Jumaat, 17 Jun 2016

Hari 2 (Taipei, Taiwan - 06 hingga 11 Mei 2016) - Taipei 101, Mercu Tanda Taipei Moden.

Bersambung dari Hari 1.

Jika mahu lihat catatan:
If want to read in English: 
  • Pre Journey; 
  • Itinerary;
  • Day 1;
  • Day 2 (this part)
  • Day 3; 
  • Day 4; or 
  • Day 5 & 6.
Taipei 101 - Mercu Tanda Taipei Moden.

Hari 2 (07 Mei 2016 - Sabtu).


Tidak pernah dalam hidup saya, waktu Subuh masuk pada pukul 3:40 pagi! Rasanya saya baru sahaja terlelap untuk dua jam, dah terbangun kerana panggilan azan berkumandang, bukan dari pembesar suara masjid atau surau tetapi dari telefon bimbit saya. Nasib baik aplikasi Muslim Pro yang terbukti agak tepat dalam waktu solat dan kiblat (terbukti semasa saya mencubanya di Masjidil Haram, Makkah sewaktu saya menunaikan haji pada tahun 2013). Jadi saya bangun dan menunaikan kewajipan saya. Selepas itu saya mengejutkan kedua-dua rakan sepengembara saya. Saya ke tingkap berdekatan, huh, pada pukul 4:30 pagi, langit sudah mula terang, seperti pukul 7:00 pagi waktu Kuala Lumpur!

Saya kembali lepak semula ke katil saya. Sambil-sambil membuat penyelidikan tentang apa patut buat di Taipei, disamping membuka Facebook dan Whatsapp, tiba-tiba terasa hendak makan pula. Maklumlah, di penginapan ini tidak menyediakan sarapan pagi. Jadi saya mengambil sebungkus Maggi berperisa Tomyam untuk bersarapan (saya memang biasa membawa yang bungkus sahaja, untuk mengurangkan penggunaan ruang di beg galas saya, lagipun saya membawa bekas makanan dan peralatan makanan plastik). Saya ke ruang pantri dan menyediakan sarapan. Sambil itu, saya buat minuman sekali dengan bahan yang ada di pantri itu. Nasib baik ada walaupun saya membawa sachet minuman dari Malaysia.




Peta: Perjalanan dari Angels' Hostel ke WOW Hostel.


Setelah selesai makan sarapan Maggi Tomyam (kalau di luar negara ini, pagi-pagi makan Maggi pun tidak kisah, kalau di tanah air, boleh jadi isu besar), saya pun pulang ke katil dan tertidur.

Saya terbangun pada pukul 8:15 pagi, terus saya mengejutkan Abang DAN dan Hafiz untuk daftar keluar untuk ke penginapan kami yang sepatutnya. Setelah kami siap segalanya, kami pun daftar keluar pada pukul 8:45 pagi dan berjalan menuju ke kawasan Ximending yang terletaknya penginapan kami.



Kad Perniagaan WOW Hostel Ximen.


Selepas berjalan hampir 15 minit, akhirnya kami sampai di WOW Hostel Ximen, yang terletak di tingkat 8 salah sebuah bangunan yang ada di kawasan Ximending ini. Memang betul-betul di tengah-tengah kawasan Ximending yang merupakan kawasan membeli-belah utama untuk muda-mudi di Taipei, cuma pada masa itu suasana tidak berapa meriah kerana masih pagi. 


Konsep penginapan ini agak bagus juga, kebanyakan bahan-bahan yang digunakan untuk membina dan perhiasan yang ada merupakan bahan-bahan terbuang dari kontena ke peralatan elektrik ke kayu-kayan yang ada. Sebenarnya kami diberitahu bahawa walaupun kami mendaftar masuk awal, namun kami tidak boleh mendapat kunci untuk katil kami. Kunci hanya boleh diberikan selepas pukul 3:00 petang sahaja. Jadi kami minta untuk meninggalkan beg kami dahulu di situ.


Selamat datang ke WOW Hostel Ximen.

Ruang umum WOW Hostel Ximen.

Kami kemudian ditunjukan katil kami. Penginapan ini sebenarnya berkonsepkan hostel tetapi katilnya mempunyai ruang peribadi/privacy yang tersendiri, di mana ia menghampiri konsep bilik kapsul. Cuma pada masa sama, penginap boleh juga berinteraksi dengan jirannya, kerana ia hanya dipisahkan dengan langsir sahaja. Bagi saya, ia lebih baik dari penginapan kami sebelumnya.

Kebetulan pada masa itu merupakan masa untuk sarapan. Di penginapan ini menyediakan sarapan pagi yang ringkas tetapi perlu melayan diri. Antara yang disediakan adalah roti berserta jem dan mentega kacang, telur dan daging ham (tidak halal). Malah disediakan alat pembakar roti dan juga dapur yang lengkap dengan peralatannya. Setiap peralatan yang digunakan seperti kuali, periuk, pinggan dan mangkuk perlu dicuci sendiri selepas digunakan. Paling saya suka sekali, terdapat mesin membuat kopi premium. Semua makanan adalah boleh ditambah mengikut selera kita. Masa sarapan adalah dari pukul 7:30 ke 10:30 pagi. Mesin kopi pula dibuka setiap masa kecuali ada masa tertentu ia ditutup (biasa waktu tengahari). Walaupun ikutkan tidak boleh hendak ambil sarapan di situ, saya mencuba kopi dari mesin kopi, perkh memang nikmat betul, tidak perlu lagi pergi ke cawangan Starbuck dan 7-Eleven yang ada betul-betul di tingkat bawah.

Soket plug elektrik di Taiwan.

Dapat juga saya membuat pemerkatian tentang soket elektrik yang digunakan di Taiwan. Di Taiwan ini, soket elektrik yang digunakan adalah dari jenis A atau B iaitu jenis 2 rod pipih, sama yang digunakan di Thailand atau Arab Saudi atau beberapa negara yang pernah saya pergi. Di WOW Hostel Ximen ini, banyak tempat yang mempunyai soket elektrik, termasuk di kawasan singki (untuk basuh muka & gigi), di ruang legar utama, malah di dalam bilik air dan tandas juga ada.

Di setiap katil pula, terdapat sebuah soket plug universal yang terletak suis lampu. Kiranya, saya tidak perlu menggunakan penyuai soket jenis B atau jenis antarabangsa yang memang saya membawanya.

Di setiap katil di WOW Hostel Ximen terdapat soket plug universal.

Beranda di WOW Hostel Ximen.

Satu lagi keistimewaan yang ada di WOW Hostel Ximen ini adalah, terdapatnya sebuah beranda yang membolehkan kita untuk menghirup udara segar. Ini kerana penginapan ini sebenarnya 100% berhawa dingin. Di beranda ini kita boleh melihat permandangan kota Taipei. Apabila memandang di bawah, memang kita dapat melihat aktiviti yang ada di kawasan Ximending. Terdapat juga beberapa buah tempat duduk, di mana kita boleh duduknya sambil makan atau menghirup kopi yang baru dibuat di mesin kopi. Mesin basuh dan mesin pengering (yang menggunakan syiling) juga ada di beranda ini untuk kegunaan penginap.

Permandangan Taipei dari beranda di WOW Hostel Ximen.


Setelah sekian lama di WOW Hostel, pada pukul 10:30 pagi, kami pun mula bergerak dari penginapan untuk bersiar-siar di kota Taipei ini. Destinasi pertama ada untuk mencari tempat makan sarapan pagi merangkap juga makan tengahari.



Tinggalan pintu gerbang Beimen.


Kami pun berjalanlah mengikut kaki. Kami berjalan menuju ke kawasan Taipei Main Station, kononya di sana mungkin adakan makanan halal. Huh, terasa agak terik dan panas juga cuaca di Taipei ini. Kami melepasi tinggalan pintu gerbang Beimen semasa dalam perjalanan. Kami turun ke kawasan membeli-belah bawah tanah dan mencarinya masih tidak jumpa. Entah kenapa kami tidak mencari yang lain. Akhirnya saya menGoogle dan menjumpai kedai makanan halal. Tetapi kena keluar sikit dari kawasan Taipei Main Station dan berjalan balik ke arah Ximen.




Peta: Perjalanan dari WOW Hostel ke Stesen Ximen 
dan kemudian ke Restoran Islam (مطعم الإسلامي - Mat'am Islami) atau 清真牛肉麵館.


Setelah berjalan dalam masa 10 minit, akhirnya kami menjumpai dua buah restoran makanan halal, lokasinya dila rujuk peta di atas. Pada kali ini, kami mencuba restoran yang di sebelah kiri.



Restoran Islam (مطعم الإسلامي - Mat'am Islami) atau 清真牛肉麵館.

 Menu Restoran Islam.

Menu Restoran Islam.

Menu Restoran Islam.

Menu Restoran Islam.

Restoran ini menghidangkan makanan Cina iaitu mee daging. Kami pun melihat menu yang diberikan. Menarik juga hidangan yang ada. Malah terdapat tulisan bahasa Melayu ada di dalam menu tersebut, tapi tidaklah menyeluruh, hanya pada hidangan-hidangan tertentu sahaja. Jadi saya dan Abang DAN memilih mee daging dengan urut manakala Hafiz pula mee sup biasa dan dumpling daging lembu. Air, kami minum teh cina sahaja.


Bumbu makanan yang ada di setiap meja Restoran Islam.

Tempat penyediaan mee sup.

Mee sup daging & urat di Restoran Islam.

Suasana dalaman di Restoran Islam.


Kami hadir di sini betul-betul sebelum masa puncak untuk makan tengahari. Makanannya agak sedap dengan ia merupakan makanan tradisi orang Cina bukan makanan bangsa lain. Kena pula dengan ada bumbu-bumbu (condiments) yang menambah sedap mee daging ini yang biasa dapat di kedai makan makanan Cina seperti cuka, kicap masin cair dan pekatan cili. Paling saya suka terdapat sawi masin yang dicincang dan dicampur dengan sedikit taucu. Memang sedap sampai saya jadikan ia makanan sampingan, bukan sebagai bumbu. Memang terbaik makanan di sini (bagi tekak saya lah).


 
Peta: Perjalanan dari Restoran Islam ke Stesen Metro Taiwan, Taipei Main Station.


Kad EasyCard (belakang).


Setelah usai makan, kami bergerak menuju ke stesen Metro Taipei terdekat iaitu di Taipei Main Station di mana kami akan menaiki Metro Taiwan untuk ke bangunan ikonik Taipei iaitu Taipei 101. Di sini kami akan menggunakan buat pertama kami Kad EasyCard yang kami dapat dari Biro Perlancongan Taiwan cawangan Kuala Lumpur tempoh hari. Kad ini merupakan kad pra bayar yang menjadi medium pembayaran utama pengangkutan awam di Taipei dan sebahagian bandar lain di Taiwan. Dengan menggunakan kad ini, kita akan mendapat harga tambang lebih murah dari harga tambang tiket biasa. Selain itu, kad ini juga boleh digunakan di beberapa perniagaan lain seperti 7-Eleven, Family Mart, beberapa rangkaian serbaneka yang lain, Watsons dan ada premis perniagaan lain menerimanya.

Jadi kami menambah nilai kad kami sebanyak NT$100 (+- RM12.50) setiap daripada kami untuk perjalanan kami. Di samping itu, pada mesin yang sama, saya membeli token perjalanan sehala dengan tambang yang paling murah iaitu NT$20 (+- RM2.50) untuk dijadikan tanda kenangan saya.


Token Metro Taipei untuk perjalanan sehala.



Suasana di Stesen Metro Taipei Taipei Main Station.

Cop Stesen Metro Taipei, Taipei Main Station.

Setelah menambah nilai kad Easycard kami, saya ke kaunter khidmat pelanggan kerana di kaunter ini di setiap stesen Metro Taipei, terdapat cop khas setiap stesen yang boleh dijadikan cenderahati. Jadi saya pun mengecop cop tersebut pada pad nota saya untuk kenang-kenangan. Selepas itu, kami pun terus menuju ke platform untuk menunggu. Stesen Taipei Main Station ini merupakan antara stesen utama di Taipei, memang ramai orang. Di sini terdapat dua laluan yang melaluinya. Papan maklumat memang ada dan ia memberikan penjelasan yang agak lengkap kepada penggunakanya. Ia ditulis dalam tulisan Cina Tradisional dan juga Bahasa Inggeris.

Peta laluan dan maklumat di setiap stesen Metro Taipei (ini di Stesen Taipei Main Station).

Platform Metro Taipei.

Suasana di dalam tren Metro Taipei.


Kami tunggu tidak lama, tren Laluan 2 - Merah (Laluan Tamsui-Xinyi) yang menghala ke Xiangshan pun sampai. Seperti di Seoul, terdapat lagu khas menanda hampir sampainya tren, cuma ia tidak semenarik hati yang Seoul punya. Di dalam tren, suasana dalamannya bersih. Pengumuman dibuat dalam tiga buah bahasa iaitu Bahasa China Mandarin, Bahasa China loghat Taiwan (lebih kurang seperti loghat Hokkien cuma ada berbeza sedikit) dan Bahasa Inggeris. Susunan tepat duduknya bercampur aduk, ada yang tersusun di dinding dan ada yang melintang (sila rujuk gambar di atas).



Peta: Perjalanan dari Taipei Main Station ke Taipei 101.

Rupa-rupanya tren kami ini merupakan tren shuttle khas dari Xinbeitou ke Daan sahaja, maka kami perlu turun di platform Stesen Daan yang merupakan stesen kelima dari Stesen Taipei Main Station menuju ke Stesen Xiangshan. Kami perlu menunggu tren seterusnya yang terus sampai ke Stesen Xiangshan. Stesen Taipei 101 lagi dua stesen selepas itu. Kami menunggu dalam 5 minit, tren seterusnya pun sampai. Kami menaiki tren tersebut dan setelah lima minit, sampailah kami di Stesen Taipei 101.


Taipei 101 dari aras B1.

Pintu masuk untuk pengunjung berkumpulan di aras B1 Taipei 101.

Kami pun turun ke platform dan kemudian keluar dari Stesen Metro Taipei 101 menerusi pintu nombor 5. Sampai di ruang terbuka, nah ternampak tersergam tinggi Taipei 101, yang pernah menjadi menara tertinggi dunia dari tahun 2004 hingga 2009 dan kemudian dipintas oleh pemegang rekod sekarang iaitu bangunan Burj Khalifa yang terletak di Dubai. memandangkan kami keluar dari pintu 5 maka laluan itu terus menuju ke tingkat B1 Taipei 101. Apabila masuk sahaja, kami sebenarnya masuk ke dalam pasaraya yang ada di dalam kompleks membeli-belah di Taipei 101 ini. Tidak jauh dari pintu masuk di aras B1 tadi, terdapat pintu masuk untuk ke arah kaunter tiket dan juga lif menuju ke aras tinjauan, tetapi rupanya ia hanya untuk pengunjung berkumpulan (lebih daripada 9 orang) sahaja. 

Antara permandangan di dalam kompleks membeli belah Taipei 101.

Pintu masuk untuk pengunjung individu di aras 5 Taipei 101.

Jadi kami perlu ke aras 5 untuk kaunter tiket dan lif ke aras tinjauan. Sementara kami berjalan menuju ke aras 5, sempatlah kami melihat apa yang ada di dalam kompleks membeli-belah Taipei 101 ini. Pendek kata ia macam kembar bagi kompleks membeli-belah Suria KLCC, barangan yang dijual adalah dari berjenama mewah seperti Coach, Louise Vuitton, Hermes, Versace dan banyak lagi. 


Papan maklumat mengenai tiket kemasukan ke aras tinjauan Taipei 101.

Kaunter belian tiket ke aras tinjauan Taipei 101.

Kami tidak hirau semua itu, kalau dihiraukan, mahu melayang juga NT$ yang ada. Saya dengan sengaja melupakan bahawa saya juga membawa kad kredit. Alah di Kuala Lumpur pun ada semua itu (macamlah saya beli, kan). Kami sampai juga ke kaunter tiket di aras 5. Alhamdulillah, tidak berapa ramai yang beratur dan tidak perlu menunggu untuk giliran untuk naik ke aras tinjauan yang berada di tingkat 88. Saya membeli tiket untuk tiga orang yang berharga NT$500 (+- RM62.50) setiap orang. Saya sengaja menggunakan kad kredit kerana ia agak menguntungkan dari segi tukaran asing. 

Tiket masuk ke aras tinjauan Taipei 101.

Pengalaman lif di Taipei 101.


Setelah membeli tiket, kami beratur untuk menaiki lif pula. Lif ini agak menarik kerana ia merupakan lif yang terpantas di dunia. Kira-kira 30 orang boleh memasuki lif ini pada setiap masa. Ketika pertengahan perjalanan di dalam lif ini, saya terasa seperti saya terapung. Selain itu, dengan suasana ketika itu agak gelap tetapi menarik. Untuk lebih lanjut boleh menonton videonya di atas.

Permandangan Taipei dari aras 88 Taipei 101.

Permandangan Taipei dari aras 88 Taipei 101.

Akhirnya sampailah kami di aras dek peninjau di aras 88. Boleh tahan ramai juga di atas ini. Saya ke pinggir tingkat, memang nampak kecil sahaja kereta-kereta di bawah bangunan tu. Dapat juga melihat sekitar bandaraya Taipei, cuma disebabkan cuaca agak berjerubu ditambah pula pada ketika itu adalah musim hujan di situ, maka tidak berapa jauhlah kami dapat melihat. Tapi dapat juga melihat beberapa kawasan ikon Taipei seperti Lapangan Terbang Songshan (bukan lapangan terbang yang kami mendapat semalam, kerana lapangan terbang ini untuk penerbangan domestik dan penerbangan antarabangsa rantau Asia Timur sahaja), Dewan Memorial Sun Yat Sen, Grand Hotel, Museum Palace dan banyak lagi.

Taipei 101 seperti diperkatakan tadi merupakan bangunan tertinggi di dunia pad tahun 2004 hingga 2009, setelah mengambil alih daripada Menara Berkembar Petronas, sudah tentunya di Kuala Lumpur. Merupakan bangunan (tidak kira menara komunikasi atau kategori lain) pertama yang melebihi 500 meter dengan ketinggian 509 meter, kini ia merupakan bangunan keempat tertinggi di dunia setelah Menara Abraj al-Bait di Makkah, Arab Saudi, Menara Shanghai, China dan Burj Khalifa di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE). Selanjutnya bolehlah baca lebih lanjut terutama di laman Wikipedia, mengenai bangunan ini.


Antara hasil seni yang dipamerkan di aras tinjauan Taipei 101.

Terdapat banyak kedai-kedai yang ada di atas aras tinjauan ini, kebanyakannya menjual cenderahati, ada juga yang menjual makanan dan minuman juga. Di sekeliling dinding dan beberapa ruang di kawasan tinjauan ini, terdapat beberapa hasil seni dapat dilihat. Seperti geleri seni pula.

"Big Damper" Taipei 101.

Seterusnya kami ke tengah menara untuk melihat "Big Damper" atau ladung penyerap goncangan menara Taipei 101 ini. Disebabkan Taipei terletak di tengah-tengah kawasan Lingkaran Api Pasifik yang mana sering berlaku ancaman gempa bumi, ditambah pula Taipei juga terletak di dalam kawasan selalu berlakunya taufan, maka ladung ini ditambah bagi mengurangkan goncangan berlaku akibat ancaman-ancaman tersebut mengikut prinsip hukum fizik inersia. Sebenarnya, sepanjang kami di situ, agak terasa juga bahawa kedudukan kami tidak berapa stabil, seperti bangunan ini bergoyang. Nasib baik ada "Big Damper" ini.

Permandangan Taipei dari aras 88 Taipei 101.

Aras tinjauan terbuka di aras 91 Taipei 101.

Kemudian kami naik pula ke aras 91 untuk aras tinjauan terbuka pula. Huh, terasa kuat angin di situ. Di sini, kita akan dapat melihat permandangan yang lebih jelas tanpa dihalang oleh kaca tingkap. Di sini juga kita dapat melihat lagi 10 tingkat di atas dan puncak menara ini dengan jelas sekali. Di aras ni juga terdapat ruangan teateret yang menyiarkan dokumentari mengenai bangunan Taipei 101 ini. 

Plan aras 91 Taipei 101.

Permandangan hujung menara Taipei 101 dari aras tinjauan 91.

Setelah puas hati di kedua-dua aras berkenaan, kami turun ke aras 86 untuk melihat "Big Damper" dengan lebih jelas, kemudian melalui ruang jualan cenderahati yang agak ekslusif dan mahal menuju ke ruang lif untuk turun pula. Kita tidak boleh turun ke bawah menerusi tempat kita sampai tadi sebaliknya perlu ke aras 86 ini untuk turun. Perlu beratur kerana agak ramai yang menunggu terutama di hadapan kami merupakan pengunjung-pengunjung dari Tanah Besar China, yang kebanyakan sedia maklum, bahawa kebanyakan mereka mempunyai sikap pentingkan diri sendiri dan tidak menghiraukan orang lain. Sabar sahaja kami.

Di luar aras 1, Taipei 101.

Antara hasil seni arca yang dipamerkan di luar bangunan Taipei 101.

Saya di tugu LOVE di luar bangunan Taipei 101.

