Rabu, 26 Oktober 2016

Pra Kembara (Sydney, Australia - 26 hingga 31 Oktober 2016) - Pertama Kali Ke Benua Oceania.

Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • Pre Journey (this part);  
  • Itinerary;
  • Day -1;
  • Day 1;
  • Day 2; 
  • Day 3; 
  • Day 4 & 5; or 
  • Travel Guide - Sydney.

Gambar Sydney, Australia
(sumber: https://www.captaincook.com.au/).

Pengenalan.

Pada 06 Mac 2016, pihak AirAsia telah membuat makluman kepada semua orang melalui laman Facebooknya, mereka akan membuat promosi yang biasa dibuat setiap tiga bulan sekali, iaitu promosi tempat duduk percuma, di mana hanya bayar cukai penerbangan sahaja. Promosi ini telah berlangsung selama seminggu iaitu dari 07 hingga 13 Mac 2016, juga termasuk pada 06 Mac 2016 khas untuk ahli-ahli AirAsia BIG. Tetapi saya tidak dapat mengikutinya kerana saya ketika itu sedang mengembara di Seoul, Korea Selatan.



Semasa saya di Seoul, sempat juga saya melihat harga-harga tambang AirAsia ke segenap tempat. Saya menyasarkan negara-negara yang belum saya jejaki seperti Australia, Bangladesh, Jepun, Maldives, Nepal, New Zealand dan Sri Lanka. Harga tambang ke Australia, Maldives dan Sri Lanka amat menarik hati saya. Harganya adalah paling murah (dalam promosi ini juga yang lain, destinasi penerbangan AirAsia X tidak menawarkan tempat duduk percuma) yang pernah saya lihat. Jadi akhirnya saya memilih untuk ke Sydney pada bulan Oktober 2016.

Banner promosi tempat duduk percuma pada 07 hingga 13 Mac 2016.

Australia, merupakan sebuah negara pulau di selatan bumi. Terletak di antara Lautan Hindi di barat dan Lautan Pasifik Selatan di timur, ia berkeluasan seluas 7.6 juta km2, ia merupakan negara enam terbesar di dunia dan jika pulau utama Australia jika tidak dikira sebagai benua, ia merupakan pulau terbesar di dunia. Namun penduduknya cuma 24.2 juta orang sahaja. Australia merupakan negara Komanwel dan merdeka daripada United Kingdom pada tahun 1901, namun sehingga kini masih mengekalkan Ketua Negara United Kingdom iaitu Ratu Elizabeth II sebagai Ketua Negara Australia dan di Australia, baginda diwakili oleh Gabenor Jeneral.

 
Peta: Australia.

Sydney, merupakan bandar terbesar di Australia. Ia terletak di tenggara negara Australia di dalam negeri New South Wales. Dengan keluasan seluas lebih sikit dari 12 000 km2, ia dihuni seramai 5 juta penduduk. Ia juga menjadi pusat ekonomi utama dan juga merupakan bandar kedua rasmi bagi Australia selepas ibu negara Australia, Canberra. 

 
Peta: Sydney, New South Wales, Australia.

Lalu saya membuat pertanyaan di dalam beberapa group Facebook yang berkaitan dengan pengembara, untuk mencari rakan-rakan sepengembara ke sana. Alhamdulilah, agak ramai juga, dan akhirnya yang sanggup memberi komitmen adalah lima orang iaitu mereka adalah abang ZulkiflyJeluwi, HusnulRoslinda dan Irda. Jadi saya menempah penerbangan ke Sydney pada malam 26 Oktober 2016 dan pulang ke Kuala Lumpur dari Sydney sebelah malam di mana akan tiba di klia2 pada awal pagi 31 Oktober 2016. Secara purata, setiap seorang membayar tambang sebanyak RM779.08 pergi balik.



Itinerari penerbangan ke Sydney yang telah ditempah.


Pada 12 April 2016, saya menempah penginapan kami di Sydney nanti melalui Hotels.com di The Geroge Street Hotel, Sydney, AustraliaKami memilih untuk menginap di dua buah bilik berempat. Saya memilih hostel ini kerana ia berada dekat dengan kawasan Central dan CBD iaitu kawasan utama di Sydney, mudah kami untuk pergi ke tempat-tempat tarikan utama. Harganya RM 2 362.40 untuk sepanjang penginapan kami, atau RM 337.50 bagi seorang (tiga malam) atau RM 112.50 setiap malam bagi seorang. Memang penginapan di Sydney agak mahal. 

Screenshot Wallet (iOS) tempahan penginapan 
melalui Hotels.com di The Geroge Street Hotel, Sydney.

Pada 02 Mei 2016, saya telah membeli International World Traveller Care Takaful dari eTiQa Takaful, di mana saya mengambil plan Platinum bagi individu untuk perjalanan 6 hingga 10 hari ke zon 3 iaitu seluruh dunia termasuk Australia tetapi tidak termasuk Amerika Syarikat dan Kanada, berharga RM99.50 sahaja (sebelum saya tolak komisen saya kerana perniagaan saya, HidayahWEALTH, merupakan ejen korporat bagi eTiQa Takaful). Ada pilihan lebih murah iaitu plan Emas yang berharga RM69.00 dan plan Perak berharga RM43.50, tetapi saya memilih plan Platinum pada kali ini kerana inginkan perlindungan yang komprehensif. 



Nota perlindungan takaful kembara yang diambil untuk perjalanan kali ini.

Jika anda atau kawan-kawan anda ingin mendapatkan takaful tersebut atau lain-lain takaful, boleh mesej saya melalui Facebook saya atau kaedah-kaedah lain. Ini bagi persediaan jika berlaku apa-apa diluar jangka, sekurang-kurangnya ada "kusyen". Sekurang-kurangnya kos perubatan (difahamkan kos perubatan di Australia berkali-kali ganda lebih mahal berbanding kos perubatan swasta di Malaysia) dan kos pengurusan jenazah (minta jauh tapi kan maut itu pasti) telah termasuk dalam perlindungan, jadi tidak perlu mengemis dengan orang lain kalau berlaku apa-apa yang tidak diingini dan di luar jangka. Risau juga selepas berlaku beberapa tragedi menimpa orang Malaysia di luar negara sejak kebelakangan ini.

Oleh kerana perjalanan ini merupakan perjalanan keluar negara, maka sudah tentu kita perlu menukarkan wang kita untuk perbelanjaan di sana. Australia menggunakan matawang Dollar Australia (singkatanya AUD atau AU$ atau dijangka di sana hanya menggunakan simbol $ sahaja). Jadi saya menukarnya beransur-ansur daripada bulan Septemberdan Oktober 2016. Kadar yang saya dapat adalah dari RM3.15 ke RM3.26 bagi setiap AU$1.00, jadi kadar purata adalah RM3.20 bagi setiap AU$1.00. Saya menukar dalam AU$535.00 dalam RM. Kebanyakan saya menukar di Ampang Park.


AU$5.00 = +-RM16.50

AU$10.00 = +-RM33.00

AU$20.00 = +-RM66.00

AU$50.00 = +-RM165.00

AU$100.00 = +-RM330.00

Pada 11 Oktober 2016 juga, saya telah menghantar e-mel makluman kehadiran kami di Australia kepada pihak Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Canberra. Untuk pengetahuan, di negara-negara di dalam Pertubuhan Komanwel, perwakilan (duta) di kalangan negara ahli pertubuhan ini digelar Pensuruhjaya Tinggi dan pejabatnya dipanggil Suruhanjaya Tinggi. Pendaftaran melalui e-Konsular juga dilakukan pada masa yang sama.

Emel dihantar ke Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Canberra 
untuk memaklumkan kehadiran kami.

Bagi memasuki Australia, sebenarnya pemegang pasport Malaysia tidak dikenakan visa sebenarnya namun perlu memohon kebenaran ETA (Electronic Travel Authority) Australia, sebagai mana beberapa negara lain (tidak semua negara layak menggunakan cara ini). Tetapi ini pun boleh dianggap seperti visa juga kerana jika tidak kena cara agak remeh juga, dan ada bayaran, jadi lebih kurang seperti memohon visa juga. Kita boleh memohon secara dalam talian (online) melalui laman web ETA tadi. Dahulunya boleh dimohon di Suruhanjaya Australia di Kuala Lumpur, tetapi oleh kerana cajnya lebih mahal dan keputusannya agak lama, ramai yang menggunakan cara dalam talian. Caj yang dikenakan adalah AU$20.00 (+- RM63.00)!

Namun kita juga boleh memohon di sebahagian agensi pelancongan yang mempunyai pakej ke Australia. Ini kerana mereka boleh memohon ETA ini secara percuma sahaja untuk pelanggan pakej mereka. Tetapi kita tidak semestinya melanggan pakej dari mereka, kerana ada sebilangan agensi ini membolehkan kita memohon ETA ini daripada mereka namun dengan bayaran. Cuma kena cari agensinya lah, kerana tidak semua buat perkhidmatan ini. Ada yang membuatnya secara purata RM30, ia lebih murah dari kita memohon sendiri di laman web ETA.

Pada 11 Oktober 2016, saya menghantar emel (di dalam mempunyai maklumat asas bagi permohonan ETA Australia ini) kepada eta.australia@yahoo.com, yang saya mendapat mereka membuat ETA Australia ini melalui sahabat-sahabat pengembara. Alhamdulillah mereka memproses dengan cepat dan pada petangnya, saya mendapat jawapannya. Bayaran diberikan melalui pindahan dana melalui Maybank (dalam talian) setelah permohonan berjaya. Bayaran hanya RM20/orang sahaja. Saya cetak emel balasan yang diperolehi yang terdapat maklumat ETA tersebut untuk rujukan dan persediaan sebarang kemungkinan.

Terdapat dua balasan kelulusan ETA Australia, seperti yang ditunjukan pada gambarajah di bawah. Kedua-duanya sama sahaja sebenarnya.

Contoh-contoh ETA Australia.

Pada 13 Oktober 2016, saya telah mendaftar masuk melalui aplikasi AirAsia di dalam iPhone untuk penerbangan pergi ke Sydney. Namun, oleh kerana untuk memasuki Australia memerlukan ETA, maka kami perlu juga ke kaunter untuk mendaftar masuk bagi pihak AirAsia memeriksa sama ada kami mempunyai ETA terlebih dahulu. Bagi penerbangan pulang, kami akan mendaftar masuk melalui kaunter di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kingsford Smith, Sydney, Australia (SYD) sahaja.

Pas pra-pelepasan bagi pendaftaran masuk melalui web.

Pada 13 Oktober 2016, saya mendapat surat di mana di dalamnya terdapat sijil dan kad Plan Takaful myAr-Rehlah daripada Takaful Malaysia Berhad. Baru saya teringat, ini adalah perlindungan yang dibayar untuk sekali dalam setahun bagi perjalanan ke luar negara. Sudah banyak kali saya menghantar permohonan ke luar negara, barulah kali ini, saya dilindungi perlindungan takaful. Sampai saya bosan menunggu. Akhirnya bekerja juga kakitangat yang berkaitan di Bahagian Sumber Manusia tempat saya bekerja ini. Agaknya selepas berlaku bencana terhadap salah seorang warga kerja kami di luar negara, dan tiada dilindungi, barulah mereka ini hendak buat kerja. Walaupun sudah ada perlindungan yang saya beli sebelum ini, tidak mengapalah.


Sijil Takaful myAr-Rehlah Takaful Malaysia.

Kad Takaful myAr-Rehlah Takaful Malaysia.

Oleh kerana pihak Jabatan Pertanian Australia menerusi Perkhidmatan Kurantin dan Pemeriksaan Australia, agak ketat dalam apa benda yang dibawa pengunjung ke Australia, kita perlu mengikut prosedur yang ditetapkan di mana kita perlu mengisytihar semua benda yang dibawa. Jika kita gagal maka kita boleh didenda AU$200.00 (+- RM630.00)! Jadi kita boleh rujuk prosedurnya di dalam laman web pentadbir Lapangan Terbang Sydney atau Jabatan Pertanian Australia. Perkara asas adalah jangan bawa barang makanan yang boleh tumbuh seperti biji benih, bijirin, rempah berbentuk biji (contohnya biji ketumbar, jadi serunding daging banyak mengandungi bahan ini) atau bahan mentah seperti daging atau bahan tenusu seperti susu atau keju atau produk yang ada telur di dalamnya terutamanya telur mentah. 

Berdasarkan pengalaman ramai pengembara-pengembara ke Australia, saya menyalin kembali semua isi kandungan di bungkusan makanan ke dalam satu senarai dan saya sertakan gambar. Jadi saya cuba elakan membawa barangan yang tiada isi kandungan ke sana. Nanti sia-sia sahaja, makanan kena buang, denda kena bayar. Jadi saya hanya membawa mee segera perisa Tomyam dan Asam Laksa serta minuman paket kecil (sachet) yang saya ambil setiap kali saya menginap di hotel sebelum ini. Jadi kalau nak dibuang pun tidak merasa ralat. Semua isi kandungan disiapkan awal.

Rasanya, sudah agak lengkap juga persediaan saya untuk perjalanan ke Sydney, Australia ini. Diharapkan agar perjalanan saya dan sahabat-sahabat sekembara saya ini akan berjalan lancar, dimudahkan urusan dan tiada kejadian yang tidak diingini terjadi. Semoga perjalanan ke negara ke-20 saya ini dapat memberikan makna dan kepuasan kepada kami semua, insya Allah.


Bersambung ke Hari -1.

Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • Pre Journey (this part);  
  • Itinerary;
  • Day -1;
  • Day 1;
  • Day 2; 
  • Day 3; 
  • Day 4 & 5; or 
  • Travel Guide - Sydney. 

Isnin, 3 Oktober 2016

Hari 3 & 4 (Colombo, Sri Lanka - 09 hingga 12 September 2016) - Selamat Tinggal, Colombo!.

Bersambung dari Hari 2.

Jika mahu lihat catatan: 
If want to read in English: 
  • PreJourney;
  • Itinerary;
  • Day 1;
  • Day 2; or
  • Day 3 & 4 (this part).

Saya di Lapangan Terbang Antarabangsa Bandaranaike, Colombo, Sri Lanka.


Hari 3 (11 September 2016 - Ahad).

Sebenarnya kami bangun awal, namun kami hanya duduk di bilik sehingga waktu daftar keluar pada pukul 12:00 tengahari. Betul-betul kembara ini seperti membazirkan masa sahaja. Tapi tidak mengapa, sekurang-kurang dapat tahu keadaan di Colombo. Sebenarnya, saya yang tidak sempat hendak membuat penyelidikan akhir, kerana saya agak sibuk dengantugas pada beberapa minggu sebelum pergi. 

Lagipun banyak tarikan di Colombo ini adalah terhadap biara-biara Buddha dan kuil-kuil Hindu. Ada juga tarikan lain seperti kawasan pentadbiran di Kotte, cuma sistem pengangkutan di Colombo ini belum maju dari segi maklumatnya di dalam internet. Perlu cara biasa dengan bertanya dengan orang tempatan, cara ini kurang sesuai untuk lawatan tempoh singkat begini. Ditambah pula dengan cuaca yang agak panas di Colombo ini. Hendak keluar dari Colombo, kena sediakan masa yang lebih.

Jadi beberapa detik sebelum pukul 12:00 tengahari, kami pun keluar untuk mendaftar keluar daripada penginapan ini. Apabila masuk kembali ke Jalan Moors Lama, suasana di jalan itu, yang agak hiruk pikuk dengan kegiatan ekonomi, agak sunyi pada hari ini. Oh lupa, yang hari ini adalah hari Ahad. Tambahan pula esoknya adalah Hari Raya Aidiladha, jadi kawasan ini yang majoritinya penduduknya adalah orang Muslim akan bercuti. Rupanya Hari Raya Aidiladha ini juga merupakan cuti umum di Sri Lanka ini.

Destinasi pertama kami adalah ke Stesen Keretapi Colombo Fort. Tujuan kami adalah untuk membeli tiket dari situ ke Stesen Keretapi Katunayaka Selatan (Katunayaka South), iaitu stesen keretapi terdekat dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Bandaranaike (CMB). Semasa berehat di dalam penginapan tadi, saya berbincang dengan abang Zul, untuk memilih pengangkutan balik ke CMB. Pastinya antara pilihannya bukan menaiki bas pantas 187-E3. Antara pilihan kami adalah menaiki bas henti-henti 187 dengan menaiki di perhentian Petta (di seberang jalan dengan Stesen Keretapi Colombo Fort), selain menaiki keretapi. Akhirnya kami memilih untuk menaiki keretapi saya, walaupun kami perlu berjalan kaki kira-kira tiga kilometer dari Stesen Keretapi Katunayaka South ke CMB.

Untuk membeli tiket ke Katunayaka South, di Stesen Keretapi Colombo Fort, saya ke kaunter nombor 10, iaitu kaunter khas untuk perkhidmatan komuter bandar bagi laluan keretapi menuju ke Puttalam. Setiap hari terdapat beberapa kali perkhidmatan melalui laluan ini sama ada ke Puttalam atau ke destinasi lebih dekat iaitu Chilaw, yang mana perkhidmatan ini akan melalui Stesen Katunayaka South. Pastikan kita memilih Stesen Katunayaka South kerana terdapat satu lagi stesen selepasnya bernama Katunayaka atau Katunakaye (kedua-dua ejaan merujuk tempat yang sama iaitu Katunayaka, kawasan lapangan terbang CMB terletak). Kalau berhenti di Katunayaka, kena berjalan lebih jauh.

Tiket yang diterima nanti biasanya akan tertulis Katunakaye kerana harganya adalah sama dari Stesen Keretapi Colombo Fort iaitu Rs. 30 (+- RM1.05). Tiket ini sebenarnya terbuka untuk perkhidmatan hari yang dibeli. Ia umpama kita membeli tiket KTM Komuter atau LRT RapidKL di Kuala Lumpur. Menariknya, di tiket ini tiada tarikh dan masa. Ia mungkin bermakna kita boleh menggunanya di hari lain, tapi saya kurang pasti tentang ini. 

Hal tiket ini pun saya cuma tahu pada masa ia dibeli, kerana ketika itu, masih pukul 12:30 tengahari, perkhidmatan keretapi komuter yang melalui Katunayake South akan ada lima perkhidmatan seterusnya, yang mana yang terdekat adalah pada pukul 2:35 petang dan yang terakhir pada pukul 7:45 malam. Kami kononnya mengambil pada pukul 5:00 petang, tapi sebenarnya tiada kesan pun. Kami boleh menaiki mana-mana perkhidmatan keretapi ini.

Satu lagi yang perlu diambil perhatian, setiap hari, jadual keretapi tidak sama, jadi perlu merujuk dengan jadual di stesen keretapi terutama di Stesen Keretapi Colombo Fort (kerana stesen keretapi kecil tiada menunjuk jadual perjalanan) atau melalui laman web Perkhidmatan Keretapi Sri Lanka. Jika hendak menaiki keretapi dari Katunayake South ke Colombo Fort pun boleh. Lagipun perkhidmatan keretapi adalah lebih murah. Sememangnya perkhidmatan bas dan keretapi di Sri Lanka amat murah.


Antara senarai harga tiket di kaunter tiket Stesen Keretapi Colombo Fort.


Tiket Keretapi Sri Lanka dari Colombo Fort ke Katunayaka South.


Selepas membeli tiket keretapi, kami berjalan-jalan ke kawasan yang mempunyai bangunan-bangunan lama. Kali ini lebih terperinci. Di sini memang nampak bangunan lama ini masih kukuh cuma kurang selengaraan sahaja. Masih ada juga pejabat-pejabat kerajaan yang mendiami kawasan ini, antaranya Kumpulan Wang Simpanan Pekerja Sri Lanka. Memang kena juga kerana abang Zul ini merupaka pesara Kumpulan Wang Simpanan Pekerja Malaysia. Saya sempat bergurau yang mengatakan abang Zul telah berpindah untuk bekerja di Sri Lanka.

Tujuan sebenarnya saya ingin ke biara Sambodhi Chaithya yang terletak di hujung tanjung di kawasan ini, namun rupanya jalan yang saya sangka boleh lalu ditutup menjadi ibu pejabat Polis Sri Lanka rupanya. Untuk ke biara itu, perlu melalui jalan pantai melalui hotel The Kingsbury. Nampaknya agak jauh, jadi kami berjalan ke arah Pasar Petta yang berhampiran dengan Stesen Keretapi Colombo Fort. Dalam perjalanan, saya dapat melihat kereta Tata Nano dijadikan sebuah teksi. Comel sahaja kereta ini, rasa macam hendak bawa balik Malaysia sahaja.

Dalam perjalanan ini juga, kami sekali lagi didekati lelaki dan kali ini kami tahu yang dia hendak membuat scam terhadap kami. Jadi kami cakap Bahasa Melayu sahaja, berlakon seolah-olah tidak tahu bercakap Bahasa Inggeris. Jadi lelaki itu mengalah, cuma kami terdengar kata-kata akhir yang menggelikan hati, cuma kami menahan agar tidak memberikan respon. Isi kandungan katanya, mengatakan bahawa orang Malaysia boleh bercakap Bahasa Inggeris yang baik, lebih baik dari orang Sri Lanka cakap. Jadi berjaya lagi kami mengelak dari kena scam, alhamdulillah.

Di Pasar Petta ini terdapat banyak barang boleh didapati terutamanya barangan elektrik. Jadi sebenarnya di Colombo, semua pasarnya tidak fokus pada sejenis barangan sahaja. Malah pasar di kawasan Petta atau Colombo Fort ini ada banyak pula. Cuma kami tidak belilah apa-apa, cuma memang minat saya melihat keadaan pasar tempatan.

Abang Zul bergambar di hadapan ibupejabat 
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja Sri Lanka di Colombo Fort..

Teksi Tata Nano.


 

Peta: Berjalan kaki sekitar Colombo Fort.

Abang Zul berkata, dari kita jalan-jalan di tengah panas ini, lebih baik kita pergi awal dan menghabiskan masa atau dalam istilah saya, mereput di lapangan terbang sahaja. Saya pun bersetuju, kerana sekurang-kurangnya, kemudahan di lapangan terbang lebih selesa, seperti adanya kemudahan penghawa dingin dan kemudahan tempat duduk, kedua-dua kemudahan ini merupakan kemudahan mewah di Sri Lanka.

Kami pun masuk ke dalam kawasan platform Stesen Keretapi Colombo Fort. Untuk memasuki kawasan ini, perlu ada tiket keretapi. Setiap pintu masuk akan ada pemeriksa. Jika tiada tiket, tidak dibenarkan masuk. Tetapi masa kami masuk, tiada pula pemeriksa, jadi terdapat juga orang yang mengambil kesempatan untuk masuk.

Jadi kami pun berjalan-jalan untuk melihat kawasan di dalam stesen ini. Masa kami sampai pada pukul 2:00 petang ini, masih ada setengah jam lagi. Stesen ini walaupun stesen utama di Colombo, ia masih dikira kecil sahaja berbanding di New Delhi malah dengan Stesen Keretapi lama Kuala Lumpur. Malah bangunannya dibina seperti tidak kekal. Cuma bangunan stesen yang mempunyai kaunter tiket sahaja yang dibina daripada batu, di kawasan platform, bumbungnya di tampung dengan tiang besi keluli sahaja.

Lagi 15 minit sebelum berlepas, kami ke platform 1 yang menjadi platform keretapi ke Chillaw. Ini pun saya dapat tahu setelah berjalan-jalan sambil membaca maklumat yang ada. Kebanyakan maklumat dalam tulisan Singhala atau Tamil, agak kurang dalam Bahasa Inggeris, nasib saya terjumpa maklumat dalam Bahasa Inggeris. Selain itu jangan malu untuk bertanya, terutama dengan petugas keretapi, kalau tanya orang tempatan, selalunya akan dapat maklumat yang bercanggah, ini pengalaman di negara Asia Selatanlah.

Sementara kami menunggu keretapi, di platform 1 ini terdapat tandas dan ada ruang untuk menunaikan solat, jadi mudahlah kamu untuk melaksanakan tanggungjawab dan hutang yang ada.

Suasana di Stesen Keretapi Colombo Fort.


Suasana di Stesen Keretapi Colombo Fort.

Gerabak keretapi di platform sebelah (Platform 2), ke Kandy.

Keretapi sudah sampai.

Akhirnya pada pukul 2:30 petang, keretapi pun sampai. Orang sudah mula menunggu untuk mendapatkan tempat duduk. Pada masa itu, abang Zul masih belum tiba di platform kerana dia membeli bekalan makanan ringan dan air, maklumlah hari panas. Jadi saya naik dahulu dan "cop"kan (jagakan tempat duduk) untuk dia juga. Namun orang makin ramai dan akhirnya dapat tempat duduk untuk seorang sahaja. Lagipun saya tidak sampai hati untuk pentingkan diri sendiri, kerana terdapat anak kecil yang tidak apat duduk. Namun ada juga orang lelaki Sri Lanka yang gagah, tidak memberikan tempat duduk, jadi saya tinggalkan tempat duduk untuk abang Zul.

Ketika beberapa minit sebelum berlepas, abang Zul menelefon saya untuk bertanya di mana saya berada, kerana saya mengambil begnya sekali. Saya berkata sila naik gerabak yang betul-betul di mana dia dan saya tunggu keretapi tadi. Alhamdulillah, dia sempat menaiki keretapi, di mana betul-betul beliau naik sahaja gerabak, wisel keretapi pun berbunyi. Saya berikan tempat duduk saya untuknya, dan saya berdiri.

Memang penuh juga keretapi ini, dan ia bukan sahaja dipenuhi dengan warga tempatan malah warga asing juga termasuk orang putih. Jadi ada kebaikan menaiki keretapi, kerana dapat melihat keadaan hidup penumpang keretapi dan juga suasana kehidupan di sepanjang laluan keretapi. Dalam pertengahan jalan iaitu di Stesen Ragama, keadaan sesak di gerabak kami berkurangan dengan drastik dan saya mendapat tempat duduk.

Selepas sejam sepuluh minit sejak kami meninggalkan Stesen Keretapi Colombo Fort, akhirnya kami sampai juga di Stesen Katunayaka South.

Suasana di dalam gerabak keretapi.

Stesen keretapi Katunayaka South (dengan keretapi bergerak meninggalkan stesen).

Stesen Keretapi Katunayaka South.

Dari situ, kami pun berjalan kaki untuk ke lapangan terbang. Kami menggunakan bahu jalan di sebelah kiri jalan. Cuma sebaiknya gunakan bahu sebelah kanan iaitu menghadap arah berlawanan dengan kenderaan yang mendatang kerana terdapat bahu jalan yang mesra pejalan kaki. Bahu jalan yang kami guna agak kurang mesra dengan tiada infrastruktur pejalan kaki. Lagipun agak bahaya kerana berjalan bersama-sama arah kenderaan datang, jadi kami tidak dapat melihat kenderaan datang. 

Di bawah jejambat berhampiran dengan Stesen Keretapi Katunayaka South, terdapat auto dan teksi Tata Nano menunggu. Kami berdegil untuk berjalan kaki, lagipun kami ada banyak masa, tidak perlu merugikan wang untuk menaikinya. Tapi ada ruginya, kerana kami masih ada banyak wang, hakikatnya, wang yang saya tukar semalam tidak luak pun, malah wang saya bawa dari Malaysia masih ada berbaki lagi. Rugu pula tidak menaiki teksi Tata Nano.

Dalam perjalanan ini juga, kami dapat melihat banyak bas henti-henti menuju ke lapangan terbang, tapi saya hairan, tiada bas berikut di kawasan lapangan terbang selain bas 187-E3. Rupanya bas-bas tersebut masuk ke simpang sebelah kanan, beberapa meter sebelum pintu masuk ke lapangan terbang. Rupanya terdapat stesen bas di situ. Malah bas 187 biasa dari Colombo Fort juga berhenti di stesen itu. Bermakna, jika kami menaiki bas 187 ini, masih perlu berjalan sedikit, kira-kira 500 meter untuk ke lapangan terbang. Malah, saya mendapat maklumat bahawa kita ingin ke bandar-bandar di Sri Lanka seperti Kandy, Hatton, Galle dan sebagainya, kita boleh mendapatkan bas-bas ke sana melalui stesen bas ini. Tidak perlu ke Colombo Fort untuknya.

Setelah setengah jam berjalan dari Stesen keretapi Katunayaka South, maka kami pun hampir sampai di lapangan terbang. Saya sempat juga mengambil gambar pintu gerbang sebelum sampai. Di pintu masuk, kami juga bergambar di batu tanda lapangan terbang ini sebagai tanda kenangan.

Sebelum sampai di bangunan lapangan terbang, kami dapat melihat, terdapat ramai orang di satu tempat. Rupanya di tempat inilah umpama anjung tinjau untuk melihat pergerakan pesawat. Di kawasan ini juga terdapat Tugu Jalan Persahabatan Kanada kerana jalan lapangan terbang ini yang juga dinamakan Jalan Persahabatan Kanada (Canada Friendship Road) dan juga lapangan terbang ini dibina dengan kerjasama kerajaan Kanada.

Akhirnya sampai juga kami di pintu masuk ke balai berlepas CMB ini pada pukul 4:10 petang. Sebelum kami masuk, kami ternampak terdapat kaunter khas untuk membeli pas masuk ke dalam balai berlepas. Tetapi kami tidak perlu beli kerana kami memang ada penempahan sah penerbangan jadi masuk adalah percuma. Hanya orang yang tiada penempahan tiket seperti yang ingin menghantar orang sehingga ke balai berlepas sahaja yang perlu membeli pas ini. Harga pas ini adalah Rs. 300 (+- RM 10.50).

Pintu gerbang Lapangan Terbang Antarabangsa Bandaranaike.



Batu tanda Lapangan Terbang Antarabangsa Bandaranaike.

Orang ramai sedang memerhati pergerakan pesawat di kawasan lapang di sediakan.

Tugu Jalan Persahabatan Kanada.


Peta: Berjalan kaki dari stesen keretapi Katunayaka South ke LTA Bandaranaike.

Memasuki balai berlepas ini, setiap orang perlu menjalani pemeriksaan keselamatan. Beg perlu diimbas, tapi barangan besi dan alat elektronik boleh kekal di mana ia diletak. Kalau di dalam beg, ia tidak perlu dikeluarkan dan jika berada di badan kita, juga tidak perlu dikeluarkan. Pegawal keselamatan akan buat pemeriksaan badan jika berbunyi, mereka tidak wajibkan untuk keluarkan.

Seterusnya sebelum sampai pintu utama, kita akan bertemu dengan beberapa pengurup wang yang dipunyai bank Sri Lanka, maka jika hendak menukarnya, boleh menukarnya di sini kerana selepas itu, kita tidak akan berjumpa dengan pengurup wang lain. Terdapat juga kedai yang menjual barangan cenderahati Sri Lanka seperti teh Ceylon dan sebagainya. Tiba di balai berlepas, kawasan hanya terhad sahaja, kerana untuk memasuki kawasan kaunter daftar masuk, akan ada pemeriksaan keselamatan/kastam dan kawasan ini dipisahkan dengan dinding kaca. 

Terdapat banyak tempat duduk di balai berlepas ini dan penumpang hanya boleh masuk ke kawasan daftar masuk apabila kaunter daftar masuk bagi penerbangan mereka dibuka sahaja. Maklumat pembukaan daftar masuk ada dipaparkan di skrin. Kami memilih untuk duduk di sebelah kanan balai berlepas ini. Ini kerana kawasan ini agak kurang orang dan seperti agak selamat dan terang. Cuma yang kurang menarik tandas dan kedai serbaneka Cargils terletak di sebelah kiri balai, iaitu sudut berlawan dengan tempat kami. Jadi di sini kami menghabiskan masa selama enam jam sebelum boleh untuk mendaftar masuk.

Sempat saya terlelap di situ. Apabila tidak tidur, saya bermundar-mandir di balai ini. Enam jam bukannya sekejap tapi lebih baik berbanding jika duduk di kawasan lain di Colombo. Saya juga ada membeli makanan dan minuman di kedai serbaneka Cargils yang harganya mahal sikit berbanding di luar lapangan terbang.

Kami dan beberapa penumpang lain bersolat di sudut hujung tidak jauh dari tempat duduk kami, apabila masuk waktu.

Resit Kedai Serbaneka Cargill Food City, LTA Bandaranaike.

Akhirnya pada pukul 10:20 malam, iaitu lewat sejam dari sepatutnya, kaunter daftar masuk telah dibuka dan kami pun terus masuk ke dalam kawasan tersebut. Dalam pemeriksaan ini, peralatan elektronik dan benda berlogam perlu dibuka atau diasingkan. Beg diimbas di mesin x-ray dan kita akan melalui mesin pengimbas logam. Ini adalah pemeriksaan kedua sejak dari pintu masuk ke balai berlepas ini.

Selepas itu, kami ke kaunter 52 ke 55, iaitu yang paling hujung sebelah kiri untuk mendaftar masuk. Sebenarnya saya telah mendaftar masuk semasa berada di dalam penginapan pada hari sebelumnya (Malindo Air membenarkan daftar masuk 48 jam sebelum masa berlepas), cuma kami tidak dapat untuk mencetak pas pelepasan. Jadi kami ke kaunter daftar masuk untuk cetakan pas pelepasan sahaja. Cuma di sini semua penumpang dilayan sama. Tiada kaunter khas untuk bag drop, tiada kaunter khas untuk warga emas atau orang kelainan upaya. Semuanya sama. Jadi kami mengikut sahaja. Nasib baik kami masuk ke barisan terpendek dan kaunter ini agak cepat melainkan penumpang di depan kami yang ada masalah. 

Selepas mendapat pas pelepasan kami terus ke kaunter imigresen di sudut berlawanan iaitu di sebelah kanan balai berlepas. Urusan keluar imigresen Sri Lanka ini agak lambat sikit walaupun orang tidak ramai. Di depan saya terdapat dua orang, tetapi dekat 15 minit juga untuk diselesaikan. Sampai giliran saya pun hampir lima minit untuk diselesaikan. Apa-apa pun selesaikan untuk urusan imigresen. Kami seterusnya naik ke atas untuk ke kawasan airside

Pas Pelepasan Malindo Air OD186.

Cop Imigresen Keluar Sri Lanka.

Terdapat banyak kedai-kedai di kawasan airside ini. Terdapat restoran Burger King, Coffee Bean and Tea Leaf, medan selera dan pelbagai lagi. Tetapi terdapat satu kelemahan, harga yang dipaparkan adalah dalam Dollar Amerika Syarikat (US$) dan juga perlu dibayar dalam matawang tersebut. Jadi kami yang cuma ada nota Rupee Sri Lanka dan Ringgit Malaysia, hanya memandang sahajalah. Kena pula kalau dikira kadar pertukaran, harga semuanya agak mahal, contohnya harga burger Whopper Burger King adalah US$19.00 (+- RM 77.90)! Juga harga bagi Mocha Ice Blanded Coffee Bean and Tea Leaf adalah US$6.00 (+- RM24.60)! Tak payah la. 

Jadi kami terus ke depan pintu pelepasan 6 untuk menunggu pesawat kami. Rupanya pesawat kami sudah sampai sebenarnya, agak awal juga ia sampai. Cuma pintu pelepasan belum buka sahaja. Lagipun lambat lagi sebenarnya untuk mereka membuka pintu ke ruang menunggu. Jadi saya berjalan-jalan di kawasan sekitar dan ambil gambar sebagai kenangan, maklumlah bila lagi hendak ke sinikan.

Di kawasan itu juga terdapat satu gerai kecil menjual air panas seperti Nescafe, Milo, Nestea dan sebagainya, yang menerima wang Rupee Sri Lanka. Jadi saya membeli dua minuman (satu untuk abang Zul) dengan harga Rs.300 (+- RM10.50) (jika beli secawan, harganya Rs.175 (+- RM6.13) atau US$2.00 (+- RM8.20).

Setelah menghabiskan minuman, pintu untuk masuk ke ruang menunggu di pintu pelepasam pun dibuka. Di sini sekali lagi pemeriksaan keselamatan dibuat dengan beg diimbas dengan mesin x-ray, segala peralatan elektronik dan mempunyai logam dibuka/diasingkan untuk diletakan di atas dulang. Penumpang juga perlu membuka kasut dan diimbas di mesin pengimbas x-ray. Penumpang seterusnya perlu melalui alat pengimpas logam. Setelah selesai baru boleh ke ruang menunggu.

Di dalam ruang menunggu ini terdapat dispenser air, jadi bolehlah diambil untuk bekalan dalam pesawat selain untuk minum di dalam ruang menunggu ini. Saya pun pada masa ini memeriksa wang Rupee yang ada untuk dijadikan koleksi dan untuk ditukar kembali di Malaysia.

Keadaan di kawasan apron Lapangan Terbang Antarabangsa Bandaranaike.


Rs.2 = +- RM0.07

Rs.5 = +- RM0.18

Rs.5 (lama) = +- RM0.18

Rs.10 = +- RM0.35

Rs.20 = +- RM0.70

Rs.50 = +- RM1.75

Rs.100 = +- RM3.50

Rs.500 = +- RM17.50

Akhirnya pada pukul 11:55 malam, pintu pelepasan bagi pesawat 9M-LNY milik Malindo Air yang menjadi penerbangan Malindo Air OD186 pada hari ini dibuka. Kami pun masuk dan duduk di tempat yang ditetapkan. Pesawat ini meninggalkan terminal pada pukul 12:15 tengah malam dan berlepas meninggalkan Sri Lanka pada pukul 12:20 tengah malam waktu Sri Lanka (UTC +5:30, 2 jam 30 minit lebih lambat dari waktu Malaysia (UTC +8:00).


Hari 4 (12 September 2016 - Isnin (Hari Raya Aidiladha 1437 Hijri)).

Setelah hampir 3 jam berada di udara, akhirnya pada pukul 6:00 pagi waktu Malaysia (UTC +8:00), penerbangan ini hampir sampai ke destinasi iaitu di ruang udara KLIA. Namun tiba-tiba, proses pendaratan ditunda kerana cuaca di KLIA tiba-tiba tidak begitu baik. Maka berlegar-legar beberapa pusingan di udara sebelum kebenaran mendarat diberikan selepas hampir sejam. Akhirnya pada pukul 6:50 pagi, pesawa ini mendarat di landasan terbang 3 KLIA. Pasawat ini parkir di pintu C14 di terminal satelit KLIA.

Kami solat subuh terlebih dahulu di surau berdekatan dan kemudian ke  Plaza Premium Lounge KLIA untuk bersarapan di situ dengan menggunakan kemudahan percuma kad kredit platinum AmBank Islamic. Pada pukul 9:45 pagi, setelah merasakan cuaca semakin baik, barulah kami ke bangunan utama untuk melaksanakan urusan masuk imigresen Malaysia dan kastam.

Peta laluan (FlightRadar24) penerbangan Malindo Air OD186 pada 12 September 2016.

Plaza Premium Lounge KLIA.

Kami seterusnya ke parkir motorsikal untuk mengambil motorsikal kami. Saya memakai siap-siap baju hujan sebagai persediaan jika hujan masih melanda semasa perjalanan. Saya bersalam dengan abang Zul, meminta maaf jika ada salah silap dan semoga berjumpa lagi.

Dalam perjalanan, sebahagian perjalanan saya mengharungai hujan. Alhamdulillah, hujan di pagi Hari Raya Aidilfitri. Nasib baik sudah pakai baju hujan dan beg saya sudah dipasang pelindung hujan. Akhirnya saya tiba di rumah pada pukul 11:30 pagi.

Alhamdulillah, selesai dan selamat juga saya di dalam kembara pendek ini. Jadi itulah antara pengalaman saya semasa perjalanan ini. Insya Allah saya akan meneruskan catatan perjalanan ini bagi perjalanan seterusnya. Insya Allah saya akan ke Sydney, Australia pada hujung bulan Oktober 2016. Atau mungkin lebih awal lagi jika terdapat perjalanan atau maklumat yang ingin di sampaikan. Semoga berjumpa lagi, assalamualaikum warahmatullahi wabarukatuh.


Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan... (Exploring the World, Knowing the Life...).

Jika mahu lihat catatan: 
If want to read in English: 
  • PreJourney;
  • Itinerary;
  • Day 1;
  • Day 2; or
  • Day 3 & 4 (this part).