Jumaat, 5 Disember 2014

Hari 3 (Ko Samui, Thailand - 12 hingga 16 September 2014) - Samui, Memang Indah.

Bersambung dari Hari 2.


Jika mahu lihat: 

If want to read in English: 
  • Pre Holiday
  • Day 1; 
  • Day 2; 
  • Day 3 (this part); 
  • Day 4 & 5; or 
  • Itinerary.

Hari 3
14 September 2014 (Ahad)

Pagi di pantai Lamai, Ko Samui memang amat mendamaikan. Setelah solat subuh, saya sekeluarga duduk untuk melihat matahari terbit di ufuk timur. Walaupun dapat lihat sebahagian sahaja kerana kaki langit timur di tempat kami duduk dilindungi oleh sebuah tanjung. Kena pula hotel kami duduk di dalam teluk berhampiran dengan tanjung tersebut. Namun suasananya memang amat mendamaikan. Anak lelaki saya tidak sabar-sabar untuk mandi laut, namun memandang laut masih surut masa itu, jadi tidak berapa sesuai hendak mandi. Ini kerana terdapat rumput rumpai laut, batu karang mati dan banyak lagi benda yang agak keras dan kadang kala tajam berada di dasar laut yang agak landai. Jadi untuk mandi perlu tunggu air pasang sedikit.


Kembali semula ke chalet untuk bersarapan. Kena buat sendiri kerana tiada makanan disediakan kecuali air minuman botol. Nasib baik ada disediakan cerek elektrik. Sebenarnya, kami ada membawa periuk nasi kecil untuk memasak, tu sebab kami sibuk membeli bahan-bahan mentah untuk dimasak. Masak ala kadar sahaja, asal boleh hilang lapar dan tidak perlu beli makanan di luar yang kerana sememangnya makanan halal begitu mahal di kawasan ini. Juga kami membawa penyuai plug (plug adapter) kerana suis plug di Thailand berbeza dengan di Malaysia.


Selepas bersarapan, kami mula berjalan-jalan ke sekitar Pulau Samui ini (dalam Bahasa Thai, ko itu bermaksud pulau). Jika semalam kami datang dari arah Nathon, kini kami mengambil arah sama menuju ke arah pekan Chaweng, yang merupakan pekan terbesar dan menjadi tumpuan umum di Samui ini. Pada masa itu masih awal dalam pukul 8:30 pagi. Jalan menuju ke Chaweng ada tempat menaiki bukit sedikit, tetapi di kawasan berbukit inilah banyak resort-resort yang mewah dibina. Permandangan pun amat cantik. Tidak hairanlah kenapa ramai yang datang ke pulau ini.

Selepas memandu dalam keadaan santai selama 20 minit, maka sampailah ke pekan Chaweng. Melintasi Hospital Bangkok, memang di hadapan hospital ini terdapat sebuah restoran makanan halal, namun kami sudah ada makanan sendiri, buat apa makan kan. Duit boleh dijimatkan. Pekan ini masih lagi tidur, mungkin kerana ia agak hidup di waktu malam.

Terdapat beberapa pasaraya di pekan ini antaranya Makro dan Tesco Lotus yang dibuka seawal pukul 8 pagi berbanding di kawasan-kawasan lain yang hanya dibuka mulai 10 pagi. Kira hendak mencari pasaraya amat mudah di Ko Samui ini. Tesco Lotus sahaja terdapat 3 atau 4 cawangan di pulau ini, yang terletak di pekan-pekan. Kami tidak singgah kerana lebih kepada hendak bersiar-siar.

Di simpang ke lapangan terbang, kami mengambil jalan ke lapangan terbang. Dah nama bersiar-siar, lagipun dapat diketahui bahawa Lapangan Terbang Antarabangsa Ko Samui agak unik dari segi binaan dan konsep. Itu sebab kami ke sana. Sepanjang perjalanan terdapat banyak kawasan penginapan yang kos rendah di sini. Juga kedai serbaneka terutama berjenama "Family Mart" memang bersepah, boleh dikatakan setiap selang 300 meter terdapat satu cawangan kedai serbaneka ini.

Dalam perjalanan menuju ke lapangan terbang ini juga terlihat sebuah resort yang di halaman hadapannya terdapat beberapa patung yang agak besar yang bertemakan bola sepak, diperbuat daripada buah kelapa. Memang unik. Unik lagi, jalan yang menuju ke lapangan terbang kecil sahaja, umpama jalan kampung.



Akhirnya sampai juga ke lapangan terbang ini. Sebelum sampai, kita akan sampai di sebuah mini pekan yang mana terletaknya simpang T (simpang 3), yang mana ke kanan, kita akan menuju ke terminal atau balai ketibaan, kerana terdapat papan tanda seperti kapal terbang mendarat. Jika ke kiri pula, kita akan ke terminal atau balai berlepas berdasarkan papan tanda kapal terbang berlepas.

Lapangan terbang ini memang unik kerana apa bila kita ke sini, seumpama bukan berada di dalam lapangan terbang tetapi berada di sebuah resort. Memang menarik. Konsepnya juga lebih terbuka dan tidak tertutup, maka lebih mesra alam, cuma saya terfikir kalau hujan lebat, macam mana keadaannya.





Seterusnya kami menuju kembali ke Chaweng tetapi mengikut jalan lain. Terjumpa pula dengan satu-satunya pusat membeli belah di Samui ini iaitu Central Festival Mall. Hendak masuk tetapi masih tutup. Tapi kalau masuk pun seperti mall biasa sahaja.



Kami meneruskan perjalanan lagi mengelilingi pulau Samui ini. Teringat pula seperti Pulau Langkawi. Cuma pulau ini berada di Teluk Siam atau Laut China Selatan bukan di Selat Melaka atau Laut Andaman seperti Pulau Langkawi. Sebenarnya ada banyak tempat menarik yang patut kami pergi seperti air terjun, mini zoo, wat-wat dan sebagainya, tapi tujuan percutian ini pun adalah percutian, maka kami cuma bersiar-siar sahajalah.

Sampai kembali ke pekan Nathon. Kebanyakan pekan ini adalah sehala. Banyak kedai-kedai menjual cenderahati dan banyak juga premis-premis yang memberikan perkhidmatan berkaitan pelancongan kerana pekan Nathon boleh dikatakan pintu masuk utama. Ini disebabkan beberapa jeti terletak di pekan ini. Jika mahu ke pulau-pulau berdekatan seperti Ko Pha Ngan atau Ko Tao, juga boleh dari jeti-jeti ini. Namun ada juga jeti lain di pulau ini.

Kami singgah dahulu di Tesco Lotus di pekan ini untuk membeli beberapa barang keperluan. Rupanya cawangan di sini dibuka lebih awal iaitu seawal 6 pagi (5 pagi di Malaysia). Setelah itu, kami meneruskan perjalanan menuju balik ke hotel, tetapi singgah di pekan kecil Khao Pom, kerana nampak pasar tempatan. Saja hendak melihat keadaan pasar tempatan. Di sini, kami terjumpa kedai menjual dapur arang yang sudah tidak jual lagi di Malaysia. Harga pun murah dari ฿130 (+-RM13) bagi yang kecil hingga ฿200 (+- RM20) bagi yang besar. Kecil tu boleh la untuk masak kuali atau periuk biasa, yang besar tu boleh memasak sebuah kawah. Boleh buat masak bakar-bakar. Cukup lah saya beli yang paling kecil, tidak larat hendak beli yang besar.



Setelah itu kami teruskan perjalanan mengikut jalan lain yang tidak dilalui sebelum ini. Di sini kami dapat lihat suasana kampung dan ada kawasan yang masih belum diterokai dengan pesat. Terdapat sebuah lagun yang airnya biru kehijauan, yang memang indah dilihat. Setelah sejam bersiar-siar, kami semula ke jalan utama di pekan Maret.

Destinasi kami seterusnya adalah kawasan yang dinamakan sebagi Hinta Hinyai atau mungkin diterjemahkan dalam Bahasa Melayu Batu Datuk Batu Nenek.



Tidak perlu dinyatakan kenapa nama tempat ini dinyatakan sebegini, kerana dari gambar-gambar dapat dinyatakan kenapa. Ada batu yang kelihatan seperti alat sulit wanita dan lelaki. Dikhabarkan pada zaman dahulu, terdapat sepasang suami isteri hidup bahagia sehingga usia tua mereka. Sehinggakan ketika mati pun mereka ingin bersama, dan ketika mereka dimatikan, mereka berubah menjadi batu. Ini kisah yang saya perolehi dari seorang penduduk tempatan. Entah betul entah tidak. terpulang hendak percaya. Bagi saya, bentu batu ini hanyalah kebetulan.

Jalan hendak masuk ke tempat ini agak sempit, maka perlu berhati-hati. Malah jalan masuk ke tempat ini juga tidak jelas. Jadi jika berada di kawasan Maret, perlu berhati-hati. Jika berjalan dari pekan Nathon, perlu melihat ke kanan jalan untuk melihat pintu gerbang tertulis "Hinta Hinyai". Jika dari Chaweng atai Lamai, maka perlu melihat ke kiri. Ia terletak di sebuah pekan mini.



Jika hendak membeli cenderahati bertemakan Ko Samui, boleh beli di kawasan ini. Cenderahati seperti kemeja T, magnet peti ais, rantai kunci, makanan riingan tempatan dan sebagainya boleh didapati. Seperti gambar kami sekeluarga ini, terdapat beberapa jurugambar akan mengambil gambar kita sebelum kita memasuki kawasan Hinta Hinyai ini dan apabila pulang sudah siap gambarnya, cuma kita tidak dipaksa untuk membelinya. Harga pun murah, cuma ฿150 (+- RM15) sahaja.

Satu lagi, parkir di kawasan ini pun agak terhad. Parkir dikenakan antara ฿20 (+- RM2) hingga ฿50 (+- RM5) setiap kali parkir. Selepas lebih sejam setengah di Hinta Hinyai, kami pun pulang ke hotel kami.


Aktiviti sepanjang petang di hotel adalah mandi laut dan duduk di tepi pantai. Memang aman tenteram. Ini sebenarnya aktiviti utama. Lama juga buat aktiviti ini, boleh kata sepanjang petang itu lah. Memang seronok bila kami sekeluarga bersama. Ada masa setelah penat atau panas berehat dan tidur sekejap, lepas itu sambung balik bila bangun. Semasa waktu mahu senja baru berhenti sepenuhnya. Puas hati apabila dapat menghabiskan masa bersama keluarga.



Pada malamnya, kami ke pekan Lamai, kerana difahamkan pada hari Ahad malam Isnin bermula dari pukul 5 atau 6 petang sehingga pukul 11 atau 12 malam, akan diadakan pasar malam di sini. Banyak barang yang murah-murah di sini. Jersi, kemeja-T, seluar tomoi dan pakaian antara barang yang dijual. Makanan pun ada seperti pad thai dan sebagainya. Cuma kehalalannya diragui. Tapi terdapat juga makanan halal malah di simpang jalan terdapat sebuah gerai yang menjual burger Ramly!!! Terkejut dibuatnya, harga pun lebih kurang Malaysia dari ฿35 (+- RM3.50). Saya membeli magnet peti ais di sini dimana dengan 8 keping berharga ฿100 (+- RM10.00) sahaja. Kalau nak beli beg galas jenama Deuter, Wolfpacks, Northern Star dan sebagainya pun ada. Murah-murah. 



Di sini juga saya terjumpa kedai tukaran wang asing, cuma kadarnya kurang menarik sikit. Lagipun di pekan Chaweng terdapat cawangan CIMB Thai, jadi jika anda pemegang akaun CIMB, baik ke sana untuk mengeluarkan wang, ia lebih baik.



Kalau ke Thailand tidak sah jika tidak mengurut atau "massage". Kira kunjungan kami tidak sah kerana tidak mengurut. Maklumlah, datang bersama anak-anak. Tapi harga agak murah, kira macam harga standard di Thailand. Memanggil-mangil pekerja mereka untuk datang ke kedai mereka. Memang berderet kedai urutan ini.

Selepas itu, kami pulang untuk tidur, kerana esok kami akan berjalan jauh, nak balik ke tanah air tercinta.



Akan bersambung ke Hari 4 & 5.


Jika mahu lihat: 

If want to read in English: 
  • Pre Holiday
  • Day 1; 
  • Day 2; 
  • Day 3 (this part); 
  • Day 4 & 5; or 
  • Itinerary.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan