Rabu, 5 September 2018

Pra Kembara (Phnom Pehn, Kemboja - 05 September 2018) - Kunjungan Singkat Ke Phnom Pehn.

If want to read in English: 

  • PreJourney (this part); 
  • Itinerary;
  • Travel Guide - Phnom Pehn, Cambodia
  • Journey.



Phnom Pehn.

Pengenalan.

Pada perjalanan kembara saya dari Siem Reap, Kemboja ke Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam dengan menaiki bas selama 14 jam itu, saya dan sahabat-sahabat sepengembaraan hanya transit sejam setengah di stesen bas Mekong Express di Phnom Pehn. Tidak sempat berbuat apa pun. Takut kalau saya bersiar-siar, mahu terlepas bas nanti. Jadi apabila AirAsia membuat promosi tambang murah memasukkan sekali Phnom Pehn, saya pun segera mengambil kesempatan. Cuma kali ini pun saya hanya pergi sehari sahaja, sahaja nak mencuba mengembara cara baru, ala kesempitan duit, huhuhu. Mari kita berkenalan serba sedikit dengan Phnom Pehn.

Phnom Pehn, merupakan ibu negara Kemboja (Cambodia). Keluasannya 678 kilometer persegi dengan 1.5 juta orang penduduk (data 2012). Walaupun agak mundur berbanding bandaraya utama Asia Tenggara yang lain, kerana pemulihan dari perang saudara terutama semasa diperintah oleh Khmer Rouge, yang agak kejam dengan pembunuhan berlaku secara beramai-ramai, kini ia semakin maju. Jadi perjalanan kali ini saya ingin melihat kemajuan yang berlaku sepanjang 4 tahun bezanya.

(Sumber dari Wikipedia). 




Peta: Phnom Pehn, Kemboja.



Peta: Kemboja.

AirAsia baru sahaja dianugerahkan syarikat penerbangan tambang murah terbaik di dunia oleh Skytrax untuk 10 tahun berturut-turut. Jadi sebagai menghargai pelanggan-pelanggannya, AirAsia membuat promosi harga tempat duduk asas dari serendah 10 sen sahaja! Jadi saya mengambil kesempatan untuk melihat destinasi yang ada harga tersebut atau jika tidak pun dapat harga murah. Oleh kerana sebelum ini, perjalanan kembara saya dari Siem Reap ke Bandaraya Ho Chi Minh hanya transit sahaja di Phnom Pehn, maka saya rasa lebih baik saya ke Phnom Pehn agar saya dapat melihat lebih dekat apa yang saya hanya lihat menerusi tingkap bas sahaja.

Saya mendapat harga keseluruhan RM153.20 untuk perjalanan pergi balik. Jadi saya pun membayar dengan menggunakan kad debit BigPay, yang juga merupakan produk kumpulan AirAsia, yang mana tidak perlu membayar caj tambahan bagi penempahan sebagaimana yang dikenakan jika membayar menggunakan kad kredit atau debit yang lain (RM8.00/orang/perjalanan) atau membayar dengan debit terus dengan akaun bank (RM4.00/transaksi). Juga, kita juga boleh mendapat mata AirAsia BIG juga. Kelebihan kad BigPay ini berbanding kad lama keluaran kumpulan AirAsia lain adalah ia boleh ditambah nilai dengan menggunakan kad kredit. Jadi senang la sikit. 

Untuk memudahkan perjalanan saya ke klia2 nanti, saya juga menempah tiket bas SkyBus sektor KL Sentral-klia2 yang boleh dipilih sebagai penambahan (add-on) kepada penempahan penerbangan AirAsia kita. Ia lebih murah berbanding kita beli di kaunter yang mana berharga RM12.00 sehala atau RM22.00 pergi balik. Ia juga lebih murah juga jika kita beli di laman web Skybus (RM11 sehala atau RM21.00 pergi balik). Jika beli sebagai penambahan penempahan AirAsia kita, ia cuma RM8.90 sehala atau RM17.80 sahaja untuk pergi balik.

Saya juga menambah makanan untuk perjalanan pergi sahaja yang berharga RM10.00. Hidangan yang saya pilih adalah Wrap (Balutan) Ayam Vietnam (RM10.00) penerbangan pergi ke Phnom Pehn dari klia2. Saya memang pilih hidangan yang saya belum pernah cuba lagi sebenarnya. Jadi jumlah keseluruhan tambang tiket penerbangan untuk perjalanan kali ini adalah sebanyak RM181.00 sahaja.

 
Promosi AirAsia Julai 2018


Penempahan penerbangan AirAsia.


Saya menukar wang Ringgit Malaysia kepada Dollar Amerika Syarikat (USD) untuk bekalan perjalanan nanti di Merchantrade Giant Taman Permata, Ulu Klang, Selangor yang merupakan pengurup wang terendah pada 14 Ogos 2018 di kawasan tersebut, setelah meninjau kadar tukaran semua pengurup wang di situ. Kadar pada hari tersebut adalah US$1.00 = RM4.10. Saya cuma tukar US$10.00 (RM41.00) sahaja kerana saya akan mengeluarkan wang Dollar Amerika Syarikat di mesin ATM Maybank Kemboja iaitu bank di bawah kumpulan yang sama dengan Maybank Malaysia dengan menggunakan kad ATM Maybank Malaysia. Cara ini lebih murah kerana tiada caj pengeluaran luar negara dikenakan (umpama mengeluarkan wang di mesin ATM Maybank di Malaysia) dengan syarat kita mengaktifkan kemudahan ini di perbankan internet Maybank2u terlebih dahulu sebelum menggunakannya. Sekurang-kurangnya US$10.00 itu adalah satu langkah persiapan untuk sebarang keperluan sebelum dapat mengeluarkan wang dari mesin ATM.

Untuk pengetahuan, Kemboja menggunakan dwi-matawang dalam transaksi harian domestik penduduk Kemboja, iaitu menggunakan matawang USD dan juga Riel Kemboja (KHR). Bagi nilai lebih US$1.00 kebiasaan di bandar-bandar besar dan bandar-bandar pelancongan Kemboja akan menggunakan USD manakala bagi nilai kurang USD1.00, matawang KHR akan digunakan, kerana penggunaan duit syiling USD (termasuk nilai US$1.00 ke atas) tidak diterima di Kemboja. Namun ada juga transaksi di bandar dan juga terutamanya di luar bandar, akan menggunakan matawang KHR sepenuhnya termasuk bagi nilai lebih US$1.00. Satu lagi diingatkan, pastikan matawang USD adalah dalam keadaan masih cantik dan tidak koyak atau buruk atau teramat renyuk, secara amnya maih kurang cacat cela. Jika tidak, wang anda tidak akan diterima. Juga pastikan, matawang USD adalah dari versi terkini, bukan versi terdahulu.


US$10.00 = +- RM41.00

Pada 22 Ogos 2018 juga, saya telah menghantar e-mel makluman kehadiran saya di Phnom Pehn kepada pihak Kedutaan Malaysia di Phnom Pehn. Pendaftaran melalui e-Konsular juga dilakukan pada masa yang sama. Ini penting, agar pihak kedutaan ambil maklum kehadiran saya di sana. Ini bagi memudahkan mereka melakukan tugas mereka, disamping dapat memudahkan urusan kita jika berlaku apa-apa yang tidak diingini. Kita kena bersedia mengjangkakan perkara yang tidak terjangka. Dengan makluman kehadiran saya ke kedutaan, mereka sekurang-kurangnya akan membantu mana yang boleh. Barulah betul adat dan tatasusila orang Malaysia.

Emel makluman saya di Phnom Pehn, Kemboja yang dihantar ke 
Kedutaan Malaysia di Phnom Pehn.


Rasanya sudah hampir lengkap persiapan saya untuk perjalanan pada kali ini. Cuma tinggal menunggu masa pemergian sahaja. Doakan perjalanan saya kali ini berjalan lancar dan dipermudahkan segala urusan, insya Allah, amin.

Bersambung ke Kembara.

Jika mahu lihat catatan: 
If want to read in English: 

  • PreJourney (this part); 
  • Itinerary;
  • Travel Guide - Phnom Pehn, Cambodia
  • Journey.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan