Isnin, 3 September 2018

Padang, Sumetera Barat, Indonesia - 27 Ogos 2018 - Padang, Pintu Masuk Ke Bumi Minangkabau.

Bersambung dari Pra Kembara.

Jika mahu lihat catatan: 


If want to read in English: 

  • PreJourney; 
  • Itinerary;
  • Journey (this part);
  • Travel Guide - Padang, Indonesia.


Batu Malin Kundang, Pantai Air Manis, Padang, Sumatera Barat, Indonesia.


27 Ogos 2018 - Isnin.

Sudah agak lama juga saya tidak menaiki pesawat terbang untuk ke luar negara. Kali terakhir adalah pada 16 Julai 2016 ketika pulang dari mengembara di sekitar Osaka, Jepun (maaf kerana tidak dapat membuat catatan perjalanan tersebut). Huh, macamlah lama sangat, namun kalau kaki dah gatal nak berjalan lagi hendak buat macam mana, huhuhu. Sabar sahajalah!

Saya bagus pagi seawal 04:30 pagi dengan membersihkan diri. Tidak lama pun, dalam lima minit sahaja. Pagi-pagi agak sejuk sedikit. Selepas itu, memeriksa beg yang telah dimasukan dengan barang-barang yang perlu dibawa. Beg tersebut telah dikemaskan pada malam sebelumnya. Paling penting, kene periksa, pasport, wang-wang rupiah dan kad ATM Maybank & CIMB saya. Nasib baik saya perbaharui tempoh masa sah untuk pengeluaran antarabangsa bagi kedua-dua kad ATM ini. Saya kalau ke negara-negara ASEAN ini, biasanya akan keluarkan wang tunai di ATM sahaja.

Saya mula bergerak dari rumah pada pukul 05:10 pagi. Kira agak lewat juga, kerana saya ingin mengejar bas dari KL Sentral ke klia2 yang pukul 05:30 pagi. Kira agak tergesa-gesa juga saya. Saya sampai juga di kawasan Brickfields pada pukul 05:20 pagi, kira agak cepat juga saya sampai ke kawasan ini. Segera memarkir motorsikal saya, saya segera berlari anak ke stesen bas KL Sentral, untuk mengambil tiket saya dengan menunjukkan itinerari AirAsia saya. Alhamdulillah, saya sempat juga menaiki bas SkyBus trip pukul 05:40 pagi. Oh, sudah berubah lagi jadual bas ke klia2 ini. 

Akhirnya bas sampai juga ke stesen bas klia2 pada pukul 06:40 pagi. Saya dengan berjalan cepat, terus ke balai berlepas untuk ke kiosk daftar masuk yang ada di situ untuk mencetak kembali pas pelepasan saya. Lalu di kawasan ikon klia2, ada dua orang lelaki baru selesai mengambil gambar, apa lagi, saya pun segera mengambil gambar ikon tersebut yang dihias dengan tema Hari Kebangsaan. Malah, terdapat juga logo Hari Kebangsaan 2018 dihias pada sebelah kanan pintu masuk pintu pelepasan. Tapi tidak boleh lama-lama, kerana saya belum bersolat subuh lagi ini. Habis mengambil gambar, saya ke papan kenyataan untuk mengetahui pintu pelepasan penerbangsan saya, dan ia terpampang menyatakan pintu L1.

Saya terus ke kiosk yang kosong untuk mencetak semula pas pelepasan. Saya mencetak untuk perjalanan pergi dan pulang. Namun kedua-dua pas pelepasan mempunyai cop agar pas pelepasan itu disahkan. Jadi terpaksalah saya ke kaunter V2 untuk mengesahkan pas pelepasan perjalanan pergi saya. Mengambil masa juga kerana terdapat beberapa orang sedang beratur untuk tujuan sama. Akhirnya selepas 5 minit, saya diberikan pas pelepasan yang baru. Pas pelepasan perjalanan pulang, akan disahkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Minangkabau nanti.

Saya segera ke surau sebelah atas balai berlepas iaitu di Aras 2A, yang biasanya tidak seramai di sebelah bawah (Aras 2). Alhamdulillah, sempat saya menunaikan solat Subuh dalam waktunya. Usai solat, saya turun ke bawah dan terus ke pintu berlepas untuk urusan imigresen dan kastam. Selepas itu terus ke sayap L dan membuat pemeriksaan keselamatan dan terus ke pintu pelepasan L1. Tidak lama kemudian, dalam pukul 07:15 pagi, pintu pelepasan L1 dibuka untuk pelepasan masuk ke pesawat.

Muatan pesawat 9M-AGE yang menjadi penerbangan AK403 ke Padang pagi ini hampir penuh. Pesawat ini hanya bergerak meninggalkan bangunan terminal hanya pada pukul 08:00 pagi dalam keadaan hujan renyai membasahi bumi Sepang pada ketika itu. Masa itu juga saya mulai merasai terkucil hendak buang air kecil, namun ia tidak dibolehkan. Ditambahkan pula, keadaan trafik udara KLIA pada ketika itu agak sesak, dan pesawat kami berada di belakang barisan untuk berlepas. Kesesakan ini mungkin disebabkan, banyak penerbangan berlumba-lumba ingin berlepas segera kerana pada pukul 9:00 pagi hingga pukul 10:30 pagi mulai hari tersebut dan berterusan selama 5 hari, ruang udara sekitar Putrajaya termasuk KLIA ditutup untuk raptai perarakan Hari Kebangsaan. Huh, tersiksa saya, saya pun hairan, saya bukan pun minum banyak. Hendak jadi hal.



Ikon klia2 bertema Hari Kebangsaan 2018.

Hiasan di klia2 sempena Hari Kebangsaan 2018.

Kenyataan Maklumat Penerbangan klia2.

Akhirnya pada jam 08:45 pagi, dan lampu isyarat tali pinggang keledar hanya dimatikan sepuluh minit selepas itu. Apa lagi, berdesup saya ke tandas yang mana sayalah kiranya merasmikannya untuk hari itu. 55 minit yang agak lama saya rasakan. Huhuhu...

Setelah berada di udara kira-kira 35 minit, saya perasan pesawat kami telah terbang hampir di atas kota Padang. Agak lawa juga permandangannya. Malah saya amat jelas terlihat Masjid Raya Sumbar yang agak gadang (besar) itu. Setelah berlegar-legar di ruang udara Padang ini, maka pada pukul 08:40 pagi waktu Indonesia Barat - WIB (sejam lewat dari waktu Malaysia, selepas ini waktu adalah WIB sehingga dimaklumkan sebaliknya), selamatlah mendarat kami di Lapangan Terbang Antarabangsa Minangkabau, Padang, Sumatera Barat, Indonesia (kod IATA:PDG), atau dalam Bahasa Indonesia, Bandara Internasional Minangkabau (BIM).

Selepas 5 minit mendarat, pesawat ini selamat parkir di ruang apron BIM. Pintu pesawat dibuka depan dan belakang. Jika di depan, ia akan menggunakan jambatan udara dan di belakang akan berjalan di ruang apron sebelum masuk ke bangunan terminal. Saya memilih untuk keluar melalui pintu belakang, kerana ia lebih dekat dan kurang sesak. Terus berjalan hingga ke pintu masuk ke bangunan terminal dan terus sampai ke ruang imigresen. Saya cuba mencari borang imigresen, rupanya di BIM ini tidak perlu mengisi borang imigresen lagi. Bagus, dan memudahkan, cuma adakah ini hanya di BIM atau di serata Indonesia. Oleh kerana orang agak ramai juga, saya hanya selesai urusan imigresen selepas 15 minit (perlu diingatkan, pegawai imigresen Indonesia di Sumatera akan bertanyakan tiket balik atau keluar dari Indonesia, maka kita perlu adakan ia jika masuk melalui Sumatera tidak kira jalan udara atau laut). Alhamdulillah, akhirnya saya kembali ke Indonesia setelah lebih 2 setengah tahun tidak menjengahnya.

Semasa di dalam pesawat tadi, pembantu penerbangan ada memberikan saya borang perisytiharan kastam Indonesia (di Indonesia, kastam dipanggil bea cukai), namun pen saya pula tidak keluar dakwatnya. Jadi selepas sahaja urusan kastam, saya terus ke meja menulis di hujung ruang mengambil bagasi, yang terdapat juga borang perisytiharan tersebut dan sudah tentu ada juga pen. Jadi saya selesaikan mengisi borang tersebut dan setelah selesai, terus menyerahkannya ke pegawai kastam yang sedia menunggu di jalan keluar. Setelah itu, beg kita akan diimbas oleh mesin yang dikendalikan oleh pegawai kastam lain. Selesai urusan tersebut, pintu keluar dilewati dan kita sudah berada di landside.

Penerbangan AK403 sedang terbang di atas kota Padang.


Tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Minangkabau, Padang, Indonesia.


Carta Penerbangan AK403 27 Ogos 2018 daripada FlightRadar24.



Cop masuk imigresen Indonesia di LTA Minangkabau.

 
Borang Perisytiharan Kastam Indonesia.


Tujuan pertama saya adalah untuk mencari mesin ATM untuk mengeluarkan lagi wang rupiah untuk ditambah kepada wang yang telah dibawa saya. Risau tidak cukup sahaja. Mesin ATM berada hujung sebelah kanan bangunan, iaitu berlawanan dengan pintu ketibaan antarabangsa BIM yang berada di hujung kiri bangunan (jika kita dari pintu ketibaan mengadap ke luar).

Jadi saya pun berjalan mengharungi kawasan landside BIM ini dari hujung ke hujung. Keadaan BIM ini tidak ubah seperti lapangan terbang di Indonesia lain yang pernah saya gunakan (Batam, Kualanamu, Terminal 3 Sukarno-Hatta Jakarta dan Pekanbaru), yang mana landsidenya adalah ruang tidak berhawa dingin dan hanya sampai di sinilah pengunjung bukan penumpang penerbangan akan sampai. Untuk sampai ke balai berlepas (kawasan daftar masuk) pun hanya dihadkan kepada yang mempunyai tiket atau penempahan penerbangan sahaja.

Saya sampai ke ruang ATM yang mana terdapat 4 buah mesin ATM berbeza bank. Alhamdulillah, salah satunya adalah CIMB Niaga. Cuma Maybank sudah tiada mesin ATM di sini. Jadi saya pun mengeluarkan Rp200 000 (+- RM60) di sini. Lepas mengeluarkan wang atau istilah di mesin ATM itu, "menarik uang", terus saya mendapat mesej SMS, yang menyatakan sekali jumlah pengeluaran dalam Ringgit Malaysia, iaitu RM59.60.

Saya memang jika berkunjung ke luar negara terutama negara-negara ASEAN, akan mengaktifkan kemudahan pengeluaran antarabangsa bagi kad-kad ATM saya terutama kad ATM Maybank dan CIMB. Kedua-dua bank ini tidak mengenakan caj bagi pengeluaran wang di luar Malaysia dengan syarat menggunakan mesin ATM dalam kumpulan bank tersebut, iaitu kita boleh kenali dengan logo bank yang sama.

Setelah berjaya mengeluarkan wang rupiah lagi, saya kembali ke hujung kiri bangunan terminal BIM untuk melihat Bas DAMRI ada parkir di depan pintu ketibaan antarabangsa BIM. Sampai di sana, saya lihat bas tersebut tiada di situ, begitu juga dengan Bas Tranex Mandiri pun tiada. Memandangkan jam di tangan (saya sudah mengemaskini masa ketika di dalam pesawat lagi) menunjukan pukul 9:15 pagi, saya saya meneruskan perjalanan untuk ke Stesen Keretapi BIM atau dikenali sebagai Stasiun BIM, untuk menaiki sahaja keretapi ke kota Padang.

Saya hanya mengikuti susur pejalan kaki (bukan seperti peta di bawahnya) untuk ke stesen itu. Susur pejalan kaki ini akan membawa kita ke jejantas yang terus ke stesen keretapi ini. Hanya jejantas ini sahaja akses ke stesen ini. Jejantas ini juga terdapat pendingin hawa  juga. Sampai di ruang legar stesen, saya ke kaunter untuk membeli tiket ke Stesen Keretapi Padang atau Stasiun Padang. Harga tambangnya adalah Rp10 000 (+-RM3.00), menjadikan ia lebih murah berbanding menaiki bas DAMRI atau Tranex Mandiri yang masing-masing tambangnya Rp23 500 (+- RM7.83). 



Kawasan landside BIM.


 Pusat ATM di BIM.



Mesej SMS Pengeluaran ATM CIMB.

Tanda arah ke stesen keretapi BIM (Stasiun BIM).

Stasiun BIM dari bangunan terminal BIM.


Bangunan terminal BIM dari Stasiun BIM.


Peta: Perjalanan dari BIM ke Stasiun BIM.



Kaunter tiket Stasiun BIM.


Jadual Perjalanan Minangkabau Express.


Tiket keretapi dari Stasiun BIM ke Stasiun Padang.

Selepas membeli tiket, saya terus ke pintu masuk stesen, dimana tiket saya akan diperiksa oleh petugas dengan mengimbas tiket itu di mesin pengimbas. Setelah ia disahkan, maka barulah saya dibenarkan masuk. Setelah masuk, keadaan sudah tidak ada pendingin hawa lagi. Di sebelah kiri pintu, terdapat ruang menunggu yang tiada pendingin hawa, hanya ada alat pendingin hawa mudah alih sahaja. Tetapi terdapat soket eletrik yang agak banyak yang membolehkan kita mengecaj elektrik. Sebelah tempat menunggu ini adalah pejabat stesen master.

Saya melihat ke keretapi namun ia tidak akan dibuka sehingga 10 minit sebelum ia dijadualkan berlepas. Namun ada bagusnya, di sebelah kanan stesen ini juga terdapat ruang menunggu yang ada pendingin hawa. Ini amat melegakan, kerana cuaca agak panas pada pagi ini. Saya pun menunggu di ruangan ini yang mana terdapat juga tandas dan juga surau di sini, sehingga pintu keretapi dibuka.

Perkhidmatan Keretapi Lapangan Terbang (Kereta Api Bandara) dari Stasiun BIM ke Stasiun Padang, juga dikenali sebagai Minangkabau Express ini dikendalikan oleh PT Kereta Api Indonesia Persero (KAI), Divisi Regional II, yang mengoperasikan operasi keretapi KAI di barat Sumatera. Ia telah mula beroperasi pada 01 Mei 2018 dan dirasmikan oleh Presiden Indonesia, Joko Widodo pada 20 Mei 2018 di Stasiun BIM.

Tepat pukul pukul 09:35 pagi, pintu keretapi pun dibuka, dan penumpang-penumpang pun masuk. Keretapi ini agak bersih dan cantik juga dalamannya. Pendingin hawanya pun agak sejuk menyegarkan. Pelbagai kemudahan yang perlu ada bagi keretapi lapangan terbang pun ada, termasuk rak bagasi. Susun aturnya seperti keretapi jarak pertengahan namun terdapat pemegang tangan di setiap tempat duduk tengah dan tergantung di ruang tengah sepanjang keretapi. Paling bagus, seperti keretapi jarak jauh PT Kereta Api kelas eksekutif (kelas 2), terdapat soket elektrik di setiap barisan tempat duduk. Satu kemudahan yang amat bagus. Bolehlah telefon dicaj sementara dalam perjalanan.

Pada pukul 09:45 pagi, semua pintu ditutup dan bergeraklah keretapi ini meninggalkan Stasiun BIM. Tidak berapa ramai penumpang  keretapi ini pada ketika itu. Namun permandangan selepas itu amat menarik sekali. Dengan permandangan sawah padi dan juga sausana perkampungan Padang Pariaman, amat menenangkan hati. Perjalanan keretapi ini mengambil masa kira-kira 40 minit dan di pertengahannya akan berhenti di Stesen Duku dan Tabing. Jika menggunakan perkhidmatan ini tanpa melalui keluar atau masuk melalui Stasiun BIM, maka tambangnya hanya Rp5000 (+- RM1.50) sahaja. Dalam perjalanan ini sempat juga saya membuat beberapa video langsung FB dan juga video biasa (boleh lihatnya di bawah ini).

Keretapi di Stasiun BIM.

Plak perasmian perkhidmatan keretapi LTA Minangkabau.

Ruang menunggu di Stasiun BIM.

Keadaan di dalam keretapi LTA Minangkabau.

Soket elektrik di dalam keretapi.

Antara permandangan dari dalam keretapi.

Facebook Live 1.

Facebook Live 2.

YouTube: Pengalaman Menaiki Keretapi dari Stasiun BIM ke Stasiun Padang 1/4.

YouTube: Pengalaman Menaiki Keretapi dari Stasiun BIM ke Stasiun Padang 2/4.

YouTube: Pengalaman Menaiki Keretapi dari Stasiun BIM ke Stasiun Padang 3/4.

YouTube: Pengalaman Menaiki Keretapi dari Stasiun BIM ke Stasiun Padang 4/4.


Stesen keretapi Tabing.

Sebelum sampai di Stasiun Padang, saya sempat mengaktifkan perkhidmatan perayauan antarabangsa data U Mobile saya melalui plan U Data Roam 10, yang mana ditawarkan pada harga cuma RM10.00 sahaja bagi penggunaan data tanpa had. Hanya perlu kekal dalam liputan telco Indosat Ooredoo sahaja sepanjang berada di bumi Indonesia.

Sampai sahaja di Stasiun Padang, sambil-sambil lihat keadaan sekitar, saya terus ke pintu masuk di jalan utama (Jl Haji Agus Salim), untuk menaiki GrabBike (perkhidmatan ojek atau teksi motorsikal daripada Grab) yang saya tempah semasa berjalan kaki dari Stasiun Padang ke pintu masuk. Ini pun antara tujuan saya mengaktifkan perkhidmatan data telefon bimbit saya. Destinasi saya dengan menggunakan GrabBike ini adalah untuk ke Pantai Air Manis, bagi melihat dengan mata saya sendiri Batu Malin Kundang atau jika di Malaysia, lagenda yang lebih kurang sama adalah Si Tanggang. Harga tambang GrabBike tersebut adalah Rp17 000 (+- RM5.10) bagi perjalanan hampir 10 kilometer.

Perjalanan sepanjang perjalanan ini mendedahkan saya kepada keadaan di kota Padang. Kiranya dengan adanya perkhidmatan ojek ini kita lebih dekat dengan suasana sebenar masyarakat marhaien. Agak hiruk pikuk juga kota Padang ini. Merasa juga saya menyeberangi Sungai Padang menggunakan Jambatan Siti Nurbaya. Selepas sahaja melewati sungai, suasana agak berbeza dengan suasana agak perkampungan di samping permandangan tepi sungai ala-ala tebingan yang sedang disiapkan oleh kerajaan tempatan.

Selepas itu, kita akan disajikan dengan suasana hutan pula, tatkala mendaki bukit dan kemudian menuruninya. Di sini dapat melihat permandangan Lautan Hindi yang begitu cantik dan seperti kurang terusik. Sambil-sambil itu, saya menemu bual penunggang GrabBike ini tentang pelbagai hal terutama mengenai Padang dan Malin Kundang.


SMS Pengaktifan Perayauan Antarabangsa U Mobile.

Keadaan di dalam Stasiun Padang.

Stasiun Padang.


Menaiki ojek (teksi motorsikal) GrabBike Padang.


YouTube: Pengalaman Menaiki GrabBike di Padang, Indonesia (1/3).

YouTube: Pengalaman Menaiki GrabBike di Padang, Indonesia (2/3).



Permandangan sungai dari Jambatan Siti Nurbaya.


Muara Sungai Padang.

Permandangan perjalanan ke Pantai Air Manis.

Permandangan perjalanan ke Pantai Air Manis.

YouTube: Pengalaman Menaiki GrabBike di Padang, Indonesia (3/3).

Peta: Perjalanan dari Stasiun Padang ke Pantai Air Manis.

Selepas hampir 25 minit menaiki ojek GrabBike, akhirnya tiba juga saya di pintu masuk ke Pantai Air Manis. Jadi saya meminta untuk hantar ke situ sahaja, kerana jika kita masuk sekali dengan ojek, maka kita perlu membayar tiket masuk untuk penunggang ojek sekali. Saya membayar ojek GrabBike dengan menggunakan GrabPay (juga penggunaan GrabBike selepas ini). Saya kemudian ke pintu masuk ke Pantai Air Manis dan membayar harga tiket masuk Rp5000 (+-RM1.50). 

Selepas itu saya terus berjalan masuk. Tidak jauh dari situ, terdapat seorang penyedia perkhidmatan motorsikal ATV menawarkan perkhidmatan tersebut. Harga yang ditawarkan bagi saya agak mahal, iaitu Rp50 000 (+- RM15.00) bagi setiap kali sewa. Adakah ia harga bagi pengunjung mancanegara (pelancong luar negara) atau sengaja mengambil kesempatan? Jadi saya menolaknya. Sambil saya berjalan, dia terus memujuk dengan mengatakan kalau hendak murah boleh bonceng dan harga boleh bincang. Selain  itu, dia mengatakan juga jarak Batu Malin Kundang agak jauh. Namun saya tidak mengendahkannya.

Untuk ke Batu Malin Kundang, kita perlu berjalan menyusuri pantai di Pantai Air Manis ini, kira-kira hampir satu kilometer juga. Semasa saya di pantai ini, kelihatan pantai ini agak luas. Ini kerana air sedang surut pada masa itu. Kiranya masa yang agak sesuai, walaupun cuaca agak panas kerana hampir waktu tengahari. Pantainya agak bersih juga agak terjaga. Semasa pergi, saya melalui kawasan pantai, jadi agak berpeluh juga kerana disinari sinaran matahari. Akhirnya selepas berjalan kira-kira hampir 20 minit, sampailah saya di Batu Malin Kundang.

Papan Tanda pintu masuk ke Pantai Air Manis.


Pintu masuk ke Pantai Air Manis.



Tiket masuk ke Pantai Air Manis.



Mercu tanda Pantai Air Manis.

Pantai Air Manis.

Malin Kudang adalah lagenda yang seumpama lagenda Si Tanggang yang terkenal di Malaysia. Khabarnya Malin Kundang yang merupakan anak orang miskin, telah merantau dan akhirnya berjaya menjadi nakhoda yang bergelar Nakhoda Manis. Malin Kundang juga berjaya berkahwin dengan seorang puteri raja. Satu hari, kapal yang dikemudinya tiba di kampung halamannya. Namun ketika ini, dia sombong dan jijik, tidak mengaku bahawa dia ini anak kepada ibunya apabila ibunya bertemu dengannya. Akhirnya ibunya menyumpahnya menjadi batu akibat kecewa dengan sikapnya. Maka jadilah Malin Kundang, kapalnya dan isi-isinya menjadi batu.

Apabila melihat batu ini, terasa insaf sangat. Batu Malin Kundang ini memang kelihatan seperti orang yang sedang bersujud, seolah-olah merayu memohon kemaafan atas kesalahan. Setelah melihat batu ini dan batu-batu lain di sekitar, saya rasa hanya Batu Malin Kundang sahaja yang asli. Batu lain yang kelihatan seperti kapal, tali, tong-tong dan sebagainya, nampak sangat tidak asli dan dibuat manusia. 

Satu lagi yang tidak sesuai bagi saya adalah kedudukan gerai-gerai yang amat hampir, menjadikan batu ini tidak lagi ekslusif dan kurang tampak seperti tempat pelancongan. Malah batu ini seperti tidak yang menjaganya dan tidak di selenggara, orang ramai bebas duduk di atas, malah mungkin membolehkan orang memahat untuk mengambil batu ini, mungkin atas tujuan yang tidak baik! Mungkin pihak terbabit perlu berbuat sesuatu agak objek wisata atau tempat pelancongan ini lebih kelihatan baik.

Saya di situ sekitar 20 minit. Berdekatan dengan batu ini, ada sahaja gerai-gerai cenderahati, namun saya memang tidak bercadang untuk membelinya, maklumlah bajet tidak banyak. Bagi saya, tempoh 20 minit itu, memang memberikan kesan terhadap saya, dan 20 minit yang optimum yang pernah saya alami.

Batu Malin Kundang.

Batu Malin Kundang.


Arca berbentu kapal berdekatan Batu Malin Kundang.


YouTube: Batu Malin Kundang di Pantai Air Manis, Padang, Sumatera Barat, Indonesia.

Saya pun kembali ke pintu masuk, kali ini menyusuri bawah teduhan pokok-pokok, kerana hari menjadi lebih panas. Sepanjang di pantai ini, isyarat telefon dari telco Indosat Ooredoo amat lemah. Saya tidak boleh membuat video langsung Facebook. Walaupun ada ketika, ada isyarat 4G, namun seperti tiada kesan. Cuma ada beberapa mesej Whatsapp sahaja yang masuk. Paling menyedihkan, aplikasi Grab saya tidak dapat mengesan lokasi tepat saya. Adakah kerana isyarat telekomunikasi yang teruk atau disebabkan adanya sumpahan Batu Malin Kundang? Wallahu aklam, yang pastinya, saya tidak boleh memesan sebarang perkhidmatan Grab langsung.

Jenuh juga saya saya tunggu di simpang masuk ke Pantai Air Manis sambil membega aplikasi Grab saya. Tapi hampa! Masa semakin mencemburui, akhirnya ada seorang penunggang motorsikal bertanyakan saya sama ada mahu ojek. Saya tanya berapa harganya, ditawarkan Rp30 000 (+- RM9.00) untuk ke pusat bandar (saya tidak tahu di mana sebenarnya dimaksudkan). Huh, agak mahal, rasanya dalam separuh harga. Mulanya saya menolak, namun oleh kerana sudah hampir masa untuk solat Zohor maka saya pun terimanya.

Lalu dibawa saya oleh penunggang motorsikal tersebut sehingga ke Taman Imam Bonjol (lebih dikenali sebagai Imam Bonjol sahaja).Saya tiada wang kecil cukup-cukup Rp30 000, cuma ada nota Rp50 000 atau 5 helai nota Rp5000, tidak cukup Rp30 000. Dia pun cuma ada Rp15 000 sahaja. Maka, saya pun malas hendak bertekak lagi dan mengejar masa, maka saya pun terima sahaja Rp15 000 menjadikan tambang ojek saya itu Rp35 000 (+- RM10.50) huhuhu. Nasib badan.

Seterusnya, saya memesan GrabBike dari Imam Bonjol ke Restoran Ikan Bakar Pondok Mugil cabang (cawangan) Tamsis (Taman Siswa), yang dicadangkan oleh seorang sahabat, walaupun asalnya saya hendak makan nasi padang sahaja. Yelah, nasi padang boleh dapat tempat lain, tapi Ikan Bakar Pondok Mugil atau dulunya dikenali sebagai Ikan Bakar Pak Tri's hanya ada di Padang dengan dua cawangan dan di Pekanbaru sahaja. Harga tambang adalah Rp4000 (+- RM1.20).

Sebab saya memilih Ikan Bakar Pondok Mugil cawangan Tamsis adalah untuk saya ke Masjid Raya Sumbar (Sumatera Barat) yang berdekatan dengan restoran itu sebenarnya. Dalam masa 2 minit, motorsikal GrabBike pun sampai dan dalam masa 10 minit, ia pun sampai ke restoran terbabit.

Sampai di restoran itu, saya agak keliru, kerana di dalam page Facebooknya, dikatakan terdapat hidangan pakej yang agak berpatutan, namun di situ tiada pula. Hendak tidak hendak, saya pun memesan ikan yang ada di ruang pameran untuk dijadikan ikan bakar. Saya memilih ikan pari, kerana ikan lain saya lihat seperti lebih mahal,lagipun tiada sebarang tanda harga di situ. Bila ditanya pun, jawapan seperti tidak meyakinkan sahaja.

Untuk makanan sampingan, saya memilih sayur kangkung polos (kangkung di masak lemak putih) dan teh ais. Nasi saya minta hanya satu senduk sahaja, agak kecil bahagiannya. Menunggu ikan siap agak lama juga kira-kira hampir setengah jam, disamping menunggu saya mendengar azan (dari Masjid Raya Sumbar). Sambil menunggu, saya memeriksa jadual keretapi ke BIM, huh keretapi seterusnya adalah pukul 1:20 tengahari! Nampak gaya, memang tidak sempatlah ke Masjid Raya Sumbar ini.

Ikan bakar pun sampai kira-kira pukul 12:40 tengahari bersama makanan lain. Perkh bro! Memang sedap, baik makan begitu sahaja mahupun dicicah dengan sosnya. Rasa yang agak unik dengan gabungan rasa percik, tandori, sate dan macam-macam lagi. Kena rasa baru tahu. Memang terbaiklah ikan bakar ini, cuma makan tidak begitu nikmat pasal saya kena kejar keretapi pula.

Jadi saya selesai makan dan bayar sebanyak Rp85 000 (+- RM25.50), terus memesan GrabBike untuk ke Stasiun Padang. Dengan tambang sebanyak Rp5000 (+- RM1.50), ia sampai di depan restoran pada pukul 1:00 tengahari. Agak ketidak tentuan (suspend) juga, sempat atau tidak untuk keretapi ke BIM tu. Semoga sampai.




Peta: Perjalanan dari Pantai Air Manis ke Taman Imam Bonjol.

Peta: Perjalanan dari Taman Imam Bonjol ke 
Restoran Ikan Bakar Pondok Mungil cawangan Taman Siswa, Padang


Kad Perniagaan Ikan Bakar Pak Tri's (kini dikenali sebagai Ikan Bakar Pondok Mungil) cawangan Taman Siswa (Tamsis), Padang.


Ikan Bakar Pondok Mungil cawangan Tamsis, Padang.



Menu Ikan Bakar Pondok Mungil.



Makanan tengahari saya.


Resit bayaran.

Akhirnya sampai juga pada pukul 1:10 tengahari dan saya minta untuk bawa ke lobi stesen. Maka perlu membayar caj masuk motorsikal sebanyak Rp2000 (+- RM0.60). Saya beri Rp5000 dan diberikan baki kombinasi wang kertas dan syiling. Dapat juga saya duit syiling Rp200 baru sebagai koleksi.

Saya terus ke kaunter (atau dipanggil loket di Indonesia) untuk membeli tiket (Rp10 000 (+- RM3.00)). Alhamdullah, saya sempat untuk menaiki keretapi trip 1:20 tengahari itu. Dapat tiket, terus menyerahkan kepada petugas yang mengimbas tiket saya dan terus saya menaiki keretapi. Tepat pukul 1:20 tengahari, bergeraklah keretapi meninggalkan Stasiun Padang ke Stasiun BIM.

Tidak lama selepas berlepas, saya pun melihat peta, menunjukan keretapi ini akan lalu bersebelahan dengan Masjid Raya Sumbar. Oleh kerana, dilindungi oleh perumahan dan pohon-pohon, maka saya dapat melihat bumbung masjid yang bercirikan bumbung Minangkabau. Jadilah, melepas keinginan.

Selepas itu saya duduk di tempat duduk sambil melihat keluar tingkat. Entah bila entah, saya pun terlelap. Saya terjaga tatkala dikejutkan oleh petugas keretapi untuk memeriksa tiket. Akhirnya selepas 40 minit iaitu pada pukul 2:00 petang, sampailah keretapi ini ke Stasiun BIM.


Peta: Perjalanan dari Ikan Bakar Pondok Mungil cawangan Tamsis ke Stasiun Padang.


Rp 200 (+- 6 sen)


Tiket keretapi dari Stasiun Padang ke Stasiun BIM.


Bumbung Masjid Raya Sumbar (Sumatera Barat).

Saya terus berjalan menusuri jejantas dan susur pejalan kaki untuk kembali ke bangunan terminal BIM. Terus saya nampak kedua-dua bas bandara (lapangan terbang) DAMRI dan Tranex Mandiri di depan pintu ketibaan antarabangsa.

Saya ke surau yang terletak di tepi pintu ketibaan antarabangsa ini, namun ternampak mesin runcit automatik yang menjual air kegemaran saya di Indonesia, iaitu Teh Botol, yang tidak sempat saya jumpai pada perjalanan ini. Harganya pun cuma Rp5000 (+- RM1.50) sahaja. Hilangkan lelah dahulu sebelum solat. Setelah selesai minum satu botol teh botol itu, saya pun ke surau untuk menunaikan kewajipan. Di surau ini berkongsi bagi lelaki dan wanita, cuma tempat wuduk sahaja terpisah, jadi jangan terkejut sahajalah, dan hati-hati agar tidak tersentuh berlain jantina. Juga perlu pandai-pandai sendiri untuk menjaga aurat, kerana tiada kain atau pemisah ruang antara lelaki dan wanita. Ruang pun kecil sahaja.

Setelah usai solat, saya pun terus ke pintu berlepas untuk mendaftar masuk. Pintu untuk penerbangan antarabangsa dan domestik adalah sama sahaja. Hanya yang mempunyai tempahan tiket penerbangan sahaja yang dibenarkan masuk. Tempahan akan diperiksa tidak kira secara bercetak atau di dalam telefon bimbit oleh petugas keselamatan (AVSEC) daripada Kementerian Perhubungan Indonesia. Seterusnya pemeriksaan keselamatan pertama perlu dijalankan dengan semua beg diimbas dan juga segala benda loga termasuk tali pinggang dan telefon bimbit perlu melalui mesin x-ray dan penumpang perlu melalui mesin pengimbas.

Setelah melalui pemeriksaan keselamatan pertama ini, saya pun ke kaunter daftar masuk untuk mendapatkan pengesahan bagi pas pelepasan, namun diberikan pas pelepasan baru. Lepas mendapatkan pas pelepasan tersebut, saya terus ke tingkat atas untuk ke balai pelepasan pula. Selepas sahaja eskalator, pemeriksaan keselamatan kedua pula menanti. Proses yang sama juga perlu dilalui, sama seperti pemeriksaan keselamatan pertama.

Selesai sahaja proses keselamatan kedua ini, saya naik lagi ke tingkat 3 untuk melihat apa yang ada. Memandangkan ada duit sikit ni, maka saya membeli teh ais Thai berharga Rp22 000 (+- RM5.50). Haus di tekak tidak hilang lagi. Rupa-rupanya di tingkat 3 ini terdapat surau lagi dan juga lounge bagi penerbangan Garuda Indonesia.

Selepas itu, saya turun balik ke tingkat 2 dan menghabiskan teh ais saya itu. Tingkat 2 ini adalah letaknya balai pelepasan yang mana akan balai pelepasan domestik mendominasi kawasan. Saya duduk lepak di balai ini lah. Terdapat beberapa kedai-kedai menjual pelbagai barang termasuk cenderahti tempatan.

Habis sahaja teh ais saya, saya pun bersedia untuk pemeriksaan keselamatan yang ketiga yang dibuat sebelum masuk ke balai pelepasan antarabangsa. Prosedur yang sama kecuali di sini perlu mengeluarkan bank kuasa (power bank) dari dalam beg untuk diperiksa kapasitinya agar tidak melebihi 20 000 mAH. Selesai urusan keselamatan ketiga ini, barulah boleh ke kaunter imigresen untuk prosedur keluar Indonesia.

Di balai pelepasan antarabangsa ini tiada kedai-kedai. Namun terdapat banyak tempat duduk yang agak selesa. Malah terdapat kawasan mainan kanak-kanak untuk penumpang kanak-kanak. Tandas yang ada di sini pun bersih sangat dan sangat dijaga. Paling bagus, terdapat stesen yang ada soket elektrik yang salah satunya adalah soket jenis G yang digunakan di Malaysia. Dapat juga saya menyambung hayat telefon saya yang makin sikit kapasiti bateri yang tinggal. Dari balai pelepasan ini juga dapat melihat suasana permandangan bumi Sumatera Barat yang indah itu.



Bas Bandara (Lapangan Terbang) BIM.


Teh Botol.


Balai Berlepas LTA Minangkabau.


Cop keluar imigresen Indonesia di LTA Minangkabau.


Balai Pelepasan Antarabangsa LTA Minangkabau.

Kawasan permainan kanak-kanak di Balai Pelepasan Antarabangsa LTA Minangkabau.

Permandangan dari Balai Pelepasan Antarabangsa LTA Minangkabau.


Soket elektrik di Balai Pelepasan Antarabangsa LTA Minangkabau.

Sepatutnya pada 3:30 petang, pintu pelepasan dibuka, malah terdapat pengumuman dibuat, namun disebabkan pesawat tidak sampai lagi dari klia2, maka ia dibatalkan. Lima minit kemudian pesawat AirAsia telah tiba dan tidak lama kemudian, pintu pelepasan pun dibuka. Akhirnya pada pukul 4:20 petang, pesawat 9M-AGJ ini bergerak meninggalkan bangunan terminal BIM dan kemudian penerbangan AK404  ini berlepas meninggalkan bumi Indonesia lima minit kemudian.

Akhirnya penerbangan ini tiba di klia2 pada pukul 6:20 petang (waktu Malaysia, dan selepas ini semuanya waktu Malaysia) dan tiba di pintu L4 pada pukul 6:35 petang. Saya pun segera ke balai ketibaan dengan melaksanakan urusan imigresen dan kastam seterusnya terus ke stesen bas klia2 untuk menaiki bas trip pukul 07:00 malam. Sempat singgah ke kedia Family Mart untuk membeli onigiri ebiko (RM5.10) untuk mengalas perut.


Carta Penerbangan AK403 27 Ogos 2018 daripada FlightRadar24.

Bas kami sampai di KL Sentral pada pukul 8:10 malam. Saya terus ke tempat motorsikal saya diparkir dan seterusnya membawa motorsikal saya ke Madrasatul Gauthiyyah di Brickfield untuk menunaikan kewajiapan. Usai solat, saya singgah ke Restoran Nasi Lemak Royal, Brickfield untuk makan malam. Usai makan malam terus ke rumah dan alhamdulillah sampai ke syurga saya pada jam 9:30 malam.

Jadi inilah perjalanan sehari saya ke Padang. Sebenarnya jika diikutkan memang tidak puas kerana ada tempat yang tidak sempat dikunjungi. Mungkin disebabkan masa agak suntuk terutama akibat penerbangan lambat berlepas sehingga lambat tiba di Padang.

Namun yang penting, kepuasan untuk mengembara tetap ada, juga dapat melepaskan kegianan. Lagipun cara begini sesuai bagi bajet yang tidak berapa ada ini. Juga yang penting, pengajaran dari Malin Kundang dan kepuasan dapat melihat batu tersebut di sepan mata.

Terima kasih kerana membaca catatan perjalanan ini, semoga dapat terus bersama blog kembara ini untuk perjalanan yang lain pun.

Sebelum mengakhiri, mohon like dan follow Facebook Kembara GD, Instagram @KembaraGD dan Twitter @KembaraGD serta akan datang saluran YouTube Kembara GD.

Biar kita jadi pengembara, bukan jadi pelancong.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarukatuh.


Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan... (Exploring the World, Knowing the Life...).


Jika mahu lihat catatan:

If want to read in English: 

  • PreJourney; 
  • Itinerary;
  • Journey (this part)
  • Travel Guide - Padang, Indonesia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan