Jumaat, 12 Mei 2017

Hari 2 Bahagian 2 (Brunei (melalui Miri, Limbang & Lawas (Sarawak) & Sipitang (Sabah)) - 28 April hingga 01 Mei 2017) - Limpas (Melalui) Limbang, Temburong, Lawas dan Sipitang.

Bersambung dari Hari 2 Bahagian 1.

Jika mahu lihat catatan: 
If want to read in English:
  • PreJourney;
  • Itinerary;
  • Day 1;
  • Day 2 Part 1;
  • Day 2 Part 2 (this part);
  • Day 3 Part 1;
  • Day 3 Part 2; or
  • Day 4.


Tugu periuk kera di bulatan Merapok.


Petunjuk: Waktu di Brunei adalah UTC +8 iaitu sama dengan waktu Malaysia (UTC +8).

Hari 2 (29 April 2017 - Sabtu) Bahagian 2.

Kami sebenarnya berehat sebentar dan juga sambil-sambil itu, mengambil gambar di tepi jalan selepas Pos Sempadan Kuala Lurah (atau juga dikenali sebagai KL oleh orang Brunei, jadi kalau ditanya kepada orang Brunei, ke mana mahu pergi hujung minggu ini, dijawabnya KL, mungkin ia lebih bermaksud ke Kuala Lurah berbanding Kuala Lumpur, huhuhu) dan sebelum Kompleks ICQS Tedungan, Limbang, Sarawak, Malaysia. Kira kami di kawasan "No Man Land" lah. Kalau ikut di tempat lain, memang tidak boleh hendak mengambil gambar ini, tetapi di pintu sempadan Malaysia-Brunei ini, umpama ia diringankan.

Setelah rehat dalam 2-3 minit, kami meneruskan perjalanan menuju ke Kompleks ICQS Tedungan untuk masuk kembali ke Malaysia. Seperti di Kompleks ICQS Sg. Tujuh tadi, di sini, kami menyerahkan pasport untuk diperiksa dan dikembalikan. Apabila diperiksa, alhamdulillah, cop yang keempat telah kami perolehi.

Menuju ke ICQS Tedungan, Limbang, Sarawak 
selepas melepasi Pos Sempadan Kuala Lurah, Brunei.

Cop pasport masuk Sarawak di Tedungan.


Kami meneruskan perjalanan ke bandar Limbang. Permandangan sepanjang jalan amat menenangkan. Agak berbeza berbanding dengan di Brunei terutama dari segi bentuk rumah. Di sini, rumah-rumah agak jauh dan berkeadaan sederhana sahaja berbanding di Brunei. Jarak pun jauh-jauh. Perlu berhati-hati terutama sebelah malam, kerana jalan ke Limbang dari Tedungan/Kuala Lurah ini tidaklah terus, tetapi mempunyai dua buah simpang. Kedua-dua simpang ini adalah simpang tiga, dan jika dari Tedungan, kedua-dua simpang ini perlu diambil ke kiri untuk ke bandar Limbang.

Setelah pemanduan kira-kira setengah jam, lebih sedikit, kami pun sampai di bandar Limbang pada pukul 1:00 petang. Lambat sedikit kerana jalan menghampiri bandar Limbang sedang dinaik taraf. Sampai juga saya ke bahagian keempat (Bahagian Limbang) saya yang telah saya jejaki di Sarawak, selepas Bahagian Kuching, Bahagian Bintulu dan Bahagian Miri. Ada lagi tujuh bahagian yang belum saya jejaki, insya Allah akan saya jejaki selepas ini.

Deddy memarkir kereta di hadapan Dataran Jubli Emas di bandar Limbang ini, kebetulan terdapat sebuah kereta yang hendak keluar parkir. Pada masa itu, di Dataran Jubli Emas sedang membuat ekspo pertanian terutama hasil pertanian tempatan. Sambil itu, kami mengambil kesempatan untuk bersiar-siar di Tebingan Sungai Limbang yang bercantum dengan Dataran Jubli Emas ini. Sempat juga saya mencelupkan kaki saya di Sungai Limbang ini.

Setelah 45 minit, bersiar-siar sekitar bandar Limbang ini, kami pun ke sebuah restoran di depan Dataran Jubli Emas untuk makan tengahari. Ingat hendak mencari benda yang menarik dan istimewa tetapi tiada. Jadi saya mengambil nasi campur berlauk sayur dan kari ayam. Minuman, wajib teh c air apabila di bumi Sarawak ini. Alhamdulillah makan kami semua ditaja oleh Deddy, terima kasih banyak, hehehe. 

Usai makan tengahari, kali ini saya yang memandu, kami pun meneruskan perjalanan menuju ke sempadan dengan satu lagi bahagian Brunei, iaitu Daerah Temburung yang terletak di timur Limbang. Untuk pengetahuan, Bahagian Limbang ini diapit barat dan timurnya oleh kedua-dua bahagian Brunei. Kiranya Limbang ini berada di tengah-tengah Brunei. Orang Brunei dari bahagian Brunei (yang mempunyai tiga daerah iaitu Daerah Belait, Daerah Tutong dan Daerah Muara-Brunei) perlu melalui Bahagian Limbang untuk ke Daerah Temburong jika melalui jalan darat. Melaluinya bermakna kena menggunakan pasport kerana Limbang sebahagian dari negeri Sarawak, negara Malaysia.

Sampai ke bandar Limbang, Sarawak.

Dataran Jubli Emas, Limbang Sarawak.

Sungai Limbang.

Tebing Sungai Limbang di Dataran Jubli Emas.

Antara pintu gerbang Dataran Jubli Emas.

Di Tebingan Sungai Limbang, Sarawak.

Setelah 15 minit, maka sampailah kami di Kompleks ICQS Pandaruan. Saya hampir terlajak terlepas Kompleks ICQS ini kerana ia perlu masuk sedikit ke kanan. Jika terus, akan pergi ke kaedah lama untuk ke Temburong, Brunei iaitu menggunakan feri, tetapi kini tidak lagi beroperasi kerana Jambatan Sungai Pandaruan sudah siap pada tahun 2013 lepas. Urusan di Kompleks ICQS Pandaruan sekejap sahaja sebagaimana lain-lain pusat pemeriksaan imigresen lain. Tidak hairanlah, dunia pun mengiktiraf imigresen Malaysia sebagi imigresen terbaik di dunia.

Setelah mendapat pasport kami sekali gus mendapat cop keenam kami bagi perjalanan kembara kali ini, kami pun meneruskan perjalanan dengan menyeberangi Sungai Pandaruan dengan menggunakan Jambatan Sungai Pandaruan atau nama rasminya Jambatan Persahabatan Malaysia-Brunei. Betul-betul di hujung jambatan ini adalah Pos Sempadan Ujung Jalan, Temburong, Brunei. 

Kaunter imigresen di ICQS Pandaruan, Limbang.


 Cop pasport keluar Sarawak di Pandaruan.


Menghampiri Jambatan Sungai Pandaruan selepas melepasi ICSQ Pandaruan, 
sebelum memasuki Brunei melalui Pos Sempadan Ujung Jalan, Temburong, Brunei.


Memasuki Pos Sempadan Ujung Jalan, Brunei.


Kami pun masuk ke dalam lorong yang ada dan pasport kami diserahkan. Selepas seberapa ketika, pasport kami diserahkan dan cop ketujuh pula kami perolehi. Setelah itu, saya membawa ke pondok kastam, namun pegawai kastam berkenaan melepaskan kami tanpa diperiksa. Saya pun terus memandu sehingga melepasi pintu keluar Pos Sempadan Ujung Jalan, Brunei ini. 

Di luar pintu keluar ini, kami sempat ambil beberapa gambar buat kenangan. Selesai sahaja bergambar, kami pun meneruskan perjalanan kami melintasi daerah Temburong ini. Setelah lima minit memandu, kami melepasi satu-satunya pekan yang ada di Temburong iaitu pekan Bangar. Agak tidak ada apa-apa di sepanjang Jalan Ujung Jalan - Labu ini. Selain pekan Bangar, cuma ada beberapa kampung, sebuah pusat kemahiran belia, sebuah kem askar dan satu kawasan yang sedang dibuat sebuah projek pembangunan yang dibuat oleh syarikat dari China. Terdapat sawah padi yang luar ketika hendak menghampiri Pos Sempadan Labu.

Cop pasport masuk di Ujung Jalan.

Antara keadaan jalan di daerah Temburong, Brunei.

Sawah padi di Temburong.


Dalam masa 25 minit sahaja perjalanan dari Pos Sempadan Ujung Jalan ke Pos Sempadan Labu. Memang sekejap sahaja perjalanan jalan raya di dalam daerah Temburong, Brunei ini, jika tidak singgah ke mana-mana. Pos Sempadan Labu nampak seperti pos sempadan sementara sahaja, sama seperti Pos Sempadan Kuala Lurah. Pejabatnya pun terdiri daripada kabin sahaja. Usai urusan di Pos Sempadan Labu ini, kami ke Kompleks ICQS Mengkalap, Lawas, Sarawak pula. 

Lupa pula saya hendak maklumkan bahawa semua Kompleks Pos Sempadan darat Brunei iaitu:
1. Kompleks Pos Sempadan Sungai Tujoh Kuala Belait;
2. Kompleks Pos Sempadan Kuala Lurah;
3. Kompleks Pos Sempadan Ujung Jalan;
4. Kompleks Pos Sempadan Labu,
ini masa operasinya adalah dari pukul 6:00 pagi hingga pukul 12:00 tengah malam setiap hari. Begitu juga dengan semua Kompleks ICQS darat Malaysia yang bersempadan dengan Brunei iaitu:
1. Kompleks ICQS Sg. Tujuh, Miri;
2. Kompleks ICQS Tedungan;
3. Kompleks ICQS Pandaruan;
4. Kompleks ICQS Mengkalap,
juga mempunyai waktu operasi yang sama.

Berbeza dengan pintu sempadan lain, dari Pos Sempadan Labu tidak akan nampak Kompleks ICQS Mengkalap ini. Ini kerana kita akan melalui kawasan berbukit dan berlembah sebelum sampai ke Kompleks ICQS Mengkalap. Menariknya, di tengah-tengah kawasan "No Man Land" ini terdapat sebuah rumah di sebelah kanan jalan.

Kompleks ICQS Mengkalap sama sahaja seperti pos sempadan Malaysia yang lain, di mana terdapat bangunan kekal lengkap berlanskap. Seperti biasa, pasport diberi dan tidak lama kemudian, kami mendapat cop pasport kesembilan pula.

Memasuki Pos Sempadan Labu, Temburong, Brunei.


Cop pasport keluar Brunei di Labu.

Memasuki daerah Lawas, Sarawak sebelum sampai ke ICQS Mengkalap.

 ICQS Mengkalap, Lawas, Sarawak, Malaysia.

Cop pasport masuk Sarawak di Mengkalap.

Selepas keluar dari kawasan Kompleks ICQS Mengkalap, seperti biasa, adalah sesi bergambar kenang-kenangan. Selepas itu, Deddy mengambil alih kawalan stereng kereta daripada saya. Jadi kami pun mula menjelajahi bumi Lawas pula. Bagi saya, keadaan di kawasan Lawas lebih cantik dan menarik. Permandangan jalan raya yang hampir lengang dan dengan berlatar belakangkan banjaran gunung, memang cantik. Deddy sendiri berkata yang permandangan ini mengingatkannya dengan perjalanan di bumi Kanada yang pernah dia bertugas sebelum ini.

Selepas dua puluh minit, kami melewati kawasan bandar Lawas, cuma kami tidak memasuki kawasan pusat bandar, kerana terdapat jalan pintas, memintasi kawasan pusat bandar. Kami lalu pesisir sahaja. Oleh kerana sekarang merupakan masa projek-projek awal Lebuhraya Pan-Bornei, maka terdapat beberapa bahagian jalan di kawasan bandar Lawas ini mengalami proses penambah baikan, sama seperti di bandar Limbang tadi.

Kami meninggalkan bandar Lawas untuk menuju ke sempadan Sarawak dengan Sabah pula. Sepuluh minit kami meninggalkan bandar Lawas, kami melewati jambatan gantung yang baru disiapkan menggantikan jambatan gantung lama, yang merentangi Sungai Lawas. Jambatan ini lebih baik dan moden berbanding yang lama.

Setelah 15 minit melewati Jambatan Sungai Lawas, kami pun sampai di Bulatan Merapok di mana saya mengambil simpang pukul 3 (atau simpang ketiga) untuk ke Kompleks Pemeriksaan Imigresen Merapok-Sindumin yang memisahkan Sarawak dan Sabah. Bulatan Merapok ini mempunyai tugu berbentuk tumbuhan telinga kera. Kami tidak mengambil gambar di sini kerana merancang untuk mengambilnya semasa balik nanti.

Keadaan jalan di Lawas.

Jalan sedang dinaik taraf berhampiran bandar Lawas.

Menghampiri Jambatan Lawas.

Suasana jalan di Lawas.

Permandangan jalan di Lawas.

Kompleks Pemeriksaan Imigresen Merapok-Sindumin ini agak menarik, kerana satu-satunya kompleks pemeriksaan domestik di Malaysia. Oleh kerana Sarawak dan Sabah mempunyai kuasa autonomi dalam bidang imigresen yang termaktub dalam Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan (kerana sebelum memasuki Malaysia, kedua-dua negeri ini bertaraf negara untuk seketika, selepas bebas dari jajahan United Kingdom), jadi perlulah diperiksa dokumen untuk melintasi sempadan kedua-dua negeri ini. Kompleks ini tidak dinamakan Kompleks ICQS kerana di kompleks ini cuma ada imigresen sahaja dan tiada kastam.

Dokumen yang diperlukan adalah sama ada MyKad, Pasport Antarabangsa dan Dokumen Perjalanan Terhad bagi warganegara Malaysia dan Pasport Antarabangsa negara masing-masing jika bukan warganegara Malaysia. Jika sebelum sampai pos sempadan ini, telah memasuki Sabah atau Sarawak menggunakan MyKad dan telah mendapat slip IMM14, perlu menyerahkan slip ini kepada tingkap/kaunter imigresen. Jika hilang IMM14, perlu buat repot polis dan dapatkan salinan repot itu untuk diserahkan kepada pihak imigresen.

Apabila sampai di pondok imigresen, kami menyerahkan pasport kami di tingkap untuk diperiksa oleh pegawai imigresen. Menarik juga, kerana di tingkap ini hanya ada seorang pegawai imigresen yang memeriksa dokumen untuk kedua-dua negeri. Selepas selesai, pasport diberikan dan kami mendapat pasport kesepuluh dan kesebelas. Maka secara rasminya saya telah berada di Bahagian Pedalaman Sabah, iaitu bahagian kedua di Sabah selepas Bahagian Pantai Barat. Juga, saya juga berada di Daerah Sipitang, iaitu salah satu daerah di Bahagian Pedalaman yang mana ia adalah daerah kelapan saya di Sabah selepas Kota Kinabalu, Putatan, Papar, Penampang, Tuaran, Kota Belud dan Ranau (yang mana ketujuh-tujuh daerah tersebut terletak di Bahagian Pantai Barat Sabah).

Selepas itu kami pun keluar dari kompleks ini dan terdapat sebuah bulatan. Jadi kami mengambil gambar kenang-kenangan di bulatan ini menandakan kami sudah sampai di Sabah. Oh, lupa pula, waktu operasi Kompleks Pemeriksaan Imigresen Merapok-Sindumin ini beroperasi dari pukul 6:00 petang hingga 10:00 malam, jika dilihat daripada papan tanda yang ada di situ, namun ada yang kata ia telah dilanjutkan kepada pukul 12:00 tengah malam, selaras dengan Kompleks ICQS yang bersempadan dengan Brunei pada tahun 2016. Saya mengambil apa yang tercatat pada papan tanda sebagai waktu rasmi.

Bagi saya, sepatutnya Kompleks Pemeriksaan Imigresen Merapok-Sindumin ini perlu dibuka 24 jam sahaja, kerana ia bukan di antara dua negara, tetapi antara dua negeri di dalam Malaysia. Sedangkan sempadan Malaysia dan Singapura dibuka 24 jam, jadi ia juga perlu dibuat untuk sempadan Sabah dan Sarawak ini, demi intergrasi nasional dan semangat 1Malaysia. Sewajarnya dengan dibukan 24 jam, maka ia memudahkan orang limpas antara kedua-dua negeri ini sekaligus dapat meningkatkan pelbagai kegiatan terutama ekonomi dan sosial dengan tanpa risau terhad pada waktu pintu sempadan dibuka. Limpas adalah perkataan loghat tempatan (Sabah dan Limbang serta Brunei) untuk melalui atau melintasi, jangan keliru dengan lipas ye.

Oleh kerana kami belum bersolat lagi, maka kami pun bersolat di masjid yang bersebelahan dengan Kompleks Pemeriksaan Imigresen Merapok-Sindumin ini. Ia adalah Masjid Sahabat, di mana ia terletak di dalam kawasan Sabah tetapi pintu masuk untuk kenderaan perlu melalui kawasan Sarawak. Cuma kami tidak parkir di dalam kawasan masjid tetapi di tepi bulatan sahaja, dan masuk ke masjid melalui pintu masuk pejalan kaki dari bulatan. Bendera Malaysia, Sabah dan Sarawak juga dikibarkan di masjid ini. Malah di dalam masjid ini, informasi daripada kedua-dua pihak berkuasa agama Islam Sabah dan Sarawak juga ditampal pada papan kenyataan masjid. Memang unik. Jadi kami pun bersolat jamak qasar Zuhur dan Asar di masjid ini.

Menghampiri Pos Sempadan Merapok/Sindumin.

Cop pasport keluar Sarawak di Merapok.

Cop pasport masuk Sabah di Sindumin.


Pintu masuk ke Sabah dari Sarawak.


Pos Sempadan Merapok/Sindumin sebelah Sabah.

Notis Jabatan Hidupan Liar Sabah di Sindumin.

Masa operasi Pos Sempadan Sindumin/Merapok.

Masjid Sahabat Sindumin/Merapok.


Usai bersolat, kami meneruskan perjalanan kami menuju ke bandar terdekat iaitu Sipitang, kira-kira 17 kilometer dari Pos Sempadan Sindumin. Dari bulatan Pos Sempadan Sindumin, dalam 500 meter akan terjumpa bulatan pekan Sindumin. Kami ambil simpang pukul 3 (simpang kedua) bagi ke Sipitang, kerana jika ambil simpang pukul 12 (simpang pertama) akan terus ke pekan Sindumin.

Setelah dua puluh minit, sampailah kami di bandar Sipitang, di mana kita perlu melalui dua bulatan lagi, kedua-duanya perlu mengambil simpang pukul 12 (simpang pertama). Di pekan Sipitang, jalan agak sesak, kerana dikhabarkan terdapat sebuah pesta di sini. Lama juga kami hendak melepasi sehingga simpang Jalan Balai Polis, kira-kira hampir setengah jam dari bulatan kecil (bukan dua bulatan tadi tetapi satu bulatan yang lain) di dalam bandar Sipitang yang cuma kurang 1 kilometer. 

Ikutkan hati hendak melawat juga pesta ini, namun kerana kesesakan ini, maka kami pun berpatah balik mengikut Jalan Balai Polis, harapannya adalah tempat meletak kereta. Namun memang tiada ruang langsung untuk memakir kereta. Lagipun hari semakin hendak gelap. Sebolehnya kami hendak pulang ke Lawas, di mana kami telah menempah hotel, tidak setelah hari gelap, kerana risau membawa kereta waktu malam di kawasan hutan tebal. Jadi kami pun mengambil keputusan untuk limpas kembali ke Pos Sempadan Sindumin untuk kembali semula  ke Sarawak dan ke Lawas.

Tugu gasing di bulatan simpang Jalan Sipitang - Tenom.

Menghampiri pekan Sipitang.

Kesesakan jalan raya di pekan Sipitang.

Ibupejabat Polis Daerah Sipitang.


Peta: Perjalanan dari Tedungan, Limbang, Sarawak ke Sipitang, Sabah 
melalui Temburong, Brunei mengikut jalan darat.

Setelah 20 minit, dalam pukul 6:00 petang, kami pun sampai di Pos Sempadan Sindumin. Deddy yang perasan pasportnya tidak dicop masuk Sabah di Sindumin tadi, terus ke pejabat imigresen Sindumin untuk meminta cop. Kami menunggu di luar, kerana kami perlu bersama-sama masuk Sarawak, bukan berasingan. Selepas beberapa ketika, akhirnya Deddy kembali dengan gembira, dapat juga cop pasportnya. Kami pun segera ke pondok imigresen untuk prosedur keluar Sabah dan masuk Sarawak pula. 

Kali ini, kedua-dua tingkap dibuka, dan ia bersebelahan. Terdapat dua pegawai imigresen yang mana masing-masing bertugas untuk negeri Sabah dan Sarawak. Pasport kami diberi kepada tingkap sebelah Sabah. Setelah setiap pasport selesai diperiksa di sebelah Sabah, pegawai berkenaan akan memberikan pasport terbabit ke pegawai sebelah Sarawak melalui satu tingkap kecil di antara mereka. Begitulah seterusnya sehingga siap semua keempat-empat pasport. Setelah selesai, makan dikembalikan pasport kami, dan kami mendapat cop pasport kedua belas dan ketiga belas kami.

Selepas limpas Pos Sempadan Merapok, kami pun berhenti di mercu tanda selamat datang ke Sarawak betul-betul selepas pos sempadan ini. Setelah selesai, kami teruskan memandu ke 200 meter ke hadapan untuk ke Bulatan Merapok pula untuk mengambil gambar kenang-kenangan tugu telinga kera yang ada di bulatan itu. Setelah puas, kami pun segera ke Lawas dan akhirnya tiba di Hotel Seri Malaysia Lawas betul-betul semasa azan maghrib berkumandang, kira-kira pukul 6:30 petang.

 Cop pasport keluar Sabah di Sindumin.

Cop pasport masuk Sarawak di Merapok.

Tugu Selamat Datang Ke Sarawak di Pos Sempadan Merapok.

Tugu periuk kera di bulatan Merapok.

Hotel Seri Malaysia Lawas.


Peta: Perjalanan dari Sipitang ke Lawas.


Kami mendaftar masuk ke hotel ini dan mendapat 2 bilik seperti yang ditempah. Hotel Seri Malaysia Lawas ini agak berbeza dengan hotel rangkaian Hotel Seri Malaysia yang lain yang biasanya agak usang. Biliknya agak baik, sama seperti hotel bertaraf 4 bintang. Kelengkapannya pun agak lengkap dan yang pastinya selesa.

Kami membersihkan diri dan bersolat. Kami kemudian keluar semula pada pukul 7:45 malam untuk bersiar-siar untuk melihat malam di bandar Lawas. Bandar ini agak besar juga, cuma banyak kedai sudah tutup. Tapi nasib baik ada kedai runcit yang dibuka, jadi kami pun membeli barang-barang untuk kudapan malam masing-masing. Saya membeli biskut dan kacang yang berharga RM10.00, harga sama dengan tempat lain. Di bandar ini buat masa ini belum ada pasaraya atau kedai serbaneka seperti 7-Eleven.

Selepas membeli kudapan, kami mencari kedai makan. Memang susah hendak jumpa juga mana-mana kedai makan. Saya ada mencadangkan agar jika tidak jumpa, kita makan sahaja di hotel. Betul-betul habis sahaja kata-kata saya, kami terjumpa restoran makan segera Singapore Chicken Rice (SCR), satu rangkaian makanan segera yang terkenal di Sarawak, kiranya seperti The Chicken Rice Shop di Semenanjung Malaysia. Nasib kami baik, kerana ia akan ditutup pada pukul 9:00 malam, iaitu lagi setengah jam.

Jadi kami pun masing-masing memesan nasi ayam, saya dan Deddy memesan ayam kukus dan Abang Zul dan Pak Nasir memesan ayam goreng. Air pula semuanya air teh C ais kecuali Pak Nasir air teh o panas. Terdapat makanan lain, cuma pada masa ini makanan selain nasi ayam tidak dapat disediakan kerana dapur sudah tutup.

Sedap juga nasi ayam SCR ini. Dahulu saya teringat di Danau Kota, Kuala Lumpur terdapat satu cawangan SCR ini, tetapi sudah tutup. Hairan juga kenapa tiada sambutan walaupun ia terletak di hadapan kompleks membeli-belah Setapak Central.

Alhamdulillah, selesai makan, dan kami dibelanja oleh Deddy, terima kasih banyak-banyak, kami pun pulang ke hotel, untuk berehat dan tidur. Jauh lagi perjalanan yang akan ditempuhi esok hari.

Bersambung ke Hari 3 Bahagian 1.

Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English:
  • PreJourney;
  • Itinerary;
  • Day 1;
  • Day 2 Part 1;
  • Day 2 Part 2 (this part);
  • Day 3 Part 1;
  • Day 3 Part 2; or
  • Day 4.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan