Memaparkan catatan dengan label 22 Disember 2016 - Kuala Lumpur Malaysia - LRT Lembah Klang Laluan Kelana Jaya. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label 22 Disember 2016 - Kuala Lumpur Malaysia - LRT Lembah Klang Laluan Kelana Jaya. Papar semua catatan

Sabtu, 24 Disember 2016

Kuala Lumpur, Malaysia - 22 Disember 2016 - LRT Lembah Klang Laluan Kelana Jaya.

Click here if want to read in English version.


Tren empat koc LRT Laluan Kelana Jaya.

Memandangkan saya membuat review bagi perkhidmatan LRT Lembah Klang Laluan Ampang dan Laluan Sri Petaling yang saya mencubanya kembali pada 22 Disember 2016 lepas, sempena 20 tahun perkhidmatanya, saya juga mengambil kesempatan untuk mencuba juga satu lagi sistem LRT yang ada di Lembah Klang sejak tahun 1998 iaitu sistem LRT Laluan Kelana Jaya yang dahulunya dikenali sebagai LRT Putra.

LRT Putra mula menjalankan operasinya pada 01 September 1998 dari Stesen Kelana Jaya ke Stesen LRT yang mana sistem LRT ini merupakan sistem LRT kedua bagi Kuala Lumpur dan Malaysia. Cuma yang menariknya, sistem LRT Putra yang nama Putra itu datang dari nama syarikat yang mempunyai dan mengendalikan operasinya iaitu Projek Usahasama TRansit Aliran ringan Sdn Bhd (PUTRA), anak syarikat yang kepada konglomerat agak besar pada masa itu iaitu Renong Berhad (kini UEM Berhad), menggunakan sistem pengoperasian tren secara automatik iaitu tanpa pemandu yang pertama di Malaysia. Ia dikendalikan secara berpusat di depohnya di Lembah Subang.

Kemudian pada 01 Jun 1999, operasi LRT Putra ini dipanjangkan dari Stesen Pasar Seni ke Gombak (ketika itu dinamakan Terminal Putra), di mana dari Stesen Pasar Seni ke Stesen Damai, laluannya adalah di bawah tanah (tidak termasuk kedua-dua stesen itu). Ini merupakan laluan keretapi bawah tanah pertama di Malaysia. Sejak dari itu, sistem ini beroperasi malah menjadi pilihan utama warga kota Kuala Lumpur kerana ia melalui kawasan KLCC, sehingga pernah rekod ia membawa 230 ribu penumpang dalam sehari. Selain KLCC, LRT Putra ini melalui kawasan Gombak, Keramat, Bangsar dan Petaling Jaya yang mempunyi penduduk yang agak ramai juga.

Sepanjang sejarahnya terdapat banyak peristiwa terutama pengambilalihan pengurusan daripada pihak swasta (PUTRA) kepada pihak kerajaan menerusi Syarikat Prasarana Negara Berhad (kini Prasana Malaysia Berhad - Prasarana). Kini LRT Putra yang ditukar nama laluannya kepada LRT Laluan Kelana Jaya ini beserta beberapa sistem transit di Kuala Lumpur dioperasikan oleh Rapid Rail Sdn Bhd, anak syarikat Prasarana sendiri di bawah jenama RapidKL, manakala segala aset dipunyai oleh Prasarana. Boleh rujuk sejarah lengkap yang diambil daripada Wikipedia.

Pada tahun 2006, pihak kerajaan memaklumkan Laluan Kelana Jaya dan juga satu lagi laluan LRT yang dikendalikan oleh Rapid Rail iaitu LRT Laluan Sri Petaling dilanjutkan laluannya ke Putra Height di kawasan Puchong melalui kawasan Subang Jaya yang merupakan perbandaran teramai penduduk di Malaysia. Pembinaan giat dilaksanakan mulai tahun 2010 dan akhirnya pada 01 Jun 2016, LRT Laluan Kelana Jaya telah beroperasi sepenuhnya sepanjang laluan dari Gombak ke Putra Height.

Kini, sejak tahun 2014, kesemua perkhidmatan rel termasuk LRT Laluan Kelana Jaya (diberikan  kod warna merah jambu dan kod nombor laluan 5 di dalam sistem transit bersepadu Lembah Klang) dan bas di bawah jenama RapidKL telah disepadukan dengan menggunakan kaedah sistem pembayaran pra bayar yang satu iaitu kad MyRapid. Juga, sistem tiket tunai di semua laluan rel juga menggunakan sistem token yang bersepadu, di mana pengguna boleh menukar laluan tanpa perlu membeli tiket lain jika bertukar di beberapa stesen pertukaran. Memang ia memudahkan, pengguna boleh bertukar laluan antara LRT Laluan Kelana Jaya, Laluan Sri Petaling, Laluan Ampang,  Monorel Kuala Lumpur dan BRT Sunway. Akan datang, MRT Laluan SBK juga akan menggunakan sistem pembayaran yang sama apabila sambungan fasa kedua akan beroperasi mulai bulan Julai 2017 nanti. Selain itu, kad Touch'nGo juga boleh digunakan. Bagi mengetahui tambang perkhidmatan ini, boleh layari laman tambang Rapid Rail bagi bayaran tunai atau tanpa tunai (pra bayar). Juga terdapat insentif atau promosi khas bagi pengguna kerap atau golongan tertentu.

Aras tanah Stesen Masjid Jamek yang merupakan stesen penghubung antara LRT Laluan Kelana Jaya dan LRT Laluan Sri Petaling/Laluan Ampang.

Tangga dan eskalator menuju ke aras concourse stesen bawah tanah Stesen Masjid Jamek.

Aras concourse stesen-stesen bawah tanah asal LRT Laluan Kelana Jaya (antara Ampang Park ke Masjid Jamek) (contoh ini adalah Stesen Masjid Jamek). 

Rajah laluan LRT Laluan Kelana Jaya.

Token perjalanan sistem transit RapidKL di bawah Rapid Rail - belian tunai.

Kad MyRapid.

Sejak awal pengoperasian LRT Laluan Kelana Jaya ini, stesen-stesennya seolah-olah telah menjadi seperti standard bagi pembangunan stesen-stesen transit rel di Malaysia. Setiap stesennya lengkap selain kemudahan asas seperti kaunter tiket, mesin tiket automatik dan eskalator, malah terdapat juga tandas. Namun tidak semua stesen mempunyai kemudahan surau.

Bagi stesen-stesen yang baru dibina untuk laluan sambungan dari Kelana Jaya ke Putra Height, semua kemudahan dibina dan surau juga dibina. Malah disediakan banyak tempat duduk di platformnya. Boleh dikatakan platform di stesen-stesen baru ini lebih luas daripada stesen-stesen MRT yang dibina semasa denganya.

Bagi laluan asal, kesemua stesen bawah tanah yang lima stesen kesemuanya, mempunyai konfugrasi platform pulau. Selain dari itu, kombinasi platform pulau atau platform tepi boleh didapati. Selain stesen-stesen bawah tanah, kesemua stesen-stesen yang lain kecuali Stesen Sri Rampai dibina secara bertingkat (elevated). Stesen Sri Rampai yang dibuka kemudian pada tahun 24 Disember 2010, dibina pada aras tanah bagi aras concoursenya dan setingkat bawah (bukan bawah tanah, kerana ia dibina di lereng bukit) bagi aras platform. Platformnya berkonfugirasikan platform tepi.

Pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), memang menggalakan untuk sistem-sistem pengangkutan terutama sistem rel ini bersepadu antara satu sama lain. Sistem LRT Laluan Kelana Jaya ini mempunyai beberapa stesen yang bersepadu dengan sistem rel lain, yang mana stesen bersepadu ini mempunyai laluan yang membolehkan pengguna bertukar stesen menggunakan token atau kad sedia ada tanpa perlu membeli tiket baru. Stesen Masjid Jamek umpamanya merupakan stesen pertukaran dengan LRT Laluan Ampang dan Laluan Sri Petaling. Juga dengan pelanjutan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya dan Laluan Sri Petaling ke Putra Height, kedua-dua laluan ini juga bersepadu di stesen tersebut malah hanya perlu bertukar di platform sahaja tanpa perlu berjalan di laluan khas. Selain itu, dengan pelanjutan tersebut, di Stesen USJ 7, pengguna boleh bertukar dengan sistem BRT Sunway juga. Insya Allah, Laluan Kelana Jaya ini juga akan bersepadu di Stesen Pasar Seni di dalam sistem MRT Laluan SBK apabila fasa kedua MRT ini dibuka kelak pada bulan Julai 2017.

Selain itu, terdapat juga beberapa stesen-stesen yang berhubung dengan sistem rel lain namun tidak bersepadu di mana pengguna perlu keluar daripada sistem masing-masing, bermakna perlu membeli token tambang berasing bagi setiap sistem. Dengan perkhidmatan Monorel Kuala Lumpur, pengguna perlu keluar dari Stesen Dang Wangi dan berjalan di ruang pejalan kaki berbumbung ke Stesen Monorel Kuala Lumpur Bukit Nanas yang hanya 300 meter sahaja. Di Stesen Subang Jaya, ia sebenarnya berada dalam satu bumbung dengan perkhidmatan KTM Komuter, namun pengguna perlu keluar dari sistem LRT Laluan Kelana Jaya dan memasuki sistem KTM Komuter dengan membeli tiket lain atau menyentuh kembali kad Touch'nGo di pintu hadangan KTM Komuter. Kad MyRapid tidak boleh digunakan di sistem KTM Komuter. 

Kes ini juga sama dengan Stesen KL Sentral yang mana ia hanya bersebelahan sahaja dengan Stesen KTM Komuter KL Sentral. Di KL Sentral juga, pengguna perlu keluar sistem dan masuk ke sistem berkaitan dengan membeli tiket sistem berkenaan untuk menggunakannya seperti kedua-dua perkhidmatan ERL (KLIA Ekspres dan KLIA Transit) di dalam bangunan KL Sentral juga dan Monorel KL yang terletak 300 meter melalui kompleks membeli-belah Nu Sentral. Juga, apabila fasa kedua MRT Laluan SBK siap, laluan hubungan khas ke Stesen MRT Muzium Negara juga akan mengubungkan ke KL Sentral.

Aras platform stesen-stesen bawah tanah asal LRT Laluan Kelana Jaya (antara Ampang Park ke Masjid Jamek) (contoh ini adalah Stesen Masjid Jamek).

Aras platform stesen-stesen asal LRT Laluan Kelana Jaya (antara Gombak ke Damai dan Pasar Seni ke Kelana Jaya) konfugurasi platform tepi (contoh ini adalah Stesen Abdullah Hukum).

Aras platform stesen-stesen asal LRT Laluan Kelana Jaya (antara Gombak ke Kelana Jaya) konfugurasi platform pulau (contoh ini adalah Stesen Universiti).

Aras platform stesen-stesen sambungan LRT Laluan Kelana Jaya (antara Lembah Subang ke Putra Height) konfugurasi platform tepi (contoh ini adalah Stesen Lembah Subang).

Aras platform stesen-stesen sambungan LRT Laluan Kelana Jaya (antara Lembah Subang ke Putra Height) konfugurasi platform pulau (contoh ini adalah Stesen Subang Jaya).

Keadaan platform di Stesen Putra Height yang berkongsi platform dengan LRT Laluan Sri Petaling.

Aras concourse stesen-stesen sambungan LRT Laluan Kelana Jaya
 (antara Lembah Subang ke Putra Height) (contoh ini adalah Stesen Lembah Subang).

Tren yang digunakan adalah keluaran Bombardier daripada Kanada yang mana model Innovia Metro 200 (ART) digunakan. Ia mempunyai 2 buah gerabak yang pemanduan automatik sepenuhnya. Pada tahun 2009, beberapa buah tren 4 buah gerabak dari model yang sama dipesan dan dibina secara usahasama oleh pihak Bombardier dan syarikat tempatan, Hartasuma membentuk konsortium bagi tujuan perolehan tren 4 gerabak tersebut. 

Tren-tren model tersebut masih digunakan sehingga kini walaupun menjangkau hampir 20 tahun usia operasiannya. Tren-tren ini sudah beberapa kali dibuat meningkatan (refurbishment) bagi menaikan mutu perkhidmatannya.

Ketika hendak mula beroperasi untuk laluan sambungan ke Putra Height, pihak Rapid Rail telah memesan beberapa set tren dari pihak Bombardier untuk model Innovia Metro 300 dan memperolehi beberapa buah dari pesanan itu. Namun sehingga kini masih belum memulakan operasinya lagi.

Tren dua koc LRT Laluan Kelana Jaya.

Keadaan di dalam tren dua koc LRT Laluan Kelana Jaya.

Tren empat koc LRT Laluan Kelana Jaya.

Keadaan di dalam tren empat koc LRT Laluan Kelana Jaya.

Penunjuk stesen di atas pintu tren LRT Laluan Kelana Jaya.

Perjalanan LRT Laluan Kelana Jaya menghampiri Stesen Subang Jaya.

Video: Perjalanan LRT Laluan Kelana Jaya (dari Glenmerie ke Subang Jaya).


Video: Perjalanan LRT Laluan Kelana Jaya (dari Subang Alam ke Putra Height).

Bagi saya pihak RapidKL dan Prasarana telah berusaha meningkatkan dan menaik taraf perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya ini sejak mengambil alih dari pihak sebelumnya. Hasilnya perkhidmatan bertambah baik dan ia semakin menjadi kaedah yang digemari bukan sahaja warga kota Kuala Lumpur dan Lembah Klang, malah pelancong yang datang ke Kuala Lumpur. Teruskan berikan perkhidmatan yang lebih baik untuk penggunanya. Teruskan usaha agar perkhidmatannya terus relevan.


Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan...


Click here if want to read in English version.