Jumaat, 27 Januari 2017

Hari 4 Bahagian 2 & Hari 5 (Tehran & Isfahan, Iran - 05 hingga 09 Januari 2017) - !خداحافظ تهران (Khada Hafaz Tehran! - Selamat Tinggal Tehran!)).

If want to read in English: 
  • PreJourney; 
  • Itinerary;
  • Travel Guide Tehran; 
  • Travel Guide Isfahan; 
  • Day 1;
  • Day 2 Part 1;
  • Day 2 Part 2;
  • Day 3;
  • Day 4 Part 1; or
  • Day 4 Part 2 & Day 5 (this part).
Masjid/Makam Imam Khomeini.

Petunjuk: Waktu di Iran adalah UTC +3.5 iaitu empat setengah jam lebih lewat dari waktu Malaysia (UTC +8). Contohnya jika di Malaysia pukul 12:00 tengahari, di Tehran pula pukul 7:30 pagi.


Hari 4 (08 Januari 2017 - Ahad) Bahagian 2.

Setelah menaiki metro dengan kesesakan orang ramai kira-kira dalam setengah jam lebih, kami sampai juga ke Stesen Panzdah-e Khordad. Memandangkan kebanyakan kami, malah Haji Halig dan Haji Kadir yang cash rich itu pun sudah kekurangan wang terutama rial Iran, maka demi memudahkan, cepat dan selamat, kami ke sebuah cawangan Bank Tarjarat yang ada berdekatan dengan tangga stesen metro itu. Sebenarnya di kawasan itu terdapat banyak cawangan bank, jadi kita boleh sahaja pilih mana-mana bank yang ada. 

Di dalam bank itu, memang terasa seperti di cawangan bank besar yang lama di Kuala Lupur (terutama bank luar negara seperti Standard Chartered) satu ketika dahulu. Jadi saya ke salah sebuah kaunter bank, dan nasib baik petugas kaunter tersebut boleh berbahasa Inggeris. Jadi saya bertanya, mereka boleh menukarkan wang asing kepada rial Iran. Alhamdulillah, katanya boleh. Jadi saya serahkan wang Dolar Amerika Syarikat saya untuk ditukar. Setelah dikira dan diproses, akhirnya saya mendapat wang rial Iran dengan kadar tukaran US$1.00 bersamaan 38,500 rial, lebih baik dari kadar hotel penginapan kami.

Seterusnya diikuti yang lain pun sama. Masing-masing ingin menukarkan duit. Akhirnya semua dapat menukarkan duit dan kini mempunyai sejumlah wang rial Iran yang dirasakan mencukupi. Jadi dapatlah kami berbelanja nanti. Tapi sebelum berbelanja, saya cadangkan agar kami membayar dahulu penginapan, kerana masa pun sudah pukul 11:00 pagi. Nanti takut duit belanja habis dan kami melewati masa daftar keluar. Jadi saya kumpulkan wang baki daripada semua ahli-ahli kembara dan juga wang untuk penginapan dua malam selepas itu dari kedua-dua Haji Halig dan Haji Kadir.

Selepas mengira wang tersebut mencukupi, maka saya meminta agar kesemua mereka menunggu di lobi bank ini dan saya berlari (berjalan laju sebenarnya) untuk ke hotel bagi menyelesaikan hutang kami kepada mereka. Jadi saya berlari dan berjalan laju.. Dalam perjalanan, saya ternampak pintu masuk ke Istana Golestan (Farsi: کاخ گلستان‎‎) yang mana saya sebenarnya melalui Jalan Panzdah-e Khordad. Dalam sepuluh minit, sampai juga saya ke hotel itu dan saya terus ke kaunter dan menyelesaikan baki pembayaran penginapan kami serta melanjutkan penginapan bagi bilik berdua. Saya serahkan terus kad kunci bilik berlima dan juga memberikan kad kunci bilik berdua untuk dilanjut pas kemasukan untuk dua hari seterusnya. Alhamdulillah selesai.

Setelah selesai, saya pun kembali semula ke bank tadi melalui depan Bazaar Besar. Agak ramai juga orang pada ketika itu. Lebih kurang dalam 40 minit juga mereka menunggu saya sejak saya meninggalkan mereka. Jadi seterusnya kami pun ke Bazaar Besar tanpa sebarang bertangguh lagi.

Pertamanya, kami singgah di sebuah kedai menjual jus buah yang bila melihat warnanya yang seolah-olah menarik kami untuk membeli dan meminumnya. Bukan apa, warnanya agak segar dan nampak seperti jus buah sebenar dan bukan kordial atau cair dicampur dengan air. Saya memesan jus buah tembikai susu (honey dew) dan isteri saya jus buah delima. Rakan-rakan lain memesan pelbagai jenis buah lain seperti mangga dan oren. Harga bagi jus-jus tersebut berbeza-beza dari 30,000 rial (+- RM 3.53) ke atas. Bagi jus buah tembikai susu, buah delima dan mangga berharga 40,000 rial (+- RM 4.71) secawan manakala buah oren pula 30,000 rial (+- RM 3.53). 

Apabila saya menghirup jus buah tembikai susu saya, huh, enak betul, seumpama terasa di syurga. Dengan pekat rasa buah tembikai susu dengan rasa manis buah yang sempurna juga serat buah yang hancur sepenuhnya, saya rasa inilah jus buah tembikai susu terbaik, tersedap dan terenak yang pernah saya rasai. Rasanya, dengan rasa jus ini, berbaloi saya datang ke Tehran ini. Walaupun mahal sikit berbanding di Malaysia, tapi rasanya memang tidak boleh lawan.

Kemudian saya merasai jus buah delima, yang warna merah hati yang pekat dan segar. Rasanya juga agak sedap dan asli cuma agak kelat sikit. Mungkin kerana diperah kuat dengan kulit dan serat yang menyebabkan jus kulit dan serat terkeluar bersama. Jus mangga yang dibeli abang Zul juga saya rasai, huh memang pekat dan sedap serta manis. Macam minum air jus mangga Nadec atau Rani di Makkah sahaja. Memang terbaik.

Bukan hanya buah-buahan yang saya katakan tadi, buah-buahan lain juga ada seperti pisang, epal, nenas, strawberri dan banyak lagi. Sayur-sayuran juga ada seperti lobak merah, tomato, batang salderi dan banyak lagi. Malah boleh campur juga. Memang berbaloi minum jus-jus yang dibuat di kedai-kedai yang ada di kawasan Bazaar Besar Tehran ini.

Kami menikmati jus kami di dataran di depan pintu masuk utama Bazaar Besar ini. Pada masa itu saya ada terlihat terdapat sebilangan orang sedang solat berjemaah di dataran ini. Kami pun hairan solat apa, kerana rasanya waktu Zohor masih belum masuk. Kalau ikutkan mahzab Syiah ini tidak menggalakan solat sunat secara berjemaah, wallahu aklam. Namun kami lihat sahaja. 

Usai sahaja menikmati jus yang terbaik itu, kami pun mula masuk ke dalam Bazaar Besar Tehran ini. Di sini kami berpisah agar masing-masing dapat mencari apa yang hendak dibeli dengan kepuasan hati mereka. Saya memaklumkan agar paling lambat mereka boleh berada di Bazaar ini sehingga jam 4:00 petang kerana bagi berlima yang perlu pulang ke Malaysia petang ini, perlu bergerak ke lapangan terbang sekitar waktu itu. Lagipun saya sudah maklumkan bagaimana hendak pulang ke hotel, berdasarkan jalan yang kami gunakan untuk ke stesen metro Panzdeh-e Khordad tadi. Harap mereka ambil maklum.

Jadi saya dan isteri berjalan-jalan di beberapa lorong di Bazaar ini. Sebenarnya Bazaar Besar Tehran amat besar, iaitu seluas 10 kilometer persegi! Terdapat banyak lorong utama dan kemudian di lorong-lorong ini terdapat cabang-cabang. Nasib baik lorong-lorong yang di masuki mempunyai bumbung. Terdapat banyak barang yang boleh diperolehi dan kebanyakannya mempunyai zon-zon khas.

Saya mencari juga kedai-kedai yang menjual cenderahati-cenderahari kecil-kecil yang biasa dijual di tempat tarikan pelancongan seperti rantai kunci, magnet peti ais kemeja-T yang bertemakan pelancongan dan sebagainya, tetapi tidak jumpa. Jika ada kedai menjual kemeja-T, ia adalah kemeja-T biasa, tiada keunikan yang menunjukan imej Tehran, Iran atau tempat-tempat di Iran. Kebetulan kami ada terjumpa sebuah gerai menjual magnet peti ais tetapi banyak imej Persopolis yang terletak di Shiraz yang tidak kami pergi. Namun terdapat juga satu jenis yang berimejkan Menara Azadi. Harga satu unit adalah 100,000 rial (+- RM 11.76)! Agak mahal, namun hendak buat macam mana, saya pun belilah tiga unit (kerana ada jiran yang memesan untuk membelinya).

Seterusnya, kami berjalan-jalan lagi. Dapat melihat banyak barang perhiasan tembaga, permaidani, pinggan mangkuk yang mewah dan sebagainya. Macam manalah hendak beli dengan membawa beg galas. Jadi terpaksa kami tengok sahaja. Sambil berjalan-jalan itu, kami ternampak juga kedai pengurup wang yang agak tersembunyi, di mana jika jalan di depan kedai baru jumpa. Selain itu, di jalan utama depan bazaar ini, terdapat juga orang yang membawa beg di samping tangannya memegang wang-wang asing ini. Dengan mereka ini juga kita boleh menukar wang asing kepada Rial Iran. Kiranya mereka ini pengurup wang bergeraklah. Kadar tukaran saya tidak pasti kerana tidak sempat untuk melihat atau bertanya, tapi rasanya lebih baik tukar di sini.

Kami kemudian ke kawasan dataran utama untuk makan tengahari. Melihat gelegat petugas restoran menyediakan syawarma atau kebab beroti menarik perhatian kami. Kami pun memesan dua jenis kebab beroti, satu daging lembu sahaja dan satu lagi campur daging lembu dan ayam. Kemudian kami masuk ke dalam restoran tersebut untuk duduk di meja makan. Pesanan perlu dibayar dahulu dan resit diberikan untuk kita berikan kepada tukang penyedia kebab tadi. Minuman, kami ambil minuman ringan dan air mineral botol sahaja. Jumlah semua adalah 265,000 rial (+- RM 31.18), di mana setiap kebab berharga kira-kira 110,000 rial (+- RM 11.76). 

Apabila kami mendapat kebab masing-masing, huh, besar yang amat. Dibandingkan dengan kebab di Malaysia yang menggunakan roti hotdog, kebab di Tehran ini adalah kira-kira lima kali ganda lebih besar, dan kandungan dagingnya, amat banyak. Kami makan di meja makan. Isteri saya amat suka makan dengan sos tomato kerana sos tomatonya amat sedap dan berbeza dengan sos tomato di Malaysia. Kami tidak dapat habis makan, di mana saya yang kaki makan ini pun makan tidak sampai separuh. Isteri saya lagilah, rasanya cuma makan suku sahaja, huhuhu.

Selepas itu kami ingin pulang semula ke hotel, namun singgah di beberapa kedai dengan membeli beberapa barang yang tidak jumpa di Malaysia tetapi agak ringan untuk dibawa, seperti kami membeli saprah (alas) plastik yang sepanjang 15 meter, berharga 60,000 rial (+- RM 7.06). Mudah kalau makan pakai saprah ini, boleh digunakan dengan mengelap dan tidak perlu dibasuh. Kalau hendak pakai buang pun boleh. Siapa yang pernah makan di negara Timur Tengah, pasti akan tahu saprah plastik ini. Malah boleh makan terus atas saprah ini seperti makan makanan laut shell out yang menjadi tren di Malaysia ketika ini. Ada beberapa lagi barang dibeli dan kami pun pulang ke hotel.

Jus buah tembikai susu (honey dew) segar.

Jus buah delima segar.

Kedai menjual jus segar di Bazaar Besar Tehran.

Kami (kecuali Linda yang mengambil gambar) bergambar di depan Bazaar Besar Tehran.

Antara pintu masuk lorong Bazaar Besar Tehran.

Di dalam lorong Bazaar Besar Tehran.

Antara kacang-kacang dan buah-buahan kering dijual di Bazaar Besar Tehran.

Barang-barang perhiasan tembaga di jual di Bazaar Besar Tehran.


Gerai menjual syawarma (kebab beroti) Tehran di Bazaar Besar.

Syawarma Tehran yang besar!

Kami sampai di hotel dalam pukul 1:00 petang, jadi kami terus ke bilik untuk bersolat dan mengemas beg kami. Kami adalah orang pertama yang sampai di hotel, kebetulan saya yang pegang kunci, jadi memudahkan. Setelah selesai, kami sempat melelapkan mata. Pada pukul 2:00 petang, geng orang pencen pulang, dan kami keluar bilik dengan membawa beg kami siap-siap. Kami tunggu di lobi hotel sahaja dan menonton televisyen yang pada ketika itu menceritakan tentang Revolusi Islam Iran yang diketuai Imam Khomeini. Semacam tahu yang kami akan singgah ke makamnya nanti. Cuma kisah drama itu menggunakan Bahasa Farsi jadi tidaklah faham sangat, tapi jalan ceritanya boleh difahami.

Pada pukul 2:30 petang, Linda dan Najib pun sampai di hotel, makan giliran mereka pula dan geng orang pencen pula turun ke lobi dengan abang Zul membawa begnya juga. Jadi sempat jugalah kami mengambil gambar kenang-kenangan di hotel ini. Dalam pukul 3:15 petang, semua yang perlu pulang ke Malaysia telah siap sedia untuk meninggalkan hotel. Kamipun bersalaman dan berpelukan (mana yang boleh) dengan Haji Halig dan Haji Kadir. Kami mengucapkan selamat tinggal kepada mereka berdua dan selamat sepanjang perjalanan lagi dua hari di Tehran ini.

Kami pun meninggalkan hotel menuju ke Stesen Metro Panzdeh-e Khordad tetapi tidak melalui jalan di depan Bazaar kerana dikhuatiri orang agak ramai. Dalam perjalanan, terdapat banyak gerai sedang didirikan di jalan menghala ke Bazaar, berhampiran dengan hotel. Rupanya terdapat pasar malam, rasanya ia diadakan setiap malam. Rugi pula tidak jalan pada malam semalam. Oleh kerana perniagaannya belum dimulakan, jadi kami teruskan perjalanan.

Kami melalui kawasan belakang Istana Golestan. Di dalam itu, kami terjumpa maskot Spongebob Squarepant sedang berjalan di seberang jalan. Menariknya, maskot setinggi manusia itu, melambat ke arah kami. Kami pun melambainya. Agaknya kalau anak-anak saya ada, mahu suka betul mereka. Dalam perjalanan ini juga, kami terjumpa salah satu pintu masuk ke Taman Shahr, antara taman yang terbesar di Tehran. Selepas 20 minit berjalan dengan menggalas beg galas, sampailah kami di Stesen Panzdeh-e Khordad.

Kami membeli tiket metro (7000 rial (+- RM 0.82)/orang) untuk ke Stesen Haram-e Motahhar (Farsi: ایستگاه مترو حرم مطهر), iaitu mengambil tren Laluan 1 (merah) menghala ke Kahrizak (Farsi:  کهریزک ), iaitu ke arah selatan. Stesen Haram-e Motahhar ini merupakan stesen kedua terakhir (stesen terakhir adalah Kahrizak) dan ia adalah 11 stesen dari Stesen Panzdeh-e Khordad. Semasa menaiki tren di Panzdeh-e Khordad, orang agak ramai dan sesak seperti biasa, namun semakin keluar dari pusat bandar, orang semakin surut. Selepas 40 minit, akhirnya kami sampai di Stesen Haram-e Motahhar.

Saya di depan kaunter hotel sebelum bertolak untuk ke lapangan terbang.

Gerai-gerai pasar malam sedang disiapkan di kawasan depan Bazaar Besar Tehran.

Terjumpa Spongebob Squarepant yang sedang berjalan di jalanan Tehran.

Antara pintu masuk ke Taman Shahr.


Peta: Perjalanan Metro Tehran dari Stesen Panzdeh-e Khordad ke Stesen Haram-e Motahhar.


Tujuan kami berhenti singgah di Stesen Haram-e Motahhar adalah untuk melawat Makam Imam Khomeini, maklumlah sudah beberapa kali melalui Lebuhraya Tehran-Qom dan terlihat makan ini dari lebuhraya. Imam Khomeini ini adalah seorang pemimpin utama di dalam mahzab Syiah di Iran. Dia mencapai taraf Ayatollah dan Imam iaitu tahap tertinggi ulama di dalam mahzab Syiah. Beliau juga merupakan ikon utama yang menjadi semangat Revolusi Islam Iran pada tahun 1979 yang menjatuhkan pemerintahan Shah Iran pada masa itu, Shah Reza. Selepas itu, beliau menjadi Pemimpin Agung Iran dari kejatuhan pemerintahan diRaja Iran pada tahun 1979 sehingga kematian beliau pada tahun 1989. Beliau disemadikan di kawasan ini. Semenjak itu makam ini menjadi kunjungan ramai.

Pada awalnya, saya menemani isteri saya yang tidak berapa larat setelah bersesak di dalam tren metro tadi. Hanya abang Zul, Linda dan Najib sahaja pergi. Ini mungkin kerana melihat agak jauh untuk pergi. Namun setelah melihat terdapat buggy membawa mereka dari pintu masuk, maka kami pun pergi ke pintu masuk dan menunggu buggy tersebut. Kami menunggu tidak lama, buggy pun sampai dan membawa kami ke kawasan masuk ke dalam makam ini. Sebenarnya makan ini juga merupakan masjid.

Apabila sampai sahaja di kawasan masuk ke makam, saya lihat terdapat pemeriksaan beg. Lagipun perlu lagi masuk ke dalam dan juga ditambah pada masa itu hendak masuk waktu Maghrib. Kami sebolehnya tidak hendak bersolat jemaah dengan penganut Syiah, mengambil keputusan untuk berpatah balik. Jadi kami menunggu buggy dan kemudian buggy membawa kami ke pintu masuk menghala ke stesen metro. Dalam perjalanan, sempat juga mengambil gambar walaupun tidak cantik. Kami menunggu (sambil duduk di bangku yang ada di situ) rakan-rakan yang masuk di pintu masuk dekat sejam juga. Jadi kami berdua-dua sambil melihat matahari tenggelam di bumi Iran.

Selepas dekat sejam, dan hari pun sudah gelab juga tambahan cuaca yang begitu sejuk, akhirnya kembali juga rakan-rakan yang pergi "menziarahi" makam tersebut. Mereka menceritakan pengalaman dengan mula-mula beg diperiksa agak terperinci dan juga pengalaman di dalam ruang solat di mana di tengah-tengahnya terdapat makam Imam Khomeini. Terdapat video yang diambil, jadi saya dapat kongsi yang itu sahaja.


Stesen Metro Haram-e Motahhar.

Masjid/Makam Imam Khomeini.

Video: Kibaran Benderan Iran di Makam Imam Khomeini (Kredit Najib (FB: Are'jeeb Al-Hambra).


Suasana matahari terbenam di kawasan Makam Imam Khomeini.

Perkhidmatan buggy percuma di Makam Imam Khomeini.

Kubah dan menara emas Masjid/Makam Imam Khomeini..

Antara pintu ke makam yang sedang proses pembaikan.


Antara pintu ke makam yang sedang proses pembaikan.

Video: Keadaan di dalam Masjid/Makam Imam Khomeini (Kredit Najib (FB: Are'jeeb Al-Hambra).


Makam Imam Khomeini pada waktu malam.


Seterusnya, kami kembali ke kawasan stesen metro untuk mencari pengangkutan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Imam Khomeini (IKA). Bas mini yang dikatakan mungkin sudah habis masa operasi atau kami sengaja dimaklum begitu oleh orang-orang di situ agar mengambil perkhidmatan mereka. Jadi memandang hari semakin sejuk, kami mengambil sahaja perkhidmatan prebet sapu (kereta biasa yang dibuat teksi) dengan bayaran 500,000 rial (+- RM 58.82). Jadi kami berlima boleh berkongsi menjadi 100,000 rial (+- RM 11.78) setiap orang. Namun kami akan menjadi berenam jika termasuk dengan pemandu. Namun pemandu itu berkata boleh sahaja, jadi disusun kami dengan saya memangku isteri saya di belakang.

Selepas kami berjaya menyusun diri kami, maka kereta tersebut memecut meninggalkan kawasan Stesen Haram-e Motahhar menuju ke IKA. Kereta tersebut dibawa seumpama Dominic Toretto (Vin Diesel) di dalam siri filem Too Fast Too Furious. Semuanya gayat kecuali pemandu tersebut dan saya, huhuhu. Ada satu ketika, hadapan kereta ini hampir melanggar kereta hadapan. Namun setelah 20 minit, sampai juga kami di IKA, alhamdulillah.

Sampai di IKA, kami duduk berehat dan bersolat di surat di aras G sementara menunggu waktu untuk mendaftar masuk dibuka iaitu tiga jam sebelum waktu jangkaan penerbangan berlepas. Ketika itu baru pukul 6:30 malam jadi masih ada 2 jam setengah lagi. Jadi kami terus berehat di situ.

Pada pukul 9:20 malam, kami pun naik ke aras 1 iaitu ke balai berlepas. Kami menukar wang Rial Iran yang ada kepada Dolar Amerika Syarikat, kerana mereka tidak mempunyai stok yang cukup untuk menukar kepada Ringgit Malaysia. Namun saya ada menyimpan beberapa jenis wang Rial Iran untuk dijadikan koleksi saya, sebagaimana yang saya kongsikan di bawah.

Seterusnya, kami melalui pemeriksaan keselamatan terlebih dahulu sebelum masuk ke kawasan kaunter daftar masuk penerbangan. Setelah selesai beg kami dan kami sendiri diimbas, kami pun beratur di kaunter daftar masuk untuk mendapatkan pas pelepasan. Di sini alhamdulillah, beg kami yang kami akan bawa ke kabin pesawat tidak ditimbang.

Setelah selesai, kami pun masuk ke kawasan kaunter imigresen untuk prosedur keluar dari Iran dan kemudian kami masuk ke dalam kawasan airside. Di dalam ini terdapat banyak juga kedai, terutama kedai bebas cukai. Kami terus ke pintu pelepasan kami iaitu pintu 12. Namun sebelum sampai ke pintu pelepasan tersebut, kami perlu melalui pemeriksaan keselamatan sekali lagi. Cuma di sini terdapat pemeriksaan berasingan untuk penumpang wanita dan lelaki. Pemeriksaan wanita lebih tertutup. Setelah itu barulah kami dapat ke kawasan pintu pelepasan. 


  Peta: Perjalanan berkereta dari Stesen Metro Haram-e Motahhar ke LTA Imam Khomeini.


1000 rial = +-RM0.13

2000 rial (syiling) = +-RM0.25

5000 rial (syiling) = +-RM0.63

5000 rial (kertas) = +-RM0.63

20 000 rial = +-RM2.50

100 000 rial = +-RM12.50

500 000 rial = +-RM62.50

Cop pasport keluar Iran.

Pas pelepasan penerbangan D7 777 09 Januari 2017.


Sampai di di depan pintu pelepasan 12, kami memilih untuk duduk di kerusi baring yang terdapat di situ. Sambil mengambil barang di beg isteri saya, terdapat sekotak susu kotak dikeluarkan. Saya terkejut, ia boleh terlepas. Sudah rezeki isteri saya. Jadi kami pun berehat di situ sementara menunggu penerbangan kami. Sempat juga saya terlelap menghilangkan mengantuk. Selesa juga kerusi baring yang disediakan di sini.

Kami menunggu di kerusi baring di kawasan pintu pelepasan 12, IKA.

Papan kenyataan penerbangan di pintu pelepasan 12, IKA.



Hari 5 (09 Januari 2017 - Isnin).

Penerbangan kami dilewatkan sejam dari masa sepatutnya. Pada pukul 12:30 tengah malam, barulah kami dibenarkan untuk memasuki pintu pelepasan. Kemudian kami beratur untuk menaiki bas untuk dihantar ke pesawat. Krew-krew penerbangan ini adalah krew yang sama dengan penerbangan kami datang ke Tehran tempoh hari.

Bilangan penumpang penerbangan ini tidak memenuhi pesawat, dan saya dapat duduk di satu barisan kerusi di belakang tempat duduk sepatutnya saya dan isteri saya duduk, yang mana isteri saya akan mengambil satu barisan terus. Jadi kami boleh tidur melunjur kaki. Alhamdulillah.

Pada pukul 1:00 pagi, akhirnya pesawat 9M-XXZ, iaitu pesawat yang sama yang digunakan ketika penerbangan kami ke Tehran kelmarin, berlepas meninggalkan bumi Iran. Bilalah kami akan datang lagi ke bumi yang mempunyai tinggalan tamadun ini. Semoga kami dapat ke sini lagi, insya Allah.

Pada penerbangan ini, saya meminta untuk makan kesemua hidangan kami pada hidangan pertama, agar tidak terjadi hidangan kering sebagaimana penerbangan kami ke Tehran tempohari. Juga untuk penerbangan ini, tiada lagi hidangan percuma.

Oleh kerana penerbangan ini menghala ke timur, maka siangnya agak cepat. Jadi semasa gelap, saya dapat juga terlelap sejam dua sebelum hari siang. Selepas empat jam penerbangan, sinar mentara mula memancar di ufuk timur. Jadi saya mengambil botol spray wuduk untuk mengambil wuduk dan bersolat subuh pada ketika itu. Lepas itu saya kejut isteri saya untuk gilirannya pula. Selepas itu, saya pun duduk di tepi tingkap untuk menikmati permandangan di bawah.

Pesawat AirAsia X sedang meluncur di angkasa menuju ke klia2.

Video: Pesawat AirAsiaX D7 777 mendarat di klia2 (LCCT KL) dari Tehran. 


Peta Laluan Pesawat AirAsiaX D7 777 09 Januari 2017 daripada FlightRadar24.

Setelah tujuh jam lebih berada di atas angkasa, akhirnya kami sampai di pintu Q6 klia2 pada pukul 1:20 tengahari. Kami pun berjalan pantas menuju ke mesin pemeriksaan imigresen automatik. Ketika itu, saya melihat kaunter untuk bukan warganegara Malaysia amat sesak di setiap kaunter. Tidak pernah saya melihat ia sesesak ini. Banyak juga orang luar datang ke Malaysia atau transit di klia 2 ini. Nasib baik mesin automatik untuk pemegang pasport Malaysia tidak sesak begitu. 

Sampai di balai ketibaan, Najib berpisah dengan kami, dan kami yang lain ke surau untuk solat. Setelah itu kami ke terminal bas untuk menaiki bas. Linda membeli tiket bas untuk ke Batu 3 Jalan Ipoh manakala kami yang lain menaiki bas shuttle untuk ke KL Sentral. Kami cuma menunjukan tempahan tiket penerbangan AirAsia kami yang tercatat tempahan bas kepada konduktor di pintu bas dan kami diberikan tiket bas pukul 2:30 petang. Namun bas ini bertolak pada pukul 2:20 petang kerana sudah penuh.


Kami berswafoto setelah tiba di klia2.



Tiket Bas Shuttle Skybus klia2-KL Sentral.

Sampai kami di KL Sentral pada pukul 3:40 petang kerana terdapat kesesakan sebelum tiba di KL Sentral. Kemudian kami berpisah dengan abang Zul dan kami singgah makan di Burger King KL Sentral. Usai makan, kami menaiki LRT dan kemudian sampai di stesen LRT berdekatan rumah kami, kami menaiki pula bas pengantara RapidKL untuk sampai ke rumah kami pada pukul 4:40 pagi.

Alhamdulillah, selamat juga kembara kami buat kali ini. 

Secara amnya, Iran tidaklah seteruk yang dikatakan orang. Malah bagi saya ia terbalik 360o! Orang Iran memang baik hati dan sudi menolong orang di dalam kesusahan.

Tempat tarikan perlancongan utama juga agak cantik dan dijaga. Memang jika kita ke sana, umpama kita berada di pusat peradapan dunia.

Di kawasan bandar di Iran, persekitaran amat bersih. Jarang kita berjumpa dengan sampah sarap yang bersepah di jalanan. Malah aliran air sungai/anak sungai amat bersih, sehingga terasa hendak terjun mandi! Tong sampah pun susah hendak jumpa. Namun di sekitar lebuhraya/jalan raya terdapat juga sampah sarap bersepah, mungkin kerana kurang penyelengaraan.

Paling penting, Iran amat selamat untuk dikunjungi. Tiada perang besar yang berlaku, kali terakhir pun berakhir kira-kira 29 tahun lalu itupun dengan jirannya Iraq. Perang saudara atau pergaduhan tidak didengari, saya pun hairan kenapa kebanyakan syarikat insurans dan takaful tidak memberi perlindungan bagi perjalanan ke Iran. Mungkin kerana sekatan ekonomi oleh Amerika Syarikat dan sekutu agaknya.

Saya kagum dengan kegigihan rakyat Iran mengharungi hidup walaupun dalam keadaan ekonomi yang mencengkam.

Datanglah ke Iran, banyak perkara yang diselubungi dari pengetahuan umum akan diketahui. Kebenaran akan tersingkap, insya Allah.

Semoga berjumpa lagi pada catatan yang lain. Insya Allah doakan saya selamat bagi kembara saya yang seterusnya. 


KembaraGD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan.

Jika mahu lihat: 

If want to read in English: 

  • PreJourney; 
  • Itinerary;
  • Travel Guide Tehran; 
  • Travel Guide Isfahan; 
  • Day 1;
  • Day 2 Part 1;
  • Day 2 Part 2;
  • Day 3;
  • Day 4 Part 1; or
  • Day 4 Part 2 & Day 5 (this part).

Khamis, 26 Januari 2017

Hari 4 Bahagian 1 (Tehran & Isfahan, Iran - 05 hingga 09 Januari 2017) - Malezi? So Happy! (Orang Malaysia? Gembira Sangat!)).


If want to read in English: 
  • PreJourney; 
  • Itinerary;
  • Travel Guide Tehran; 
  • Travel Guide Isfahan; 
  • Day 1;
  • Day 2 Part 1;
  • Day 2 Part 2;
  • Day 3;
  • Day 4 Part 1 (this part); or
  • Day 4 Part 2 & Day 5.


Saya dan Menara Azadi.

Petunjuk: Waktu di Iran adalah UTC +3.5 iaitu empat setengah jam lebih lewat dari waktu Malaysia (UTC +8). Contohnya jika di Malaysia pukul 12:00 tengahari, di Tehran pula pukul 7:30 pagi.


Hari 4 (08 Januari 2017 - Ahad) Bahagian 1.

Sebagai mana malam sebelumnya, saya bangun dari tidur agak awal. Sekitar pukul 3:00 pagi. Oleh kerana cuba untuk melelapkan mata, namun masih tidak boleh untuk tidur, jadi saya melayari internet dengan telefon bimbit dan komputer riba yang saya bawa. Saya menggunakan kemudahan WiFi yang disediakan oleh pihak hotel. Oleh kerana aplikasi VPN (Virtual Private Network - Rangkaian Peribadi Maya) di dalam telefon bimbit saya seperti tidak boleh digunakan, maka saya memuat turun aplikasi VPN yang baru. Setelah selesai memuat turut, saya mengaktifkan, kemudian, alhamdulillah, saya sudah boleh untuk melayari Facebook, Instagram dan Twitter. Jadi barulah saya boleh mengemas kini status saya di dalamnya. Lega, alhamdulillah. 

Namun memandangkan komputer riba saya merupakan milik majikan saya, yang mana terdapat sekatan untuk memuat turun perisian, maka saya tidak dapat melayari lebih lanjut internet di dalam komputer bimbit. 

Kemudian azan Subuh berkumandang, jadi saya segera menggunakan bilik air sebelum perlu menunggu untuk menggunakannya, maklumlah, kami berlima, dan bilik air cuma satu, jadi akan berlaku kesesakan. Selepas itu, saya pun bersolat Subuh. 

Pada pukul 7:30 pagi, kami semua turun ke restoran yang kami makan malam pada malam sebelumnya untuk bersarapan. Nampak gaya, sarapan di Iran ini lebih kurang sama sahaja, memang serupa sahaja dengan Hotel Kaveh di Isfahan yang kami menginap tempoh hari. Cuma ada lebih sedikit dengan roti nan mempunyai dua jenis, ditambah dengan sup kacang (macam kacang dal tetapi berwarna hitam) dan jem pula ada pelbagai jenis yang mana memang tidak dijumpai di  Malaysia.

Najib membawa sup cendawan Campbell's bersama, jadi adalah sedikit makanan yang biasa. Oleh kerana hari agak sejuk, jadi saya makan banyak sikit agar boleh tahan untuk hari ini. Sambil-sambil itu, memandangkan saya sudah boleh menggunakan Facebook saya, maka saya pun membuat siaran langsung, ia diikuti di https://www.facebook.com/hadiasad/videos/10211511484886554/. Cuma saya meminta maaf kerana siaran langsung ini tidak mempunyai suara, mungkin ada masalah liputan internet atau masalah VPN.

Bufet sarapan kami, ala Farsi.

Roti Iran macam roti nan.


Usai bersarapan, kami pun naik semula ke bilik kami dan mengemas beg kami. Ini kerana kami akan mendaftar keluar bilk berlima ini. Bilik ini hanya untuk semalam sahaja. Lagipun lima dari kami akan pulang ke Malaysia pada sebelah malamnya, manakala Haji Halig dan Haji Kadir akan tinggal untuk dua hari nanti.

Setelah selesai mengemas beg masing-masing, kami memindahkan buat sementara ke bilik berdua. Sebenarnya kedua-dua bilik ini berada di tingkat berbeza, bilik berlima terletak di tingkat lima, manakala bilik berdua pula berada di tingkat tiga. Jadi agak remeh sedikit juga. Akhirnya selesai juga urusan remeh ini, dan cuba untuk mendaftar dengan cuba menukar Dolar Amerika Syarikat dengan Rial Iran di kaunter hotel, namun pada pagi ini, pihak hotel berkata, mereka tiada wang tukar. Pulak dah! Jadi tidak dapatlah untuk daftar keluar. Nampak gaya, perlu menukar wang di tempat lain dan kembali sebelum pukul 1:00 tengahari, iaitu waktu paling lambat untuk daftar keluar.

Seterusnya, pada pukul 9:00 pagi, kami pun berjalan bersama-sama menuju ke Stesen Metro Panzdeh-e Khordad melalui Bazaar Besar Tehran. Cuaca pagi ini agak baik namun agak sejuk juga. Memang indah permandangan sepanjang perjalanan. Banyak kedai masih belum buka dan orang pun agak kurang pada masa ini. Sampai di depan kawasan Bazaar Besar, kelihatan kami yang melawan arus orang ramai yang mungkin ke kedai masing-masing untuk membuka kedai mereka. Selepas lima belas minit berjalan, kami pun sampai di stesen metro.

Hotel penginapan kami di Tehran, Hotel Shahriyar.

Jalan Saadi, Tehran, di mana terdapat banyak hotel kos sederhana.

Bunga yang mekar di musim sejuk.

Sebuah dataran sekitar kawasan Bazaar Besar Tehran.

Salah sebuah pintu ke Istana Golestan (tutup).

Suasana pagi musim sejuk di Tehran.

Suasana pagi musim sejuk di Tehran.

Salah satu lorong Bazaar Besar Tehran.

Suasana pagi musim sejuk di Tehran.

Dataran utama Bazaar Besar Tehran.

Peta: Berjalan kaki dari Hotel Shahriyar ke Stesen Metro Panzdeh-e Khordad.

Kami jangkakan, orang yang menggunakan perkhidmatan Metro Tehran ini agak kurang, tapi meleset. Orang agak ramai dan tren agak padat. Ketika ini barulah kami perasan, bahawa terdapat koc khas untuk wanita di kedua-dua hujung tren. Jadi kami mengambil koc yang berdekatan agar masing-masing kami boleh masuk ke koc mengikut jantina, tetapi masuk pintu berdekatan, agar setiap kami boleh melihat masing-masing. 

Memang sangat padat tren metro pada pagi ini, sampai saya hampir tidak masuk ke dalam tren. Susah juga bila ketua kembara terlepas, takut rakan-rakan pengembara hilang arah pula, huhuhu. Namun saya tetap bertegas, dapat juga saya menaiki tren metro.

Destinasi kami pada pagi ini adalah mercu tanda utama Tehran iaitu Dataran Azadi (Farsi: میدان آزادی  - Meydan Azadi). Jadi untuk ke sana, kami akan menaiki tren Metro Tehran Laluan 1 (merah) menghala ke Tajrish dengan melalui 3 stesen untuk turun di Stesen Davazeh Dowlat. Kemudian di stesen ini, kami transit ke Laluan 4 (Kuning) arah Ekbatan/Eram-e Sabz (Farsi: اکباتان / ارم سبز  ) dan kemudian melalui 8 stesen dan turun di Stesen Meydan Azadi. Tambang sehala cuma 7000 rial (+- RM 0.82) sahaja.

Semasa transit di Stesen Davazeh Dowlat ke Laluan 4, sekali lagi perlu merempuh kesesakan di dalam tren. Namun dapat juga memasukinya. Kemudian semakin hampir ke destinasi, kesesakan di dalam tren berkurangan.

Najib di dalam sebuah stesen Metro Tehran.

Papan kenyataan laluan 1 Metro Tehran di stesen Panzdah-e Khordad.


  Peta: Perjalanan Metro Tehran dari Stesen Panzdeh-e Khordad ke Stesen Meydan Azadi.


Sampai di Stesen Meydan Azadi, kami pun keluar dan agak hairan juga, pasal di stesen ini, kami tidak melalui pintu hadangan, kerana pintu hadangan hanya untuk memasuki kawasan berbayar sistem metro ini sahaja. Kemudian saya pun keliru untuk pergi ke mana, lalu membawa rakan-rakan mengambil tangga sebelah kiri. Tangga ini sebenarnya membawa kami ke Stesen Bas Terminal-e Gharb. Sepatutnya kami membelok ke kanan selepas keluar dari kawasan berbayar untuk ke tangganya yang agak dekat dengan Dataran Azadi.

Oleh kerana kami silap ambil tangga, maka, kami terpaksa melalui kawasan stesen bas dan kemudian terpaksa melintas jalan dengan mengharungi lalu lintas Tehran yang mana pemanduan kereta di situ agak ganas juga. Jadi saya set dalam minta, kalau di tempat yang lebih teruk lalu lintasnya seperti di Bandaraya Ho Chi Minh di Vietnam dan di Delhi, India pun saya boleh harungi, apalah sangat di Tehran, huhuhu. Akhirnya setelah melintas beberapa batang jalan, akhirnya sampai juga kami di Dataran Azadi ini.

Dataran Azadi ini sebenarnya sebuah bulatan jalan raya yang mana di tengah-tengahnya terdapat Menara Azadi (Farsi: برج آزادی - Burj Azadi). Sebelum Revolusi Iran pada tahun 1979, dataran ini dikenali sebagai Dataran Shahyad (Shah adalah gelaran bagi Raja Iran). Selepas revolusi, ia dikenali dengan nama sekarang yang bermaksud  Dataran Kemerdekaan. 

Menara Azadi pula telah dibina pada tahun 1971 dan ia direka oleh Hossein Amanat yang memenangi pertandingan rekacipta yang telah dianjurkan. Menara yang setinggi 50 meter ini dibina sempena ulang tahun 2500 Empayar Parsi. Marmar yang digunakan didatangkan dari Isfahan. Kedudukan menara ini seumpama mengucapkan selamat datang kepada pengunjung yang datang ke Tehran dari arah barat.

Di tingkat bawah tanah menara ini, terdapat sebuah muzium yang memaparkan sejarah menara ini dan juga kesenian serta kebudayaan. Harga tiket masuk ke dalam muzium ini adalah 150,000 rial (+- RM 17.65), namun kami tidak memasuki ke muzium ini.

Jadi kami sunggu gembira terutamanya saya kerana dengan hadirnya ke menara ini menandakan saya sudah tiba di Tehran. Jadi terkeluar kata-kata dari mulut abang Zul, "Malezi? So happy!" ("Orang Malaysia (Bahasa Farsi)? Gembira sangat (Bahasa Inggeris)!"). Ini terkeluar, kerana kerap kali semasa perjalanan kami ini, orang bertanyakan kami ini orang mana. Kebanyakannya, meneka kami orang China, ada juga yang meneka yang lain seperti Filipino, Thai dan sebagainya. Kami pun menjawab, kami orang Malaysia. Jadi dijawab mereka, "Ooh! Malezi". Agaknya pasal tidak ramai lagi orang Malaysia yang datang ke sini. (Hendak buat macam mana, pasal masih ramai orang Malaysia yang skeptikal dengan status Iran sebagai penganut Syiah, lagipun yang skeptikal itu tidak mempunyai banyak ilmu terutama bab agama (khususnya ilmu fiqh mahupun tauhid), jadi mereka ambil persepsi ikut ilmu dangkal mereka itu. Bagi saya, lebih baik mereka datang sendiri, kerana bagi saya bangsa Farsi ini walaupun mereka Syiah tapi kebanyakan mereka bukan ektremis agama. Eksemis syiah bagi saya adalah syiah Arab atau syiah Hindi (Pakistan). Agaknya jika mereka datang ke Iran, baru terbuka mata hati mereka itu.).

Jadi dari frasa "Malezi? So happy!" itu mengembang menjadi "Malezi? So lazy!", tatkala ada rakan-rakan yang malas atau "Malezi? So crazy!", tatkala kami membuat perkara yang agak gila macam di Dataran Azadi ini.

Sempat juga Najib membuat siatan langsung Facebook yang di Dataran Azadi ini. ia boleh diikuti di https://www.facebook.com/arejeeb.alhamra/videos/10211744289107815/ (kredit Najib (FB: Are'jeeb Al-Hamra).

Di dataran ini juga sempat kami melihat dengan lebih dekat motorsikal di Tehran ini, yang mana kami lihat terdapat perisai angin di depannya. Ia agak unik kerana di Malaysia memang tiada. Lagipun banyak motorsikal di Tehran ini adalah dari jenis jipang. Rupanya ia merupakan motosikal dari India berjenama Arshia yang mengambil teknologi Honda.

Susana di Dataran Azadi tidak berapa sempurna kerana ketika kami hadir ini, kerja-kerja baik pulih dan pengubahsuaian sedang giat dijalankan. Juga dapat diperhatikan, jalan raya di sekitar dataran ini agak sesak pada ketika kami di situ. Kami juga dapat melihat dan mendengar bunyi kapal terbang, ini kerana Lapangan Terbang Mehrabad begitu dekat sekali. Kami berada di dataran ini kira-kira 45 minit. Kemudian kami pun pulang semula ke Bazaar Besar Tehran dengan menaiki semula metro.

Dataran Azadi.

Salji memutih di salah sebuah puncak di Pergunungan Alborz.

Kesesakan jalan raya di Dataran Azadi, Tehran.

Saya dan Menara Azadi.

Video: Saya di Dataran Azadi di Tehran, Iran.

Tangga ke Kompleks Kebudayaan dan Artistik Menara Azadi.

Pelan lantai Kompleks Kebudayaan dan Artistik Menara Azadi.

Kaunter tiket Kompleks Kebudayaan dan Artistik Menara Azadi.

Sepasang motorsikal dengan perlindung.

Jenama motorsikal.

Menara Azadi dari bawah.



Saya dan isteri di hadapan Menara Azadi.


Foto seorang anak kecil Iran.

Jalan menuju ke Stesen Metro Meydan-e Azadi (logo Metro Tehran jelas kelihatan).

Papan tanda stesen Metro Meydan-e Azadi.

Tatkala kami hendak balik, Linda sempat pula mengambil gambar seorang anak kecil Iran yang agak comel.

Kali ini kami balik mengikut pintu stesen metro yang dekat dengan Dataran Azadi. Jadi kami membeli tiket (7000 rial/orang) untuk kembali semula ke Stesen Panzdeh-e Khordad untuk meneruskan perjalanan kami.


Jika mahu lihat: 





If want to read in English: 
  • PreJourney; 
  • Itinerary;
  • Travel Guide Tehran; 
  • Travel Guide Isfahan; 
  • Day 1;
  • Day 2 Part 1;
  • Day 2 Part 2;
  • Day 3;
  • Day 4 Part 1 (this part); or
  • Day 4 Part 2 & Day 5.