Pengenalan.
Mauritius, merupakan destinasi baru AirAsiaX yang baru diperkenalkan sejak 25 Mei 2016, yang mula beroperasi mulai 04 Oktober 2016. Kiranya, inilah pertama kali AirAsiaX akan mendarat di bumi Afrika, kerana negara kepulauan di Lautan Hindi ini berada di benua Afrika sebenarnya. Namun sayang, tiket promosi pengenalan laluan ini masih mahal, kira-kira dalam RM900 lebih. Biasanya promosi pengenalan laluan ini murah, tetapi ia mahal kerana rupanya caj lapangan terbang termasuk cukai lapangan terbang di Lapangan Terbang Sri Seewoosagur Ramgoolam, Mauritius (MRU) amat mahal rupanya, dalam RM400! Jadi ditangguhkan niat itu dulu.
Pada 06 September 2016, salah seorang sahabat kembara saya, Najib (facebooknya), mengajak saya ke Mauritius di dalam WhatsApp Geng KembaraGD (khas untuk alumni yang pernah mengembara dengan saya sahaja) dan juga sahabat-sahabat yang lain. Dia juga telah membeli tiket ke Mauritius pada 22 hingga 25 September 2017 dengan harga promosi. Ini kerana AirAsia mengadakan promosi tempat duduk percuma dari 05 hingga 11 September 2016 (ahli AirAsia BIG mendapat akses khas pada 04 September 2016). Harga yang ditawarkan adalah RM695.57, murah banyak sangat. Namun perlu tunggu lebih setahun itu. Jadi saya pun segera menempah dan ini diikuti oleh abang Din (facebooknya) yang pernah bersama saya ke kembara Macau, Hong Kong dan China serta kembara ke Yangon dulu.
Promosi tempat duduk AirAsia pada September 2016.
Mauritius, merupakan sebuah negara kepulauan yang terletak di Lautan Hindi. Negara yang mempunyai keluasan 2040 km2, bukan sahaja mempunyai pulau utama tetapi beberapa pulau lain juga ini merupakan sebahagian dari benua Afrika. Penduduknya adalah seramai 1.2 juta orang. Mauritius merupakan sebahagian daripada pertubuhan Komanwel kerana British merupakan penjajah terakhir sebelum ia merdeka pada tahun 1968.
Walau Bahasa Inggeris menjadi bahasa kerja di perkhidmatan awam, Mauritius yang tiada bahasa rasmi, kebanyakan rakyat menggunakan Bahasa Perancis atau Bahasa Creole Perancis Mauritius. Ini kerana sebelum British, Mauritius dijajah oleh banyak penjajah Eropah yang mana yang paling lama dan berpengaruh adalah Perancis. Asal usul nama Mauritius adalah daripada Putera Maurice dari Nassau, ketua negara bagi negara Belanda pada 1585 hingga 1625, yang mana ketika itu Mauritius berada di dalam jajahan Belanda.
Peta: Mauritius.
Pada 13 Februari 2017, saya dan rakan-rakan menerima emel daripada pihak AirAsia X yang menyatakan bahawa mereka membatalkan penerbangan kami kerana mereka akan tidak lagi terbang ke Mauritius selepas 26 Mac 2017. Justeru itu, pihak mereka menawarkan pilihan terhadap tempahan kami iaitu:
a. dengan mendapat semula jumlah bayaran sepenuhnya;
b. dengan menjadikan jumlah bayaran kami sebagai simpanan kredit (credit shield) selama 180 hari untuk bayaran tempahan akan datang; atau
c. mengubah jadual penerbangan kepada tarikh sebelum 26 Mac 2017, tertakluk kepada kekosongan tempat duduk dengan tiada bayaran dikenakan.
Jadi kami memilih pilihan c dengan tarikh 17 hingga 20 Mac 2017, kira-kira 6 bulan lebih awal dari penerbangan sebenar.
a. dengan mendapat semula jumlah bayaran sepenuhnya;
b. dengan menjadikan jumlah bayaran kami sebagai simpanan kredit (credit shield) selama 180 hari untuk bayaran tempahan akan datang; atau
c. mengubah jadual penerbangan kepada tarikh sebelum 26 Mac 2017, tertakluk kepada kekosongan tempat duduk dengan tiada bayaran dikenakan.
Jadi kami memilih pilihan c dengan tarikh 17 hingga 20 Mac 2017, kira-kira 6 bulan lebih awal dari penerbangan sebenar.
Pada 14 Februari 2017, saya menempah penginapan kami di Mauritius nanti melalui Hotels.com di Le Bamboo Guest House, Mahebourg, Mauritius. Kami memilih untuk menginap di sebuah bilik berkongsi empat orang selama 2 malam (17 hingga 19 Mac 2017). Saya memilih hotel ini kerana ia paling murah di dalam Hotels.com pada ketika itu. Harganya €74.00 (+- RM356.00) untuk sepanjang penginapan kami, atau €37.00 (+- RM178.00) bagi seorang (dua malam) atau RM 89.00 setiap malam bagi seorang. Hanya pilihan bayaran di penginapan sahaja diberikan, jadi kad kredit saya tidak dicaj semasa tempahan, hanya sebagai pengesahan tempahan sahaja. Pembayaran akan dibuat semasa kami tiba di penginapan nanti.
Pada 15 Februari 2017, saya telah membeli International World Traveller Care Takaful dari eTiQa Takaful, di mana saya mengambil plan Platinum bagi individu untuk perjalanan 1 hingga 5 hari ke zon 3 iaitu seluruh dunia termasuk Mauritius tetapi tidak termasuk Amerika Syarikat dan Kanada, berharga RM72.00 sahaja (sebelum saya tolak komisen saya kerana perniagaan saya, HidayahWEALTH, merupakan ejen korporat bagi eTiQa Takaful). Ada pilihan lebih murah iaitu plan Emas yang berharga RM51.00 dan plan Perak berharga RM33.50, tetapi saya memilih plan Platinum pada kali ini kerana inginkan perlindungan yang komprehensif.
Jika anda atau kawan-kawan anda ingin mendapatkan takaful tersebut atau lain-lain takaful, boleh mesej saya melalui Facebook saya atau kaedah-kaedah lain. Ini bagi persediaan jika berlaku apa-apa diluar jangka, sekurang-kurangnya ada "kusyen". Sekurang-kurangnya kos perubatan (difahamkan kos perubatan di Australia berkali-kali ganda lebih mahal berbanding kos perubatan swasta di Malaysia) dan kos pengurusan jenazah (minta jauh tapi kan maut itu pasti) telah termasuk dalam perlindungan, jadi tidak perlu mengemis dengan orang lain kalau berlaku apa-apa yang tidak diingini dan di luar jangka. Risau juga selepas berlaku beberapa tragedi menimpa orang Malaysia di luar negara sejak kebelakangan ini.
Nota Perlindungan Takaful Perjalanan eTiQa Takaful.
Saya menempah kereta sewa OLA Mauritius setelah saya mencari kereta sewa yang agak murah di Mauritius. Agak susah juga kerana yang boleh menerima tempahan dalam talian semuanya nama-nama besar di dalam industri kereta sewa. Saya terjumpa laman web OLA ini pun setelah melihat di dalam Google Maps untuk melihat peta Lapangan Terbang Sir Seewoosagur Ramgoolam, Mauritius (MRU), dan mencuba klik beberapa syarikat kereta sewa sekitar MRU yang ada di dalam peta itu dan menjumpai OLA yang memberikan harga yang agak berpatutan. Saya pilih Perodua Viva sahaja untuk tempahan kami yang hanya €77 (+- RM370) sahaja untuk dua setengah hari. Namun ia perlukan 10% deposit, jadi €7.70 (+- RM37) dibayar dahulu dan baki ketika mengambil kereta nanti.
Pada 06 Mac 2017 juga, saya telah menghantar e-mel makluman kehadiran kami di Mauritius kepada pihak Kedutaan Malaysia di Harare, Zimbabwe kerana Malaysia tidak mempunyai kedutaan di sana dan Mauritius adalah antara negara yang di bawah pentadibiran kuasausaha kedutaan di Harare. Saya juga menghantar emel kepada Kedutaan Malaysia di Colombo, Sri Lanka kerana ia adalah negara lebih dekat sebenarnya yang ada kedutaan Malaysia daripada Zimbabwe. Di Mauritius juga sebenarnya terdapat Konsul Kehormat Malaysia di Mauritius yang dilantik oleh Wisma Putra (Kementerian Luar Negeri), jadi saya pun menghantar kepadanya juga. Pendaftaran melalui e-Konsular juga dilakukan pada masa yang sama. Ini penting, agar pihak kedutaan ambil maklum kehadiran kami di Mauritius. Ini bagi memudahkan mereka melakukan tugas mereka, disamping dapat memudahkan urusan kita jika berlaku apa-apa yang tidak diingini. Kita kena bersedia mengjangkakan perkara yang tidak terjangka. Dengan makluman kehadiran kami ke kedutaan, mereka sekurang-kurangnya akan membantu mana yang boleh. Barulah betul adat dan tatasusila orang Malaysia.
Saya menukar wang Ringgit Malaysia kepada Euro (EUR atau €) untuk bekalan perjalanan nanti di H. M. Ghazali Ahmad Sdn Bhd di Masjid India, Kuala Lumpur yang merupakan pengurup wang terendah pada 15 Mac 2017, setelah meninjau kadar tukaran di situ dan juga di sekitar Ampang Park & juga Nu Sentral. Tujuan saya menukar kepada Euro dan bukan Dollar Amerika Syarikat (USD atau US$) adalah kerana kebanyakan sebut harga (quotation) seperti hotel dan kereta sewa (boleh rujuk perkara-perkara terbabit di atas) adalah dalam Euro, jadi saya jangkakan Euro agak digunakan meluas di Mauritius disamping matawang tempatan iaitu Rupee Mauritius (MUR atau Rs.). Ini mungkin juga kerana jiran terdekat Mauritius adalah pulau Reunion iaitu salah satu wilayah negara Perancis. Kadar pembelian Euro pada masa itu adalah €1 bersamaan RM4.75 (paling murah, purata RM4.65).
Emel makluman kami di Mauritius yang dihantar ke Kedutaan Malaysia di Harare, Zimbabwe, Kedutaan Malaysia di Colombo, Sri Lanka dan Konsul Kehormat Malaysia di Mauritus.
Saya telah mendaftar masuk bagi semua kami yang akan pergi, melalui penggunaan aplikasi telefon pintar AirAsia pada pagi 15 Mac 2017 dan kemudian menyimpan salinan lembut pas pelepasan dengan kaedah fungsi cetakan semula di dalam modul daftar masuk di dalam web AirAsia, untuk saya cetak semula di pejabat saya.
Oleh kerana perjalanan kami di Mauritius ini menggunakan kereta sewa, maka salah seorang daripada kami perlu mempunyai Permit Memandu Antarabangsa (IDP -International Driving Permit) untuk tujuan menyewa kereta ini. Jadi pada 16 Mac 2017, saya telah ke Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan di Wangsa Maju untuk membuat permit ini dengan harga RM150.00. Prosesnya agak mudah dan boleh dirujuki di tulisan saya bertajuk Petua: Permohonan Permit Memandu Antarabangsa Malaysia di Kuala Lumpur (versi Bahasa Inggeris: Tips: Malaysian International Driving Permit Application at Kuala Lumpur) di dalam blog ini.
Rasanya sudah hampir lengkap persiapan saya untuk perjalanan pada kali ini. Cuma tinggal menunggu hari pemergian sahaja. Doakan perjalanan saya dan rakan-rakan Geng KembaraGD kali ini berjalan lancar dan dipermudahkan segala urusan, insya Allah, amin.
Bersambung ke Hari 1.
- Itinerari;
- Hari 2;
- Hari 3;
- Hari 4; atau
- Panduan Kembara - Mauritius.
If want to read in English:
- PreJourney (this part);
- Itinerary;
- Day 1;
- Day 2;
- Day 3;
- Day 4; or
- Travel Guide - Mauritius.