Ahad, 25 Disember 2016

Kuala Lumpur, Malaysia - 22 Disember 2016 - Monorel KL.

Click here if want to read in English version.


Tren empat koc Monorel KL di Stesen Monorel Titiwangsa.

Setelah saya mencuba ketiga-tiga laluan LRT Lembah Klang RapidKL iaitu Laluan Ampang, Laluan Sri Petaling dan Laluan Kelana Jaya pada 22 Disember 2016 lepas, sempena 20 tahun usia perkhidmatan LRT Laluan Ampang, maka saya mencuba sistem Monorel Kuala Lumpur untuk saya membuat review. Sebenarnya sudah banyak kali saya menaikinya terutama ketika saya tinggal di perumahan Flat Pekeliling satu ketika dahulu, baru kini saya hendak merasa untuk membuat review.

Setelah kedua-dua sistem LRT Lembah Klang dibuka untuk operasi, terdapat kawasan tumpuan utama yang tidak diliputi oleh kedua-dua sistem LRT tersebut, iaitu kawasan Bukit Bintang, yang merupakan kawasan membeli-belah utama di Kuala Lumpur. Akhirnya perkhidmatan Monorel Kuala Lumpur (Monorel KL) diperkenalkan pada tarikh 31 Ogos 2003. Perkhidmatan Monorel KL ini bermula dari Stesen Titiwangsa hingga ke Stesen KL Sentral yang mempunyai sebanyak sebelas stesen. Paling utama, laluan Monorel KL ini melalui kawasan Chow Kit, Segitiga Emas Kuala Lumpur (Bukit Bintang) dan Brickfields. Ke semua ini merupakan kawasan membeli-belah utama dan juga kawasan tumpuan pelancong. Malah di kedua-dua hujungnya merupakan hub pengangkutan utama di Kuala Lumpur iaitu KL Sentral dan Stesen Bas Pekeliling (Titiwangsa).

Monorel KL ini dibina oleh sebuah syarikat swasta iaitu KL Infra Berhad. Sepanjang sejarahnya terdapat banyak peristiwa terutama pengambilalihan pengurusan daripada pihak swasta (KL Infra) kepada pihak kerajaan menerusi Syarikat Prasarana Negara Berhad (kini Prasana Malaysia Berhad - Prasarana). Kini KL Monorel beserta beberapa sistem transit di Kuala Lumpur dioperasikan oleh Rapid Rail Sdn Bhd, anak syarikat Prasarana sendiri di bawah jenama RapidKL, manakala segala aset dipunyai oleh Prasarana. Boleh rujuk sejarah lengkap yang diambil daripada Wikipedia.

Kini, sejak tahun 2014, kesemua perkhidmatan rel termasuk Monorel KL (diberikan  kod warna hijau muda dan kod nombor laluan 8 di dalam sistem transit bersepadu Lembah Klang) dan bas di bawah jenama RapidKL telah disepadukan dengan menggunakan kaedah sistem pembayaran pra bayar yang satu iaitu kad MyRapid. Juga, sistem tiket tunai di semua laluan rel juga menggunakan sistem token yang bersepadu, di mana pengguna boleh menukar laluan tanpa perlu membeli tiket lain jika bertukar di beberapa stesen pertukaran. Memang ia memudahkan, pengguna boleh bertukar laluan antara LRT Laluan Kelana Jaya, Laluan Sri Petaling, Laluan Ampang,  Monorel Kuala Lumpur dan BRT Sunway. Akan datang, MRT Laluan SBK juga akan menggunakan sistem pembayaran yang sama apabila sambungan fasa kedua akan beroperasi mulai bulan Julai 2017 nanti. Selain itu, kad Touch'nGo juga boleh digunakan. Bagi mengetahui tambang perkhidmatan ini, boleh layari laman tambang Rapid Rail bagi bayaran tunai atau tanpa tunai (pra bayar). Juga terdapat insentif atau promosi khas bagi pengguna kerap atau golongan tertentu.

Keadaan stesen Monorel KL (contoh di Stesen Monorel Hang Tuah).

Rajah laluan Monorel KL.

Token perjalanan sistem transit RapidKL di bawah Rapid Rail - belian tunai.

Kad MyRapid.

Kesemua stesen Monorel KL ini dibina secara bertingkat dan platformnya terletak di tingkat atas sekali dan aras concourse di bawahnya. Rekabentuknya agak ringkas, namun terdapat beberapa stesen mempunyai kemudahan tandas. Kesemua stesen kecuali dua terminalnya mempunyai platform tepi dua trek, manakala kedua-dua terminalnya mempunyai platform tepi dengan satu trek sahaja.

Pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), memang menggalakan untuk sistem-sistem pengangkutan terutama sistem rel ini bersepadu antara satu sama lain. Monorel KL ini mempunyai beberapa stesen yang bersepadu dengan sistem rel lain, yang mana stesen bersepadu ini mempunyai laluan yang membolehkan pengguna bertukar stesen menggunakan token atau kad sedia ada tanpa perlu membeli tiket baru. Stesen Titiwangsa dan Stesen Hang Tuan mempunyai laluan tanpa perlu keluar sistem untuk bertukar ke LRT Laluan Ampang dan Laluan Sri Petaling.

Selain itu, terdapat juga beberapa stesen-stesen yang berhubung dengan sistem rel lain namun tidak bersepadu di mana pengguna perlu keluar daripada sistem masing-masing, bermakna perlu membeli token tambang berasing bagi setiap sistem. Dengan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya, pengguna perlu keluar dari Stesen Bukit Nanas dan berjalan di ruang pejalan kaki berbumbung ke Stesen LRT Dang Wangi yang hanya 300 meter sahaja. 

Kes ini juga sama dengan Stesen KL Sentral yang mana ia berada di sebelah kompleks membeli belah Nu Sentral, dan perlu keluar dari sistem serta melalui Nu Sentral untuk ke Stesen LRT atau Stesen KTM Komuter atau stesen-stesen kedua-dua perkhidmatan ERL (KLIA Ekspres dan KLIA Transit) yang berada di dalam bangunan KL Sentral. Juga, apabila fasa kedua MRT Laluan SBK siap, laluan hubungan khas ke Stesen MRT Muzium Negara juga akan mengubungkan ke KL Sentral.

Apa yang menarik adalah koc yang dibina merupakan koc binaan tempatan yang dibina oleh syarikat Scomi Rail Sdn Bhd berasaskan model monorel Hitachi. Koc monorel ini diberi nama model Sutra. Pada peringkat awal, setiap koc mempunyai dua buah gerebak sahaja. Namun oleh kerana keperluan semasa yang menyaksikan pengguna monorel bertambah, maka koc empat gerabak diperkenalkan pada akhir tahun 2014.

Tren dua koc Monorel KL di Stesen Monorel Hang Tuah.

Keadaan di dalam tren dua koc Monorel KL.

Penunjuk stesen di atas pintu tren dua koc Monorel KL.

Tren empat koc Monorel KL di Stesen Monorel Titiwangsa.

Keadaan di dalam tren empat koc Monorel KL.

 Penunjuk stesen di atas pintu tren empat koc Monorel KL.

Koc monorel ini agak kecil dan padat jika digunakan pada masa puncak. Memang selalu terjadi pengguna tidak dapat masuk apabila koc yang sampai sudah penuh. Satu lagi, sistem pintu penghadang platform seolah-olah menjadi tukun tanpa digunakan.

Satu lagi, mungkin pihak Rapid Rail boleh menggunakan sepenuhnya koc 4 gerabak dan melupuskan kesemua koc 2 gerabak, kerana pengguna semakin ramai. Mungkin selepas ini pihak Rapid Rail dan Prasarana kena menaik taraf agar dapat menampung penumpang semakin ramai dengan menambahkan gerabak bagi setiap koc, seterusnya memanjankan lagi platform di stesen, atau menambahkan lagi kekerapan perkhidmatan atau kedua-duanya.

Selain itu, mungkin boleh digunakan model monorel ini di tempat lain yang memerlukan pengangkutan sistem yang sama. Juga, laluan sedia ada boleh dipanjangkan, dengar cerita akan dipanjangkan sehingga ke Bandar Sunway, harap ia terlaksana insya Allah.

Bagi saya pihak RapidKL dan Prasarana telah berusaha meningkatkan dan menaik taraf perkhidmatan Monorel KL ini sejak mengambil alih dari pihak sebelumnya. Hasilnya perkhidmatan bertambah baik dan ia semakin menjadi kaedah yang digemari bukan sahaja warga kota Kuala Lumpur dan Lembah Klang, malah pelancong yang datang ke Kuala Lumpur. Teruskan berikan perkhidmatan yang lebih baik untuk penggunanya. Teruskan usaha agar perkhidmatannya terus relevan.


Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan...


Click here if want to read in English version.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan