Rabu, 10 Disember 2014

Hari 4 (Siem Reap, Kemboja & Bandaraya Ho Chi Minh (Saigon), Vietnam - 19 hingga 23 Oktober 2014) - Ke Cu Chi Tunnel Kaedah Termurah.

Bersambung dari Hari 3.


Jika mahu lihat: 

If want to read in English: 
  • Pre Journey
  • Itinerary; 
  • Day 1; 
  • Day 2; 
  • Day 3; 
  • Day 4 (this part)or 
  • Day 5.



22 Oktober 2014 (Rabu)

Pagi ini kami berehat-rehat dahulu dengan kebanyakannya mengunakan sebaik-baiknya WiFi yang ada di hostel kami. Lagipun kami tidak membeli kad SIM sepanjang di Vietnam ini. Kemaskini apa yang patut.

Setelah membersihkan diri, kami pun ke tingkat bawah untuk bersarapan yang disediakan tuan rumah. Hidangan roti perancis pendek (baton) dengan jem strawberry buatan Malaysia dan minum kopi Vietnam memang menyegarkan. Berboraklah dengan seorang penginap yang juga orang Malaysia. Agak lama juga dia disini. Malah dia menceritakan kisah hostel yang terbakar itu.

Bulatan Thien Vurong (dalam 100 meter dari hostel kami).

Taman di antara Jalan Le Lai dan Jalan Pham Ngu Lao.

Jam ditangan menunjukan pukul 9:00 pagi. Kami memulakan perjalanan kami dengan berjalan menuju ke arah bulatan Ben Thanh. Di sana terdapat sebuah stesen bas berhenti-henti. Maklumat dari dalam blog pengembara yang pernah menggunakan perkhidmatan bas henti-henti ini ke Cu Chi Tunnel, mengatakan dia ambil bas dari stesen ini. Kami pun ke sana melalui taman di antara Jalan Le Lai dan Jalan Pham Ngu Lao. Banyak juga orang tempatan membuat pelbagai aktiviti di sini. Selepas berjalan dalam 10 minit, sampailah kami di bulatan Ben Thanh yang terkenal itu.

Pasar Ben Thanh.

Bulatan Ben Thanh.

Stesen Bas Ben Thanh.


Sampai di stesen itu, saya terus ke pejabat stesen master untuk bertanyakan bas ke Cu Chi Tunnel. Petugas di situ tidak memahami Bahasa Inggeris, menyuruh saya menunggu dan memanggil yang faham Bahasa Inggeris. Datang petugas yang faham, saya menanyakan soalan saya, rupanya biasa kita Cu Chi tu macam cuci dalam Bahasa Melayu rupanya ia lebih kepada "Ku Ci", bermakna dalam Bahasa Vietnam, C itu adalah K dan Ch itu adalah C. Dia menyuruh ambil bas nombor 2 di platform hadapan pejabat itu, seperti mana ada plan di stesen itu (gambar bawah). 

Ada empat platform sebenarnya, di mana dua platform bagi bas menghala ke barat dan dua platform menghala ke timur. (Dalam gambar di bawah barat adalah ke kanan, manakala timur adalah ke kiri).


Kami menunggu bas no 2 dan dalam masa 5 minit sampailah, bukan satu bas sahaja, dua bas terus, huhuhu... Makan kami nak bayar tiket rupanya, Akmal memberikan duit kepada saya untuk membayar semua tiket. Setiap seorang tiketnya ₫5000 (+- 80 sen Malaysia), Akmal memberikan ₫30 000 (+- RM4.80). Rupa-rupanya bas ini tiba di stesen bas Saigon yang berada di hujung taman di antara Jalan Le Lai dan Jalan Pham Ngu Lao, berhadapan dengan Gereja Huyen Si. Perjalanan kami itu hanya dalam lebih sedikit dari 1 kilometer sahaja.

Sampai di stesen itu, saya bertanyakan dengan petugas stesen bas itu. Kami perlu menaiki bas bernombor 13 untuk ke pekan Cu Chi. Jadi kami mencarilah di mana bas nombor 13 ini parkir. Akhirnya jumpa, maka kami naiklah. Agak panas kerana enjin bas ini diberhentikan. Tidak lama kemudian, pemandu bas ini menghidupkan enjin bas dan 5 minit kemudian bergerak dari stesen bas ini. Akmal memang baik hati, dia memberikan saya ₫100 000 (+- RM16) untuk bayaran tiket. Untuk perjalanan ke pekan Cu Chi, tiket adalah ₫7000 (+-RM1.20) setiap seorang di mana kalau enam orang adalah ₫42 000 (+- RM7.20).


Perjalanan bas melalui bulatan Thien Vurong yang tidak jauh dari hostel kami. Kalau tahu bas ini lalu sini, dah boleh jimat ₫5000 setiap seorang (walaupun ia dibelanja oleh Akmal), huhuhu... Kami melalui jalan di tengah-tengah bandaraya Saigon ini. Motorsikal memang teramat banyak. Betullah kata orang, Saigon ini bandaraya motorsikal. Malah motorsikal diutamakan daripada kenderaan lain. Nampak macam kelam kabut, tapi sepanjang kami di Saigon ini, tidak pernah nampak motorsikal mengalami kemalangan. Itu ironiknya.

Perjalanan kami ini mengambil masa kira-kira hampir dua jam juga, kerana perlu berhenti menurunkan dan menaikkan penumpang. Di samping itu, jalan ke pekan Cu Chi agak sesak juga, kerana ia juga adalah jalan ke pekan pintu sempadan Moc Bai yang kami guna semalam.


Selepas hampir dua jam di dalam bas, kami sampai ke stesen bas pekan Cu Chi. Konduktor bas nombor 13 memberitahu saya bahawa kami perlu naik bas nombor 79 untuk ke Cu Chi Tunnel. Rupa-rupanya, bas nombor 13 ini parkir sebelah sahaja dengan bas nombor 79. Jadi kami naik bas ini. Sementara menunggu bas bergerak, kami membeli air minuman kerana walaupun bas-bas ini berhawa dingin, tapi cuaca di luar agak panas. Tidak sampai sepuluh minit, bas ini pun meninggalkan stesen bas Cu Chi menuju ke Cu Chi Tunnel.


Kami melalui jalan yang merentasi perkampungan sekitar pekan Cu Chi. Perjalanan kira-kira hampir 18 kilometer dan tiket bas adalah sebanyak ₫6000 (+-RM1.00) setiap orang, bermakna ₫36 000 (+- RM6) bagi enam orang. Duit yang Akmal bagi ada baki ₫16 000 (+- RM2.70) sahaja lagi. Akhirnya dalam setengah jam, sampai kami di simpang masuk ke Cu Chi Tunnel. Dari situ, berjalan kakilah kami sejauh 500 meter untuk ke kaunter tiket masuk ke Cu Chi Tunnel.





Tiket masuk ke Cu Chi Tunnel ini adalah sebanyak ₫90 000 (+- RM15) setiap seorang. Kemudian kami berjalan kaki masuk ke dalam, kerana satu, kami adalah pengembara bajet, keduanya, kami datang berjalan kaki, kalau dengan bas atau teksi, pengangkutan itu boleh masuk ke dalam.


Pertama kami ke bangunan yang merupakan memorial bagi pejuang-pejuang Vietnam yang telah berjuang menentang penjajahan Perancis dan pencerobohan tentera Amerika Syarikat dan kuncu-kuncunya. Terdapat pagoda dan juga nama-nama yang terbabit di memorial ini. Yang paling besar semestinya gambar Ho Chi Minh, bapa kemerdekaan Vietnam. Nama baru bandaraya Saigon iaitu Bandaraya Ho Chi Minh diambil sempena nama beliau.


