Khamis, 17 April 2014

Hari 3 (Brunei & Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia (melalui Miri, Sarawak, Malaysia & Labuan, Malaysia) - 21 hingga 25 Mac 2014) - Hari Feri, Brunei-Labuan-KK.

Sambungan dari Hari 2.

Jika mahu lihat: 



If want to read in English: 

  • Day 1 (this part), 
  • Day 2
  • Day 3, 
  • Day 4, 
  • Day 5 or 
  • itinerary.





23 Mac 2014 (Ahad)

Saya bangun pagi dan solat subuh. Hari ini hari feri, kata hati saya. Memang pun. Hari ini perjalanan kami agak lama dengan menggunakan feri. Makan pagi percuma disediakan hotel hanya bermula jam 07:00 pagi. Tempahan tiket feri pula jam 09:00 pagi. Saya tidak tahulah kalau ada masa untuk boarding ke macam di feri Singapura. Jadi saya membuat keputusan untuk tidak makan di hotel.


 Gambar di hadapan Palm Garden Hotel, BSB.

Kami pada jam 06:45 pagi dah ke lobi dan daftar keluar. Ingat di Brunei pukul 6 pagi seperti 7 pagi di Semenanjung, jadi bukan awal lagi. Sambil menunggu keluarga Sopek turun, sempatlah kami bergambar di sekitar hotel.



Bergambar gambar kedua-dua Duli Yang Maha Mulia.

Tidak lama kemudian, turunlah Sopek dan keluarga. Dia kata sempat jika makan dulu, kalau ke Muara pun dalam setengah jam sahaja. Maka kami pun makan lah sarapan di hotel ini. Memandangkan ini hotel perniagaan bukan kelas mewah punya hotel, maka barisan makanan agak biasa sahaja. Dalam setengah jam kami pun selesai makan sarapan, kerana anak-anak sudah mula buat restoran hotel ini seperti taman permainan, bagi menjaga keselesaan tetamu lain, kami pun keluarlah.



Jam 07:40, kami mula bergerak dari hotel. Dapat melihat suasana Brunei waktu pagi. Ada kelainan sedikit, perasan sayalah. Sambil tu, semasa berhenti di simpang lampu isyarat, terlihat sebuah van berlogo pisau kukri. Bermakna ini askar Gurkha ini. Askar Gurkha ini merupakan askar yang diambil dari kaum Gurkha di Nepal untuk berkhidmat di unit-unit tentera negara luar Nepal. Antara negara yang mengambil khidmat kaum Gurkha ini adalah British (terdapat tiga rejimen askat Gurkha, salah satunya bertempat di Burnei ini), Singapura (ada sebuah unit khas di dalam Polis Republik Singapura) dan Brunei (sebuah pasukan simpanan (anti rusuhan) di dalam tentera). Boleh Google atau Wikipedia atau lain-lain sumber kalau nak tahu kenapa Gurkha ini diambil sebagai tentera negara selain Nepal. Saya mahu cerita, panjang pula, mungkin pada posting lain.


Ketika sampai di Terminal Feri Serasa di Muara, Syida memberikan saya beberapa keping duit syiling Brunei sebagai koleksi kerana dia tahu saya minat mengumpul duit. Terima kasih Syida. Adalah empat koleksi yang dapat saya simpan, di mana salah satunya duit syiling lama.







Ketika kami sampai di Terminal Serasa ini, jam menunjukkan pukul 08:15 pagi. Kami pergi ke terminal penumpang. Di lihat masih ada feri jam 08:30 ke Labuan. Tapi memandangkan saya sudah tempah feri kenderaan, jadi saya lihat jeti feri kenderaan di sebelah (ketika itu, masih tidak pasti). 


Akhirnya saya ke kaunter feri PKL Jaya Sdn Bhd yang berupa sebuah pejabat kontena sahaja. Oh, ada rupanya tempahan kami, dan  saya membayar BN$ 46.00 (+-RM 120.00) (harga tiket sebanyak BN$15.00 (+-RM 39.00) bagi seorang dewasa, dan BN$8.00 (+- RM 21.00) bagi kanak-kanak antara 3 hingga 12 tahun. Bawah 3 tahun percuma tetapi perlu bayar cukai pelabuhan atau caj perkhidmatan penumpang sebanyak BN$ 2.00 (+- RM 5.20) seorang yang juga dikenakan kepada semua penumpang dewasa dan kanak-kanak. 




Ada baik juga naik feri kenderaan ini. Selain ia merupakan jadual feri terakhir ke Labuan pada pagi itu, (sebelum itu terdapat feri penumpang pada pukul 07:00, 08:00 dan tambahan hari Ahad, 08:30 pagi, manakala sebelah petang pula ada feri penumpang ke Labuan mulai jam 13:00 (1:00 tengahari) dan terakhir jam 16:00 (4:00 petang). Feri kenderaan ini satu-satunya disediakan di sini dan hanya berlepas sekali sehari. Jika feri penumpang, akan mengambil masa sejam untuk tiba di Labuan, tetapi feri kenderaan ini perlu satu setengah jam untuk sampai. Lagipun feri ke Kota Kinabalu (KK) hanya pada pukul 13:00 (1:00 tengahari) jadi buat apa awal-awal. Baru dapat menikmati permandangan dan udara segar, yang mana mungkin tidak diperolehi pada feri penumpang. Juga sebagai pengalaman kepada anak-anak saya yang tidak pernah menaiki feri kenderaan (kecuali semasa usia 2 bulan, anak sulung saya menaiki feri kenderaan Pulau Pinang, tapi ia masih kecil, mungkin tidak dikira).


Terminal feri kenderaan ini agak ringkas. Kaunter imigresennya pun dibuat dengan menggunakan kontena dan disusun seperti pondok tol. 

Sebelum kami berlepas, kami sempat menangkap gambar kenang-kenangan di kawasan jeti feri kenderaan ini. Baru saya perasan, sebelum ini kami tidak ambil gambar bersama-sama. Kami amat berterima kasih kepada mereka kerana sudi menjadi tuan rumah kepada kembara percutian kami. Layanan kamu semua amat mesra dan tidak terbalas oleh kami.


Kemudian kami melambai selamat tinggal kepada mereka, dan menuju ke kaunter imigresen Brunei untuk prosedur imigresen. Kami menggunakan kaunter imigresen untuk kenderaan bagi tujuan tersebut. Pegawai imigresen Brunei amat mesra sekali semasa mengecop pasport-pasport kami.


Selepas itu, kami berjalan kaki ke feri MV Shuttle Hope yang sedang berlabuh. Cuma dalam hati saya, bayangkan kalau dalam keadaan hujan lebat, bagaimana penumpang hendak ke feri itu ya.


Sampai di feri, kami disambut dengan mesra oleh petugas feri dan kami dibawa ke tingkat atas feri, iaitu dek khas untuk penumpang. Amat selesa dan siap ada kedai yang menjual makanan dan minuman di dalam feri ini. Siap ada TV lagi, dan ruangan seperti di gambar bawah ini adalah berhawa dingin. Ada juga tempat duduk di ruangan terbuka jika hendak merasa udara segar.

Setelah meletakan beg, saya keluar untuk melihat kenderaan mulai masuk ke dalam feri. Anak-anak saya juga teruja dengan perkara ini, maklumlah pertama kali merasainya.


Sambil itu juga, saya mengambil gambar jeti feri penumpang dan sempat melihat feri penumpang jam 08:30 pagi berlepas.





Setelah semua kenderaan dan penumpang menaiki feri ini, maka pada jam 09:10 pagi, feri ini berlepas dari jetinya. Permandangan amat indah sekali. Dapat melihat Pelabuhan Muara, Pengkalan Tentera Laut DiRaja Brunei dan suasana sekeliling Muara ini.

Nampak dari dalam feri ini pulau Labuan, yang kelihatan tidak berapa jauh dari Muara, merupakan destinasi feri ini dan destinasi perantara kami sebelum bersambung ke KK pula.


Semasa berlayar, sempat juga saya melihat pelantar-pelantar minyak di perairan Brunei dan juga Malaysia. Kelihatan amat dekat sekali.


Selepas sejam suku pelayaran, kami tiba di perairan Labuan. Mula nampak loji simpanan bahan petroleum berlogo Petronas. Bermakna kami kembali semula ke Malaysia.




Akhirnya jam 10:40 pagi, feri ini sampai ke Terminal Feri Ro-ro (Roll On- Roll Off - bermaksud feri kenderaan) Labuan. Kami penumpang turun feri dahulu dan terus ke kaunter imigresen yang tidak berapa jauh dari jeti.



Pasport kami diimbas, dan tanpa diminta, cop pasport masuk untuk warganegara Malaysia pun diturunkan. Secara rasmi kami kembali ke Malaysia dan secara rasmi inilah pertama kaki kami dijejakkan di bumi Labuan ini. Bermakna setiap negeri dan wilayah di Malaysia, sudah saya jejaki. Alhamdulillah. Di sini, saya menerima sms dan mesej WhatsApp dari Hishamuddin aka Dino. Dia bertanya, saya sudah sampai.Jawapan saya mengatakan saya akan tiba tidak berapa lama lagi.


Jeti Feri Ro-ro Labuan dengan Terminal Feri Antarabangsa Labuan (jeti penumpang) adalah bersebelahan sebenarnya. Jadi tidak lama lagi saya akan berjumpalah dengan Dino.



Sampai sahaja saya di  depan bangunan Terminal Feri Antarabangsa Labuan ini, tiba-tiba kedengaran sayup-sayup, Di! Di!. Cuma dengar hujung, hujung sahaja. Saya lihat ke belakang. Seseorang melambai tangan, berjalan ke arah saya. Sampai di hadapan saya, berliau bertanya, "Ini Abang Hadi kan?". Saya mengiakan dan terus bersalam dengannya. Dia memperkenalkan dirinya sebagai Hishamuddin (id Facebook Dato Dino). Terus saya tangan sebelah kiri memeluk bahunya, seperti sudah lama kenal. Saya mengajak dia makan. Tetapi dia terpaksa menolak kerana bekerja. Dia menyerahkan tiket-tiket feri dari Labuan ke KK pada tengahari itu. Saya sebenarnya telah membuat pindahan bank sebanyak RM110.00 untuk tiket ini (harga tiket feri tersebut bagi seorang dan sehala adalah RM 34.00 untuk dewasa dan RM 21.00 bagi kanak-kanak). Saya mengucapkan terima kasih kepada dia atas pertolongan ini. Tidak mengapa, di lain masa kita akan berjumpa lagi dan minum ber saya insya Allah, antara kata-kata saya. Alhamdulillah, sudah ada kawan di Labuan. Selepas itu, dia pun terus pergi.


Dalam masa dua jam ini, kami berjalan-jalan di sekitar kawasan berdekatan jeti ini. Ingat hati nak makan tengahari, tetapi bekalan dari Brunei masih ada dan selepas ini kami akan naik feri lagi, perjalanan selama tiga jam pula tu. Sebagai langkah berjaga-jaga, takut nanti mabuk dan muntah pula. Lagipun perjalanan feri Labuan ke KK ini melalui perairan laut lepas dan ketika ini pula merupakan waktu kuat tiupan angin monsun. Kami sempatlah beli beberapa barangan seperti pakaian dan coklat, kerana di sini adalah kawasan bebas cukai. Harga pun agak murah, malah harga coklat bagi saya lebih murah dari harga coklat di Langkawi.

Kaunter tiket feri di Terminal Feri Antarabangsa Labuan.


Pukul 12:20 tengahari, kedengaran panggilan untuk menaiki feri Labuan Ekspress Tiga. iaitu feri kami. Kebetulan ketika itu kami telah berada kembali di kawasan umum jeti ini. Jadi nampak gaya kami terpaksa sama ada solat di atas feri atau jamak takhir sahaja. Segera kami memasuki dan menaiki feri. Tepat jam 13:00 (1:00 tengahari), feri pun berlepas dari jeti penumpang Labuan.


Semasa di dalam feri, keluarga saya mulai mabuk ketika selepas dua jam perjalanan. Buat pertama kali, saya pun mengalami mabuk ketika lagi sepuluh minit mahu sampai ke jeti KK. Huh, sampai muntah angin, huhuhu.

Sampai di Jesselton Point, iaitu jeti feri di KK, kami pun keluar dari feri. Huh, mencabar jeti sini, dengan ombak laut yang agak tinggi dan bergelora walaupun angin agak cerah. Jeti yang feri berlabuh, bukanlah jeti yang kekal dari konkrit, tetapi jeti yang terapung. Sudahlah imbangan badan tidak berapa stabil, ditambah pula dengan keadaan jeti juga kurang stabil. Cuma saya risau anak lelaki saya sahaja, jurang antara feri dan jeti agak besar juga, dan titi pun tidak berapa tetap tempatnya. Tapi terkejut pula saya, anak saya melepasinya dan berada di sisi saya. Kami kemudian terus keluar ke jeti. Sebelum kami keluar dari kawasan jeti, dua orang pegawai imigresen, memeriksa dokumen pengenalan setiap penumpang. Saya sudah siap-siap memegang pasport, dan apabila sampai, saya terus serahkan pasport. Tetapi diberikan kembali setelah disemak, tanpa sebarang cop atau imbasan. Alamak, risau pula saya, takut bila hendak keluar Sabah nanti berlaku masalah pula. Saya tanya, tidak mengapa tidak cop atau imbas, pegawai itu kata, tidak mengapa. Padanlah Sopek beritahu awal-awal, di Jesselton Point ni kira bolos masuk ke Sabah. Baru saya faham maksud dia.


Selepas melepasi imigresen tadi, saya menghubungi sahabat sekelas saya dan Syida di Sekolah Menengah Teknik KL (TIKL), Ezanita Syawal (id Facebook Cikgu Ezanita), menanyakan tentang pengangkutan dan tempahan homestay kami di KK. Saya sebenarnya telah berurusan dengan dia di dalam Facebook. Beliau kata suaminya sedang mengambil kereta dan agak lambat sedikit sampai di Jesselton Point. Jadi kami rasa kami perlu makan dahulu.


Semasa memerhatikan kedai mana kami mahu makan, terlihat kegemaran saya, isteri saya dan anak kedua kami, Ketam Nipah. Nampak macam takut dengan kami, saya pun bermain-main dengan ketam ini, mentang-mentanglah sepitnya diikat. Lalu saya memilih ketam yang paling besar dan memilih untuk dimasak manis dan masam. Sementara menunggu ketam siap, saya mengambil gambar petang di Jesselton Point. Gambar di bawah ini menarik perhatian saya, dengan berlatar belakangkan Pulau Gaya.

Semasa ketam kami sedia sampai, Pariman (id Facebook: Pariman Bian), suami kepada Ezanita, menenefon kami. Dia sudah sampai di hadapan Jesselton Point. Saya kata kami baru nak makan, mohon untuk tunggu selama setengah jam. Dia kata tidak mengapa.

Nikmat betul dapat merasakan ketam ni. Saya ingatkan mahal, rupanya dalam RM60.00 sekilo. Oklah, walaupun di Pulau Carey, Banting, Selangor lagi murah. Lepas makan, kami segera menemui Pariman dan kami segera di bawa ke homestay.


Asalnya Ezanita ingin mengikut sekali untuk mengambil kami, tapi anaknya yang baru 3 bulan menangis, seumpama mahu tumbuh gigi. Semasa perjalanan, saya pun berboraklah dengan Pariman. Rupanya dia berasal dari keturunan Dusun, cuma namanya sahaja seumpama orang Jawa. Di sini saya dapat lihat permandangan Teluk Likas, ombaknya agak tinggi. Kalau orang suka meluncur, amat suka keadaan begini. Kemudian kami melalui Masjid Bandaraya Kota Kinabalu (seingat saya dulu terapung di Teluk Likas, kini berada ke dalam di darat), Menara Tun Mustapha (Yayasan Sabah), Kompleks 1Borneo dan Universiti Malaysia Sabah.


Tidak berapa jauh kemudian, di Sulaman, kami sudah sampai di homestay kami tinggal kami selama dua malam ini. Ia terletak di tingkat 4 (atas sekali) di sebuah apartmen 4 tingkat. Kedai-kedai amat dekat. Kemudahan di dalam rumah ini pun amat lengkap dengan 3 bilik tidur dan 2 bilik mandi. 




Homestay ini juga siap dengan peti ais dan dapur. Kemudahan pendingin hawa pun ada, sesuai dengan cuaca KK yang agak panas ketika itu. TV juga dilengkapi dengan astro. Kira berbaloilah kami ke sini. Mungkin masa kami akan datang ke KK dengan lebih ramai lagi, boleh kami duduk di homestay ini. Pariman pun memberikan kunci rumah dan kunci kereta sekali untuk kemudahan kami di KK ini. Jika ada masalah, boleh hubungi dia atau Ezanita, katanya. Dia kemudian pulang ke rumahnya.


Kami baru sedar kami belum solat Zohor dan Asar. Masa sudah menunjukan pukul 17:50 (5:50 petang), terus kami solat jamak qasar. Selepas setengah jam kemudian, kami solat jamak qasar Maghrib dan Isyak, setelah masuk waktu azan.

Malam ini kami tidak keluar, kerana sudah kepenatan.



Sementara itu, saya, dengan menggunakan plan data yang ada pada iPhone5 saya, membuat daftar masuk bagi penerbangan pulang kami ke KL di laman web daftar masuk Malindo Air dan menyimpan pas pelepasan untuk tujuan pelepasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu nanti. Terbaiknya daftar masuk di Malindo Air ini, kita boleh memilih tempat duduk kita. Selepas selesai proses daftar masuk ini, kami menonton televisyen dan kemudiannya tidur.

... Akan bersambung ke Hari 4.


Atau ingin melihat:


If want to read in English: 

  • Day 1 (this part), 
  • Day 2
  • Day 3, 
  • Day 4, 
  • Day 5 or 
  • itinerary.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan