Ahad, 30 Ogos 2015

Pra Kembara (Yangon, Myanmar - 08 hingga 09 Ogos 2015) - Kembara Ke Myanmar - Bumi Emas.

Jika mahu lihat: 

If want to read in English: 
  • PreJourney (this part); 
  • Itinerary; 
  • Day 1; or 
  • Day 2.

Pengenalan.



AirAsia telah membuat promosi harga tiket RM0 yang mana hanya bayar cukai lapangan terbang dan caj-caj wajib sahaja mulai 09 November 2014 selama seminggu bagi penerbangan tahun 2015. Saya sebenarnya ingin mencari penerbangan ke Hong Kong atau Macau, kerana saya memang merancang ke sana, namun tiada tambang murah ke sana mengikut tarikh yang saya merancang hendak pergi.


Namun saya merasakan saya perlu juga beli mana-mana tiket, jadi saya pun membeli tiket ke Yangon, Myanmar, bagi mencapai impian saya untuk pergi ke semua ibu negara ASEAN setelah impian ke semua negara ASEAN tercapai pada bulan Oktober 2014 yang lepas. D Jadi pada 12 November 2014, saya menempah penerbangan pergi balik ke Yangon dengan harga RM155.00 sahaja. Tapi kembara kali ini hanya dua hari sahaja, memang pendek.



Seterusnya saya mewar-warkan rancangan saya di Facebook dan WhatsApp, dan terus mendapat respon daripada Akmal yang merupakan rakan sepengembara pada kembara Kemboja dan Vietnam pada Oktober 2014. Terus dia menempah penerbangan yang sama dengan saya dan membuat pindahan wang bagi berkongsi penginapan. Alhamdulillah, ada juga teman ke sini.


Pada 13 Mac 2015, pihak AirAsia telah menghantar emel, menyatakan bahawa penerbangan kami dilewatkan pelepasannya dari pukul 16:45 (4:45 petang) kepada pukul 19:30 (7:30 malam). Setelah berbincang dengan Akmal, kami tetap dengan masa berkenaan.

Kemudian, pada 22 Mac 2015, Hafiz John sahabat yang bersama semasa kembara ke Johor Bahru & Singapura April lepas, juga mengatakan hendak pergi bersama. Maka dia segera membeli tiket penerbangan yang sama dan membuat pindahan dana ke akaun bank saya untuk tempahan hotel. Jadi bertigalah kami.

Tidak lama kemudian (saya tidak ingat secara tepatnya bila)
, seorang lagi pengikut blog ini, Zainudin Selamat atau lebih dikenali Pak Din, yang mana sebelum ini beliau telah memberikan komitmen untuk mengikut kembara saya bersama isteri saya ke Macau, Hong Kong dan wilayah Guangdong, China pada bulan November 2015 nanti, berminat untuk mengikut serta dan terus membeli tiket yang sama. Jadi akhirnya berempatlah kami mengembara ke Myanmar ini.

Sambil-sambil berpuasa & beraya, saya membuat penyelidikan mengenai destinasi kami ini, rupa-rupanya, saya terpaksa membatalkan untuk singgah di Naypyitaw, kerana perjalanan bas mengambil masa 8 jam, dan jadual bas adalah pada 8:00 pagi dan 12:00 tengahari. Kami pun nanti akan mendarat sekitar jam 8:15 pagi. Rasa tidak sempat hendak kejar bas awal. Setelah berbincang, kami membuat keputusan untuk mengembara di Yangon sahaja.

Pada 30 Ogos 2015, setelah mendapat semua pasport, borang permohonan, dokumen sokongan dan wang bayaran visa dari semua ahli rombangan, saya ke pejabat ejen tunggal visa Myanmar iaitu Ever Fine Services Sdn Bhd, berdekatan dengan stesen LRT Masjid Jamek di Kuala Lumpur. Cerita lanjut mengenai permohonan visa Myanmar ini boleh diikuti di artikel Petua - Permohonan Visa Myanmar di Kuala Lumpur. Permohonannya mudah dan mengambil masa tidak begitu lama. Saya menghantar permohonan sebelum pukul 11:00 pagi, bermakna saya boleh mengambil pasport bervisa Myanmar yang sudah siap pada petang itu juga.



Pada petang itu, sejurus selepas keluar pejabat setelah habis bertugas, saya terus ke pejabat Ever Fine Services Sdn Bhd untuk mengambil pasport. Waktu mengambil pasport yang bervisa Myanmar sudah siap adalah dari pukul 4:30 ke 5:30 petang. Alhamdulillah sudah siap visa kami, dan bolehlah kami untuk memasuki Myanmar tanpa risau.


Pada hari tersebut juga, saya menempah bilik di sebuah motel di Yangon. Hostel itu bernama The Willow Inn, baru sahaja dibuka. Saya menempah melalui laman web http://www.hotels.com/. Harga pun kira bolehlah, yang penting ia dekat dengan pusat bandaraya Yangon.




Akhirnya semua telah selesai diuruskan. Hanya menunggu hari sahaja untuk mengembara ke Myanmar. Ramai yang risau ke sana, namun kerana itu kami ke sana, untuk melihat kebenarannya...

Bersambung ke Hari 1.


Jika mahu lihat: 

If want to read in English: 
  • PreJourney (this part); 
  • Itinerary; 
  • Day 1; or 
  • Day 2.

Petua - Permohonan Visa Myanmar di Kuala Lumpur.

Click here if want to read in English version.



Jika di dalam ASEAN, hampir semua negara anggotanya tidak memerlukan visa untuk kita sebagai rakyat Malaysia untuk memasukinya bagi tempoh jangka masa pendek seperti antara 15 ke 30 hari (majoriti 30 hari). Namun terdapat negara anggota ASEAN yang memerlukan kita membuat visa terlebih dahulu (visa in advance), iaitu Myanmar. Jadi di sini saya ingin berkongsi cara-cara untuk memohon visa Myanmar (di sini saya lebih menumpukan visa pelancong, untuk visa lain, boleh hubungi pejabat Ever Fine Services Sdn Bhd untuk maklumat lanjut).



Peta Myanmar.

Sebenarnya terdapat banyak cara untuk mendapatkan visa Myanmar. Selain memohon sendiri di Ever Fine Services Sdn Bhd bagi pihak Kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur, ia boleh dimohon melalui kemudahan eVisa (Visa Elektronik) melalui pelbagai laman web. Tapi bagi saya lebih baik ke laman web eVisa Myanmar, kerana ia merupakan laman web rasmi daripada kerajaan Myanmar. Namun ia berharga US$50 (+- RM210), agak mahal terutama semasa matawang US$ meningkat naik. Lagipun ia hanya boleh dibayar dengan menggunakan kad kredit atau kad debit dengan jenama Visa atau MasterCard sahaja. Tambahan pula, visa ini hanya boleh digunakan di tiga lapangan antarabangsa di Myanmar iaitu di Yangon, Naypyitaw dan Mandalay sahaja. Visa sah selama 3 bulan dari tarikh kelulusan dan boleh berada di Myanmar selama 28 hari sahaja (boleh dilanjutkan selama 14 hari) serta hanya untuk sekali masuk sahaja.

Satu lagi adalah kemudahan visa-on-arrival, iaitu memohon visa semasa di 3 lapangan terbang iaitu di Yangon, Naypyitaw dan Mandalay sahaja (sama dengan eVisa), bermakna di pintu masuk lain, kemudahan ini tidak diberikan. Maklumat mengenai kemudahan ini boleh didapatkan di laman web visa-on-arrivalKementerian Imigresen dan Kependudukan, Republik Kesatuan Myanmar. Visa sah selama 3 bulan dari tarikh kelulusan dan boleh berada di Myanmar selama 28 hari sahaja (boleh dilanjutkan selama 14 hari) serta hanya untuk sekali masuk sahaja. Penting, sila sediakan dokumen diperlukan. Harga adalah sebanyak US$40.00 (+- RM164) untuk visa pelancong.

Namun bagi saya, terdapat satu lagi cara paling murah adalah memohon terus melalui kedutaan. Namun mulai Oktober 2013, permohonan visa Myanmar tidak lagi di Kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur (di Jalan Ampang Hilir). Pihak kedutaan telah menyumber-luarkan proses visa dan perkhidmatan konsular lain kepada sebuah syarikat swasta, Ever Fine Services Sdn Bhd. Pejabat Ever Fine Services Sdn Bhd teletak berhampiran dengan stesen LRT Masjid Jamek, menjadikan ia lebih mudah dihubungi terutama dengan pengangkutan awam berbanding ke Kedutaan Myanmar.

Sebelum memohon visa tersebut, perlu mengisi borang permohonan terlebih dahulu. Borang tersebut tersedia di pejabat tersebut, atau boleh memuat naik borangnya di sini. Kita boleh memohon bagi pihak orang lain tanpa perlu membawa orang tersebut, kerana tiada pengambilan biometrik dibuat seperti permohonan visa India.




Bagi memohon visa secara biasa, boleh pergi ke alamat di bawah:

Alamat pejabat:

Ever Fine Services Sdn Bhd:
No.19-21, Mezzanine Floor,
Jalan Tun Perak,
50000 KUALA LUMPUR

Telefon: +603-2026 4075

Waktu perniagaan: Isnin - Sabtu 8:00 pagi sehingga 5:30 petang.

Harga bayaran visa pelancong adalah sebanyak RM141.80 (termasuk caj perkhidmatan (RM30.00) dan GST (RM1.80)).

(Kemas kini 02 Februari 2017: Mulai 05 Disember 2016, bayaran visa pelancong telah dinaikkan kepada RM223.00 (termasuk caj perkhidmatan (RM50.00) dan GST (RM3.00) juga)! Bagi kadar bayaran visa jenis lain boleh scroll ke bawah untuk melihat gambarnya).


Jika sudah sampai di kawasan sekitar stesen LRT Masjid Jamek di Jalan Tun Perak, perlu mencari papan tanda Happy Holiday Hotel yang berada di sebelah cawangan 7-Eleven / Burger King atau setentang dengan cawangan McDonald's.


Setelah menjumpai Happy Holiday Hotel, masuk ke dalamnya dan menaiki ke satu aras di atas iaitu aras mazennine sama ada menggunakan lif (tekan tingkat 1) atau memanjat tangga sebanyak satu tingkat.




Akhirnya sampai juga di pejabat visa Myanmar ini. Pergi ke kaunter pertanyaan dahulu dan anda akan diperiksa dokumen sokongan bagi permohonan visa agar lengkap dan betul. Sambil itu, jika tiada borang, boleh memintanya di situ.



(Kemas kini 02 Februari 2017: Mulai 05 Disember 2016, kadar bayaran visa pelancong telah dinaikkan! Sila lihat gambar di bawah untuk kadarnya).



DOKUMEN SOKONGAN BAGI PERMOHONAN VISA MYANMAR - PELANCONG 

1. Pasport Antarabangsa Asal yang sah laku sekurang-kurangnya 6 bulan dari tarikh luput. Pastikan ada 2 muka surat kosong.

2. Satu salinan muka surat maklumat diri pasport. (Jika tiada boleh menggunakan kemudahan fotostat di situ tetapi cajnya mahal sedikit).



3. 2 keping gambar diri bersaiz pasport (35 mm x 50 mm) berlatar belakang putih. (Jika tiada gambar, ada perkhidmatan mengambil gambar di pusat ini. Jika membawa gambar bukan berlatar belakang putih, perkhidmatan menyunting gambar kepada latar belakang putih juga ada dengan bayaran RM10.00).

4. Borang yang telah siap diisi. Jika tiada hotel atau penginapan, boleh mencari nama mana-nama hotel di Myanmar untuk diisi di borang berkenaan.

5. Bayaran RM141.80 bagi setiap visa pelancong Malaysia. Untuk kadar visa lain atau bagi warganegara lain, boleh rujuk gambar di atas.

Tidak perlu lagi untuk menyediakan salinan tiket penerbangan dan tempahan hotel untuk visa pelancong.




Setelah lengkap semuanya, barulah petugas pusat visa ini memberikan nombor giliran. Biasa kita tidak perlu menunggu lama untuk dilayan. Apabila dipanggil, segera ke kaunter berkenaan, berikan pasport dan dokumen sokongan untuk dimasukan dalam sistem. Jika permohonan lebih dari satu pasport, petugas akan menanyakan sama ada hendak dibuat satu resit bagi semua permohonan atau resit berasingan. Setelah itu, perlu menunggu nombor dipanggil untuk pembayaran. Resit pembayaran akan diberikan selepas pembayaran dibuat. Setelah itu selesai. Pastikan resit itu disimpan untuk pengambilan pasport nanti, jangan hilangkan.

Jika permohonan anda dibuat sebelum pukul 11:00 pagi bagi hari Isnin hingga Jumaat, pasport bervisa anda sudah boleh diambil pada pukul 4:30 hingga 5:30 petang pada hari yang sama. Namun jika setelah itu dan permohonan hari Sabtu, hanya boleh diambil pada hari perniagaan berikutnya.

Permohonan saya hanya mengambil masa kurang setengah jam sahaja, itu pun kerana terdapat penyuntingan gambar salah seorang ahli rombangan kembara kami ke Myanmar yang gambarnya berlatar belakangkan berwarna biru. Amat mudah dan cepat.


Oleh kerana permohonan saya adalah sebelum pukul 11:00 pagi maka pasport-pasport sudah boleh diambil pada petangnya. Setelah habis waktu pejabat, saya segera ke pusat visa Myanmar ini dan terus ke mana-mana kaunter untuk mengambil pasport-pasport. Inilah rupa visa yang sudah siap.


Jadi, itu serba sedikit perkongsian tentang permohonan visa Myanmar. Semoga ia membantu anda semua.



Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan...



Click here if want to read in English version.

Hari 5 & 6 (Delhi & Agra, India - 30 April hingga 05 Mei 2015) - अलविदा इंडिया (Alavidā (Selamat Tinggal) India).

Dari Hari 4.

Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • PreJourney;
  • Itinerary;
  • Day 1;
  • Day 2;
  • Day 3;
  • Day 4; or 
  • Day 5 & 6 (this part). 




04 Mei 2015 (Isnin)

Pagi ini kami hampir terlepas solat subuh. Mungkin kerana kepenatan semalam atau keadaan bilik yang diberikan lebih selesa dari diberikan tempohari. Juga bilik kami kali ini tidak mempunyai tingkap. Jadi mungkin kami tidak sedar keadaan luar juga tidak kedengaran azan Subuh. Nasib baik saya ada tepuk bantal.

Pagi ini tidak ada aktiviti sangat, cuma kami akan mengemas beg kerana kami perlu daftar keluar pada pukul 12:00 tengahari ini. Isteri saya memanggil untuk sarapan percuma kami dan saya keluar sebentar untuk membeli jus buah yang pekat di kedai berhampiran. Sambil itu mengambil surat khabar percuma yang dibekalkan pihak hotel (yang mana perlu diambil di kaunter). Sambil-sambil itu, menonton televisyen.

Hampir pukul 12:00 tengahari, kami pun mendaftar keluar dan kemudian menuju ke hotel Zhafran untuk menumpang beg, kerana penerbangan pulang ke tanah air adalah pada pukul 10:30 malam, banyak masa. Kalau nak galas beg untuk sepuluh jam tu mahu roboh bahu, huhuhu.




Zhafran kemudian mengajak kami untuk minum-minum di kafe berhampiran. Kafe ini agak unik kerana ia terletak di tingkat atas bangunan, jadi dapat melihat aktiviti sekitar Main Bazar, Paharganj ini.


Memang sibuk suasana di Main Bazar ini. Waktu tengahari pun agak ramai yang mundar-mandir di kawasan ini. Oleh kerana ketinggian kafe ini, saya dapat lihat sarang burung helang di atas tiang lampu berhampiran kafe ini.



Setelah itu, Zhafran pulang ke biliknya dan kami pula meneruskan jalan-jalan di Main Bazar ini untuk membeli beberapa barang untuk dijadikan cenderahati. Walaupun panas namun perlu juga kerana inilah masa yang ada. Harga barangan di sini agak murah, maklumlah kawasan tumpuan pelancong terutama backpackers. Kami sempat membeli beberapa barangan sebagai tanda kenangan.





Kami kemudian pulang ke bilik Zhafran untuk memasukan barangan yang telah dibeli ke dalam beg. Kami rehat kira-kira sejam setengah.

Zhafran kemudian mengajak kami ke Chadni Chowk untuk makan buat kali terakhir di sana. Sampai di sana, kedai utama Jawahar dan semua kedai Karim's telah tutup. Cuma yang dibuka adalah kedai lama Jawahar. Jadilah, dapat kami makan untuk alas perut sehingga sampai tanah air.




Setelah selesai makan, kami pun ke hotel Zhafran kerana masa sudah masuk pukul 7:00 malam. Kami bersolat dahulu dan kemudian kami meminta diri untuk ke lapangan terbang. Terima kasih kepada Zhafran atas semua bantuan yang diberikan. 


Kami berjalan ke stesen Metro Delhi Airport Express yang berasingan dengan stesen Metro Delhi yang biasa. Untuk ke sana, kami dengan selamba memasuki stesen keretapi New Delhi walaupun kami tiada tiket keretapi mahupun tiket platform. Dengan melepasi tapisan keselamatan polis, akhirnya kami berjaya melalui jalan pintas ini alhamdulillah.




Stesen Metro ini agak bersih, agak besar tetapi agak kurang orang. Macam biasa, untuk memasuki kawasan awam di New Delhi ini, akan ada kawalan keselamatan dahulu. Diri kita dan beg akan diimbas, baru boleh masuk. Seterusnya kami ke kaunter tiket untuk membeli tiket. Tiket berharga ₹100 (+- RM6.00) untuk setiap orang. Agak murah juga.





Setelah berjaya membeli tiket Metro ini, kami terus ke bawah menuju ke platform. Kami baru sahaja terlepas tren, namun tren seterusnya akan bertolak sepuluh minit lagi. Tidak mengapa masih banyak masa.


Tujuh minit kemudian, tren pun sampai dari arah lapangan terbang. Kami masuk, boleh tahan moden dan bersih tren ini. Berbeza dengan gerabak keretapi dan bas di Delhi. Selesa pun selesa. Lebih kurang seperti ERL di Kuala Lumpur juga. Alangkah bagus kalau suasana infrastruktur di Delhi dan seluruh India seperti ini.


Selepas bergerak kira-kira 25 minit dan melepasi 4 stesen, maka sampailah kami di Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi, New Delhi, India. Lebih cepat dan selesa berbanding kalau kami menggunakan mod pengangkutan lain seperti bas atau teksi atau auto. Mungkin lebih mahal dan mungkin lambat sampai ke terminal.



Dari stesen ke balai perlepasan perjalanan agak mengambil masa kira-kira hampir sepuluh minit. Bukan kerana jauh, tetapi perlu berjalan berlapis-lapis dan bertingkat-tingkat. Sebelum masuk ke balai pelepasan pun kena siap-siapkan itinerari penerbangan bagi dibenarkan masuk. Agak besar dan selesa serta bersih balai pelepasan ini. Kami segera ke barisan B untuk mendaftar masuk, kerana kaunter telah dibuka ketika itu.


Saya kongsikan wang-wang Rupee India (₹) yang telah saya perolehi disamping yang telah saya perolehi pada awal pengembaraan.


Syiling ₹1 (keluaran tahun 2000) = (+- RM0.06)


Syiling ₹1 (keluaran tahun 2009) = (+- RM0.06)


Syiling ₹2 (keluaran tahun 2013) = (+- RM0.12)


Syiling ₹5 (keluaran tahun 2015) = (+- RM0.30)


Wang Kertas ₹5  = (+- RM0.30)


Wang Kertas ₹20  = (+- RM1.20)



Wang Kertas ₹500  = (+- RM30.00)

Kami mendaftar masuk beg-beg besar kami dan membawa bersama kami beg galas kecil. Kami diberikan teg untuk beg galas kami bagi tujuan pemeriksaan keselamatan.


Selesai sahaja mendaftar masuk, kami terus masuk ke balai imigresen untuk prosedur imigresen. Pemeriksaan imigresen agak efisyen, dan tidak lama. Sejurus selepas pemeriksaan imigresen, adalah pemeriksaan keselamatan. Di sini agak ketat, sampai saya diperiksa beberapa kami. Malah beg saya yang telah diimbas melalui mesin pengimbas x-ray, dibuka, kerana saya terlupa mengeluarkan laptop. Setelah dikeluarkan, beg tersebut diimbas semula. Akhirnya lepas dan teg pada beg saya serta pas pelepasan dicop sahkan. Untuk isteri saya pula, diperiksa oleh polis wanita di dalam ruang tertutup. Alangkah bagus kalau di Malaysia dibuat begini, kurang masalah terlihat aurat. 



Setelah selesai, kami pun meneruskan dan melalui pelbagai kedai-kedai bebas cukai. Tapi agak tidak menarik, mungkin kerana harganya agak mahal. Murah lagi di Malaysia. Kami teruskan perjalanan untuk ke surau. Terdapat surau yang terletak di kawasan contact pier




Surau ini agak besar dan selesa. Kemudahan yang diberikan agak lengkap. Ruang solat lelaki dan wanita dipisahkan. Cuma tempat ambil wuduk wanita tiada dilindungi pandangannya daripada pandangan orang lelaki. 



Setelah selesai, kami segera ke pintu 8B untuk menunggu untuk pelepasan memasuki pesawat. Ketika itu pesawat telah ada di ruang parkir pesawat. Alhamdulillah, tiada penangguhan perjalanan akan dialami. Tepat pukul 10:00 malam (setelah 15 minit menunggu), pintu pelepasan dibuka, dan kami pun memasuki pesawat.


Masuk sahaja pesawat, rupa-rupanya baru sedar bahawa tempat duduk kami adalah di belakang sekali. Masa datang di depan sekali, balik di belakang sekali. Macam ada maksud sahaja, huhuhu. Insya Allah akan datang lagi ke benua kecil ini. Pesawat Malindo Air OD206 akhirnya tepat masa meninggalkan bumi Delhi ini. Alavidā India!


Sepanjang perjalanan, suasana agak bising. Maklumlah, rasanya kami sahaja orang bukan warganegara India di alam pesawat itu selain krew pesawat. Nasib baik layanan pramugari Malindo Air ini baik. Kami pun dapat memilih makanan dan dapat hidangan daging, alhamdulillah. Selepas 45 minit penerbangan, kami pun dapat tidur.


05 Mei 2016 (Selasa)


Kami terbangun ketika sejam sebelum pesawat tiba di KLIA2. Kelihatan langit pun sudah nampak sinaran matahari. Akhirnya pada jam 6:00 pagi, pesawat selamat mendarat di landasan ketiga KLIA.


Pesawat diparkir di pier L, alhamdulillah dekat sahaja dengan tempat mengambil beg. Kami berjalan dan membuat prosedur imigresen di auto gate. Semasa sampai di tempat mengambil beg, beg belum sampai lagi, jadi kami bersolat Subuh di surau berada di situ. Tepat apabila saya usai solat, dan kembali ke tempat ambil beg, barulah sampai beg kami. Jadi saya menunggu isteri saya, yang selesai tidak lama kemudian dan terus ke parkir motorsikal untuk mengambil motorsikal kami. Bayaran parkir cuma RM5.00 sahaja untuk 5 hari parkir.



Seterusnya kami menunggang pulang ke rumah. Keadaan sepanjang perjalanan agak kurang sesak, kerana kami sampai sebelum waktu puncak. Sebelum sampai ke rumah, kami singgah ke Jalan Dua, Sungai Besi untuk makan soto di gerai Sinarnor. Akhirnya kami sampai ke rumah pada jam 8:30 pagi.

Begitulah sedikit pengalaman perjalanan kami untuk melihat Taj Mahal. Diharapkan ia dapat menjadi insirasi dan rujukan anda untuk ke situ. Saya sebenarnya berharap untuk ke India lagi pada masa akan datang. Insya Allah saya akan mencoretkan perjalanan saya dan sahabat-sahabat saya ke Yangon, Myanmar pada bulan Ogos 2015.


Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan...


Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • PreJourney;
  • Itinerary;
  • Day 1;
  • Day 2;
  • Day 3;
  • Day 4; or 
  • Day 5 & 6 (this part).