Seterusnya kami berjalan-jalan masuk dan kemudian bertemu dengan kawasan pameran senjata-senjata lama yang digunakan semasa perang Vietnam. Di situ, Halim telah terpelecok kakinya. Agak sakit juga, namun demi semangat mengembara yang membara, dia meneruskan perjalanan juga. Kami terus ke kawasan yang menempatkan terowong-terowong bawah tanah Cu Chi yang terkenal ini. Tiket yang kami beli tadi diberikan dan kami bersama beberapa kumpulan pelancong lain disatukan untuk lawatan tapak ini. Satu pelekat diberikan untuk diletakan pada baju kami.

Pelekat Cu Chi Tunnel.





Kami ditempatkan di sebuah bangsal yang telah disusun beberapa barisan bangku yang boleh menempatkan kira-kira 60 orang satu-satu masa. Terdapat 3 bangsal yang sama, cuma masa kami datang ini, bukanlah masa puncak, dan tidak berapa ramai orang, jadi hanya kami yang dalam 20 orang sahaja yang ada pada masa itu. Di situ kami ditayangkan dengan dokumentari zaman 60an yang dibuat oleh kerajaan Vietnam menceritakan tentang Cu Chi Tunnel ini.


Cu Chi Tunnel ini merupakan kawasan perang yang utama semasa perang Vietnam dengan Amerika Syarikat dahulu. Namun kawasan ini tidak pernah dapat ditawan oleh tentera Amerika Syarikat walaupun ia terletak dekat dengan bandaraya Saigon dan juga bersempadan dengan Kemboja. Ini kerana kebijaksanaan tentera gerilla Vietcong dalam peperangan subversif yang berjaya melawan tentera Amerika Syarikat yang lebih moden. Dokumentari tersebut juga menceritakan juga tentang pengorbanan rakyat Vietnam melawan musuh.

Seterusnya kami diberikan taklimat oleh seorang petugas yang menceritakan serba sedikit lagi tentang Cu Chi Tunnel ini dan arahan-arahan yang perlu diikuti sepanjang lawatan. Beliau mula membawa kami melawat terowong-terowong yang akan kami lalui selepas itu.

Di dalam terowong juga terdapat telaga.


Terowong-terowong ini mempunyai sistem pengudaraan yang sistematik. Di dalam terowong ini juga terdapat dapur untuk memasak, namun tiada asap kelihatan, kerana mempunyai sistem pengudaraan berlapis. Sistem ini juga mengekalkan suhu yang selesa di dalam terowong malah membekalkan udara yang secukupnya untuk bernafas. Lubang keluar dan lubang masuk udara berupa seperti sebuah busut semut. Jika tiada pengetahuan, tiada siapa tahu itu adalah lubang pengudaraan.


Seterusnya, petugas tersebut membawa kami ke tempat masuk ke dalam terowong. Kelihatan agak kecil, tapi sebenarnya itulah saiz sebenar lubang masuk ini. Saya orang pertama sukarela untuk masuk ke lubang ini, ramai yang tidak percaya saya boleh masuk ke lubang ini termasuk saya sendiri, tapi sebenarnya boleh. Cuma askar Vietcong yang memang kecil badannya masuk bersama senjata dan kelengkapan ketenteraan yang ada bersama badan mereka.

Macam kena telan dek bumi lak.

Lubang masuk yang ditutup, memang tidak nampakkan.

Antara jerangkap samar yang dipamerkan.



Bagi yang mempunyai klaustofobia atau takut di tempat sempit dan gelap, dicadangkan jangan masuk ke dalam terowong, kerana ia memang sempit dan gelap. Bukan satu terowong sahaja, ada beberapa (dalam 5 ke 6 terowong) yang kena masuk, setiap satu ada tema, seperti bilik mesyuarat, hospital, dapur masuk dan bengkel pakaian serta bengkel pembaikan senjata. 



Di bengkel pembuatan pakaian, terdapat demo di mana mereka membuat selipar daripada tayar kenderaan berat. Memang mereka ini survival betul.




Selain itu kami juga melihat banyak senjata buatan sendiri yang agak berbahaya ditunjukan. Habis sahaja lawatan, kami dibawa ke pondok kantin untuk dijamu dengan makanan semasa perang iaitu ubi kayu yang dicecah dengan kacang tanah yang dihancurkan dan gula. Kami yang memang biasa makan ubi kayu dan dalam keadaan lapar (belum makan tengahari) memang berselera dengan makan tersebut. Lepaslah makan tengahari kami, hahaha.

Ada juga tempat jualan cenderahati dan juga tempat untuk menembak senjata seperti AK47 dan lain-lain sebenarnya. Kami ingat hendak menjelajah lagi dalam Cu Chi Tunnel ini namun risau hari makin petang dan keadaan Halim yang tidak berapa boleh berjalan, maka kami pun pulang selepas itu. 

Terima kasih kepada Akmal kerana menaja juga tiket bas untuk kami kembali ke hostel. Kami cuma ambil  bas sahaja iaitu bas 79 dan 13. Perjalanan juga tidak lama, dari Cu Chi Tunnel ke hostel kali ini hanya ambil masa satu setengah jam sahaja. Cuma semasa memasuki bandaraya Saigon, hujan amat lebat, tetapi motorsikal-motorsikal tetap memenuhi jalan-jalan di Saigon.Cuma mereka memakai baju hujan sahaja.

Sampai sahaja di hostel, kami pun berehat setelah berjalan jauh pada hari ini.

Harga minyak di Saigon.
RON92 ₫22 890 (+- RM 3.82)/liter & RON 95 ₫23 490 (+- RM3.99)/liter.

Panorama Malaysian Street (Jalan Nguyen An Ninh).


Pada malamnya, kami bersiar-siar ke sekitar pasar malam di Ben Thanh. Destinasi pertama kami adalah Warong Saigon 1Malaysia untuk makan malam. Di sini kami menghabiskan ₫575 000 (+-RM96) iaitu RM16 seorang untuk makan, agak mahal. Namun spring roll di sini agak sedap.





Seterusnya kami minum air kopi ais yang dijual dengan motorsikal seperti gambar di atas. Hanya RM3 atau US$1 secawan kopi. Malah dijual juga serbuk kopi pek. Setiap pek seberat 500 gram berharga RM10. Saya pun beli secawan kopi ais dan sepek kopi untuk dibawa pulang.


Seterusnya bersiar-siar sekitar pasar malam, dan kami ke Saigon Square dahulu. Saigon Square ini tidak jauh daripada pasar Ben Thanh. Ia merupakan kompleks pakaian moden. Harga pun agak murah.



Kemudian kami kembali ke pasar malam Ben Thanh untuk membeli belah kerana kami akan pulang keesokannya. Pasar Malam Ben Thanh ini dibuka dari pukul 6 petang hingga 10 malam setiap hari. Anda boleh beli cenderahati seperti magnet peti ais, rantai kunci dan kemeja-T di sini. Tudung, telekung dan lain-lain lagi juga ada. Jika anda jenis pandai tawar menawar seperti saya, di sini syurga anda. Malah kebanyakan penjualnya boleh berbahasa Melayu. 

Namun jika anda hendak beli secara pukal bukan di sini atau pasar Ben Thanh, anda perlu ke Chinese Market atau pasar Binh Tay yang tidak dapat saya pergi untuk trip kali ini.

Setelah selesai membeli apa yang saya mahu, saya pulang dahulu ke hostel, di mana, rakan-rakan sekembara ingin pusing-pusing lagi.

Bersambung ke Hari 5.

Jika mahu lihat: 

If want to read in English: 
  • Pre Journey
  • Itinerary; 
  • Day 1; 
  • Day 2; 
  • Day 3; 
  • Day 4 (this part)or 
  • Day 5.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan