Isnin, 4 April 2016

Hari 1 (Seoul, Korea Selatan - 06 hingga 10 Mac 2016) - 안녕하세요 서울 (Annyeonghaseyo (Apa Khabar) Seoul!).

Bersambung dari Pra Kembara.

Jika mahu lihat: 
If want to read in English: 
  • Pre Journey; 
  • Itinerary; 
  • Day 1 (this part)
  • Day 2; 
  • Day 3 Part 1; 
  • Day 3 Part 2; 
  • Day 4; or 
  • Day 5. 


Saya berselfie di Sungai Cheonggyecheon (di atas jambatan Jalan Eujiro 3(sam)-ga).

Hari 1 (06 Mac 2016 - Ahad).

Ahah, sudah tiba hari saya hendak ke Seoul. Malam sebelumnya pun tidur pukul 11:30 malam walaupun perlu bangun tidur selewat-lewatnya pukul 4:00 pagi untuk ke klia2! Saya bangun pada pukul 3:45 pagi dan membersihkan diri. Kali ini, isteri saya menghantar saya bersama-sama anak-anak kami yang hendak ikut bersama walaupun mengantuk. Pukul 4:30 pagi bergeraklah kereta isteri saya dari rumah menuju ke klia2.

Semasa perjalanan, anak-anak kami tidur sahaja. Kami sampai di bahagian pelepasan klia2 pada pukul 5:15 pagi. Huh, agak banyak juga kereta menghantar orang pada ketika ini. Nasib baik kereta isteri saya kecil dan bolehlah menyelit sedikit ruang agar saya boleh turun dan mengambil beg galas saya. Selepas itu, selepas bersalam dan mengucapkan selamat tinggal, saya terus ke balai berlepas dan mencari rakan-rakan sepengembara.

Sampai di luar balai berlepas, saya bermesej Whatsapp dengan beberapa dari mereka dan Mior dan Naqua sedang lepak di McDonald's getway@klia2. Mereka bersarapan di situ. Saya pun ke sana dan berjumpa dengan mereka. Tidak lama kemudian, Kamal pula tiba di situ bersama-sama keluarganya. 

Pada pukul 5:45 pagi, kami menganbil keputusan untuk membuat pengesahan pas pelepasan kami di kaunter pengesahan di barisan U. Tatkala kami hendak ke sana, Mahathir pula sampai. Lalu kami pun membuat pengesahan. Usai membuat pengesahan, kami menunggu dua lagi sahabat iaitu Firkhan dan Fairuz. Khaizan terpaksa membatalkan pemergiannya kerana ada urusan keluarga. Firkhan ini, mementanglah rumahnya dekat dengan klia2, lambat pula dia. Akhirnya sampai juga. Tinggal Fairuz, rupa-rupanya dia sudah melepasi pemeriksaan imigresen dan kastam. Jadi kami terus masuk ke pintu pelepasan untuk urusan tersebut pada pukul 6:00 pagi, dan berjumpa dengan dia sebaik melepasi urusan kastam.


Berwefie di hadapan pintu pelepasan klia2.

Apabila sampai di bangunan satelit, kami menunaikan dahulu solat subuh dan usai solat kami ke sayap P dan membuat pemeriksaan keselamatan oleh pihak Polis Bantuan Malaysia Airport Berhad pula pada pukul 6:20 pagi. Agak ramai juga ketika ini. Pintu berlepas kami adalah P4, nasib baik tidak jauh. Sampai di situ, penumpang-penumpang penerbangan D7 504 sudah mula beratur untuk memasuki pesawat. Kami pun terus masuk ke dalam barisan untuk masuk ke dalam pesawat.

Pesawat 9M-XXZ AirAsia X sedang bersedia untuk dipenuhkan.

Pesawat kemudian bergerak meninggalkan terminal pada pukul 7:30 pagi dan mula terbang dari landasan terbang 3 KLIA sepuluh minit kemudian. Ini kali kedua saya menaiki AirAsia X dan pertama kali menggunakan kelas ekonomi biasa. Sebelum ini saya menaiki AirAsia X ke Shanghai pada tahun 2013 dengan menggunakan kelas premium. Bagi saya, tempat duduk kelas ekonomi AirAsia X yang berkonfugurasi 3-3-3 di dalam pesawat Airbus A330 ini lebih sempit berbanding tempat duduk kelas ekonomi AirAsia yang berkonfugurasi 3-3 di dalam pesawat Airbus A320. Cuma ruang kakinya lebih besar sedikit sahaja.

Sejam selepas berlepas dari klia2, masa untuk makan. Memandangkan tempat duduk kami terletak di hujung belakang pesawat, jadi kami mendapat makan agak pengakhiran juga. Sambil itu, saya bertanya, untuk mengambil sekali makanan untuk Khaizan (yang tidak dapat bersama kami). Alhamdulillah, pembantu penerbangan wanita berkenaan membenarkan walaupun empunya badan tidak menghadirkan diri. Dapatlah saya makan lebih sedikit. Selepas, selang beberapa ketika, saya pun tertdur.



Pas pelepasan penerbangan D7 504 (bahagian simpanan penumpang).


Sayap pesawat ketika sedang meluncur di udara.

Setelah tidur hampir sejam setengah, saya terjaga. Walaupun agak sekejap, jadilah, dapat saya simpan tenaga untuk perjalanan di Seoul kelak. Tempat duduk yang saya dapat bukanlah di tepi tingkap sebagaimana kegemaran saya, jadi tidak dapat mengambil gambar luar pesawat seperti biasa, namun saya sempat ke pintu belakang pesawat yang mempunyai tingkap kecil, untuk saya mengambil gambar luar pesawat bersama sayapnya. Selepas itu, saya memang tidak dapat melelapkan mata. Jadi saya menghabiskan masa berborak dengan kawan-kawan.

Dalam masa sama, pembantu penerbangan-pembantu penerbangan mengedarkan borang kad ketibaan imigresen dan borang perisytiharan kastam Republik Korea (nama rasmi Korea Selatan) untuk kami isi agar memudahkan prosedur berkaitan apabila tiba di lapangan terbang nanti.

Borang kad ketibaan Imigresen Republik Korea (Korea Selatan).


Borang perisytiharan Kastam Republik Korea (Korea Selatan).


Peta laluan penerbangan AirAsia X D7 504 pada 06 Mac 2016.

Akhirnya, selepas hampir 7 setengah jam penerbangan, maka kami pun tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon (ICN). Pesawat yang membawa kami memarkirkan pesawat di parkir 109 di bangunan concourse ICN. Walaupun penerbangan kami tiba agak awal, tetapi agak lama juga kami menunggu untuk keluar dari pesawat. Akhirnya setelah hampir 20 minit, dapatlah kami keluar pesawat. 


Penerbangan D7 504 telah selamat tiba di ICN.

Ucapan selamat datang dipapar di pintu ketibaan.

Menariknya, terdapat ucapan selamat datang dalam Bahasa Melayu sebaik kami tiba di pintu ketibaan. Agak jauh juga untuk ke bangunan terminal utama, kena berjalan kaki, kemudian kena turun eskalator. Selepas itu kena menunggu di platform untuk menaiki keretapi transit. Keretapi yang kami naiki mengambil masa tiga ke lima minit juga lah untuk sampai ke bangunan terminal. Hanya nampak dinding sahaja, tidak seperti keretapi transit di KLIA (antara Bangunan Terminal Utama ke Bangunan Satelit) yang boleh nampak permandangan lapangan terbang, maklumlah keretapi ini terletak di bawah tanah.

Sudah sampai di bangunan terminal utama, kena naik eskalator lagi dan perlu berjalan lagi. Itu pun kena perhatikan tanda arah mengikut kod penerbangan kita, kerana ia akan membawa kita ke tempat mengambil bagasi kita. Akhirnya sampai juga kami di kawasan pemeriksaan imigresen. Terdapat juga banyak meja-meja untuk menulis borang kad ketibaan imigresen. Di meja-meja tersebut terdapat juga borang-borang tersebut. Ketika beratur, agak panjang juga, kerana bukan penumpang-penumpang penerbangan kami sahaja, malah ada beberapa penerbangan lain yang sampai hampir sama dengan penerbangan kami. Namun pemeriksaan imigresen Korea Selatan ini agak cepat juga. Dalam 20 minit, selesai juga urusan imigresen ini.

Menunggu keretapi transit dari Bangunan Concourse ke Bangunan Terminal Utama ICN.

Cop masuk imigresen Republik Korea (Korea Selatan).

Setelah pemeriksaan imigresen, kami turun ke tingkat lebih bawah untuk keluar dari kawasan mengambil bagasi, kerana kami tiada bagasi yang didaftar masuk. Ketika keluar, kami memberikan borang pengisytiharan kastam kepada pegawai kastam yang sedia menunggu. Akhirnya kami tiba di bangunan ketibaan ICN. Banyak juga kaunter-kaunter pelbagai perkhidmatan yang terbabit. Ada ternampak kaunter syarikat telekomunikasi yang bukan sahaja memberikan perkhidmatan menyewa telefon dan modem mudah alih tetapi juga syarikat KT melalui jenama Olleh menawarkan penjualan kad SIM prabayar. Tetapi, macam mana entah, saya tidak pergi ke sana, sebaliknya terus mencari stesen Metro Seoul. Terdapat juga syarikat telekomunikasi SK Telekom dan LG U+ selain KT.

Kami mengambil eskalator untuk ke aras B1 (aras balai ketibaan adalah aras 1) untuk ke stesen A'Rex Metro Seoul. Setelah berjalan mengikut tanda arah (agak senang juga tanda arahnya), maka sampailah kami di depan stesen A'Rex ini.


Pintu masuk ke keretapi Metro Seoul Laluan A'Rex Airport Railroad 
(berhenti di beberapa stesen).

Di seberang, pintu masuk ke A'Rex Express.

Sebenarnya, terdapat dua perkhidmatan A'Rex ini, satunya adalah jenis ekspres, yang mana keretapinya tiada berhenti dari ICN ke Stesen Seoul. Perkhidmatan ini akan mengambil masa selama 48 minit perjalanan dengan harga tambang 8000 setiap orang. Kalau guna voucer diskaun yang ada, ia menjadi 6900. Satu lagi perkhidmatan adalah jenis yang berhenti-henti di beberapa stesen sebelum sampai di Stesen Seoul setelah 53 minit. Ini jika terus sampai Seoul atau kebanyakan stesen 5 kilometer radius dari Stesen Seoul, tambangnya cuma ₩4250 sahaja. Kami mengambil jenis yang berhenti-henti kerana kami perlu bertukar stesen di Stesen Hongik University untuk ke penginapan kami. Lagipun ia lebih murah. Murah banyak. Maklumlah ₩1000 pun dah lebih kurang RM3.50. Kalau ₩3750 sudah RM13 dah jimat. Satu lagi sebab, kedua-dua perkhidmatan berbeza cuma 5 minit sahaja, tapi perkhidmatan ekspres hanya ada setiap setengah jam sekali, manakala yang berhenti-henti setiap lima minit.

Jika dari bangunan terminal ICN, stesen bagi perkhidmatan ekspres adalah di sebelah kanan dengan papan tanda berwarna kuning, manakala bagi perkhidmatan henti-henti pula di sebelah kiri dengan papan tanda berwarna biru. Kami ke sebelah kiri dan terus ke mesin tiket untuk menambah nilai kad T-Money kami yang cuma ada ₩2000 sahaja di dalamnya. Kami menambah nilai sebanyak ₩10 000 (+- RM35) untuk penggunaan seterusnya.


Kad T-Money yang diperolehi dalam promosi Discover Korea Your Way 2016.


Resit tambah nilai kad T-Money di mesin tiket Metro Seoul Laluan A'Rex (Airport Railroad).

Setelah menambah nilai T-Money, kami menyentuh kad T-Money kami di pengimbas di pintu masuk ke platform, dan secara automatik, kad kami ditolak sebanyak ₩4150(+- RM14.53). Sebenarnya pintu masuk ke perkhidmatan henti-henti A'Rex ini berkongsi dengan perkhidmatan keretapi ITX (keretapi antarabandar bawah KoRail (syarikat keretapi kebangsaan Korea Selatan)) dan KTX (keretapi laju Korea Selatan). Cuma kedudukan yang berbeza dan dipisahkan dengan dinding kaca.


Keadaan di dalam keretapi Metro Seoul Laluan A'Rex Airport Railroad.

Apabila sampai di platform yang terletak di tingkat bawah, tren sudah sedia menunggu dan tidak lama kemudian ia pun bergerak meninggalkan stesen. Mula-mula keadaan di luar tren agak gelap kerana berada di bawah tanah, namun setelah melepasi stesen Kompleks Kargo ICN, keadaan cerah kerana tren bergerak di atas tanah pula. Keadaan di dalam tren ini agak bersih, cuma susun atur dalaman tren ini sama seperti tren metro yang lain, tidak seperti tren ke lapangan terbang lain seperti KLIA Transit atau Metro Delhi Laluan Airport Metro yang susun aturnya seperti keretapi antara bandar biasa.

Paparan penunjuk laluan di dalam A'Rex.

Terdapat paparan penunjuk laluan di atas pintu-pintu tren ini, juga terdapat juga peta laluan Metro Seoul yang agak berselerak dan padat. Nasib baik saya telah memuat turun aplikasi berkaitan Metro Seoul di dalam telefon bimbit saya, yang mana ia boleh digunakan secara luar talian (offline). Keadaan di dalam tren ini juga agak bersih dan terjaga.


Peta Laluan-laluan Metro Seoul.

Setelah berada di dalam tanah sebentar, menikmati permandangan di atas tanah pula.

Di dalam tren ini, terasa masih selesa dan masih hangat lagi. Apabila saya bersandar di tingkap kaca tren, terasa kesejukan di luar. Kebanyakan pokok-pokok masih tidak berdaun atau berdaun sedikit, menandakan di Seoul atau lebih tepat di Incheon, masih di dalam musim sejuk, walaupun ia sudah lewat. Menunggu masa sahaja untuk musim bunga menjelmakan diri. Salji sudah tidak kelihatan. Bagus juga menaiki tren A'Rex ini, dapat melihat permandangan sementara dalam perjalanan. Tapi tidak sepanjang perjalanan dapat melihat permandangan ini, kerana apabila hendak sampai pinggir bandaraya Seoul, kira-kira di kawasan Gimpo (berhampiran lapangan terbang lama), tren ini mula masuk ke bawah tanah semula.

Banyak dan besar kincir angin-kincir angin, penjana elektrik di Seoul ini.


Peta: Perjalanan Metro Seoul dari  ICN ke penginapan.

Kami keluar dari tren A'Rex perkhidmatan henti-henti ini di stesen Hongik University (lapan stesen dari stesen Lapangan Terbang Incheon) untuk bertukar laluan ke laluan 2 (di dalam peta berwarna hijau) untuk ke penginapan kami yang terletak berhampiran dengan stesen Eujiro 3(sam)-ga. Bertukar laluan di stesen pertukaran di Seoul ini agak jauh juga, tapi tidak perlu keluar masuk dari pintu masuk/keluar. Cuma kami perlu melalui pintu pembahagi kawasan stesen A'Rex dan Metro Seoul yang lain, yang mana ini cuma mungkin formaliti sahaja, tiada kesan dari tambang. Baiknya, jika kita menggunakan perkhidmatan A'Rex ini baik ekspres atau henti-henti, kita akan mendapat tambang percuma untuk perkhidmatan laluan-laluan lain di Metro Seoul. Bermakna tambang ₩4150 (+- RM14.53) atau ₩6900 (+- RM24.15) atau ₩8000 (+- RM28) meliputi semua laluan Metro Seoul selagi tidak keluar sistem! Iaitu selagi tidak menyentuh untuk keluar dari perkhidmatan Metro Seoul. Bagus sekali kaedah ini. Alangkah bagus jika di Kuala Lumpur, pengguna-pengguna KLIA Express atau KLIA Transit, dapat meneruskan perkhidmatan tren secara percuma.

Mesin khas untuk T-Money.

Setelah menaiki tren laluan 2 dan melalui 7 stesen dari Stesen Hongik University, maka kami pun sampai di Stesen Eujiro 3(sam)-ga. Apabila keluar, kami menyentuh kad kami, terpapar ₩0 di atas dan ₩5850 (+- RM20.50) di bawah. Kami tidak faham maksud tersebut (akan kami beritahu maksudnya pada catatan seterusnya (iaitu ketika saya faham maksud paparan tersebut.). Namun memandangkan semasa di stesen lapangan terbang tadi saya tidak sempat ambil gambar, maka saya mengambil gambar mesin-mesin berkaitan dengan T-Money ini di stesen Eujiro 3(sam)-ga ini. Sebenarnya T-Money ini lebih kurang kad Touch n Go di Malaysia atau Octopus di Hong Kong atau kad-kad yang serupa dengannya, cuma penggunaan kad T-Money ini agak meluas di Seoul. Boleh dikatakan semua pengguna pengangkutan awam di Seoul menggunakan T-Money, tidak menggunakan tiket biasa. Malah, tiket biasa pun menggunakan T-Money sebenarnya.

Mesin pemulangan deposit T-Money.

Mesin tiket biasa. Juga boleh digunakan untuk tambah nilai T-Money.

Paling bagus, kad T-Money ini boleh digunakan juga di banyak premis-premis perniagaan di Seoul terutama di kedai serbaneka seperti 7-Eleven, GS25, CU (dahulunya Family Mart), Storyline (banyak terdapat di stesen KoRail) dan sebagainya. Jadi kami singgah di sebuah kedai 7-Eleven di stesen ini untuk membeli satu minuman wajib apabila sampai di Korea Selatan, iaitu susu pisang, paling afdal cari jenama Binggrae jenis botol plastik seperti di gambar bawah ini. Harganya ₩1300 (+- RM4.55)

Susu pisang botol jenama Binggrae yang sedap.

Untuk pengetahuan, stesen Metro Seoul ini agak kurang dari segi penyediaan lif dan eskalator (tanga bergerak). Biasanya dalam satu stesen hanya akan ada satu lif sahaja dan walaupun mempunyai banyak tangga keluar dari stesen, biasanya hanya satu sahaja yang ada eskalator. Juga, walkalator juga hanya disediakan di tempat-tempat tertentu sahaja walaupun stesen-stesen Metro Seoul ini jauh-jauh belaka. Kiranya agak kurang mesra orang kurang upaya. Jadi, saya amat menyarankan agar tidak membawa beg tarik yang besar atau kereta sorong bayi (stroller) jika anda menaiki Metro Seoul, bawa beg galas dan pengendong bayi yang lekap pada badan. Sudahlah banyak tangga, tangga-tangganya pun tinggi-tinggi, tidak hairanlah kebanyakan penduduk Seoul ini tidak begitu gemuk.

Gong Gam Mini Hotel, penginapan kami sepanjang di Seoul.

Kami ke pintu keluar nombor 5 di Stesen Eujiro 3(sam)-ga ini. Di Seoul ini lebih mudah kalau kita dapat cari pintu yang terdekat dengan destinasi kita, kerana jika kita berjalan dalam musim sejuk macam kami, kami masih merasa kehangatan kerana di dalam bangunan atau tempat tertutup, biasanya terdapat pemanas udara. Kalau kita berjalan di luar bangunan atau ruang udara terbuka, keadaan agak sejuk.

Penginapan kami kalau mengikut peta Google Maps, terletak berhampiran dengan pintu nombor 5. Tapi kami tidak menjumpainya. Lalu kawan-kawan saya menyuruh bertanya dengan orang-orang di situ. Tidak tahan agaknya, maklumlah udara agak sejuk, kira-kira 4o Celcius. Kalau ikut saya, saya ingin mencari sendiri, kerana saya kurang minat bertanya jika gerak hati masih boleh mencari, lah terbawa sifat berhati-hati walaupun di Korea Selatan ini kurang penipuan (scam) katanya. Oleh kerana desakan, saya pun bertanya dengan seorang lelaki. Memang betul, agak susak berkomunikasi dalam bahasa Inggeris lelaki ini, dan ditunjuk arah lain setelah saya menunjuk alamat yang tertulis dalam tulisan rumi. Mungkin kerana dia tidak memahaminya dan hanya tahu tulisan Hangul (tulisan Korea) sahaja.

Oleh kerana saya rasa dia membawa jalan yang agak jauh dan saya risau kami akan lebih sesat, (agak susah juga kalau tidak dapat menggunakan internet tat kala ini), saya terus mencari dan terus menjumpainya tidak jauh dari tempat saya bertanya lelaki tadi. Menariknya, arah yang diberikan lelaki itu berlawanan dengan tempat saya menjumpainya. Jadi kesimpulannya, sebaiknya kita semak dahulu destinasi kita selagi boleh dengan menggunakan Google Streetview atau yang sama dengannya.

Soket plug yang digunakan di Korea Selatan. Jenis C.

Apabila kami hendak mendaftar masuk, staf yang bertugas memohon maaf kerana bilik kami belum siap katanya. Hairan juga saya, sedangkan saya sudah tempah agak lama. Tidak mengapalah, kami meletakan beg-beg kami di dalam pejabatnya dan kami pun keluar berjalan-jalan . Lagipun perut pun agak lapar juga.

Sungai Cheonggyecheon.

Lalu kami pun keluar menuju ke Stesen Metro Seoul Jongno 3(sam)-ga. Dalam perjalanan kami melalui jambatan yang merentasi Sungai Cheonggyecheon yang terkenal itu. CUma waktu itu sudah lewat petang (kira-kira pada pukul 5:45 petang) dan daun-daunan berwarna coklat keperangan, jadi agak kurang cantik sedikit gambarnya. Tapi kiranya saya dapat sampai antara ikon bandaraya Seoul.

Saya berselfie di Sungai Cheonggyecheon (di atas jambatan Jalan Eujiro 3(sam)-ga).

Gerai makanan di tepi jalan.

Seterusnya, kami teruskan perjalanan ke stesen metro. Dalam perjalanan, terdapat beberapa gerai makanan yang berlitup sekelilinya. Ini pertama kali saya melihat gerai berkonsep ini. Tujuan gerai ini bertutup litup kerana ingin menghalang pelanggan dari kesejukan. Nasib baik memang nampak gerai-gerai ini tidak halal, kalau tidak, di sini sahaja kami makan.

Setelah sampai si stesen Metro Seoul, kami menaiki tren untuk ke Stesen Itaewon. Di Jongno 3(sam)-ga, kami menaiki tren laluan 3 (oren) menuju ke Stesen Yaksu (selepas 4 stesen) untuk bertukar ke laluan 6 (coklat) untuk sampai ke Stesen Itaewon selepas 3 stesen.


Peta: Perjalanan Metro Seoul dari penginapan ke Itaewon.

Sampai di stesen Itaewon, inilah baru saya nampak bangsa-bangsa selain dari orang Korea. Memang banyak juga mereka ini. Satu lagi tangga dan eskalator di stesen ini agak tinggi, juga orang agak ramai sampai hendak naik eskalator pun kena beratur panjang. Kami pun duduk di tepi dahulu dan hanya naik apabila bilangan orang sudah kurang. Kalau tangga tidak begitu tinggi, sudah lama kami naik tangga sahaja. Rasanya tinggi dari aras platform ke aras tanah adalah kira-kira enam ke tujuh tingkat bangunan biasa!

Keluar sahaja, angin bertiup dan menyejukan lagi suhu yang sudah sedia sejuk. Di Itaewon ini, terdapat banyak kedai-kedai berjenama antarabangsa. Kiranya juga Itaewon ini merupakan bandar antarabangsa bagi Seoul kerana terdapat banyak bukan kedai-kedai malahan restoran-restoran bukan Korea terdapat di kawasan ini, terutamanya restoran halal. Jadi kami pun berjalan-jalan bersiar-siar, dan destinasi kami sebenarnya Pusat Islam Seoul atau juga dikenali sebagai Masjid Pusat Seoul.

Dalam perjalanan kami ke masjid, terdapat banyak pasaraya yang menjual barang keperluan orang Islam. Malah restoran-retoran halal pun banyak. Malah terdapat restoran bertemakan makanan Malaysia seperti Restoran Siti Sarah dan Makan Halal Restoran. Kedai-kedai perkhidmatan lain seperti agensi pelancongan, telekomunikasi dan kedai jahit pun banyak dalam perjalanan ke masjid.

Di hadapan Makan Halal Restaurant di Itaewon.

Oleh kerana kami ini bermusafir, maka kami mengambil keputusan untuk makan dahulu di Makan Halal Restaurant. Kami hendak mencuba makanan Korea terlebih dahulu, hari pertama kenalah makan makanan tempatan. Jadi kami ke Makan Halal Restaurant.

Dalaman Makan Halal Restaurant.

Menu Makan Halal Restaurant.

Sebenarnya, isteri pemilik restoran yang menyapa kami berbangsa Indonesia yang berasal dari Semarang. Beliau berkahwin dengan orang tempatan. Sebab itu dinamakan restoran ini Makan. Hidangan di restoran ini banyak kepada makanan biasa orang Korea dan ada beberapa makanan Melayu/Indonesia seperti nasi goreng. Jadi saya memilih Bibimbab sebagai makan mala saya. Kawan-kawan yang lain memilih makanan lain. Harga pun boleh tahan, dari ₩10 000 (+- RM35) ke atas. 

Hidangan untuk saya, Bibimbab di kelilingi kudapan (appertizer) Korea.

Sebelum hidangan kami sampai, kami diberikan kudapan-kudapan iaitu pembuka selera (appertizer) kepada kami. Antaranya adalah kimchi (sayur asing Korea), bebola ikan goreng, rumpai air kering yang diracik-racik halus dan sebagainya. Kudapan-kudapan ini adalah percuma, disamping air kosong (boleh ditambah) dan sup sawi masin. Tidak lama kemudian makanan kami pun sampai. Oleh kerana boleh dikatakan setiap kami makan makanan berbeza, kami mengecak antara satu sama lain untuk merasa. Cuma mungkin tidak biasa dengan rasanya, sayalah yang menghabiskan makanan-makanan tersebut, huhuhu. 

Kami bergambar dengan pemilik Makan Halal Restaurant.

Usai makan, sempat juga kami bergambar dengan isteri pemilik restoran ini. Memang layanan diberikan amat baik. Menarik lagi, kami ini umpama pembawa rezeki, apabila kami sampai, tiada orang di restoran ini, namun setelah berada dan setelah kami beredar, makin bertambah bilangan pelanggan restoran ini. Alhamdulillah.

Pintu gerbang masuk ke Masjid Pusat Seoul.

Rajah dan informasi mengenai Masjid Pusat Seoul. 

Seterusnya, kami ke masjid untuk menunaikan solat jemaah. Masjid ini terletak di atas bukit. Jadi angin bertiup agak kuat menyejukkan lagi malam yang sudah sedia sejuk.

Gambar gambaran pembangunan Masjid Pusat Seoul mendatang.

Masjid Pusat Seoul pada waktu malam.

Kami perlu menaiki tangga untuk meninggalkan kasut kamu dan menukarkannya dengan selipar. Kemudian kembali menuruni tangga untuk ke bilik air untuk kemudahan tandas dan juga untuk mengambil wuduk yang terletak di bawah. Di sini tidak disediakan air hangat, jadi kami mengambil wuduk dengan air sejuk baik ais.

Ruang solat utama di dalam Masjid Pusat Seoul.

Seterusnya kami semula menaiki tangga untuk ke ruang solat. Terdapat banyak juga jemaah yang sedang menunggu waktu Isyak. Jadi kami menunaikan solat yang tertunggak kami. Setelah selesai solat, saya meninjau-ninjau sekita ruang solat dan bersapa dengan beberapa orang. Teringat pula drama yang sedang popular di Malaysia pada ketika itu iaitu "Cinta Teruna Kimchi" lakonan Nadzim Othman yang disiarkan di TV3.

Saya menjadi "angel" di belakang Restoran Siti Sarah, Itaewon.

Setelah semua selesai solat, ada kami yang memberikan sedikit sumbangan kepada tabung masjid dan kemudian turun kembali ke ruang laman masjid. Agak cantik permandangan bandaraya Seoul terutama di kawasan Gangnam jika dilihat dari kawasan masjid. 

Sepasang kekasih sedang berpelukan di salah sebuah stesen Metro Seoul.

Seterusnya kami kembali ke kawasan utama Itaewon untuk melihat beberapa kedai dan kemudian pulang semua ke Stesen Metro Seoul Itaewon untuk kembali ke penginapan. Di stesen (juga semasa menaiki tren A'rex dan Metro Seoul sebelumya), kami selalu nampak beberapa pasang kekasih sedang berpelukan atau bermadu asmara (agaknya). Agaknya memang benar kata orang (kot), orang Korea ini agak romantis. Atau sebenarnya mereka sedang menghangatka badan kerana cuaca yang sejuk (dalam platform stesen Metro Seoul sejuk ke?). Entah lah.

Ketika berjalan-jalan selepas menyentuh kad T-Money pada pintu keluar, seolah-olah secara automatik akan menuju ke mana-mana kedai serbaneka tidak kisahlah sama ada 7-Eleven atau GS25, untuk membeli susu pisang Binggrae. Seolah-olah menjadi minuman rasmi kami. Cuma kali ini saya mencuba perisa pisang ringan (light) yang labelnya berwarna biru tua berbanding hijau tua bagi perisa pisang biasa. Sudah ketagih pula kami terutamanya saya lah.

Apabila sampai di penginapan, kami cuma dapat satu bilik berempat, dan kami diberikan satu bilik berdua (katil bertingkat) dan satu bilik berdua (katil setingkat saiz queen) sebagai ganti. Tidak mengapalah, janji ada bilik. Kami pun ke bilik kami. Agak mengejutkan, bilik-bilik kami tidak seperti diiklankan. Agak kotor juga dan susun atur tidak sesuai. Ketika itu kami tidak kisah, yang penting kami hendak tidur sahaja. Saya, setelah membersihkan diri, melayan televisyen dan kemudian, televisyen pula pelayan saya.

Bersambung ke Hari 2.

Jika mahu lihat catatan: 
If want to read in English: 
  • Pre Journey; 
  • Itinerary; 
  • Day 1 (this part)
  • Day 2; 
  • Day 3 Part 1; 
  • Day 3 Part 2; 
  • Day 4; or 
  • Day 5. 

Tiada ulasan: