Selasa, 23 Oktober 2018

Hari 2 Bahagian 1 (Pontianak, Kalimantan Barat, Indonesia - 01 hingga 02 Oktober 2018) - Memijak Serentak Dua Hemisfera Bumi.

Bersambung dari Hari 1.

Jika mahu lihat catatan: 


If want to read in English: 

  • PreJourney; 
  • Itinerary;
  • Day 1;
  • Day 2 Part 1 (this part);
  • Day 2 Part 2.

Tugu Khatulistiwa.


Panduan: 

Rp (IDR) = Rupiah, matawang Indonesia. Secara amnya di dalam perjalanan ini, kadar tukaran: Rp 10 000 = RM3.00 atau RM1.00 = Rp 3333.

Waktu tempatan bagi Indonesia Barat (termasuk pulau Kalimantan) adalah UTC +7 iaitu 1 jam lewat dari waktu Malaysia (UTC +8), contohnya jika Kuala Lumpur pada pukul 4:00 petang, Pontianak adalah pada pukul 3:00 petang. Waktu ini dikenali sebagai Waktu Indonesia Barat (WIB).


02 Oktober 2019 - Selasa (Bahagian 1).

Saya terjaga pada pukul 03:45 pagi namun saya tidak bangun dari katil. Maklumlah, cuma tidur tiga setengah jam sahaja, rasa tidak puas pula, liat pula hendak bangun. Cuba juga untuk tidur kembali, tetapi tidak boleh masuk kembali ke alam mimpi. Bukan takut adanya "Cik Pontianak" tidur di sebelah, cuma tidak boleh tidur. Agaknya terikut jam biologi badan agaknya. Lalu saya melihat telefon bimbit dan juga membuka televisyen. 

Azan Subuh kedengaran sahut-menyahut dalam beberapa buah masjid atau surau berdekatan pada pukul 04:12 pagi. Asalnya saya hendak juga bersolat berjemaah, tetapi entah kenapa di dalam hati ini terdetik rasa kerisauan. Kerisauan kerana tidak mengetahui keadaan dalam perjalanan ke masjid/surau berdekatan. Oleh kerana pengajaran semalam (kerisauan sebelum mendarat di LTA Supadio), jadi saya turut sahaja rasa hati itu. Langsung saya mengambil membersihkan diri, mengambil wuduk dan bersolat Subuh. Selepas bersolat, saya kembali bergolek di atas katil, dan tertidur pula saya.

Saya terbangun pada pukul 05:30 pagi. Lalu saya saya mengemaskan beg saya mana yang patut. Pakaian saya yang dipakai pada hari sebelumnya pun sudah kering dari basah, lalu dimasukan ke dalam plastik dan kemudian dimasukan ke dalam beg galas saya. Setelah siap, saya berehat dahulu.

Sekitar pukul 05:55 pagi, saya buka langsir di tingkap, langit sudah cerah. Rasanya boleh saya jalan-jalan di kawasan persekitaran. Setelah mengemas apa yang patut, pada jam 06:00 pagi saya pun turun dan mula berjalan kaki ke kawasan sekitar. Dari hotel, saya membelok ke kanan menuju ke Jalan Rajawali dan kemudian ke Jalan Pak Kasih, seterusnya menuju ke sebuah bulatan. Sepanjang laluan terdapat kedai-kedai persendirian. Tiba di bulatan terdapat sebuah taman di satu sisi bulatan tersebut. Ia adalah Taman Tugu Pancasila, di mana terdapat sebuah tugu khas untuk Pancasila, ideologi asas bagi negara Indonesia. Pancasila ini bolehlah dikatakan seperti Rukun Negara bagi Malaysia. 5 prinsip Pancasila itu yang terpapar di tugu berkenaan adalah:

1. Ketuhanan yang Maha Esa;
2. Kemanusiaan yang Adil dan Beradab;
3. Persatuan Indonesia (dalam Bahasa Melayu Malaysia bermaksud, Indonesia yang Bersatu);
4. Kerakyatan yang dipimpin oleh hikmat kebijaksanaan dalam permusyawaratan dan perwakilan (erti kata ringkas, mengamalkan dasar demokratik);
5. Keadilan sosial bagi seluruh rakyat Indonesia.

Bermula dari taman tugu ini menuju ke arah Jalan Rahadi Usman, banyak pejabat-pejabat kerajaan, bermula dari pejabat kastam (dalam Bahasa Indonesia, kastam adalah bea dan cukai) wilayah, pejabat kastam Pontianak, pejabat pelabuhan dan pejabat polis kawasan pelabuhan (Polsek) di sebelah kiri (utara) saya. Di sebelah kanan (selatan), iaitu di seberang jalan bermula dari bulan, terdapat pejabat pos, pejabat lama Bank Indonesia (bank pusat Indonesia) cawangan Pontianak, pejabat walikota (datuk bandar) Pontianak, dan pejabat Polis Tentera bagi Kodam (Komando (bermaksud pemerintahan (command)) Daerah Militer) Tanjung Pura iaitu kawasan ketenteraan  Tentera Nasional Indonesia Angkatan Darat (tentera darat Indonesia) bagi kawasan Kalimantan Barat (meliputi wilayah Kalimantan Barat dan Kalimantan Tengah).

Kembali ke seberang jalan di tempat saya berjalan, di seberang pejabat Kodam Tanjung Pura dan sebelah pejabat Polsek adalah Hotel Grand Kartika, hotel terkemuka di Pontianak. Di sebelahnya adalah Taman Alun Kapuas, iaitu tempat rekreasi utama di Pontianak, yang terletak di tebing Sungai Kapuas, sungat terpanjang di Indonesia. Selepas dari itu, merupakan kawasan perniagaan utama di Pontianak, kerana banyak bank-bank komersil seperti BNI, CIMB Niaga, BCA, Bank Kalbar serta syarikat-syarikat terkemuka Indonesia seperti Garuda Indonesia (syarikat penerbangan negara Indonesia) berada di sini. 

Sebelum sampai di kawasan perniagaan utama tadi, terdapat sebuah lorong yang menuju ke Pelabuhan Bardan, iaitu jeti feri yang menyeberang Sungai Kapuas menuju ke seberang sungai iaitu Pelabuhan Siantan. Sebelum sampai ke jeti feri, terdapat sebarisan kedai-kedai yang banyak merupakan kedai makan. Ada juga kedai runcit yang menjual makanan ringan dan minuman. Asalnya saya ingin makan di sini, namun apabila mengingatkan sarapan pagi yang ada mulai pukul 07:00 pagi di hotel, tidak jadi saya (satu langkah yang silap, huhuhu).

Saya terus berjalan ke tepi sebelah kanan jeti untuk melihat tebing sungai sebelum mencuba menaiki feri penyeberangan Sungai Kapuas ini. Rupanya terdapat tebingan batu yang agak baik binaannya. Cuma tebingan ini terputus dek jeti feri. Namun sedang dibina jejantas yang menghubungkan tebingan ini dengan tebingan yang ada di sebelah kiri jeti yang mana ia bersambung dengan Taman Alun Kapuas. Terdapat juga orang menunggu di satu bahagian jeti ini. Rupanya itu adalah jeti bagi bot penambang. Tiada binaan yang nampak, cuma ada beberapa bangku kayu. Malah tiada atap yang dapat melindungi dari hujan dan panas.

Saya berpatah balik dan masuk ke dalam jeti feri. Untuk pengetahuan, feri ini juga merupakan feri kenderaan bukan feri penumpang sahaja. Bukan setakat kereta, malah lori pun boleh memasukinya. Kadarnya adalah dari Rp500 (+- RM0.15) (tambang bagi pelajar berpakaian seragam sekolah) ke Rp38 000 (+- RM11.40) bagi bas atau lori bermuatan. Kadarnya boleh dilihat pada gambar di bawah nanti. Saya membayar tambang saya (kadar penumpang umum) sebanyak Rp2500 (+- RM0.75) kepada petugas yang ada di pondok bayaran yang seumpama pondok tol atau parkir itu.

Selepas membayarnya, saya pun berjalan menuju masuk ke dalam perut feri berkenaan. Terdapat beberapa orang penumpang, beberapa buah motorsikal dan basikal dan juga beberapa buah kereta dan lori sudah ada di dalam feri berkenaan. Saya menaiki tingkat atas feri ini. Terdapat beberapa barisan tempat duduk disusun di situ, malah terdapat ruang VIP juga. Terdapat kemudahan tandas dan juga surau. 

Tepat pada jam 06:30 pagi, bergeraklah feri ini menuju ke Pelabuhan Siantan yang berada di seberang sungai. Kelihatan juga feri di Pelabuhan Siantan, pada masa sama bergerak menuju ke Pelabuhan Bardan. Permandangan di tingkat atas feri ini agak cantik juga, kena pula dengan keadaan cuaca baik pagi di Sungai Kapuas ini. Dari ini, memang nampak jelas Pelabuhan Pontianak yang mempunyai banyak kontena-kontena dan juga kapal-kapal besar yang berlabuh. Masa kedua-dua feri ini berselisih di tengah-tengah Sungai Kapuas juga bagi saya saat yang menarik juga. Akhirnya selepas lima minit, feri ini hampir tiba di destinasinya, saya segera turun ke bawah.

Pada masa itu saya nampak seorang penjual gula-gula kapas di satu hujung di feri ini, maka saya beranggapan, terdapat jualan di dalam feri ini. Rupa-rupanya, apabila dia juga bergerak menuju ke arah pintu keluar feri, baru saya tahu yang dia itu juga adalah penumpang rupanya. Selepas dua minit, makan pintu keluar dibuka, dan berduyun-duyun penumpang pejalan kaki, motorsikal, keluar menaiki ke daratan. Saya pun berjalan mengikut laluan yang disediakan. Setelah sampai di bahagian luar jeti Pelabuhan Siantan ini, barulah saya melihat ke arah jeti, yang mana, barulah kenderaan-kenderaan besar pula yang baru keluar dari feri. 

Lorong sebelah kemasukan ke feri pula, sudah menunggu agak banyak juga orang dan kenderaan-kenderaan lain. Pondok bayaran tambang dilihat kurang sibuk kerana tiada penumpang atau kenderaan yang masuk lagi pada masa itu. Maka saya pun pergi bertanyakan beberapa perkara kepada petugas di situ. Rupanya, perkhidmatan feri ini adalah sebahagian daripada perkhidmatan kerajaan Indonesia menerusi Kementerian Perhubungan (Kementerian Pengangkutan kalau di Malaysia). Tiada jadual tetap, bermakna ia akan berlepas mengikut keperluan dan feri ini beroperasi 24 jam. Sebelum adanya Jambatan Kapuas 1 dan Jambatan Landak siap, inilah kaedah penyeberangan utama di antara bahagian selatan Pontianak dan bahagian utaranya. Kini, walaupun ada jambatan, perkhidmatan feri ini dikekalkan sebagai kaedah pilihan, kerana ia masih lagi lebih dekat bagi kawasan tertentu berbanding menggunakan jambatan.

Taman Tugu Pancasila.

Taman Alun Kapuas.

Keadaan Kota Pontianak waktu pagi.

Kedai-kedai jualan di jalan masuk ke Pelabuhan Bardan.

Pelabuhan Bardan.

Kadar tambang feri penyeberangan Sungai Kapuas.


 Tiket Feri Sungai Kapuas.

Feri Sungai Kapuas.

Keadaan di dalam feri,

Permandangan Pelabuhan Siantan dari Pelabuhan Bardan.

Permandangan arah hulu Sungai Kapuas dari dalam feri.

Permandangan arah hilir Sungai Kapuas dari dalam feri.

Keadaan dek atas feri.

Pelabuhan Bardan dari dalam feri.

Taman Alun Kapuas dari dalam feri.

Surau di dek atas feri.

Bot penambang sedang membelah Sungai Kapuas.



Video Youtube: Suasana pagi di Sungai Kapuas, Pontianak dari dalam feri penyeberangan.


Penjual gula-gula kapas yang menaiki feri.



Video Youtube: Perjalanan feri penyeberangan Sungai Kapuas, Pontianak, Indonesia.


Pelabuhan Siantan.

Seterusnya, saya ternampak sebuah pondok terapung kecil di tebing di sebelah kanan jeti (jika kita menghadap jeti dari jalan masuk ke jeti). Saya perhatikan, terdapat ramai orang  di dalam pondok terbabit. Saya berjalan ke situ, dan rupanya pondok itu adalah jeti bot penambang. Nampaknya prasarana di sini lebih baik dari seberang yang langsung tiada apa. Saya pun bertanya, berapa harga (saya tidak menggunakan istilah tambang kerana di dalam Bahasa Indonesia, tambang bermaksud perlombongan) menaiki bot ini ke seberang. Ada seorang berseloroh, berkata bayar berapa-berapa pun tidak mengapa, namun ada seorang lelaki berbisik kepada saya, perlu membayar Rp 2000 (+- RM0.60) untuk menyeberang. 

Nasib baik saya ada wang kertas Rp1000 sekeping dan wang syiling Rp1000 sekeping, selain masing-masing sekeping Rp200 dan Rp100 juga yang lain wang kertas yang nilainya lebih besar dari Rp10 000. Saya keluarkan kedua-dua wang Rp1000 dan menunggu di dalam pondok itu untuk menaiki bot penambang apabila disuruh.

Dalam lima minit, dan orang semakin ramai, kami disuruh untuk menaiki bot. Kebetulan, feri di jeti feri sebelah pun akan bergerak pada bila-bila masa. Seorang demi menaiki bot, dengan memberikan tambang Rp2000 kepada tekong bot sebelum turun untuk menaiki bot. Kemudian di bot penambang dari seberang pun tiba di sebelah bot yang dinaiki saya. Penumpang di dalamnya pun keluar dari bot seorang demi seorang. Tidak boleh tergopoh gapah, kerana bot akan jadi tidak stabil. Akhirnya terdapat 20 orang sudah berada di dalam bot yang dinaiki saya. Sudahlah tiada jaket keselamatan, paras air pun lagi 4 atau 5 sentimeter hendak masuk ke dalam bot. Harap tidak jadi apa-apalah. 

Kemudian tekong pun menaiki bot dengan meniti tepi bot. Bergoyang jugalah, nasib tidak terbalik bot. Sampai di belakang bot, tekong itu menghidupkan enjin bot dan bermula membelah Sungai Kapuas untuk ke Pelabuhan Bardan di seberang. Serentak dengan itu, feri pun mula berpusing untuk destinasi yang sama. Namun bot penambang ini dapat melewatinya dan terus ke seberang dalam masa lebih kurang dua minit.

Naik ke darat pun perlu seorang demi seorang, bagi menstabilkan bot. Akhirnya naik juga saya. Alhamdulillah. Seterusnya saya terus ke cawangan Bank CIMB Niaga di seberang simpang lorong dari jeti feri Pelabuhan Bardan, untuk mengeluarkan sedikit lagi wang, kira-kira Rp50 000 (+- RM15.00). Bagi pengeluaran ini, saya dicaj dalam akaun bank saya kira-kira RM14.80 atau RM2.96 bagi setiap Rp10 000, kira kadarnya lebih mahal dari pengeluaran Maybank pada hari sebelumnya.

Setelah membuat pengeluaran wang, saya kembali semula ke hotel untuk bersarapan. Tiba di hotel, saya pun masuk ke dalam kafe dan diberikan sarapan semangkuk kecil lontong dan saya meminta air suam untuk minuman. Agak kecil juga portion makanan ini. Tahu banyak ini, saya makan sahaja di luar tadi. Tapi mungkin perut pengembara, maka lepas makan sahaja, terasa kenyang, alhamdulillah. Usai sarapan, saya naik ke bilik untuk mengambil beberapa barang dan kembali ke bawah untuk memesan GrabBike untuk ke GraPARI Telkomsel terdekat yang terletak di  Jalan Gusti Sulung Lelanang, untuk menyelesaikan masalah kad SIM Telkomsel saya.

Semasa memesan ini, oleh kerana talaan (setting) aplikasi Grab saya tidak menjadikan GrabCredit sebagai pembayaran utama, sebalik kad debit saya yang jadi pembayaran utama, juga saya terlupa yang promosi tambang Rp1 untuk perjalanan pertama menggunakan dompet OVO bagi perjalanan kurang Rp50 000, maka kad debit BigPay saya dicaj dan promosi OVO tadi pun luput. Sayangnya. Untuk penggunaan GrabBike ini, saya dicaj Rp5000 (+- RM1.50).

Jeti bot penambang di Pelabuhan Siantan.

Penumpang bot penambang yang baru tiba di Pelabuhan Siantan.

Swafoto saya semasa bot penambang menyeberangi Sungai Kapuas.

Jeti bot penambang di Pelabuhan Bardan.


Resit Penyeluaran Wang ATM CIMB Niaga.


Mesej SMS mengenai pengeluaran wang ATM CIMB Niaga.


Pejabat Walikota (Datuk Bandar) Pontianak.

Peta: Perjalanan pagi saya sebelum sarapan pagi.


Lontong - sarapan pagi di hotel.

Sampai di GraPARI Telkomsel di Jalan Gusti Sulung Lelanang, saya memaklumkan masalah saya  kepada petugas, dan diberikan nombor. Giliran saya lagi 15 nombor lagi! Huh, rasanya GraPARI ini baru sahaja dibuka pada jam 08:00 pagi dan saya sampai pada pukul 8:10 pagi. Itu baru satu jenis perkhidmatan, kalau dikira nombor perkhidmatan lain, lagilah lama. Kaunter yang dibuka adalah sebanyak lima kaunter, untuk perkhidmatan pelanggan.

Bila diperhatikan, tempoh layanan bagi seorang agak lama juga diantara 15 ke 20 minit. Sambil menunggu, saya menghantar sms kepada Herman agar dia mengambil saya di GraPARI saya pada pukul 10:00 pagi. hendak menggunakan aplikasi WhatsApp, saya tiada akses internet, nasib baik ada kredit pada telefon Telkomsel saya ini.

Dalam masa menunggu dengan perkhidmatan yang agak lembab ini, tiba-tiba bekalan elektrik di kedai GraPARI Telkomsel ini terputus. Sudah, namun ia berjaya dipulihkan. Nasib baik ia kurang mengganggu pengoperasian perkhidmatan pelanggan. Kalau tidak, mahu jadi "hijau" macam Incredible Hulk juga nanti. Akhirnya pada pukul 9:40 pagi barulah tiba giliran saya.

Apabila tiba giliran saya, dan memaklumkan masalah saya, bila diperiksa, rupa-rupanya kad saya belum berdaftar. Nasib baik saya membawa pasport saya. Nampak gaya, inilah pertama dan terakhir saya menggunakan kad SIM Telin Malaysia. Ingatkan masa di Malaysia sudah didaftarkan. Kalau macam ni baik saya beli kad SIM di Indonesia sahaja. Walaupun ia adalah perkara mudah, namun prosesnya agak lama juga di Telkomsel. Nasib baik layanan petugas Telkomsel ini mesra, terubat juga jiwa saya. Kalau yang layan saya petugas wanita, mungkin lagi terubat, huhuhu.

Pada pukul 10:00 pagi selesai urusan saya. Saya pun menghantar SMS, namun Herman terpaksa lambat sedikit. Rupanya ada hikmah, kerana saya masih tidak dapat melanggan walaupun sudah mendapat sms maklumat yang kad SIM saya telah didaftarkan. Banyak kali cuba melanggan pakej data di *363#, namun masih tidak dapat. Jadi saya kembali ke kaunter untuk meminta bantuan kembali. Kali ini saya terus sahaja pergi, tidak mengambil nombor. Saya menunggu kerana petugas itu terdapat pelanggan pada masa itu. Tidak lama kemudian, petugas itu memanggil saya tatkala dia hendak menghabiskan urusan dengan pelanggan sedia ada.

Alhamdulillah, dalam masa sepuluh minit semuanya selesai, dan saya sudah berjaya melanggan internet dengan pakej data 3GB untuk sehari dicaj Rp23 000 (+- RM6.90). Ada lebih murah iaitu 1GB untuk sehari harganya Rp17 000 (+- RM5.10), tapi entah kenapa saya pilih yang 3GB. Sudahlah penggunaan Facebook dan WhatsApp percuma, maka lagi lambat hendak habislah. Sebaik sahaja keluar sahaja, Herman pun sampai pada pukul 10:20 pagi. Saya memintanya untuk menghantar ke hotel untuk mendaftar keluar.


GraPARI Telkomsel di Jalan Gusti Sulung Lelanang.

Di dalam GraPARI.

Sampai di hotel, Herman meminta diri untuk mengisi minyak motorsikalnya dahulu. Saya tidak keberatan, lagipun perlu berurusan dengan pihak hotel untuk daftar keluar. Saya ke bilik dahulu untuk mengambil beg galas saya yang telah siap, kemudian memeriksa sama ada barang yang tertinggal. Bila semua baik, saya ke bawah untuk urusan daftar keluar dan mendapatkan kembali wang cagaran Rp50 000 yang telah diberikan sewatu tiba hari sebelumnya.

Herman telah sedia menunggu di luar, dan mencadangkan untuk makan tengahari. Saya minta untuk merasa makanan khas Pontianak, Herman mencadangkan bubur pedas dan makan di tempat yang agak popular untuk bubur pedas ini, iaitu Warong Pa' Ngah yang terletak di Jalan Komyos Sudarso, kira-kira dalam dua kilometer dari Hotel Surya. Saya setuju sahaja. Terus dibawa ke tempat terbabit dengan menaiki motorsikal. Kira-kira lima minit kemudian dalam pukul 11:00 pagi maka sampailah kami di restoran Warong Pa' Ngah ini.

Masa kami sampai di bangunan berwarna kuning dan hijau, yang memang terang nampak dari jauh, saya ternampak satu papan tanda yang menyatakan untuk parkir kenderaan di depan restoran ini percuma. Tetapi yang menarik perhatian, papan tanda di sebelahnya, yang berbunyi, "TAMU HARAP LAPAR". Tergelak saya, pasal rasanya orang datang ke situ seharusnya lapar. Agaknya kala tidak lapar, kena balik ke, saya tanya kepada Herman, tergelak pula Herman ini.

Segalanya amat menarik di restoran ini, dari susunan kerusi meja, rekabentuk menunya, penanda meja nya amat menarik dan kreatif. Jadi saya melihat menu, memang menarik juga gambar-gambarnya. Saya memesan bubur pedas daging dan air mineral, manakala Herman yang saya ajak untuk makan sekali memilih untuk makan bubur pedas biasa dan air teh o ais (di Indonesia dipanggil teh es, jika teh ais seperti di Malaysia, di Indonesia dipanggil teh susu es).

Harga agak berpatutan juga, bubur pedas biasa berharga Rp 11 000 (+- RM3.30)/mangkung manakala bubur pedas daging yang saya pesan berharga Rp 17 000 (+- RM5.10)/magkuk. Boleh juga di tambah kikil (urat) sapi (lembu) atau tulang sapi dalam Rp24 000 (+- RM7.20)/mangkuk. Selain bubur pedas, terdapat juga makanan berasaskan sup, nasi set ayam dan nasi goreng. Boleh lihat gambar menu seperti di bawah.

Sementara menunggu makanan sampai, maka kami pun berborak mengenai diri masing-masing. Sebenarnya Herman ini baru sahaja berkahwin, malah siap menjemput saya untuk menghadiri majlis bertandang rombongan pengantin wanita ke rumah sebelah pengantin lelaki pada bulan Januari 2019 nanti. Terharu pula saya atas jemputan itu, namun saya berkata saya perlu melihat keadaan, jika mengizinkan, insya Allah akan hadir. Juga Herman ini, tidak pernah melangkah keluar dari wilayah Kalimantan Barat ini. Tapi memang seorang yang lasak, malah pernah membawa motorsikal sampai ke Entikong, iaitu pintu sempadan sebelah Indonesia yang bersebelahan dengan Tebedu, Serian, Sarawak di sebelah Malaysia.

Dalam masa sepuluh minit, maka sampailah makanan dan minuman yang kami pesan. Mangkuknya tidaklah besar, rasanya memang bahagian hidangan di Indonesia agak kecil, tapi setelah dimakan, bubur pedas ini mengenyangkan. Rasa bubur pedas ini tidaklah pedas tapi berempah, seumpama makan bubur dan dicampurkan dengan sup daging berempah. Terdapat juga sayuran di dalamnya, yang saya rasakan seperti pucuk paku.  Diberikan sekali bumbu berupa kacang goreng, limau kasturi dan ikan bilis goreng. Jika minat hendak letak sos atau kicap, juga ada di atas meja, saya memilih untuk meletakan air cili masam ke dalamnya. Bagi saya memang terbaiklah bubur pedas ini. Amat disarankan untuk menikmati bubur pedas ini apabila di Pontianak. (Rasa hendak makan lagi, malah rasanya hendak ke Pontianak, semata-mata bubur pedas ini).

Setelah sepuluh minit menikmati makan tengahari di restoran ini, saya membayar makanan dengan kesemuanya Rp38 000 (+- RM11.40) sahaja. Setelah dibayar, semasa saya menaiki motorsikal, Herman bertanya, sama ada kita hendak solat dahulu, kerana terdapat masjid di depan restoran ini, saya berkata saya hendak bersolat di masjid yang dapat saya berikan sumbangan yang telah di amanah oleh sahabat-sahabat saya, cuma bukan di situ. Herman mencadangkan untuk ke Permakaman Kerajaan (bermaksud Di Raja atau Kerabat dalam Bahasa Indonesia) Kesultanan Pontianak (Permakaman DiRaja al Qadrie) di Batu Layang kerana ia paling jauh. Saya bertanya adalah ia lebih jauh dari Tugu Khatulistiwa, dijawab Herman, ya. Saya bertanya sama ada perlu menaiki feri atau menggunakan jambatan,  Herman menjawab, terpulang. Jadi saya memilih untuk menggunakan jambatan kerana saya sudah menaiki feri pagi tadi.


Peta: Perjalanan dari GraPARI Telkomsel Pontianak ke Hotel Surya dan kemudian ke Warong Pa' Ngah.

Warong Pa' Ngah.

Antara papan tanda di Warong Pa' Ngah.

Menu Warong Pa' Ngah.

Muka depan menu Warong Pa' Ngah.

Penanda meja di Warong Pa' Ngah.

Herman Tiono, pemandu pelancong saya di Pontianak.

Bubur pedas Warong Pa' Ngah santapan kami.



Resit Warong Pa' Ngah.

Perjalanan agak jauh juga, mengambil masa hampir lima puluh minit dengan jarak perjalanan hampir 16 kilometer. Lama bukan apa, jalan agak sesak juga kerana melalui kawasan bandar dan cara pemanduan/tunggangan orang di Pontianak ini agak lasak sikit. Juga perlu berhati-hati, kerana ada yang tidak mengikut peraturan jalan raya juga. Selain itu, dengan jalan dan jambatan yang agak sempit dan berkongsi dengan kenderaan berat dan besar, malah ia juga jalan utama di Kalimantan ini terutama di Jalan Perintis Kemerdekaan (jika jalan terus boleh sampai ke Entikong dan Tebedu, Sarawak) dan Jalan Khatulistiwa (yang jika terus boleh sampai ke Singkawang juga ke Sambas dan jika terus boleh sampai ke Lundu, Sarawak).

Sampai sahaja yang mana perlu melalui satu lorong di sebelah kiri, dan perlu masuk dalam 500 meter. Herman memarkirkan motorsikalnya di depan gerai-gerai yang dibina berhadapan dengan kompleks makam yang juga berada di tebing Sungai Kapuas. Permakaman DiRaja al Qadrie ini kiranya agak jauh juga dari pusat pemerintahan Kerajaan Kesultanan Pontianak yang berada di sekitar Istana Qadriah. Di sinilah letaknya pusara Sultan-sultan Pontianak dan juga kerabat-kerabat diraja. 

Herman membawa saya ke surau permakaman ini untuk solat. Lalu saya solat jamak di sini, namun saya tidak merasakan sesuai untuk memberikan sumbangan saya adna rakan-rakan di sini. Jadi saya menangguhkan pemberian sumbangan tersebut. Selepas solat, kami menziarahi makam yang ada di sebelah surau ini. Herman sendiri berkata sudah lama juga dia tidak ke sini. Jadi permakaman ini agak terjaga juga, dan masa saya menziarahinya, terdapat juga beberapa kaum kerabat yang berada di sana menziarahi. Paling besar di kalangan makam-makam yang ada adalah makam Sultan Pontianak yang pertama iaitu Sultan Syarif Abdul Rahman al Qadrie diikuti makam sultan-sultan yang lain dan juga kaum kerabat mereka. Sebagai menghormati, saya menyedekahkan al Fatihah kepada ahli-ahli kubur di situ dan jugamemberikan sedikit sumbangan peribadi saya ke tabung yang ada.

Sedikit maklumat tentang Kesultanan Pontianak ini, ia diasakan oleh Sultan Syarif Abdul Rahman al Qadrie, yang merupakan pengembara dari Hadramout, Yaman pada tahun 1771. Kerajaan ini mendapat pengiktirafan daripada pemerintahan kolonial Belanda pada tahun 1779. Banyak juga tragedi yang menimpa keluarga diraja ini sepanjang pemerintahannya sebanyak 7 sultan sehingga sultan terakhir berkuasa pada tahun 1950. Di antaranya Sultan Syarif Muhammad al Qadrie dihukum dan dua orang anak lelakinya serta 28 orang lain dibunuh oleh tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua. Kini Kesultanan Pontianak masih ada tetapi cuma tinggal mana. Terdapat dua orang lagi Sultan Pontianak selepas Kesultanan ini ditamatkan pada tahun 1950.

Tidak jauh dari permakaman ini, terdapat sebuah meriam yang dikatakan inilah sultan pertama Pontianak, Sultan Syarif Abdul Rahman al Qadrie menggunakan meriam ini untuk menembak hutan yang dikatakan tempat tinggal sekumpulan hantu pontianak yang mengganggu kehidupan harian penduduk setempat. Setelah tembakan itu, tiada lagi pontianak yang menggangu dan disebabkan itu, nama tempat dan kesultanan ini dinamakan sebagai Pontianak.

Tidak jauh dari meriam ini, terdapat sebuah batu besar yang kelihatan seperti terbang melayang ke arah Sungai Kapuas. Dari batu inilah, tempat sekitar permakaman ini dinamakan sebagai Batu Layang.

Setelah berada di sini sekitar setengah jam, maka kami pun bergerak dari situ menuju ke Tugu Khatulistiwa yang memang kami lewati tatkala hendak ke permakaman ini tadi. Sebelum bertolak, Herman memberikan Rp2000 (+- RM0.60) kepada "penjaga" parkir. 

Peta: Perjalanan dari Warong Pa' Ngah ke Makam Kesultanan Pontianak.

Pintu masuk ke Makam Kesultanan Pontianak, Batu Layang.

Makam Kesultanan Pontianak, Batu Layang.

Makam Sultan Syarif Abdul Rahman (Sultan Pertama Pontianak).

Makam kerabat diraja Pontianak.

Meriam di Makam Kesultanan Pontianak, Batu Layang.

Batu Layang.

Sungai Kapuas di Batu Layang.

Setelah dalam lima minit dari Makam Diraja al Qadrie, maka sampailah kami di Tugu Khatulistiwa. Sebelum itu, motorsikal kami perlu diparkirkan di tempat disediakan dan bayaran Rp3000 (+- RM0.90) perlu dibayar di kaunter.

Selepas itu, kami terus ke bangunan Tugu Khatulistiwa ini. Di kawasan inilah sebenarnya garisan Khatulistiwa melintasi bumi dan kota Pontianak adalah satu-satunya kota di dunia yang kedudukannya berada di kedua-dua hemisfera utara dan hemisfera selatan. Bandar kedua terdekat dengan garisan Khatulistiwa adalah Quito, Ecuador di Amerika Selatan di mana ia terletak kira-kira dua kilometer dari garisan namun tidak berada betul-betul di garisan tersebut.

Kami memasuki bangunan tugu ini, kemasukannya adlaah percuma sahaja. Di dalamnya terdapat pameran tentang garisan khatulistiwa dan sejarah tugu ini. Di tengah-tengah dewan ini terdapat tugu asal yang diperbuat daripada kayu dan keluli yang dibina oleh seorang juruukur Belanda pada tahun 1929. Akhirnya pada tahun 1990, Kerajaan Indonesia menerusi Kerajaan Kota Padang, telah membina bangunan terkini yang melindungi tugu asal. Mereka juga ,embuat replika tugu baru yang lima kali ganda lebih besar dari yang asal dan yang kini kelihatan di atas bangunan tugu ini dan menjadi ikon kota Pontianak. Di sini juga sempat saya bergambar di mana kaki saya memijak kedua-dua hemsisfera utara dan selatan secara serentak.

Setelah usai berada di dalam bangunan Tugu Khatulistiwa ini, kami berjalan-jalan ke sekitar Taman Khatulistiwa ini. Terdapat bangunan dibina tetapi kosong sahaja. Paling terasa, kepanasan dan kehangatan cuaca pada masa itu. Walaupun kami tidak berada pada tepat waktu tengahari, namun cuaca yang cerah ini, terasa panas juga. Mungkin psikologi rasanya yang memikirkan bahawa saya berada di tengah-tengah bumi ini.

Kami kemudian tiba di titik sebenar garisan khatulistiwa yang mana pada tahun 2005 telah dibuat ukuran baru, menunjukan titik sebenar adalah lebih hampir dengan tebing sungai. Di kawasan ini terdapat seperti mini auditorium terbuka. Setiap tahun, pada masa ekuinoks iaitu matahari berada tepat di atas garisan Khatulistiwa, iaitu pada 21 Mac dan 23 September, akan ada majlis  keramaian di titik ini. Memang ramai orang serata dunia akan ke sini untuk melihat suasana ekuinoks itu. Kiranya saya terlambat seminggu lebih sikitlah, padanlah harga tiket murah tidak dapat pada masa itu. 

Peta: Perjalanan dari Makam Kesultanan Pontianak ke Tugu Khatulistiwa.


Resit Parkir Motorsikal Tugu Khatulistiwa.


Tugu Khatulistiwa.


Saya di Tugu Khatulistiwa (aplikasi Photo Place).

Tugu Khatulistiwa yang asal.

Saya yang memijak kedua-dua hemisfera utara dan selatan serentak.

AKeadaan kawasan sekitar Tugu Khatulistiwa pada tahun 1940.

Blue print binaan Tugu Khatulistiwa yang baru.

Tanda kehadiran saya di Tugu Khatulistiwa.

Bot persiaran yang berlabuh di Taman Khatulistiwa.


Di tebing Sungai Kapuas, berhadapan dengan mini auditorium ini, terdapat sebuah bot persiaran yang berlabuh, mungkin untuk membuat persediaan operasi mereka pada waktu malamnya nanti. Suasana di tebing Sungai Kapuas ini agak menerangkan, walaupun airnya tidak bersih sangat (agak banyak sampah yang terapung juga).

Setelah sekian lama, kami kembali ke kawasan bangunan Tugu Khatulistiwa untuk mengambil beberapa keping gambar dan terus ke parkir motorsikal untuk ke destinasi kami seterusnya, Istana Qadriah.

Bersambung ke Hari 2 Bahagian 2.



Jika mahu lihat catatan: 
If want to read in English: 

  • PreJourney; 
  • Itinerary;
  • Day 1;
  • Day 2 Part 1 (this part);
  • Day 2 Part 2.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan