02/05/2014 (Jumaat)
Saya bangun awal pagi pada pukul 03:30 pagi, tapi azan Subuh hanya pada jam 04:57 pagi. Menunggu azan Subuh sambil saya buat persiapan untuk menyeberangi sempadan Thailand-Myanmar nanti. Pukul 05:00 pagi, baru saya solat Subuh. Pada pukul 06:00 pagi, saya bergerak dari hotel berjalan kaki untuk ke jeti, dengan harapan adalah teksi motorsikal ke atau songteaw ke, ada semasa berjalan, bolehlah saya ke sana tanpa banyak berpeluh. Ini kerana saya tidak pasti yang perkhidmatan itu ada atau tidak? Semasa saya berjalan, saya telah terlepas sebuah songteaw dan sebuah teksi motor. Akhirnya, selepas sepuluh minit berjalan, saya berjaya menahan sebuah teksi motor.
Semasa saya menaiki teksi motor itu, penunggang itu seperti tahu macam mana saya nak ke Kawthoung (kalau ke jeti Ranong memanglah nak ke Kawthoung kan), lalu menawarkan khidmat pakej, siap hantar balik hotel! Dalam ฿1000 (+- RM100.00), mak oi, mahalnya. Saya tawar, ingat dapat la dalam separuh, dapat ฿800 (+- RM80.00) sahaja. Macam mana saya boleh terpukau entahlah, agaknya pasal takut dengan keselamatan diri kot, kerana bangsa benua ASEAN ini seperti Thai, Lao, Khmer, Vietnam dan sebagainya memang terkenal dengan kaki pemeras, tapi tidak semuanya. Takut nanti saya tersadai di Kawthoung pula. Saya bagitahu saya nak ke Hat Yai lepas ini. Dia boleh tahu pula bas ke sana akan berlepas pada pukul 10:00 pagi. Mungkin pasal saya hendak kejar bas itu kot yang menyebabkan saya terima pelawaan. Sampai di jeti Pusat Pemeriksaan Imigresen Sapanpla Ranong (nama pusat pemeriksaan di jeti ini) pasa pukul 06:15 pagi.
Saya ingat pusat pemeriksaan imigresen ini akan dibuka pada 06:30 pagi berdasarkan maklumat yang saya Google, rupanya pada jam 07:30 pagi. Menunggulah saya lagi. Sebenarnya ada dua lagi pusat pemeriksaan imigresen di Ranong ini, iaitu di jeti Andaman Club Ranong tetapi ini khas untuk ke Andaman Club di Kawthoung yang merupakan sebuah resort dan tempat berhibur dan perjudian. Satu lagi di Paknam, di mana saya difahamkan, berdekatan dengan jeti Andaman Club Ranong, tetapi untuk untuk pelabuhan komersil..
Saya dikenalkan oleh penunggang teksi motor tadi dengan orang tengah bot. Dia akan uruskan perjalanan bot saya. Saya dikira membuat urusan "visa run" lah ni. Dia berkata, urusan akan ambil masa kira 1 1/2 jam sahaja. Sempat kalau nak kejar bas ke Hat Yai. Hai, itu pun dia tahu. Bersama dia, seorang perempuan agak cantik, asalnya saya ingat orang Thai, namun dia juga mahu buat "visa run". Rupanya dia warga Laos kerana saya terlihat pasport birunya menyatakannya. Pada jam 07:10 pagi, orang mula berbaris di hadapan kaunter imigresen. Saya dapat juga berada di nombor 3 dalam barisan dan orang tengah bot tadi membawa wanita Lao tadi ke belakang saya. Ramai juga yang pegang pasport warna ungu iaitu pasport Myanmar, kira mereka bermudik la ye. Jam 07:20 pagi, kaunter imigresen keluar Thailand pun dibuka, kira awal juga. Giliran saya 3 minit selepas itu. Pegawai imigresen Thai bertanya kepada saya pelbagai soalan dalam bahasa Melayu. La, di sini pun ada pegawai imigresen orang Melayu, saya ingat di sempadan Malaysia-Thai je. Kira mesra juga la, mungkin pasal dia perasan pasport Malaysia & pemiliknya orang Melayu. Sekejap sahaja, terus dicop keluar pasport saya. Pemeriksaan imigresen di Sanpanpla ini hanya ada kaunter berlepas & ketibaan sebelah menyebelah, tiada garisan pemisah kecuali laluan beratur sahaja. Cuma terbaik di pusat pemeriksaan ini, tiada selitan duit diperlukan. Malah siap ada kenyataan, jika ada sebarang permintaan wang, mohon laporkan di Pejabat Imigresen Ranong. Macam inilah bagus.
Suasana dari Jeti Sanpanpla.
Harga untuk warga Myanmar biasa adalah cuma ฿50 (+-RM5.00) sahaja, jika tanpa melalui orang tengah.
Selepas itu saya dibawa ke bot yang membawa kami ke Myanmar. Saya diminta untuk membayar ฿500 (kira-kira RM50.00) kepada orang tengah. Maka saya, wanita Lao dan sepasang warga Myanmar berlayar ke Kawthoung. Bot singgah di jeti pos kawalan imigresen Thai dan Myanmar di tengah laut, bukan untuk dicop tetapi untuk pemeriksaan sahaja.
Sepatutnya berhenti di pusat kawalan tentera Thai tapi tekong bot cuma menyapa sahaja. Tetapi yang menarik, habis sapaan, enjin bot berhenti, namun dapat dihidupkan selepas beberapa kali usaha. Dapat saya perhatikan yang kami sedang membelahi muara Sungai Kra di sebalah kanan dan Laut Andaman di sebelah kiri kami.
Semasa di tengah laut berdekatan dengan pulau pemeriksaan tentera Thai, tiba-tiba bot kami mati enjinnya. Sedikit lagi hendak langgar batu semasa kami hanyut. Sempat juga saya ambil gambar dicelah-celah batu di atas terdapat banyak ketam-ketam nipah. Kalau tangkap & buat masak manis masam, sedap ni. Nyam, nyam...
Akhirnya selepas 25 minit, sampai juga di Kawthoung. Akhirnya jejaklah kaki saya ke tanah Myanmar, negara ke-6 di ASEAN yang telah saya jejaki secara rasmi, eh belum lagi, pasport belum dicop, hehehe.
Jeti Myo Ma di bandar Kawthoung, Tanintharyi, Myanmar
Terus saya ke daratan dan ke pejabat imigresen Myanmar. Oh, rupanya saya salah kaunter, sepatutnya saya perlu ke kanan selepas jeti untuk ke pondok khas untuk warga asing, tapi saya ke kiri yang untuk warga Myanmar. Sampai ke bangunan pegawai imigresen itu tunjukan.
Inilah bangunan imigresen untuk warganegara bukan Myanmar. Naik dari jeti terus ke kiri, akan jumpa bangunan ini.
Sepatutnya saya ekori perempuan Lao tu, huhuhu. Sampai sana, kaunter kosong, eh mana pegawai imigresen dan mana perempuan Lao tu? Rupanya pegawai imigresen tu selamba baring berehat, dengan baju biasa, baji seragam digantung. Muka pegawai imigresen ini macam orang Bangladesh pun ada. Saya serahkan pasport saya beserta US$ 10 yang cantik tu kepadanya. Dia tanya saya hendak tidur di sini atau balik hari, saya kata balik hari, dan terus pasport saya dicop masuk dan keluar pada masa itu juga. Akhirnya secara rasmi, negara ke-6 ASEAN dan negara ke-9 di dalam pasport semasa saya, yang saya terima copnya. Di atas kaunter, terdapat kadar hotel jika ingin menginap di Kawthoung ini. Selepas itu saya keluar ke kawasan pekan Kawthoung ini.
Kawthoung, bermaksud Pulau Dua dalam Bahasa Melayu (yang mana masih digunakan bagi penduduk Melayu Myanmar) diambil dari bahasa Thai, Ko Song, lagipun Kawthoung disebut Kowsaung dalam bahasa Myanmar. Semasa penjajahan British, tempat ini yang merupakan titik terselatan dalam India British (Myanmar atau ketika itu Burma, adalah sebahagian dari India British yang termasuk negara India, Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka dan Nepal ketika ini) dikenali sebagai Victoria Point.
Saya ke menara jam bandar ini untuk mengambil gambar kenangan. Masyarakatnya pelbagai, ada yang muka kebiasaan orang Myanmar, yang matanya agak sepet tetapi kulit sawo matang, ada muka macam orang Bangladesh dan ada muka macam orang Melayu. Saya ada terdengar ada antara mereka bertutur bahasa Melayu loghat utara. Bangga pula saya. Memang ada tinggalan kerajaan Melayu di sini. Tanah ini dahulunya adalah kepunyaan kerajaan Melayu, malah termasuk antara kawasan pemerintahan kerajaan Melayu Langkasuka. Namun kerana bangsa Burma dan Siam (Thai) bersengketa dan menceroboh pula ke kawasan Melayu sedangkan sebelum ini mereka ada buat perjanjian agar kawasan Melayu ini tidak diganggu. Maka kawasan Tanah Sari atau kini dikenali sebagai rantau Tanintharyi di tenggara Myanmar menjadi "milik" Myanmar. Di sini juga kalau dilihat dalam peta, masih banyak tempat bernama dalam bahasa Melayu seperti Kampong Ulu, Kampung Tengah dan Pulo (pulau yang menempatkan Andaman Club).
Setelah mengambil beberapa gambar di pekan Kawthoung ini, saya ingat mahu ke bukit yang menandakan titik darat terselatan negara Myamnar, tetapi saya tersedar saya dipanggil oleh jurukemudi bot. Terpaksalah saya ke bot, selamat dia panggil, kalau tak memang saya nak lama di sini, tapi apakan daya, kena kejar bas pukul 10:00 pagi. Cuma sayang, saya tidak dapat ke Victoria Point dan meneroka lebih mendalam lagi Kawthoung ini. Namun ia adalah antara 15 minit yang terindah dalam hidup saya.
Selepas itu, bot kami (yang sama seperti ke Kawthoung) meluncur kembali di Ranong.
Semasa di pusat pemeriksaan tentera Thai, saya tangkap gambar salah sebuah bot ini terdapat penumpang pakai tudung. Kemungkinan orang dari Thailand atau Myanmar. Menunjukan terdapat orang Islam atau Melayu di perbatasan ini. Sebenarnya di bandar Kawthoung tadi ada juga wanita pakai tudung, cuma saya tidak sempat untuk mengambil gambar.
Selepas diperiksa di ketiga-tiga pos kawalan, terus ke jeti Sanpanpla, Ranong. Setelah saya mengecop masuk ke Thailand balik, saya disapa kembali oleh penunggang teksi motor tadi. Saya minta dibawa ke hotel untuk mengemas beg dan mendaftar keluar. Sampai di hotel, baru saya perasan yang pasport saya diberi visa 15 hari sahaja, sepatutnya 30 hari. Tidak mengapalah, saya akan keluar dari Thailand ini hari itu atau kes luar jangka, esoknya. Cuma lain kali, jika anda berada lama di Thailand, perlu periksa dahulu cop visa anda terlebih dahulu.
Saya daftar keluar dan setia juga penunggang teksi motor ni, setia bermakna. Saya suruhnya tunggu kerana saya mahu tukar wang di bank berdekatan (Krung Thai Bank) kerana bekalan baht saya sudah sedikit. Takut saya dicaj lebih-lebih oleh teksi motor ini, tapi nombor giliran saya agak jauh, kira-kira 30 nombor. Terus saya kembali dan minta penunggang teksi motor itu ke tempat tukar duit yang lebih cepat. Dia bawakan saya ke cawangan Bangkok Bank. Terus berjumpa dengan pengurus bank. Dapatlah bekalan sedikit wang baht. Selepas selesai, terus saya dibawa ke stesen bas, takut terlepas bas pula.
Masa kami sampai, masa itu juga bas ke Ranong sampai di stesen bas. Untuk tambang keseluruhannya, penunggang teksi itu meminta ฿400 (+- RM40.00). Lebih pula ฿200 (+- RM20.00) dari asalnya. Tidak mengapalah, khidmat diberi pun baik, saya anggap rezeki dia hari ini. Alhamdulillah, saya dapat juga tiket bas ke Hat Yai berharga ฿420 (+- RM42.00).
Bermulalah perjalanan 8 jam setengah yang memenatkan. Kami berhenti di Lang Suan untuk membuang apa yang patut dan di stesen minyak PTT berhampiran dengan Surat Thani untuk makan. Namun saya tidak boleh makan kerana tiada kedai halal di sini, malah tiada surau. Cuma saya fikir, perlukah saya solat di tengah-tengah kawasan lapang yang akan dipandang oleh orang ramai yang rata-rata bukan Islam. Maka saya ambil keputusan untuk solat di atas bas secara duduk sahaja, untuk elak perhatian orang. Jadi saya mengambil wuduk di singki di luar tandas.
Gambar bas yang saya ambil ketika berhenti di stesen minyak PTT berhampiran Surat Thani.
Di atas bas, selepas 15 minit, saya solat duduk atas kerusi untuk jamak qasar Zohor & Asar (walaupun ia hari Jumaat, namun ia luput kerana saya sedang bersafar (musafir)). Itu mendapat perhatian beberapa orang di dalam bas. Saya endahkan sahaja.
Perjalanan pulang ini saya perhatikan harga minyak di stesen-stesen minyak yang dipaparkan di hadapan stesen masing-masing. Harga hampir serupa sahaja sebagaimana pemerhatian saya ketika perjalanan ke Ranong dari Hat Yai. Walaupun ada stesen minyak bersebelahan, harga berbeza antara stesen. Bagi petrol RON 85, harga sekitar ฿30 (+- RM3.00), petrol RON 95, sekitar ฿47 (+- RM4.70) dan RON 97 sekitar ฿50 (+- RM5.00). Tidak hairanlah kalau di sempadan seperti di daerah Khuan Don di Satun, Padang Besar, Dannok dan Betong, banyak dijual petrol seludup Malaysia, kerana harganya lebih separuh lebih murah!!! Itupun ramai rakyat Malaysia tidak bersyukur...
Jam 18:50 (6:50 petang), bas pun sampai di Stesen Bas Hat Yai. Saya segera meminta salah seorang penunggang teksi motor membawa saya ke Lee Garden untuk bas ke KL. Sampai sahaja, selepas membayar ฿80 (+- RM8.00) kepada penunggang teksi motor itu, saya segera ke kedai ejen syarikat bas Konsortium, tetapi ia telah tutup! Saya segera ke kedai ejen bas Alisan, juga tutup. Alamak macam mana ni, saya terus ke ejen KKKL, nampak ada basnya lagi di luar, harap ada la juga, namun tiket habis... Saya ke ejen Sri Maju di sebelah kedai ejen KKKL, juga habis, tapi saya diminta tunggu untuk pastikan ada bas lain yang ada lagi, namun juga habis. Mahu tidak mahu saya terpaksa beli bas keesokannya pukul 10:00 pagi dengan harga ฿500 sahaja (+- RM50.00), lebih murah dari di Puduraya, siap insurans lagi. Saya beli dengan Sri Maju kerana ejennya agak peramah tidak seperti KKKL tadi. Siap menawar hotel, cuma saya mahu bermalam sahaja, dan saya tahu mana hotel yang agak murah.
Sambil tu saya tukar lagi wang RM50, BND 10 & CNY 30 di Davis Tour & Travel ini (ejen Sri Maju) dan dapat ฿884 (+- RM88.40) untuk beli barang sedikit seperti cenderahati dan makanan, sementara ada di Hat Yai.
Saya terus ke Cathay Guest House, tanyakan ada bilik lagi. Alhamdulillah ada, cuma ฿240 (+- RM24.00) sahaja walaupun kemudahan asas dan berkipas sahaja. Alah, saya hendak tidur sahaja. WiFi tiada pun tidak mengapa kerana saya masih ada plan data internet dari kad SIM dtac Happy.
Saya meletak beg saya di bilik dan segera saya ke Lee Garden untuk ke pasar malamnya yang agak dikenali bagi sesiapa yang datang ke Hat Yai ini. Saya singgah makan di Restoran Maliam atau Restoran Mariam yang tidak jauh dari hotel saya menginap untuk makan. Restoran ini halal dan dipunyai oleh orang Melayu Thai. Boleh berbahasa Melayu lagi. Saya pesan tom yam campur, kailan ikan masin, telur mata kerbau (tapi dapat telur dadar) dan kerabu sotong. Tapi bahagiannya agak besar, padanlah masa pesan tadi macam terkejut je pelayan tu. Tidak mengapa, dah 2 hari tak jumpa nasi, dan dah lebih 13 jam saya tidak jamah makanan. Memang habis, alhamdulillah. Harga pun dengan ฿310 (+- RM31.00) sahaja.
Ada seekor gajah berjalan di tengah-tengah bandar Hat Yai, satu senario yang tidak akan kelihatan di mana-mana di Malaysia.
Kemeriahan pasar malam di Hat Yai. Penuh dengan orang Malaysia dan Singapura sahaja.
Setelah itu, saya ke pasar malam dan beli berapa barang untuk dibawa pulang. Sambil itu, saya membeli sebungkus pulut mangga berharga ฿50 (+- RM5.00) untuk kudapan malam. Sedap sangat, cuma mangga tidak berapa manis, kira sesuai lah. Tidak banyak gambar saya ambil kerana pada masa selepas ke Ranong, bateri telefon sudah sedikit dan power bank sudah habis terus (terlupa bawa pengecaj), jadi saya tinggalkan telefon di hotel untuk dicaj. Saya balik dan terus tidur.
Atau ingin melihat:
If want to read in English:
- Day 3 (this part),
- Day 1,
- Day 2 or
- Day 4.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan