin kerana kelemahan rekabentuk). Saya dan penumpang lain pun keluar kerana dimaklumkan bahawa bas ini akan ke depoh.

Ruang legar Perhentian BRT Laluan Sunway USJ 
yang juga Stesen LRT Laluan Kelana Jaya USJ7.

Peta Transit Berintegrasi Lembah Klang.

Saya mengambil kesempatan dalam menunggu bas seterusnya untuk melihat kawasan Perhentian USJ7 ini yang mana ia bersambung dengan Stesen LRT USJ7. Intrastruktur stesen LRT memang sudah siap, malah, pintu keluar perhentian BRT adalah berkongsi juga dengan stesen LRT. Cuma menunggu sahaja perkhidmatan LRT sambungan dari Laluan Kelana Jaya sedia ada yang dijangkakan akan mula beroperasi pada suku ketiga tahun 2016 ini.

Papan makluman ketibaan bas BRT Laluan Sunway 
di Perhentian BRT Laluan Sunway USJ7.

Ketika saya leka bersiar-siar sekitar perhentian/stesen USJ7 ini, saya terlepas bas seterusnya yang datang 5 minit selepas bas yang saya turuni. Jadi perlu menunggu bas seterusnya. Namun saya dan ramai penumpang lain menunggu agak lama, kira-kira hampir setengah jam juga. Ini kerana terdapat tiga buah bas tidak mengambil penumpang kerana hendak ke depoh dan tiada bas yang mengantikannya. Sambil itu, saya dapat perhatikan, terdapat sistem paparan maklumat bas seterusnya di platform perhentian sistem BRT ini, cuma kecewa bas yang datang tidak dapat mengambil kami. Akhirnya pada bas keempat, barulah bas ini mengambil kami untuk kembali ke arah Sunway-Setia Jaya.

Permandangan Hotel Sunway dari Perhentian BRT Laluan Sunway Sunway Pyramid.

Aras tengah (aras 1) Perhentian BRT Laluan Sunway Mentari.


Saya pun kembali menuju ke arah perhentian Sunway-Setia Jaya. Akhirnya, saya sampai ke Perhentian Mentari. Di perhentian ini, saya dapat perhatikan platform bagi perhentian-perhentian selain Perhentian Sunway-Setia Jaya dan Perhentian USJ7 adalah berplatform sisi berlawanan. Nampak sahaja dekat tetapi penumpang tidak dibenarkan untuk menyeberangi jalan raya untuk ke platform berlawanan. Malangnya, penumpang perlu keluar sistem dan terpaksa turun dan naik semula serta perlu membeli token lain untuk menyeberang platform. Bagi saya ini adalah satu kesilapan rekabentuk bagi perhentian-perhentian ini. Memandangkan setiap perhentian dibina 3 aras, maka sepatutnya aras tengah perlu diperuntukan untuk ruang legar dan aras atas hanya untuk ruang paltform sahaja sebagai mana di stesen-stesen LRT. Sewajarnya pihat Rapid Bus perlu menilai semula rekabentuk ini dan untuk projek seterusnya seperti projek BRT Kuala Lumpur - Klang dan BRT Kota Kinabalu tidak mengulangi kesilapan ini.


Perhentian BRT Laluan Sunway Mentari.

Secara kesimpulannya, sistem BRT Laluan Sunway ini amat baik dijalankan bagi memudahkan pengguna-pengguna perkhidmatan awam di sekitar Bandar Sunway dan USJ malah ia dapat mempromosikan kawasan tarikan pelancong di sekitar seperti Sunway Lagoon & Sunway Pyramid. Pengguna juga tidak perlu membawa kereta, sekaligus mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Projek BRT Laluan Sunway ini agak moden berbanding sistem yang sama di bandaraya lain di dunia. Namun, dengan kos pembangunan lebih RM630 juta agak merugikan dengan kelemahan-kelemahan ini disamping ia hampir sama sahaja kosnya dengan pembinaan sistem rel. Mungkin konsep ini baru tapi untuk akan datang ia dapat diperbaiki terutama bagi projek BRT mendatang di Malaysia. 

Paling utama, harga tambang perlu dikaji semua, kerana ia agak mahal, dan tidak berbaloi dengan perkhidmatannya yang bagi saya lebih teruk berbanding sistem rel RapidKL yang mana lebih sistematik dan lebih dipercayai. Dengan jadual masa yang tidak mengikut kekerapan seperti dijanjikan, sewajarnya pihak pengurusan BRT Laluan Sunway dapat memperbaiki perkhidmatan mereka agar lebih baik lagi, sekaligus, pengguna tidak merasa rugi menggunakan perkhidmatan BRT ini, menyebabkan lebih ramai yang akan menggunakan perkhidmatan ini. Tidaklah ia menjadi projek gajah putih sahaja. 

Terdapat juga teguran yang yang saya berikan sebelum ini (di atas) yang perlu diperbaiki oleh pihak pengurusan BRT Laluan Sunway agar dapat meningkat kualiti dan juga menaikan penarafan Gangsa bagi Piawaian BRT yang diberikan oleh Institut Dasar Pengangkutan dan Pembangunan (Institute of Transportation and Development Policy - ITDP) agar boleh dinaikan menjadi Perak, Emas atau Platinum seperti yang sepatutnya.

Selain daripada itu, sistem BRT Laluan Sunway ini amat baik dan amat wajar sekali dilaksanakan. Semoga dengan ada perkhidmatan ini, pengangkutan awam di Kuala Lumpur dan Malaysia menjadi lebih baik. Paling penting, setiap tempat di Lembah Klang ini dapat diliputi oleh pengangkutan awam yang lebih dipercayai (reliable). Ini membantu lagi Kuala Lumpur dan Lembah Klang untuk menjadi bandaraya bertaraf dunia.



Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan...



Click here if want to read in English version.

Sabtu, 13 Februari 2016

Shah Alam, Selangor, Malaysia - 10 Februari 2016 - Bas Percuma Bas Selangorku Shah Alam (MBSA).

Click here if want to read in English version.

Bas Selangorku Shah Alam.

Sebelum ini, saya telah mencuba beberapa bas-bas percuma di sekitar Lembah Klang seperti di Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Klang, Ampang Jaya (Ulu Klang) dan Kajang. Pada kali ini, saya mencuba bas percuma Bas Selangorku Shah Alam (Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA)) pula.

Perkhidmatan ini adala inistiatif Kerajaan Negeri Selangor melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) MBSA untuk memudahkan perhubungan penduduk di dalam kawasan PBT berkenaan. Perkhidmatan ini dimulakan pada 01 Julai 2015 bersama-sama perkhidmatan yang sama di Subang Jaya dan Klang di bawah jenama Bas Selangorku. Maklumat hebahan mengenai perkhidmatanini terdapat di dalam laman web MBSA di bawah bahagian berita Pelancaran Bas Selangorku Shah Alam dan juga hebahan media Pelancaran Bas Selangorku Shah Alam.

Bas-bas ini sama ada Bas Selangorku atau Bas SMART Selangor sememangnya percuma dan kos operasinya ditanggung oleh Kerajaan Negeri Selangor.Bagi jenama Bas SMART Selangor yang dimulakan pada 01 Januari 2016, terdapat dua lagi kawasan yang diliputi iaitu Kajang dan Ampang Jaya (Ulu Klang).

Stesen KTM Komuter Shah Alam dari perhentian bas Bas Selangorku Shah Alam.

Pada 10 Februari 2016, saya telah ke Stesen KTM Komuter Shah Alam untuk mencuba perkhidmatan ini. Apabila sampai di hadapan stesen tersebut, kelihatan sederetan bas-bas Bas Selangorku berhenti di perhentian khasnya yang terletak di seberang jalan berhadapan dengan stesen keretapi ini.

Bas-bas Bas Selangorku Shah Alam yang sedang berhenti 
di perhentiannya di hadapan Stesen KTM Komuter Shah Alam.


Bas Selangorku Shah Alam pandangan hadapan.

Bas Selangorku Shah Alam pandangan belakang.

Di perhentian ini terdapat tiang perhentian bas khas untuk Bas Selangorku Shah Alam ini yang terdapat carta laluan bas padanya. Cuma di perhentian ini, tidak mempunyai tempat menunggu berbumbung, bermakna ia terbuka kepada cuaca panas dan hujan.

Tiang perhentian bas dan carta laluan Bas Selangorku Shah Alam.

Bas Selangorku Shah Alam ini beroperasi dari pukul 6:00 pagi sehingga 9:00 malam dan mempunyai kekerapan setiap lima belas minit ke dua puluh minit. Terminal atau hub utamanya adalah di Stesen KTM Komuter Shah Alam dan ia akan melalui Seksyen 19, Seksyen 14 (pusat bandaraya Shah Alam, iaitu di Dataran Bandaraya), kemudian akan memasuki kawasan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), seterusnya ke Seksyen 5, 6, 4, 3 dan 2. Bas ini meneruskan perjalanan melalui Jalan Institusi yang mempunyai dua instutusi pengajian tinggi iaitu Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Selangor (UniSel) untuk ke kawasan Seksyen 7 Shah Alam. Bas ini akan singgah di beberapa tempat utama di Seksyen 7 dengan hentian terakhir di Hospital Shah Alam (HSA). Setelah sampai di HSA, bas ini akan kembali mengikut jalan yang sama untuk kembali ke Stesen KTM Komuter Shah Alam.

Carta laluan Bas Selangorku Shah Alam.

Pelan jajaran laluan Bas Selangorku Shah Alam.

Bas-bas yang digunakan adalah daripada armada bas Prasarana Malaysia Berhad yang mana ia mempunyai konfigurasi yang sama dengan bas-bas RapidKL. Bas yang digunakan adalah dari jenis bas 12 meter dan berjenama MAN.

Keadaan dalaman Bas Selangorku Shah Alam.

Di dalam bas ini juga terdapat perkhidamatan WiFi berinternet percuma yang boleh digunakan semasa menggunakan Bas Selangorku Shah Alam ini. Cuma sepanjang saya menggunakan perkhidmatan ini, ada beberapa tempat di Shah Alam ini, liputan internet melalui WiFi ini tidak begitu stabil. Masa untuk memuat turun kandungan internet juga agak lama.

WiFi percuma Bas Selangorku Shah Alam.

Saya mencuba perkhidmatan bas ini pada pukul 2:00 petang iaitu selepas waktu makan tengahari. Namun agak banyak juga penumpang yang menaiki bas ini pada ketika itu. Hampir penuh semua tempat duduk yang ada di dalam bas ini. Kebetulan pada hari itu, sekolah-sekolah kecuali sekolah agama di Shah Alam (bahkan seluruh Malaysia) ditutup seminggu sempena perayaan Tahun Baru Cina. Jadi tidak banyak didapati pelajar-pelajar menaiki bas ini.

Bangunan Sultan Sallehuddin Abdul Aziz Shah atau
Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor.

Sepanjang laluan ini, meliputi banyak sekolah-sekolah selain dua institusi pengajian tinggi utama di Shah Alam. Selain itu ia juga melalui pusat bandaraya Shah Alam yang mempunyai beberapa kawasan tumpuan utama seperti Kompleks PKNS, Wisma MBSA dan sebagainya dengan perhentian Dataran Bandaraya menjadi perhentiannya.

Laluan ke kawasan Bangunan SUK hanya akan dilalui pada waktu bekerja biasa iaitu dari pukul 6:30 pagi ke 6:30 petang untuk hari Isnin hingga Jumaat kecuali hari kelepasan am. Selain dari waktu tersebut, bas ini tidak akan memasuki kawasan Bangunan SUK sebalik akan terus ke Seksyen 6 melalui Persiaran Pegawai.


Pemberitahuan masa Bas Selangorku Shah Alam melalui Bangunan SUK.


Peta: Laluan Bas Selangorku Shah Alam.


Bas ini kemudian melalui kawasan Seksyen 7 yang mana kawasan ini agak padat dengan perumahan dan juga kawasan komersil baru Shah Alam. Ia juga agak dekat untuk ke i-City iaitu pusat tarikan utama di bandaraya Shah Alam.

Palinng penting, bas ini meliputi juga Hospital Shah Alam yang baru siap, sekali gus memudahkan warga bandaraya Shah Alam untuk mendapatkan rawatan di situ.


Bunting mengenai perkhidmatan Bas Selangorku Shah Alam 
di Stesen Bas Seksyen 2 Shah Alam.

Pemerhatian yang dibuat, tidak seperti perkhidmatan sama di Klang, Kajang dan Ampang Jaya, hampir kebanyakan perhentian Bas Selangorku Shah Alam ini mempunyai pondok menunggu yang berbumbung kecuali di beberapa tempat sahaja yang tidak mempunyainya seperti di Stesen KTM Komuter Shah Alam. 

Memandangkan bandaraya Shah Alam ini mempunyai banyak sekolah, perkhidmatan ini juga dapat memudahkan pelajar-pelajar untuk ke sekolah. Selain itu, bas ini melalui pejabat-pejabat kerajaan dan premis swasta, memudahkan bukan sahaja warga Shah Alam tetapi semua orang untuk berurusan.

Perkhidmatan bas ini juga melalui beberapa kawasan tarikan pelancongan seperti i-City dan Taman Tasik Shah Alam serta beberapa tempat-tempat lain, sekali gus dapat mempromosikan Shah Alam sebagai salah satu destinasi perlancongan. Ini amat memudahkan pengunjung-pengunjung datang tanpa perlu membawa kenderaan sendiri.

Sememangnya perkhidmatan Bas Selangorku di Shah Alam ini, selain menjimatkan pengguna-penggunanya kerana ia percuma, malah ia menjadi pemangkin kepada pelbagai kegiatan ekonomu yang dapat memajukan kawasan Shah Alam dan paling penting, sistem pengangkutan di Shah Alam dapat dimajukan lagi.



Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan...



Click here if want to read in English version.