Memaparkan catatan dengan label Panduan Kembara Phnom Pehn Kemboja. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Panduan Kembara Phnom Pehn Kemboja. Papar semua catatan

Ahad, 9 September 2018

Panduan Kembara - Phnom Pehn, Kemboja (Phnom Pehn, Kemboja - 05 September 2018).

Jika mahu lihat catatan: 


If want to read in English: 

  • PreJourney;
  • Itinerary;
  • Travel Guide - Phnom Pehn, Cambodia (this part);
  • Journey.

Tugu Kemerdekaan Kemboja, Phnom Pehn.

Phnom Pehn, merupakan ibu negara Kemboja (Cambodia). Keluasannya 678 kilometer persegi dengan 1.5 juta orang penduduk (data 2012). Ia juga adalah bandar diraja bagi keluarga diraja Kemboja. Kawasannya kurang diancam banjir tahunan akibat limpahan tasik Tonle Sap berbanding kawasan sekitar. Ia juga menjadi kota ekonomi bagi Kemboja.

(Sumber dari Wikipedia).  


Peta: Phnom PehnKemboja.

WAKTU
Waktu di Kemboja adalah UTC +7 iaitu 1 jam lebih lewat dari waktu Malaysia (UTC +8). Contohnya jika di Malaysia pukul 12:00 tengahari, di Phnom Pehn pula pukul 11:00 pagi.


MATAWANG

Kemboja menggunakan sistem dwi-matawang iaitu seperti berikut:

Matawang Kemboja adalah Riel Kemboja (KHR) dengan singkatan . Kadar pertukaran semasa boleh dilihat di sini.

Dominasi yang Riel Kemboja adalah:
Nota kertas: 50 riel, 100 riel, 500 riel, 1000 riel, 2000 riel, 5000 riel, 10,000 riel, 20,000 riel, 50,000 riel & 100,000 riel;

Namun Kemboja juga menggunakan matawang Dolar Amerika Syarikat (USD) dengan singkatan US$ atau $, terutama di bandar-bandar besar dan kawasan-kawasan pelancongan. Mesin-mesin ATM di Kemboja mengeluarkan wang US$. Hanya wang kertas sahaja digunakan, wang syiling USD tidak laku di Kemboja, sebaliknya ia digantikan dengan penggunaan riel. Kadar pertukaran semasa boleh dilihat di sini.

Dominasi yang Dolar Amerika Syarikat yang diguna pakai di Kemboja adalah:
Nota kertas: $1, $2, $5, $10, $20, $50 & $100;




100

500 (Siri Ke-12)

500 (Siri Ke-14)

1000 (Siri Ke-12)

1000 (Siri Ke-12)

2000


5000


10 000

US$1.00

US$2.00

US$5.00 (Siri 2009)

US$10.00 (Siri 2009)


US$20.00 (Siri 2009)

US$50.00 (Siri 2009)

US$10.00 (Siri 2009)

Di Kemboja, pemegang kad ATM Maybank Malaysia boleh mengeluarkan wang di mesin ATM Maybank Kemboja iaitu bank di bawah kumpulan yang sama dengan Maybank Malaysia dengan menggunakan kad ATM Maybank Malaysia. Cara ini lebih murah kerana tiada caj pengeluaran luar negara dikenakan (umpama mengeluarkan wang di mesin ATM Maybank di Malaysia) dengan syarat kita mengaktifkan kemudahan ini di perbankan internet Maybank2u atau di mesin ATM Maybank Malaysia terlebih dahulu sebelum menggunakannya.

Begitu juga dengan pemegang kad ATM CIMB Malaysia boleh mengeluarkan wang di mesin ATM CIMB Kemboja tiada caj pengeluaran luar negara dikenakan, sama seperti Maybank di atas, di mana perlu menngaktifkan kemudahan pengeluaran luar negara di perbankan internet CIMB Clicks atau di mesin ATM CIMB Malaysia.

VISA
Pemegang pasport Malaysia yang ingin ke Kemboja atas tujuan melancong, dikecualikan visa (visa-free) sehingga 30 hari, jadi jika lawatan dalam tempoh itu, tidak perlu mohon visa. Jika ingin membuat lawatan lebih dari masa itu, perlu memohon visa sama ada di Kedutaan Kemboja atau di Imigresen Kemboja semasa di dalam Kemboja. Pemegang pasport negara lain atau ingin memohon visa lain boleh rujuk laman web Kementerian Luar Negara dan Kerjasana Antarabangsa Kemboja (juga boleh rujuk artikel Wikipedia).

Pengunjung ke Kemboja melalui Lapangan Terbang Antarabangsa (LTA) Phnom Pehn, Kemboja, perlu mengisi borang imigresen Kemboja yang mempunyai dua bahagian iaitu bahagian ketibaan di sebelah kanan dan bahagian berlepas di sebelah kiri. Isi kedua-duanya dengan maklumat yang kita tahu sebelum tiba ke kaunter imigresen Kemboja untuk ketibaan. Borang ini biasanya diberikan di dalam pesawat atau pun jika tiada, ada didapati sebelum tiba di kaunter imigresen Kemboja. Borang ini diberikan percuma. Sila serahkan pasport dan borang yang telah diisi kepada pegawai imigresen Kemboja semasa di kaunter terbabit. Muka kita akan diambil gambarnya dalam prosedur ketibaan imigresen Kemboja.

Setelah selesai urusan imigresen, pasport kita akan dikembalikan, sila periksa cop imigresen terlebih dahulu sama ada tarikh yang betul dan tarikh maksima untuk berada di Kemboja. Sila berhubung kembali dengan pegawai imigresen jika ada kesilapan atau sebagainya. Juga, bahagian berlepas borang imigresen Kemboja akan diberikan sekali (biasanya akan diketipkan sekali). Sila jangan hilangkan borang ini dan pastikan ia sentiasa berada di dalam atau bersama-sama pasport kita. Borang ini perlu dipulangkan semula semasa prosedur berlepas (keluar) dari Kemboja nanti. Jika hilang, sila berhubung dengan pihak imigresen Kemboja.


Borang imigresen Kemboja (luar).

Borang imigresen Kemboja (dalam).



Cop masuk imigresen Kemboja.



Cop keluar imigresen Kemboja.

Sebelum keluar daripada balai ketibaan, pengunjung ke Indonesia perlu mengisi borang perisytiharan Kastam Kemboja (juga boleh didapati di dalam penerbangan atau jika tiada, minta pada pegawai kastam Kemboja di lorong pemeriksaan kastam). 

Kebiasaannya kita akan menandakan tidak bagi setiap jawapan, namun kita perlulah memberikan jawapan yang benar dan sahih, kerana pemeriksaan barangan akan dibuat sebelum keluar dari balai ketibaan, jika apa yang isytihar tidak benar atau pun ditangkap membawa barangan yang melebihi nilai, kita akan didenda berat. Serahkan borang kepada pegawai kastam Kemboja sebelum memasuki lorong imigresen. Juga jangan bawa barangan yang dilarang ke Kemboja, atau akan dikenakan hukuman mengikut undang-undang Indonesia. 


Borang Perisytiharan Kastam Kemboja.


KETIBAAN
Bagi memasuki Kemboja, kita perlu mengisi borang masuk negara yang dikeluarkan pihak imigresen sebagaimana jika masuk ke negara lain. Jadi sila dapatkan borang tersebut sebelum ke kaunter imigresen, dan isikan maklumat yang diperlukan. Borang ini juga terdapat juga bahagian untuk keluar dari negara Kemboja, jadi isikan juga. Borang keluar negara ini akan dikembalikan kepada kita selepas pemeriksaan pasport bersama pasport, mohon untuk menyimpan borang ini, kerana borang ini akan diserahkan kembali kepada pihak imigresen. Borang ini juga perlu bersama-sama pasport kerana ia dianggap separuh kelulusan masuk ke Kemboja disamping cop kemasukan. Ketiadaan salah satu umpama dokumen tidak lengkap. Jadi jagalah borang ini selagi berada di bumi Kemboja.


Udara
Bagi ketibaan langsung dari Malaysia, penerbangan Malaysia Airlines (MAS)AirAsia dan Malindo Air menyediakan penerbangan terus dari Kuala Lumpur. Penerbangan tersebut akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa (LTA) Phnom Pehn, Kemboja (kod IATAPHN)Penerbangan domestik Kemboja juga berada di bangunan yang sama, (pintu 1 hingga 4, manakala penerbangan antarabangsa adalah pintu 5 ke atas).



LTA Phnom Pehn (airside).


LTA Phnom Pehn (landside).

Pengangkutan ke bandar:
  1. Perkhidmatan teksi dan remorque*, boleh di dapati sebaik sahaja keluar dari pintu ketibaan. Perlu membayar dan mengambil kupon terlebih dahulu di kaunternya di depan pintu ketibaan. Kadarnya dari US$9.00 untuk teksi atau dari US$7.00 untuk remorque.
  2. Bas eksekutif KK Star, menjadi shuttle daripada lapangan terbang ke beberapa hotel dan tempat di Phnom Pehn. Terdapat dua laluan iaitu Laluan Merah (President Hotel, Raffles Hotel, Sunway Hotel, Sisowath High School, Naga Hotel & Toyoko Inn) dan Laluan Oren (Intercontinental Hotel, Sihanouk West, Sihanouk East, Naga Hotel, Toyoko Inn & Sofitel). Waktu operasi adalah dari 09:00 pagi hingga 5:30 petang dengan kekerapan setiap 30 minit bagi waktu puncak dan 60 minit bagi waktu tidak puncak. Terdapat juga perkhidmatan ke Sihanoukville (waktu operasi adalah dari 09:00 pagi hingga 3:30 petang dengan kekerapan yang sama). Harga tambang adalah US$5.00. Tiket boleh didapati dari kaunter di hadapan pintu ketibaan atau daripada pemandu, juga daripada hotel yang menjadi perhentiannya.
  3. Keretapi shuttle lapangan terbang - Stesen Keretapi Phnom Pehn, yang dikendalikan oleh Royal Railway. Perkhidmatan setiap 30 minit, beroperasi 24 jam. Perjalanan mengambil masa 40 minit. Untuk tiket dan maklumat lanjut, terdapat kaunter di hadapan pintu ketibaan (sebelah kaunter teksi dan bas eksekutif KK Star). Perhentian keretapinya adalah berdekatan dengan pintu berlepas. Sehingga 31 Oktober 2018, tambang adalah PERCUMA. 
  4. Perkhidmatan E-Hailing Grab juga boleh didapati di lapangan terbang. Boleh memilih untuk diambil dari dalam kawasan lapangan terbang atau luar. Jika diambil di dalam, perlu membayar caj parking lapangan terbang. Terdapat perkhidmatan JustGrab, GrabTukTuk, GrabRemorque* & GrabBike. Jika memesan untuk diambil dari luar kawasan lapangan terbang juga lebih murah.
  5. Perkhidmatan bas henti-henti awam laluan nombor 3 (dari Borey Sontepheap II ke Taman Russey Keo) melalui lapangan terbang. Boleh menaikinya dari perhentian bas di luar kawasan lapangan terbang (Jalan Persekutuan Russia), (berdekatan dengan perhentian keretapi). Tambangnya adalah 1500 riel, perlu membayarnya dengan tepat kerana tiada baki dikembalikan.
  6. Perkhidmatan teksi, remorque*, tuktuk dan teksi motorsikal (ojek), boleh didapati di luar kawasan lapangan terbang. Harga adalah sama ada mengikut meter (jika ada) atau mengikut pemandu. Jika mengikut pemandu, perlulah membuat tawar menawar. Biasanya tambangnya lebih murah dari dalam kawasan lapangan terbang.
* - bunyi rimok, merupakan tuktuk Kemboja, (juga dipanggil tuktuk walaupun tuktuk ala Thailand (Bajaj) ada di Phnom Pehn) berbentuk pedati ditarik dengan motorsikal kapcai, boleh naik empat orang jika tidak banyak bagasi.


Keretapi

Perkhidmatan keretapi Kemboja melalui Royal Railway, baru dipulihkan setelah rangkaian landasan keretapi Kemboja musnah akibat perang saudara 1970an hingga 1990an. Kini ia merangkaikan dari Poipet (bandar sempadan dengan Aranyaprathet, Thailand), Battambang, Phnom Pehn dan Sihanoukville. Penempahan boleh dibuat secara dalam talian.

Di Phonm Pehn, keretapi akan berhenti di Stesen Keretapi Phonm Pehn, yang merupakan tinggalan penjajah Perancis. Dari stesen ini juga, perkhidmatan khas dari ke Lapangan Terbang Antarabangsa Phonm Pehn.

(Sehingga 31 Disember 2018, perkhidmatan keretapi Phonm Pehn ke Poipet dan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Phonm Pehn adalah PERCUMA. Namun tidak bagi perkhidmatan ke Sihanoukville).


Bas

Bas dari pelbagai tempat di Kemboja (antaranya Siem Reap, Sihanoukville, Kompong Cham, Battambang, Poipet) malah dari luar Kemboja (Bandaraya Ho Chi Minh (melalui Bavet), Bangkok (melalui Poipet) dan Vientiane serta Pakse (Laos). Kebanyakan akan tiba di di stesen bas di hujung barat daya Pasar Pusat (Central Market (Bahasa Inggeris)  atau Psar Thmey (Bahasa Khmer)), namun ada juga yang tiba di stesen mereka sendiri. Antara syarikat yang beroperasi adalah Mekong Express, Phnom Penh Sorya Transport, Capitol Tours, Giant Ibis dan GST Express. Jika dari Vietnam, sila jangan mengambil perkhidmatan bas Kumho Samco.


Bot

Terdapat perkhidmatan bot ke Siem Reap dan Chau Doc (Vietnam) ke Jeti Sisowath (tidak jauh dari Wat Phnom. 

Tambang dari Siem Reap adalah US$35 untuk bukan warganegara Kemboja. Ia bertolak pada pukul 07:30 pagi dan mengambil masa 6 jam.

Bagi ke Chau Doc yang terletak di muara Sungai Mekong di Vietnam pula, terdapat banyak perkhidmatan. Antaranya:


  1. Bot laju yang berlepas sekitar 8:00 pagi, mengambil masa kira-kira 5 jam. Akan pulang semula ke Chau Doc sekitar 1:00 tengahari pada hari yang sama;
  2. Bot perlahan Mekong Tour, berlepas 7:30 pagi, mengambil masa kira-kira 7-8 jam, berharga US$12;
  3. Hydrofoil Cawaco.

TELEKOMUNIKASI



Kad SIM Prabayar


Terdapat beberapa syarikat telekomunikasi di Kemboja antaranya:



  1. Metfone;
  2. Smart Axiata;
  3. Cellcard;
  4. qb;
  5. Seatel.

Kaunter telco di LTA Phnom Pehn terletak sebaik sahaja keluar dari pintu ketibaan dan semua telco berada bersebelahan sahaja antara satu sama lain.


Kaunter telco di pintu ketibaan LTA Phnom Pehn.

Kad SIM boleh didapati dengan amat murah iaitu dari percuma (tanpa atau dengan pakej asas). Pakej juga amat murah, dari US$1.00 bagi data tanpa had sehari dan seterusnya. Namun kebiasaanya, telco yang besar (Metfone, Smart Axiata dan Cellcard) hanya menjual pakej yang berharga sikit seperti pakej US$5 ke atas. Jika sekadar di dalam bandaraya Phnom Pehn, bolehlah mencuba telco yang kecil seperti qb dan Seatel. 




Kad SIM Seatel Kemboja.


Maklumat lanjut tentang perbandingan produk kad SIM, boleh layari laman web Wikia.



Internet


Perkhidmatan WiFi terdapat di tempat penginapan, restoran dan juga beberapa tempat awam, tetapi tidak meluas. Di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Pehn terdapat WiFi percuma dengan pendaftaran mudah sahaja (berikan alamat e-mel dan kewarganegaraan sahaja).



PENGANGKUTAN BANDAR


Jalan di Phnom Pehn agak huru hara pada masa-masa puncak. Sistem jalan raya agak kelam kabut. Kesesakan boleh berlaku pada bila-bila masa.


Bas

Terdapat perkhidmatan bas henti-henti awam yang dikatakan perkhidmatan BRT (namun saya lihat lebih kepada bas henti-henti biasa) di Phnom Pehn ini. Ia adalah inisiatif kerajaan tempatan Phnom Pehn. Harga tambang adalah 1500 riel setiap kali naik tanpa mengira jarak. Tiket terpulang kepada pemandu untuk memberinya kepada penumpang atau tidak. Tambang perlu dimasukkan ke dalam tabung dengan jumlah tepat, kerana tiada wang kembalian diberikan.

Bas Henti-henti Awam Phnom Pehn.

Tiket Bas Henti-henti Awam Phnom Pehn.

Terdapat 9 laluannya, (ia adalah warna laluan, warna bas adalah sama, sama ada hijau atau coklat keemasan), yang mana nombor laluannya adalah di atas kiri bas:

Laluan 1: (KM9 Bus Station - Oknha Souy Sophan Bus Terminal);
Laluan 2: (Aeon Mall II - Takmao Cultural Department);
Laluan 3: (Taman Russey Keo - Borey Sontepheap II);
Laluan 4: 4A (Taman Russey Keo - Borey Sontepheap II), 4B (Taman Russey Keo - Royal Gendarmerie School);
Laluan 5: (Aeon M9all II - Aeon Mall I);
Laluan 6: (Borey Highland - Century Plaza Market);
Laluan 7: 7A (KM9 Bus Station - Aeon Mall I), 7B  (KM9 Bus Station - Chbar Ampov Bus Terminal);
Laluan 8: (KM9 Bus Station - Borey Highland);
Laluan 9: (M.K Steel Factory - PPSEZ Entrance).

Terdapat aplikasi Stops Near Me (boleh di dapati di Google Play Store dan App Store) yang boleh kita lihat laluan bas ini. Ia juga boleh melihat bas yang berjalan secara langsung jika pengguna bas terbabit mengaktifkan lokasi mereka di aplikasi ini ketika menaiki bas terbabit.


Teksi, Teksi Motorsikal, Remorque, Tuktuk

Perkhidmatan ini memang banyak dan boleh diperolehi di mana-mana kawasan di Phnom Pehn ini.


E-Hailing

Terdapat E -Hailing Grab yang menawarkan perkhidmatan JustGrabGrabTukTuk, GrabRemorque GrabBike di Phnom Pehn ini.




PENGINAPAN

Terdapat banyak penginapan di Phnom Pehn ini dari kadar bajet hingga ke taraf mewah. Hotel bajet banyak terdapat di kawasan Riverside yang memudahkan kerana banyak kawasan tarikan dan kemudahan pelancongan adalah di kawasan ini.  





BEKALAN ELEKTRIK

Soket plug elektrik digunakan di Kemboja adalah dari soket jenis Ajenis C dan jenis G. Bekalan elektrik pula menggunakan voltage 230V 50Hz.



Soket elektrik di Kemboja.






TEMPAT MENARIK / LAWATAN
Sebenarnya terdapat banyak tempat lawatan di Phnom Pehn, terutama muzium dan galeri. Namun saya hanya pergi ke beberapa tempat yang saya kongsikan di bawah:

Tugu Kemerdekaan Kemboja
Taman Neak Banh Teuk.
Di taman ini juga (lebih kepada siar kaki (boulevard)) terdapat Tugu Putera Norodom Sihanouk dan Patung Samdech Chuon Nath. Juga terdapat Tugu Pembebasan Kemboja-Vietnam di Taman Wat Botum di sebelahan. Wat Batum juga merupakan tempat Saloth Sar menjadi sami Buddha  ketika zaman mudanya, yang kemudian beberapa tahun kemudian menukar namanya menjadi Pol Pot, pemimpin Khmer Rouge yang kejam. Tugu Kemerdekaan ini dibina pada tahun 1958 untuk memperingati kemerdekaan Kemboja daripada Perancis pada 9 November 1953. (Percuma). (Bas laluan 2, perhentian 35).



Tugu Kemerdekaan Kemboja.


Peta: Tugu Kemerdekaan Kemboja.


Streetview: Tugu Kemerdekaan Kemboja.



Istana DiRaja Kemboja (Royal Palace)
Merupakan kediaman rasmi keluarga diraja Kemboja. Terdapat juga Pagoda Perak (Silver Pagoda) dan Kuil Buddha Zamrud (Temple of the Emerald Buddha). Dibina pada abad ke-19 dengan teknologi Perancis dengan rekabentuk Kemboja. Telah selamat dalam pelbagai trauma abad ke-20 (Perang Dunia Kedua dan Perang Saudara Kemboja). Tidak semua kawasan Istana dibuka. Perlu memakai pakaian yang menjolok mata (tiada seluar pendek dan baju tanpa lengan). Jika pakai juga, khidmat meminjam kain sarung ditawarkan pada harga 1000 riel (dengan deposit US$1.00) dan membeli kemeja-T pada harga US$2.00 di pintu masuk. (Tiket masuk: 40 000 riel/US$10.00).

Pintui Masuk Istana DiRaja.


Peta: Istana DiRaja.


StreetviewIstana DiRaja.


Riverside (Sisowath Quay)
Tebingan yang agak panjang, kira-kira 2.5 kilometer, di pesisir sebelah timur Sungai Tonle Sap. Di sebelah hujung utara tebingan ini, terdapat Jeti Sisowath yang menjadi jeti ke Siem Reap dan Chau Doc. Di sini juga merupakan tempat utama pelancong, di mana terdapat banyak hotel dan restoran terletak.


Riverside (Sisowath Quay).


Peta: Riverside (Sisowath Quay).


StreetviewRiverside (Sisowath Quay).

Masjid al Serkal
Masjid terbesar di Phnom Pehn. (Bas laluan 2laluan 3, dan laluan 4, perhentian Pusat Kesihatan Ibu dan Anak Kebangsaan (National Maternity and Chidren Health Centre)).


Masjid al Serkal, Phnom Pehn.


Peta: Masjid al Serkal.


StreetviewMasjid al Serkal.


Juga, tempat ini, saya tidak sempat pergi namun jika sempat, menjadi tarikan yang patut pergi, jika berkesempatan.

Wat Phnom
Bermakna Wat (Kuil Buddha) Bukit. Wat ini lebih dikenali kerana sejarahnya berbanding struktur fizikal, namun ia dikelilingi kehijauan dan ia adalah tempat riadah oleh penduduk tempatan. (Tiket masuk ke dalam wat: US$1.00). (Bas Laluan 1laluan 2laluan 3, laluan 4, dan Laluan 6).



Peta: Wat Phnom.

Streetview: Wat Phnom.


Muzium Pembunuhan Tuol Sleng (Tuol Sleng Genocide Museum)
Sebuah sekolah yang dijadikan penjara semasa pemerintahan Khmer Rouge. Dikatakan seramai 14 000 orang (ada yang mengatakan lebih berkali ganda daripada itu) dipenjarakan oleh regim Khmer Rouge dan kebanyakannya mati disiksa di sini. Hanya 8 banduan sahaja yang berjaya hidup. (Tiket kemasukan: US$5.00) (Bas laluan 1, perhentian 41).


Peta: Muzium Pembunuhan Tuol Sleng.


StreetviewMuzium Pembunuhan Tuol Sleng.


Padang Pembunuhan Choeung Ek (The Killing Fields of Choeung Ek)
Kira-kira 17 kilometer ke selatan Phnom Pehn, ia merupakan bekas tanah perkuburan Cina yang mana menjadi tempat Khmer Rouge membunuh ribuan nyawa sepanjang pemerintahan kejam 4 tahun mereka. Hari ini, ia ditandai oleh sebuah stupa Buddha yang letaknya 8 000 tengkorak manusia, yang bahagian tepinya terdapat gelas lut sinar untuk pengunjung melihatnya. Digalakan melawat selepas melawat ke Muzium Pembunuhan Tuol Sleng. Sebaiknya melawat ke tempat ini, perlu memakai pakaian yang menutup sehingga lutut dan menutup juga bahu. 

(Tiket masuk sebenarnya hanya US$3, tapi diiklankan US$6 yang disekalikan dengan audio informasi. Jika tidak mahu audio ini, maklumkan tidak mahu semasa membeli tiket masuk).

(40 minit menaiki tuk-tuk atau motorsikal, kosnya diantara US$9-11 pergi balik (atas tawar menawar) termasuk ke Muzium Pembunuhan Tuol Sleng, mereka akan menunggu. Atau menaiki bas laluan 2, ke terminal Pasar Ta Khmao dan berpindah ke tuk-tuk).



Peta: Padang Pembunuhan Choeung Ek (The Killing Fields of Choeung Ek).


Streetview: Padang Pembunuhan Choeung Ek (The Killing Fields of Choeung Ek).

Selain daripada itu, boleh rujuk Wikitravel Phnom Pehn, atau laman lain berkenaan Phnom Pehn untuk melihat tempat-tempat yang boleh dilawati.




MAKAN / MINUM

Di bawah ini adalah tempat makanan halal yang dilawati semasa kembara:



Halal Restaurant
09 St 130
Phnom Pehn 12000
Cambodia
Tel:  +855 12 536 969
Waktu operasi: 07:00 pagi - 9:00 malam
(terdapat WiFi).





Halal Restaurant, Phnom Pehn.




Peta: Halal Restaurant, Phnom Pehn.




StreetviewHalal Restaurant, Phnom Pehn.

Malaya Cafe
Preah Chey Chetha St. (118)
Phnom Penh, Cambodia
Tel:  +855 23 636 8883
Waktu operasi: 10:30 pagi - 7:30 malam (tutup Ahad).


Peta: Malaya Cafe, Phnom Pehn.



StreetviewMalaya Cafe, Phnom Pehn.



Di sekitar Masjid al Serkal, terdapat banyak tempat makanan halal yang boleh di dapati. 




Permandangan jalan keluar dari Masjid al Serkal.



Selanjutnya boleh merujuk Wikitravel Phnom Pehn dan juga laman web lain untuk tempat-tempat lain.





BELI-BELAH

Terdapat pelbagai tempat membeli belah di Phnom Pehn ini, antaranya:

Pasar Pusat (Central Market @ Psar Thmey)
Di sini kita boleh membeli bermacam-macam barangan termasuk cenderahati, pakaian, peralatan elektrik, barang basah dan sebagainya. Di dalam atau di luar pasar terdapat banyak penukar wang asing (saya tidak menggunakan istilah pengurup wang), jika di luar ia ditukar di kedai emas.

Pasar Pusat, Phnom Pehn.

Peta: Pasar Pusat, Phnom Pehn.


StreetviewPasar Pusat, Phnom Pehn.

Aeon Mall Phnom Pehn
Sebuah pusat membeli belah moden. Terdapat banyak kedai-kedai berjenama tempatan dan antarabangsa di dalamnya selain pasaraya Aeon.

Peta: Aeon Mall I, Phnom Pehn.

Pasar Rusia (Russian Market @ Psar Tuol Tom Poung)
Juga seperti Pasar Pusat, cuma harga di sini lebih murah, namun agak jauh dari semua tarikan Phnom Pehn kerana berada jauh dari pusat bandar.

Peta: Pasar Rusia, Phnom Pehn.


Juga terdapat tempat-tempat lain juga.



PERWAKILAN MALAYSIA

No.220-222, Preah Norodom Boulevard
Sangkat Tonle Bassac
Khan Chamkarmorn 12301
Phnom Penh
CAMBODIA
Telefon: +855-23-216 177 / +855-15-216 187
Faks +855-23-726 101
E-mel: mwphnompenh@kln.gov.my
Hari bekerja:
Isnin hingga Jumaat 8.00 pagi - 4.00 petang (rehat 12.00 - 1.30 tengahari)
Cuti: Sabtu, Ahad, Cuti Umum Kemboja & Malaysia.



PATUT TAHU

Sila jaga keselamatan diri masing-masing semasa di Phnom Pehn. Keadaan jalan yang kelam kabut akan menyebabkan kita terkeliru dan ini memudahkan kita menjadi mangsa pelbagai jenayah termasuk ragut.

Sila pastikan anda menjaga barangan peribadi anda terutama yang berharga. Selalu terjadi kes ragut beg tangan dan juga telefon bimbit yang dibuat oleh penunggang motorsikal.

Bagi yang menaiki teksi motorsikal, beg sandang perlulah diletakkan antara anda dan penunggang motorsikal.

Setiasa bertanya kepada orang tempatan untuk mengetahui tambang teksi atau tuktuk atau remorque atau teksi motorsikal. Atau gunakan sahaja e-hailing.

Scam amat kerap berlaku terutama di tempat perlancongan. Banyak dibuat oleh orang bukan Kemboja. Mereka akan bertanyakan tempat asal kita, memuji pakaian atau ketrampilan kita dan bertanyakan bila kita keluar dari negara mereka. Kemudian mereka akan mula membuat scam seperti permainan kad, atau meminta kita menukar wang dengan mereka dengan kadar lebih baik dari pasaran atau pelbagai lagi. Malah ada yang membawa kepada kes perculikan atau  rompakan. Jadi berhati-hatilah.

Tukarlah wang sama ada untuk pertukaran wang asing atau wang kecil (US$ ke Riel atau sebaliknya), tukarlah di bank-bank atau kedai emas atau penukar di dalam Pasar Pusat. Jangan menukarnya dengan orang lain, kerana kemungkinan akan dapat wang yang palsu (terutama US$).

Sentiasa mendapat maklumat rasmi tentang tempat yang hendak kita pergi. Jika boleh semasa perjalanan kita aktifkan lokasi langsung kita di telefon bimbit (seperti aplikasi Whatsapp) dan juga melihat perjalanan kita sentiasa semasa dalam perjalanan.

Simpan alamat, nombor telefon dan e-mel Kedutaan Malaysia di Phnom Pehn, Kemboja untuk sebarang bantuan atau kecemasan. 


KESIMPULAN

Phnom Pehn adalah permata yang hilang Asia Tenggara. Ia masih membangun dari bawah untuk bersaing dengan bandar-bandar utama Asia Tenggara. Walaupun banyak yang menggunakan US$ sebagai transaksi, ia masih lagi murah, malah kebanyakan tanda harga adalah dalam Riel. Insya Allah, dalam masa beberapa tahun, Phnom Pehn akan menjadi salah satu tarikan juga.



Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan...




Jika mahu lihat catatan: 


If want to read in English: 

  • PreJourney;
  • Itinerary;
  • Travel Guide - Phnom Pehn, Cambodia (this part);
  • Journey.