Rabu, 1 April 2015

Hari 1 Bahagian 1 (Pekanbaru, Indonesia - 29 hingga 30 Mac 2015) - Selamat Datang Ke Bumi Lancang Kuning.

Bersambung dari Pra Kembara.


Jika mahu lihat catatan: 
If want to read in English: 
  • PreJourney; 
  • Itinerary
  • Day 1 Part 1 (this part); 
  • Day 1 Part 2; or 
  • Day 2.



Akhirnya, pagi ini telah tiba. Saya seperti biasa, bangun agak awal, cuma pagi ini saya perlu menyiapkan beg galas Deuter 28 liter saya untuk kembara ini. Oleh kerana kembara ini hanya dua hari, jadi tidak banyak pakaian yang dibawa, namun saya bawa dua helai baju juga disamping baju yang dipakai, kerana dikhabarkan cuaca di Pekanbaru agak panas, saya pula kuat berpeluh. Sekejap sahaja persiapannya, kerana seperti biasa, dibantu oleh isteri.

Jam 7:50 pagi, baru tergerak roda kereta dari rumah untuk ke Subang Skypark. Asalnya hendak pergi lebih awal kerana merancang untuk sarapan pagi, namun oleh kerana saya merancang untuk sampai di Subang Skypark seawal jam 8:30 pagi, maka tidak dapatlah untuk bersarapan bersama.

Setelah melalui Lebuhraya Persekutuan, kerana pagi Ahad, jalan di situ pun tidak sesak, yang penting tiada tol dan jarak lebih dekat berbanding jalan alternatif lain, akhirnya sampai juga saya di Subang Skypark atau juga dikenali Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang (SZB) pada pukul 8:20 pagi.




Sampai di situ, saya terus menelefon tuan Ahmad Saidi Daud atau saya panggil Tuan Saidi sahaja. Dia terus menjawab dan kami pun bersekemuka buat pertama kali. Oleh kerana orang tiba-tiba ramai di kawasan kaunter daftar masuk, maka kami terus beratur untuk mendaftar masuk penerbangan kami. Untuk penerbangan Firefly selain domestik dan ke Singapura, tidak boleh mendaftar masuk melalui web, mobile atau kiosk, perlu mendaftar masuk di kaunter. Alhamdulillah, walaupun agak ramai, urusan daftar masuk amat lancar dan kira-kira 15 minit sudah selesai.


Setelah selesai proses daftar masuk, maka saya pun ke Circle K yang berdekatan dengan kawasan daftar masuk untuk bersarapan. Di situ sempat juga saya berkenal-kenalan dengan tuan Saidi. Rupanya dia ini kira orang lama atau otai dalam pengembaraan ini. Banyak negara sudah dilawatinya, majoriti dengan seorang diri. Malah, dia beberapa kali ke Pekanbaru. Itu saya hairan, kenapa perlu ikut saya. Dia jawab, saja. Huhuhu. Maklumat lain, biar saya dan dia sahaja yang tahu, bahaya berkongsi di sini. 



Pada pukul 9:15 pagi, kami pun ke balai perlepasan kerana kami perlu melepasi proses imigresen terlebih dahulu. Ini pertama kami saya melalui prosedur imigresen di sini (tidak dikira pula semasa Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Subang masih beroperasi lah). Sudah nama lapangan yang kecil, urusannya pun sekejap sahaja. Cuma macam biasa, pasport Malaysia memang tidak dicop, jadi cop di pas perlepasan menjadi kenangan.


Ruang balai perlepasan di Subang Skypark ini dibahagikan kepada dua bahagian iaitu domestik dan antarabangsa. Tetapi kedua-dua bahagian ini memang terasing, dibahagikan dengan dinding kaca dan kiosk fresco Austin Chase Coffee sahaja. Saya banyak kali duduk di kawasan balai pelepasan domestik, kali ini akhirnya dapat juga rasa di bahagian antarabangsa pula. Pintu pelepasan di bahagian antarabangsa ini pun ada dua sahaja. Terasa macam di stesen bas pula. Namun suasana di sini agak selesa juga, lebih selesa dari sebilangan balai perlepasan lapangan terbang di Asia Tenggara ini.


Jam 9:30 pagi, pengumuman mengatakan bahawa pintu pelepasan bagi penerbangan FY3409 telah dibuka. Jadi kami pun ke pintu sebelah kiri untuk proses pelepasan dan seterusnya menaiki pesawat kami.


Kami pun berjalan tidak berapa jauh, kerana pesawat ATR72-600 bernombor 9M-FYI parkir dekat sahaja dengan pintu pelepasan. Cuaca pun baik dan kurang terik lagi sinar mentari. Menaiki pesawat, kami disapa oleh pramugara penerbangan kami yang menjadi ketua krew kabin penerbangan kali ini. Terkejut saya, kerana setahu saya, krew kabin FireFly cuma wanita sahaja, jadi mungkin polisinya sudah berubah. Ini perkembangan yang baik kerana jika berlaku apa-apa, tenaga lelaki lebih kuat berbanding wanita, jadi kadar keyakinan penumpang lebih tinggi jika ada pramugara menjadi krew kabin.


Kami pun mengambil tempat duduk kami yang berada di kawasan sayap. Diperhatikan, memang tidak banyak penumpang penerbangan kali ini, saya rasa hanya 1/3 daripada keseluruhan jumlah kerusi dipenuhi.


Pesawat kami berlepas agak awal juga, sepatutnya berlepas pada jam 9:55 pagi, tapi jam 9:45 pagi sudah bergerak. Namun, kami berlepas lambat juga, kerana menunggu 3 pesawat yang mendarat dan 2 pesawat yang berlepas (di mana salah satunya bergerak dari terminal selepas kami). Jadi menunggulah kami hampir 20 minit di laluan teksi J.


Akhirnya, kami berlepas juga, kira kami lambat dari jadual sebenar. Dapat juga sambil-sambil itu, saya mengambil video dan gambar LTSAAS ini. Cuma langit Lembah Kelang agak berjerebu sikit, jadi permandangan agak terhad.


Permandangan dari atas pesawat amat cantik sekali. Dengan kelajuan yang tidak berapa laju bagi kapal terbang iaitu sekitar 400 ke 500 km/j, dapat saya lihat Pulau Lumut (Pelabuhan Kelang Barat (West Port)), pantai negeri Selangor, Selat Melaka dan akhirnya Sumatera. Di atas pesawat, saya menyelaraskan awal-awal jam saya 1 jam lewat kerana Pekanbaru berada dalam zon Waktu Indonesia Barat (WIB) yang 1 jam lewat dari waktu Malaysia.


Krew kabin memberikan kami kek muffin dan jus epal atau susu soya. Selepas itu, borang imigresen dan borang peristiharan kastam pula diberikan. Kami pun mengisi borang agar tidak buang masa apabila sampai di terminal nanti. Pada jam 10:40 pagi WIB, juruterbang mengumumkan pesawat ini akan mendarat di Lapangan Terbang (atau dalam bahasa Indonesia di panggil Bandara (dipendekan dari Bandar Udara)) Sultan Syarif Kasim II, Pekanbaru, Riau, Indonesia (PKU). 




10 minit kemudian, pesawat kami selamat mendarat di PKU dengan lancarnya. Pesawat kami bergerak menuju apron untuk parkir. Penumpang-penumpang keluar dengan lancarnya. Kami berjalan kaki yang tidak begitu jauh ke bangunan terminal. Cuaca nampaknya agak baik.


Menaiki tangga ke tingkat atas bangunan terminal melalui tangga jambatan udara dan terus kami ke balai ketibaan yang mana kaunter-kaunter imigresen Indonesia menanti kami. Bagi penumpang yang memerlukan kemudahan Visa-On-Arrival (VoA), di sebelah kanan sebelum sampai kaunter imigresen ada tersedia, kira-kira US$25 untuk 30 hari. Hanya matawang US$ sahaja dinyatakan. Oleh kerana saya dan tuan Saidi warganegara Malaysia, maka kemudahan pengecualian visa bagi tempoh 30 hari diberikan secara automatik, jadi kami terus ke kaunter imigresen. 


Agak lancar juga kaunter imigresen, mungkin kerana kebanyakan penumpang adalah warga Indonesia. Tiba waktu saya diperiksa, diberikan pasport saya kepada pegawai imigresen dan saya menyapa "Salamat Pagi Pak". Diperiksa pasport saya, dan pegawai berkenaan bertanya kepada saya ke Pekanbaru. Saya menjawab, "Untuk liburan pak" (libur bermaksud cuti atau holiday). Ditanya lagi, ada tiket pulang, terus saya berikan itinerari saya. Tidak pula dilihatnya. Teringat pula kisah saya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu, Medan tempohari. Adakah peristiwa berulang kembali. Dap, dap, bunyi cop pasport. Alhamdulillah, lepas. Cuma tunggu tuan Saidi pula. Masa dia pula cepat. Cemburu pula saya. Terus keluar, mengambil beg saya dan memberikan borang kastam kepada pegawai kastam. Kami meletakan beg kami untuk diperiksa melalui mesin X-Ray dan terus keluar.


Kami berjalan-jalan sekitar bangunan terminal ini. Terdapat 3 aras, iaitu aras atas sekali adalah aras balai perlepasan, aras tengah merupakan aras berlepas (kaunter daftar masuk) di sebelah selatan dan ketibaan antarabangsa di sebelah utara. Manakala aras bawah sekali adalah aras ketibaan domestik. Semasa kami berjalan-jalan, ternampak satu barisan mesin ATM bank-bank Indonesia di tengah-tengah aras ketibaan domestik (aras paling bawah). Alhamdulillah, terdapat mesin ATM CIMB Niaga (di gambar di atas terletak paling jauh di hujung sekali). Jadi dapatlah saya keluarkan wang rupiah yang memang saya bawa sedikit sahaja. Tidak perlu menunggu ke tengah kota untuk ke cawangan CIMB Niaga. Cuma di sini tiada mesin ATM BII Maybank, malang sekali bagi pemegang kad ATM Maybank. Untuk pengetahuan, tiada caj untuk pengeluaran di ATM CIMB Niaga bagi pemegang kad ATM CIMB Malaysia dan di ATM BII Maybank bagi pemegang kad ATM Maybank. Jadi pengeluaran wang atau penggunaan kad debit adalah lebih untung berbanding menukar wang fizikal. Saya mengeluarkan sebanyak Rp500 ribu dan ditolak sebanyak RM142.50 (melalui sms yang diperolehi tidak lama kemudian). Jadi hanya RM285 bagi setiap Rp1 juta, kadar di pengurup wang, paling murah adalah RM289 pada hari sebelumnya.



Setelah itu, kami ke luar terminal, dan menjumpai spot yang popular untuk mengambil gambar kenangan. Jadi memang kira flashpacker betullah ini. Akhirnya, kira sudah sampai ke Pekanbaru secara rasmi.

Kadar bayaran parkir (lalu masuk pun perlu bayar) PKU.


Kami mengambil keputusan untuk berjalan kaki sahaja. Asalnya sekadar ke jalan utama, akhirya terus berjalan dan terus berjalan. Dalam perjalanan terdapat beberapa mercu tanda yang menarik perhatian kami. Jadi kami pun mengambil gambar. Tuan Saidi pun agak banyak ambil gambar. Kebetulan terdapat kedai Alfamart dan Indomaret di tepi simpang ke lapangan terbang, jadi kami beli bekalan makanan dan minuman sedikit.


Kami meneruskan perjalanan dan terjumpa Konsulat Malaysia di Pekanbaru, yang tidak berapa jauh dari simpang ke lapangan terbang.


Seterusnya, kami meneruskan perjalanan, rupanya sudah hampir 3 kilometer kami berjalan. Kami tiba di depan yang dahulunya sebuah mercu tanda di Pekanbaru. Gedung Juang 45 Riau. Dulu di sini merupakan seperti muzium yang memaparkan sejarah perjuangan pejuang-pejuang kemerdekaan Indonesia. Namun kini ia terbiar dan ditutup. Cuma terdapat tugu pesawat Sabre dan dua buah kereta perisai. Semuanya termasuk bangunan dan kawasan sekitar tanpa penjagaan. Sedih rasanya. Alangkah bagusnya jika gedung ini dijaga, dapatlah dilihat perjuangan kemerdekaan Indonesia dengan lebih jelas lagi.



Kami teruskan perjalanan kami, kerana kami menyasarkan untuk sampai ke Museum Daerah Riau Sang Nila Utama. Semasa dalam perjalanan, kami ternampak grafiti yang menarik perhatian kami. Antara kata-katanya amat terkesan ke dalam jiwa saya. "Yang Pintar Dibodohi, Yang Bodoh Dibudayakan", memang dalam maknanya.


Setelah lebih 4 kilometer berjalan kaki, akhirnya sampailah kami di Museum Daerah Riau Sang Nila Utama. Di hadapan muzium ini terdapat bangunan yang menempatkan Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Riau (seperti Dewan Undangan Negeri (DUN) di Malaysia). Boleh ambil gambar sahaja.





Kami masuk ke dalam muzium ini. Kami disapa oleh petugas-petugas, dan diminta untuk mengisi buku pelawat. Setelahitu, diminta untuk memberikan sumbangan ikhlas bertujuan untuk pembersihan dan penyelenggaraan. Kami memberikan Rp5000 setiap seorang. Kami diberikan 2 buah buku (seperti di bawah ini) dan sebuah majalah (tahun 2012) terbitan Dinas (Jabatan) Kebudayaan Provinsi Riau.



Ringkas sahaja muzium ini. Memaparkan koleksi-koleksi yang membolehkan kita mengetahui tentang Riau. Di sini juga saya mengetahui asal-usul perkataan Riau adalah dari perkataan riuh yang menunjukan bahawa pesatnya perdagangan di kawasan ini pada masa itu. Juga dikatakan perkataan Riau berasal dari perkataan Portugis, Rio, bermaksud sungai, yang menjadi jalan perhubungan utama kawasan ini yang juga banyak didapati. Kemudiannya penjajah Belanda menyebutnya menjadi Riouw menjadi Riau. Begitulah ceritanya.



Setelah sejam di sini, kami pun meneruskan perjalanan ke pusat kota Pekanbaru, cuma kali ini kami mencuba bas (dikatakan sistem BRT - Bus Rapid Transit) Trans Metro Pekanbaru pula. Seperti TransJakarta, perlu naik platform khas untuk naik bas ini. Cuma tiketnya perlu dibeli di dalam bas. Tiket boleh dibeli sekali sahaja dalam sehari dan boleh digunakan berulang kali. Harga tiket adalah Rp4000 (+- RM1.20) sahaja.



Basnya kecil sahaja, namun tidaklah sesak seperti TransJakarta. Di dalam bas, baru saya terperasan, banyak jambatan dan jejambat di Pekanbaru ini terdapat imej kapal layar. Baru saya teringat, ia adalah Lancang Kuning, kapal yang sinonim dengan wilayah Riau ini. Semasa dalam perjalanan, terdengar laungan azan yang saling sahut-sahutan. Rupanya, di Pekanbaru ini terdapat banyak masjid. Dikhabarkan lebih dari 50 buah sahaja di kota Pekanbaru ini.


Dalam masa sepuluh minit, sampailah kami ke Pasar Sukaramai atau lebih dikenali sebagai Pasar Ramayana, yang menjadi terminal perkhidmatan Trans Metro Pekanbaru laluan 1. Kami jalan-jalan di dalam pasar ini. Ia sekadar pusat membeli-belah biasa jadi sekejap sahaja kami di sini dan tidak beli apa-apa.




Kami seterusnya ke Masjid Agung An-Nur yang menjadi mercu tanda utama di Pekanbaru ini. Rasa lega apabila masuk ke dalam masjid ini kerana cuaca amat terik. Masjid ini agak besar dan keseluruhan ruang solat dalam masjid ini berpermaidani. Solat pun amat selesa. Kami berehat sebentar di masjid ini sementara menunggu pukul 2.00 petang bagi mendaftar masuk ke hotel.



Bersambung ke Hari 1 Bahagian 2.

Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • PreJourney; 
  • Itinerary
  • Day 1 Part 1 (this part); 
  • Day 1 Part 2; or 
  • Day 2.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan