Ahad, 30 November 2014

Hari 3 (Vientiane, Laos & Bangkok, Thailand - 30 Ogos hingga 01 September 2014) - Perjalanan 1500 km.

Bersambung dari Hari 2.


Jika mahu lihat: 

If want to read in English: 
  • Pre Journey (this part), 
  • Day 1; 
  • Day 2; 
  • Day 3; or 
  • Itinerary.

Hari 3 - 01 September 2014 (Isnin)

Saya terbangun pada jam 4:30 pagi ketika di kawasan Nakhon Si Thamarat dan menunggu 20 minit untuk bersolat Subuh dengan berwuduk menggunakan spray. Usai solat, saya merasakan lambat lagi mahu sampai, saya memejamkan mata. Ingatkan tidak boleh tidur, kerana biasanya saya sukar tidur balik selepas subuh. Namun tertidur juga.

Seolah-olah dikejut, ketika bas ini tiba di stesen bas Phatthalung pada jam 6:15 pagi, saya terbangun. Bermakna lagi lebih kurang 100 kilometer lagi akan sampai ke Hat Yai. Lambat lagi. Saya lihat pemandangan luar. Teringat pula perjalanan semasa kembara ke Kawthoung, Myanmar bulan Mei 2014 lepas. Dalam pukul 7:45 pagi, bandar Hat Yai mula kelihatan. Akhirnya sampai juga 10 minit kemudian di stesen basnya. Pagi-pagi ini tidak berapa sesak walaupun pagi ini merupakan hari bekerja di Thailand.

Sampai je stesen bas Hat Yai, saya terus mencari pengangkutan ke Lee Garden. Dapatlah naik Songthaew (lori kecil atau trak pick up yang diubah menjadi seperti bas, seperti jeepney di Filipina). Dapat harga ฿50 (+-RM5) seorang, terus setuju. Agak mahal, sepatutnya tawar, tapi masa itu dalam kepada ฿50 tu 50 sen. Tidak mengapalah, dah terjadi nak buat macam mana. Sampai di kawasan Lee Garden, terus kami ke kedai agen bas Konsortium di depan Lee Garden tu, tetapi tiket sudah habis. Baru teringat, semalam hari Ahad dan hari ini masih cuti, jadi tiket agak laku.

Terus kami ke Jalan Niphat Uthit 3 yang ada banyak kedai agen-agen bas ekspres Malaysia. Saya cuba agen City Express sebelah agen Alisan, dan alhamdulillah memang tinggal 2 tiket lagi. Walaupun agak mahal, iaitu ฿600 (+-RM60) seorang, namun asal ada jalan lah. 



Kami serahkan duit dan pasport kami untuk urusan tiket dan pasport serta insurans. Di dalam kedai itu terdapat tandas, maka kami ambil kesempatan untuk membersihkan diri sedikit. Kami meminta kerani kaunter tiket yang merupakan Muslim Thai (Melayu) untuk menjaga beg kami kerana kami hendak makan dan membeli belah buat kali terakhir sebelum masuk kembali ke tanah air.

Kami makan di kedai sebelah kedai agen City Express ini. Restoran Rahman jika saya tidak silap. Saya memasan kuay teow ladna dan air teh o ais dan Diha memesan nasi goreng kampung dan airnya saya lupa. Kita boleh memesan makanan seperti di Malaysia di Hat Yai ini. Jumlah harga sarapan kami adalah ฿170 (+- RM17).

Saya membawa Diha ke kawasan sekitar hotel Golden Crown Plaza untuk membeli cenderahati. Di sinilah kalau nak beli cenderahati di waktu pagi kerana pasar malam di sekitar Lee Garden tidak buka lagi. Lagipun kalau nak pergi pasar basahpun ada di sini. Kami pun ke pasar basah ni dan belilah beberapa barang.


Pulang dari beli belah, kami terus ke kaunter mengambil tiket dan pasport kami yang sudah siap. Kami memunggu bas kami dan hampir jam 10 pagi baru bas sampai dan setengah jam kemudian, baru bas bergerak menuju ke Dannok.

 


Sejam kemudian, sampailah kami di Dannok, bas berhenti sebelum sampai di pintu sempadan untuk mengambil penumpang di sini. Setelah itu, terus ke pintu sempadan Thailand untuk formaliti. Kami tidak ke kaunter biasa kerana saya lihat ramai, saya terus ke kaunter untuk kereta kerana tidak ramai. Kami juga di sini tidak membawa beg kami. Memandangkan hari ini merupakan hari bekerja di Thailand dan waktu tersebut waktu bekerja, maka saya tidak menyelitkan RM1 dalam pasport. Dan setelah pasport dicop, pegawai imigresen itu pun tidak meminta RM1 tu. Saya nasihatkan pada Diha begitu juga.



Setelah selesai di Thailand, kami menaiki bas untuk turun semula dengan beg-beg kami untuk diimbas di kastam. Urusan di sebelah Malaysia berjalan lancar, cuma balai imigresen seperti tiada pendingin hawa. Agak panas. Setelah selesai, kami menaiki bas semula. Bas kami berhenti selama 30 minit di restoran CTC di Changloon untuk makan dan solat kerana kami sampai telah masuk waktu Zohor.



Setelah itu pada jam 2 petang (waktu Malaysia, sudah tukar waktu di Bukit Kayu Hitam tadi), bas pun bergerak menuju ke Kuala Lumpur. Namun perjalanan kami tidaklah selancar kerana agak sesak di beberapa tempat kerana cuti panjang di Malaysia (cuti Hari Kebangsaan). Bas kami hanya tiba di Pudu Sentral pada jam 9:30 malam. Isteri saya sudah menunggu kerana saya telah telefon awal-awal untuk mengambil saya. Oleh kerana malam, maka saya memaksa Diha untuk kami hantarkan.

Begitulah perjalanan kembara tiga ibu negara yang dapat dikongsikan. Semoga catatan ini dapat memberikan maklumat kepada anda.



Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan...


Jika mahu lihat: 

If want to read in English: 
  • Pre Journey
  • Day 1; 
  • Day 2; 
  • Day 3 (this part)or 
  • Itinerary.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan