Hari 5 - 02 Februari 2015 (Isnin).
Pagi ini, awal pagi lagi anak-anak saya hendak mandi kolam renang di hotel ini. Biasalah anak-anak, pantang tengok kolam renang. Jadi walaupun masih pagi, namun saya membenarkan mereka untuk mandi. Lagipun bukan selalu.
Setelah lebih kurang sejam setengah di kolam renang, kami pun balik ke bilik, walaupun anak-anak masih hendak berendam di kolam renang. Bukan apa, kami belum bersarapan lagi. Di bilik, kami bersarapan dengan apa kami beli di pasaraya Giant semalam. Antaranya mee goreng segera Indomie perasa Cabai Hijau. Teringat semasa berwukuf di Arafah dan bermalam untuk melontar di Mina semasa ibadah haji kami, itulah makanan sampingan yang dibekalkan oleh pihak Muasassah sementara menunggu hidangan makanan utama.
Sejam kemudian iaitu dalam pukul 10:30 pagi, kami pun keluar dari hotel untuk berjalan-jalan sekitar pusat kota Jakarta Pusat ini. Asalnya kami ingin menaiki TransJakarta tetapi apabila melihat bas tersebut asyik penuh sahaja, jadi kami mengambil keputusan untuk berjalan kaki sahaja. Kalau dilihat di dalam Google Maps, Monumen Nasional atau Monas tidaklah jauh mana.
Kaki lima pejalan kaki di Jakarta ini lebih baik berbanding kaki lima di kota-kota lain di Indonesia yang pernah saya pergi seperti Batam, Dumai dan Medan yang mana agak tidak berapa mesra pejalan kaki. Cuma di Banda Aceh agak baik sikit tetapi Jakarta masih terbaik. Namun masih boleh diperbaiki, kerana kaki limanya agak tidak rata. Semasa berjalan juga saya sempat mengambil gambar bajaj (disebut bajai), sebuah pengangkutan 3 roda, kalau di Thailand dipanggil tuktuk atau di di India dipanggil auto.
Dalam perjalananjuga, kami dapat lihat dari seberang jalan,Pasar Baru, yang mana merupakan antara penempatan lama di kota Jakarta ini selain Kota Lama. Cuma kami, tidak singgah kerana di seberang jalan. Lagipun mungkin masa lama jika mahu singgah, tidak sesuai untuk perjalanan bersama anak-anak. Apa yang saya difahamkan, Pasar Baru ini lebih hidup pada waktu malam.
Setelah berjalan lebih kurang 3 kilometer dan dekat hampir sejam, maka kami hampir sampai ke Monas. Sebenarnya sepanjang perjalanan, kami melalui banyak pejabat-pejabat utama pemerintah pusat Indonesia dan juga banyak juga tempat-tempat yang boleh dilawat seperti Gedung Kesenian Indonesia, pejabat filateli (biro peminat setem dan barangan pos) Pejabat Pos Besar Pos Indonesia, Markas Tentera Nasional Indonesia -Angkatan Darat (TNI-AD) dan Kementerian Dalam Negeri Indonesia. Cuma kami tidak singgah sahaja. Kalau saya seorang atau bersama isteri sahaja, mungkin akan singgah. Tidak mengapa, percutian kembara ini pun sebenarnya untuk mendedahkan anak-anak kami konsep pengembara. Sempat juga saya ambil gambar beberapa keping seperti patung presiden pertama Indonesia, Soekarno di Markas TNI-AD (seperti gambar di atas).
Akhirnya sampai juga kami di pintu timur laut Monas. Akan tetapi hari ini adalah hari Isnin dan hari Isninlah Monas ditutup. Tidak mengapalah, asal dapat bergambar dari luar pun cukuplah. Monas ini di kira sebagai imej kota Jakarta dan juga wilayah Daerah Khusus Ibukota Jakarta. Siap dibina pada tahun 1975, ia dikira mercu tanda kemerdekaan negara Indonesia. Maklumatnya boleh digoogle atau dibaca di Wikipedia. Menariknyanya, di atas tugu ini, yang berupa nyalaan api (Monas berbentuk seperti obor), merupakan diperbuat daripada emas tulen. Tidak mengapa, yang penting saya dapat mengambil kenangan menambil gambar di sini dan melihat Monas (walaupun sebenarnya saya sudah melihatnya 13 tahun lepas (2002) semasa bekerja di sini sekejap).
Seterusnya, kami berjalan ke Masjid Istiqlal yang tidak berapa jauh dari situ. Masjid ini merupakan masjid terbesar di Indonesia dan pernah menjadi masjid terbesar di Asia Tenggara. Ia dibuka pada tahun 1978, ia menjadi pusat agama Islam di Indonesia sejak dari itu. Istiqlal di dalam bahasa Arab bermaksud merdeka, ia juga menjadi simbol kemerdekaan Indonesia juga. Maklumat lanjut mengenai masjid ini boleh digoogle atau boleh membacanya di Wikipedia.
Di hadapan pintu masuk Masjid Istiqlal, terdapat sebuah gereja iaitu Katederal Jakarta. Ia membuktikan bahawa toleransi agama diamalkan di Indonesia. Kami hanya di luar sahaja untuk menambil gambar. Di sini juga anak-anak kami mulai penat dan kami mengambil keputusan untuk pulang. Kami melalui Jalan Katedral, Jalan Gedung Kesenian dan Jalan Budi Hartono. Bermakna kami melalui juga di hadapan Kantor (Pejabat) Pos Besar Pos Indonesia, Kantor Kementerian Keuangan Indonesia dan antara sekolah terlama di Jakarta, SMAN 1 Jakarta. Semasa berjalan di sini, anak perempuan saya sambil berjalan sambil menutupkan matanya. Kami tidak menyedarinya sehingga seorang wanita prihatin datang menegur. Tidak sangka kami, penat agaknya anak perempuan kami. Nasib baik perjalanan ke hotel tidak jauh.
Akhirnya kami sampai ke hotel. Jadi sampai ke bilik kami membersihkan diri dan tidur sampai ke petang. Pada pukul 4:00 petang kami turun untuk makan, kebetulan semasa pulang dari Monas, kami menjumpai kedai makan nasi padang (semacam sudah jadi makanan rasmi kami di Indonesia) di sebelah hotel. Kami pun makan agak berat agar malam tidak perlu cari makan lagi. Harga pun agak murah dan nasi yang diberikan agak banyak berbanding di kedai makan atau rumah makan lain.
Selepas itu kami hanya duduk di dalam bilik sahaja. Melayan televisyen dan ada ketika anak-anak dan isteri saya turun ke bawah, untuk mandi di kolam renang. Saya sempat juga mengambil gambar keadaan kota Jakarta terutama di kawasan Kemayoran ini. Sebenarnya udara kota Jakarta ini agak berjerubu sikit, berbeza dengan keadaan di Kuala Lumpur yang sentiasa cerah kecuali apabila masa jerubu melanda. Mungkin kerana pelepasan asap daripada industri dan kenderaan di Jakarta agaknya.
Jadi itulah catatan hari kedua di Jakarta atau hari kelima di Indonesia.
If want to read in English:
- Pre Vacation;
- Itinerary;
- Day 1;
- Day 2;
- Day 3;
- Day 4;
- Day 5 (this part); or
- Day 6.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan