Sabtu, 18 Jun 2016

Hari 3 (Taipei, Taiwan - 06 hingga 11 Mei 2016) - Panda di Taipei, Comel!.

Bersambung dari Hari 2.

Jika mahu lihat catatan:

If want to read in English: 
  • Pre Journey; 
  • Itinerary;
  • Day 1;
  • Day 2; 
  • Day 3 (this part)
  • Day 4; or 
  • Day 5 & 6.
Panda sedang bermain-main di dalam kandangnya di Zoo Taipei.

Hari 3 (08 Mei 2016 - Ahad).


Pagi ini, saya bangun pada pukul 5:30 pagi. Membersihkan diri, solat dan mengemas apa yang patut, sementara menunggu waktu untuk sarapan pagi. Apabila sampai pukul 7:30 pagi, saya ke ruang pantri untuk bersarapan. Sudah siap makanan dan minuman yang perlu dibuat sendiri, saya duduk di ruangan balkoni untuk menikmati udara terbuka Taipei. Suasana sudah terang benderang seumpama pukul 9:00 pagi di Kuala Lumpur. Tatkala saya dan kemudiannya Hafiz menikmati sarapan kami, kami disapa oleh seorang jejaka Jepun bernama Atsushi Nakata yang memang kami berborak dengannya semalam. Hari ini hari terakhirnya di penginapan ini. Banyak juga pengalaman yang dikongsikan kami.


Saya, Hafiz dan sahabat baru dari Jepun Atsushi Nakata di WOW Hostel Ximen.

Sepasang pasangan kekasih yang sedang berkasih-kasihan di platform Metro Taipei.





Kemudian setelah selesai bersarapan, kami mula keluar untuk ke destinasi utama kami untuk hari ini iaitu ke Zoo Taipei. Suasana pagi perjalanan kami dari penginapan ke Stesen Metro Ximen di kawasan Ximending agak sunyi sedikit. Kami singgah dahulu di 7-Eleven dahulu untuk membeli sedikit bekalan. Apabila sampai di stesen, kami tambah nilai kad EasyCard kami sebanyak NT$100 (+- RM12.50) untuk menampung perjalanan kami hari ini. Setelah itu, kami masuk ke ruang berbayar dan ke platform Laluan 3-hijau Songshan-Xindian menghala ke Xindian. Semasa turun, saya ternampak permandangan yang sama macam di Seoul iaitu terdapat sepasang kekasih sedang berpelukan macam belangkas. Cuma di sepanjang kembara saya di Taipei ini, memang ada tapi tidak sebanyak di Seoul yang memang ada setiap kali menaiki sistem Metronya.

Keadaan di dalam sebuah gerabak tren Laluan 1-Coklat Wenhu.


Kami menaiki tren dan berpindah laluan ke Laluan 2-Merah  Tamsui-Xinyi dan kemudian ke 
Laluan 1-Coklat  Wenhu untuk ke Zoo Taipei (untuk laluan lebih lengkap, boleh rujuk peta di bawah atau merujuk Itinerari). Memang jauh sedikit perjalanannya.



Peta: Perjalanan dari penginapan ke Taipei Zoo.


Akhirnya setelah lebih sedikit dari sejam, sampailah kami di Stesen Metro Taipei Zoo. Sebelum keluar stesen, saya mengambil cop khas stesen ini. Setelah berada di luar kawasan berbayar, kami mengambil laluan ke kiri untuk ke Zoo Taipei, jika mengambil laluan terus (kanan), ia akan menghala ke sistem kereta kabel Maokong Gondola. Jadi kemi berjalan sedikit, kira-kira 300 meter untuk sampai ke kawasan legar Zoo Taipei.



Cop Stesen Metro Taiwan, Taipei Zoo.



Kami tiba di depan Zoo Taipei.

Tatkala kami sampai di sana, Zoo Taipei ini baru sahaja dibuka pada pukul 9:00 pagi. Ia dibuka dari pukul 9:00 pagi ke 5:00 petang dengan kemasukan akhir pada pukul 4:00 petang. 

Saya di depan Zoo Taipei.

Tiket Taipei Zoo.


Saya ke kaunter tiket untuk membeli tiketnya. Ia berharga NT$60 (+- RM7.50) setiap orang. Untuk pelajar (yang mempunyai tanda pengenalan pelajar) ia separuh harga dan untuk kanak-kanak pra-sekolah ke bawah dan orang kurang upaya, ia percuma. Jika berkumpulan lebih dari 30 orang, akan dapat diskaun 30%. Bayaran boleh dibuat secara tunai atau dengan menggunakan kad EasyCard. Saya menggunakan tunai sahaja, kerana nak dapatkan tiket tanda kenangan. Orang tidak berapa ramai ketika itu.



Ruang legar selepas pintu masuk Zoo Taipei.


Setelah mendapatkan tiket, kami pun masuk. Di pintu masuk, kami diberikan tiket khas untuk memasuki tarikan utama (bagi saya) iaitu pameran panda. Tiba-tiba, abang DAN mengadu yang dia terasa sakit perut. Katanya, sudah lima hari tidak dapat membuang air besar, selama itu juga dia risau. Kesakitan mula terasa pada saat itu. Jadi dia berkata dia perlu pulang awal ke tanah air kerana takut terjadi apa-apa. Saya memujuk agar dapat bersama kami sehingga akhir kembara, dan mengatakan bahawa beliau mempunyai perlindungan takaful perjalanan yang dibeli dengan saya. Abang DAN tetap dengan keputusannya dan menempah tiket penerbangan AirAsiaX dengan bantuan saya. Dia dapat menempah tiket penerbangan pada pukul 3:00 petang tersebut dalam harga kira-kira RM860.00.


Bangunan yang menempatkan panda di Zoo Taipei.

Setelah selesai membuat penempahan, kami terus ke bangunan yang menempatkan panda untuk melawat pameran panda di zoo ini. Tiada bayaran tambahan dikenakan. Kiranya, jika hendak melihat panda, adalah murah di zoo ini, cuma RM7.50 sahaja (tidak dikira kos penerbanganlah). Kalau di Zoo Negara, hendak melihat panda sahaja sudah lebih RM50.00 seorang! 

Tiket khas untuk melawat panda.

Kami memasuki bangunan tersebut dan memberikan tiket khas kepada petugas tersebut. Kamera danalat rakaman boleh dibawa masuk, cuma perlu disetkan mod tiada pancaran flash atau lampu. Suasana di dalam ruang pameran pun sudah terang. Orang tidak berapa ramai sangat pada ketika itu, jadi boleh dapat melihat panda di depan mata. Jadi dapatlah saya melihat panda buat pertama kali setelah beberapa kali hampir sahaja hendak melihat tapi tiada rezeki (sepanjang tiga kali perjalanan ke China dan di Zoo Negara).

Panda sedang bermain-main di dalam kandangnya di Zoo Taipei.


Memang comel sangat gelagat panda ini. Terasa puas di hati saya kerana sudah dapat melihat panda betul-betul di mata saya. Terdapat sepasang panda di sini, tetapi buat masa ini, kedua-duanya dipisahkan mengikut ruang pameran yang bersebelahan. Mungkin kerana bukan masa untuk mengawan dan demi mengelakan dari berkelahi agaknya. Panda jantan agak aktif juga, dan pandai beraksi. Setelah beraksi, panda jantan ini duduk di atas para khas, dan membuat aksi berehat tetapi agak comel. Sempat juga saya mengambil gambar, video dan sidang video secara langsung di dalam akaun Facebook saya. Sambil-sambil itu, sempat juga saya membeli cenderahati di kedai cenderahati di dalam bangunan ini.



Panda di Taipei Zoo.


Seterusnya, kami menaiki keretapi shuttle Zoo Taipei, oleh kerana kesihatan Abang DAN. Ini kerana dengan keretapi ini, sekurang-kurangnya dapat melawat sebahagian besar zoo ini dengan tempoh cepat. Tambang pun cuma NT$0.50 (+- RM 0.65) sahaja, dan kami bayar menggunakan kad EasyCard sahaja. Stesennya pun hanya sebelah sahaja dari bangunan panda.


Stesen keretapi shuttle Zoo Taipei.

Cuma tidak puas kerana tidak dapat lebih lama di sesuatu tempat. Tapi sekurang-kurangnya dapat melihat apa yang ada di dalam zoo ini. Haiwan-haiwan di dalam zoo ini dibahagikan mengikut tema, seperti Afrika, Hutan Tropika dan Burung-burung serta lain-lain. Luas juga zoo ini. Setiap hentian, kita boleh berhenti dan menaiki keretapi ini, cuma hanya melihat dari dalam keretapi sahaja dan tidak turun. Setelah dalam 20 minit, kami kembali semula ke stesen permulaan. Semasa kami hendak bergambar selfie, dengan baik hatinya, pemandu keretapi ini menawarkan kami untuk mengambil gambar. Memang banyak orang-orang di Taiwan ini yang baik hati dan mesra, walaupun ramai tidak boleh berbahasa Inggeris.

Kami di hadapan sebuah keretapi shuttle Zoo Taipei.

Koala yang sedang tidur di dalam Zoo Taipei.


Seterusnya, kami mengambil masa sikit untuk melawat koala yang di sebelah stesen keretapi tadi. Kesemua koala ini tidur sahaja. Selepas itu kami pun mengambil keputusan untuk keluar setelah lebih dua jam setengah di dalam zoo ini. Kami terus menaiki tren Metro Taiwan untuk pulang ke penginapan. Jadi perancangan asal untuk menaiki kereta kabel Maokong Gondola terpaksa dibatalkan (satu tindakan yang amat merugikan, sila baca catatan Hari 5 & 6 untuk mengetahuinya). Semasa keluar dari Zoo Taipei, terdapat cop khas untuk dijadikan kenangan.




Cop Taipei Zoo.

Penjual aiskrim tinggi sedang mengisi aiskrim ke dalam kon aiskrim.


Sampai di stesen Metro Ximen, kami dengan berjalan melalui kawasan Ximending. Gerai aiskrim tinggi menarik perhatian saya. Maka saya pun memesan untuk membeli aiskrim ini yang berharga NT$30 (+- RM3.75) setiap satu. Hafiz pun memesan aiskrim ini, tambahan pula, cuaca mulai terik ketika itu. Saya membelinya kerana teringat semasa di Seoul sebelum itu, saya ternampak tetapi tidak membelinya, maklumlah cuaca sejuk. Rasa aiskrim di Taipei ini agak ringan sedikit tetapi sesuai menghilangkan kehangatan cuaca Taipei ini.

Saya dan Hafiz sedang menikmati aiskrim kami.

Sampai di penginapan, saya menyuruh Abang DAN mengemas dan menyiapkan begnya dengan Hafiz menolongnya. Saya pula ke kaunter khidmat pelanggan penginapan untuk meminta agar dapat mencetak tempahan penerbangan yang dibuat Abang DAN. Saya memanjangkan emel penempahan kepada emel rasmi penginapan dan alhamdulillah ia dapat dicetak. Bukan apa, berdasarkan pengalaman, di negara-negara Cina ini, mereka agak keliru dengan penamaan orang Melayu Malaysia, jadi dengan mencetak tempahan ini, dapat pengurangkan kekeliruan mereka dan mempercepatkan proses yang berkaitan. Caj pencetakan pun murah, cuma NT$2 (+- RM0.25) sahaja bagi sekeping. Setelah dalam setengah jam, kami pun bergerak untuk menghantar Abang DAN ke lapangan terbang untuk pulang ke Malaysia.

 
Peta: Perjalanan dari penginapan ke Stesen Bas Taipei Barat Terminal A.


Kami berjalan kami menuju ke Stesen Metro Ximen untuk menaiki Metro bagi ke Stesen Metro Taipei Main Station bagi ke Stesen Bas Taipei Barat Terminal A yang terletak di sebelah Stesen Keretapi Taipei Main Station. Boleh sahaja untuk berjalan kaki atau bas kerana ia agak dekat dengan penginapan tetapi disebabkan kesihatan Abang DAN, kami menaiki Metro sahaja.

Tiket bas Kuo-kuang Bus nombor 1819.

Sampai di stesen bas, saya terus ke kaunter untuk membeli tiket. Tiket bas bernombor 1819 dari Stesen Bas Taipei Barat Terminal A ke Lapangan Terbang Antarabangsa Taiwan Taoyuan (TPE) berharga NT$125 (+- RM15.70) sahaja. Ia adalah perkhidmatan ekspres dan mengambil masa kira-kira 45 minit ke sejam sahaja. Sebenarnya terdapat juga mesin jualan tiket, di mana saya nampaknya ketika beratur. Mesin ini khas untuk bas ke lapangan terbang sahaja. Bas ke lapangan terbang sentiasa ada, boleh dikatakan setiap 15 minit akan berlepas dari terminal ini. Ia adalah mod pengangkutan utama buat masa ini kerana perkhidmatan tren Metro Taipei khas ke lapangan terbang masih dalam pembinaan dengan stesennya betul-betul sebelah terminal bas/keretapi Taipei Main Staition ini.


Keratan tiket bas Kuo-kuang Bus nombor 1819 simpanan penumpang.

Peta: Perjalanan dari Stesen Bas Taipei Barat Terminal A ke Terminal 1, TPE.

Kami menaiki bas dan tidak lama kemudian ia terus meluncur menuju ke lapangan terbang. Terdapat beberapa kemudahan dalam bas ini yang memberi kemudahan kepada penumpang namun saya akan berkongsinya di dalam catatan Hari 5 & 6 nanti, insya Allah.

Keadaan lebuhraya menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan (TPE).

Kelihatan rimbunan pokok yang sedang berbunga.


Sepanjang perjalanan, terdapat banyak permandangan yang menarik hati saya. Perjalanan kami yang menggunakan lebuhraya moden melalui kawasan bandar dan kawasan hutan. Lebuhraya di Taiwan ini bertingkat-tingkat, mungkin untuk mengurangkan pengambilan tanah. Memandangkan ketika ini merupakan musim bunga, kelihatan ada pokok-pokok yang berbunga malah sayup-sayup dari jauh nampak mekar bunga sakura. 

Sebuah keretaoi berkelajuan tinggi sedang melintasi berhampiran kami.


Ketika hampir dengan lapangan terbang pula, lebuhraya yang dilalui merentasi sawah padi. Menarik juga, di mana, sawah padinya terdapat juga dicelah-celah rumah-rumah, bangunan-bangunan dan kilang-kilang. Selepas 45 minit, sampailah bas ini di Terminal 1 TPE.

Petak-petak sawah padi di celah-celah bangunan.

Kami segera ke kaunter daftar masuk di aras 1 (perlu naik setingkat, kerana bas berhenti di aras B1), kerana ketika itu sudah pukul 1:00 tengahari, dan kaunter daftar masuk sudahpun dibuka. Alhamdulillah, tiada barisan yang ada dan Abang DAN terus ke kaunter. Prosesnya sekejap sahaja, mungkin kerana adanya tempahan bercetak. Setelah itu, kami kembali ke aras B1 untuk ke medan selera, kerana perut kami lapar.

Gerai makanan halal Middle East Halal Kitchen di Terminal 1 TPE (aras B1).

Di medan selera Terminal 1 TPE ini, terdapat sebuah gerai makanan halal yang bernama Middle East Halal Kitchen. Hanya satu ini sahaja yang menawarkan makanan halal di medan selera ini. Makanan di sini umumnya bertemakan makanan India Utara dan Arab. Kami pun memesan makanan (saya lupa apa yang saya pesan), dan membayar pesanan. Saya bertanya, bolehkah kami membayar menggunakan EasyCard (untuk menghabiskan baki kepunyaan Abang DAN) dan bakinya menggunakan tunai. Alhamdulillah boleh (ini kerana kalau di premis perniagaan lain terutama di luar lapangan terbang, hanya boleh buat transaksi sejenis sahaja, iaitu tunai sahaja atau EasyCard sahaja). 

Menara kawalan dan bangunan Terminal 2 TPE.

Bangunan Terminal 1 TPE.

Setelah usai makan tengahari, kami menghantar Abang DAN ke pintu berlepas dan kami meneruskan perjalanan kami di Taiwan dengan meneroka lapangan terbang ini mana yang boleh. Mula-mula kami pusing-pusing Terminal 1 dahulu. Kemudian kami menemui akses Skytrain khas untuk ke Terminal 2. Perkhidmatan ini percuma sahaja. Selain dari Skytrain ini, terdapat bas ulang-alik antara kedua-dua terminal ini, selain berjalan kaki. Kalau berjalan kaki, agak jauh juga , tetapi tidaklah sejauh seperti KLIA dengan klia2, jauhnya pun tidak sampai 1 kilometer.

Skytrain antara terminal TPE.

Balai Berlepas Terminal 2 TPE.

Sebenarnya, kedua-dua terminal tiada beza dari segi perkhidmatan, kerana kedua-duanya mengendalikan sektor antarabangsa. Sektor domestik dikendalikan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Songshan Taipei yang lebih dekat dari pusat bandaraya Taipei. Bezanya mungkin dari di mana syarikat penerbangan ditempatkan. Kedua-dua syarikat penerbangan utama Taiwan iaitu China Airlines dan EVA Airlines menggunakan kedua-dua terminal. AirAsiaX dan MAS menggunakan Terminal 1. Cuma Terminal 2 lebih besar.

Laluan ke stesen bas Terminal 2 TPE.

Tiket Bas U-Bus dari LTA Taoyuan ke Stesen THSR Taoyuan.

Setelah penat berjalan-jalan di lapangan terbang ini, kami ke stesen bas di Terminal 2 yang terletak di aras 1, iaitu searas dengan balai ketibaan. Kami membeli tiket untuk Stesen Keretapi Laju (THSR) Taoyuan, untuk mencuba keretapi laju Taiwan pula bagi pulang ke Taipei. Tambang bas dari lapangan terbang ke stesen HSR adalah NT$30 (+- RM 3.75) sahaja. Lepas beli tiket di kaunter, kami keluar dan terus ke platform untuk menaiki bas  U Bus bernombor 706 yang sedia menunggu. 


Keratan tiket Bas U-Bus dari LTA Taoyuan ke Stesen THSR Taoyuan.

Bas U-Bus dari LTA Taoyuan ke Stesen THSR Taoyuan.


Dalam masa lima minit kami di dalam bas itu, bas itu pun bergerak meninggalkan Terminal 2 TPE ini untuk ke Stesen THSR Taoyuan.


Peta: Perjalanan dari Terminal 1, TPE ke 
Stesen THSR (Keretapi Berkelajuan Tinggi) Taoyuan.


Perjalanan ke Stesen THSR Taoyuan mengambil masa dalam 20 minit sahaja. Kami turun di platform bas dan terus masuk ke dalam bangunan stesen. Sebelum itu, kelihatan, stesen Metro Taipei yang sudah siap tetapi belum dibuka lagi. Insya Allah lepas ini, akan boleh menaiki Metro sahaja dari lapangan terbang untuk ke stesen THSR Taoyuan ini.



Salah satu papan tanda yang menarik hati di stesen bas Stesen THSR Taoyuan.

Luaran Stesen THSR Taoyuan.

Dalaman Stesen THSR Taoyuan.


Sampai di dalam, kami ke kaunter tiket untuk membeli tiket, namun barisannya agak panjang. Saya memandang ke persekitaran, dan ternampak barisan lebih pendek yang beratur untuk menggunakan mesin jualan tiket. Maka kami ke sana untuk membeli tiket. Terdapat mesin yang menerima tunai sahaja dan mesin yang menerima kad kredit/debit sahaja, kebetulan tiada yang menggunakan mesin yang menerima kad kredit, jadi saya ke mesin itu dan membeli tiket untuk tren seterusnya di situ. Harga bagi perjalanan dari Taoyuan ke Taipei berharga NT$160 (+- RM20.00) sahaja.


Tiket Keretapi Berkelajuan Tinggi Taiwan.

Peta: Perjalanan dari Stesen THSR Taoyuan ke Stesen THSR Taipei Main Station.


Setelah menerima tiket, baru perasan yang tren ini akan sampai tidak lama lagi, maka kami terus ke pintu masuk. Tiket perlu diimbas dengan memasukan ke dalam slot dan terimanya semasa keluar. Perlu disimpan tiket ini untuk keluar nanti. Kami terus ke platform yang terletak di tingkat bawah. Di tiket kami, terdapat nombor tempat duduk dan gerabak yang telah diperuntukan kepada kami. Jadi perlu melihat di atas platform kedudukan gerabak kami akan berhenti kami. Gerabak kami adalah gerabak terakhir sekali di hujung. Semasa di platform, kami difahamkan, apabila menaiki tren keretapi laju ini tidak semestinya ada tempat duduk, jadi kami bernasib baik kerana dapat tempat duduk. Katanya.



Keretapi Berkelajuan Tinggi Taiwan (THSR).

Tidak lama kemudian, tren kami pun tiba. Terdapat sedikit masa di antara masa ketibaan dan berlepas, maka kami mengambil masa untuk bergambar. Setelah itu kami masuk dan terus duduk di tempat duduk. Sejurus selepas itu, tren pun berlepas. Nampaknya tidak berapa ramai orang yang ada di dalam tren ini. Perkhidmatan tren laju ini mempunyai kekerapan yang tinggi juga dengan setiap 30 minit akan ada perkhidmatan.

Dalaman salah sebuah gerabak THSR.

Keadaan gambar luar jika diambil dari dalam tren THSR yang sedang bergerak.

Di dalam tren ini amat selesa. Tempat duduk yang luas dan perjalanan tren amat laju dan kurang gegaran. Bagi saya, tren ini lebih baik sedikit berbanding perkhidmatan keretapi laju di China yang pernah saya naiki sebelum ini. Soal keselamatan memang dititik-beratkan di dalam keretapi ini. Tren ini menggunakan landasan yang dibina di atas jejambat berhenti di stesen Fuzhou sebelum memasuki sepenuhnya bawah tanah sebelum sampai di stesen Taipei Main Station. Semasa berada di atas tanah, saya melihat cuaca tidak berapa baik, di mana hujan menghampiri bandaraya Taipei. Maka saya berbincang dengan Hafiz untuk menunda pemergian kami untuk menaiki kereta kabel Maokong Gondola. Satu keputusan yang merugikan (sila lihat catatan catatan Hari 5 & 6 nanti).

Papan maklumat yang dilekatkan di tempat duduk THSR.


Tatkala kami sampai di penginapan setelah menaiki tren THSR dan Metro, hujan lebat pun turun di bumi Taipei. Kami mengambil keputusan untuk keluar pada pada waktu malam untuk hari berkenaan.




Peta: Perjalanan dari penginapan ke Tamsui.


Pada sebelah malam, kira-kira pukul 7:30 malam, kami menaiki Metro untuk ke Tamsui, sebuah bandar pesisir sungai dan pantai di utara Taipei. Bandar ini juga merupakan stesen terakhir Metro Laluan 2-Merah Tamsui-Xinyi di sebelah utara. Perjalanan mengambil masa lebih sedikit dari sejam.



Saya di stesen Metro Taipei Tamsui.

Stesen Metro Taipei Tamsui.




Cop Stesen Metro Taiwan, Tamsui.

Seperti biasa, sampai di stesen Metro yang baru, saya akan ambil cop khas stesen Metro Taipei tersebut. Seterusnya, kami terus ke pesisir sungai yang berdekatan dengan stesen itu. Angin agak kuat, memang nyaman di sini. Cuma premis-premis perniagaan mulai tutup. Jadi kami cuma berjalan-jalan di kawasan sekitar.

Keadaan pesisir Sungai Tamsui pada waktu malam.

Keadaan pesisir Sungai Tamsui pada waktu malam.

Gerai-gerai di kaki lima jalan siar di pesisir Sungai Tamsui di bandar Tamsui.

Terdapat beberapa kedai makanan laut yang masih buka, tetapi kelihatan hendak tutup. Jadi saya dari sebelum ini memang geram dengan sotong besar yang digoreng, jadi membelinya dengan harga NT$120 (+- RM15.00), agak mahal sikit dari harga yang dijual di Pasar Shilin. Namun kami beli juga, maklumlah kami belum makan apa sejak dari awal petang di lapangan terbang. Kami membawa makanan kami untuk dimakan di bangku yang ada di pesisir sungai. Krap krup, keras betul salutan tepungnya sehingga mencederakan mulut Hafiz. Jadilah. 

Hafiz di hadapan sebuah kedai makanan laut jalanan di Tamsui.

Setelah habis, kami berjalan-jalan di sekeliling dan saya sempat membeli beberapa cenderahati di situ. Kemudian Hafiz mengajak saya untuk mengurut kaki di sebuah kedai mengurut yang ada di situ. Harga urutan adalah NT$250 (+- RM31.30) bagi setengah jam. Bagi saya tidak berbaloi kerana urutan Cina seperti tiada kesan kepada saya. Namun saya ikutkan sahaja. Setelah selesai, memang betul, ia tiada kesan terhadap saya, macam rugi sahaja.

Seterunya, setelah berada hampir tiga jam di Tamsui, maka kami pun pulang ke penginapan kami. Kami bernasib baik bahawa tren kami ini merupakan tren terakhir. Kalau terlepas mahu kami kena tidur di tebing sungai Tamsui sahaja. Sampai di penginapan, saya membersihkan diri dan terus tidur. Maklumlah penat juga berjalan-jalan walaupun telah diurut.


Bersambung ke Hari 4.

Jika mahu lihat catatan:

If want to read in English: 
  • Pre Journey; 
  • Itinerary;
  • Day 1;
  • Day 2; 
  • Day 3 (this part)
  • Day 4; or 
  • Day 5 & 6.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan