Sabtu, 20 Oktober 2018

Hari 1 (Pontianak, Kalimantan Barat, Indonesia - 01 hingga 02 Oktober 2018) - Tiba Di Bumi Pontianak.

Bersambung dari Pra Kembara.

Jika mahu lihat catatan: 


If want to read in English: 

  • PreJourney; 
  • Itinerary;
  • Day 1 (this part);
  • Day 2 Part 1;
  • Day 2 Part 2.

LTA Supadio pada waktu malam.


Panduan: 

Rp (IDR) = Rupiah, matawang Indonesia. Secara amnya di dalam perjalanan ini, kadar tukaran: Rp 10 000 = RM3.00 atau RM1.00 = Rp 3333.

Waktu tempatan bagi Indonesia Barat (termasuk pulau Kalimantan) adalah UTC +7 iaitu 1 jam lewat dari waktu Malaysia (UTC +8), contohnya jika Kuala Lumpur pada pukul 4:00 petang, Pontianak adalah pada pukul 3:00 petang. Waktu ini dikenali sebagai Waktu Indonesia Barat (WIB).


01 Oktober 2018 - Isnin.

Penerbangan kali ini lain sikit dari kebiasaan, ia akan berlepas dari klia2 jangkaannya pada pukul 5:05 petang. Jadi saya hanya bergerak meninggalkan rumah pada pukul 1:55 tengahari, setelah selesai mengambil anak saya dari sekolah dan menunaikan solat Zohor. Perjalanan pada waktu tengahari ini agak tidak banyak kereta berbanding waktu siang lain. Sampai di tempat parkir biasa pada pukul 2:05 petang, alhamdulillah, ada juga kosong, walaupun pada waktu siang, kebanyakan parkir motorsikal di kawasan Brickfields ini agak penuh. Segera bergegas ke kaunter Skybus untuk menebus tiket yang telah ditempah secara add-on dengan tempahan tiket penerbangan. Alhamdulillah, dapat naik bas yang berlepas pada pukul 2:20 petang. Cuma dapat duduk di tempat duduk belakanglah, agak penuh juga bas pada petang ini.

Dalam perjalanan, teringang-ngiang pula lagu lama "Pontianak" dendangan arwah Datuk Ahmad Daud. Mentang-mentanglah pergi Pontianak, Indonesia, terus terkeluar lagu itu dalam pemikiran, sambil-sambil menyanyi dengan suara kecil. Kuat juga kuasa lagi "Pontianak" ini, mengalahkan lagu yang sedang berdendang di radio bas. "Berhantu" betul lagunya! "Pontianak, sibam sibam, dengarlah lagu, sibam sibam, sibam, nyanyianku hanya untukmu...", begitulah bait-bait lagu yang teringang-ingang. Nasib baik pandang depan belakang dan tepi tiada Cik Ponti, huhuhu... Siang-siang pun takut Cik Ponti, agaknya pasal tidak membawa paku kot? Huhuhu...


Tiket bas Skybus.

Video YouTube: Lagu "Pontianak" oleh Allahyarham Seniman Ahmad Daud.

Lirik lagu, "Pontianak";

Pontianak (sibam sibam) dengarkan lagu (sibam sibam, sibam)
Nyanyian ku (sibam sibam) hanya untuk mu
Ku pinta (ku pinta) supaya kamu (ya ya ya ya)
Gembira (gembira) selalu

Pontianak (sibam sibam) jangan meradang (sibam sibam, sibam)
Dengar dendang (sibam sibam) tidurlah sayang
Tetapi (ya ya ya ya) janganlah ganggu (ya ya ya ya)
Biarkan kita hidup gembira

(Ulang sekali lagi)

Penyanyi: Ahmad Daud
Lagu: Kassim Masdor

Lirik: S. Sudarmaji


Sampai di stesen bas klia2 pada pukul 3:11 pagi, dan terus ke balai berlepas atau lebih tepatnya di kaunter V1 hingga V3 untuk menukar pas pelepasan yang telah saya cetak pada perjalanan singkat saya ke Lapangan Terbang Changi, Singapura pada 25 September 2018 lepas. Sampai di sana, saya melihat dahulu di mana pintu pelepasan saya. Pintu P09, kena sayap P lagi. Kemudian, saya beratur di depan kaunter V2 kerana kaunter V1 nampak seperti ramai orang. Rupanya yang nampak ramai itu, kerana terdapat sekeluarga yang ingin membuat pengesahan serentak. 

Selepas mendapat pas pelepasan, saya terus masuk ke kawasan airside klia2 dengan membuat pemeriksaan imigresen (guna e-gate sahaja) dan pemeriksaan kastam. Seterusnya saya terus ke sayap P membuat pemeriksaan keselamatan dan menunggu berdekatan surau sayap P yang terletak di antara pintu P5 dan F7. Kebetulan di situ terdapat tempat mengecaj telefon, dapatlah mengecaj sedikit telefon bimbit saya.

Azan Asar di Sepang adalah pada pukul 4:16 petang, pada masa itu juga pengumuman masuk waktu Asar dikumandangkan pada siar raya klia2. Saya pun segera bersolat di surau kerana pintu pelepasan boleh dibuka pada bila-bila masa selepas itu. Jadi tidaklah mahu tergesa-gesa. Usai solat saya ke pintu P9, bagaimanapun ia belum dibuka lagi. Jadi saya ke mesin air yang berada di depan tandas (saya lupa pula berhampiran pintu mana). Namun di mesin air berjenama Coway itu beratur agak panjang juga untuk mengambil air, dikuasai sebahagian besar penumpang dari negara China. Sudahlah tangki di dalam mesin air tersebut kosong, tidak sempat diisi air, sudah kena ambil. Tekanan air rendah, kerana saluran airnya kecil, jadi lama jugalah perlu beratur. Ditambah perangai sebahagian yang beratur (dan tidak beratur dengan memberikan botol mereka dengan kawan mereka yang sedang beratur), kesabaran perlu tinggi.

Adalah dalam 15 minit juga, semata-mata untuk sebotol air. Selepas selesai mendapat air, terus ke pintu P9, dan ia sudah dibuka. Tapi hanya pintu masuk ke dewan menunggu sahaja. Pintu pelepasan belum dibuka lagi. Ia hanya dibukan pada pukul 5:00 petang, bermakna penerbangan akan sedikit lewat kerana sepatutnya penerbangan AK 478 dijadualkan berlepas pada pukul 5:05 petang. Tapi memang krew kabin bertugas amat pantas dan efisyen. Alhamdulillah pada pukul 5:19 petang, pesawat 9M-AJH ini meninggalkan bangunan terminal klia2, namun hujan mulai lebat di bumi Sepang ini. Jadi pelepasan dibuat oleh menara kawalan dibuat lebih perlahan kerana penglihatan agak terhad. Akhirnya pada 5:48 petang, berlepaslah pesawat kami di landasan 33 KLIA menuju ke Pontianak.

Papan maklumat penerbangan di balai berlepas klia2.

Pintu pelepasan P9 klia2.


Video YouTube: Penerbangan AK478 (KUL-PNK) berlepas dari klia2.


Penerbangan pada kali ini, terdapat perkhidmatan WiFi Rokki disediakan. Saya memang tidak melanggan perkhidmatan internet berbayarnya, cuma bagusnya dengan perkhidmatan WiFi Rokki ini, kita boleh menikmati perkhidmatan video yang ada di dalamnya juga lain-lain kandungan dengan percuma. Jadi tidaklah bosan penerbangan pada kali ini. Saya layan rasanya dalam tiga video pasal pelancongan. Ada sahaja video hiburan macam lawak, takut tergelak kuat-kuat seorang-seorang lak dalam pesawat. Bahaya! Nanti penerbangan berpatah balik pula dan tak jejak Pontianak pula. 

Selepas hampir setengah jam pesawat berlepas dari klia2, hidangan pun dihidangkan. Saya telah pra menempah awal Lagsana Ayam. Kali ini hidangan lain dari biasa kerana saya hendak mencuba hidangan ini pula, rasanya seperti pertama kali rasa. Boleh tahan juga rasanya. Dapatlah mengurangkan rasa lapar di perut, kerana saya terlupa hendak makan tengahari, sibuk menguruskan hal ehwal rumah tangga lah katakan, huhuhu.

Sambil menikmati hidangan, dengan rezeki dapat duduk di sebelah tingkap, cuaca di udara selepas berada di ruang udara negeri Johor menjadi lebih baik dan cerah. Memang jelas permandangan kawasan Pengerang yang sibuk dibangunkan dengan projek RAPID Pengerang. Teringat pula masa saya bertugas di negeri Johor ketika muda (macam lah sudah tua sekarang ini) dahulu, banyak kali juga saya lalu kawasan Pengerang ini. Kini kampung-kampung seperti Kampung Sungai Kapal sudah hilang dari peta. Tapi berbangga juga, dengan projek ini, Pengerang dahulu dianggap tempat jin bertendang, kini lebih maju. Malah harga barang, sewa rumah dan harga makanan lebih mahal dari Johor Bahru dan Kuala Lumpur.

Setelah selesai menikmati Lagsana Ayam yang sedap di udara (tidak tahulah apa rasa di darat, kerana rasa di udara dan di darat berbeza, kerana tunas rasa kita bertindak berbeza mengikut altitud), sampah diambil oleh pembantu penerbangan dan selepas itu borang perisyiharan kastam Indonesia (atau nama Indonesianya, Bea dan Cukai) diberikan. Saya mengisi mengikut keperluan, agar tidak perlu mengisi bila sampai di destinasi nanti.

Semasa penerbangan, saya suka dengan kapten pesawat yang agak pandai mencuit hati dan suaranya seperti agak komersil. Beliau juga rajin memberikan maklumat terkini penerbangan, keingat saya tiga kali juga beliau memberikan pengumuman (walaupun ia agak mengganggu mainan video dalam Rokki, kerana ia akan memberhentikan mainan semasa sebarang pengumuman, sama seperti sistem maklumat dan hiduran dalam penerbangan biasa). Saya tabik dengan kamu, kapten! (Maaf saya terlupa pula nama kapten, tidak silap Kapten Koo namanya).

Cuma masa ini, rasa tidak sedap hati saya yang terasa sejak mula meninggalkan rumah, semakin kuat terasa. Entah kenapa entah, ia terasa. Agaknya alamat sesuatu rasanya. Wallahu aklam. Semoga tidaklah terjadi perkara buruk berlaku.

Pelekat makluman perkhidmatan WiFi Rokki.

Laman web Rokki di atas pesawat (Screenshot dari aplikasi Google Chrome).


Makanan yang telah ditempah awal.

Permandangan kawasan Pengerang, Johor dari udara.



Borang Perisytiharan Kastam Indonesia.

Setelah kira-kira sejam setengah di udara, pesawat ini memasuki ruang udara pulau Kalimantan. Sayugia itu, keadaan pun sudah gelap (mula gelap tatkala berada di atas Laut Cina Selatan (atau lebih tepat Selat Karimata) menghampiri bandar Mempawah), jadi cuma nampak lampu-lampu dari lampu jalan dan lampu kendaraan yang bergerak. Keadaan lebih cerah ketika berada di atas bandar (kota) Pontianak. Akhirnya pada pukul 6:16 malam (WIB, selepas ini waktu adalah WIB sehingga dimaklumkan sebaliknya), mendarat di landasan 15 Lapangan Terbang Antarabangsa (LTA) Supadio dalam keadaan landasan yang basah. Nasib baik pesawat adalah dari Airbus (kawalan lebih baik semasa pendarat) dan juruterbang yang agak berpengalaman, tidaklah rasa teruk pendaratannya, syabas juruterbang bertugas.

Memandangkan lapangan terbang ini agak kecil, maka dalam masa empat minit, ia sudah sampai di pintu 5 bangunan terminal. Pukul 6:23 malam, pintu dibuka di sebelah hadapan sahaja. Berjalanlah penumpang semua dan turun mengikut eskalator atau tangga setelah tiba di dalam bangunan terminal dan terus sampai ke kaunter imigresen. Terdapat pengasingan di mana pemegang pasport Indonesia akan beratur di dua kaunter kanan dan bukan pemegang pasport Indonesia, berbaris di satu kaunter di paling kiri. Satu kaunter di tengah-tengah tidak dibuka. Bilangan penumpang lebih kurang sama jadi nampaklah barisan bukan warganegara Indonesia lebih panjang, malah urusan lebih perlahan.

Selepas habis semua pemegang pasport Indonesia membuat urusan imigresen kira-kira 10 minit kemudian, salah satu kaunter (lagi satu kaunter ditutup se itu membuka kaunter untuk pemegang pasport Malaysia pula, meninggalkan pemegang pasport negara lain dan pemegang pasport Malaysia yang hampir di kaunter di barisan paling kiri tadi. Saya pun ke barisan baru dan giliran saya ketiga. Tiba giliran saya, terus memberikan pasport dan sekejap sahaja urusannya, tidak sampai seminit. Sekarang Indonesia sudah tidak lagi memerlukan kita mengisi borang imigresen, jadi ia lebih memudahkan.

Selesai sahaja urusan imigresen, saya terus ke laluan kastam, kerana saya meamng tiada bagasi yang didaftar masuk di klia2 tadi. Bagasi-bagasi yang ada pun sudah diletak tepi conveyor sahaja, kerana masa agak lama ia berlegar-legar, maklumlah berbaris agak lama tadi. Borang itu diberikan kepada pegawai kastam yang sedia menunggu, terus meletak beg galas saya di mesin pengimbas untuk dimbas kandungan beg saya. Setelah itu, saya mengambil beg saya yang lulus imbasan kastam dan terus keluar. 

Di pintu ketibaan antarabangsa LTA Supadio ini saya keluar ke arah kiri pintu dan duduk di bangku yang ada di depan pintu masuk ke mesin ATM/surau/tandas yang berada di hujung kiri bangunan terminal (jika kita dari pintu ketibaan mengadap ke luar bangunan terminal), sementara meninggu waktu Isyak yang akan masuk tidak lama selepas itu (6:46 malam sudah masuk waktu Isyak di Pontianak dan sekitarnya). Macam kebiasaan di Indonesia, memang banyak orang akan bertanyakan tentang pengangkutan, saya dengan hormatnya menolak pelawaan mereka.

Saya membuat talaan pada telefon bimbit saya agar dapat memasuki sistem WiFi LTA Supadio kerana kad SIM Kartu As (Telkomsel) 2in1 Malaysia yang saya beli tempohari (sila rujuk catatan Pra Kembara) belum mempunyai plan data. Jadi saya perlu talian internet untuk membuat pelbagai perkara termasuk menambah nilai dan seterusnya melanggan plan data. 

Tetapi saya cuba untuk membuka aplikasi telefon pintar OVO dan Grab. Rupanya saya tidak perlu mendaftar OVO melalui aplikasi telefon pintarnya, yang mana ia adalah e-dompet (e-wallet) bagi Grab Indonesia di aplikasi telefon pintar OVO, cukup mendaftar di aplikasi telefon pintar Grab sahaja. Kebanyakan fungsi di aplikasi OVO sudah ada dalam aplikasi Grab yang secara automatik terpapar versi Indonesia jika menerima isyarat telco atau talian internet (termasuk WiFi) Indonesia (dalam kes saya, Telkomsel). Jadi saya bolehlah menyahpasang (uninstall) aplikasi OVO yang telah saya pasang dalam telefon pintar saya sebelum ini. Satu lagi, untuk memdaftar dan menggunakan OVO, wajib menggunakan nombor telefon Indonesia, sama ada buat akaun Grab/OVO baru atau kemaskini akaun Grab dengan menukar nombor sedia ada kepada nombor telefon Indonesia. Jika tidak, memang tidak boleh memilih OVO sebagai pilihan pembayaran GrabPay.

Melalui aplikasi Grab, saya menambah nilai e-dompet saya Rp50 000 (+- RM15.00). Kemudian, dari e-dompet OVO itu, sebanyak Rp25 000 (+- RM7.50) saya gunakan untuk menambah nilai kredit (pulsa) telefon Telkomsel saya, menggunakan aplikasi Grab sahaja, dengan caj perkhidmatan Rp1000 (+- RM0.30). Jika menambah nilai kredit telefon melebihi Rp40 000 (+- RM12.00), tiada caj perkhidmatan dikenakan. Jadi semasa itu, kredit talian telefon saya menjadi Rp27 000 (+- RM15.60) kerana Rp2000 (+- RM0.60) memang ada pada pek permulaan kad SIM itu.

Saya cuba untuk membuat langganan data untuk telefon Telkomsel saya melalui aplikasi telefon pintar MyTelkomsel dan melalui perkhidmatan MSSID (dail) *363#, tetapi tidak dapat melanggan. Rasanya ada masalah agaknya.Tatkala itu, berkumandang azan Isyak di lapangan terbang ini.

Saya terus ke surau yang agak kecil (boleh muat dalam 10 orang) dan berkongsi antara lelaki dan wanita (termasuk tempat wuduk yang juga sempit). Memang ini keadaan surau di serata Indonesia, jadi jangan terkejut dan hati-hati agar tidak selisih dan terbatal wuduk. Kalau takut ternampak aurat antara orang bukan ajnabi, maka carilah tempat yang terselindung seperti tandas berdekatan. Oleh kerana surau agak ramai, maka saya ke tandas dahulu untuk urusan sepatutnya. Setelah itu barulah kembali ke surau dan menunggu keadaan lenang sedikit. Semasa menunggu itu, sempat melihat bilik ATM, terdapat empat buah mesin ATM, namun tiada satu pun milik CIMB Niaga atau Maybank Indonesia. Tidak dapat keluarkan duit pada masa itu. Bila keadaan sudah lengang sedikit barulah saya bersolat jamak di surau tersebut.

Usai solat, saya pun keluar dari surau dan bersiar-siar di ruang landside LTA Supadio ini. Susun aturnya lebih kurang dengan lapangan terbang di Indonesia lain. Paling kiri (jika kita dari dalam bangunan terminal mengadap keluar) adalah pintu ketibaan antarabangsa, kemudian ke tengah sedikit pintu ketibaan dalam negara. Seterusnya pintu berlepas (berkongsi dalam negara dan antarabangsa). Ada juga beberapa kedai yang dibuka antaranya kedai serbaneka Alfa Express (anak syarikat AlfaMart juga) dan juga restoran makanan segera A&W. Tidak pula saya menjumpai kaunter atau kedai menjual kad sim sebagaimana maklumat awal saya perolehi.

Saya cuba mencari bas Damri yang terdapat perkhidmatannya ke Pontianak (berhenti di Kotabaru) dan juga ke Singkawang. Sejak dari sampai, kira-kira lebih sedikit sejam, tidak nampak bayang bas. Saya ke parkirnya yang terletak di luar sedikit (memang tiada sebarang tanda arah ke perhentian bas, perlu tanya orang, dan tidak semua orang mahu beri kerjasama (rupa-rupanya mereka ini ulat teksi atau ojek rupanya, dapat tahu pun melalui insan yang ikhlas membantu, harapkan staf lapangan terbang memang tidak membantu.), rupa-rupanya ia baru sahaja berlepas pergi pada pukul 8:00 malam (jam tangan saya pada masa itu menunjukan pukul 8:10 malam), dan itu bas terakhir. Biar betul, tidak nampak bayang apa sudah berlalu pergi basnya. Memang maklumat diperolehi awal yang mengatakan bas dari LTA Supadio ke Kotabaru adalah setiap sejam. Rupanya-rupanya ia hanya lima kali sehari sahaja iaitu pukul 9:00 pagi, 11:00 pagi, 1:00 petang, 5:00 petang dan 8:00 malam (maaf tiada gambar diambil). Jika dari Kotabaru pula enam kali sehari iaitu pada 4:00 pagi, 5:00 pagi, 9:00 pagi, 11:00 pagi, 1:00 petang dan 5:00 petang. Tambangnya adalah Rp35 000 (+- RM10.50)/orang/hala. Jika ke dan dari Singkawang pula 3 kali sehari (ke Singkawang: 9:00 pagi, 1:00 petang dan 8:00 malam , dari Singkawang 2:00 pagi, 4:00 pagi dan 2:00 petang, dengan tambang Rp100 000 (+- RM30.00).

Saya pun segera melihat aplikasi Grab dan melihat jika menggunakan GrabBike (ojek (teksi motorsikal) Grab) cuma Rp27 000 (+- RM8.10) sahaja. Cuma saya teringat maklumat yang diberikan kawan saya, di LTA Supadio ini terdapat kartel yang mengawal sistem pengangkutan teksi dan ojek, iaitu seperti gangster. Lagipun di Indonesia, lapangan terbang dan stesen keretapinya perlu membayar bayaran parkir untuk memasukinya walaupun cuma menghantar atau lalu sahaja. Sistem ini bagi saya, lagi menggalakkan kartel ini yang dikuasai biasanya gangter setempat. Jika tiada pun, kita perlu membayar bayaran parkir ini. Untuk mendapatkan perkhidmatan e-hailing perlu ke jalan utama yang kira-kira hampir satu kilometer dari bangunan terminal.

Peta Penerbangan AK478 01 Oktober 2018 daripada FlightRadar24.


Cop pasport masuk LTA Supadio.


Landside LTA Supadio (diambil dari pintu ketibaan antarabangsa).


Waktu solat di Pontianak (Screenshot dari aplikasi Muslim Pro).

Jalan masuk ke bilik mesin-mesin ATM (sebelah kanan), tandas (sebelah kiri) 
dan surau (sebelah tangga di hadapan), di hujung kiri bangunan terminal LTA Supadio.
Kedai serbaneka Alfa Express di landside LTA Supadio.


Jadi saya pun keluar dari bangunan (tanpa saya sedari saya tidak lagi menggunakan internet WiFi LTA Supadio dan menggunakan data tanpa plan data, jadi ia lebih mahal) untuk mendapat perkhidmatan Grab. Ini kerana caj bayaran teksi agak mahal, kira-kira Rp200 000 (+- RM60.00) ke pusat bandar Pontianak yang jauhnya kira-kira 30 kilometer. Saya tidak berani menggunakan teksi atau ojek sapu yang mengatakan harga sama seperti Grab atau Go-jek. Malah saya dengar, harga yang diminta kepada orang Indonesia (tetapi bukan orang Pontianak) bagi ojek adalah Rp80 000 (+- RM24.00)! Memang beginilah di Indonesia, jadi hati-hati.

Tetapi keadaan di luar masih hujan gerimis, menjadikan saya lupa dengan memesan GrabBike tatkala saya baru sahaja keluar dari kawasan parkir LTA Supadio. Harga tambang ke Hotel Surya (terletak dalam pusat bandar Pontianak) cuma Rp1 (+- kurang dari RM0.01) berbanding daripada tambang asal Rp27 000 (+- RM8.40) jika menggunakan GrabPay atau Rp31 000 (+- RM9.30) jika menggunakan tunai, atas promosi penggunaan pertama Grab/OVO di Indonesia. Asalnya memang tiada yang menerima. Namun dapat juga akhirnya. Alang-alang sudah dapat, saya tunggu sahaja di kawasan pintu masuk parkir. Pada masa menunggu itu, banyak juga yang bertanyakan saya untuk pengangkutan ke bandar Pontianak, saya tidak mahu kerana saya kata saya sudah mempunyai pengangkutan (satu langkah yang silap). 

Penunggang GrabBike yang bernama Herman, agak lambat sampai kerana dia ke rumah dahulu untuk mengambil baju hujan katanya (melalui fungsi borak aplikasi Grab). Masa itu juga, saya mendapat mesej dari Telkomsel bahawa kredit saya hampir habis kerana penggunaan data. Terkejut saya, namun masih dapat menggunakan internet (atas data ekhsan/kecemasan Telkomsel) tetapi perlahan sahaja. Saya gunakan untuk aplikasi Grab sahaja. Lepas 10 minit menunggu, saya berjalan ke depan sedikit untuk menaiki motorsikalnya. 

Tatkala saya baru hendak naik, terdapat dua motorsikal datang menghalang jalan kami. Asalnya saya tidak faham, namun akhirnya saya faham mereka ini cuba menghalang kami beredar dari situ, untuk memeras wang dari Herman kerana mengambil saya di kawasan lapangan terbang (padahal saya sudah keluar kawasan). Saya bosan dan ingin menyelamatkan keadaan, maka saya turun dan membatalkan pesanan. Terus saya berjalan keluar menuju ke jalan utama. Sepatutnya bagi saya, itu bukan satu isu lagi.

Semasa saya berjalan ke jalan utama (Jalan Arteri Supadio / Jalan Jenderal Ahmad Yani), saya membuka aplikasi Grab yang macam lambat sahaja (maklumlah menggunakan sisa internet kecemasan (darurat mengikut istilah Indonesia), untuk menambah nilai kredit talian telefon Telkomsel saya. Jadi saya menambah kredit saya lagi Rp25 000 (+- RM7.50) tambah caj tambahan Rp1000 (+- RM0.30) menggunakan kredit OVO. Kini kredit OVO saya berkurangan menjadi Rp48 000 (+- RM14.40).

Sudah selesai masalah kredit Telkomsel yang berkurang, yang menjadi sekitar Rp29 000 pada masa itu, apabila sampai di persimpangan jalan ke lapangan terbang dan jalan utama, saya terus memesan Grab, tiba-tiba, Herman dan salah seorang pemeras tadi datang kepada saya. Sudah, jadi apa ini, ditambah pula sebenarnya keadaan jalan di persimpangan ini agak gelap. Nampak seperti Herman ingin meminta bantuan saya dari riak wajahnya. Pemeras itu meminta agar Herman meminta Rp50 000 (+- RM15.00) daripada saya untuk diberikannya. Huh, nampak saya macam sudah masuk scam ini. Tapi riak muka Herman seperti ketakutan dan kekecutan juga. Pemeras itu juga meminta agar Herman menghantar saya ke destinasi saya. Pemeras itu siap cakap, asalnya dia minta Rp350 000 (+- RM105.00) sebagai denda kerana mengambil penumpang di tempat tidak dibenarkan. Saya cakap, kenapa mahal sangat (kerana saya ingat itu tambang), saya boleh dapat setengah harga, Herman terus menceritakan hal sebenar. 

Kesihan juga saya (asalnya bila ingat balik macam kena pukau tapi tidak sebenarnya, memang Herman dalam kesusahan, dan disebabkan saya juga memesan Grab sebenarnya) , jadi saya malas hendak dengar cerita panjang, terus mengambil Rp50 000 yang kebetulan ada berasingan dengan wang lain kepada pemeras itu (bertujuan untuk membantu Herman dan mengelak dari panjang cerita) sambil berkata "Baiklah, saya berikan wang ini tetapi saya tidak HALALKAN".  Rasanya seperti pemeras itu mendengar kata-kata saya itu, tetapi dia selamba juga ambil. Nasib baik dia tidak marah. Saya pun tidak tahu kenapa saya ada keberanian berkata demikian.

Lepas dapat duit itu, pemeras itu terus berlalu, meninggalkan saya dan Herman. Saya sebenarnya masih berhati-hati, risau Herman ini sebenarnya masih dalam scam terbabit. Herman siap tanya saya di mana saya hendak pergi, kerana maklumatnya hilang sebaik saya membatalkan tempahan Grab tadi. Rupa-rupanya dia hendak menghantar saya tanpa bayaran, tanda terima kasih membantunya membayar wang pemerasan tadi. Semasa di atas motorsikal, saya mendengar cerita (agak panjang untuk saya ceritakan dan juga ada kisah peribadi juga), menyebabkan saya pasti yang Herman ini memang mangsa juga dalam kes ini. Tambahan pula, tawaran saya untuk mengisi minyak motorsikalnya ditolak. Memang baik juga dia ini.


LTA Supadio pada waktu malam.

LTA Supadio pada waktu malam (aplikasi Weather Shot).

LTA Supadio pada waktu malam.


Saya meminta untuk Herman singgah ke mana-mana mesin ATM Maybank atau CIMB Niaga di dalam perjalanan. Ini kerana saya memang hanya membawa kurang Rp250 000 (kurang RM75.00) tunai pada masa itu. Jadi saya dibawa ke Sungai Raya dan berhenti di sebuah pasaraya (Xing Mart) yang ada mesin ATM Maybank di situ. Jadi saya mengeluarkan Rp300 000 (+- RM90.00, tetapi hanya dicaj RM87.30 oleh Maybank, setelah mendapat SMS tidak lama kemudian dan memeriksa urusniaga di dalam perbankan internet Maybank2U. Jadi kadar bagi Rp10 000 bersamaan RM2.91 sahaja, mahal sedikit dari kadar beberapa  pengurup wang di Kuala Lumpur pada hari sebelum itu (30 September 2018) iaitu RM2.89.



Resit Pengeluaran Wang ATM Maybank Indonesia.


Mesej SMS mengenai pengeluaran wang ATM Maybank Indonesia.

Setelah selesai saya mengeluarkan wang, kami pun kembali menuju Hotel Surya yang telah saya tempah sebelum perjalanan. Dalam perjalanan itu, antara perkara saya dengar daripada Herman adalah sebagai penunggang GrabBike, untuk mendapat sehari Rp100 000 (+- RM30.00) pun adalah satu rahmat. Biasa dia mendapat dalam Rp50 000 (+- RM15.00) ke Rp 80 000 (+- RM24.00) sahaja. Bila saya fikirkan, masuk akal juga, kerana biasanya tambang kebiasaan saya dapat jika menggunakan GrabBike di Indonesia di antara Rp4000 (+- RM1.20), Rp5000 (+- RM1.50) dan paling tinggi pun tidak sampai Rp20 000 (+- RM6.00). Jadi terus saya saya, kalau esok jadi pemandu pelancong saya dengan Rp100 000 (+- RM30.00) dari pukul 10:00 pagi (selepas Herman menghantar isterinya bekerja) dengan mengambil saya di Hotel Surya sehingga pukul 4:30 petang dengan menghantar saya di LTA Supadio. Terus dia bersetuju.

Sampai di hotel, sekitar pukul 9:15 malam, saya turun dan memberikan Rp50 000 (+- RM15.00) sebagai tanda terima kasih, walaupun Herman tidak memintanya. Saya anggap sedekah sahaja, kerana saya sudah selamat di hotel ini seperti rahmat, juga penat jerih Herman. Terkejut juga Herman, dan asalnya seperti menolaknya, namun bila saya berkeras dengan lembut, barulah Herman menerimanya dengan penuh kesyukuran. Terus kami bertukar nombor telefon agar kami dapat berkomunikasi (melalui telefon atau SMS atau terutama sekali WhatsApp) selepas ini.

Saya masuk ke lobi Hotel Surya ini dan terus ke kaunter hotel untuk daftar masuk. Saya memberikan maklumat tempahan saya melalui telefon (sekarang saya simpan semua dalam telefon bimbit, kononya jadi pengembara hijau, huhuhu). Alhamdulillah, semua berjalan lancar, tidak seperti beberapa komen teruk mengenai hotel ini. Juga, saya memberikan deposit cagaran Rp50 000 (+- RM15.00) kepada pihak hotel yang akan dikembalikan setelah daftar keluar nanti.

Bilik yang diberikan saya adalah bilik 202. Ini kerana saya meminta katil double bukan twin. Saya ini seorang maka lebih sesuailah katil sebuah walapun besar. Setelah masuk ke dalam bilik, kemudahannya agak baik dan bagi saya harga yang diberikan teramat murah. Siap ada air minuman berbotol, tuala dan sabun. Bilik siap ada pendingin hawa dan televisyen lagi. Berbaloi jugalah.


Peta: Perjalanan dari LTA Supadio ke Hotel Surya, Pontianak.


Hotel Surya, Pontianak (diambil pada pagi esoknya).


Kad Perniagaan Hotel Surya, Pontianak.

Bilik 202 Hotel Surya, Pontianak.

Keadaan di dalam bilik 202 Hotel Surya, Pontianak.

Keadaan di tandas bilik 202 Hotel Surya, Pontianak.


Keadaan di dalam bilik 202 Hotel Surya, Pontianak.

Saya pun membersihkan diri kerana sudah terkena air hujan (risau demam pula) dan juga badan sudah berbau juga. Setelah selesai mandi, saya pun berehat sahaja. Asal perancangannya, saya ingin berjalan-jalan ke Taman Alon-alon Kapuas yang berdekatan (kira-kira 500 meter sahaja dari hotel) dan minum malam di warkop (warung kopi) berdekatan, namun hujan semakin lebat pula, juga tambahan daripada Herman, kawasan persekitaran hotel ini, adalah kawasan kegiatan wanita-wanita dan separuh wanita mencari "mangsa" memuaskan nafsu. Saya tidak ingin saya menjadi "mangsa" mereka, jadi lebih baik saya duduk di dalam bilik dahulu.

Saya melayan televisyen, dan di Indonesia ini terdapat dua saluran berita teristarial yang percuma iaitu Metro TV dan TV One. Memandangkan tiga hari sebelumnya terjadinya gemba bumi dan tsunami di wilayah Sulawesi Tengah (Sulteng) di pulau Sulawesi, yang melanda banyak bandar pesisirnya dan paling teruk terkena adalah ibu wilayah Sulteng iaitu Palu. Maka boleh kata segenap masa menceritakan tentang tragedi tersebut. Sedih juga saya melihatnya.


Liputan televisyen mengenai tragedi gempa bumi di Sulawesi Barat, Indonesia.

Setelah sekian lama, kira-kira pukul 11:00 malam, saya menutup televisyen dan melayari internet kerana isyarat WiFi hotel agak kuat juga di bilik saya. Jadi kemas kini mana yang boleh dan mendapatkan maklumat tentang kembara esok serta kedai GraPARI Telkomsel terdekat, kerana saya masih tidak boleh melanggan perkhidmatan datanya. Sambil itu, rakan saya yang bertugas di Sarawak menelefon saya bertanya khabar. Saya rasa saya tertidur pada pukul 12:30 tengah malam.


Bersambung ke Hari 2 Bahagian 1.

Jika mahu lihat catatan: 
If want to read in English: 

  • PreJourney; 
  • Itinerary;
  • Day 1 (this part);
  • Day 2 Part 1;
  • Day 2 Part 2.

2 ulasan:

dear anies berkata...

menginap kat hotel surya, boleh dpt rokok surya free ke? hahahahahaha

GD berkata...

Kalau dapat pun saya tidak hisap, haram! Hihihi...
Hotel ini zon bebas asap rokok.