Isnin, 14 Disember 2015

Hari 1 (Macau, Hong Kong, Shenzhen & Guangzhou, Guangdong, China - 09 hingga 15 November 2015) - Macau, Tinggalan Portugis Di Dunia China.

Bersambung dari Pra Kembara.

Jika mahu lihat catatan: 
If want to read in English: 
  • PreJourney; 
  • Itinerary; 
  • Day 1 (this part); 
  • Day 2 Part 1; 
  • Day 2 Part 2; 
  • Day 3; 
  • Day 4; 
  • Day 5; or 
  • Day 6 & 7. 



Saya di depan Tinggalan Gereja St Paul, Macau.

09 November 2015 (Isnin)

Akhirnya sampai juga hati yang ditunggu-tunggu. Rasa teruja untuk ke tiga-tiga negara ini. Tidur pun dalam 3 jam sahaja iaitu dari pukul 11:00 malam ke pukul 2:00 pagi. Bangun sahaja pada pukul 2:00 pagi, terus menyiapkan kedua-dua beg galas kami untuk diisi pakaian dan barang-barang lain. Selesai sahaja, kami terus mandi dan memakai pakaian. Pukul 3:15 pagi, kami terus bergerak ke klia2 dengan menaiki skuter saya.


Kami singgah dahulu di kawasan rehat dan rawat Dengkil arah  selatan untuk bersarapan awal, kira-kira pukul 4:00 pagi, maklumlah, kemungkinan kami akan makan agak lewat hari ini. Kena pula di Macau nanti berkemungkinan hendak jumpa makanan halal di jalanan agak sukar. Makan pun tidaklah berat sangat pun, satu hidangan berkongsi berdua. Nasi dengan ikan patin masak asam dan sayur sahaja.


Setelah usai bersarapan awal, kami meneruskan perjalanan kami ke klia2. Namun selepas menunggang beberapa kilometer, tiba-tiba skuter yang kami menaiki berhenti tiba-tiba. Bau agak hangit seperti getah terbakar. Rupa-rupanya, timing belt skuter saya terputus. Baru teringat, saya terlupa untuk menghantar skuter saya untuk ditukar timing belt tempoh hari kerana agak sibuk. Lagipun sudah lebih 25 000 kilometer sejak pertukaran terakhir dibuat. Alamak macam mana ni, tidak berapa jauh pun. Isteri saya segera menelefon kakaknya yang tinggal di Salak Tinggi. Saya pun cuba menuntun skuter saya sejauh mungkin ke tempat lebih selamat. Maklumlah, kami berada di tepi lebuhraya besar dan utama (Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah atau lebih dikenali sebagai Lebuhraya ELITE), agak bahaya dengan kenderaan besar agak banyak pada masa ini disamping kenderaan lain. Waktu pula beberapa ketika sebelum waktu subuh.


Selang tidak berapa jauh menuntun skuter, saya pun penat, dan meminta isteri saya menelefon pihak PLUS Expressway Berhad (PLUS), pemegang konsesi Lebuhraya Utara-Selatan ini melalui talian PLUSline iaitu 1 300 88 0000, memaklumkan masalah kami. Pihak PLUSline menyatakan bantuan akan tiba tidak lama lagi. Jadi kami pun menunggu kakak ipar saya dan pihak PLUSronda untuk tiba. Tidak lama selepas itu, terdapat dua buah motorsikal berhenti, bertanyakan kepada kami masalah kami, namun saya kata kami sudah menelefon PLUSronda yang akan tiba bila-bila masa. Risau kerana mereka sudah ada topi keledar, seperti geng samun sahaja. Nasib baik mereka beredar. Syukur.


Dalam masa 20 minit kemudian, kira-kira pukul 5:15 pagi, pihak PLUSronda pun tiba. Agak mengurangkan sedikit rasa risau, kerana dalam beberapa minit lagi, pintu pelepasan penerbangan kami akan dibuka. Pemandu trak pick-up PLUSronda yang mana mereka juga merupakan polis bantuan datang kepada saya dan bertanya, "Hah, nak apa?". Agak terkedu saya, terasa macam kami mengemis sahaja, sedangkan kami dalam keadaan agak susah masa itu, bukan kami minta. Kami tahu kami cuma motorsikal bukan kereta atau kenderaan lain yang membayar tol, namun kami masih juga pengguna lebuhraya juga kan? Kami bukan nak suruh apa pun, bukan nak suruh angkat skuter ke apa.


Saya rasa hendak marah pun ada, terus saya meminta isteri saya untuk bercakap dengan anggota PLUSronda terbabit. Kalau saya cakap, risau akan jadi sesuatu yang tidak enak nanti. Akhirnya, pada masa tersebut, sedan isteri saya menceritakan masalah kami, saya mendapat penyelesaian. Kami terpaksa meninggalkan skuter kami kerana kakak ipar dan biras saya akan sampai tidak lama selepas. Kebetulan anggota PLUSronda itu menawarkan kepada kami untuk dihantar ke klia2. Alhamdulillah, seperti kena dengan penyelesaian yang saya fikirkan. Kunci skuter terpaksa disembunyikan di tempat rahsia di sekitar kawasan skuter kami tinggalkan, dan kami pun dibawa dengan trak PLUSronda tersebut ke klia2.


Di dalam trak PLUSronda, tidak habis-habis anggota PLUSronda yang juga pemandu trak itu mengatakan yang dia ikhlas membantu, tapi bagi saya, nada suaranya seperti sebaliknya, tetapi siapalah saya yang hendak pertikaikan. Dia dah bantu bawa ke klia2 pun dah cukup berbesar hati saya. Rakannya di sebelah, senyap sahaja sejak awal. Apabila sampai di sempadan had penyelenggaraan antara PLUS dan Jabatan Kerja Raya (JKR) pun hendak beritahu, juga menyatakan bahawa syif kerjanya sudah habis.


Sampai sahaja di klia2, saya bersalam dengan menyelitkan RM10.00 kepada beliau, namun ditolak. Apa-apa pun kami amat berterima kasih kepada mereka kerana sudi membantu menghantar ke klia2. Masa pun hampir pukul 6:00 pagi. Apa lagi, memecutlah kami dari kawasan menurunkan penumpang untuk berlepas ke pintu berlepas. Nasib baik kami sudah daftar masuk dan kali ini tidak memerlukan untuk mengesahkan pas pelepasan kami, mungkin kerana untuk ke Macau, pemegang pasport Malaysia tidak memerlukan visa untuk memasuki Macau. 


Selepas diperiksa pas pelepasan dan dibandingkan dengan pasport kami oleh anggota polis bantuan lapangan terbang, kami segera ke pintu autogate imigresen untuk pemeriksaan imigresen. Selepas itu cepat-cepat kami ke mesin pengimbas kastam pula. Kebetulan mesin paling kanan sekali baru buka. Memandangkan pintu pelepasan kami adalah pintu Q17, jadi kami perlu untuk ke bangunan satelit. Berkejar sehinggakan sambil berjalan, kami memasukan benda-benda berasaskan logam ke dalam beg, untuk mempercepatkan pemeriksaan oleh pihak keselamatan (polis bantuan) lapangan terbang. Susah sikit sekarang, banyak sangat pemeriksaan di lapangan terbang ini terutama selepas kes MH370.


Sampai di pemeriksaan keselamatan, beg isteri saya yang mempunyai stok makanan ditahan. Rupa-rupanya sambal tumis dan nenas dalam sirap, kedua-duanya dalam tin, pemberian biras saya satu lagi, yang merupakan seorang anggota polis tidak lepas. Tidak mengapalah, kami halalkan dan tinggalkan sahaja. Rezeki mereka. Kami segera ke surau selepas tempat keselamatan kerana kami belum menunaikan solat subuh lagi. Usai solat, panggilan untuk pelepasan bagi penerbangan AirAsia AK182 kedengaran. Kami pun berlari seperti tidak cukup lantai, huhuhu. 


Akhirnya sampai juga dan dapat masuk ke dalam pesawat. Kami merupakan penumpang terakhir masuk, alhamdulillah. Di sana, baru berjumpa dengan rakan sepengembara kami, abang Zainudin Selamat dan isterinya. Kapal terbang kami kemudian bergerak ke landasan terbang dan terbang meninggalkan klia2 pada jam 6:45 pagi. Alhamdulillah. Dapat juga kami meneruskan pengembaraan walaupun hampir-hampir tidak dapat berlepas.


Permandangan kepak kapal terbang 9M-AFY yang sedang meluncur di udara.

Saya dan isteri di dalam penerbangan AK182.

Di atas kapal terbang yang sedang terbang, barulah rasa lega, walaupun ketika itu peluh mencurah-curah keluar dari liang-liang peluh. Memang kelenjar peluhku berkerja kuat hari ini, huhuhu. Membetulkan corong penyaman udara di atas kelapaku, ah, nyamannya. Barulah boleh berborak dengan abang Zainudin yang duduk di sebelahku. Lama juga kami berborak, hampir sejam juga. Namun troli makanan masih belum bergerak dari galley di belakang. Setelah berborak, saya mengambil majalah travel 3sixty AirAsia untuk di baca. Rupa-rupanya, keluaran kali ini adalah keluaran ke-100nya, beruntungnya. Teringat lagi keluaran pertama lebih 8 tahun sebelumnya, rasa seperti baru lagi. Masa itu rupa majalah ini ringkas sangat, sekarang sudah berbeza.

Muka depan majalah 3sixty keluaran November 2015.

Setelah dua jam di udara, iaitu semasa berada di ruang udara Vietnam, barulah makanan dihidangkan. Agak lambat juga, mungkin ada sebab-sebab tertentu. Selepas habis sahaja kami makan, saya pun sempat melelapkan mata selama sejam.

Laluan penerbangan AK182 di flightradar24.

Selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Macau (MFM).

Saya tersedar selepas sejam lebih terlelap. Tidak lama kemudian, tanda isyarat tali pinggang keselamatan dinyalakan. Pesawat menghampiri Macau dan bersiap-siap untuk mendarat. Walaupun saya tidak duduk di tempat duduk sebelah tingkap, namun nampak juga keadaan di luar pesawat dari tingkap. Nasib baik yang duduk sebelah tingkap itu isteri saya. Bukan apa, landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Macau (MFM) ini terletak di atas laut, hendak juga melihat bagaimana keadaannya semasa pesawat ini mendarat. Akhirnya selepas 20 minit menunggu, pesawat ini mendarat juga.

Pendaratan AirAsia AK182 di MFM.

Pesawat parkir di apron MFM. Bas terminal sedia menanti.


Sepuluh minit kemudian, pesawat ini dengan selamatnya parkir di apron MFM ini. Ia tidak parkir di ruang parkir yang mempunyai jambatan udara, tetapi yang tiadanya. Nampak gaya, kami kena melalui tarmac lah. Dari tingkap pesawat, saya nampak beberapa buah bas sedang menunggu untuk mengambil kami dari pesawat ke bangunan terminal.


Turun dari pesawat, kami terus menaiki bas. Rupanya, bas itu membawa kami sekejap sahaja, dalam 10 saat, sudah sampai ke destinasi. Dalam jarak 50 meter begitu. Nasib baik kami antara yang terakhir menaiki bas. Jadi tidak rasa sangatlah, kerana yang awal itu rasanya kena menunggu sedikit. Jadi mereka ralat jugalah, kerana jika berjalan, maka sudah lama sampai ke bangunan terminal. Tapi mungkin ketika itu, arahan diberikan agar tiada penumpang yang berjalan kaki ke bangunan terminal, agaknya.


Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Macau (MFM), 
sebelum kaunter imigresen.

Apabila kami sampai di bangunan terminal pada pukul 10:30 pagi (waktu Macau (UTC +8)) kami pun terus beratur di hadapan kaunter imigresen. Menariknya, tiada sebarang borang yang perlu kami isi sebelum beratur ini. Kami sebenarnya agak ke terbelakang juga, jadi kena tunggu sikitlah. Namun urusan imigresen Macau ini agak cepat juga. 

Di Macau ini, waktunya adalah sama dengan waktu Malaysia iaitu UTC +8 untuk sepanjang tahun, jadi tidak perlu susah-susah untuk menukar waktu di jam tangan.

Sampai giliran saya, pasport di serah. Terlihat juga tulisan-tulisan yang ada sekitar kaunter ini. Terdapat tulisan tiga bahasa iaitu tulisan Bahasa Portugis, tulisan tradisional Cina dan tulisan Bahasa Inggeris. Tiada tulisan ringkas Cina (seperti yang digunakan di tanah besar China). Selepas itu, sekejap sahaja pasport saya dikembalikan.

Slip imigresen Macau (depan).


Slip imigresen Macau (belakang).

Saya menyemak pasport saya, tiada cop pasport Macau, yang ada, saya mendapat slip imigresen Macau yang menggantikan cop. Untuk pemegang pasport biasa Malaysia, kemasukan selama 30 hari diberikan tanpa sebarang visa. Tapi kalau nak melancong, rasanya tidak perlu 30 hari, pasal Macau ini bukan besar mana, lagipun ia tidak termasuk ke Hong Kong atau tanah besar China, pasal masing-masing mempunyai regim imigresen yang berbeza, walaupun kesemuanya adalah satu negara. Kira macam Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak juga, cuma Sabah dan Sarawak tidaklah seketat macam Macau-Hong Kong-China. Beransur dari kaunter imigresen, saya mengambil beberapa lembaran (leaflet) daripada pihak polis Macau untuk rujukan.


Lembaran  Imigresen Macau (luar).


Lembaran Imigresen Macau (dalam).


Lembaran Polis Macau.

Saya terus mendapatkan isteri saya, abang Zainudin dan isterinya yang telah siap menjalani prosedur imigresen Macau lebih awal dari saya. Memandangkan kami tiada bagasi yang didaftar masuk, terus kami keluar menuju ke balai ketibaan. Di balai ketibaan, terdapat banyak kemudahan, seperti pejabat agensi kerajaan Macau untuk perlancongan, pengurup wang, kaunter sewa kereta dan sebagainya. Bagi kad sim prabayar pula, ia boleh didapati melalui mesin runcit automatik.

Ketika ini kami mengaktifkan kad sim i-Sim 3 negara yang kami beli tempoh hari. Alhamdulillah, ia dapat digunakan.


Mesin runcit automatik kad sim CTM.

Berita baik, alat elektrik dan elektronik dari Malaysia, Singapura dan United Kingdom, tidak perlukan penyesuai plug, kerana soket plug di Macau dan juga di Hong Kong adalah sama sahaja. Cuma di Macau dan Hong Kong, kebanyakan soket tiada suis on/off seperti di Malaysia.

Soket plug di Macau & Hong Kong.

Pintu menuju ke stesen bas Lapangan Terbang Antarabangsa Macau.

Kami bergerak pula menuju ke pintu utara MFM untuk ke stesen bas-bas shuttle yang terletak tidak jauh dari pintu utara MFM ini. Berjalan sedikit, sudah sampai di stesen bas ini. Tidak jauh dari stesen ini di sebelah barat (kiri, jika membelakangi pintu utara), kelihatan stesen LRT Macau sedang dalam pembinaan, mungkin akan siap dalam masa enam bulan ke setahun lagi, insya Allah.

Stesen bas Lapangan Terbang Antarabangsa Macau.

Tujuan kami menaiki bas shuttle ini adalah ia diberikan secara percuma, walaupun kita bukan pengunjung atau penginap hotel yang berkenaan. Tapi kita janganlah nampak sangat yang kita ini bukan pengunjung atau penginap hotel yang berkenaan, berlakon la sikit kan. Saya sebenarnya mencari bas Hotel Lisboa/Grand Lisboa tetapi tidak jumpa (ada sebenarnya tapi terlepas pandang), kerana ia adalah yang terdekat dengan Dataran Senado. Akhirnya, kami menaiki bas shuttle hotel Wynn yang berwarna merah, yang kebetulan hendak meninggalkan stesen bas ini.

Bas shuttle percuma Hotel Wynn.


Kami dalam bas.


Macau dari atas Jambatan Amizade.

Jadi kami pun menuju ke hotel Wynn Macau dengan bas ini. Bas ini melalui Jambatan Amizade iaitu jambatan yang terpanjang di Macau yang menghubungkan pulau Taipa, di mana terletaknya MFM dan semenanjung Macau. Cantik juga permandangan dari atas jambatan ini, langit cerah. Jadi dapatlah saya mengambil beberapa keping gambar di atas jambatan ini dari dalam bas.

Macau dari atas Jambatan Amizade.


Jambatan yang menghubungkan Hong Kong dengan Macau dan Zhuhai (China) yang sedang dalam pembinaan.


Macau dari atas Jambatan Amizade.


Terminal Feri Outer Harbour dari atas Jambatan Amizade.


Cockpit Grand Prix Macau.

Apabila kami sampai di tanah semenanjung Macau, iaitu di sekitar Terminal Feri Outer Harbour, sebahagian jalan ditutup kepada lalu lintas. Ini kerana memberikan ruang untuk kerja-kerja persediaan Grand Prix Macau yang akan diadakan. Memang kami nampak, ruang pit stop, tempat duduk grand stand dan pagar keselamatan didirikan. Jalan yang kami lalui sebenarnya adalah sebahagian daripada litar perlumbaan kereta ini. Grand Prix ini diadakan di jalanan sebenar di jalan-jalan di Macau.

Tempat duduk grand stand Grand Prix Macau.


Di dalam bas shuttle  Hotel Wynn.


Perhentian bas shuttle hotel Wynn.

Akhirnya sampai juga ke perhentian bas shuttle hotel Wynn. Turun dengan selamba sahaja. Tidak perlu bayar apa-apa. Kami pun jalan menuju ke hotel Grand Lisboa yang memang jelas jadi mercu tanda utama. Semasa berjalan, sempat bergambar, kononnya masuk kasino, hakikatnya, cuma bergambar di hadapan sahaja.

Di hadapan kasino Wynn.


Peta perjalanan dari MFM ke Hotel Wynn.


Teksi di Macau.

Meneruskan perjalanan, dapat ambil beberapa keping gambar. Teksi di Macau berwarna hitam berbumbung putih. Nasib baik langit hari ini umpama mengalu-alukan kehadiran kami.

Papan tanda Wynn.


Macau dari depan Hotel Wynn.


Hotel Wynn.


Terowong pejalan kaki antara Hotel Wynn ke Hotel Lisboa.

Cuma jalan-jalan di Macau ketika ini banyak ditutup dan banyak lencongan, jadi kalau nak guna Maps, agak mengelirukan. Jalan di kawasan sekitar hotel Wynn ni pun agak besar. Namun sambil berjalan itu, terjumpa terowong bawah tanah. Jadi kami pun menggunakan terowong ini.

Hotel Grand Lisboa.

Keluar sahaja dari terowong, rupanya tersergam bangunan hotel Grand Lisboa yang memang unik rekabentuknya. Hendak mengambil gambar pun kena buat talaan terhadap kamera atau mencari sudut yang sesuai, kerana agak bersilau. Ini kerana permukaan bangunan ini merupakan diperbuat dari kristal. Tidak boleh lama-lama, kerana kami perlu meneruskan perjalanan ke Dataran Senado (Senado Square atau Largo de Senado).

Bangunan Biro Hal Ehwal Sivik dan Perbandaran (Civic And Municipal Affairs Bureau / Instituto Para Os Assuntos Civico E Municapis), Macau.

Setelah daam sepuluh minit berjalan, maka sampailah kami ke Dataran Senado yang terkenal itu. Tidak sah kalau ke Macau kalau tidak ke dataran ini. Boleh dikatakan, Dataran Senado ini merupakan pusat pemerintahan Portugis ketika pemerintahan penjajah ini di Macau. Banyak bangunan lama terdapat di sini, seperti bangunan Biro Hal Ehwal Sivik dan Perbandaran yang dahulunya merupakan bangunan senat (parlimen) Macau (Leal Senado (Loyal Senate) - Senado bermaksud senat), bangunan pejabat pos yang masih berfungsi sebagai pejabat pos, bangunan majlis perbandaran yang kini sebahagiannya menjadi pejabat pelancongan Macau dan sebahagian lagi menjadi pusat komersial dan banyak bangunan lagi.

Dataran Senado (Largo de Senado).


Jalan-jalan kecil di Dataran Senado.

Dataran ini telah diturap dengan jubin-jubin yang mempunyai reka bentuk khas iaitu reka bentuk jalanan Portugis. Di tengah-tengahnya terdapat sebuah air pancut yang mempunyai arca berbentuk lambang negara Portugal.

Saya di depan Gereja St. Dominic.


Saya dan tanda arah di Dataran Senado.

Kami meneruskan perjalanan ke Tinggalan Gereja St Paul pula. Jalan ke sana dan sekitarnya memang dijadikan jalanan khas untuk pejalan kaki. Kawasan ini juga telah diisytiharkan sebagai tapak warisan sejarah UNESCO. Sepanjang perjalanan, terdapat juga banyak bangunan tinggalan sejarah. Orang agak ramai juga ketika kami lalu di sana.

Gerai-gerai di jalan menuju ke Tinggalan Gereja St Paul 
(The Ruins of St Paul / Ruinas da Sao Paulo).


"Durian" bergerak?

Dalam perjalanan, terdapat banyak juga kedai-kedai yang menjual pelbagai barangan. Tidak kira dari barang keperluan harian, perkhidmatan seperti bank dan telekomunikasi malah sudah tentu yang berkaitan dengan pelancongan. Menarik juga cara mereka menarik pelanggan untuk berkunjung ke kedai mereka. Terutama bagi kedai yang bukan terletak di tepi jalan, iaitu perlu masuk ke lorong-lorong kecil. Sampai kena menjadi maskot bagai. Maskot durian pun ada, tapi apabila saya ingin mengambil gambar, orang yang menjadi maskot, seperti tidak mahu gambarnya diambil.

Penjaja jalanan.

Kedai pengurup wang juga banyak di sepanjang jalan. Kadar pertukarannya juga agak bagus sekali. Mungkin lain kali kalau nak ke Macau, boleh tukar di sini. Sekurang-kurangnya dapat simpan duit Dollar Hong Kong (HK$) untuk kegunaan di Hong Kong. Malah agak untung sedikit, walau tidak banyak. Kadar pertukaran pada masa itu adalah, RM1.00 = Pataca Macau (MOP$)1.89 atau MOP$1.00 = RM0.53, lebih baik dari kadar di Malaysia (agak sukar untuk mencari pengurup wang di Kuala Lumpur yang boleh menukar ke MOP$) yang berkadar MOP$1.00 = RM0.55 (masa itu kadar pertukaran HK$1.00 = RM0.56).

Kadar tukaran asing di Dataran Senado.


Saya di depan Tinggalan Gereja St Paul.


Video saya di Tinggalan Gereja St Paul, Macau 

Setelah berjalan kira-kira lima belas minit dari Dataran Denado, akhirnya sampai juga kami di kaki tangga Tinggalan Gereja St Paul (Ruinas de Sao Paulo / The Ruins of St Paul's Cathedral). Tercapai saya untuk sampai ke sini. Kiranya Tinggalan Gereja St Paul ini merupakan mercu tanda wajib menandakan anda sudah menjejakan kaki di Macau. Serba sedikit mengenai runtuhan ini adalah, dahulunya ia merupakan gereja utama di Macau ini yang dibina oleh golongan Jesuit (salah satu aliran di dalam Kristian mahzhab Roman Katolik), cuma pada Januari 1835, terdapat kebakaran yang menghanguskan gereja ini. Seterusnya gereja ini ditinggalkan, dan batu-batunya diambil oleh penduduk tempatan untuk dijadikan bahan binaan bangunan. Cuma muka hadapan dapat dikekalkan. Pada dekad 1990an, satu projek pulihara telah dijalankan bagi menyelamatkan ikon Macau ini dari runtuh. Bagi mengetahui lanjut tentang Tinggalan Gereja St Paul, boleh baca di Wikipedia.

Tinggalan Gereja St Paul dari tepi.


Masa operasi Muzium Macau.


Seterusnya, kami ke Muzium Macau yang terletak di sebelah kanan Tinggalan Gereja St Paul. Cuma malangnya, ia ditutup pada hari Isnin, jadi tidak dapatlah kami melawatnya. Di kawasan terbabit juga terdapat beberapa kedai cenderahati yang harganya lebih murah dari kawasanan jalanan menuju ke Tinggalan Gereja St Paul dari Dataran Senado. Mungkin murah kerana saya menawar harga dalam bahasa Cina loghat Kantonis. Harga sekitar MOP$25.00 (+- RM15.00) untuk 5 keping magnet peti ais atau 10 utas rantai kunci. (Tetapi jika anda merancang untuk melawat sekali ke Guangzhou, sebaiknya beli cenderahati anda di sana, kerana di sana, ia lebih-lebih murah, bukan sahaja cenderahati Guangzhou dan Macau sahaja, malah Hong Kong dan Shenzhen juga ada).


Hadapan Muzium Macau.


Kesan runtuhan Tinggalan Gereja St Paul dari pintu masuk Muzium Macau 
(kedai-kedai cenderahati terletak di sebalah kanan gambar).


Kadar tukaran jika menggunakan HK$ atau RMB di Watsons Dataran Senado.


Setelah setengah jam di kawasan sekitar Tinggalan Gereja St Paul, kami kembali semula ke Dataran Senado. Oleh kerana, keadaan semasa itu agak panas waktu tengahari, kami memasuki sementara di beberapa premis perniagaan di sini. Perniagaan-perniagaan di sini, selain menggunakan MOP$, mereka juga menerima HK$ dan juga Yuan (Renmenbi) China (RMB). Cuma bagi saya baik guna MOP$ juga mempunyainya kerana ia lebih murah kadarnya. Baki pulangan akan mendapat MOP$ walaupun ada memberikan matawang lain. Cuma kalau berurusan di pejabat kerajaan seperti pejabat pos, hanya MOP$ sahaja diterima. 

Secara amnya, harga barangan di Macau agak tinggi harganya berbanding di Malaysia, contohnya harga bagi sekotak kecil air susu yang berharga di Malaysia adalah RM1.50 tetapi di Macau ia berharga MOP$6.00 (+-RM3.60)!



Gambar selfie di Pejabat Pelancongan Macau di Dataran Senado.

Kami singgah ke pejabat pelancongan Macau, tujuan utama saya adalah untuk mendapatkan poskad percuma seperti diceritakan dalam blog In The Nutshell. Tapi rupanya tiada lagi perkara tersebut. Katanya kalau hendak poskad kena beli di pejabat pos di seberang dataran, huhuhu. Tiada rezeki. Sebenarnya jika boleh saya tidak mahu masuk ke dalam pejabat pos, kerana risau, kegemaran lepas saya iaitu mengumpul setem akan kembali mekar menjadi kegemaran saya. Bukan apa, saya agak berhantu dengan setem ini, tidak kisah berapa banyak duit boleh dihabiskan. Jadi demi bajet dan untuk mengembara lebih lagi, saya terpaksa mensisihkan hobi ini. 

Tetapi kebetulan pada masa itu, di Pusat Sains Macau, terdapat Expo Lego® Macau. Jadi terdapat promosi di pejabat pelancongan Macau ini. Dapatlah gambar kenangan seperti di atas.



Peta perjalanan kami di Macau.

Setelah merasakan kami sudah boleh berjalan, kami pun meneruskan perjalanan ke hotel Grand Lisboa untuk mendapatkan bas shuttle percuma hotel tersebut ke Terminal Feri Outer Harbour. Namun kami keliru dan tidak jumpa di mana perlu kami ambil bas tersebut. Akhirnya kami ke perhentian bas terdekat dan mengambil bas henti-henti New Era/Nova Era (berwarna hijau) bernombor 3 untuk ke Terminal Feri Outer Harbour. Bas-bas awam di Macau hanya menerima MOP$ sahaja dan tiada wang baki diberikan, jadi perlu berikan bayar tambang pada wang setepatnya. Harga tambang adalah MOP$3.20 (+- RM2.00) setiap orang, berjumlah MOP$12.80 (+- RM8.00) untuk empat, namun saya tiada wang kecil, cuma ada nota MOP$20 (+- RM12.00) sahaja yang paling kecil. Jadi tidak mengapalah, saya berikan sahaja MOP$20 tersebut dan tidak dapat wang baki. Juga tiada tiket diberikan juga.


Bas henti-henti Macau ke Terminal Feri Outer Harbour.

Selepas 20 minit, akhirnya sampai juga kami ke Terminal Feri Outer Harbour pada pukul 2:15 petang.


Peta perjalanan ke Terminal Feri Outer Harbour, Macau.


Terminal Feri Outer Harbour, Macau.

Kaunter tiket feri TurboJet.

Sampai di terminal feri ini, saya segera ke kaunter Turbojet bagi pertukaran tiket feri di aras 1. Setelah sampai giliran saya selepas beratur, saya berikan kepada petugas kaunter tersebut surat pengesahan tempahan. Nasib baik petugas ini boleh berbahasa Inggeris, kerana kalau saya cuba berbahasa Kantonis atau Mandarin, mahu saya pula tidak faham balasannya (kerana mereka akan bercakap laju), lebih baik saya guna bahasa Inggeris sahaja. Petugas tersebut meminta kad kredit yang digunakan untuk penempahan. Nasib baik saya sudah sedia awal. Setelah semua tiada masalah, tiket ke Kowloon, Hong Kong pun diberikan.

Kaunter daftar masuk bagasi feri TurboJet di sudut lain. Kami tidak mendaftar masuk bagasi, jadi tidak perlu ke sini.


Saya bertanyakan adalah kami boleh menukar masa tiket kami kepada lebih awal. Ini kerana tiket kami adalah untuk perjalanan pukul 4:30 petang dan terdapat feri ke Kowloon pada pukul 3:15 petang. Petugas tersebut menyatakan, kami perlu masuk ke pintu pelepasan untuk menjadi penumpang menunggu sedia (stand by passanger).

Mesin runcit automatik minuman di Macau. 
Harga setin Coca-Cola adalah MOP$8.00 (+- RM5.00)!


Kami pun berehat sebentar sebelum masuk ke balai pelepasan. Saya ambil kesempatan ini untuk bersiar-siar di dalam bangunan terminal feri ini.


10 avos = +-RM0.06


50 avos = +-RM0.30

Tanda arah ke pintu pelepasan feri ke Kowloon.


Pada pukul 2:45 petang, kami pun memasuki balai pelepasan di mana, kami melakukan prosedur keluar imigresen Macau (sekali lagi tiada sebarang cop diberikan, cuma pasport kami diimbas sahaja) dan kemudian pemeriksaan kastam Macau. Kami segera ke pintu 14 & 15 di mana di sinilah pintu pelepasan untuk feri Turbojet ke Kowloon.

Kami sedang beratur untuk menjadi penumpang tunggu sedia (stand by).


Bagi penumpang yang mempunyai tiket feri masa berkenaan (3:15 petang) boleh terus memasuki ruang menunggu, namun yang bukan masa berkenaan seperti kami, perlu beratur di barisan menunggu. Semasa beratur, dapat juga saya melihat tapak pelepasan helikopter di terminal ini. Dapat juga melihat sebuah helikopter berlepas dari situ.

Tapak pelepasan helikopter.


Dekat setengah jam jugalah menunggu, akhirnya kesemua penumpang yang beratur dapat menaiki feri berkenaan, termasuk kami, alhamdulillah. Tiket kami dilekatkan pelekat nombor tempat duduk.

Tiket feri Turbo Jet.

Suasana di dalam feri TurboJet.

Kami di dalam feri TurboJet.


Feri Turbojet ini agak besar dan selesa juga. Jadi pada pukul 3:30 petang, feri ini berlepas meninggalkan Macau menuju ke Kowloon, Hong Kong. Saya dan isteri sempat menunaikan solat secara duduk (terdapat ijmak ulama mengatakan arah feri ini menjadi kiblat, keadaan sama juga di atas kapal terbang, kerana umpama bersolat diikat di pokok, inipun saya dapat semasa kursus persediaan haji beberapa tahun lepas) di dalam feri ini. Hendak bersolat di terminal tadi tapi risau, kami tidak dapat menaiki feri ini. Jadi kami solat jamak di atas feri sahaja.

Saya sedang mengambil wuduk secara spray.

Isteri saya sedang solat secara duduk.

Tiba di Terminal Feri Hong Kong-China, Kowloon, Hong Kong.

Agak laju juga feri ini, juga walaupun terdapat gelombang kuat, namun hanya terasa sedikit saja gegarannya. Mungkin kerana feri ini merupakan feri catamaran, jadi ia agak stabil. Dapat juga melihat kerja-kerja pembinaan jambatan yang akan menghubungkan Hong Kong dengan Macau dan Zhuhai, China. Mungkin akan siap beberapa tahun lagi, insya Allah. Semasa hendak sampai ke Hong Kong, dapat lihat kepesatan pembangunan di pulau Hong Kong dan semenanjung Kowloon.

Terminal Feri Hong Kong-China, Kowloon, Hong Kong.

Akhirnya pada pukul 5:30 petang, sampailah kami ke Terminal Feri Hong Kong-China di Kowloon, Hong Kong. Waktu pun menghampiri senja di situ. Kami terus menuju ke kaunter imigresen untuk prosedur imgresen untuk kemasukan ke Hong Kong. Di Hong Kong, kita perlu mengisi borang imigresen seperti di bawah sebelum membuat prosedur imigresen. Borang tersebut mempunyai dua helai iaitu untuk masuk dan keluar, namun hanya perlu isi sekali sahaja kerana kedua-dua borang tersebut ditindihkan dan ada dakwat karbon pada borang tersebut.

 
Borang Imigresen Hong Kong.


Makluman di belakang Borang Imigresen Hong Kong.


Slip imigresen Hong Kong (depan).


Slip imigresen Hong Kong (belakang).

Setelah mengisinya, kami beratur untuk pemeriksaan imigresen. Terdapat kaunter berasingan untuk penduduk Hong Kong, Macau,Taiwan dan China, jadi kaunter untuk warga selain keempat-empat "negara" berkenaan adalah diasingkan.  Namun orang agak ramai juga, namun perkhidmatan agak pantas. Sampai giliran kami, sekejap sahaja prosesnya. Untuk pemegang pasport Malaysia untuk ke Hong Kong, tiada visa diperlukan untuk berada di Hong Kong sehingga 90 hari. Setelah itu, kami pun keluar setelah tiada apa yang kami perlu isytihar untuk kastam Hong Kong.


Suasana di jalanan (Kowloon).

Rupanya, terminal feri ini terletak di dalam sebuah pusat membeli-belah. Mencari juga untuk keluar dari kompleks ini setelah kaunter kastam. Kena turun dua tingkat dan tanda arah seperti sukar walaupun ada. Akhirnya jumpa juga pintu keluar. Nampaklah juga begitu banyak orang berjalan di ruang pejalan kaki, sebagaimana biasa dilihat di televisyen, terutama dokumentari tentang Hong Kong atau filem Hong Kong. Paling ikonik, teksi Hong Kong berwarna merah, memang banyak kedapatan. Pada masa ini, saya mencuba telefon bimbit saya, dan ia boleh digunakan. Memang bagus kad sim i-Sim ini.

Bunga di kaki lima Kowloon dan sebahagian dari teksi Hong Kong.

Chungking Mansion.

Kami pun segera berjalan kaki menuju ke penginapan kami di Chungking Mansion. Tidak jauh mana pun, kurang dari satu kilometer pun. Dalam perjalanan, saya ternampak jalan masuk ke Taman Kowloon dan juga Kowloon Masjid di sebelahnya. Setelah 15 minit berjalan, akhirnya sampailah kami ke Chungking Mansion.

Pintu masuk utama Chungking Mansion.


Perjalanan dari Terminal Feri Hong Kong-China ke Chungkin Mansion.

Di aras bawah Chungkin Mansion ini, terdapat banyak orang-orang yang mempromosikan restoran dan penginapan. Saya terpaksa berkeras mengatakan kami sudah ada penginapan, kerana mereka tidak habis-habis mempromosikannya, sampai kami rimas. Cuma kami agak keliru dengan susun atur, dan saya bertanyakan di mana lif untuk blok D. Setiap blok mempunyai lif yang berasingan, jadi perlu tanya kepada orang di situ. Cuma jangan termakan pujukan promosi produk mereka.

Aras bawah dan 1 Chungking Mansion ini agak kurang bersih sikit. Kami sampai ke lif ke blok D. Terdapat dua lif yang mana lif sebelah kiri adalah untuk aras bernombor genap dan di sebelah kanan untuk aras bernombor ganjil. Ketika kami sampai, kami perlu beratur untuk menaiki lif. Apabila sampai lif tersebut, rupa-rupanya lif itu kecil sahaja, lif di rumah saya pun lebih besar. Cukup-cukup masuk 5 orang bersaiz saya (tidak masuk beg galas). Kami semua hanya dapat masuk pada trip seterusnya,  dan kami semua menurunkan beg galas kami agar dapat masuk.

New China Hotel di Chungking Mansion.

Penginapan kami iaitu New China Hotel, terletak di tingkat 9 Blok D di Chungking Mansion ini. Rupa-rupanya, hotel kami ini diubah suai dari rumah penginapan. Terdapat tiga buah unit diubah suai menjadi penginapan. Kami mendaftar masuk, dan yang menjadi petugas hotel (semua diuruskannya) adalah seorang lelaki Afrika. Kami dibawa ke bilik masing-masing. Saya dan abang Zainudin mengambil keputusan untuk berehat sebelum berjalan lagi pada waktu malam. 

Bilik kami pun agak kecil sahaja. Tidak mengapalah, lagipun memang hotel di Hong Kong ini agak mahal. Asal dapat tidur jadilah. Ruang bilik kami cukup-cukup sahaja, nasib baik ada ruang untuk bersolat. Bilik untuk abang Zainudin pun tidak muat untuk bersolat (katanya), perlu bersolat di atas katil. Terdapat bilik air di dalam bilik, juga terdapat pendingin hawa dan televisyen. Untuk air minuman dan pemanas air, perlu berkongsi di dalam bilik-bilik di dalam unit (terdapat 5 buah bilik di dalam unit saya). Walaupun penginapan ini agak ringkas tetapi terdapat WiFi juga.

Rupa bilik kami.


Salah satu pengurup wang di Chungking Mansion.

Pada pukul 7:15 malam, setelah bersolat, saya dan isteri ke aras bawah, kerana abang Zainudin dan isterinya sudah di bawah. Kami hendak makan malam sebelum kami berjalan. Kami berjalan-jalan di aras bawah Chungking Mansion ini. Terdapat banyak kemudahan untuk pelancong di sini. Terdapat pengurup wang yang mana kadarnya terbaik di Hong Kong. Banyak juga kedai yang menjual kad sim di sini. Memang kawasan ini mesra pengembara seperti kami. Paling penting, terdapat banyak makanan halal di sini, kebanyakannya makanan India.

Restoran Syed di Chungking Mansion.


Menu Restoran Syed.

Jadi kami pun memilih untuk mencuba makan di Restoran Syed. Restoran ini merupakan cawangan rangkaian Restoran Syed Bistro yang banyak terdapat di Lembah Klang. Makanan yang signifikan dengan Syed Bistro iaitu nasi bukhara juga terdapat di sini. Cuma harganya agak mahal juga. Contohnya harga nasi bukhara kambing adalah berharga HK$68.00 (+- RM41.00) sepinggan!

Saya dan isteri hanya makan roti prata (roti canai) yang berharga HK$20.00 (+- RM12.00) bagi dua keping dan berkuahkan dal. Air kami minum air minuman yang kami bawa sendiri. Abang Zainudin dan isteri makan nasi biryani.

Menu Restoran Syed.


Ingatan kepada pejalan kaki di Hong Kong.

Setelah selesai makan, kami pun bergerak menuju ke Kowloon Public Pier untuk melihat pertunjukan Symphony of Light. Semasa kami berjalan, terdapat banyak peringatan kepada pejalan kami untuk melihat jalan semasa melintas (seperti gambar di atas). Juga lampu isyarat mempunyai bunyi bagi menandakan pejalan kaki sedang melintas.


Peta perjalanan kami dari Chungking Mansion ke Kowloon Public Pier.


Permandangan malam Hong Kong (sebelah pulau) dari Kowloon.

Akhirnya setelah sepuluh minit berjalan dalam pukul 7:50 malam, sampai juga kami di Kowloon Public Pier. Terdapat ramai orang di sana, malah di tebingnya sudah dipenuhi orang. Terpaksa kami berpisah dengan pasangan masing-masing untuk mencari tempat yang sesuai. Dapatlah saya dan isteri saya duduk ditempat agak sesuai namun berada pada lapisan kedua.

Video Hong Kong Symphony of Light.


Pada pukul tepat 8:00 malam, pertunjukan Symphony of Light dimulakan, dan ia berteruskan selama 15 minit. Pertunjukan ini adalah pertunjukan cahaya dan bunyi (muzik) yang memaparkan lampu neon pada bangunan tertentu di sebelah pulau Hong Kong berirama mengikut lagu yang dimainkan. Ia diadakan pada setiap malam. Nasib kami baik, kerana narasi (pengumuman) pada malam ini adalah berbahasa Inggeris.


Saya berlatar belakangkan Hong Kong.

Saya sedang membeli kad Octopus di stesen MTR Tsim Sha Tsui.

Setelah selesai pertunjukan, kami ke stesen MTR Tsim Sha Tsui yang berdekatan untuk menuju ke pasar malam Temple Street. Bagi memudahkan perhubungan dan pengangkutan di Hong Kong, kami membeli kad Octopus. Kad ini seperti kad Touch n Go atau RapidPass di Kuala Lumpur. Selain memudahkan, kad ini menawarkan harga diskaun bagi pengangkutan di Hong Kong. Malah di premis-premis perniagaan tertentu seperti di 7-Eleven Hong Kong, beberapa pusat membeli belah dan lain-lain lagi, kad ini diterima untuk pembayaran. 


Kad Octopus (depan).


Kad Octopus (belakang).

Kad Octopus ini boleh dibeli di kaunter khidmat pelanggan di stesen MTR di serata Hong Kong. Bagi permulaan, ia boleh dibeli pada harga HK$150 (+- RM90) termasuk HK$50 (+- RM30) deposit yang akan dikembalikan bersama nilai yang ada. Tambah nilai boleh dibuat juga banyak saluran seperti dimaklumkan di dalam laman webnya. Penggunaannya boleh digunakan sehingga negatif HK$35 tetapi ia ditolak dari nilai deposit.


Resit Kad Octopus.


Saya di dalam MTR.

Setelah membeli masing-masing satu kad Octopus, kami pun menaiki tren MTR dari stesen Tsim Sha Tsui ke stesen terdekat dengan pasar malam Temple Street iaitu stesen Jordan. Tambang pun cuma HK$4.40 (+- RM2.70) dengan menggunakan kad Octopus.

Peta perjalanan dari stesen MTR Tsim Sha Tsui ke stesen MTR Jordan.


Saya di stesen MTR Jordan.

Kami sampai di stesen Jordan iaitu nama tempat di Kowloon, bukan nama negara. Jadi jangan terkejut pula kata MTR Hong Kong sampai ke negara Jordan pula! Dari stesen Jordan, kami keluar menggunakan pintu A kerana ia paling dekat dengan pasar malam Temple Street. Dari situ kami jalan kira-kira lima minit sepanjang Jalan Jordan dan sampai apabila berjumpa dengan pintu gerbang seperti gambar di bawah ini.


Pintu gerbang pasar malam Temple Street.

Saya mendapat beberapa maklumat dari sahabat-sahabat dan di dalam internet, bahawa pasar malam ini adalah antara termurah, lebih murah dari di Ladies Market, jadi lebih baik beli di sini. Memang banyak barang-barang di sini. Apa saja boleh jumpa. Kalau kemeja-T, magnet peti ais dan rantai kunci memang jumpa lah. Jadi kami membeli cenderahati kami di sini, satu tindakan yang jarang saya buat (biasanya saya akan beli pada hari/malam akhir).


Gerai-gerai pasar malam Temple Street.


Hidupan laut yang segar di sebuah restoran makanan laut di kawasan Temple Street.


Permadangan dari tingkat atas, bas dua tingkat KMB.

Setelah lebih sejam di pasar malam ini, kami pun pulang tetapi kami ini kami menaiki bas dua tingkat KMB pula sehingga penginapan kami. Harga tiket adalah HK$5.70 (+- RM3.50), agak mahal sikit. Jadi kami pun merehatkan diri setelah berada di tiga buah "negara" pada hari ini.

Bersambung ke Hari 2 Bahagian 1.

Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • PreJourney; 
  • Itinerary; 
  • Day 1 (this part); 
  • Day 2 Part 1; 
  • Day 2 Part 2; 
  • Day 3; 
  • Day 4; 
  • Day 5; or 
  • Day 6 & 7. 

Tiada ulasan: