Sabtu, 19 April 2014

Hari 5 (Brunei & Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia (melalui Miri, Sarawak, Malaysia & Labuan, Malaysia) - 21 hingga 25 Mac 2014) - Terbang Pulang Kembali ke Semenanjung.

Sambungan dari Hari 4.

Jika mahu lihat: 



If want to read in English: 

  • Day 1 (this part), 
  • Day 2
  • Day 3, 
  • Day 4, 
  • Day 5 or 
  • itinerary.



25 Mac 2014 (Selasa)

Hari ini hari terakhir kami di bumi KK dan Sabah. Oleh kerana semalamnya, kami sudah beli barang-barang yang ingin bawa pulang ke KL di Pasar Malam Sinsuran dan Pasar Filipina, maka plan asal untuk kembali ke pusat bandar KK lama dibatalkan. Sebaliknya, kami akan terus ke Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa KK (KKIA) pada pukul 08:30 pagi.

Pagi itu kami membuat persiapan akhir dengan mengemas homestay kami dan beg-beg kami. Bukan kerana kami risau kerana berat bagasi, kerana Malindo Air memberikan elaun bagasi percuma sebanyak 15 kg setiap orang, bermakna kami mempunyai elaun bagasi percuma sebanyak 60 kg . Tetapi kerana bagasi kami mempunyai ruangan yang terhad. Nasib baik kami membawa sekali 2 buah beg galas tambahan disamping 2 beg galas sedia ada. Bolehlah menampung apa yang tidak boleh masuk di dalam beg tarik.

Pengangkutan dari KLIA ke rumah juga telah diuruskan dengan Abang Azhar akan mengambil kami di KLIA nanti, dimana plan asal untuk menaiki bas Airport Coach ke KL Sentral, seterusnya menukar ke LRT Laluan Kelana Jaya menuju ke stesen Seri Rampai dan akhirnya menaiki bas Rapid KL laluan T302 untuk kembali ke rumah di batalkan.

Pada jam 08:20 pagi, ketika kami hampir selesa, Ezanita menelefon kami, menanyakan bila kami di mana. Saya berkata bahawa kami masih di homestay dan sudah mahu keluar. Dia hairan kerana dia masih ingatkan saya mahu ke Pasar Besar KK. Saya kata, saya sudah beli apa yang mahu, dan kini terus mahu ke KKIA terus. Terus dia berkata, saya tidak perlu bawa kereta ke sana, biar mereka sahaja hantar kami. Saya kata ok je, tiada masalah.

Sepuluh minit kemudian, kami selesai berkemas, dan memeriksa homestay buat kali terakhir. Setelah berpuas hati, kami pun turun ke parkir kereta dan tidak lama kemudian, Pariaman dan Ezanita pun sampai bersama-sama anak-anak mereka. Terus kami dihantar ke KKIA.


Kami sampai di KKIA pada pukul 09:25 pagi. Kami sempat bergambar (seperti gambar di atas), bersalam-salaman dan memulangkan kunci-kunci rumah dan kereta. Saya bersalam dengan Pariman dan mengucapkan berbanyak terima kasih kepada dia atas layanan yang diberikan. 

Setelah itu, kami dan Ezanita masuk ke dalam Balai Berlepas dan mencari kaunter daftar masuk untuk drop in beg kami. Beg kami sebelum ke kaunter, perlu diimbas untuk pemeriksaan keselamatan oleh pihak keselamatan lapangan terbang. Selepas itu, barulah, kami ke kaunter. Namun, kami perlu beratur seperti untuk daftar masuk, cuma nasib baiknya kami telah ada nombor tempat duduk. Semasa beratur itu, Ezanita siap beri bekalan coklat kepada anak-anak kami yang dibeli di KKIA ini. Sempat juga Ezanita menangkap gambar kami di bawah ini. Kemudian Ezanita meminta dirinya untuk pulang. Terima kasih Ezzi (panggilan saya kepadanya) atas layanan anda kepada kami.


Gambar yang ditangkap oleh Ezanita (kredit gambar: Ezanita Syawal).


Semasa kami mengantar kami untuk drop in, kami diberikan juga pas pelepasan seperti di atas, walaupun kami sudah ada pas pelepasan secara kod bar 2 dimensi di iPhone5 saya. Di pas pelepasan itu juga dilekatkan tag beg kami seperti di bawah.



Sebelum kami memasuki pintu pelepasan, saya sempat juga melawati keseluruhan Balai Berlepas (di Tingkat 3) dan Balai Ketibaan (di Tingkat 1) KKIA ini.


Pada jam 10:15 pagi, kami perlu memasuki kawasan pintu pelepasan. Sebelum itu seperti biasa kami ke laluan pintu pelepasan penerbangan antarabangsa/ke Semenanjung/Sarawak/Labuan untuk kami melalui pemeriksaan keselamatan terlebih dahulu. Agak panjang juga beratur untuk barisan keselamatan ini. Selepas selesai, kami ke kaunter imigresen pula, dimana saya menyerahkan keempat-empat pasport. Nampak gaya, pegawai imigresen itu agak lama memeriksa pasport kami, mungkin kerana tidak jumpa cop masuk ke Sabah. Saya memberitahu bahawa kami masuk melalui Jesselton Point dari Labuan di mana kami serahkan pasport tapi pegawai di sana tidak berbuat apa-apa terhadap pasport kami. Selepas mendengar penjelan tersebut, barulah pegawai tersebut mengimbas semula pasport kami dan memberikan kami cop keluar Sabah seperti gambar di atas.


Seterusnya kami ke pintu pelepasan 7 untuk menunggu pesawat kami. Di kawasan parkir masih belum ada pesawat Malindo, kerana belum sampai lagi. Jadi saya berjalan-jalan sekitar kawasan pintu-pintu pelepasan. 20 minit kemudian, peasawat Malindo Air pun mendarat setelah terbang dari KLIA dan memarkir di parkir 7. Penumpang-penumpang yang tiba, kemudian keluar dari pesawat menuju ke Balai Ketibaan. Dalam 10 minit kemudian, petugas-petugas Malindo Air mengarahkan untuk penumpang beratur dengan penumpang kelas perniagaan dan berkeluarga di hadapan di sebelah kanan dan yang lain-lain di sebelah kiri. Saya agak, sebelah kanan akan pergi terlebih dahulu. Pada mulanya ya, namun pemeriksaan agak kurang lancar, dan penumpang di sebela kiri mula dilepaskan (kebanyakan penumpang tiada anak kecil), menyebabkan kami yang ada anak-anak kecil ini masih belum diperiksa. Saya cuba menanyakan hal ini, dan jika boleh dilepaskan kami, kerana biasanya jika penumpang tanpa anak kecil masuk dahulu, biasanya pasti ada masalah di dalam pesawat. Namun saya ditegur dengan kasar oleh petugas wanita tersebut. Tidak mengapalah.

Akhirnya kami masuk juga ke dalam pesawat, cuma keadaan sesak sedikit. Ini agak menyusahkan sedikit di mana kemasukan agak lambat dan menyusahkan sedikit kami yang ada anak kecil ini. Jika kami masuk dahulu, sudah tentu tidak berlaku masalah sebegini. Memang petugas daratan Malindo Air ini tidak berapa cekap.


Kami pun duduk di tempat duduk kami. Tempat duduknya agak besar sedikit  kira-kira 33 inci berbanding tempat duduk MAS (30 inci )atau AirAsia (29 inci). Terdapat juga skrin hiburan individu di setiap tempat duduk. Cuma pendingin hawanya tidak berapa kuat sebagaimana di dalam MAS dan AirAsia. Jam 11:15 pagi, barulah kapal terbang ini bergerak dari tempat parkir dan sepuluh minit kemudian, barulah ia berlepas.


Di udara, saya baru tahu, untuk mendengar skrin hiburan ini, penumpang perlu menyewa earphone daripada pramugari dengan harga RM15.00 sebuah. Saya sudahlah terlupa bawa earphone sendiri, kasihan kepada anak sulung saya, dia amat teruja, namun tidak boleh mendengar. Jadi kami sekadar tengok sahaja.

Satu lagi, sebenarnya kami belum makan lagi sejak pagi. Di dalam laman web, saya difahamkan, ada makanan disediakan, rupanya memang disediakan tapi perlu bayar seperti AirAsia. Nampaknya maklumat di dalam laman web tidak diterangkan secara terperinci ataupun sengaja dibuat begitu sebagai strategi pemasaran. Memang tidak patut buat begitu. Terpaksalah kami membeli makanan (nasi lemak, nasi baryani ayam merah dan dua cawan Maggi) dan membayarnya dengan harga RM36.00. Tidak mengapalah, ini pengalaman, namun menyebabkan saya hanya akan mempertimbangkan Malindo Air sebagai pilihan kedua.



Selepas 2 setengah jam di udara, akhirnya kami sampai di Terminal Utama KLIA. Pendaratan agak kasar, namun sampai juga ke pintu ketibaan A9.


Kami terus ke tempat mengambil bagasi dan tak sampai sepuluh minit, beg kami sampai. Kami solat jamak qasar Zohor dan Asar di surau di kawasan pengambilan bagasi itu. Kami segera keluar dan alhamdulillah Abang Azhar, Kak Ija dan anak-anak mereka, ditambah dua orang anak Abang Epul (abang isteri saya) pun ada sekali. Akhirnya pada jam 15:00 (3:00 petang, kami pun sampai ke rumah kami.

Itulah perjalanan pelbagai mod pengangkutan, pelbagai negeri dan pelbagai negara kami. Sesunggunnya percutian kami ini lebih kepada kembara. Semoga semangat pengembara ini dapat mengalir subur di dalam jiwa anak-anak kami. Insya Allah.


Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan...

Ingin melihat 


If want to read in English: 

  • Day 1 (this part), 
  • Day 2
  • Day 3, 
  • Day 4, 
  • Day 5 or 
  • itinerary.

Tiada ulasan: