Khamis, 5 Januari 2017

Pra Kembara (Tehran & Isfahan, Iran - 05 hingga 09 Januari 2017) - Persiapan Perjalanan Ke Bumi Farsi.

If want to read in English: 
  • PreJourney (this part); 
  • Itinerary;
  • Travel Guide Tehran; 
  • Travel Guide Isfahan; 
  • Day 1;
  • Day 2 Part 1;
  • Day 2 Part 2;
  • Day 3;
  • Day 4 Part 1; or
  • Day 4 Part 2 & Day 5.



Menara Azad di Tehran, Iran.

Pengenalan.


Pihak AirAsiaX telah membuat gambaran bahawa mereka akan ke Tehran, Iran pada akhir tahun 2014 lagi. Sebelum itu pada tahun 2011 kalau tidak silap saya, AirAsiaX pernah membuka laluan ke Tehran tetapi apabila hendak mula beroperasi, ia terpaksa dihentikan sebelum ia beroperasi secara sebenar. Namun setelah beberapa lama, tiada sebarang khabar berita dari pihak AirAsiaX.


Banner promosi pengenalan laluan Tehran 
di dalam page Facebook AirAsia pada 16 Mei 2016.


Iran, merupakan salah satu negara di Asia Barat, malah boleh juga dikategorikan negara Asia Tengah. Mempunyai keluasan seluas kira-kira 1 650 00 km2, Iran mempunyai seramai hampir 80 juta orang penduduk. Iran merupakan negara yang menjadikan aliran Syiah Islam sebagai aliran agama rasmi negara itu. Negara ini juga adalah kesinambungan dari empayar Parsi (yang juga nama negara itu sebelum ditukar kepada Iran) yang merupakan salah satu empayar agung dunia.

 
Peta: Iran


Tehran, pula merupakan ibu negara bagi Iran ini. Mempunyai penduduk kira-kira hampir 9 juta orang di dalam keluasan 730 km2 bandaraya ini dan 15 juta jika termasuk kawasan pinggir bandaraya. Terletak di sebelah utara, walaupun dekat dengan lautan Caspian, namun dipisahkan dengan Banjaran Alborz.



 
Peta: Bandaraya Tehran, Iran.

Isfahan, terletak kira-kira 350 kilometer ke selatan Tehran, boleh dikatakan ia terletak di tengah-tengah negara Iran. Dahulunya merupakan ibu kota bagi kerajaan Parsi lama. Terdapat banyak senibina yang menarik dan cantik terletak di bandar ini. Bandar ini juga merupakan bandar kembar bagi bandaraya Kuala Lumpur. Dengan keluasan seluas hampir 500 kilometer persegi, ia didiami seramai hampir 2 juta orang.

Peta: Bandaraya Isfahan, Iran.

Pada pertengahan bulan Mei 2016, di laman Facebook AirAsia, pihak mereka telah membuat bayangan bahawa akan ada penerbangan ke Tehran dalam masa terdekat. Saya sudah mula merasakan kegirangan, kerana memang terasa sangat untuk melihat tinggalan tamadun Parsi. Kemudian, pada 16 Mei 2016, pihak AirAsia melalui laman webnya telah menyatakan mereka akan ke Tehran mulai 21 Jun 2016 dan pada mulai hari itu juga (16 Mei 2016), mereka mula menjual tiket-tiket penerbangan ke Tehran, sudah tentu pada pemulaannya dengan harga promosi. Mereka membuka promosi ke Tehran dengan harga dari RM299 sehala. Setelah membuat penyelidikan, harga pergi balik adalah RM606.32 sahaja!



Itinerari penerbangan ke Tehran yang telah ditempah.


Jadi saya menyemak tarikh mana yang sesuai. Sudah pasti penerbangan pertama pada 21 Jun 2016 tidak akan saya ambil kerana pada masa tersebut adalah di dalam bulan Ramadhan, tambahan pula saya akan ke Filipina bagi perjalanan ke Vigan City dan Puerto Pricesa. Saya memilih untuk menempah perjalanan pada 05 hingga 09 Januari 2017, setelah berbincang dengan isteri saya, kerana kali ini saya ingin bersama isteri saya selain menjemput rakan-rakan untuk bersama saya. Jadi saya telah mendapat harga RM1212.64 dan menambah makanan untuk perjalanan pergi dan balik sebanyak RM60.00 lagi. 

Rakan-rakan yang lain yang akan mengikut kembali adalah Abang Zul dan Linda (yang pernah mengikuti saya pada kembara ke Sydney lepas), Haji Halig dan Haji Kadir (yang saya kenali semasa saya menjadi seorang pegawai latihan di sebuah agensi kerajaan dahulu) dan pertama kali mengikuti saya, Najib, yang merupakan pengikut setia blog ini. Kemudian beberapa hari sebelum pergi, Najib memberitahu bahawa rakan-rakannya yang kebetulan mempunyai tarikh pergi yang sama (mereka hanya pulang dua hari selepas kami pulang ke Malaysia) akan ikut sekali. Mereka adalah Masrida, Rosayu, Nor Farizan, Chiko (Faizureen), Rahmah, Linda (Tuti), Diyana, Rohaidah dan Aisyah. Jadi pada kembara ini, akan terdapat enam belas orang kesemuanya. (Kebanyakan mereka ini mendapat tiket lebih murah semasa promo Tambang Sifar pada bulan Ogos 2016, sekitar RM406.92 untuk pergi balik, cemburu saya).

Sebelum ini, saya ada memegang beberapa keping duit Rial Iran (IRR atau ), namun tidaklah banyak. Rasanya tidak sampai RM10.00 jika saya kumpulkan nilai semuanya. Saya pun tidak ingat bagaimana saya mendapat wang Iran ini. Rasanya ini memang wang kertas yang digunakan kini di Iran. Jadi saya bawa wang-wang itu ke Iran, mana tahu ia boleh digunakan nanti.

 2000 rial = +-RM0.25


10 000 rial = +-RM1.25

 50 000 rial = +-RM6.25


Memandangkan matawang Iran memang tidak boleh didapati di pengurup wang di Malaysia, jadi saya beransur-ansur menukar wang Dollar Amerika Syarikat (USD atau US$) agar wang ini boleh digunakan untuk ditukarkan lagi kepada Rial Iran. Namun saya dikhabarkan, wang USD ini agak laku di Iran, tanpa perlu tukar kepada Rial Iran. Tengoklah bagaimana nanti. Hairan juga, walaupun bermusuh, namun matawang musuh lebih berharga dan berguna daripada matawang Iran sendiri. Selain USD, dicadangkan juga untuk tukar kepada Euro. Saya menukar wang USD ini secara beransur-ansur apabila mendapat gaji. Purata saya mendapat kadar kira-kira US$1 = +- RM4.50. Apa-apa pun kena pastikan wang USD ni kena versi terkini kerana biasanya di luar Amerika Syarikat terutama negara-negara membangun, wang yang bukan versi terkini tidak diterima.


 US$1 = +- RM4.50


US$2 = +- RM9.00

US$5 = +- RM22.50

 US$10 = +- RM45.00


US$20 = +- RM90.00


US$50 = +- RM225.00


 US$100 = +- RM450.00


Oleh kerana takaful yang biasa saya ambil iaitu International World Traveller Care Takaful dari eTiQa Takaful, perlindungannya tidak meliputi Iran, jadi saya terpaksa mencari produk perlindungan perjalanan daripada syarikat lain. Asalnya saya ingin mengambil produk takaful HSBC Travelsafe daripada HSBC Amanah Takaful, kerana saya adalah pemegang kad kredit HSBC Amanah namun pada ketika saya hendak membelinya ia digantung penjualannya. Tiada syarikat takaful lain yang memberi perlindungan untuk perjalanan ke Iran. Terpaksalah saya ambil yang konvesional kerana tiada syarikat takaful yang menawarkan perlindungan ke Iran.

Jadi saya memilih untuk mengambil plan Chubb Travel Insurance dari Chubb Insurance Malaysia yang memberikan perlindungan terbaik dengan harga terbaik juga. Asalnya harganya adalah RM115.00 bagi pasangan atau RM65.00 bagi individu untuk Pelan Premium perlindungan perjalanan pergi balik selama 1 hingga 5 hari bagi Zon 3 (seluruh dunia kecuali Cuba dan domestik (Malaysia)) (terdapat perlindungan lebih mahal tapi lebih luas iaitu Pelan Executive, RM138.00 (pasangan) dan RM78.00 (individu) atau First, RM217.00 (pasangan) atau RM119.00 (individu)). Namun pihak Chubb Insurance membuat promosi jika membeli secara dalam talian di laman webnya menjadi RM88.75 sahaja (RM51.25 bagi individu) untuk Pelan Premium. 

Sijil Perlindungan Chubb Travel Insurance.

Pada 26 Disember 2016 juga, saya telah menghantar e-mel makluman kehadiran kami di Iran kepada pihak Kedutaan Malaysia di Tehran. Pendaftaran melalui e-Konsular juga dilakukan pada masa yang sama. Ini penting, agar pihak kedutaan ambil maklum kehadiran kami di Iran. Ini bagi memudahkan mereka melakukan tugas mereka, disamping dapat memudahkan urusan kita jika berlaku apa-apa yang tidak diingini. Lagipun baru sahaja berlaku tragedi yang menimpa orang Malaysia di Gunung Damarvand, tidak jauh dari Tehran, beberapa minggu sebelum pemergian kami. Kita kena bersedia mengjangkakan perkara yang tidak terjangka. Dengan makluman kehadiran kami ke kedutaan, mereka sekurang-kurangnya akan membantu mana yang boleh. Barulah betul adat dan tatasusila orang Melayu.


Emel makluman kami di Iran yang dihantar ke Kedutaan Malaysia di Tehran.

Oleh kerana perjalanan kali ini melalui musim sejuk, maka persediaan pun perlu di buat mengikut musim berkenaan. Jadi saya keluarkan kembali long john UniQlo yang boleh menghangatkan sikit badan kita semasa musim ini berbanding tiada memakai long john. Sarung tangan yang boleh menyentuh skrin sesentuh telefon bimbit juga dikeluarkan kembali, begitu juga terdapat saki baki heat pack (pek pemanas) yang masih boleh digunakan. Cuma saya perlu ke Daiso untuk membeli stok isteri saya juga. Jadi persediaan asas lebih kurang sama macam persediaan saya ke Seoul pada bulan Mac 2016 lepas. Selain itu, baju panas juga paling utama, macam saya, akan memakai baju kulit yang saya beli di Bandung pada bulan Februari 2015 lepas. Lain-lain biasa sahaja. Kalau tidak cukup pakaian sejuk, rasa beli di sana sahaja.

Long Johns UniQlo.


Sepasang sarung tangan yang boleh sentuh skrin telefon dan satu set pek pemanas dibeli di Daiso.

Rasanya persediaan ke Iran ini sudah hampir selesai. Cuma penginapan sahaja yang perlu dibuat secara walk-in di sana nanti kerana agak kurang yang boleh ditempat secara online. Jika ada pun yang boleh ditempah melalui emel tetapi harganya agak mahal juga. Pengangkutan pun begitu juga. Memang kali ini perjalanan berkonsep redah sahaja. Jadi harapannya, semoga perjalanan kami dilindungi dan dirahmati olehNya, insya Allah, amin.

Bersambung ke Hari 1.



If want to read in English: 
  • PreJourney (this part); 
  • Itinerary;
  • Travel Guide Tehran; 
  • Travel Guide Isfahan; 
  • Day 1;
  • Day 2 Part 1;
  • Day 2 Part 2;
  • Day 3;
  • Day 4 Part 1; or
  • Day 4 Part 2 & Day 5.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan