Jumaat, 22 Julai 2016

Hari 1 (Manila, Vigan & Puerto Princesa, Filipina - 30 Jun hingga 05 Julai 2016) - Mabuhay Pilipinas (Selamat Datang Ke Filipina).

Bersambung dari Pra Kembara.

Jika mahu lihat catatan: 
If want to read in English: 
  • PreJourney; 
  • Itinerary; 
  • Day 1 (this part)
  • Day 2; 
  • Day 3; 
  • Day 4; 
  • Day 5; or 
  • Day 6. 

Jipney di kawasan Pasay Rotunda, Manila.

Hari 1 (30 Jun 2016 - Sabtu).


Pada pagi ini, saya bangun awal pagi pada pukul 2:00 pagi. Saya membersihkan diri dan kemudian isteri saya menghantar saya ke KL Sentral dari rumah setengah jam kemudian. Kami tiba di KL Sentral dua puluh minit kemudian dan isteri saya menurunkan saya di aras G. Saya pun segera ke aras LG untuk ke stesen bas di situ. Saya ke kaunter tiket untuk menukar voucer kepada tiket bas.



Tiket bas dari KL Sentral ke klia2.

Kupon pembelian prabayar tiket bas ke klia2.

Setelah itu, saya pun segera menaiki bas untuk ke klia. Sekarang syarikat Aerobus dan Skybus telah bergabung dari operasi dan tidak lagi bersaing untuk mendapatkan penumpang. Mereka menggunakan satu kaunter sahaja. Tetapi kekerapan mereka dikurangkan dari empat kali sejam (jika digabung) iaitu setiap 15 minit kepada tiga kali sejam (setiap 20 minit). Bas yang saya naiki bergerak meninggalkan KL Sentral pada pukul 3:20 pagi.


Ikon klia2 bertemakan Hari Raya Aidilfitri.


Setelah 50 minit perjalanan, akhirnya sampailah saya di klia2. Saya telah memberikan mesej kepada Akmal untuk bertemu di pintu pelepasan sahaja. Saya melihat maklumat berlepas di skrin paparan di balai berlepas dan mendapati pintu pelepasan penerbangan kami adalah di pintu Q5. Saya terus memasuki pintu berlepas dan melaksanakan prosedur imigresen dan kastam. Saya kemudian ke Sayap L untuk ke cawangan Plaza Premium Lounge yang ada di situ untuk saya menunggu penerbangan. 

Sebelum ke situ, biasalah kita perlu melepasi pemeriksaan keselamatan Polis Bantuan Malaysia Airport Berhad. Cuma petugas pada masa itu agak tidak berapa mesra pelanggan atau ibaratnya mereka tidak membantu walaupun mereka itu Polis Bantuan. Malah siap menyindir secara terang-terang sehingga didengari penumpang. Mungkin kerana kuasa mereka itu, menyebabkan mereka lebih berkuasa dari kuasa polis sebenar. Tidak mengapalah, walaupun itu kerja mereka, rasanya mereka boleh bertugas dengan lebih berhikmah dan mesra pelanggan. Tetapi ia sebaliknya, malah polis wanita lebih bisa mulutnya.


Cawangan Plaza Premium Lounge di bahagian pelepasan Sayap L, klia2.


Resit Plaza Premium Lounge.

Cukuplah untuk mengingat kembali pengalaman buruk saya, saya teruskan ke Plaza Premium Lounge. Ia bukan sekadar untuk menunggu tetapi untuk bersahur juga, kerana ada makanan disediakan. Untuk mendapatkan kemudahan ini, biasanya perlu membayar RM168 setiap kali penggunaan, namun memandangkan saya pemegang kad kredit Platinum Public Islamic Bank, maka saya mendapat penggunaannya secara percuma, malah saya boleh dapat tiga kali penggunaan percuma setahun (bagi tahun 2016) bagi setiap kad. Alhamdulillah, di sini agak selesa juga, yang penting ada tempat untuk bersahur dan mengecaj telefon. Capaian WiFi berinternet juga ada di sini, malah lebih laju dari capaian WiFi biasa di klia2. Saya bersolat di surau berhampiran.


Kapal terbang yang akan membawa kami ke Manila (hadapan sekali).

Selesai bersolat, saya pun bergegas ke Sayap Q klia2. Bermakna saya perlu melalui jambatan udara ke Bangunan Satelit klia2 dan seterusnya ke Sayap Q. Saya juga perlu melalui pemeriksaan keselamatan sekali lagi sebelum ke pintu pelepasan. Nasib baik pintu pelepasan Q5 tidak berapa jauh. Sampai di sana, Akmal menunggu dengan setianya.


Pintu pelepasan Q5, klia2.


Saya dan Akmal di pintu pelepasan Q5.

Setelah lima belas minit saya di kawasan menunggu pintu pelepasan Q5, maka pintu dibuka untuk memasuki pesawat 9M-AJC milik AirAsia. Pada pukul 8:15 pagi, penerbangan AirAsia AK 582 ini meninggalkan terminal dan pada pukul 8:30 pagi berlepas di landasan terbang KLIA ini menuju ke Manila.


Kepak pesawat penerbangan AirAsia AK 582 meluncur di udara.


Video YouTube: Penerbangan AirAsia AK 582 berlepas dari klia2 (LCCT KL) ke Manila.


Di dalam pesawat ini, terdapat perkhidmatan roKKi (maklumat lanjut sila klik link) iaitu perkhidmatan WiFi di dalam pesawat AirAsia. Jika menggunakan perkhidmatan internet biasa menggunakan perkhidmatan roKKi ini, ia tidaklah percuma dan perlu dibayar. Kadar yang perlu dibayar adalah RM18 (plan internet) untuk data sebanyak 10MB dan RM9 (plan chat) untuk data sebanyak 3MB. Ia boleh dibayar melalui pembantu penerbangan secara tunai semasa penerbangan. Atau jika mempunyai kad kredit/debit, ia boleh dibayar melalui portal, sebaiknya dibeli sebelum menaiki pesawat, namun bagi saya kaedah ini tidak praktikal jika membeli diatas pesawat, kerana kita perlukan mesej keselamatan TAC dari bank, oleh kerana kita sedang terbang di angkasa, ini mustahil untuk menerima TAC ini.

Namun jika kita ingin menggunakan isi kandungan yang ada di dalam portal roKKi seperti membaca majalah eletronik, menonton video muzik atau filem/drama yang ada atau melihat menu sajian dalam pesawat AirAsia atau melihat barang-barang jualan bebas cukai AirAsia, adalah percuma sahaja. Cuma kena bersiap dengan bank kuasa (power bank) kerana di dalam pesawat AirAsia ini tiada tempat mengecaj telefon.



Pelekat roKKi Wi-Fi.


Portal perkhidmatan roKKi Wi-Fi.

Semasa penerbangan, pembantu penerbangan telah mengedarkan kepada kami borang-borang yang perlu kami isikan sebelum memasuki Filipina nanti. Borang-borang tersebut adalah seperti di bawah ini:


 Borang ketibaan imigresen Filipina.

Borang pengisytiharan kesihatan Filipina.

Selepas tiga jam terbang di udara, kami mula ternampak pulau-pulau di Filipina yang berdekatan dengan Teluk Manila. Pesawat kami tidak terus mendarat di lapangan terbang, tetapi berpusing mengililingi Teluk Manila. Ini mungkin kerana lapangan terbang di Manila agak sesak, maklumlah walaupun mempunyai dua landasan terbang, namun hanya satu sahaja boleh digunakan pada setiap masa kerana kedua-dua landasan tersebut bersilang. 

Akhirnya setelah satu pusingan, pesawat kami pun mula turun untuk mendarat. Menariknya, jam saya menunjukan masih pukul 12:00 tengahari, dan ketua pembantu penerbangan pun memaklumkan bahawa penerbangan kami sebenarnya awal 20 minit! Alhamdulillah, pesawat mendarat dengan baik dan lancar. Seterusnya pesawat ini bergerak menuju ke arah Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino, Manila (MNL) dan parkir di pintu 103.


Pesawat penerbangan AirAsia AK 582 menghampiri MNL.


Video YouTube: Penerbangan AirAsia AK 582 mendarat di Manila dari klia2 (LCCT KL).


Peta laluan (FlightRadar24) penerbangan AirAsia AK 582 pada 30 Jun 2016.


Apabila sampai di terminal, maka kami pun bergerak keluar dari pesawat setelah pintu pesawat dibuka dan dibenarkan untuk keluar. Sebelum sampai di kaunter imigresen, kami perlu melalui kaunter pemeriksaan kesihatan. Di sini kami perlu menyerahkan borang pengisytiharan kesihatan yang telah diisi tadi dan kemudian petugas memberikan kami notis amaran kesihatan untuk peringatan buat kami pengunjung ke Filipina.



Amaran kesihatan Filipina.


Setelah itu kami terus ke kaunter imigresen untuk urusan imigresen. Saya menyerahkan borang imigresen yang telah diisi dan alhamdulillah urusannya agak cepat di Terminal 3, MNL ini serta ia berjalan lancar. Jadi secara rasminya, saya berada di Filipina untuk kali kedua dalam hidup saya ini.

Lorong menuju ke kaunter imigresen Filipina di Terminal 3MNL.


Cop masuk imigresen Filipina.

Sebaik sahaja keluar dari kaunter imigresen, kami turun mengikut tangga ke bawah di mana di sini conveyor bagasi. Kami tidak mendaftar masuk beg kami jadi kami terus sahaja melaluinya. Semasa itu juga kami ternampak kaunter juruwang di mana disediakan juga pertukaran wang asing. Kadarnya agak baik juga, jadi Akmal yang tidak sempat untuk menukar wang Peso Filipina, menukarnya di sini. Namun kadarnya bagi saya lebih baik di Malaysia, lagipun rasa macam di sini bukan pengurup wang rasmi, mungkin pendapatan sampingan agaknya, resit pun tiada.

Kaunter pertukaran wang di balai ketibaan Terminal 3, MNL.


Kadar pertukaran di kaunter pertukaran wang di balai ketibaan Terminal 3 MNL.

Selepas itu, kami terus ke balai ketibaan di sebelah landside pula. Keluar sahaja dari kawasan airside, ternampak kaunter telco Smart dan Globe di depan pintu ketibaan. Sebenarnya di balai ketibaan di Terminal 3, MNL ini memang banyak juga kaunter kedua-dua telco ini. 

Kaunter kad SIM di balai ketibaan Terminal 3 MNL.

Di bunting kaunter-kaunter ini memang dikatakan kad SIM percuma, tetapi jangan terpedaya. Ia memang percuma, tetapi WAJIB dibeli dengan pakej untuk pelancong yang bagi saya agak mahal iaitu ₱500 (+- RM45.00) untuk kegunaan internet tanpa had berserta kredit (untuk suara dan sms) sebanyak ₱200 (+- RM18.00) untuk kegunaan seminggu. Saya tidak memerlukan sebanyak itu. Namun oleh kerana saya telah menempah kad SIM percuma daripada Globe (sila rujuk catatan Pra Kembara), maka kami dapat mengambil kad SIM tersebut tanpa perlu mengambil pakej yang ditawarkan mereka. Di kaunter ini hanya membolehkan tambah nilai untuk pakej ditawarkan sahaja.


 Pek kad SIM Pengembara Globe Filipina.


Kad SIM prabayar Globe Filipina.

Jika ikutkan, saya cuma perlukan pakej data GS50 sahaja (seperti di bawah ini, boleh rujuk laman web Globe). Nanti apabila jumpa tempat untuk membeli tambah nilai akan saya langgan pakej yang tersebut. Terdapat banyak pakej sebenarnya ditawarkan oleh Globe dan Smart, cuma kena tengok apa yang sesuailah.


Antara kadar data mobil Globe Filipina.

Seterusnya, kami keluar dari balai berlepas dan terus ke arah hujung kiri untuk ke perhentian bas shuttle untuk ke kawasan Rotunda Pasay, yang mana di sini terdapat stesen LRT-1 EDSA dan juga stesen MRT-3 Taft Avanue. Tiket perlu dibeli di kaunter tiket di perhentian ini yang mana hanya boleh dibeli ketika bas tiba. Harga tambangnya adalah ₱20 (+- RM1.80) sahaja. Namun agak ramai di sini, namun biasanya akan ada barisan. 

Sebenarnya bukan hanya bas shuttle ke Pasay Rotunda sahaja tetapi terdapat satu laluan iaitu bas shuttle ke semua terminal-terminal di MNL ini, di mana terdapat empat terminal semua dan semuanya agak jauh juga jika berjalan kaki. Harga tambang juga sama iaitu ₱20 (+- RM1.80) sahaja. Jadi jangan terkeliru, sila peka dengan papan laluan yang terdapat pada bas, jangan salah naik bas pula. 

(Untuk yang mempunyai penerbangan transit di terminal berlainan, terdapat pilihan untuk menaiki bas shuttle yang percuma disediakan oleh pengurusan lapangan terbang. Cuma ikut tanda arah TRANSIT di dalam bangunan penerbangan. Pilihan ini lebih baik kerana ia adalah PERCUMA dan tidak perlu mengharungi kesesakan lalu lintas Manila yang memang sesak kerana ia melalui kawasan tarmac lapangan terbang. Tapi hanya sah untuk yang ada tiket/tempahan yang sah dan untuk masa terdekat (pada hari berkenaan) sahaja).


Tiket bas shuttle ke Pasay Rotunda.


Perhentian bas shuttle di Terminal 3 LTA Ninoy Aquino.

Kami dapat menaiki bas yang pertama sampai. Namun tempar duduk di dalam bas ini agak kecil. Lebih kecil dari temoat duduk di bas mini yang popular di Kuala Lumpur pada tahun 1990an dulu (kini sudah tiada). Walaupun tempat duduk ini untuk dua orang, rasanya jika wanita duduk pun, hanya boleh tampung 1 3/4 orang sahaja huhuhu... Apatah lagi jika orang lelaki dan dengan beg galas lagi. Oh lupa, jika terdapat bagasi, terdapat caj tambahan iaitu ₱20 (+- RM1.80) juga. Bas ini juga terdapat penumpang berdiri juga.

Tidak lama kemudian, bas ini bergerak dan meninggalkan Terminal 3 MNL. Keadaan jalan raya agak sesak juga. Sambil itu, saya cuba mengaktifkan kad SIM saya dan Akmal. Setelah berjaya, kami bertukar-tukar nombor telefon bagi memudahkan perhubungan kami sepanjang di Filipina. Sebab ini saya biasanya mewajibkan pembelian kad SIM yang boleh berhubung secara suara dan sms, jika internet bermasalah, cara-cara ini dapat membantu masalah kita.

Semasa perjalanan, dapat saya melihat keadaan metropolitan Manila yang agak sesak itu. Teringat pengalaman dua tahun sebelum itu sewaktu pertama kali saya ke Manila. Sempat juga saya melihat harga minyak di sebuah stesen minyak. Baru teringat, di Filipina menjual petrol jenis RON 91, RON 95 dan ada juga RON 100. Kiranya RON95 adalah petrol yang agak premium di Filipina. Harganya agak mahal berbanding Malaysia, contohnya RON95 berharga ₱41.00 (+- RM3.70) per liter dan diesel pula  ₱26.30 (+- RM2.40).


Terminal 3 MNL dari jalan utama.


Stesen minyak di Panaraque, Metro Manila.



Peta: Perjalanan Bas Shuttle dari 
Terminal 3, Lapangan Terbang Ninoy Aquino, Manila ke Rotonda Pasay, Manila.


Setelah perjalanan mengambil masa 40 minit untuk perjalanan sejauh 6 kilometer sahaja, sampailah kami di Pasay Rotunda pada pukul hampir 2:00 petang. Misi pertama saya adalah untuk mencari cawangan Maybank Filipina yang dikatakan ada berdekatan. Kami pun menggunakan rotunda iaitu jejantas yang seupama bulatan (rotunda  itu adalah bulatan di dalam Bahasa Filipinos dan juga Bahasa Sepanyol, bahasa yang banyak dipinjam perbendaharaan kata oleh Bahasa Filipinos), namun apabila sampai di tempat yang saya lihat di dalam Google Maps/Streetview, ia sudah tiada.

Di sebelah tempat yang asalnya terdapat cawangan Maybank ini, terdapat sebuah cawangan kedai serbaneka MiniStop. Jadi kami masuk ke dalam kedai MiniStop ini dan membeli air mineral botol (untuk bekalan sahaja, belum minum lagi, kerana kami masih berpuasa) dan membeli nilai tambah untuk kad SIM Globe kami sebanyak ₱150 (+- RM13.50). Saya kemudian melanggan pakej GS50 untuk telefon saya dan Akmal berharga ₱50 (+-RM4.50) untuk data sebanyak 750MB untuk 36 jam. Lebih murah dari membeli pakej di MNL.

Rotunda Pasay.

Setelah itu, walaupun tidak menjumpai cawangan Maybank, kami ke stesen bas Partas Pasay untuk membeli tiket bas ke Vigan bagi perjalanan pada sebelah malam itu. Perjalanan kira-kira kurang dari satu kilometer sahaja. Sampai-sampai di stesen bas ini, rupa-rupanya, stesen ini yang merupakan stesen bagi rangkaian bas Partas (di Filipina, tidak terdapat stesen bas yang bersepadu yang dikongsi oleh semua pengendali perkhidmatan bas, tetapi sebaliknya, setiap syarikat bas mempunyai stesen basnya sendiri), sedang dalam proses pengubahsuaian, atau lebih tepat sedang membina bangunan baru untuk stesen basnya di Pasay ini.

Apabila nampak kami termanggu-manggu, maka petugas di pintu masuk menunjukan arah ke dalam, mungkin mengetahui saya hendak membeli tiket bas. Kami pun ke dalam dan terus ke arah kaunter tiket. Oleh kerana tiket yang saya hendak beli ini bukan tiket pada masa berkenaan, maka saya perlu beli di kaunter yang terpapar "Advance Booking" - tempahan awal.

Saya meminta untuk bas yang terakhir dari Pasay ke Vigan iaitu pukul 10:00 malam dan tiketnya masih boleh dibeli. Ia dijual pada harga ₱641 (+- RM58.00). Setelah membayarnya, saya diberikan slip tempapahan dan ia perlu dibawa untuk ditukarkan dengan tiket bas pada sejam sebelum berlepas nanti.



Peta: Berjalan kaki dari Rotonda Pasay ke Stesen Bas Partas, Pasay.


Stesen Bas Partas di Pasay, yang sedang diubahsuai.


Kaunter tiket Partas.


Slip tempahan bas Partas dari Pasay ke Vigan.

Setelah berjaya membeli tiket bas ke Vigan, maka kami kembali ke kawasan Rotunda Pasay, untuk ke stesen MRT-3 Taft Avenue untuk ke penginapan kami yang terletak di Makati. Dalam perjalanan itu kami sempat melihat orang tempatan bermain karom tetap dengan kayu kiu, umpama bermain snuker. Agak menarik juga kerana tidak pernah berjumpa di mana-mana. Jadi saya gelarkan permainan ini sebagai "karom snuker". Sambil dalam perjalanan itu, kami memang nampak pengangkutan awam biasa di Filipina iaitu Jipney banyak berada di Jalan EDSA ini.


Warga tempatan sedang main "karom snuker".

Jipney di kawasan Pasay Rotunda, Manila.

Sampai di stesen MRT-3 Taft Avenue, kami terus mengikut arah jalan untuk membeli tiket di kaunter. Kita kena ikut laluan ditetapkan walaupun kaunter sudah di depan mata, mungkin kerana orang sentiasa ramai di stesen ini. Tambang dari stesen Taft Avenue ke stesen terdekat dengan penginapan kami iaitu stesen Buendia (3 stesen) adalah ₱20.00 (+- RM1.80). 

Selepas membeli tiket, kami memasuki kawasan berbayar tetapi perlu melalui pemeriksaan keselamatan oleh pihak keselamatan di stesen dahulu. Ini memang akan dilakukan setiap kali menaiki stesen, kita perlu membuka beg kita untuk diperiksa dan kita akan melalui alat pengesan logam  seterusnya perlu diperiksa badan pula.

Apabila kami ke platform, terdapat tangga yang dikhaskan, bukan semua tangga boleh digunakan. Setiap tangga adalah hanya untuk satu arah sahaja, naik atau turun ke platform. Sampai di platform, terdapat tali yang direntang untuk mengelakan penumpang dari mendekati hujung platform. Ini adalah agar ada ruang untuk membolehkan penumpang di dalam tren, turun dari tren. Kami pun menunggu kira-kira 10 minit untuk tren sampai (stesen Taft Avenue adalah terminal paling hujung sebelah selatan bagi sistem MRT-3 Manila).

Apabila sampai tren, kelihatan begitu ramai penumpang yang turun. Sebenarnya sama juga dengan penumpang yang tunggu, malah platform agak tidak cukup menampung orang yang ada. Setelah selesai penumpang turun dari tren, maka tali terentang tadi diturunkan oleh pengawal keselamatan dam penumpang pun naik menaiki tren. Perlu diingatkan, gerabak paling depan (jika tren dari arah Taft Avenue dan sebaliknya (belakang sekali) jika tren ke arah Taft Avenue) dikhaskan untuk penumpang wanita, warga emas dan orang kurang upaya. Jadi jangan tersilap memasuki tren. 

Setelah memasuki tren, apabila tren hendak bergerak kembali, memang agak padat sekali. Keadaan tren pun agak kecil walaupun namanya MRT, tidak sepadan. Sebenarnya keadaan ini agak baik sikit pada waktu tidak puncak (keadaan seperti kami menaikinya). Jika waktu puncak, kami pernah melihat, keadaan ini lebih teruk. Lebih padat dan tidak semua dapat menaiki tren sehingga kena menunggu giliran. Bersyukur kerana keadaan sistem rel di Kuala Lumpur masih tidak seperti di Manila ini.

Keadaan di platform stesen MRT-3 Taft Avanue.

Keadaan gerabak MRT-3 dari luar.

Keadaan di dalam gerabak MRT-3.

Sampai di stesen MRT-3 Buendia, kami pun berjalan kira-kira lebih sikit dari satu kilometer ke penginapan kami. Jalan EDSA agak sesak pada ketika ini. Kami pun berjalan di kaki lima yang agak sempit. Walaupun kami menempah penginapan di Dormitel  Makati, tapi perlu mendaftar masuk di hotel Lakbayan Makati - Motel. Padanlah kami mencari papan tanda Dormitel tidak jumpa. Penginapan malam ini hanya untuk Akmal sahaja, jadi setelah mendaftar masuk saya menunggu di lobi Lakbayan Makati. Kalau tengok suasan di Lakbayan Makati ini seperti ok sahaja. Setelah dua puluh minit, Akmal datang kembali kepada saya, dan saya minta untuk ke bilik untuk melihat keadaannya. Akmal kata dia tidak mahu duduk di situ, ini menambahkan lagi ingin tahu saya. Saya pun kata, kita dah tak boleh nak cancel pasal sudah pada hari jadinya. Akmal pun kata tidak kisah, dia rela mencari penginapan lain.

Apabila ke penginapan tersebut, huh, memang jauh berbeza dari apa yang ditunjuk di dalam website Hotels.com. Dengan suasana agak gelap dan agak bersepah, tandas pula pintunya hanya separuh (memang banyak tandas di Filipina ini pintu hanya separuh, kurang privasi sedikit). Jadi saya pun setuju.  Kiranya Akmal "berlari malam" dari penginapan ini. Kami pun balik ke stesen MRT untuk kembali ke kawasan Rotunda. 

Masa dalam perjalanan, saya cuba membatalkan tempahan untuk hari-hari seterusnya kerana masih dalam tempoh membolehkan tempahan dibatal (walaupun sudah daftar masuk, huhuhu). Namun kelajuan internet agak perlahan, namun saya mencuba. Akhirnya berjaya juga saya membatalkan semua tempahan yang seterusnya.

Penginapan di Dormitel Makati tetapi daftar masuk di Lakbayan Makati - Motel (gambar).

Kaunter di Lakbayan Makati - Motel.

Sampai di Rotunda, Akmal beria-ia hendak mencari penginapan. Saya pada mulanya membantu beliau, namun akhirnya saya mengalah dan minta dia cari sendiri kerana saya sudah tidak larat. Maklumlah kami berpuasa. Banyak juga penginapan di sini kami tanya (lebih saya yang bertanya kerana saya lebih fasih berbahasa Inggeris), tetapi agak mahal juga. Kadarnya lebih ₱1500 (+- RM135.00) ke atas. Itupun harga hari biasa, hari minggu lebih mahal. Menariknya di kawasan ini, harga penginapan ada macam-macam pakej, dari 3 jam, 5 jam, 12 jam dan 24 jam. Harga ₱1500 itu adalah harga bagi 24 jam. 24 jam bermaksud jika kita masuk pukul 5 petang makan kita keluar nanti pun selewat-lewatnya pukul 5 petang. Begitu modus operandi penginapan-penginapan di sini.

Akmal mendapat penginapan tetapi tidak memaklumkan saya, ketika itu saya sedang duduk di tubir tangga sebuah pusat membeli-belah kerana sudah penat sangat. Nasib baik boleh bertahan berpuasa lagi. Saya tergerak untuk menelefon dia dan terus ke penginapannya di Hotel Sogo Rotunda yang memang strategik. Hotel ini memberikan harga termurah sebenarnya. Jadi saya tumpang untuk beberapa jam sementara menunggu bas saya ke Vigan nanti. Pada ketika itu, masa telah menunjukan pukul 4:45 petang.

Setelah berehat setengah jam dan hilang penat, kami keluar dari hotel untuk membeli apa yang boleh kami makan untuk berbuka puasa. Kebetulan di seberang jalan terdapat pasaraya, kami ke sana dan membeli beberapa keperluan seperti air minuman dan roti untuk makan. Kemudian saya ke kedai buah di depan hotel untuk membeli buah sebagai bekalan ke Vigan nanti.

Balik ke hotel, kami berbuka puasa dengan saya berbuka dengan Maggi perisa asam laksa yang di bawa dari Malaysia. Air minuman memang habis sebotol setengah (botol 1.5 liter). Jadi ada baki sebotol setengah lagi untuk perjalanan ke Vigan. Waktu berbuka puasa adalah pada pukul 6:15 malam. Jadi ada dua jam lebih untuk bas saya bergerak ke Vigan. Sementara itu, saya mengecaj telefon saya di bilik hotel. Soket di Filipina adalah jenis A, sama yang digunakan di Thailand, Amerika Syarikat dan banyak negara lain.

Sementara menunggu untuk ke stesen bas, saya membersihkan diri dan mengasingkan beg untuk membawa bekalan pakaian dan lain-lain ke Vigan. Ke sana, saya menggunakan beg yang lebih kecil. Jadi beg yang biasa, saya minta Akmal tolong jagakan. Sambil-sambil itu tengok TV, dan kami tidak sengaja terbuka saluran dewasa. Cepat-cepat kami tukar saluran lain. Bahaya betul, sudahlah di negeri orang, susut pula pahala puasa kami. 

Pada pukul 9:30 malam, saya pun bergerak menuju ke stesen bas Partas di Pasay. Setelah berjalan kira-kira 10 minit, saya sampai. Saya ke kaunter untuk menukar tiket yang sebenarnya di kaunter tiket. Pada pukul 9:55 malam, sampailah bas yang ke Vigan dan pada pukul 10:10 minit, bas ini meninggalkan stesen ini menuju ke Vigan.


Tiket bas Partas dari Pasay ke Vigan.

Bas Partas dari Pasay ke Vigan.

Keadaan Lebuhraya EDSA dari dalam bas.

Ketika bas ini masih di Jalan/Lebuhraya EDSA, jalan agak sesak, sejam lebih juga kami untuk bas ini melepasi jalan ini. Setelah itu, bas ini bergerak dengan lancar. Saya tertidur tatkala itu. Pada pukul 1:00 pagi, bas ini ada berhenti makan di sebuah tempat, sekitar Tarlac jika tidak silap. Saya turun untuk melihat apa yang boleh dimakan, namun tiada kerana kebanyakan berasaskan daging. Jadi saya ke tandas sahaja, dan makan buah epal serta minum air mineral yang saya beli sahaja untuk alas perut dan juga kira bersahur sekali. Setelah setengah jam, bas ini meneruskan perjalanannya. Saya pun tertidur.

Bersambung ke Hari 2.

Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • PreJourney; 
  • Itinerary; 
  • Day 1 (this part)
  • Day 2; 
  • Day 3; 
  • Day 4; 
  • Day 5; or 
  • Day 6. 

Tiada ulasan: