- Pra Kembara;
- Itinerari;
- Hari 2 Bahagian 2;
- Hari 3;
- Hari 4;
- Hari 5; atau
- Hari 6 & 7.
If want to read in English:
- PreJourney;
- Itinerary;
- Day 1;
- Day 2 Part 1 (this part);
- Day 2 Part 2;
- Day 3;
- Day 4;
- Day 5; or
- Day 6 & 7.
10 November 2015 (Selasa)
Pagi ini, kami bangun awal sikit berbanding warga Hong Kong yang lain. Ini kerana saya ingin melihat upacara menaikan bendera di Dataran Bauhinia Emas di Wan Chai. Jadi pukul 7:00 pagi, kami pun berjalan kaki dari Chungkin Mansion menuju ke Terminal Feri Star Ferry Kowloon.
Pagi ini, kami bangun awal sikit berbanding warga Hong Kong yang lain. Ini kerana saya ingin melihat upacara menaikan bendera di Dataran Bauhinia Emas di Wan Chai. Jadi pukul 7:00 pagi, kami pun berjalan kaki dari Chungkin Mansion menuju ke Terminal Feri Star Ferry Kowloon.
Menara Jam di Kowloon Public Peer bersebelahan
dengan Terminal Feri Star Ferry Kowloon.
Terminal Feri Star Ferry Kowloon.
Sausana cuaca pagi pagi tersebut agak mendung dan angin agak kuat juga. Harap-harap tidak la hujan pasal kami hendak berjalan-jalan beberapa tempat di Hong Kong. Sebelum sampai di terminal feri, kami singgah di Kowloon Public Peer untuk mengambil beberapa gambar. Paling penting, terdapat Menara Jam Kowloon yang dahulunya terletak di stesen keretapi Kowloon (sudah tiada lagi, kerana bagi laluan untuk pembinaan Kowloon Public Peer.
Sebuah feri Star Ferry sedang berlabuh di Terminal Feri Star Ferry Kowloon.
Lorong ke dermaga feri Star Ferry ke Wan Chai.
Seterusnya kami ke Terminal Feri Star Ferry Kowloon dan mengambil lorong ke Wan Chai. Perlu di ingat, terdapat lorong berbeza untuk ke Wan Chai dan Central. Malah ke Central, terdapat lorong untuk kelas 1 (tingkat atas feri) dan lorong berasingan ke kelas 2 (tingkat bawah feri). Feri ke Wan Chai hanya ada kelas 1 sahaja. Harga tambang adalah HK$2.50 (+- RM1.50) untuk kelas 1 dan HK$2.00 (+- RM1.20) untuk kelas 2. Kami membayar dengan menggunakan kad Octopus, tapi jika tidak mahu pakai, boleh sahaja beli tokennya di mesin token sebelum pintu masuk.
Permandangan kawasan Wan Chai, Hong Kong dari selat Pelabuhan Victoria.
Kami pilih naik Star Ferry ke Wan Chai kerana ia lebih dekat ke Dataran Bauhinia Emas (Golden Bauhinia Square) yang terletak di Pusat Konvensyen dan Pameran Hong Kong (Hong Kong Convention and Exhibition Centre - HKCEC), hanya bersebelahan sahaja dengan Terminal Feri Star Ferry Wan Chai. Lagipun menaiki feri Star Ferry lebih murah dan dekat berbanding jika menaiki tren MTR.
Tempat duduk di dalam Star Ferry.
Kami terus masuk ke dalam feri yang menunggu. Kerusi di dalam feri Star Ferry ini rupanya boleh diubah dengan hanya menolak tempat sandarnya. Tempat duduk di dalam feri ini semuanya diperbuat dari kayu. Tiada pendingin hawa di dalam feri ini, namun jika dibuka tingkap, angin luar agak menyegarkan. Di dalam feri inilah, tempat yang sesuai untuk mengambil gambar Hong Kong di kedua-dua belah tebing Pelabuhan Victoria.
Suasana di dalam Star Ferry.
Video: Star Ferry dari Kowloon ke Wan Chai, Hong Kong.
Setelah berlayar kira-kira 15 minit dari Kowloon, maka sampailah kami ke terminal Wan Chai. Terminal di Wan Chai masih separuh siap dan masih dalam pembinaan. Kami berjalan ke HKCEC yang di sebelah sahaja.
Kami terus ke Dataran Bauhinia Emas yang terletak di hujung tanjung buatan manusia. Bauhinia merupakan lambang rasmi Hong Kong setelah diserahkan semula kepada negara China oleh penjajah Inggeris. Kalau dilihat rupanya, macam sawi pahit yang biasa dibuat sawi asin pun ada juga. Cantik juga permandangan di sini, boleh melihat permandangan Kowloon. Malah boleh juga melihat bekas tapak lapangan terbang lama Kai Tak dari sini.
Pada pukul 7:40, terdapat makluman melalui pembesar suara sekitar dataran ini yang mengatakan upacara menaiki bendera akan diadakan lagi lima belas minit. Lima minit kemudian, kelihatan sebuah van yang membawa beberapa orang anggota polis macam berhenti berhampiran dataran, dan anggota-anggota polis berkenaan keluar dari van dan memasuki pintu khas di HKCEC.
Tepat pukul 7:55 pagi, terdapat lima orang anggota polis berkawad dari pintu khas tadi menuju ke tiang-tiang bendera. Pada masa sama, pengumuman mengenai upacara ini dimaklumkan melalui sistem siar raya di dataran ini. Terdapat dua skuad yang masing-masing membawa bendera negara China dan bendera Hong Kong. Mereka diketua seorang ketua perbarisan. Bahasa hukuman yang diberikan adalah dalam bahasa Inggeris dan cara kawadnya ala-ala tentera Komanwel. Seterusnya, upacara dimulakan. Ia boleh diikuti melalui video di bawah.
Video: Upacara Menaikan Bendera China & Hong Kong.
Semasa upacara ini berlangsung, tiba-tiba ramai pula pelancong dari negara China datang di hadapan tiang bendera ini untuk mengambil gambar. Betul-betul tidak menghormati orang lain dan mementingkan diri mereka sendiri sahaja. Nasib baik sekitar tiang bendera ini ada rantai yang mengelilinginya. Kalau tiada, rasanya mereka boleh sampai panjat tiang bendera kot. Malang sekali, semasa lagu kebangsaan negara China berkumandang, mereka masih bergerak-gerak dan sempat mengambil gambar. Memang teruk betul perangai pelancong-pelancong tanah besar China.
Saya di hadapan Dataran Bauhania Emas.
Seni arca berasaskan kayu di dalam bangunan Central Plaza.
Usai sahaja upacara tersebut, kami beredar dari dataran tersebut menuju ke perhentian Tramway Hong Kong Jalan O'Brien (O'Brien Road), yang berdekatan dengan stesen MTR Hong Kong Wan Chai. Kami berjalan menuju ke bangunan terdekat dengan HKCEC iaitu bangunan Central Plaza yang bertentangan dengan HKCEC di Jalan Pelabuhan (Harbour Road).
Salah satu pintu di bangunan Central Plaza.
Kami memasuki bangunan tersebut kerana di Hong Kong, sistem pejalan kaki kebanyakannya melalui jejantas yang menembusi bangunan-bangunan yang ada. Kaki lima terbuka di jalanan biasa tetap ada, namun kebanyakan pejalan kaki menggunakan sistem jejantas ini, yang mempunyai jalan yang tertutup daripada panas dan hujan. Malah terdapat juga jejantas yang mempunyai penghawa dingin, selain yang memasuki bangunan. Ini seolah-olah bangunan juga merupakan hak milik orang ramai juga, bukan sekadar hak milik pemilik bangunan juga. Ini begitu mesra rakyat. Sewajarnya, perkara ini perlu ditiru di Malaysia. Ia amat memudahkan.
Ruang legar bangunan Central Plaza.
Dengan cara ini, pemilik bangunan juga boleh mengiklankan produk-produk mereka dengan kos yang lebih rendah, kerana ramai orang akan melaluinya. Juga, pemilik bangunan juga boleh membuat tanggungjawab sosial korporat dengan melaksanakan pelbagai perkara yang membantu budaya dan sosial, seperti yang dibuat di Central Plaza, terdapat pameran seni arca berasaskan kayu.
Orang berduyun-duyun ramainya di jejantas menghubungkan stesen MTR Hong Kong dengan bangunan-bangunan sekitar.
Sebelum melalui sistem jejantas ini, kami mengingatkan Hong Kong juga cuti Deepavali (hari ini di Malaysia merupakan cuti Deepavali). Rupa-rupanya, orang-orang di Hong Kong tidak banyak berjalan di jalanan terbuka, sebalik, apabila kami melalui sistem jejantas yang menghubungkan bangunan-bangunan dengan sistem MTR terdekat, ramai pula umat manusia di situ. Sampaikan kami perlu berjalan di tepi jejantas. Malah ada masa kami tersilap, kerana berjalan menongkah arus. Rupa-rupanya, bagi pejalan kaki di Hong Kong perlu berjalan di sebelah kanan, terbalik dengan sistem lalu lintasnya yang kenderaannya menggunakan jalan sebelah kiri (pemandu di sebelah kanan).
Warga Hong Kong sedang mendapatkan sarapan pagi.
Juga kawasan berhampiran dengan HKCEC merupakan kawasan baru yang ditebus guna dari kawasan laut, jadi tidak berapa ramai orang. Namun apabila sampai di kawasan sekitar stesen MTR Wan Chai, di Jalan Hennessy (Hennessy Road) barulah nampak orang ramai. Malah yang paling saya teringat adalah saya terhidu bau dim sum (makanan orang Hong Kong), dan apabila saya memerhati dari atas jejantas, kelihatan orang beratur yang panjang, semata-mata untuk membeli sarapan (dim sum itulah) di sebelah bawah jejantas.
Peta dari Dataran Bauhinia Emas ke perhentian tram Jalan O'Brien.
Apabila sampai di penghujung jejantas, kami pun menuruni tangga dan melintas Jalan Hennessy untuk ke perhentian tram Jalan O'Brien yang bertentangan dengan pintu A3 stesen MTR Wan Chai.
Tram dua tingkat Hong Kong.
Kali ini kami ingin mencuba satu lagi keunikan yang hanya ada di Hong Kong, iaitu tram dua tingkat yang dikendalikan oleh Tramway Hong Kong. Walaupun banyak tempat di dunia ini mempunyai sistem tram, tetapi hanya di Hong Kong sahaja yang menggunakan tram dua tingkat. Ini memang kali pertama saya menaiki tram (jika tidak dikira keretapi bukit di Bukit Bendera, Pulau Pinang). Tram merupakan satu sistem pengangkutan gabungan antara bas dan keretapi yang menggunakan sistem rel tetapi sistem rel ini dibina di atas jalan raya biasa yang mana ia berkongsi dengan kenderaan lain yang menggunakan jalan raya.
Perhentian tram Jalan O'Brien.
Tram dua tingkat di Hong Kong ini memulakan perkhidmatannya pada tahun 1904. Asalnya hanya setingkat, dan tramnya diperbuat daripada kayu, namun oleh kerana kepadatan penduduk Hong Kong, dan kepopularitian perkhidmatan ini, maka tram dua tingkat mula digunakan sejak tahun 1912. Sistem kuasa yang digunakan oleh tram dua tingkat Hong Kong ini menggunakan kuasa elektrik aliran terus (direct current - DC) yang diperolehi melalui kabel atas tram ini, yang dihubungkan dengan sebatang rod yang bersentuhan dengan kabel tersebut.
Keadaan di tingkat atas tram dua tingkat Hong Kong.
Salah satu perhentian tram Hong Kong.
(Terdapat sebuah cawangan Public Bank Hong Kong berhampiran perhentian ini).
Sebenarnya tram dua tingkat ini merupakan pengangkutan paling murah di pulau Hong Kong. Dengan hanya HK$2.30 (+- RM1.40), pengguna boleh menaiki tram ini dari hujung ke hujung, contohnya dari terminal paling timur, Shau Kei Wan ke terminal paling barat di Kennedy Town. Terdapat banyak perhentian di tengah-tengah laluannya yang melalui kawasan utama di Hong Kong seperti Causeway Bay, Wan Chai dan Central. Terdapat juga cabang perkhidmatan ini untuk ke Happy Valley.
Permandangan pintu keluar (depan) tram dua tingkat Hong Kong dari tingkat atas.
Kami menaiki tram ini sehingga terminal paling barat sekali iaitu Terminal Kennedy Town. Tapi perlu turun satu perhentian sebelum iaitu perhentian Lebuh Davis (Davis Street). Di Terminal Kennedy Town hanya boleh naik sahaja, lagipun jarak antara perhentian Lebuh Davis ke Terminal Kennedy Town tidak sampai 100 meter pun. Ini kerana tram perlu mengelilingi satu blok bangunan untuk berpusing.
Trek tram Hong Kong di Terminal Kennedy Town, Hong Kong.
Sebelum itu, semasa kami menaiki tram ini, dapat melihat suasana sebenar kehidupan warga Hong Kong. Memang ramai manusia dan padat keadaan di Hong Kong. Kebanyakan perhentian tram ini terletak di tengah-tengah jalan, bukan di tepi jalan. Kebanyakan masa saya duduk di tingkat atas. Perjalanan dari perhentian Jalan O'Brien ke Terminal Kennedy Town mengambil masa kira-kira 40 minit.
Peta: Perjalanan tram dua tingkat Hong Kong dari Jalan O'Brien ke Kennedy Town.
Permandangan Kowloon Barat dari Kennedy Town, Hong Kong.
Sampai di Kennedy Town, kami mengambil angin sedikit dan melihat kawasan sekitar terminal tram. Kawasan ini lebih kepada kawasan perumahan di mana terdapat banyak pangsapuri yang amat tinggi dibina di sini. Sebenarnya bukan kawasan ini sahaja bangunan dibina tinggi-tinggi. Kebanyakan kawasan di Hong Kong terutama bahagian pulau, bangunannya memang tinggi sehingga mencecah 70 ke 80 tingkat! Selain itu dapat juga melihat banyak kapal-kapal perdagangan kerana di sini merupakan jalan masuk ke selat Pelabuhan Victoria.
Sebuah pangsapuri di Kennedy Town, Hong Kong.
Pintu hadapan tram dua tingkat Hong Kong.
Setelah lima belas minit di Kennedy Town, kami kembali semula menaiki tram ini untuk ke Masjid Ammar dan Pusat Islam Osman Ramju Sadick di kawasan sempadan antara Wan Chai dan Causeway Bay. Kali ini kami duduk di tingkat bawah pula. Kebetulan tram yang kami naiki ini merupakan tram lama yang dibaik pulih dan dinaik taraf. Jadi dapat melihat panel pemanduan dan mesin tiket yang lama yang terletak di belakang tram selain yang moden di sebelah hadapan. Lupa dimaklumkan, untuk menaiki tram ini, pintu masuk utama adalah di belakang, dimana terdapat pintu turnstile yang menghalang penumpang dari keluar melalui pintu ini. Namun jika terdesak, penumpang boleh sahaja menaiki melalui pintu hadapan. Apabila keluar, wajib melalui pintu hadapan kerana tambang dibayar hanya ketika waktu keluar sama ada melalui kad Octopus atau tunai. Perlu bayar tambang pada nilai tepat kerana tiada baki dikembalikan jika bayar lebih.
Panel pemandu (lama) tram dua tingkat Hong Kong.
Untuk ke Masjid Ammar dan Pusat Islam Osman Ramju Sadick, jika menaiki tram, perlu berhenti di perhentian Tonnochy Road, manakala jika menaiki MTR, perlu berhenti di Wan Chai dan menyambung perjalanan sama ada berjalan kaki (kira-kira 1 km, keluar di pintu A3), menaiki tram atau bas sehingga ke perhentian Tonnochy Road.
Peta: Perjalanan tram dua tingkat Hong Kong dari Kennedy Town ke Jalan Tonnochy.
Apabila sampai di perhentian tram Tonnochy Road, maka kami pun berjalan kaki sejauh kira-kira 200 meter untuk sampai ke Masjid Ammar dan Pusat Islam Osman Ramju Sadick. Jalan agak perlu memanjat beberapa tangga yang tidak begitu tinggi sangat.
Peta: Perjalanan berjalan kaki dari perhentian tram Jalan Tonnochy ke Masjid Ammar dan Pusat Islam Osman Ramju Sadick.
Masjid Ammar dan Pusat Islam Osman Ramju Sadick.
Di pintu masuk Masjid Ammar dan Pusat Islam Osman Ramju Sadick.
Sampai juga kami di Masjid Ammar dan Pusat Islam Osman Ramju Sadick ini. Sebenarnya masjid dan pusat Islam ini merupakan bangunan yang sama yang juga dikenali sebagai Masjid Wan Chai. Kompleks ini terdapat lapan tingkat dan diuruskan Badan Pemegang Amanah Masyarakat Islam Hong Kong (Incorporated Trustees of the Islamic Community Fund of Hong Kong). Di sini juga terdapat sebuah restoran makanan halal yang menghidangkan makanan tempatan Hong Kong (atau China selatan). Sebenarnya , itulah sebab kami ke sini. Maklumlah, kami belum makan lagi.
Butang di dalam lif di Masjid Ammar dan Pusat Islam Osman Ramju Sadick.
Kantin Pusat Islam di Masjid Ammar dan Pusat Islam Osman Ramju Sadick.
Kami terus menaiki tingkat 5 untuk ke restoran ini yang dikenali sebagai Kantin Pusat Islam (Islamic Centre Canteen).
Salah satu risalah mengenai Kantin Pusat Islam.
Kad perniagaan Kantin Pusat Islam.
Suasana di dalam Kantin Pusat Islam.
Menu Kantin Pusat Islam.
Kami sampai di restoran ini dan terus duduk di meja yang ada, namun ditanya (lebih kepada ditegur) oleh seorang petugas yang bertanya berapa orang kami. Setelah mengetahui bilangan kami, kami diminta untuk ke meja yang lebih kecil. Jika yang tidak biasa dengan cara dan budaya orang Kantonis atau selatan China, mungkin rasa ia seperti tidak mesra pelanggan, kasar atau kurang ajar, namun oleh kerana saya sudah biasa (saya membesar di masyarakat Cina Kantonis), jadi ia tidak menghairankan. Cuma orang di Hong Kong ini lebih kasar dari Cina Kantonis di Kuala Lumpur.
Menu Kantin Pusat Islam.
Menu Kantin Pusat Islam.
Menu Kantin Pusat Islam.
Kami diberikan menu dan sehelai helaian pesanan yang majoriti tulisan yang ada adalah tulisan Cina tradisional. Saya hanya kenal beberapa karektor (perkataan) sahaja, jadi memanggil untuk bantuan. Rupa-rupanya kami perlu pesan di kaunter pesanan, jika tidak faham, boleh tunjuk menu dan pesanan tadi dituliskan oleh petugas berkenaan (jika tahu, boleh tulis sendiri).
Kami memesan secara berasingan untuk pasangan masing-masing agar memudahkan pembayaran. Untuk dim sum, boleh terus ambil di kaunter pesanan tadi setelah memesannya. Bagi makanan yang perlu disediakan di dapur, ia akan dihantar terus ke meja apabila siap. Minuman juga ada pilihan, tapi macam biasa, saya dan isteri meminum teh cina sahaja. Teh cina di sini memang sedap dan wangi, berkualiti tinggi agaknya.
Dilihat bahawa yang makan di sini bukan orang Islam sahaja, malah orang bukan Islam juga makan di sini. Terdapat juga papan tanda memaklumkan bahawa setiap hari Jumaat hingga Ahad, restoran ini dikhaskan kepada orang Islam kerana mungkin kerana pengunjung yang amat ramai pada hari-hari ini.
Helaian pesanan di Kantin Pusat Islam.
Ruang wuduk lelaki di tingkat 1 Masjid Ammar.
Ruang wuduk lelaki di tingkat 1 Masjid Ammar.
Sementara menunggu makanan berat, kami makan dim sum yang telah diambil, kemudian setelah habis, saya sempat turun ke tingkat 1 untuk mengambil wuduk dan kemudian bersolat sunat di ruang solat lelaki di tingkat 2. Bagi wanita pula, ruang mengambil wuduk berada di tingkat 1 juga dan ruang solat di tingkat 3.
Pintu masuk ke ruang solat lelaki di tingkat 2 Masjid Ammar.
Kenyataan waktu solat di Masjid Ammar.
Kenyataan waktu solat di Masjid Ammar.
Ruang solat di Masjid Ammar ini agar luas juga. Suasana juga agak tenang juga. Sebenarnya, di ruang solat ini baru lepas melaksanakan program mengaji al-Quran. Setelah solat, saya turun ke tingkat bawah, dan mengambil beberapa keping risalah, termasuk sebuah buku mengenai Islam di Hong Kong. Baru mengetahui terdapat lima buah masjid di serata Hong Kong ini.
Ruang solat lelaki di tingkat 2 Masjid Ammar.
Maklumat masjid-masjid di Hong Kong.
Makanan kami (dim sum) di Kantin Pusat Islam.
(Untuk makanan berat yang lambat sampai, maaf tiada gambar).
Setelah itu, saya naik semula ke restoran dan makanan pagi abang Zainudin dan isteri sudah sampai, manakala kami belum lagi. Kami memesan makanan yang hampir sama sebenarnya. Setelah lima minit, masih tidak sampai, saya bertanyakan dengan seorang petugas yang memahami Bahasa Inggeris, rupanya terdapat salah faham, mengingatkan kami hanya pesan hidangan yang abang Zainudin pesan, maklumlah kami satu meja. Kena menunggu juga, walaupun perut agak lapar (walaupun sudah diisi dim sum). Sepuluh minit kemudian, daging masak kungfu dan nasi putih pun sampai.
Resit Kantin Pusat Islam.
Memang makanan di sini terbaik rasanya bagi masakan selatan China yang pernah saya rasai. Cuma harga agak mahal bagi standard Malaysia (mungkin biasa bagi standard Hong Kong). Kami di sini lebih sedikit dari sejam. Setelah selesai, kami perlu membawa helaian pesanan tadi untuk dikira harganya di kaunter pembayaran. Setelah itu, kami kembali semula ke perhentian tram Tonnochy Road untuk ke stesen bas di Exchange Square di Central untuk menaiki bas ke The Peak.
Bersambung ke Hari 2 Bahagian 2.
Bersambung ke Hari 2 Bahagian 2.
If want to read in English:
- PreJourney;
- Itinerary;
- Day 1;
- Day 2 Part 1 (this part);
- Day 2 Part 2;
- Day 3;
- Day 4;
- Day 5; or
- Day 6 & 7.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan