Khamis, 2 April 2015

Hari 1 Bahagian 2 (Pekanbaru, Indonesia - 29 hingga 30 Mac 2015) - Sepetang Di Pekanbaru.

Bersambung dari Hari 1 Bahagian 1.


Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • PreJourney; 
  • Itinerary
  • Day 1 Part 1; 
  • Day 1 Part 2 (this part); or 
  • Day 2.


Setelah setengah jam berehat di dalam masjid, kami pun bergerak keluar untuk ke hotel, kerana jam telah menunjukan pukul 1:45 petang. Oleh kerana kami masuk ke masjid ini melalui pintu belakang, kali ini kami keluar masjid melalui pintu utama. Wah! Baru kami melihat ruang dataran di hadapan masjid ini sungguh luas!


Kelihatan juga bangunan utama Universitas Riau yang berada di hujung tenggara Masjid Agung An-Nur ini. Kami bergambar untuk kenangan kami. Kami meneruskan perjalanan ke Gaja Hotel untuk mendaftar masuk.


Dalam masa lima belas minit, sampailah kami ke kawasan hotel yang terletak tidak jauh dari simpang Jalan Sisingamangaraja dan Jalan Sutomo. Di hadapan hotel ini, terdapat sebuah hospital iaitu Rumah Sakit Umum Daerah (RSUD) Petala Bumi. Hotel ini agak bagus dan nampak seperti hotel perniagaan. Sesuai dengan namanya, konsep hotel ini banyak memaparkan seni visual (arca, patung dan lukisan) bertemakan Gajah.


Urusan daftar masuk berjalan lancar, dan kami diberikan juga minuman selamat datang yang berupa air kordial oren dengan ais. Memang menyegarkan, kerana saya memang sudah bermandi peluh akibat kehangatan cuaca tengahari di Pekanbaru yang terik ini. Cuma, saya perlu membayar wang cagaran sebanyak Rp150 ribu (+- RM45). Tidak mengapalah. Kami kemudian diberikan kunci bilik di tingkat 1.


Apa lagi bila dapat katil, teruslah kami baring. Semuanya agak baik kecuali pendingin hawa bilik kami agak kurang sejuk sedikit. Tidak mengapalah, cuma tinggal semalam sahaja. Kalau diminta pihak hotel untuk membaiki, rasanya tidak berehat kami. Setelah badan saya agak sejuk sedikit, saya pun membersihkan diri. Kami berehat dahulu sambil menonton perlumbaan F1 secara langsung yang diadakan di Litar F1 Sepang di saluran Fox Sport yang ada di hotel ini. Kalau berjalan pun agak panas.




Selepas habis perlumbaan F1 tamat, kami pun mula berjalan kaki untuk meneroka sekitar kota Pekanbaru ini. Dari hotel kami menyusuri Jalan Sisingamangaraja yang mempunyai kaki lima jalan yang agak baik walaupun jika mengikut Jalan Gatot Subroto atau Jalan Tangkuban Parahu lebih dekat. Kami berjalan untuk kembali ke Jalan Jenderal Sudirman yang merupakan jalan utama di Pekanbaru ini. Setelah sampai ke Jalan Jen. Sudirman, kami berjalan menghala ke utara pula. Memang kawasan ini merupakan nadi denyut warga Pekanbaru. Banyak bank yang ada di sini, termasuk sebuah cawangan bank CIMB Niaga yang besar terletak di sini.



Seterusnya kami meneruskan perjalanan dan lalu di hadapan pusat membeli belah Mal Pekanbaru dan Pasar Buah Pekan Baru yang dahulunya pasar buah-buahan yang kini berubah menjadi sebuah pasaraya. Di hujung jalan ini sebenarnya jalan mati kerana bertemu dengan Sungai Siak, namun kini sedang dibina jambatan merentasinya. Namun apa yang saya perhatikan, tinggal komponen jambatan sahaja yang perlu dibina dan ia kelihatan seperti terbengkalai. Kami perlu berjalan ke Jalan Ir H. Juanda yang terletak di pangkal jambatan yang belum siap ini. Destinasi kami adalah Pasar Bawah.



Pasar Bawah bolehlah dikira sebagai pasar rakyat marhaen. Ia merupakan sebuah bangunan empat tingkat (termasuk tingkat bawah) yang menjual pelbagai barang keperluan warga Pekanbaru dari barangan basah (ikan, daging, sayur) ke barang kering ke periuk belangan, pinggan mangkuk, ke pakaian, langsir dan banyak lagi termasuk kerepek dan keropok. Malah barangan cenderahati pelancong juga ada di sini seperti baju-T, rantai kunci dan sebagainya. Cuma magnet peti ais tidak saya jumpai di sini. Sempat juga saya membeli baju T untuk keluarga saya di tanah air, tetapi seperti biasa di Indonesia, saiz saya memang tiada.


Sebenarnya bukan hanya di bangunan pasar sahaja kegiatan ekonomi berlangsung, malah di sekelilingnya juga begitu giat walaupun masa hendak masuk ke senja. Oleh kerana kami belum makan tengahari lagi, kami pun makan di sebuah restoran (rumah makan) di sini. Kami makan nasi campur, di mana saya dapat makan lauk asam pedas ikan tongkol. Dapat juga rasa asam pedas ala Riau. Seperti biasa, minuman adalah jus alpokat. Terima kasih kepada tuan Saidi kerana belanja makan, di mana jumlah bayarannya adalah Rp 70 ribu. Selepas usai makan tengahari merangkap makan malam juga, kami kembali ke bangunan Pasar Bawah ini tetapi tidak lama, kerana kedai-kedai mulai tutup (dalam pukul 5:30 petang mereka mulai menyusun).



Jadi kami ke satu jalan yang mana kami ternampak sebuah pintu gerbang di hujung jalan. Rupanya ia menghala ke pelabuhan lama Pekanbaru. Rupanya kawasan Pasar Bawah ini dahulunya merupakan pusat kota lama bagi Pekanbaru.


Sebenarnya kawasan pelabuhan lama ini merupakan kawasan larangan, namun larangan itu hanya sekadar perhiasan sahaja, kerana pada petang ini saya lihat ramai warga Pekanbaru menghabiskan masa di sini. Ia umpama seperti taman yang tidak kelihatan macam taman pun. Mungkin bagus jika pemerintah kota Pekanbaru dapat menukar kawasan ini menjadi kawasan riadah keluarga kerana kawasannya agak cantik, di tebing Sungai Siak. Di sini juga, saya dapat melihat beberapa orang kanak-kanak bergembira mandi sungai, satu pandangan yang agak jarang berlaku di Malaysia, tetapi ia berlaku di tengah-tengah kota Pekanbaru.


Suasana petang di sini memang cantik, dengan permandangan berlatar belakangkan Jambatan Sungai Siak II dan III  yang merupakan mercu tanda kota Pekanbaru (terutama Jambatan III). 


Di sini juga dapat dilihat kehidupan warga Pekanbaru dari sudut yang lain. Walaupun wilayah Riau merupakan antara wilayah yang terkaya di Indonesia kerana kemewahan hasil buminya terutama petroleum, namun ada juga yang masih tinggal dirumah yang daif. Namun begitu, ketaat terhadap agama tidak dinafikan dengan terdapatnya banyak masjid-masjid sehingga satu kampung terdapat bukan dua malah lebih dari tiga buah masjid! Sambil itu, walau rumahnya daif, tapi terdapat juga piring siaran televisyen satelit.



Ketika kami di situ, sebenarnya hujan renyai-renyai telah turun tetapi hanya sebentar sahaja. Hasilnya terdapat pelangi berkembar terjadi hasil biasan cahaya petang oleh hujan renyai-renyai itu.



Setelah agak lama di tebingan Sungai Siak, kami ke Masjid Raya Pekanbaru yang tidak jauh dari situ. Masjid ini menandakan bahawa kawasan ini dahulunya adalah kawasan istana Kerajaan Kesultanan Siak namun kini ia sudah tiada kerana dikatakan dimusnahkan oleh penjajah Belanda. Cuma Belanda tidak memusnahkan masjid ini dan makam kerabat diraja yang ada di sebelahnya.



Masjid yang ada sekarang ini pun bukan masjid asal, kini sedang dibuat pembinaan untuk dibesarkan. Bangunan asal dimusnahkan, sayang. Yang tinggal hanyalah pintu gerbang yang berwarna kuning dan hijau sahaja. Kerja pembinaan pun nampak agak lambat. Niat asal saya ingin bersolat Maghrib di sini tetapi oleh kerana kurang selesa dengan keadaan yang agak berselerak akibat masjid yang separuh siap, niat saya itu dibatalkan.



Seterusnya, kami pulang ke hotel, namun singgah dahulu di Pasar Buah Pekan Baru dan juga Mal Pekanbaru. Di Mal Pekanbaru ini sebagaimana pusat membeli belah biasa lain, ia agak sama sahaja. Jadi kami pun tidak lama, dan terus ke hotel melalui Jalan Tangkuban Parahu (lalu di hadapan Tune Hotel Pekanbaru) kemudian ke Jalan Gatot Subroto dan akhirnya sampai di hotel kami tepat jam 8:00 malam.



Semasa perjalanan, cuaca kembali gerimis sepanjang jalan. Jadi di hotel, saya terus mandi membersihkan diri dan kemudian solat. Layan televisyen sambil-sambil mengurut kaki yang kepenatan. Saya pun tertidur tidak pasti bila (rasanya pada jam 10:30 malam).

Bersambung ke Hari 2.

Jika mahu lihat catatan: 
If want to read in English: 
  • PreJourney; 
  • Itinerary
  • Day 1 Part 1; 
  • Day 1 Part 2 (this part); or 
  • Day 2.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan