Rabu, 22 Februari 2017

Pra Kembara (Hanoi & Ha Long, Vietnam - 23 hingga 26 Februari 2017) - Berkunjung Ke Salah Satu 7 Keajaiban Alam Semulajadi Dunia Baru (New 7Wonders of Nature).

Jika mahu lihat catatan: 


If want to read in English: 

  • PreJourney (this part);
  • Itinerary;
  • Day 1;
  • Day 2;
  • Day 3;
  • Day 4;
  • Travel Guide - Hanoi; or
  • Travel Guide - Ha Long.

Makam Ho Chi Minh, Hanoi, antara tarikan di Hanoi.

Pengenalan.


Hanoi yang merupakan ibu negara Vietnam, merupakan antara dua ibu negara ASEAN yang masih belum lagi saya jejaki selain Naypyidaw di Myanmar. Memang teringin juga untuk saya ke sana, kerana ramai yang kata keadaan di sana berbeza sedikit dengan bandaraya Ho Chi Minh (Saigon) di selatan. Satu lagi yang menyebabkan saya hendak ke sana adalah kerana Hanoi agak dekat dengan satu lagi tarikan pelancongan dunia iaitu Teluk Ha Long.

Teluk Ha Long, Vietnam. 


Mulai 22 Ogos 2016 sehingga 28 Ogos 2016, pihak AirAsia membuat promosi sempena Hari Kebangsaan Malaysia ke 59. Dalam promosi itu, harga yang ditawarkan untuk tiket pergi balik ke Hanoi adalah serendah RM290.29 sahaja! Lebih dari separuh kerana harga yang paling murah biasanya dapat dalam RM650 ke atas. Jarang juga laluan Kuala Lumpur - Hanoi diberikan promosi. Sebelum saya membeli tiket tersebut, saya mengwar-warkan kepada sahabat saya di dalam kumpulan WhatsApps Geng KembaraGD. Alhamdulillah, abang Din (facebooknya) yang pernah bersama saya ke kembara Macau, Hong Kong dan China serta kembara ke Yangon dulu ingin mengikut saya dan memberikan saya wang untuk sama-sama menempah tiket penerbangan bagi tarikh 23 hingga 26 Februari 2017 untuk ke sana. Juga abang Zul yang beberapa mengikut saya dan kali terakhir adalah kembara ke Iran tempoh hari.

Promosi Merdeka 2016 AirAsia.

Vietnam merupakan salah satu dari negara ASEAN. Dengan keluasan seluas 332 698 km2, ia mempunyai penduduk kira-kira 92 juta orang. Dahulunya terbahagi dua semasa Perang Dingin, kini disatukan selepas Perang Vietnam pada tahun 1976. 


Peta: Vietnam.


Hanoi pula merupakan ibu negara Vietnam bersatu dan juga Vietnam Utara semasa pepecahannya. Walaupun Saigon atau nama baharunya Bandaraya Ho Chi Minh yang dahulu merupakan ibu negara Vietnam Selatan, lebih besar, namun Hanoi masih tetap menjadi ibu negara. Dengan keluasan 3329 km2, ia mempunyai seramai 7.6 juta jiwa di dalamnya.

 
Peta: Hanoi, Vietnam.


Ha Long, yang terletak sejauh kira-kira 170 kilometer dari Hanoi, mempunyai tarikan tersendiri. Pada 11 November 2011, Teluk Ha Long telah terpilih di antara salah satu dari 7 Keajaiban Baru bagi Alam Semulajadi (New 7Wonders of Nature). Sudah menjadi cita-cita saya untuk mencapai hasrat untuk ke semua 21 buah 7 Keajaiban Baru yang ada. Kini saya telah melawat 5 dari semua yang tersebut. Teluk Ha Long akan menjadi keenam, insya Allah.

 
Peta: Ha Long, Vietnam.


Pada 19 dan 20 September, saya menempah penginapan sepanjang tiga hari di sana melalui Hotels.com. Oleh kerana saya mempunyai malam percuma iaitu program kesetiaan Hotels.com sebanyak dua malam, yang mana bakal luput pada bulan November 2016, maka saya tebus kedua-dua malam tersebut, sebelum ia dilupuskan kerana tidak digunakan. Jadi dapat mengurangkan jumlah yang perlu dibayar di mana kami hanya perlu membayar RM168.61 (RM56.21/orang untuk 3 malam atau RM18.74/orang/malam) daripada asalnya perlu membayar RM351.51 (yang mana akan menjadi RM117.17/orang/3 malam atau RM39.06/orang/malam). Penginapan yang saya tempah (sesemuanya bilik bertiga) adalah:

   1. Malam 23-24 Februari 2016  -  Camel City Hotel, Hanoi (harga asal RM136.04);
   2. Malam 24-25 Februari 2016  -  Starlight Hotel, Halong (harga asal RM95.56);
   3. Malam 25-26 Februari 2016  -  Atrium Hanoi Hotel, Hanoi (harga asal RM119.91).


Tempahan Atrium Hanoi Hotel melalui Hotels.com.


Pada 25 September 2016, saya telah membeli International World Traveller Care Takaful dari eTiQa Takaful, di mana saya mengambil plan Platinum bagi individu untuk perjalanan 1 hingga 5 hari ke zon 2 iaitu ke negara-negara Asia terpilih termasuk Vietnam, berharga RM52.20 sahaja (sebelum saya tolak komisen saya kerana perniagaan saya, HidayahWEALTH, merupakan ejen korporat bagi eTiQa Takaful). Ada pilihan lebih murah iaitu plan Emas yang berharga RM38.00 dan plan Perak berharga RM26.50, tetapi saya memilih plan Platinum pada kali ini kerana inginkan perlindungan yang komprehensif. 

Jika anda atau kawan-kawan anda ingin mendapatkan takaful tersebut atau lain-lain takaful, boleh mesej saya melalui Facebook saya atau kaedah-kaedah lain. Ini bagi persediaan jika berlaku apa-apa diluar jangka, sekurang-kurangnya ada "kusyen". Sekurang-kurangnya kos perubatan dan kos pengurusan jenazah (minta jauh tapi kan maut itu pasti) telah termasuk dalam perlindungan, jadi tidak perlu mengemis dengan orang lain kalau berlaku apa-apa yang tidak diingini dan di luar jangka. Risau juga selepas berlaku beberapa tragedi menimpa orang Malaysia di luar negara sejak kebelakangan ini.


Nota Perlindungan Takaful Perjalanan eTiQa Takaful.

Saya menukar wang Ringgit Malaysia kepada Dong Vietnam (VND atau ) untuk bekalan perjalanan nanti di Shubiyah United Sdn Bhd di Ampang Park, Kuala Lumpuryang merupakan pengurup wang terendah pada 13 Februari 2017, setelah meninjau kadar tukaran di situ dan juga di sekitar Jalan Masjid India. Kadar pembelian Dong Vietnam pada masa itu adalah 1 juta  bersamaan RM196.00. 

Pada 14 Februari 2017 juga, saya telah menghantar e-mel makluman kehadiran kami di Vietnam kepada pihak Kedutaan Malaysia di Hanoi. Pendaftaran melalui e-Konsular juga dilakukan pada masa yang sama. Ini penting, agar pihak kedutaan ambil maklum kehadiran kami di Vietnam. Ini bagi memudahkan mereka melakukan tugas mereka, disamping dapat memudahkan urusan kita jika berlaku apa-apa yang tidak diingini. Kita kena bersedia mengjangkakan perkara yang tidak terjangka. Dengan makluman kehadiran kami ke kedutaan, mereka sekurang-kurangnya akan membantu mana yang boleh. Barulah betul adat dan tatasusila orang Malaysia.

Emel makluman kami di Vietnam yang dihantar ke Kedutaan Malaysia di Hanoi.


Saya telah mendaftar masuk bagi semua kami yang akan pergi, melalui penggunaan aplikasi telefon pintar AirAsia pada 18 Februari 2017 dan kemudian menyimpan salinan lembut pas pelepasan dengan kaedah fungsi cetakan semula di dalam modul daftar masuk di dalam web AirAsia, untuk saya cetak semula pada hari Isnin di pejabat saya. Alhamdulillah, tempat duduk kami semua sebaris dan sebelah menyebelah bagi penerbangan pergi dan balik.

Rasanya, sudah hampir lengkap juga persediaan saya untuk perjalanan ke Hanoi dan Ha Long, Vietnam ini. Semoga perjalanan saya dan sahabat-sahabat sekembara saya ini akan berjalan lancar, dimudahkan urusan dan tiada kejadian yang tidak diingini terjadi. Semoga perjalanan saya ke ibu negara ASEAN kedua terakhir (cuma tinggal Naypyidaw, Myanmar sahaja), New 7Wonders of Nature kedua dan keenam bagi kesemua 21 buah tempat New 7Wonders ini dapat berjalan dengan terbaik, insya Allah.

Bersambung ke Hari 1.

Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 

  • PreJourney (this part);
  • Itinerary;
  • Day 1;
  • Day 2;
  • Day 3;
  • Day 4;
  • Travel Guide - Hanoi; or
  • Travel Guide - Ha Long.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan