Ahad, 26 Ogos 2018

Pra Kembara (Padang, Sumetera Barat, Indonesia - 27 Ogos 2018) - Kunjungan Singkat Ke Padang.

Jika mahu lihat catatan: 



If want to read in English: 

  • PreJourney (this part); 
  • Itinerary;
  • Journey;
  • Travel Guide - Padang, Indonesia.

Prakata.

Lama juga saya tidak membuat sebarang catatan di dalam blog ini. Kira-kira lebih sikit dari setahun. Ini kerana dalam masa ini, saya mengalami pelbagai dugaan dan cabaran dalam kehidupan seharian saya yang menyebabkan saya kurang menyentuh blog ini. Ini menyebabkan beberapa perjalanan saya semasa ini seperti ke Osaka (Jepun), Sibu (Sarawak, Malaysia), Labuan (Malaysia), Bintulu (Sarawak, Malaysia), beberapa kali ke Singapura dan selatan Thailand, tidak dapat dicoretkan kerana saya sudah lupa atau gambar-gambar atau bahan-bahan berkaitan saya tidak tahu di mana saya letak.

Jadi saya memohon maaf kepada semua atas apa yang berlaku, namun selepas ini saya akan berusaha untuk berkongsi coretan perjalanan saya selepas ini. Terima kasih kerana sudi menunggu coretan blog ini dan menyokong saya selama ini. Teruskan sokongan anda mengikuti blog ini di samping page Facebook Kembara GDTwitter @KembaraGD dan Instagram @KembaraGD. Kepada yang belum mengikutinya (follow) mohonlah jadi pengikut (follower) ya. Terima kasih.



Muzium Padang.

Pengenalan.

Sebenarnya, saya ini sudah merasa gatal kaki untuk berjalan-jalan lagi. Punyalah ketagih sampai selepas trip singkat saya ke Bintulu, saya telah menempah beberapa tiket perjalanan AirAsia. Asal AirAsia ada promosi sahaja, akan akan menempah perjalanan. Cuma, tumpuan perjalanan saya sekarang adalah ke kawasan sekitar ASEAN, terutama yang murah dan ke tempat yang belum saya jejaki atau tempat yang sudah dijejaki tetapi sama ada saya rasa belum lengkap (contohnya lapangan terbangnya saya belum menggunakannya, atau hanya guna sama ketibaan sahaja atau berlepas sahaja, jadi hendak lengkapkan kedua-duanya). Juga perjalanan saya selepas ini akan banyak perjalanan cuma sehari atau dua hari (terutama jika destinasi itu hanya ada satu penerbangan sahaja dalam sehari).


Sebelum diteruskan dengan cerita persiapan saya ke Padang ini, mari kita kenal-kenal dulu destinasi kita, iaitu Padang, Sumatera Barat, Indonesia.

Padang merupakan ibu negeri atau ibu wilayah Sumatera Barat, Indonesia iaitu salah satu dari 10 wilayah atau disebut propinsi dalam Bahasa Indonesia, yang terletak di dalam pulau Sumatera. Ia juga merupakan bandar terbesar di dalam wilayah tersebut jua terletaknya Lapangan Terbang Antarabangsa Minangkabau (yang sebenarnya terletak di Ketaping, di bawah kabupaten (daerah) Padang Pariaman, 23 kilometer ke utara pusat bandar Padang), juga Pelabuhan Padang, menjadikan ia pintu masuk utama dunia luar ke Sumatera Barat. Keluasannya kira-kira 695 kilometer persegi dan mempunyai penduduk kira-kira 1 juta orang (pada tahun 2014).

Sebagai sebahagian daripada Sumatera Barat, maka ia juga adalah sebahagian daripada tanah orang Minang yang memang ada budaya tersendiri seperti rumah berbumbung tirus seperti tanduk kerbau, makanannya yang terutama Nasi Padang dan Sate Padang, bahasanya yang unik sedikit (seperti loghat Negeri Sembilan yang merupakan susur galur dari Minangkabau juga) dan budayanya. Sebagai pintu masuk utama Sumatera Barat, Padang menjadi penghubung ke kawasan-kawasan lain yang terkenal di Sumatera Barat seperti Bukitinggi, Pagarruyung, Batusangkar, Pariaman dan sebagainya.

(sumber dari Wikipedia).





Peta: Padang, Sumatera Barat, Indonesia.



Peta: Sumatera Barat, Indonesia.

 
Peta: Indonesia.

Baiklah, saya kongsi kisah persiapan saya pula. Antara promosi AirAsia adalah bermula 06 Ogos 2018, program kesetiaan AirAsia, AirAsia BIG Loyalty Programme, telah membuat promosi bulanannya, Final Call, dengan beberapa destinasi ditawar dengan penebusan mata serendah dari 500 mata. Ada beberapa destinasi yang belum saya sampai, antaranya Padang. Kebetulan tawaran 500 mata (1000 mata jika perjalanan pergi balik) untuk perjalanan pergi dan balik terdapat dalam bulan Ogos 2018 ini juga, setelah dilihat  menerusi aplikasi telefon pintar AirAsia BIG, maka pada hari itu juga (06 Ogos 2018), saya menempah perjalanan ke Padang, Indonesia. Jumlah keseluruhan mata yang dicaj oleh pihak AirAsia BIG adalah sebanyak 8100 mata (meliputi 500 mata kali 2 untuk tambang perjalanan, dan baki 7100 mata untuk membayar bayaran berkaitan lapangan terbang (cukai lapangan terbang dan sebagainya). Namun saya memilih untuk baki 7100 mata dibayar dengan tunai (1000 mata perlu menggunakan mata kerana itu minimum perlu dicaj menggunakan mata). Untuk penukaran 7100 mata ke tunai, saya perlu membayar kira-kira RM72.42 sen di mana setiap mata bernilai 10 sen dan sekarang pihak AirAsia BIG mengenakan caj untuk pertukaran mata ke tunai (atau dalam bahasa mereka, pembelian mata) dalam RM1.42 untuk 7100 mata ini. Dulu rasanya tidak perlu. 

Saya pun membayar dengan menggunakan kad debit BigPay, yang juga merupakan produk kumpulan AirAsia, yang mana tidak perlu membayar caj tambahan bagi penempahan sebagaimana yang dikenakan jika membayar menggunakan kad kredit atau debit yang lain (RM8.00/orang/perjalanan) atau membayar dengan debit terus dengan akaun bank (RM4.00/transaksi). Juga, kita juga boleh mendapat mata AirAsia BIG juga. Kelebihan kad BigPay ini berbanding kad lama keluaran kumpulan AirAsia lain adalah ia boleh ditambah nilai dengan menggunakan kad kredit. Jadi senang la sikit.

Untuk memudahkan perjalanan saya ke klia2 nanti, saya juga menempah tiket bas SkyBus sektor KL Sentral-klia2 yang boleh dipilih sebagai penambahan (add-on) kepada penempahan penerbangan AirAsia kita. Ia lebih murah berbanding kita beli di kaunter yang mana berharga RM12.00 sehala atau RM22.00 pergi balik. Ia juga lebih murah juga jika kita beli di laman web Skybus (RM11 sehala atau RM21.00 pergi balik). Jika beli sebagai penambahan penempahan AirAsia kita, ia cuma RM8.90 sehala atau RM17.80 sahaja untuk pergi balik. 

Saya juga menambah makanan untuk perjalanan pergi dan balik yang berharga RM25.00. Hidangan yang saya pilih adalah Pasta Spiral dengan Sosej Ayam (RM10.00) dan ditambah dengan Salad Kentang dan Mufin Coklat Pisang untuk penerbangan pergi ke Padang dari klia2 dan Pelbagai Sandwich (RM10.00) untuk penerbangan pulang dari Padang ke klia2. Saya memang pilih hidangan yang saya belum pernah cuba lagi sebenarnya. Jadi jumlah keseluruhan tambang tiket penerbangan untuk perjalanan kali ini adalah sebanyak RM115.05 sahaja.




Promosi Last Call AirAsia BIG bagi bulan Ogos 2018.

Penempahan penerbangan AirAsia.


Saya menukar wang Ringgit Malaysia kepada Rupiah Indonesia (Rp atau IDR) untuk bekalan perjalanan nanti di UA Exchange Jalan Masjid India yang merupakan pengurup wang telah dibuka pada seawal pukul 9:00 pagi pada 13 Ogos 2018. Kadar pada hari tersebut adalah Rp10 000 = RM2.88. Saya cuma tukar Rp185 000 (+- RM53.30) sahaja (asalnya hendak menukar RM50.00 sahaja, kemudian dalam poket saya terdapat RM3.50 lagi justeru saya tukar sahaja dengan jumlah berkenaan dan dapat baki 20 sen lagi)  kerana saya akan mengeluarkan wang Rupiah Indonesia di mesin ATM Maybank Indonesia iaitu bank di bawah kumpulan yang sama dengan Maybank Malaysia dengan menggunakan kad ATM Maybank Malaysia. Cara ini lebih murah kerana tiada caj pengeluaran luar negara dikenakan (umpama mengeluarkan wang di mesin ATM Maybank di Malaysia) dengan syarat kita mengaktifkan kemudahan ini di perbankan internet Maybank2u terlebih dahulu sebelum menggunakannya.

Nampaknya bank pusat Indonesia, telah mengeluarkan wang kertas versi baru, bermula pada bulan Disember 2016. Alhamdulillah pada pertukaran ini, saya telah mendapat wang kertas Rp5000, Rp10 000, Rp50 000 dan Rp100 000 dari versi ini. Semoga saya akan mendapat baki wang kertas 3 nominasi lagi (Rp1000, Rp2000,  dan Rp20 000) dalam perjalanan kali ini.

Untuk perjalanan kali ini, walaupun kadar pertukaran adalah seperti di atas (Rp10 000 = RM2.88), namun kita akan menganggap kadar pertukaran Rupiah Indonesia ke Ringgit Malaysia adalah Rp10 000 = RM1.50 bagi memudahkan anggaran.

Rp 5000 = +- RM1.50


Rp 10 000 = +- RM3.00

Rp50 000 = +- RM15.00


Rp 100 000 = +- RM30.00

Pada 14 Ogos 2018 juga, saya telah menghantar e-mel makluman kehadiran saya di Padang kepada pihak Kedutaan Malaysia di JakartaKonsulat General Malaysia di Medan dan Konsulat Malaysia di Pekanbaru. Pendaftaran melalui e-Konsular juga dilakukan pada masa yang sama. Ini penting, agar pihak kedutaan ambil maklum kehadiran saya di Padang. Ini bagi memudahkan mereka melakukan tugas mereka, disamping dapat memudahkan urusan kita jika berlaku apa-apa yang tidak diingini. Kita kena bersedia mengjangkakan perkara yang tidak terjangka. Dengan makluman kehadiran saya ke kedutaan, mereka sekurang-kurangnya akan membantu mana yang boleh. Barulah betul adat dan tatasusila orang Malaysia.


Emel makluman saya di Padang yang dihantar ke 
Kedutaan Malaysia di JakartaKonsulat General Malaysia di Medan 
dan Konsulat Malaysia di Pekanbaru

Itulah persiapan saya untuk perjalanan pada kali ini. Cuma tinggal menunggu hari pemergian sahaja. Doakan perjalanan saya kali ini berjalan lancar dan dipermudahkan segala urusan, insya Allah, amin.

Bersambung ke Kembara.

Jika mahu lihat catatan: 
If want to read in English: 

  • PreJourney (this part); 
  • Itinerary;
  • Journey;
  • Travel Guide - Padang, Indonesia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan