Ahad, 15 Februari 2015

Bahagian 1 (Pulau Pinang, Malaysia - 07 Februari 2015) - Berjalan Di Street Art Penang.

Dari Pra Kembara.


Jika mahu lihat: 

If want to read in English: 
  • PreJourney
  • Itinerary; 
  • Part 1 (this part); or 
  • Part 2.


07 Februari 2015 (Sabtu) Bahagian 1.

Pagi ini saya bangun awal, kira-kira dalam pukul 4:45 pagi untuk membersihkan diri dan mengemas beg galas saya untuk memasukan beberapa benda yang belum dimasukan semasa proses pengemasan beg dibuat pada malam sebelum itu. Kali ini saya tidak menggunakan perkhidmatan bas ke klia2 sebagaimana yang biasa saya lakukan. Untuk kali ini, saya akan menunggang skuter saya sehingga ke klia2.

Jam 5:30 pagi, saya pun bertolak dari rumah menuju ke klia2, melalui Lebuhraya MEX E20. Kemudian sehingga hujung lebuhraya di Cyberjaya, saya mengambil Lebuhraya ELITE E6 pula. Pada pukul 6:15 pagi, saya pun sampai di klia2 dan terus memakir skuter saya di ruang parkir motorsikal di aras 1 gateway@klia2 sebagaimana yang pernah saya kongsikan dalam kembara saya ke Batam pada Mei 2014 lepas.





Saya segera ke aras 3 untuk ke balai berlepas bagi mendaftar masuk di kaunter Malindo Air di kaunter W7. Sebenarnya saya tidak perlu mendaftar masuk di kaunter kerana saya telah mendaftar masuk melalui laman web Malindo Air, namun memandangkan Malindo Air memberikan daftar masuk bagasi seberat 15 kilogram secara percuma, maka saya pun mendaftar masuk beg saya walaupun ia ringan sahaja. Sengaja hendak dapatkan pas pelepasan dan teg beg untuk dikumpul.

Urusan sebenarnya boleh lebih cepat, namun rupanya 2 penumpang di hadapan saya bukanlah penumpang ke Pulau Pinang atau Singapura sebagaimana yang tertera di layar kaunter W7 ini tetapi penumpang ke Thiruchirapalli, India, sedangkan kaunter yang sepatutnya adalah di kaunter W8. Saya sempat bertanya kepada petugas kaunter, beliau bercakap, sebenarnya perlu ikut kaunter yang ditetapkan namun warga negara berkenaan memang perangai mereka tidak mengikut peraturan, dan mengikut sedap hati mereka sahaja, jadi tidak hendak menjadi isu besar, terpaksa beliau melayan sahaja mereka.


Seterusnya saya segera ke surau aras sama (biasanya saya bersolat di aras 3A) untuk menunaikan solat Subuh, kerana melihat surau tidak berapa ramai.

Setelah usai solat, saya ke aras 2A gateway@klia2 untuk sarapan di Texas Chicken. Saya memesan set bubur ayam sahaja. Mulanya saya ingin makan sahaja di situ, namun bila merasakan bubur tersebut masih panas danjam di tangan saya menunjukan pukul 7:15 pagi, maka saya ke kaunter semula untuk membungkus sarapan saya itu. 




Biasanya untuk penerbangan domestik, pihak keselamatan lapangan terbang iaitu Polis Bantuan Malaysia Airport Berhad (MAB), membenarkan penumpang untuk membawa makanan yang dibeli di lapangan terbang. Resit kena adalah dan perlu dipersiapkan, jika ditanya. Lagipun saya pertama kali menggunakan perkhidmatan penerbangan domestik di klia2, jadi saya perlu awal sikit.

Saya terus ke pintu masuk pelepasan untuk penerbangan domestik, saya memasukan segala barang logam termasuk tali pinggang dan jam tangan, peralatan elektronik termasuk telefon bimbit dan semua barang pada pakaian saya sehingga kosong semua poket saya ke dalam beg galas kecil saya. Mudah, cuma mereka perlu imbas bas saya saja dan badan saya, tidak perlu berulang-ulang kena buka, sekali jalan sahaja. Cuma saya baru hendak meletakan makanan & minuman yang dibungkus tadi, polis bantuan terbabit menyuruh saya membawa sahaja.






Alhamdulillah, sekali jalan sahaja pemeriksaan saya, tidaklah menyusahkan diri saya, polis bantuan dan orang-orang yang beratur di belakang. Terus  saya menuju ke pintu pelepasan K2. Kena berjalan jauh juga di klia2 ini, malah kena turun beberapa eskalator untuk ke aras pintu pelepasan. Sempat juga saya saya ambil gambar kapal terbang yang akan saya naiki nanti.





Keadaan pagi di sayap K di terminal klia2 ini masih tenteram. Namun kedai-kedai peruncitan telah dibuka. Di hadapan pintu K2, terdapat kedai Victoria Secret, kira oklah, huhuhu. Oleh kerana pintu K2 ini mula-mula sekali dijumpai, saya terus masuk dan memberikan pas pelepasan dan MyKad saya untuk diperiksa.



Seterusnya saya pun menunggu di ruang menunggu pintu K2 ini kerana kapal terbang masih beli dibuka pintunya. Saya pun mengambil kesempatan ini untuk menghabiskan sarapan saya.



Pada jam 7:40 pagi, pintu kapal terbang pun dibuka, dan penumpang-penumpang penerbangan Malindo Air OD2102 ke Pulau Pinang pun memasuki pesawat. Kami disambut oleh pramugari-pramugari Malindo Air seperti gambar di bawah ini.



Sementara menunggu kapal terbang ini bergerak, satu pengumuman dibuat oleh Pegawai Pertama (pembantu juruterbang) mengatakan bahawa penerbangan ini terpaksa dilewatkan sebentar bagi menyelesaikan sedikit masalah mekanikal. Tidak mengapalah, saya pun bukan hendak cepat pun walaupun saya akan bertemu dengan kawan saya di bandar Georgetown nanti. Jam 8:20 pagi, kapal terbang pun bergerak dan 8:30 pagi, berlepaslah dari klia2.




Malindo Air ini kalau ikutkan lebih baik dari AirAsia, kerana ruang kakinya lebih luas. memang selesa. Terutama saya yang dapat duduk di tempat duduk depan sekali bagi kelas ekonomi, iaitu di belakang kelas perniagaan. Sebelum ini semasa perjalanan pulang bercuti bersama keluarga dari Kota Kinabalu pada Mac 2014 pun saya pernah duduk di tempat duduk biasa. Kira lebih luas dari AirAsia mahupun MAS.



Selain itu, Malindo Air ini juga terdapat skrin hiburan bagi setiap tempat duduk. Ia percuma tanpa perlu bayaran tambahan. Juga terdapat port USB membolehkan kita untuk mengecaj peralatan elektonik termasuk telefon bimbit. Cuma, untuk menikmati kandungan di dalam skrin tersebut, jangan lupa membawa sendiri earphone  atau headphone anda sendiri. Jika lupa membawa, anda boleh menyewa earphone dari Malindo Air dengan bayaran RM15.00 dengan memintanya daripada pramugarinya. Cuma ia perlu dipulangkan kembali semasa akhir penerbangan nanti.


Malindo Air juga menyediakan snek lagi setiap penerbangannya. Biasanya saya mendapat kek atau pastri, tetapi bagi penerbangan ini, saya mendapat dua keping biskut berjemkan strawberry. Memang sedap. Air minuman gelas kecil tu standard.




Kali ini saya dapat duduk di tepi tingkap, jadi dapatlah mengambil gambar dan video bagi mengabadikan pengalaman menaiki kapal terbang jenis Boeing 737-900 Malindo Air ini. Sebelum ni saya asyik dapat duduk tengah sahaja. 

Lagi 15 minit sebelum mendarat, skrin hiburan akan menghentikan penayangan kandungannya dan akan menyiarkan kenyataan terima kasih. Cuma ayat yang digunakan masih salah iaitu "Terima kasih telah terbang bersama kami". Bagi saya ia sepatutnya "Terima kasih kerana terbang bersama kami". Harap pihak Malindo Air boleh perbetulkan.





Akhirnya pada jam 9:15 pagi, kapal terbang ini selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PEN) di Bayan Lepas, Pulau Pinang. Lama sudah saya tidak mendapat di lapangan terbang ini. Nampak dari landasan dan laluan teksi, terminal lapangan terbang ini seperti sudah berubah.



Kapal terbang ini akhirnya diletakan di tempat letak B5. Tidak lama kemudian, para penumpang pun keluar dari kapal terbang menuju ke bangunan terminal. Ya, memang sudah berubah. Suasana lebih ceria dan moden dan yang penting sekali, pengasingan antara bahagian penumpang antarabangsa dan penumpang domestik. Barulah keselamatan lebih terjamin. 



Saya terus menuju ke tempat tuntutan bagasi. Alhamdulillah prosesnya tidak lama, memang terbaiklah pengurusan lapangan terbang ini. Kira-kira tidak sampai beberapa minit saya tunggu (rasanya dalam seminit dua), beg pertama sampai, tidak lama kemudian, beg saya juga sampai. Seterusnya terus ke balai ketibaan. Balai ini pun lebih besar dari yang lama. Malah banyak kedai. Jika pengunjung luar negara mahupun dalam negara yang mahu membeli kad SIM, terdapat kedai khas maxis (Hotlink), celcom, DiGi dan Tune Talk di balai berlepas ini. Amat mudah. Terdapat juga banyak kaunter-kaunter kereta sewa. Jika ingin mengambil teksi, kaunter teksi berada di pintu masuk.



Baru saya sedar yang saya hanya mempunyai wang bernilai besar, jadi saya perlu menukar wang untuk menaiki bas untuk ke Jeti Pengkalan Weld (Weld Quay). Ini kerana bas RapidPenang hanya menerima bayaran tambang sebenar, jadi jika ada lebih, maka baki tidak dikembalikan. Bayangkan kalau tambang RM2.70 diberikan dengan wang RM50, berapa banyak kita "sedekahkan" kepada RapidPenang. Jadi saya ke sebuah kedai makan yang ada menjual air minuman botol (air mineral). Sebotol kecil dijual dengan harga RM2.50! Jadilah, kira nasib baik mereka sudi terima wang RM50 saya. Jadi saya dapat wang kecil untuk menaiki bas. Itu pun tidak cukup 20 sen.




Perhentian bas di lapangan terbang ini terletak di luar balai ketibaan iaitu di tingkat bawah sekali. Cuma perlu seberang jalan laluan kereta yang mengambil penumpang, sudah sampai. Dekat sahaja. 



Terdapat banyak papan maklumat tentang laluan serta infomasi terkini RapidPenang di perhentian bas ini. Malah terdapat seorang petugas RapidPenang ditempatkan di sini. Di sini, RapidPenang menyediakan empat laluan iaitu laluan 102 ke Teluk Bahang, laluan 306 ke Hospital Pulau Pinang melalui Relau & Paya Terubong dan laluan 401 dan 401E yang dari Balik Pulau melalui lapangan terbang dan KOMTAR ke Jeti Pengkalan Weld. Kita boleh rujuk laluan dan jadual bas RapidPenang, untuk panduan kita.




Walaupun di Pulau Pinang terdapat juga perkhidmatan bas persiaran Penang Hop In Hop Off yang baru dilancarkan pada bulan November 2014 lepas, RapidPenang juga ada produk yang inovatif yang memang baik untuk pengunjung-pengunjung yang bercadang untuk duduk di Pulau Pinang (termasuk Seberang Prai) sehingga seminggu, boleh menggunakan rapid Passport, iaitu dengan RM30, kita boleh menggunakan perkhidmatan RapidPenang tanpa had selama seminggu. Boleh klik pada rapid Passport untuk lanjut.




Untuk ke Pengkalan Weld, saya boleh mengambil bas laluan 401 dan 401E. Sebenarnya laluan kedua-duanya tidak jauh berbeza, cuma 401E tidak melalui jalan-jalan di pusat bandar Georgetown, terus mengambil laluan utama seperti Lebuhraya Dr. Lim Chong Eu dan Jalan Sultan Azlan Shah. Perlu perhatikan pada nombor laluan bagi bas 401 dan 401E ini. Jika di atas nombor mengatakan Balik Pulau, maka ia adalah laluan ke Balik Pulau, dan jika ia menyatakan Jeti, maka ia ke Pengkalan Weld. Jadi saya perlu ambil yang menyatakan Jeti. Saya menunggu tidak lama untuk bas laluan 401 untuk sampai, kira-kira 10 minit setelah saya sampai di perhentian bas ini. Agak ramai juga yang menaiki bas ini, jadi pengangkutan awam sudah menjadi kemudahan utama bagi orang Pulau Pinang. Lagipun perkhidmatan RapidPenang ini memang boleh dipercayai ketepatan masanya. Saya pun membayar RM3.00 walaupun tambangnya adalah RM2.70. Tidak mengapalah, rugi 30 sahaja.


Setelah semua penumpang menaiki bas dan membayar tambang, maka meluncurlah bas meninggalkan lapangan terbang menuju ke pusat bandar Georgetown.

Sepanjang perjalanan, saya dapat melihat keadaan di Pulau Pinang. Adalah sedikit perubahan berbanding semasa saya bertugas di sini pada tahun 2007-2008 dahulu. Terimbau kembali kenangan di sini. Jalan raya seperti lebih teratur dan kurang sesak, mungkin kerana belum lagi masanya kerana biasanya. Cuma ada yang berubah tetapi lebih teruk adalah sungai dan paritnya, kelihatan lebih teruk berbanding dahulu. Lebih hitam airnya.



Perjalanan mengambil masa kira-kira sejam suku untuk sampai ke Jeti Pengkalan Weld. Sebenarnya boleh cepat lagi, cuma semasa di Lebuh Chulia, jalan agak sesak sikit, mungkin kerana masih ada sisa perayaan Thaipusam yang dirayakan pada awal minggu ini.




Sampai di terminal bas Jeti Pengkalan Weld, kawan saya (beliau minta untuk tidak didedahkan identitinya) sudah tunggu. Saya pun sudah lama tidak berjumpa beliau, namun pada kali ini beliau cuma boleh bersama saya untuk dua jam sahaja kerana pada pukul 1:00 tengahari, beliau perlu ke Kepala Batas kerana ada jemputan kenduri. Ini pun pergi lambat kerana hendak jumpa saya. Beliau meletakan keretanya di Masjid Kapitan Keling kerana ingin berjalan kaki bersama saya, kerana fokus saya pada kembara ini adalah untuk melihat Street Art. Jadi beliau akan membawa saya ke Street Art yang popular kerana kalau hendak melawat semua dengan berjalan kaki tidak cukup seharian katanya.





Memang itu pun saya mahu, pasal bukan semua saya nak pergi lihat. Cukuplah beberapa, kerana semasa saya ke sini pun Street Art ini belum ada lagi. Lagipun saya berseloroh dengan dia "Hang nak tinggai aku pun tak pa aih, aku hapai lagi jalan kat Tanjung ni, hang gak ajaq aku jalan ni". Yang penting saya dapat jumpa dengan dia cukuplah. Satu lagi, orang Pulau Pinang terutama yang Melayu memanggil kawasan perbandaran Georgetown dengan nama Tanjung.



Mula-mula kawan saya ini membawa saya ke Lebuh Victoria. Sebenarnya lukisan ini tidaklah popular sangat pada sebenarnya dalam perjalanan menuju lukisan atau hasil seni yang popular di Lebuh Ah Quee. Sampai di Lebuh Ah Quee, hah ambil kau, ramai orang. Tapi selamat masih pagi lagi walaupun sudah pukul 11:00 pagi. Tidaklah panas sangat. Lagipun, susun atur bangunan di Georgetown ini menyebabkan anda sentiasa rasa terteduh sahaja.  Terdapat hasil seni budak bermain layang-layang dan budak di atas sebuah motorsikal di sini. Saya pun ambil la posisi yang difikirkan spontan. Cuma rasa lihat hasil seni ini semakin pudar malah seni budak bermain layang-layang sudah terhakis dek kerana pengelupasan dan hakisan dinding yang menjadi "kanvas"nya. Sewajarnya pihak terbabit perlu bertindak demi menjaga hasil seni ini kerana ia telah menjadi daya tarikan pelancongan ke Pulau Pinang.


Seterusnya kami ke Lebuh Armenian yang menempatkan satu lagi hasil seni Street Art yang popular iaitu sepasang budak menaiki basikal. Semasa saya hadir di situ, terdapat ramai pelancong yang berbasikal datang mengambil gambar di sini. Rupa-rupanya basikal-basikal tersebut disewa. Sudah menjana pendapatan kepada penduduk tempatan. Saya mengambil gambar di tengah-tengah mereka mengambil gambar. Mungkin kerana hormat-menghormati jadi diberikan peluang kepada saya untuk mengambil gambar. Lagipun saya memang ada tolong mereka untuk ambilkan gambar mereka. 




Setelah itu kami pun menelusuri Lebuh Armenian ini. Dulu Lebuh Armenian ini tiada apa yang menarik, tetapi mungkin kerana penangan Street Art ini dan juga status tempat ini menjadi Tapak Warisan Dunia UNESCO, menukar jalan ini menjadi kawasan mesra pelancong. Banyak kedai menjual cenderahati dan juga kedai-kedai makan. Banyak juga kedai yang menyediakan perkhidmatan berkaitan perlancongan seperti sewa basikal dan motorsikal. Malah ada kedai menjual buku dan hasil seni anak tempatan. Memang berubah sekali.



Seterusnya kami ke Masjid Kapitan Keling. Semasa ke sini, berdering-dering telefon kawan saya. Jesteru itu saya faham, saya berkata padanya agar pergi sahaja la janji dia itu, saya boleh jalan sendiri, yang penting kita sudah berjumpa. Lagipun urusan saya dan beliau telah selesai semasa perjalanan, alhamdulillah. Jadi beliau meminta diri, walaupun ralat kerana tidak sempat hendak belanja makan.



Saya singgah bersolat sunat dhuha di masjid ini. Lagipun sepanjang saya bertugas di Pulau Pinang, saya tidak berkesempatan untuk bersolat di masjid ini. Masjid Kampung Acheh yang berdekatan pernahlah saya bersolat. Saya sungguh kagum dengan masjid ini, masih bertahan walaupun berada di persekitaran bukan Islam. Seni binanya amat indah dan kukuh, masih bertahan hingga kini. Rasa bersyukur dapat bersolat di sini. 


Di sebelah masjid ini terdapat restoran nasi kandar yang popular iaitu Restoran Nasi Kandar Beratur, tetapi cuma dibuka malam. Jadi tidak sah kalau ke Pulau Pinang kalau tidak pekena nasi kandar, saya berjalan melalui Jalan Buckingham menuju ke Lebuh Campbell untuk ke restoran nasi kandar kegemaran saya di Pulau Pinang, iaitu Restoran Hameediyah. Sebenarnya setiap orang mempunyai restoran kegemaran masing-masing. Tapi bagi saya, ini yang terbaik terutama lauk kari kapitannya. Memang meletop, terbaabooo!!!





Nampaknya, masih di tempat sama cuma kedai menjadi satu lot sahaja. Dulu restoran ini mengambil 2 lot. Tetapi terdapat satu lagi cawangan selang 4 kedai, tapi saya tetapi pergi ke kedai asal. Memang sudah berubah, menjadi moden. Saya macam biasa pula di sini, memesan nasi kandar lauk ayam kari kapitan, pedal ayam goreng 5 ketul, sayur, bendi rebus dan yang paling istimewa, cili hijau jeruk yang dimasak dengan kari. Perkhh... Macam biasa makan di tingkat atas.





Semasa menaiki tangga ke atas, sempat juga saya mengambil gambar lif kecil khas untuk mengangkat makanan dan minuman dari dapur di bawah ke atas. Ini memang artifak bersejarah restoran ini yang saya bersyukur masih ada.





Suasana tingkat atas pun sudah berubah, dan lebih moden dan selesa. Tapi saya menjadi tidak sabar untuk makan. Saya pesan air kosong, minuman asasi saya. Namun baru teringat, lassi mangga restoran ini adalah termantop. Tanpa menunggu air sampai, apa lagi, ngappp... Huh! Terasa bagaikan di syurga. Memang kualiti dan kesedapannya tidak berubah. Tidak lama kemudian minuman pun sampai. Setiap suapan mencetuskan kenikmatan yang tidak dapat digambarkan. Hanya Allah sahaja yang tahu, alhamdulillah.




Alhamdulillah, saya lepak agak lama di sini. Sekarang restoran ini sudah berhawa dingin. Setelah 45 minit menikmati kenikmatan nasi kandar berkari kapitan di Restoran Hameediyah, saya pun ke bawah untuk membayar. Hanya RM14.50, saya ingat harga sudah mahal, tetapi masih murah. Rasa hendak makan lagi, tapi nasi kandar tidak boleh makan banyak-banyak, nanti mamai (mengantuk) hahaha. Alhamdulillah.




Bersambung Bahagian 2.

Jika mahu lihat: 

If want to read in English: 
  • PreJourney
  • Itinerary; 
  • Part 1 (this part); or 
  • Part 2.

Tiada ulasan: