Ahad, 9 April 2017

Hari 1 (Mauritius - 17 hingga 20 Mac 2017) -Bienvenue à Maurice! (Selamat Datang Ke Mauritius!).

Bersambung dari Pra Kembara.

Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • PreJourney;
  • Itinerary;
  • Day 1 (this part);
  • Day 2;
  • Day 3;
  • Day 4; or
  • Travel Guide - Mauritius. 


Perairan Blue Bay (sebahagian dari Teluk Grand Port) dari Mahebourg Waterfront.

Petunjuk: Waktu di Mauritius adalah UTC 4 +iaitu empat jam lebih lewat dari waktu Malaysia (UTC +8). Contohnya jika di Malaysia pukul 12:00 tengahari, di Saint Louis pula pukul 8:00 pagi.


Hari 1 (17 Mac 2017 - Jumaat).


Saya keluar dari rumah pada pukul 5:30 pagi dan menaiki kereta Grab untuk ke KL Sentral. Mahal juga tambang pada masa itu dengan harga RM13.00, nasib baik saya ada kod promosi RM10.00, jadi cuma bayar RM3.00 sahajalah. Itupun bayar dengan menggunakan kad kredit.

Sampai di KL Sentral pada pukul 5:50 pagi dan sempat mengambil bas shuttle 6:00 pagi ke klia2. Saya sampai di Stesen Bas klia2 pada pukul 6:50 pagi dan terus bersolat Subuh di surau di stesen sas tersebut. Usai solat saya terus ke balai berlepas (aras 3) untuk terus masuk ke dalam airside

Pada masa itu, memang kecoh pasal pihak Air Asia memperketatkan peraturan bagi bagasi kabin di mana peraturan sedia ada yang menghadkan berat bagasi kabin hanya 7 kilogram dan kurang serta ukuran maksimum yang dibenarkan. Saya sendiri pun cuba untuk mengurangkan berat beg saya. Namun ketika saya melepasi pintu berlepas iaitu sebelum pemeriksaan polis bantuan, petugas Air Asia tidak pula memeriksa sangat, alhamdulillah saya dilepaskan tanpa sebarang pemeriksaan. Memang saya lihat terdapat mesin penimbang berat di tepi petugas berkenaan.

Setelah melepasi petugas AirAsia, prosedur biasa seperti pemeriksaan pas pelepasan oleh polis bantuan, pemeriksaan pasport oleh imigresen dan pemeriksaan beg oleh kastam dilepasi. Saya terus ke bangunan satelit untuk ke AirAsia Premium Lounge yang telah saya tempah.



Tiket bas shuttle KL Sentral-klia2 (berkomputer).

Tiket bas shuttle KL Sentral-klia2 (biasa).

Melangkah masuk sahaja ke dalam lounge ini, rasa selesa (cozy) sahaja. Saya menyerahkan pas pelepasan saya kepada petugas di kaunter, alhamdulillah, saya terus dibenarkan masuk. Saya memilih untuk duduk di meja yang mempunyai jendela yang mengadap ke kawasan apron klia2. Dapat melihat pesawat terbang lalu lintas menuju ke ruang parkir atau untuk ke landasan terbang. 

Boleh dikatakan hampir setiap tempat duduk mempunyai soket elektrik yang mempunyai pin pelbagai jenis. Setelah meletakan beg, saya terus mengambil makanan untuk bersarapan. Hidangan pada pagi ini adalah nasi lemak. Menarik! Selain itu, terdapat ruangan untuk roti bakar, pelbagai jenis kopi dan teh serta peti ais yang meletakan air minuman sejuk seperti Coca-cola, Sprite dan sebagainya.

Susunan lounge ini bagi saya lebih baik dari beberapa lounge yang pernah saya pergi. Permandangan jendelanya memang jelas. Kemudahan komputer yang mempunyai talian internet pun disediakan. WiFinya juga agak laju juga. Tandas walaupun agak sempit tapi sentiasa bersih dan selesa. Saya pun menikmati sarapan saya sambil menikmati permandangan apron klia2.

Tetapi yang paling terbaik adalah di tingkat atas terdapat ruang rehat yang juga mempunyai permandangan apron klia2. Malah mempunyai bantal-bantal beanie yang membolehkan kita berehat. Disediakan juga soket-soket elektrik untuk kemudahan mengecaj telefon atau gajet-gajet. Dapatlah saya berehat kira-kira sejam setengah. Dalam masa itu, sempat saya membuat siaran live Facebook.


AirAsia Red Lounge di bangunan satelit klia2.

Kaunter AirAsia Red Lounge.

Kawasan hidangan makanan di AirAsia Red Lounge.

Menyantap nasi lemak dan kuih serta air teh sambil meninjau kawasan apron klia2.

Kawasan apron klia2 dari AirAsia Red Lounge.

Tingkat atas AirAsia Red Lounge untuk istirehat.


Setelah berehat kira-kira sejam setengah, saya bertanya kepada semua rakan-rakan yang mengikut perjalanan ini. Mereka semua sudah sampai di klia2, dan saya meminta mereka menunggu saya di ruang legar bangunan satelit. Saya pun keluar dan akhirnya berjumpa dengan Najib dan Farish. Kami segera ke pintu pelepasan Q6 kerana pangggilan untuk memasuki pesawat telah dibuat pada ketika itu.

Sampai di ruang menunggu pintu pelepasan Q6, penumpang-penumpang sudah mula beratur untuk memasuki pesawat. Saya mencari-cari juga abang Din, namun tidak jumpa. Kami berbaris dan sampai juga giliran kami memasuki pesawat 9M-XXA yang menjadi pesawat bagi penerbangan AirAsiaX D7 6 pada hari ini. Apabila sampai di dalam pesawat, kami pun duduk di tempat yang telah diperuntukan kepada kami. Saya duduk di tempat duduk 21F, iaitu di tengah-tengah barisan 21. Najib dan Farish duduk di bahagian belakang, di barisan 42 jika tidak silap. Tidak lama kemudian barulah nampak abang Din masuk ke dalam pesawat menuju ke tempat duduknya. Sempat juga saya menyapa.

Nampaknya pengurusan pelepasan pesawat kali ini kurang lancar sehingga penerbangan kami agak tertunda sikit. Akhirnya pada pukul 11:00 pagi, barulah pesawat ini bergerak meninggalkan bangunan terminal dan pada 11:15 pagi, barulah pesawat ini berlepas meninggalkan Malaysia menuju ke Mauritius.

Ketika pesawat ini berlepas, sebenarnya lelaki yang duduk di sebelah kanan saya bertanya kepada saya, sama ada saya mahu bertukar tempat duduk dengan pasangannya yang duduk di tempat duduk 7G yang berada di dalam zon senyap. Apa lagi, ini rezeki bagi saya, jadi saya kata saya akan berpindah ke situ setelah tanda isyarat memakai tali pinggang keledar dimatikan. Setelah isyarat berkenaan dimatikan, saya pun berpindah, alhamdulillah, ia sebenarnya adalah Hot Seat kerana barisan pertama di zon senyap itu, iaitu betul-betul dibelakang tempat duduk premium. Memang kawasan kaki agak luas, cuma tempat duduk agak sempit sikit, kerana meja makan diletakan di dalam tempat rehat tangan.

Pesawat 9M-XXA ini merupakan sebenarnya pesawat pertama AirAsiaX dan ada ketika penerbangan kami, kulit luar pesawat ini berimejkan ulang tahun operasi AirAsiaX kesembilan. Ruang dalaman juga terdapat iklan sempena ulang tahun operasi AirAsiaX kesembilan ini. Setelah sejam terbang, maka masa yang ditunggu-tunggu, iaitu masa makanan yang telah ditempah diedarkan. Walaupun saya sudah makan, namun selera di atas 10 000 kaki di udara ini berlainan, kita akan cepat lapar, bagi sayalah. Jadi saya menikmatinya agar saya depat merehatkan diri lebih cepat.

Namun sebelum saya sempat merehatkan diri, pembantu-pembantu penerbangan mengedarkan borang-borang yang perlu diisi bagi memudahkan proses kemasukan kami apabila sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Sir Seewoosagur Rangoolam, Mauritius (MRU) nanti. Saya suka melihat borang masuk imigresen Mauritius kerana bagi saya, ia adalah borang kemasukan imigresen tercantik yang pernah saya jumpa. Terdapat imej burung Dodo pada borang tersebut. Selepas saya mengisi borang-borang terbabit, saya pun merehatkan diri , kerana terdapat enam jam lagi untuk sampai ke Mauritius.


Makanan yang dipratempah.

Panel yang memisahkan kawasan tempat duduk premium dengan tempat duduk ekonomi. 
Ia juga menunjukan bahawa pesawat ini adalah pesawat rasmi bagi ulang tahun AirAsiaX ke-9.

Tempat duduk premium dari tempat duduk saya.

Tempat duduk saya bagi penerbangan ini, 7F.

Borang masuk Imigresen Mauritius.

Borang Perisytiharan Kesihatan Mauritius.


Peta Laluan Pesawat AirAsiaX D7 6 pada 17 Mac 2017 daripada FlightRadar24.

Akhirnya, pada pukul 2:00 petang waktu Mauritius, pesawat ini mendarat di MRU dengan selamatnya. Berakhirlah penerbangan keempat terakhir AirAsiaX dari Kuala Lumpur ke Mauritius ini. Keluar sahaja dari pesawat, saya menunggu rakan-rakan lain. Lama juga tunggu, tidak jumpa-jumpa. Hairan juga, bukan ada jalan lain pun. Jadi setelah lama menunggu, saya terus ke kaunter imigresen, kerana orang semakin ramai. Ini kerana terdapat sebuah lagi pesawat Airbus 330 milik Air France tiba.

Saya terjumpa Najib dan Farish yang tiba di barisan kaunter imigresen selepas saya dan mereka mencari borang perisytiharan kesihatan (borang kuning) kerana kehabisan di dalam pesawat tadi. Namun tidak jumpa pula dengan abang Din. Dengan menggunakan WiFi berinternet yang ada di dalam bangunan terminal MRU ini, maka saya cuba bertanya kepada abang Din untuk mengetahui di mana mereka. Rupanya dia telah selesai urusan imigresen dan menunggu kami. Saya memaklumkan bahawa saya lama menunggunya dan kami hanya akan selesai dalam sejam lagi kerana terperangkap dengan penumpang Air France tadi. Dalam menunggu giliran, sempat juga saya membuat siaran live Facebook.

Setelah beratur lebih kurang dekat sejam, tiba giliran kami. Alhamdulillah, urusan lancar, cuma pegawai imigresen bertanya tentang penerbangan pulang sahaja. Nasib baik saya sudah bersedia awal-awal. Selepas selesai urusan imigresen, kami perlu melalui kaunter kesihatan Mauritius pula. Borang diberi dan pasport diperiksa. Itu sahaja, dan kami pun ke bawah untuk ke balai ketibaan, di mana kami berjumpa dengan abang Din di situ.

Selepas melepasi kawasan pemeriksaan kastam, kami pun sampai di kawasan yang dipenuhi dengan kaunter-kaunter agensi pelancongan, kereta sewa dan pengurup wang. Saya ada membaca bahawa kadar pertukaran wang di Mauritius ini sama sahaja baik di lapangan terbang mahupun pengurup wang di pusat bandar kerana hanya beberapa pengurup wang berlesen sahaja yang dibenarkan beroperasi di Mauritius, jadi saya pun mengambil keputusan untuk menukar sebahagian di situ, kerana saya beranggapan penginapan dan kereta sewa akan menerima matawang Euro. Saya, Najib dan Farish menukar di pengurup wang yang kadarnya paling baik di situ. Kita perlu memberikan juga pasport untuk keperluan urusan mereka. Cuma abang Din sahaja yang tidak menukar kerana percaya kadar di bandar lebih baik.

Seterusnya, kami terus ke kawasan landside untuk melihat kad penanda bertulis Ola Mauritius, iaitu penyedia kereta sewa kami. Beberapa ketika juga kami mundar-mandir, akhirnya terjumpa juga. Lalu petugas terbabit terus membawa kami menuju ke ruang parkir kereta di MRU ini, yang terletak tidak jauh dari balai ketibaan.


Jambatan udara dari pesawat ke bangunan terminal MRU.

Pesawat 9M-XXA.

Permandangan yang agak cantik dari bangunan terminal MRU.

Cop masuk imigresen Mauritius.

Resit tukaran wang di MRU.

Cuaca agak panas juga ketika kami di ruang parkir MRU ini, dengan sinaran matahari yang terik dan suhu sekitar 30OC. Rupa-rupanya petugas Ola Mauritius ini membawa kami ke kereta sewa yang akan kami gunakan. Ia adalah Perodua Viva. Memang saya ambil kereta ini kerana ia paling murah. Rupanya memang benar kereta tersebut diberikan. Lagipun di Mauritius ini memang menggunakan pemanduan sebelah kanan, sama seperti Malaysia juga.

Petugas itu menghidupkan enjin dan membuka pendingin hawa dan sebagainya. Dia juga menunjukan segala peralatan di dalam kereta ini berfungsi dengan baik dan menunjukan keadaan badan kereta. Dia akan mencatat sebarang kecatatan yang ada di dalam borang di tangannya. Seterusnya, dia membuka pintu bonet belakang kereta dan membuat urusan seterusnya di situ. Rupanya dia tidak menerima tunai, sebaliknya meminta kad kredit untuk bayaran baki (ditukar dari Euro ke Rupee Mauritius pada kadar lebih mahal dari pengurup wang) dan juga membuat pengesahan tahanan amaun sebanyak Rs. 20 000 (+- RM2700) untuk deposit. Saya pun menandatangani borang terbabit setelah berpuas hati, dan kereta itu diberikan sepenuhnya kepada kami.

Kami pun kemudian membawa keluar kereta ini dair kawasan lapangan parkir, setelah meletakkan semua barang-barang kami di dalam kereta. Sampai di kaunter bayaran parkir, kami membayar parkir yang mana kad parkir memang ditinggalkan di dalam kereta. Setelah itu, kami pun terus membawa kereta ini menuju ke bandar Maheburg. 


Urusan menyewa kereta Ola Mauritius yang di buat di belakang kereta sahaja.

Kereta yang menjadi pengangkutan kami di Mauritius selama 2 setengah hari, 
Perodua Viva.

Resit parkir kereta di MRU.

Perjalanan ke Maheburg tidaklah begitu jauh, kira-kira 7 kilometer dari MRU. Dalam perjalanan, kami sebenarnya mengelilingi landasan terbang MRU dan juga melalui ladang tebu yang memang luas kawasannya di sepanjang jalan menuju ke Maheburg.

Setelah hampir sepuluh minit, kami sampai di bandar Maheburg dan melaluinya dengan perlahan. Dengan menggunakan Google Maps yang saya simpan secara offline saya mencari penginapan kami, Le Bamboo Guest House Maheburg. Akhirnya sampai juga setelah mengikut arahan yang diberikan oleh aplikasi tersebut.

Kami pun masuk ke penginapan kami dan menemui petugas penginapan tersebut, En. Gopi. Setelah mendaftar masuk dengan membayar bayaran penginapan, kami pun masuk ke dalam bilik kami. Secara amnya, bilik kami memang baik dengan mempunyai permandangan yang amat cantik sekali.

Rupanya bukan sahaja sistem pemanduan jalan raya yang sama dengan Malaysia, malahan soket elektrik juga sama iaitu dari jenis G. Ketika kami sampai, azan Asar berkumandang. Abang Din meminta diri untuk ke masjid untuk bersolat. Kami cuma solat di dalam bilik sahaja, kerana kami hendak menyiapkan pelbagai perkara dan urusan (terutamanya saya).

Setelah selesai segala urusan, masa menunjukan pukul 4:25 petang, abang Din sudah dekat sejam keluar dan belum balik. Jadi saya dan rakan-rakan mengambil keputusan untuk keluar, kerana takut kedai tutup awal. Lagipun kami belum tahu keadaan setempat lagi. Jadi saya memesan kepada Encik Gopi untuk memaklumkan pergerakan kami. Kami tidak boleh menunggu lebih lama.


Permandangan ladang tebu dari MRU ke pekan Mahebourg.

Penginapan kami, Le Bamboo Guest House.

Permadangan Jambatan Mahebourg dan Gunung Singa (Mont du Lion) dari penginapan.

Soket elektrik yang digunakan di Mauritus, jenis G, sama seperti di Malaysia.



Peta: MRU ke Le Bamboo Guest House, Mahebourg.


Pertamanya, kami ke pasaraya Savemart yang kami jumpa semasa melalui bandar Maheburg ini. Ini kerana kami ingin tahu pukul berapa ia beroperasi dan ingin membeli air minuman. Maklumlah, cuaca agak panas di Mauritius ini, tambahan pula memang kami kehausan. Saya sempat juga membeli roti panjang perancis yang agak murah juga, kira-kira 60 sen duit Malaysia sahaja. Pasaraya ini akan tutup pada pukul 8:00 malam setiap hari.

Seterusnya, kami ke pejabat cawangan syarikat telekomunikasi Emtel, untuk membeli kad SIM prabayar. Nasib baik kami pergi pada masa ini, kerana kami tiba pada pukul 4:50 petang, lagi sepuluh minit, pejabat ini akan tutup. Semasa itu terdapat tiga pelanggan sebelum kami. Kami menunggu mengikut giliran walaupun tiada sistem nombor giliran di dalam pejabat tersebut.

Tiba giliran kami, kami pun bertanya tentang kad SIM prabayar. Petugas yang melayan kami menyatakan kami boleh membeli kad SIM prabayar bernilai Rs.100 (+- RM13.50) yang mana di dalamnya terdapat nilai kredit Rs. 87 (+- RM11.75) setelah ditolak VAT (GST) 15%. Daripada kredit itu, barulah kami boleh memilih plan data internet. Kami memilih plan data 750MB yang sah selama seminggu berharga Rs.99 (+- RM13.37), namun oleh kerana kredit tidak cukup kami menambah kredit Rs. 20 (+- RM 2.70) bagi mencukupkan (kerana Rs. 20 adalah amaun minima tambah nilai kredit Emtel). Jadi saya dan Najib, membelinya dengan Rs. 120 (+- RM 16.20). (Sebenarnya tidak perlu tambah nilai Rs. 20 itu, kerana terdapat bonus kredit Rs. 20 untuk kad SIM prabayar baru). Talian akan aktif setelah 15 minit selepas itu.

Setelah itu, kami pun pulang ke penginapan dan mengambil abang Din untuk berjalan-jalan di sekitar Mahebourg. Pertamanya, kami mengisi minyak kereta kami di stesen minyak Total yang tidak jauh dari penginapan kami. Kami mengisi sebanyak Rs. 150 (+- RM 20.25) dengan kuantiti sebanyak 3.5 liter kerana harga minyak petrol RON 95 di Mauritius adalah Rs. 42.70 (+- RM5.55) setiap liter. Penunjuk minyak tidak menunjukan sebarang perubahan pun.

Resit pasaraya Savemart Mahebourg.

Pejabat cawangan telco Emtel di Mahebourg (diambil gambarnya selepas ditutup).

Waktu operasi pejabat Emtel Mahebourg.

Kad SIM Prabayar Emtel.

Harga minyak petrol RON 95 di Mauritius, Rs42.7 (+-RM5.55)/liter.

Setelah itu, kami pun berjalan-jalan di sekitar Mahebourg, melawat dari dalam kereta beberapa buah masjid dan kemudian ke kawasan pantai Blue Bay dan juga Mahebourg Waterfront.

Kami agak lama di Mahebourg Waterfront yang mana ia terletak bersebelahan dengan stesen bas Mahebourg. Di sini terdapat kawasan persiaran pesisir pantai yang amat cantik permandangannya. Airnya yang bersih yang warnanya jika dilihat dari pesisir pandai mempunyai ton warna biru-hijau yang menawan, memang perairan Mauritius ini umpama bak syurga, sebagai mana yang dikatakan oleh ramai orang. Juga dengan berlatar belakangkan Gunung Singa (Mont du Lion), memang lawa.

Di Mahebourg ini sebenarnya terdapat beberapa plak di lantai siar kakinya yang menceritakan sejarah Pertempuran Grand Port pada tahun 1810 di antara Tentera Laut Perancis yang pada masa itu mentadbir Mauritius yang masa itu dikenali sebagai Ille de France dengan Tentera Laut DiRaja British. Peristiwa ini merupakan titik perubahan di dalam sejarah Mauritius, walaupun pertempuran ini dimenangi oleh Perancis, namun tidak lama kemudian British berjaya menawan Mauritius ini.

Kawasan sekitar Mahebourg ini sebenarnya merupakan ibu kota Mauritius semasa pentadbiran Belanda dan Perancis sebelum ia berpindah ke Port Louis pada sebelum kejatuhan Perancis. Selain plak tadi, juga terdapat Tugu Peringatan Pertempuran Grand Port di hujung tanjung di Mahebourg Waterfront ini yang juga terdapat pengkisahannya. Mahebourg Waterfornt ini juga sebenarnya tempat orang tempatan bersiar-siar, malah menjadi tempat pasangan berkasih-kasihan, jadi jangan terkejut jika terdapat pasangan kekasih bermesraan di khayalak ramai.

Kami balik semula ke tempat kami parkir kereta dan ternampak satu lagi tugu yang jauh sikit dari kawasan siar kaki, boleh dikatakan di tengah-tengah dengan stesen bas. Tugu tersebut adalah tugu atau patung Swami Sivananda, yang merupakan seorang sami hindu yang mungkin terkenal di Mauritius satu ketika dahulu. Kami juga melihat beberapa kereta buatan Malaysia seperti Proton Preve, Proton Gen2, Perodua Kelisa dan sebagainya. Memang banyak juga kereta buatan Malaysia di Mauritius ini, malah motorsikal Modenas Kriss juga terdapat di Mauritius ini.

Perairan Blue Bay (sebahagian dari Teluk Grand Port) dari Mahebourg Waterfront.

Perairan Blue Bay.

Video: Di Maheburg Waterfront (Blue Bay), Mauritius.

Plak penceritaan sejarah Grand Port di Mahebourg Waterfront.

Plak penceritaan sejarah Grand Port di Mahebourg Waterfront.

Plak penceritaan sejarah Grand Port di Mahebourg Waterfront.

Plak penceritaan sejarah Grand Port di Mahebourg Waterfront.

Perairan Blue Bay.

Video: Mencecah kaki di Lautan Hindi di Maheburg Waterfront (Blue Bay), Mauritius.

Mahebourg Waterfront.

Perairan Grand Port dan Gunung Singa dari Mahebourg Waterfront.

Pengkisahan di Tugu Pertempuran Grand Port.

Tugu Pertempuran Grand Port.

Tugu Swami Sivananda.

Sebuah Proton Preve sedang meluncur di jalanan Mahebourg.

Saya kemudian memandu kereta ini keluar dari Mahebourg walaupun pada masa itu hari sudah mulai gelap sekitar pukul 6:00 petang. Terdapat beberapa gelanggang permainan petangue di sekitar Mahebourg ini. Memang tidak dinafikan kerana memandangkan Mauritius mempunyai pengaruh Perancis seperti bahasanya (walaupun British memerintah lebih lama, orang Mauritius lebih kepada berbahasa Creole Perancis) dan juga budayanya. Petangue merupakan permainan berasal dari Perancis.

Saya memandu kereta menuju ke Port Louis menggunakan Lebuhraya M2. Namun setelah melihat keadaan di Mahebourg yang menjadi bandar hampir mati setelah masuk waktu senja, saya merasakan bandar Port Louis juga sama. Lagipun jauh juga, kira-kira 45 kilometer jauhnya. Jadi semasa di kawasan Rose Belle, saya berkata kepada rakan-rakan, rugi juga kalau kita jalan waktu malam di Port Louis, kerana mungkin banyak premis ditutup. Buang minyak sahaja. Lagipun memang pada masa itu, kami cukup tidak yakin dengan kuantiti bahan api kereta kami. Kebetulan kami terjumpa stesen minyak Shell, kami isi lagi Rs. 450 (+- RM60.75) dengan 10.5 liter minyak petrol, barulah penunjuk minyak menunjukan kepada takat separuh tangki.

Selepas itu, kami membuat pusingan U di bulatan berikutnya (di Lebuhraya M2 dan juga kebanyakan tempat di Mauritius, simpang lalu lintasnya menggunakan sistem bulatan) untuk kembali ke Mahebourg. 

Najib kemudiannya mendapat maklumat bahawa di kawasan pekan Rose Belle terdapat sebuah pusat membeli-belah iaitu pusat membeli-belah Vieux Moulin. Kami pun mengambil keputusan untuk berhenti di situ memandangkan perut kami pun sudah menunjukan tanda kelaparan. Sambil itu, kami ingin mencari juga pengurup wang kerana abang Zul tidak mempunyai sebarang wnag Rupee Mauritius dan bekalan wang Rupee saya pun sudah surut akibat membayar penginapan dengan rupee tadi (kerana Encik Gopi meminta wang rupee). Namun tiada pengurup wang di sini.

Kebetulan, terdapat medan selera di sini dan salah sebuah gerainya mempunyai logo halal iaitu di gerai Ashoka Fast Food. Gerai ini terletak di sebelah sahaja dengan restoran KFC. Pada masa ini kami tidak tahu yang KFC di Mauritius ini boleh dimakan kerana bekalan ayam dan daging mentah di Mauritius adalah halal (ini kerana 20% penduduk Mauritius adalah orang Islam). Cuma harga di gerai ini mungkin agak mahal. Saya memilih untuk makan nasi bercampur kuah dal, kari kambing, sedikit ulam dan sedikit chutney. Sebenarnya hidangan ini boleh memilih untuk makan roti ala-ala capati, cuma perut dah lapar, jadi saya ambil nasi. Bayangkan makan nasi berkuahkan dal, satu yang asing di Malaysia, maklumlah di Malaysia kuah dal hanya makan dengan makanan berasaskan roti. Janji perut terisi. Najib dan Farish mengambil hidangan yang hampir sama cuma berbeza dengan kari ayam sahaja, kerana mereka tidak gemar makan daging kambing. Abang Din cuma makan makanan dari dalam penerbangan yang belum dimakan lagi.

Medan selera di dalam pusat membeli-belah Vieux Moulin di Rose Belle.

Gerai Ashoka Fast Food di medan selera Vieux Moulin.

Nasi + kuah dal + kari kambing + sedikit ulam + chutney.

Nasi + kuah dal + kari ayam + sedikit ulam + chutney.

Kami berempat di medan selera Vieux Moulin.

Pusat membeli-belah Vieux Moulin di Rose Belle.



Peta: Jalan-jalan sekitar Mahebourg.


Setelah usai makan, kami pun balik ke penginapan. Encik Gopi meminta kami memarkirkan kereta di dalam garaj bagi keselamatan kereta dan juga menghormati jiran-jiran sekitar. Selepas itu, kami membersihkan diri dan berehat dan tidur. Memang suasan malam di Mahebourg ini agak tenang.



Bersambung ke Hari 2.

Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • PreJourney;
  • Itinerary;
  • Day 1 (this part);
  • Day 2;
  • Day 3;
  • Day 4; or
  • Travel Guide - Mauritius.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan