Ahad, 30 September 2018

Singapura - 25 September 2018 - Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Terbaik Di Dunia!

Bersambung dari Pra Kembara.

Jika mahu lihat catatan: 


If want to read in English: 

  • PreJourney; 
  • Itinerary;
  • Journey (this part).

Taman Bunga Matahari di LTA Changi.


Panduan:
$ = Dollar/Ringgit Singapura (SGD @ SG$ @ S$), matawang Singapura. Secara amnya, kadar tukaran: S$1.00 = RM3.10 atau RM1.00 = S$0.32.

Petunjuk: Waktu di Singapura adalah UTC +8 iaitu sama dengan waktu Malaysia (UTC +8).



25 September 2018 - Selasa.


Perjalanan kali ini luar dari kebiasaan, kerana kebiasaannya, saya akan memulakan perjalanan seawal pagi beberapa jam sebelum solat subuh. Kali ini, memandangkan penerbangan saya hampir kepada waktu tengahari, maka saya pun sempat bersolat subuh di rumah. Cuma mungkin saya akan keluar lebih awal untuk mengelak kesesakan lalu lintas dan tidak tergesa-gesa di klia2 nanti. Juga, sebenarnya saya ingin bersarapan di lounge Plaza Premium Lounge. Jadi perlu mengambil pas pelepasan terlebih dahulu sebelum boleh masuk ke dalam lounge.

Selepas bangun seperti biasa, membersihkan diri dan bersolat subuh, saya mengemas dan memeriksa beg galas yang akan dibawa, agar tidak ketinggalan barang. Tepat jam 07:00 pagi, saya menghantar anak lelaki sulung saya ke sekolah dengan menaiki motorsikal dan seterusnya terus menuju ke KL Sentral setelah menurunkan anak saya di depan pintu sekolah.

Perjalanan ke KL Sentral agak sedikit lambat, kerana kenderaan agak banyak, tatkala waktu ini adalah waktu puncak untuk orang pergi kerja. Biasa cuma mengambil masa 10 ke 15 minit, kali ini lebih sikit dua kali ganda. Akhirnya saya tiba di Brickfields sekitar pukul 07:30 pagi. Saya parkir motorsikal saya di situ, kemudian menyeberang jalan (hendak cepat, jika menaiki jejantas di Nu Sentral akan ambil masa, cuma jangan ikut cara ini demi mengelak disaman atau keselamatan anda) untuk ke stesen bas KL Sentral. Saya terus ke kaunter SkyBus untuk menukar resit yang diemelkan kepada tiket sebenar dan terus menaiki bas. Alhamdulillah, sempat juga saya menaiki bas yang dijangka bergerak jam 07:40 pagi. Saya antara orang-orang terakhir, tempat duduk saya pun di belakang. Bas ini kemudiannya meninggalkan KL Sentral pada pukul 07:43 pagi menuju ke klia2.

Bas ini tiba di stesen bas klia2 pada jam 08:30 pagi, saya terus turun dari bas dan meluru ke balai berlepas. Sampai di balai berlepas, saya melihat papan maklumat penerbangan, melihat penerbangan Scoot TR453 akan berlepas di pintu pelepasan L3 dan sebelum itu perlu ke barisan kaunter daftar masuk Z untuk proses daftar masuk. Saya pun ke barisan Z untuk tujuan tersebut, namun bila tiba di sana ia belum dibuka. Jadi ada masa untuk melunaskan hajat terlebih dahulu.

Selepas tunai hajat, saya terus kembali ke barisan Z, dan mendapati kaunter daftar masuk bagi Scoot adalah dari kaunter Z1 ke Z3. Nasib baik saya sempat melihat maklumat kaunter daftar masuk melalui laman web klia2. Ini kerana kaunter daftar masuk penerbangan JetStar Asia, juga salah satu syarikat penerbangan berpusat di Singapura, yang mana terdapat juga penerbangan pada waktu hampir sama, juga di barisan Z, iaitu di kaunter Z4 hingga Z6. Tetapi kaunter JetStar dapat diketahui kerana terdapat logonya di tempat beraturnya, tidak bagi Scoot. Saya pun mengambil kesempatan untuk beratur, kerana tiada siapa yang beratur. Baik-baik saya orang pertama beratur, terdapat seorang ini terus beratur di depan saya, memang dasar kiasu, tidak menghormati saya dan orang-orang lain di belakang saya yang telah beratur awal. Saya menegur tetapi dia buat bodoh. Takut hilang mood pagi, terpaksa saya kawal agar tidak menegurnya lagi, takut nanti dalam pesawat, kami duduk sebelah menyebelah. (Dia memakai baju berwarna merah jambu dalam gambar (*) di bawah).

Giliran saya dipanggil untuk daftar masuk, saya ke kaunter Z1. Saya diberikan tempat duduk 13C, iaitu di pintu kecemasan tengah. Dapat juga merasa ruang kaki yang luas sedikit, walaupun penerbangan yang tidak sampai sejam. Alhamdulillah. Setelah mendapatkan pas pelepasan, saya pun terus ke pintu berlepas untuk masuk ke airside, dengan melakukan urusan imigresen dan kastam. Seterusnya saya ke sayap L dengan melalui pemeriksaan keselamatan lapangan terbang dan setelah itu ke lounge Plaza Premium Lounge yang terletak di depan pintu L5, tidak jauh dari pintu pelepasan penerbangan saya, iaitu L3. Saya pun bersarapan di sini dengan agak berat juga, kerana terdapat empat hidangan sarapan (laksa kari, mee sup herba cina, mee kering cina dan hotdog), di samping roti pelbagai jenis dan salad. Sempat juga saya mengecaj telefon saya di sini.

Jam 11:00 pagi, saya pun ke pintu pelepasan L3 yang untuk pendaftaran pra pelepasan. Sudah ramai yang sudah masuk rupanya. Jadi kerana sudah tiada tempat duduk kosong, saya berdiri berhampiran pintu pelepasan sahaja. Akhirnya pintu pelepasan di buka pada pukul 11:10 pagi. Proses masuk ke pesawat agak perlahan sedikit, kerana ramai penumpang membawa bagasi tarik sebagai bagasi kabin, jadi ruang penyimpanan bagasi agak penuh, jadi keadaan agak kelam kabut sedikit. Ini menyebabkan proses pelepasan agak perlahan. Pesawat 9V-TAN yang menjadi pesawat penerbangan Scoot TR453 ini hanya membuat pushback (gerakan meninggalkan bangunan terminal) pada pukul 11:41 dan hanya berlepas meninggalkan landasan terbang 15/33 KLIA ini pada jam 11:53 pagi, lewat sedikit dari yang dijadualkan.

Pertama kali merasi tempat duduk di sebelah pintu kecemasan ini, di mana-mana penerbangan. Agak luas sedikit ruang kakinya, tidak perlu bangun apabila penumpang di sebelah hendak keluar. Oh, tempat saya ini iaitu 13C ini berada di sebelah lorong. Saya tidak menempah makanan, kerana harga makanan di Scoot ini agak mahal, boleh beli 3 atau 4 hidangan di dalam penerbangan AirAsia, juga terdetik kewas-wasan kerana ada hidangan berasaskan daging babi terpapar di dalam ruang penempahan penambahan di webnya. Juga saya masih merasa kenyang lagi. 

Jadi untuk "membunuh" masa, saya membaca sahaja bahan bacaan yang ada seperti majalah Scoot, katalog bebas cukai Scootalogue dan menu makanan Scoot Menu. Patutlah tiada versi web bagi majalah Scoot, ia boleh dibawa pulang rupanya. Saya juga menyasarkan untuk membeli model pesawat A320 Scoot skala 1:200 ketika penerbangan pulang nanti.

Semasa penerbangan juga, pembantu penerbangan mengedarkan borang imigresen untuk diisi. Saya mengambilnya, walaupun sebenarnya saya sudah siap-siap mengisinya, untuk menambah stok borang bagi kemasukan ke Singapura pada masa mendatang.

Oleh kerana saya duduk di sebelah lorong, maka saya tidak dapat melihat keadaan luar pesawat semasa penerbangan. Rasa seperti sekejap sahaja, arahan untuk bersiap bagi pendaratan pun kedengaran. Tepat jam 12:33 tengahari, pesawat ini selamat mendarat di landasan 02L/20R Lapangan Terbang Antarabangsa (LTA) Changi, Singapura (SIN). Penerbangan TR453 ini akhirnya berakhir apabila tiba di pintu F37 pada pukul 12:50 tengahari, lewat sikit daripada jadual. 

Tiket Bas Shuttle Skybus.

Papan Maklumat Pelepasan di Balai Berlepas klia2.

Maklumat Pelepasan Penerbangan TR453 di Balai Berlepas klia2.

Kaunter Z1 hingga Z3 yang menjadi kaunter daftar masuk Scoot di klia2(*).

Lounge Plaza Premium Lounge di Sayap L klia2.

Pintu L3 klia2.

Papan maklumat di pintu L3 klia2.

Tempat duduk 13C (paling depan) pesawat 9V-TAN milik Scoot.

Majalah Scoot.

Menu Scoot Cafe.

Katalog Scootalogue.

Borang imigresen Singapura.

Peta Penerbangan TR453 25 September 2018 daripada FlightRadar24.

Pintu dibuka kira-kira lima minit kemudian, dan saya terus ke bergegas ke kaunter imigresen (berjalan (termasuk di atas travelator) kira-kira hampir lima minit. Sebelum itu, saya ternampak kiosk untuk mendapatkan pin WiFi percuma LTA Changi ini sebelum kaunter imigresen, dengan mengimbas pasport kita di pengimbas. Slipnya akan keluar dengan kodnya selepas itu. 

Selepas itu, saya terus ke kaunter (tidak perlu ke meja pengisian borang imigresen kerana sudah siap), ada kira-kira lima atau enam kaunter yang buka dan di barisan saya terdapat dalam 6 ke tujuh orang di depan saya. Jadi semasa saya menunggu giliran, sempat saya masuk ke dalam sistem WiFi LTA Changi ini. Huh, rupanya tidak perlu mengambil kod di kiosk tadi pun tidak mengapa, kerana kod boleh dihantar melalui sistem SMS sahaja. Juga semasa berjaya masuk untuk akses internet, dimaklumkan ia hanya untuk 3 jam sahaja, jika mahu akses internat 24 jam, perlu muat turun aplikasi telefon pintar iChangi yang boleh didapati  di Google Play Store dan Apple App Store. Jadi saya pun muat turunnya, namun  tidak terus membuka aplikasi ini.

Urusan imigresen selesai dalam masa 10 minit, saya terus melintasi kawasan pengambilan bagasi dan tiba di lorong kastam, pegawai kastam menyuruh saya lalu sahaja, dan selepas itu saya tiba di balai ketibaan.

Tiba di balai ketibaan, saya terus mencari tanda arah ke arah stesen MRT. Sebenarnya saya sudah tahu kerana ini bukan pertama kali saya tiba di Terminal 2 LTA Changi ini, di mana saya pernah melaluinya pada kembara saya ke Batam dan Bintan pada Mei 2014 dulu. Tapi manalah tahu, ada perubahan kah, maklumlah selang empat tahun, harus ada perubahan. Tapi arah ke stesen MRT Changi Airport masih sama, iaitu ke arah kanan selepas keluar dari pintu airside

Dalam perjalanan, sempat saya melihat, ruang menunggu untuk bas shuttle ke Terminal 4 LTA Changi ini dan juga barisan mesin-mesin ATM termasuk mesin ATM Maybank Singapura. Tidak mengapa, itu agenda kemudian, ketika itu agenda saya adalah untuk menaiki MTR untuk ke Masjid al-Taqua, Bedok, Singapura, iaitu masjid komuniti terdekat dengan LTA Changi, rasanya.

Apabila sampai ke stesen MRT, saya mengeluarkan ketiga-tiga kad Autopass yang ada saya bawa. Kad Autopass ini adalah kad yang digunakan untuk membayar permit kemasukan kenderaan ke Singapura yang ada saya sentuh di dalam blog ini melalui artikel Petua: Bagaimana Untuk Membawa Masuk Kenderaan Ke Singapura Melalui Pintu Masuk Darat (Woodlands & Tuas). Seumpana, kad Autopass ini seperti pasport bagi kenderaan untuk memasuki Singapura. Ia juga mempunyai ciri NETS FlashPay yang berfungsi seperti Touch n Go Malaysia. Saya suka menggunakannya kerana kita akan mendapat kemudahan tambang lebih murah berbanding tunai dan juga dengan kad ini, diskaun akan diberikan untuk menaiki pengangkutan awam lain, jika ia digunakan dalam tempoh terdekat (biasanya 30 minit).

Saya memeriksa baki kad-kad tersebut (bukan semua kad kereta saya, ada kad yang saya gunakan untuk membawa masuk kenderaan orang lain tetapi menggunakan wang saya) di mesin kegunaan am di stesen MRT. Jadi saya boleh pastikan kad mana yang saya boleh gunakan, juga baki kad, agar saya dapat gunakan secara optimum di perjalanan saya kali ini. Mungkin kurang sikit penggunaan tunai atau kad kredit.

Setelah itu, saya pun memasuki kawasan berbayar sistem MRT ini dengan menyentuh salah satu kad Autopass di mesin pengimbas di pintu masuk (perlu pastikan kad tersebut, kerana kad yang sama perlu disentuh kembali di mesin pengimbas di pintu keluar nanti, jangan salah kad pula). Alhamdulillah, terdapat satu tren sedang menunggu dan sebaik sahaja saya masuk, pintu tren pun ditutup.

Stesen Changi Airport ini berada di dalam laluan Timur Barat (East West Line - EWL) yang dikendalikan oleh syarikat SMRT Corp. Saya kemudiannya turun dan keluar di Stesen Tanah Merah yang hanya dua stesen dari Stesen Changi Airport dengan tambang yang ditolak dari kredit kad saya sebanyak S$1.16 (+- RM3.60), ia lebih murah dari menggunakan wang tunai, kira-kira S$1.90 (+- RM5.89). Kemudian saya keluar melalui pintu keluar B dan ke perhentian bas yang berada sebaik keluar dari pintu keluar stesen MRT. Di Singapura ini, setiap perhentian bas mempunyai kod bernombor yang khas bagi pengenalan perhentian bas ini, contohnya bagi perhentian bas ini ia diberikan kod nombor 85091. Jadi ia memudahkan bagi kita untuk mengetahui maklumat tentang perhentian bas ini terutama dari segi laluan bas dan tambangnya.

Dari perhentian itu, saya mengambil bas nombor 14 yang tiba tidak lama selepas itu. Di perhentian bas ini, memnag terdapat maklumat perkhidmatan bas yang melalui perhentian ini dan juga kita boleh mengetahuinya juga melalui laman web Penguasa Pengangkutan Darat (Land Transport Authority - LTA), syarikat bas atau pun menggunakan aplikasi Google Maps pun sudah memadai. Saya berhenti 3 perhentian selepas itu iaitu di perhentian 85029 aft Bedok Meth Ch, dengan nilai ditolak dari kad saya sebanyak S$0.07 (+- RM0.22) sahaja. Jika tidak menggunakan kad, saya kena bayar S$0.77 (+- RM2.39)! Ingat, kad ini perlu disentuh di mesin pengimbas di pintu-pintu bas semasa masuk dan juga semasa hendak keluar daripada bas.


Mini taman I Love SG.


Peta: Terminal 2 LTA Changi.

Slip kod WiFi LTA Changi.



Aplikasi telefon bimbit iChangi dari Google Play Store.

Cop masuk ke Singapura.


Kad Autopass yang mempunyai ciri NETS FlashPay.

Keadaan di dalam MRT Laluan Timur Barat (East West Line - EWL).


Peta: Stesen MRT Changi Airport ke Stesen MRT Tanah Merah.

Perhentian bas 85029 af Bedok Meth Ch, perhentian terdekat ke Masjid al-Taqua.

Saya berjalan kaki dalam 200 meter untuk ke Masjid al-Taqua, Bedok, Singapura ini. Masjidnya ringkas sahaja namun kemudahan agak lengkap. Kekemasan pembinaannya agak bersih, tiada kecacatan binaan boleh didapati, setakat di mana sayalah. Asalnya, saya hendak mengejar untuk solat jemaah Zohor, tapi tidak sempat. Jadi saya pun solatlah bersendirian. 

Pelbagai kemudahan boleh didapati di masjid ini. Malah terdapat sebuah bilik atau dewan khas untuk belia membuat aktiviti di sini. Satu lagi dilihat, selain wang tunai, bagi yang mempunyai akaun bank Singapura, sumbangan boleh dibuat secara aplikasi telefon bimbit dengan kod QR terpampang di segenap tempat terutama di tabung-tabung. Apabila melihat di papan kenyataan, memang agak banyak juga aktiviti-aktiviti dijalankan oleh masjid ini. Papan tanda peringatan ayat al-Quran dan hadith Nabi yang berkaitan juga ada di semua sudut ruang masjid ini.

Suasananya agak nyaman juga di masjid ini. Walaupun kejiranannya bukan semuanya muslim, malah terdapat gereja Methodist dan juga pusat aktiviti masyarakat berdekatan, memang agak tenang. Kemudahan tandas dijaga dan bersih, tiada pili rosak dan pintu pecah. 

Setelah usai bersolat, saya pun menyerahkan sedikit sumbangan (daripada amanah rakan-rakan dan saya sendiri) dalam matawang Dolar Singapura dan juga Ringgit Malaysia ke dalam tabung masjid. Semoga sumbangan kecil kami ini dapat membantu pembangunan dan kegiatan masjid ini, insya Allah.

Setelah urusan saya selesai, saya pun berjalan ke perhentian bas berdekatan iaitu 85021 Country Park untuk mengambil bas nombor 14 untuk kembali ke Stesen MRT Tanah Merah menerusi perhentian bas 85099 Tanah Merah Stn Exit A iaitu sama juga, sebanyak 3 perhentian, dengan tambang yang ditolak dari kad saya sebanyak S$0.77 (+- RM2.39). Kemudian kembali ke LTA Changi dengan menaiki MRT dengan tambang yang dicaj pada kad saya sebanyak S$0.46 (+- RM 1.43).


Peta: Perjalanan menaiki bas dari Stesen MRT Tanah Merah ke Masjid al-Taqua.


 Masjid al-Taqua, Bedok, Singapura.

Bilik Belia di Masjid al-Taqua.

Pembayaran sumbangan kepada Masjid al-Taqua dengan menggunakan kod QR (untuk yang mempunyai akaun bank Singapura sahaja).

Plak perasmian semula bangunan Masjid al-Taqua yang telah dibina semula.

Ruang solat Masjid al-Taqua.

Video (YouTube): Sumbangan kepada Masjid al-Taqua, Bedok, Singapura.

Pelan Masjid al-Taqua.

Perhentian Bas 85099 Tanah Merah Stn Exit B.

Pintu Masuk B Stesen MRT Tanah Merah.

Sampai di stesen MRT, saya macam hilang arah sikit. Saya asalnya hendak kembali ke Terminal 2, tetapi saya ke Terminal 3 pula.  Jadi jalan-jalanlah ke balai berlepas, kemudiannya naik ke aras 3 untuk ke ruang tinjau. Dalam perjalanan tersebut, dapatlah melihat juga balai ketibaan dari atas. Memang Terminal 3 ini agak cantik dan besar. Di sini baru saya sedar, yang sepatutnya saya ke Terminal 4 dahulu, kerana Terminal ini saya belum pernah jejak, kerana ia baru sahaja di buka pada 31 Oktober 2017. Jadi saya kembali ke Terminal 2, melalui laluan bawah tanah (atas stesen MRT Changi Airport), untuk ke perhentian bas shuttle ke Terminal 4, yang terletak di Balai Ketibaan (aras 1) Terminal 2 LTA Changi. 

Sampai di kawasan menunggu bas shuttle berkenaan, perlu menunggu 7 minit lagi. Jadi saya mengambil kesempatan ke mesin ATM Maybank Singapura untuk mengeluarkan sedikit wang. Saya memang sudah mengaktifkan ciri pengeluaran antarabangsa pada kad ATM Maybank saya memenerusi perbankan internet Maybank2u Malaysia. Rupa-rupanya, lebih baik jika ke Singapura untuk mengeluarkan wang di mesin ATM Maybank Singapura berbanding cara lain (seperti menukar wang sama ada di Malaysia atau Singapura atau di pengeluaran mesin ATM bank lain atau menggunakan kad debit/kredit) kerana kadarnya terbaik, S$10.00 cuma ditolak RM30.66 sahaja. Jika membuat tukaran Ringgit Malaysia ke Dolar Singapura pada hari sebelum saya pergi ini, kadar pertukaran S$10.00 = RM3.12 di beberapa pengurup wang di Kuala Lumpur.

Setelah mengeluarkan wang tersebut, saya terus ke kawasan menunggu bas shuttle ke Terminal 4, dan bas tiba tidak berapa lama kemudian. Boleh terus naik sahaja, tiada perlu bukti apa-apa seperti tempahan penerbangan dari Terminal 4 dan sebagainya. Sesiapa sahaja boleh menaiki bas ini. Buat masa ini, inilah satu-satu cara ke Terminal 4 dari terminal-terminal lain di LTA Changi, jika dari landside. Perkhidmatan yang sama juga di sediakan di dalam kawasan airside iaitu perlu ke pintu F52. Perjalanan dari Terminal 2 ke Terminal 4, mengambil masa kira-kira 10 minit. 

Sampai di Terminal 4, saya memasuki balai berlepas, dan mula melihat kecanggihannya. Urusan tuntutan cukai dilakukan dengan menggunakan kiosk sahaja. Kaunter tetap ada, cuma ada satu sahaja, itu pun hanya untuk memantau operasi kiosk sahaja. Seterusnya, saya melihat proses daftar masuk dibuat secara automatik sepenuhnya, tiada petugas manusia diperlukan, kecuali di kaunter khas di hujung, di mana, petugas memantau jika ada sebarang kesukaran berlaku untuk membantu penumpang. Daripada proses daftar masuk, membuat label dan tag dan seterusnya proses daftar masuk bagasi, semuanya dibuat secara layan diri.

Seterusnya saya ke kawasan penumpang membuat urusan imigresen. Juga dibuat secara automatik dengan kiosk sahaja. Langkah saya sampai situ sahaja, kerana saya tidak boleh masuk ke kawasa airside (sebenarnya boleh sahaja, kerana saya telah mempunyai pas pelepasan Scoot untuk penerbangan pulang yang dicetak sebelumnya, cuma saya belum tahu pada masa itu, yang ada perkhidmatan bas shuttle di kawasan airside juga). Banyak tarikan di Terminal 4 ini berada di dalam airside kecuali beberapa arca di balai berlepas.

Namun tarikan arca "Petalcloud" yang tergantung di atas kawasan pengambilan bagasi di balai ketibaan yang boleh dilihat dari balai berlepas. Sungguh menarik apabila arca ini seolah-olah menari mengikut alunan lagu yang tenang. Memang menarik betul. Kalau ada masa memang saya hendak duduk di sini melihat arca ini sahaja.

Kemudian saya turun ke aras 1 di bawah untuk ke balai ketibaan, kerana perhentian bas shuttle adalah di hujungnya. Sempat juga saya ke kedai serbeneka Cheers untuk membeli apa yang boleh menghabiskan nilai di dalam salah satu kad Autopass yang dibawa saya. Terdapat nilai S$2.90 (+- RM8.99) di dalamnya. Setelah dilihat, saya membeli Heaven and Earth Jasmine Green Tea 500 ml yang berharga S$2.60 (+- RM8.60), agak mahal bagi saya, tetapi itulah harga kebiasaan di Singapura ini. Asalkan kad saya berkurang dan kini cuma tinggal S$0.30 (+- RM0.93) sahaja.

Seterusnya saya pun menaiki bas shuttle yang baru tiba untuk kembali ke Terminal 2.

Peta: Terminal 3 LTA Changi.

Balai Ketibaan Terminal 3 LTA Changi dari Balai Berlepas.

Balai Berlepas Terminal 3 LTA Changi.

Airside Terminal 3 LTA Changi

Ruang Tinjau Terminal 3 LTA Changi.

Mesin ATM Maybank Singapura di Balai Ketibaan Terminal 2 LTA Changi.

Resit Pengeluaran Wang Maybank Singapura di Terminal 2 LTA Changi.


Pintu ke perhentian bas shuttle ke Terminal 4 LTA Changi di Terminal 2.

Bas shuttle Terminal 2 <-> Terminal 4, LTA Changi..


Peta: Terminal 4 LTA Changi.

Kiosk daftar masuk (tiada kaunter) di Terminal 4 LTA Changi.


Video (YouTube): Arca Bergerak "Petalcloud" di Terminal 4 LTA Changi, Singapura.

Arca Bergerak "Petalcloud" di Terminal 4 LTA Changi, Singapura.

Maklumat tentang Petalcloud.

Resit pembelian minuman di Cheers Balai Berlepas Terminal 4 LTA Changi.

Resit pembayaran menggunakan kad NETS 
di Cheers Balai Berlepas Terminal 4 LTA Changi.

Sebaik sahaja tiba di Terminal 2, bermakna saya kembali memasuki liputan WiFi LTA Changi, satu makluman memaklumkan masa saya untuk menggunakan perkhidmatan internet di LTA Changi makin tamat. Baru saya ingat, bahawa saya perlu membuka aplikasi iChangi untuk mendapatkan akses internet selama 24 jam lagi. Saya pun membuka aplikasi tersebut, terus secara automatik dimaklumkan saya mendapat akses internet untuk 24 jam lagi.

Ada hikmah juga, kerana setelah membuka aplikasi ini, saya dapat melihat tarikan-tarikan yang ada di LTA Changi ini memerusi ruangan tarikan. Jadi saya melihat tarikan di Terminal 2 dahulu. Terdapat pertunjukan seni moden "A Million Times" di balai berlepas (kawasan daftar masuk). Jadi saya naik ke atas untuk ke tempat tersebut. Dalam perjalanan ke situ, dapat saya lihat kawasan daftar masuk Terminal 2 ini. Menariknya, dalam keghairahan Singapura memodenkan pelbagai kemudahan, papan maklumat penerbangan di balai berlepas Terminal 2 ini masih menggunakan paparan teknologi lama yang terkenal sekitar tahun 1980an ke 1990an. Mungkin ada nilai nostalgia dan "antik" di situ.

Tiba di tempat Seni Moden "A Million Time" dilangsungkan, sungguh menarik. Sejumlah muka jam di susun dan setiap muka jam mempunyai dua jarum, seperti kebanyakan jam berjarum lain. Cuma tiada jarum kecil sahaja. Apa yang menarik, jarum-jarum ini akan bergerak seperi menari dan ia amakn menghasilkan corak yang sekata dengan lagu dan juga boleh membentu imej malah wajah juga. Saya berada di sini kira-kira hampir 10 minit juga. Pertunjukan ini berlangsung pada sepanjang masa.

Memandangkan saya berada di balai berlepas Terminal 2, jadi mungkin saya boleh mendapatkan pas pelepasan yang lebih kecil dari pas pelepasan versi web saya. Jadi saya ke barisan kaunter 12 untuk mencetak semula pas pelepasan saya. Saya memilih untuk menggunakan kiosk sahaja, kerana barisan di kaunter Scoot seperti agak ramai orang. Alhamdulillah dapat juga pas pelepasan yang lebih kecil, senang untuk mengendalikannya. Saya terus masuk ke kaunter imigresen untuk urusan imigresen. Sebelum itu terdapat pemeriksaan keselamatan yang perlu dipatuhan, jika kita terpilih untuk diperiksa. Tapi hanya beg sahaja.

Di kaunter imigresen, saya diminta untuk menggunakan kiosk untuk proses urusan keluar dari Singapura. Hendak tidak hendak terpaksalah mengikutinya. Ini bermakna saya tidak akan dapat cop keluar Singapura! Jadi saya ikutlah arahan diberikan. Sebelum memasuki kiosk, pasport kita akan diimbas di luar pintu masuk kiosk. Pada masa sama, di depan kita, masih diproses  urusan orang sebelum kita. Kemudian setelah urusan orang tersebut selesai, kita pula masuk dan diminta untuk diimbas cop jari kita. Selepas itu selesai, dan pintau di buka. Kini kita sudah masuk ke dalam airside LTA Changi di Terminal 2.


Papan Maklumat Penerbangan Terminal 2 LTA Changi.


Video (YouTube): Seni Moden "A Million Times" di Terminal 2 LTA Changi, Singapura (1).


Video (YouTube): Seni Moden "A Million Time " di Terminal 2 LTA Changi, Singapura (2).


Kiosk daftar masuk penerbangan Scoot di Terminal 2 LTA Changi.

Setelah saya masuk ke dalam airside Terminal 2 ini, saya berjalan-jalan dahulu di sekitar Terminal 2 ini. Di sini kita boleh melihat terus kawasan apron dari dalam bangunan terminal. Sambil-sambil itu, saya merujuk kepada aplikasi telefon pintar iChangi untuk tarikan yang ada di situ. Terdapat Taman Bunga Orkid dan juga paling menarik Taman Bunga Matahari. 

Apa lagi, saya segera ke tempat di maksudkan. Kedua-dua tempat ini terletak di bahagian F. Kita akan menjumpai Taman Orkid dan untuk ke Taman Bunga Matahari, perlu menaiki eskalator ke atas. Kita akan menjumpai dek hiburan di mana di sini kita boleh bermain dengan pelbagai jenis permain arked, sehingga terimbau zaman kecil-kecil dekad 1980an hingga awal 2000an. Di sini juga terdapat sebuah panggung wayang dan sebelum itu, kita akan menjumpai jalan masuk ke Taman Bunga Raya.

Apabila masuk sahaja, huh, cerianya saya, melihat seumpama semua bunga-bunga matahari ini menyapa saya dengan rianya. Semuanya menguning, menyempurnakan hari kita. Taman ini berada di kawasan terbuka dan tiada penghawa dingin. Kita akan dapat melihat pergerakan pesawat dari apron di Terminal 2, baik di bahagian E atau bahagian F di sini. Umpama anjung tinjau jugalah.

Rupa-rupanya lepas ini tidak perlu ke negara-negara empat musim untuk melihat musim bunga matahari mengembang atau pun paling dekat ke Lopburi bagi tujuan sama. Kini kita boleh ke Singapura atau lebih tepat ke Terminal 2 LTA Changi untuk melihat bunga matahari. Rasanya saya berada di taman ini dekat 20 minit walaupun suasana agak panas dan hangat juga waktu petang di LTA Changi ini. Tidak mengapa, sudah tahu tempat, maka saya akan ke sini lagi insya Allah. Mungkin datang dengan kapal terbang, balik dengan mod yang lain, maklumlah kos berlepas dari LTA Changi agak mahal, bayaran berkaitan lapangan terbang sahaja sudah dekat RM155.00!


Permandangan apron Terminal 2 dari dalam bangunan terminal.

Menuju ke aras 3 (atas) untuk dek hiburan (juga ke Taman Bunga Matahari).

Taman Bunga Orkid di Terminal 2 LTA Changi.

Taman Bunga Matahari di LTA Changi.

Taman Bunga Matahari di LTA Changi.

Taman Bunga Matahari di LTA Changi.

Video (YouTube): Lagu Matahari oleh Maya.

Setelah puas (atau tidak sebenarnya, huhuhu) dengan bunga matahari (sambil teringat bait-bait lagu Matahari oleh Maya yang terkenal pada tahun 1990an dulu, "Bunga-bunga Matahari..."), kini saya kembali ke aras 2 untuk menaiki Skytrain untuk ke Terminal 3 pula. Kali ini ke Taman Rama-rama pula. Sampai di Terminal 3, perlu berjalan jauh sikit kerana Skytrain berhenti di hujung bahagian A manakala Taman Rama-rama berada di hujung bahagian B. Ia juga terletak di sebelah belakang, balik-balik kedai. 

Saya memilih untuk memasuki pintu masuk aras 3, jadi perlu ke atas, melalui medan selera Terminal 3, kedai serbaneka &-Eleven, dan akan menjumpainya di belakang kedai ini. Agak tersorok juga. Jadi Taman Rama-rama ini merangkumi kawasan tidaklah begitu kecil namun tidak begitu besar juga yang terdapat dua tingkat. Kita juga boleh masuk dari aras 2 (bawah juga). Ingat, taman ini sama seperti Taman Bunga Orkid dan Taman Bunga Matahari, berada di dalam kawasan airside

Agaknya masa kurang sesuai, kerana nampak rama-rama seperti tidak banyak. Mungkin sebab panas petang. Mungkin sebelah pagi akan ada, kerana suasana lebih sejuk. Namun tetap ada walaupun sedikit. Terdapat juga beberapa maklumat dipaparkan untuk tujuan pendidikan kepada pengunjung. Taman ini juga berada di kawasan ruang udara terbuka, namun diluputi jaring agar rama-rama tidak terlepas.

Pintu masuk aras 3 ke Taman Rama-rama, Terminal 3 LTA Changi.

Rama-rama di atas hirisan nenas.

Rama-rama di atas kelopak bunga.


Video (YouTube): Taman Rama-rama di Terminal 3 LTA Changi, Singapura.


Maklumat mengenai Taman Rama-rama LTA Changi.

Pintu masuk aras 2 ke Taman Rama-rama, Terminal 3 LTA Changi.

Setelah sekian masanya di Taman Rama-rama, saya ke platform Skytrain untuk ke Terminal 1 pula yang tidak jauh dari taman itu. Maklumlah, oleh kerana ia percuma, jadi gunakan ia, demi mengurangkan kepenatan kaki anda (sebenarnya malas itu). Sampai di platform Terminal 1, saya terus berjalan sedikit dan terus ke aras atas untuk ke Taman Kaktus pula. Perlu menaiki tangga atau eskalator dan kemudian bila sampai di aras 3, perlu lagi naik memanjat tangga untuk ke Taman Kaktus ini.

Sampai di atas, kelihatan betul-betul seperti padang pasir gurun di benua Amerika sahaja, atau terasa di Lapangan Terbang Las Vegas atau Phoenix atau di Guadalajara sahaja, huhuhu. Perasan, macam pernah pergi sahaja saya ini, pada hal tidak pernah. Macam-macam jenis kaktus ada. Dari kecil sehingga besar. Aloe Vera pun ada. Cuma yang tiada pokok buah naga sahaja. Agaknya nak elak orang datang petik buahnya kot agaknya. Taman ini juga terletak di kawasan terbuka tiada pendingin hawa. Namun terdapat sebuah bar (menjual kebanyakan minuman keras) di sini yang berhawa dingin. 


Platform Skytrain (airside) dari Terminal 3 ke Terminal 1 LTA Changi.

Skytrain LTA Changi..


Peta: Terminal 1 LTA Changi.

Pintu masuk ke Taman Kaktus di Terminal 1 LTA Changi.

Taman Kaktus LTA Changi.

Taman Kaktus LTA Changi.

Taman Kaktus LTA Changi.

Taman Kaktus LTA Changi.

Selepas di Taman Kaktus yang tidaklah lama sangat, sekitar 10 minit, saya pun keluar dan berjalan-jalan sekitar Terminal 1 ini. Perut terasa lapar pula. Kebetulan terjumpa pula platform Skytrain ke Terminal 2 pula. Apa lagi, tunggu sebentar, dan bila Skytrain nya sampai terus naik. 

Sampai di Terminal 2, terus ke medan selera yang berada jauh sikit dari stesen iaitu di bahagian F, kerana stesen di bahagian E, kemudian perlu naik ke atas untuk makan apa yang rasa boleh makan. Perlu diingat, kebanyakan restoran dan kedai makan di Changi (juga di Singapura) adalah tidak halal, kecuali apabila dimaklumkan ia halal dengan dipamerkan logo halal. Jadi agak sukar untuk makan di Singapura sebenarnya, jika kita tidak membuat kajian.

Oleh kerana saya hendak menghabiskan kredit NETS dalam satu lagi kad (saya biarkan satu lagi kad mempunyai banyak nilai kerana ia adalah kad bagi kereta yang sering saya bawa ke Singapura), jadi saya memilih untuk makan set roti bakar + telur separuh masak + kopi yang berharga S$4.80 (+- RM14.88). Namun bila pembayaran dibuat, boleh pula petugas itu kata mesin NETS dia rosak. Aduh, terpaksa saya menggunakan wang tunai. Boleh tahan juga sedap hidangan ini. Berbaloi juga walaupun agak mahal (kerana saya tetap hendak bandingkan dengan Ringgit Malaysia, padahal, ia agak murah kalau di dalam Dolar Singapura). 

Kemudian, di sebelah medan selera ini, terdapat restoran makanan segera McDonald's yang mana terdapat kiosk layan diri automatik dan juga mesin penggunaan kad. Kad NETS juga boleh digunakan, jadi saya pun pesanlah set BigMac + kentang goreng besar + air minuman (saya pilih Coca-Cola) yang berharga S$6.15 (+- RM19.07) yang berada dalam promosi sebenarnya. Jika tidak harga lebih mahal lagi. Jadi saya menggunakan kad NETS FlashPay saya yang kemudiannya berbaki S$0.09 (+- RM0.28) sahaja. Saya bungkus sahaja set itu dan kemudian bawa ia untuk makan semasa menunggu di hadapan pintu pelepasan nanti.


Platform Skytrain (airside) dari Terminal 1 ke Terminal 2 LTA Changi.

Set roti bakar + telur separuh masak + kopi di medan selera Terminal 2 LTA Changi.


Resit pembelian set makanan di medan selera dalam airside Terminal 2 LTA Changi.



Resit pembelian set makanan di McDonald's airside Terminal 2 LTA Changi.

Oleh kerana keadaan di hadapan pintu pelepasan saya iaitu di pintu F35 agak penuh dengan manusia, saya duduk sahaja di kerusi yang mempunyai soket elektrik untuk saya dapat mengecaj sekali telefon dan power bank saya. Sambil itu, dapat saya menikmati bungkusan McDonald's yang saya beli tadi. Jam 6:15 petang, saya lihat pintu pelepasan sudah dibuka untuk pemeriksaan keselamatan. Huh, agak awal juga!

Saya duduk sahaja sambil membaca majalah Scoot yang saya bawa keluar pesawat tadi. Pada pukul 6:50 petang saya lihat barulah surut barisan orang yang hendak membuat pemeriksaan keselamatan dan juga saya lihat di dalam, pintu pelepasan ke dalam pesawat juga sudah dibuka. Saya tunggu sehingga pukul 7:00 malam, apabila pemeriksaan keselamatan hampir kosong barulah saya masuk dan terus masuk ke dalam pesawat. Tempat duduk saya di 30C, iaitu di belakang sekali. Cuma tidak menariknya, sebelah saya, terdapat sepasang pasangan wanita yang perangainya agak kurang menyenangkan saya. Masih tidak tinggal imej kiasu di daratan rupanya. Saya buat tidak tahu, walaupun sakit hati dengan mereka.

Nampak gaya, pengurusan Scoot agak kurang cekap, walaupun agak awal dalam pengurusan awal, namun di dalam pesawat, masih agak perlahan juga. Pesawat hanya buat pushback pada pukul 7:31 malam. Kemudian agaknya menunggu giliran pesawat yang ingin berlepas yang agak banyak, pesawat 9V-TRE hanya berlepas dari landasan 02R/20L LTA Changi pada pukul 7:46 malam.

Walaupun saya cakap pengurusan agak kurang cekap di semasa pelepasan, di udara, pembantu-pembantu penerbangan Scoot agak cekap juga. Terutama bagi penerbangan singkat seperti penerbangan TR466 ini. Masa hanya kurang dari setengah jam untuk segala-galanya, lebih-lebih lagi juruterbang hanya memadamkan lampu isyarat pasangkan tali pinggang 20 minit selepas berlepas.

Dalam masa itu, sempat juga saya memesan untuk memenuhi salah satu hobi saya, iaitu mengumpul model rasmi kapal terbang. Hanya model rasmi sahaja, bermakna perlu beli dari syarikat penerbangan, huhuhu, banyak songeh punya hobi. Alhamdulillah, ia ada dan wang S$20.00 (+- RM62.00) bertukar tangan daripada saya kepada pembantu penerbangan itu. 

Pesawat ini akhirnya mendarat di landasan 15/33 KLIA dari arah selatan pada pukul 8:22 malam dan tiba di pintu L7 pada pukul 8:26 malam. Pintu pesawat dibuka lima minit kemudian dan saya terus ke kiosk imigresen untuk prosedur masuk Malaysia dan kemudian terus melalui laluan kastam untuk ke stesen bas klia2. Solat terlebih dahulu di sana dan setelah usai solat, saya pun terus ke ke platform untuk menaiki bas. Bas pukul 9:00 malam baru sahaj terlepas, dan bas pukul 9:20 malam tiba tidak lama selepas itu.


Resit pembelian model kapal terbang A320 Scoot.


Model Kapal Terbang A320 Scoot skala 1:200.


Peta Penerbangan TR466 25 September 2018 daripada FlightRadar24.

Akhirnya bas tersebut berlepas meninggalkan klia2 pada jam 9:23 malam dan tiba di KL Sentral pada pukul 10:20 malam. Saya terus ke tempat saya parkir motorsikal dan terus ke menuju ke rumah selepas itu. Alhamdulillah, saya tiba di kawasan rumah sekitar 10:42 malam dan singgah makan di medan selera berhampiran rumah. Setelah dapat melegakan perut, saya terus pulang ke rumah dan itulah berakhirnya perjalanan saya pada kali ini.

Secaranya, dapat juga saya bersiar-siar di dalam LT Changi dan dapat pergi ke sebahagian tarikannya. Cuma ada juga beberapa tarikan yang saya tidak dapat pergi, seperti "Raining Drop" di Terminal 1, kerana ia berada di landside. Insya Allah pada masa akan datang akan saya ke sana juga, disamping menantikan Terminal 5 siap beberapa tahun lagi.

Semoga catatan ini dapat memberikan manfaat dan juga inspirasi kepada kita semua. LTA Changi bukan sekadar tempat transit atau lapangan terbang biasa, ia juga merupakan tempat tarikan menarik. 

Semoga dapat bertemu lagi dalam catatan mendatang, berdoalah agar kita dapat sentiasa mengembara di bumi Allah yang luas dan cantik ini, insya Allah, amin.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarukatuh.


Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan... (Exploring the World, Knowing the Life...).




Jika mahu lihat catatan: 
If want to read in English: 

  • PreJourney; 
  • Itinerary;
  • Journey (this part).

2 ulasan:

  1. no wonder changi dpt pengiktirafan airport terbaik dunia... klia masih jauh ketggln

    BalasPadam
  2. Setuju, MAB perlu jadikan LTA Changi sebagai sasaran bagi menaik taraf KLIA.

    BalasPadam