Akhirnya, setelah lebih dua jam di atas aras-aras tinjauan Taipei 101, kami pun turun ke bawah. Kami turun terus ke aras B1. Kami berjalan-jalan seketika di dalam kompleks membeli-belah Taipei 101 dan kemudian kami ke perkarangan luar menara ini pula. Di sini banyak tempat yang sesuai untuk mengambil gambar kenang-kenangan.

Saya di tugu Taipei 101 di luar bangunan Taipei 101.

Taipei 101 - Mercu Tanda Taipei Moden.

Perkhidmatan U Bike yang ada di kebanyakan stesen Metro Taipei
 (ini adalah di Stesen Taipei 101/World Trade Center).


Seterusnya kami jalan sikit untuk mengambil gambar kami dengan Menara Taipei 101 ini. Kalau di perkarangan memanglah tidak boleh pasal bangunannya tinggi. Kami menjumpai spot yang bersesuaian berhampiran dengan pintu masuk 1 Stesen Metro Taipei Taipei 101. Setelah dapat ambil gambar, kami ke stesen Metro untuk destinasi seterusnya, iaitu Masjid Pusat Taipei. Ketika hendak sampai di pintu masuk, kami melihat terdapat banyak basikal-basikal berwarna kuning keorenan diletakan dengan berkunci dan terdapat satu meter khas berdekatan dengan basikal-basikal tersebut. Rupanya, inilah perkhidmatan U-Bike, perkhidmatan penyewaan basikal yang ada di Taipei. Jadi kalau penat berjalan kaki, boleh menyewa basikal U-Bike ini. Banyak juga tempat yang ada perkhidmatan ini terutama di stesen-stesen Metro.



Peta: Perjalanan dari Taipei 101 ke Masjid Pusat Taipei.


Kami menaiki tren Metro Taipei melalui Laluan 2 - Merah (Laluan Tamsui-Xinyi) menghala ke Tamsui dengan tambang NTS$16 (+- RM2.00) (NT$20 (+- RM2.50) jika tidak menggunakan EasyCard). Setelah empat stesen iaitu di Stesen Daan Park, kami pun turun dan keluar dari stesen. Kami melalui taman yang agak besar di Taipei ini iaitu Taman Daan.



Rimbunan rumpun buluh di Taman Daan.

Tupai yang agak jinak di Taman Daan.

Taman ini dipenuhi rimbunan pokok-pokok yang rendang. Terdapat juga banyak rimbunan pokok-pokok buluh di dalamnya. Ketika itu, waktu hendak masuk ke waktu petang, terdapat banyak juga orang di taman ini. Ketika kami berjalan, terdapat beberapa ekor tupai yang datang kepada kami untuk mencari makan. Agak jinak juga, cuma tupai-tupai ini tidaklah sampai boleh dipegang. Menarik sunggung melihat telatah tupai-tupai ini.

Antara pintu masuk ke Taman Daan.

Papan makluman Masjid Pusat Taipei.

Kami teruskan perjalanan, dan setelah berjalan dalam 15 minit, kira-kira dalam hampir 1 kilometer, maka sampailah kami ke masjid ini. Masjid ini agak terjaga juga persekitarannya. 

Masjid Pusat Taipei.

Masjid ini agak besar, seperti besar Masjid India di Kuala Lumpur. Ketika kami sampai, terdapat pengunjung-pengunjung bukan Islam datang melawat. Mereka diberikan penerangan oleh petugas yang ada. Kami terus ke bilik air dan wuduk, memang bersih terjaga. Setelah itu, kami terus ke ruang solat yang boleh menempatkan kira-kira 250 ke 350 orang jemaah di dalamnya, untuk menunaikan solat.

Ruang solat Masjid Pusat Taipei.

Restoral Royal berhampiran dengan Masjid Pusat Taipei.

Usai bersolat, kami pun keluar dan terjumpa beberapa buah kedai halal di sekitar masjid ini. Kami memasuki ke salah sebuahnya iaitu Royal Cafe & Restaurant untuk minum petang, menghilangkan lelah. Ada hidangan pelbagai makanan Indonesia yang boleh didapati di restoran ini. Pemiliknya juga berasal dari Indonesia. Kami minum dan makan sedikit kudapan berupa keropok yang ada di restoran ini. Setelah beberapa ketika, kami pun beredar setelah membayar minuman kami dengan harga NT$250 (+- RM31.30) untuk tiga orang.

Menu Restoran Royal.

Di Hadapan Toko Sakura.


Di sebelah restoran tadi, terdapat sebuah kedai serbaneka yang juga terdapat kedai makan di belakangnya. Cuma ketika itu kedai makan ditutup buat seketika. Pemilik kedai ini juga berasal dari Indonesia. Di kedai serbaneka ini terdapat barang-barang halal terutama daripada Indonesia. Antaranya mee segera Indomie, Mee Sedap, kicap ABC dan sebagainya. Malah keropok kulit sapi dan melinjau pun ada dijual. Kami membeli beberapa barang untuk dijadikan bekalan kami di Taipei ini.


Kad Perniagaan Kedai (Toko) Sakura.

Seterusnya, kami meneruskan perjalanan ke perhentian bas berhampiran untuk kami menaiki bas bagi pulang ke penginapan kami. Kita boleh merujuk terus di aplikasi Google Maps untuk mengetahui sistem pengangkutan yang boleh digunakan di Taipei ini. Di perhentian bas terdapat informasi laluan bas yang agak lengkap, cuma kebanyakannya ia menggunakan tulisan Cina Tradisional, jadi saya terpaksa mengagak dengan pengetahuan tulisan Cina Ringkas (Moden - yang digunakan di Tanah Besar China) yang terhad. Nasib baik saya mengetahui karekter untuk Ximen (Xi (西 dalam kedua-dua tulisan, bermaksud barat) dan Men (門 dalam tulisan Cina Tradisional dan 门 dalam tulisan Cina Ringkas bermaksud pintu), jadi mudah sikit.

Di samping itu, terdapat juga paparan elektronik yang memaklumkan masa menunggu bas yang bakal tiba. Bagus juga sistem pengangkutan awam. Boleh dikatakan hampir kesemua perhentian bas yang kami temui mempunyai kedua-dua kemudahan ini. (Di Kuala Lumpur pun ada perhentian bas mempunyai kemudahan-kemudahan ini tapi tidak menyeluruh).


Keadaan di dalam bas bandar di Taipei.

Kami menunggu dalam 10 minit sahaja, dan bas bernombor 235 pun sampai. Keadaan bas di Taipei ini agak bersih juga. Tempat duduknya mempunyai span tebal dan ia menerima bayaran menggunakan EasyCard. Tambang ke serata Taipei cuma NT$15 (+- RM1.90) sahaja. Rasanya bas yang kami naik ini dari jenama Hyundai berdasarkan bentuk dan susun aturnya. Penumpangnya pun agak sopan di mana jika terdapat orang yang lebih memerlukan tempat duduk seperti warga emas, akan diberikan segera. 

Ketika kami menggunakan bas ini, jalan agak sesak, kerana ketika itu merupakan masa puncak orang pulang dari pejabat. Namun begitu, perjalanan kami yang melalui beberapa tempat tumpuan pelancong seperti Dewan Bandaraya, hanya mengambil masa dalam hampir setengah jam sahaja. Bas kami menurunkan kami berhampiran dengan pintu masuk 5 dan 6 Stesen Metro Taipei Ximen, jadi tidak berapa jauh dari penginapan. 

Suasana di Ximending sudah mula meriah dengan orang ramai. Kami terus ke penginapan untuk mengambil kunci dan menambil beg kami. Petugas penginapan ketika itu memberikan kami kad kunci dan juga sepasang plug telinga. Ini kerana penginapan kami terletak di atas dua buah kelab, jadi boleh gunakan untuk menutup telinga (saya tidak gunakan pun kerana kedudukan katil saya yang agak sunyi). Kami ditunjukan tempat tidur kami. Setelah itu, kami membersihkan diri dan merehatkan diri kerana pada malamnya kami akan sambung ronda-ronda kami lagi.



Peta: Perjalanan dari Masjid Pusat Taipei ke penginapan.

Suasana malam di kawasan Ximending.

Pada pukul 8:00 malam, kami pun keluar dari penginapan. Di ketika ini, kawasan Ximending umpama pesta. Memang meriah. Ada macam-macam boleh didapati di sini.

Pintu gerbang ke kawasan jalanan Ximending.

Cop Stesen Metro Taipei, Ximen.

Namun bukan ini destinasi kami. Almaklumlah, Ximending ini turun sahaja penginapan kami sudah sampai Ximending. Tujuan kami sebenarnya adalah pasar malam terbesar di Taipei iaitu Pasar Shilin. Untuk itu kami perlu ke menaiki Metro dahulu. Sebelum turun ke platform, sempat juga saya mengambil cop 
Stesen Metro Taiwan Ximen.



Peta: Perjalanan dari penginapan ke Pasar Shilin.

Dari Stesen Metro Taipei Ximen, kami mengambil Laluan 3-Hijau (laluan Songshan - Xindian) untuk 2 stesen hala Songshan, kemudian tukar laluan di Stesen Zhongshan ke Laluan 2-Merah  Tamsui-Xinyi) hala Tamsui untuk 5 stesen untuk sampai ke Stesen Jiantan, tambang NT$20 (+- RM2.50) (NT$25 (+- RM3.15) jika bukan EasyCard).


Stesen Metro Taipei Jiantan.

Cop Stesen Metro Taipei,  Jiantan.

Sampai di Stesen Metro Taipei Jiantan, dilihat memang ramai orang di sini. Macam biasa apabila sampai stesen baru, saya mendapat cop stesen di kaunter khidmat pelanggan. Kami menyulusuri kaki lima untuk ke Pasar Shilin. Akhirnya sampai juga di permulaan yang terdekat dengan Stesen Metro. Boleh lihat orang semakin ramai.


Orang ramai di Pasar Shilin.

Pasar Shilin.

Kami dalam lagi, dan sampai di kawasan yang memang betul-betul kawasan pasarnya. Macam-macam dijual di pasar ini terutama cenderahati untuk pelancong. Selain itu, makanan (ada makanan yang boleh makan seperti makanan laut), pakaian, kasut dan sebagainya dijual. Harganya agak murah mengikut standard Taipei berbanding di tempat lain. 

Suasana di dalam Pasar Shilin.

Kebanyakan harga sudah standard dan sukar untuk menawar kecuali membeli banyak atau yang ada skil memujuk dan menawar dengan baik. Lebih kurang macam di Seoul juga. Tetapi bagi saya harga magnet peti ais dan rantai kunci di Taipei agak mahal dengan contoh sebuah magnet peti ais antara NT$80 (+- RM10) ke atas, rata-ratanya NT$100 (+- RM12.50), berbanding tempat lain (bagi saya harga di Pasar Shilin ini paling murah).


Abang DAN dan Hafiz bergambar di depan gerai menjual minuman bluecherry.

Kalau makanannya, banyak makanan laut. Harganya berpatutanlah, kalau nak banding Kuala Lumpur mahal sikitlah tapi nak banding Seoul atau Shanghai, agak murah. Contohnya sotong raja (sotong besar) goreng atau panggang harganya antara NT$100 (+-RM12.50) ke NT$120 (+- RM15.00), kalau di Kuala Lumpur boleh dapat RM8.00 ke RM12.00 sahaja. Dari pemerhatian saya, kebanyakan makanan jalanan di pasar malam Malaysia diambil idea dari pasar malam Taipei. 

Minuman bluecherry + lemon, sedap sangat!

Agak jauh juga pasal malam Shilin ini, ia terletak di jalan-jalan kecil di Shilin ini. Rasanya ada 3 - 4 kilometer juga kami berjalan. Dekat tiga jam kami berjalan akhirnya kami mengambil keputusan untuk balik. Kami sempat merasa minuman unik iaitu bluecherry (nasib baik namanya bukan cherry bery) dicampur lemon, berharga NT$30 (+- RM3.80) segelas. Memang sedap. 

Kami tidak beli banyak, namun merancang akan ke sini pada malam akhir sebelum kami pulang. Kami pun pulang menerusi Metro Taipei dan sampai di Ximen. Oleh kerana sudah hampir pukul 12:00 tengah malam, suasana di Ximending agak perlahan sikit berbanding sebelumnya, namun masih aktif lagi. Premis-premis di sini ditutup lambat juga, malah ada yang dibuka 24 jam.

Kami pun tiba di penginapan dan membersihkan diri lalu kemudian merehatkan diri. Saya tertidur tidak lama kemudian.


Bersambung ke Hari 3.

Jika mahu lihat catatan:
If want to read in English: 
  • Pre Journey; 
  • Itinerary;
  • Day 1;
  • Day 2 (this part)
  • Day 3; 
  • Day 4; or 
  • Day 5 & 6.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan