Sabtu, 3 Mei 2014

Hari 3 (Manila, Filipina - 25 hingga 27 April 2014) - Paalam Pilipinas & Selamat Tinggal LCCT KLIA.

Sambungan dari Hari 2.

Jika mahu lihat: Hari 1.

If want to read in English: 

  • Day 3 (this part), 
  • Day 1 or 
  • Day 2.





27/04/2014 (Ahad)


Saya terbangun pukul 05:40 pagi, alamak, sudah subuh gajah!!! Huhuhu... Ini kerana Subuh di Manila ini adalah pada pukul 04:35 pagi!!! Apa lagi, cepat-cepat solat sebelum waktu tamat... Oleh kerana masih penat lagi, sambung tidur, walaupun asal nak layan TV Filipina.

Tetiba saya terbangun, alamak, dah nak dekat pukul 08:00 pagi (keadaan seperti pukul 09:30 pagi di Semenanjung Malaysia). Saya segera mandi dan bersiap. Segera turun ke bawah untuk ke restoran, bagi menikmati sarapan pagi. Ingat nak ke restoran halal semalam, namun saya terus ke restoran hotel. Kali ini saya bersarapan hampir sama dengan semalam cuma tukar fish & chips kepada telur omelette berisi bawang yang ditumis. Minum pula pagi ini dengan kopi. Kali ini saya minta kicap dan sos cili, tapi diberikan sos pemerap (seasoning) Knorr's dan sos pedas (seperti Tabasco cuma keluaran tempatan). Jadilah, sebagai perisa. Buat pengetahuan, makanan Filipina yang saya telah rasai kebanyakan kurang perisa, tidak hairanlah kalau di kedai makanan tempatan, memang ada bahan-bahan perisan seperti cuka, garam, gula malah ajinomoto diletakkan. 


Selesai sarapan, saya terus ke Rizal Park, bertujuan untuk pergi ke tempat yang belum dilawati dan mengambil gambar kenang-kenangan mercu tanda Manila ini. Pertama kali, saya ke Auditorium Besar di Manila Ocean Park. Namun di sini tiada apa yang menarik. Terus saya ke Tugu Jose Rizal untuk mengambil gambar. Tugu inilah yang  menjadi mercu tanda utama jika ke Manila. Tugu ini dibina ketika tahun 1907, setelah diadakan pertandingan mereka tugu ini pada tahun 1903. Namun pemenang pertama mereka tugu ini kurang mampu walau diberikan geran untuk membina tugu, maka pembinaan tugu ini berdasarkan rekaan tugu yang mendapat tempat kedua. Gambar yang saya ambil waktu pagi di tugu ini tidak berapa cantik, berbanding di bawah yang saya ambil di waktu tengahari ketika hendak ke lapangan terbang. Difahamkan, di tapak tugu inilah, Jose Rizal disemadikan selepas gugur ditembak oleh askar Sepanyol.


Seterusnya saya ke tempat Jose Rizal dihukum bunuh. Terdapat beberapa patung yang bertujuan menceritakan kisah hidup Jose Rizal sehingga dibunuh. Untuk masuk ke kawasan ini perlu membayar tiket masuk ₱20 (+- RM1.50). Jika di waktu malam, terdapat persembahan cahaya dan bunyi menceritakan kisah hidup Jose Rizal.


Sebenarnya kawasan Rizal Park atau Lenate ini merupakan kawasan tempat penjajah Sepanyol menghukum mati ramai anak-anak Filipina yang menentang mereka. Dahulu, tempat ini dikenali sebagai Bagumbayan. Di bawah antara tugu yang menyatakan ia adalah tapak pejuang-pejuang ini dihukum bunuh, termasuk paderi gereja juga.


Di Rizal Park ini juga terdapat banyak juga taman-taman yang boleh dilawati. Ada yang percuma dan ada yang berbayar. Antara yang berbayar adalah Taman China, Taman Jepun, Taman Botani dan akan dibuka Taman Orkid. Kebanyakan taman-taman berbayar ini hanya perlu dibayar ₱10 sahaja bersamaan lebih kurang 75 sen Malaysia sahaja.



Antara pondok tiket untuk masuk ke taman berbayar, contoh ini adalah pondok tiket Taman China.


Di tengah-tengah Rizal Park ini terdapat tugu-tugu yang mengabadikan pejuang-pejuang kemerdekaan Filipina.

Peta Rizal Park.

Asalnya saya ada melihat banyak papan tanda menunjukan arah  ke "Comfort Room". Saya berfikir, apa yang uniknya "bilik selesa", sampai banyak ada di kawasan-kawasan tarikan utama. Rupa-rupanya ia adalah istilah bagi tandas di dalam bahasa Inggeris Flipina.


Akhir sekali saya bergambar di tugu Lapu-lapu yang paling besar dan tinggi di Rizal Park ini. Lapu-lapu merupakan seorang ketua sebuah puak di Pulau Mactan, berdekatan dengan pulau Cebu di Kepulauan Visayas, Filipina. Beliaulah yang membunuh Ferdinand Magellan (orang yang konon dicanang oleh pihak Barat sebagai orang pertama mengelilingi dunia), ketika Perang Mactan, yang merupakan satu usaha pertama Sepanyol untuk menjajah Filipina. Namun akibat kekalahan Sepanyol dan kematian Magellan, maka Sepanyol menangguhkan penjajahannya ke atas Filipina untuk 50 tahun seterusnya.

Kemudian setelah dekat dua jam di Rizal Park, saya pulang ke hotel untuk berehat dan bersiap-siap untuk pulang ke Malaysia.


Jam 11:55 pagi, maka masuk waktu solat Zuhur bagi kawasan Manila dan kawasan-kawasan sewaktu dengannya. Maka saya pun solat jamak qasar dengan Asar dengan segera, kerana pada pukul 12:00 tengahari saya perlu daftar keluar. Usai solat dan daftar keluar, saya ke Rizal Park untuk mengambil gambar kenangan terakhir di sana.


Seterusnya saya terus ke stesen LRT United Nations Avenue untyk mengambil LRT ke stesen LRT Baclaran, seterusnya ke berjalan kaki ke Terminal 4, NAIA.



Apabila tren sampai dalam 15 minit kemudian., alamak, ramainya, namun alhamdulillah, dapat juga saya masuk. Selepas 15 minit maka sampailah tren di stesen Baclaran.



Saya berjalan-jalan kira-kira hampir dua jam di sekitar Baclaran dan sempat juga membeli beberapa barang untuk orang tersayang. Barang di Baclaran ini begitu murah, seluar boxer boleh didapati dengan harga ₱100 (+- RM7.50) sahaja bagi 3 helai. Kasut ala-ala jenama Converse boleh didapati dengan harga ₱150 (+- RM11.50) sahaja... Banyak lagi. Panas juga di sini, sempat saya minum 5 gelas air kelapa dengan harga antara ₱5 (+- 38 sen Malaysia) ke ₱10 (+- 75 sen Malaysia) segelas. Itu buah-buahan potong lagi. Mewah.

Setelah hampir 2 jam di Baclaran, pada jam 14:40 (2:40 tengahari), saya segera berjalan kaki ke Terminal 4, NAIA untuk daftar masuk pesawat pulang saya.


Akhirnya saya dapat juga mendapat nota wang ₱200 setelah membeli air mineral yang sudah hendak habis di salah sebuah 7-Eleven di Baclaran ini.


₱200 (logo BSP lama) = +- RM 15.00


Semasa saya berjalan kaki, sempat juga saya saya mengambil gambar harga minyak di stesen minyak Petron yang berdekatan dengan Terminal 4. Jelas harga agak berbeza berbanding harga semalam di stesen Shell di Kalaw Avenue.


Gambar di hadapan Terminal 4, NAIA, juga dikenali sebagai Terminal Penumpang Domestik Manila. Kecil sahajakan.


Sampai sahaja di terminal, saya terus ke balai pelepasan antarabangsa untuk daftar masuk. Alamak, sudah penuh dengan penumpang penerbangan yang sama. Macam mana tak sesak, lihat sahaja "besar"nya balai berlepas ni, di sinilah tempat untuk daftar masuk, di sini nak bayar cukai melancong (bagi warga negara Filipina), di sini juga tempat nak bayar caj perkhidmatan penumpang NAIA dan di sini juga kaunter imigresen.



Sebelum anda menaiki kapal terbang, anda jangan habiskan duit peso Filipina anda. Asingkan sebanyak ₱550 (+- RM 41.25) untuk Caj Perkhidmatan Penumpang. Ini adalah wajib dan hanya boleh dibayar dengan peso Filipina sahaja. Di Terminal 4, NAIA ini tiada mesin ATM, jadi perlu beringat. Kalau pesawat anda di terminal lain pun sama, cuma kemudahan ATM mungkin ada. Jika tiada resit ini dikepilkan pada pas berlepas anda, anda tidak dibenarkan menaiki pesawat. Tidak ke naya tu.



Walaupun saya ditahan agak lama, kerana pegawai imigresen itu keliru dengan nama saya, dia tidak tahu mana nama keluarga saya, namun akhirnya saya secara rasmi keluar dari Filipina. Kami ditempatkan di balai menunggu untuk ke pesawat.


Apabila tiba masa kami memasuki pesawat, kami dibawa dengan bas untuk ke pesawat. Kali ini, agak jauh sedikit berbanding semasa datang tempoh hari.


Alhamdulillah, kali ini dapat naik Airbus A320 AirAsia yang bukan dari Zest Air. Cuma saya tidak berapa gemar, sewaktu pesawat berada di laluan teksi dan landasan agak lama di NAIA. Sudahlah Terminal 4 terletak paling jauh dengan landasan. Walaupun NAIA ini ada dua landasan, namun hanya satu sahaja digunakan, demi keselamatan, kerana landasan  2 ini bersilang di tengah-tengah landasan 1. Maka ia tidak boleh digunakan secara serentak. Sebenarnya saya ketika kapal terbang ini mula bergerak untuk ke landasan, saya baru hendak terasa terkucil. Dekat sejam juga saya tahan sehingga lampu pasangkan tali pinggang keselamatan dimatikan. Sabar sahaja.

Ketika kapal terbang berlepas dan membelahi langit bandaraya Manila, saya dapat melihat Manila dari atas pesawat. Paalam Pilipinas, selamat tinggal Filipina, semoga ada masa saya akan ke Filipina sekali lagi. Paalam Pilipinas sekali lagi.

Agak selesa sedikit pesawat ini. Dapat juga saya tidur sedikit. Cuma berbeza, saya agak lapar dan kebiasaannya saya menaiki penerbangan domestik AirAsia saya tidak membeli makanan, namun kali ini, saya beli juga Nasi Ayam Uncle Chin berharga ₱200. Nampaknya tidak dapat saya simpan ₱200 saya itu.. Akhirnya pada jam 21:25 (9:25 malam), penerbangan Z2 940 AirAsia Zest dari Manila ke KLIA mendarat di KLIA dan sepuluh minit kemudian, sampai di terminal LCCT.


Oleh kerana saya tiada bagasi dan saya agak cepat ke balai ketibaan, saya antara terawal sampai di pintu ketibaan. Urusan imigresen juga agak pantas.Seterusnya saya terus ke surau untuk solat jamak qasar Maghrib & Isyak. 
Usai solat, terus membayar parkir motorsikal. Cuma RM1.00 sahaja sekali masuk, tidak kira berapa hari. Alhamdulillah. Maka saya terus ke skuter saya dan pulang ke rumah. Saya pandang ke arah LCCT. Mungkin ini kali terakhir saya menggunakan LCCT ini kerana pada bulan Mei ini, LCCT akan ditutup kerana klia2 yang menggantikannya akan mula beroperasi. Selamat Tinggal LCCT.


Ketika dalam perjalanan, saya singgah di kawasan rehat dan rawat (R&R) Dengkil arah utara untuk membeli Sate Kajang Haji Samuri. Memang penangan tidak dapat rasa daging halal walaupun dua hari agak kuat ye, hehehe.

Itulah pengalaman kembara saya ke Filipina, negara ASEAN kelima saya sudah pergi. Banyak pengalaman diperolehi terutama berkenaan Jose Rizal. Semoga siri kembara ke Manila ini dapat beri manfaat kepada yang membaca.

Sekian, Assalamuaaikum warahmatullahi wabarukatuh.


Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan...

Ingin melihat:



If want to read in English: 

  • Day 3 (this part), 
  • Day 1 or 
  • Day 2.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan