Selasa, 17 Januari 2017

Panduan Kembara Tehran (Tehran & Isfahan, Iran - 05 hingga 09 Januari 2017).

Jika mahu lihat: 





If want to read in English: 
  • PreJourney; 
  • Itinerary;
  • Travel Guide Tehran (this part); 
  • Travel Guide Isfahan; 
  • Day 1;
  • Day 2 Part 1;
  • Day 2 Part 2;
  • Day 3;
  • Day 4 Part 1; or
  • Day 4 Part 2 & Day 5.

Menara Azadi, Tehran.


Tehran, Iran, merupakan ibu negara bagi Iran ini. Mempunyai penduduk kira-kira hampir 9 juta orang di dalam keluasan 730 km2 bandaraya ini dan 15 juta jika termasuk kawasan pinggir bandaraya. Terletak di sebelah utara, walaupun dekat dengan lautan Caspian, namun dipisahkan dengan Banjaran Alborz.


 
Peta: Bandaraya Tehran, Iran.



WAKTU
Waktu di Iran adalah UTC +3.5 iaitu empat setengah jam lebih lewat dari waktu Malaysia (UTC +8). Contohnya jika di Malaysia pukul 12:00 tengahari, di Tehran pula pukul 7:30 pagi.


MATAWANG

Iran menggunakan matawang Rial Iran (IRR) dengan singkatan ﷼ apabila digunakan di Iran. Namun penduduk tempatan Iran lebih banyak memaparkan harga dalam toman (تومان), kadarnya adalah 10 rial = 1 toman. Jadi sila tanya, harga yang dipaparkan atau dinyatakan dalam rial atau toman. Kadar pertukaran semasa boleh dilihat di sini.

Dominasi yang Rial Iran adalah:

Syiling (jarang diperolehi): 1000 (warna emas), 2000 & 5000 (warna perak);


1000 rial = +-RM0.13

2000 rial (syiling) = +-RM0.25

5000 rial (syiling) = +-RM0.63

Nota kertas: 2000 (merah jambu - jarang diperolehi), 5000 (coklat), 10 000 (hijau muda), 20 000 (biru), 50 000 (kuning), 100 000 (hijau tua) & 500 000 (cek Bank Pusat Iran - ungu).



 2000 rial = +-RM0.25




5000 rial (kertas) = +-RM0.63

10 000 rial = +-RM1.25




20 000 rial = +-RM2.50

 50 000 rial = +-RM6.25

100 000 rial = +-RM12.50


500 000 rial = +-RM62.50


VISA

Pemegang pasport Malaysia yang ingin ke Iran atas tujuan melancong, dikecualikan visa (visa-free) sehingga 15 hari, jadi jika lawatan dalam tempoh itu, tidak perlu mohon visa. Jika ingin membuat lawatan lebih dari masa itu, perlu memohon visa sama ada di Kedutaan Iran atau di Jabatan Imigresen Iran semasa di dalam Iran. Pemegang pasport negara lain atau ingin memohon visa lain boleh rujuk laman web Kementerian Luar Negara Iran (juga boleh rujuk artikel Wikipedia). 

Paling penting, pastikan pasport anda tiada sebarang bukti kemasukan ke Israel, kerana jika ada, anda tidak boleh masuk langsung ke Iran! Bukti kemasukan ke Amerika Syarikat atau mempunyai visa Amerika Syarikat mungkin akan membuatkan proses masuk ke Iran lebih sukar, namun biasanya akan diberikan kebenaran masuk.

Semasa di pintu sempadan terutama yang bukan pintu sempadan utama, kemungkinan pegawai imigresen Iran tidak mengetahui tentang pemegang pasport Malaysia diberikan pengecualian visa. Oleh itu, dapatkan maklumat dan cetak maklumat berkaitan, jika boleh di dalam Bahasa Farsi juga Bahasa Inggeris, sebagai langkah persediaan. Biasanya rakyat Malaysia akan diberikan kebenaran masuk, namun jika tidak dapat membuktikan pengecualian visa, akan diberikan Visa on Arrival dengan bayaran.

INGATAN, selepas anda memasuki Iran, sebolehnya anda jangan cuba memohon visa Amerika Syarikat atau cuba memasuki negara tersebut dengan menggunakan pasport yang sama yang mempunyai cop pasport negara Iran. Kemungkinan besar anda tidak dibenarkan masuk dan data anda akan dimasukan ke dalam pangkalan data imigresen mereka, seterusnya anda tidak boleh masuk ke negara Uncle Sam itu selama-lamanya. Jadi, tunggu sehingga anda menggunakan pasport baru yang tiada bukti kemasukan ke Iran, barulah memohon visa untuk memasuki Amerika Syarikat.


KETIBAAN


Udara
Penerbangan antarabangsa ke atau dari Tehran adalah di Lapangan Terbang Antarabangsa Imam Khomeini (IKA) yang terletak di kawasan Robat Karim, kira-kira 50 kilometer dari pusat bandar Tehran (Bazaar Besar Tehran (Grand Bazaar Tehran) (Farsi: بازار بزرگ تهران)). Penerbangan AirAsiaX, Iran Air dan Mahan Air mempunyai penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke IKA ini.

Penerbangan domestik pula, beroperasi di Lapangan Terbang Mehrabad (THR) (Farsi: فرودگاه مهر آباد), kira-kira 10 kilometer dari Bazaar Besar Tehran. Namun terdapat beberapa destinasi antarabangsa serantau menggunakan lapangan terbang ini juga.

Pengangkutan ke bandar:
  1. Buat masa ini, pengangkutan di antara kedua-dua lapangan terbang ini yang jaraknya kira-kira 55 kilometer adalah dengan menggunakan teksi, kira-kira sejam perjalanan jika tiada kesesakan. Kadar adalah tetap untuk ke sekitar bandaraya Tehran, untuk teksi biasa 700,000 rial (70,000 toman; +- RM82.35) dan van teksi 800,000 rial (80,000 rial; +- RM94.12).
  2. Namun tidak lama lagi, Laluan 1 (Merah) Metro Tehran akan melanjutkan operasi ke IKA, maka kedua-dua lapangan terbang boleh dihubungkan dengan Metro Tehran yang mana Laluan 4 (Kuning) telah beroperasi ke THR (terdapat dua stesen Metro iaitu Stesen Mehrabad Airport Terminal 1 & 2 dan Stesen Mehrabad Airport Terminal 4 & 6) namun perlu transit di tengah bandar (cadangan transit di Stesen Darvazeh Dowlat (Farsi: ایستگاه مترو دروازه دولت), hanya 1 transit sahaja). Perlu diingatkan, keadaan di dalam tren Metro Tehran apabila menghampiri kawasan pusat bandaraya juga di stesen transit amatlah sesak. 

  3. Bagi perjalanan pulang ke IKA, selain menawar harga dengan pemandu teksi di Tehran (biasanya boleh dapat dari 500,000 rial (50,000 toman; +- RM58.82), boleh mengambil Metro Tehran Laluan 1 ke Stesen Haram-e Motahhar (stesen berhampiran Makam Imam Khomeini) dengan tambang 7000 rial (700 toman; +- RM0.82), dan dapatkan bas tempatan ke pekan Robat Karim dengen tiket 50,000 rial (5000 toman; +- RM5.88) tapi agak sukar mengetahui kewujudannya. Alternatif, boleh dapatkan teksi dengan harga dari 300,000 rial (30,000 toman; +-RM35.29). Bas ini biasanya dari Robat Karim tidak singgah di IKA kerana biasanya penuh.

Keretapi

Tehran terdapat sebuah stesen keretapi di selatan bandaraya ini yang merupakan stesen utama yang mengendalikan keretapi dari seluruh Iran dan dari Turki (Ankara dan Van). Untuk maklumat lanjut tentan keretapi Iran, boleh layari laman web Raja Rail Transportation. Stesen Metro Rahahan (Farsi: ایستگاه مترو راه آهن) (Laluan 3 (Biru Tua)) adalah stesen terdekat dengan Stesen Keretapi Tehran. Stesen keretapi ini juga terletak 2.5 kilometer sahaja dari stesen Bas Terminal-e Junoob.

Bas

Terdapat tiga stesen bas yang masing-masing mengendalikan ke destinasi yang berlainan:
  1. Terminal-e-Gharb (Terminal Barat (Farsi: ترمینال غرب)) - mengendalikan bas dari barat Iran, seperti Tabriz, juga dari destinasi antarabangsa seperti Turki, Azerbaijan dan Armenia. Terletak berhampiran dengan Dataran Azadi dan boleh dicapai dengan bas dan metro (Stesen Meydan-e Azadi (Farsi: ایستگاه مترو میدان آزادی) (Laluan 4 (Kuning) dan Stesen Sadeghieh (Farsi: ایستگاه مترو صادقیه) (Laluan 2 (Biru));
  2. Terminal-e Junoob (Terminal Selatan (Farsi: ترمینال جنوب)) - mengendalikan bas dari selatan Iran, seperti Isfahan, Shiraz dan Bandar Abbas. Terdapat stesen metro dengan nama yang sama (Laluan 1 (Merah));
  3. Terminal-e Shargh (Farsi: ترمینال شرق) - juga dikenali Tehranpars (Farsi: تهرانپارس), mengendalikan bas dari timur Iran, seperti Mashhad. Stesen metro terdekat iaitu Tehranpars (Laluan 2 (Biru)) agak jauh juga, kira-kira 1.5 kilometer.

TELEKOMUNIKASI
Terdapat tiga penyedia perkhidmatan telefon mudah alih di Iran iaitu:
  1. Hamrah-e-Aval = 'operator pertama' atau MCI (2G, 3G, 4G)
  2. Irancell (2G, 3G, 4G)
  3. RighTel (3G, 4G)
Namun hanya Irancell yang mesra pengunjung luar termasuk mempunyai laman web berBahasa Inggeris, yang lain laman webnya hanya ada dalam Bahasa Farsi sahaja.

Terdapat kaunter khas Irancell di kedua-dua Balai Ketibaan A dan B di IKA. Ada satu lagi kaunter yang menjual semua kad SIM. Di sebelah Balai Ketibaan A nampaknya dibuka sentiasa.

Kad SIM Prabayar
Untuk kembara, saya tidak membeli kad sim kerana saya ingin membelinya di dalam bandar, lebih tepat cawangan Irancell/MTN yang sebenar, namun agak sukar menjumpainya. Jadi saya kongsikan pengalaman rakan sepengembara yang membelinya.

Ia boleh dibeli di kaunter sebelah Balai Ketibaan A IKA. Harga bagi pakej 2GB data dan panggilan/sms adalah US$15 (555,000 rial atau +- RM65.29) dan 5GB data dan panggilan/sms adalah US$25.00 (950,000 rial atau +- RM111.76).

Kad SIM tidak diaktifkan segera, perlu menunggu sehingga waktu pejabat (Isnin hingga Ahad) kira-kira pukul 9:00 pagi, barulah kad SIM diaktifkan.

Kadar kelajuan agak baik, jika di kawasan Bazaar Besar Tehran dan Dataran Naqsh-e Jahan Isfahan, ia mencapai capaian 4G. Kawasan liputan Irancell juga agak menyeluruh.


Kad Sim Irancell.


Internet
Bagi melayari atau menggunakan aplikasi seperti Facebook, Instragram, Twitter atau beberapa aplikasi Google atau juga beberapa aplikasi lain terutamanya aplikasi media sosial dengan menggunakan penyedia perkhidmatan internet atau perkhidmatan data daripada syarikat telekomunikasi di Iran, memerlukan kita untuk memasang aplikasi VPN (Rangkaian Peribadi Maya - Virtual Private Network). Jadi muat turun aplikasi tersebut terlebih dahulu bagi membolehkan kita menggunakan aplikasi yang kita ingini tanpa sekatan.


PENGANGKUTAN BANDAR

Metro
Sistem Metro Tehran terdiri daripada lima laluan yang akan membawa anda dengan cepat tanpa perlu berurusan dengan bunyi, pencemaran dan huru-hara lalu lintas Tehran. Walau bagaimanapun, ramai penduduk mengambil keputusan untuk meninggalkan kereta dan menggunakan metro, jadi keadaan menjadi teramat sesak pada waktu puncak.

Terdapat lima laluan Laluan 1 (Merah), Laluan 2 (Biru), Laluan 3 (Biru Tua), Laluan 4 (Kuning) dan Laluan 5 (Hijau). Semua stesen mempunyai papan tanda dalam bahasa Farsi dan bahasa Inggeris. Kereta api bergerak setiap 10 minit atau kurang pada waktu puncak (15 minit pada hari Jumaat dan cuti) dari seluruh 05:30 pagi ke 11:00 malam setiap hari. 

Tambang sehala (termasuk transit/pertukaran laluan) adalah rial 7000 (+- RM0.82) manakala tambang tiket pergi balik pula 11, 000 rial (+- RM1.29). Terdapat kaunter tiket di setiap stesen. Anda juga boleh membeli kad tambang sesentuh yang merupakan pilihan yang terbaik jika anda akan menggunakan metro dengan kerap, atau hanya mahu memudahkan dengan membayar 20,000 rial (+- RM2.35) menggunakannya di metro, BRT atau kebanyakan bas bandar, jika menggunakan kad ini, anda biasanya membayar kurang daripada jenis tiket yang lain, kerana tambang dikenakan bagi perjalanan terjauh bagi satu-satu perjalanan. Terdapat gerabak khas wanita sahaja di kedua-dua hujung tren.


Peta Metro Tehran.

Bas
Tehran mempunyai rangkaian bas yang luas tetapi mengelirukan. Sebahagian bas hanya menerima kad sesentuh prabayar (min Rial 20,000 (+-RM2.35), yang boleh dibeli dari gerai sebelah perhentian bas atau stesen metro digunakan apabila anda turun dari bas, dan sebahagian perlu dibayar secara tunai (antara Rial 3,500-6,000 (+- RM0.41-0.71)). Perhatikan bahawa bas yang dibahagikan dalam dua bahagian, untuk lelaki sahaja (bahagian hadapan) dan wanita sahaja (bahagian belakang).

Memandangkan nombor bas, penerangan laluan dan maklumat lain adalah dalam bahasa Parsi, kaedah terbaik adalah untuk dilihat seperti terkeliru di perhentian bas, orang tempatan biasanya akan membantu. Setiap baris bas mempunyai laluan yang tertentu dan hampir invariable tetapi hanya orang tahu yang stesen bas wujud bagi sesuatu jalan tertentu. Walaupun bertanya kepada pemandu bas itu, ia tidak berapa membantu. Sebaiknya bertanya orang lain dan anda akan mendapati ramai orang ingin membantu anda, pada kebanyakan masa.

BRT (Bus Rapid Transit)
Bas-bas BRT Tehran yang berwarna merah, mempunyai laluan khas dan bergerak dengan cepat dari Dataran Azadi (barat Tehran) terus ke Terminal-e-Shargh (timur Tehran). Stesen Keretapi Tehran (selatan Tehran) ke Tajrish (utara Tehran) dan banyak lagi laluan (maaf tidak dapat menyelidiki lebih lanjut). Kos antara Rial 1,000-3,000 (+- RM0.12-0.35). Dalam masa luncak (07:00-9:00 pagi & 4:00-8:00 petang/malam) ia adalah mod pengangkutan terbaik. BRT mempunyai banyak perhentian berhampiran jalan-jalan utama. Perhatikan bahawa bas yang dibahagikan dalam dua bahagian, untuk lelaki sahaja (bahagian belakang) dan wanita sahaja (bahagian hadapan). Tambang dibayar di stesen, dengan menggunakan kad sesentuh prabayar (dikongsi dengan metro & bas), atau membayar kepada petugas.

Teksi
Selain itu, perkhidmatan teksi terdapat di Tehran.


PENGINAPAN

Tempahan secara dalam talian menggunakan penyedia perkhidmatan tempahan hotel seperti Agoda, Booking.com, Hotels.com juga enjin pencari hotel seperti Trivago dan Hotels Combined agak sukar. Kebanyakannya tiada langsung senarai hotel boleh ditempah atau jika ada pun hanya memaparkan senarai yang sikit (kurang dari 5 buah hotel) yang mana harganya agak mahal RM600++ ke atas. Ini mungkin kerana sekatan ekonomi oleh Amerika Syarikat dan sekutunya yang menyebabkan pembayaran secara bukan tunai seperti kad kredit, kad debit dan sebagainya agak mustahil.

Namun jika kita mencari dengan menaip "Iran Hotels Booking", insya Allah, kita akan dapat capaian ke laman web penyedia tempahan hotel dalam talian Iran, dan kita boleh tempah di situ. Biasanya pembayaran adalah di hotel, namun ada juga (agak jarang) yang menerima pembayaran bukan tunai seperti kad kredit, pindahan telegraf dan sebagainya.

Kita juga boleh mencari secara konvesional, iaitu bertanyakan penduduk setempat. Saya kongsikan pengalaman saya untuk penginapan di Iran.

Di Tehran, bagi saya kawasan pusat bandar adalah di Bazaar Besar Tehran (Grand Bazaar (Farsi: بازار بزرگ تهران)). Dengan jarak berjalan kaki yang tidak berapa jauh dari Bazaar Besar dan juga berdekatan juga dengan Stesen Metro Panzdeh-e Khordad (Farsi: ایستگاه مترو پانزده خرداد) atau Stesen Metro Imam Khomeini (Farsi: ایستگاه متروی امام خمینی) juga dekat dengan Dataran Imam Khomeini (Farsi: میدان امام خمینی), kawasan Jalan Saadi Selatan (Farsi:  خیابان سعدی جنوبی), mempunyai banyak hotel yang dekat dengan kawasan tarikan utama di Tehran dan juga berdekatan dengan pengangkutan awam.

Hotel Shahriyar 
Stesen Metro Imam Khomeini (Laluan 1 (Merah) atau Laluan 2(Biru)), 650m (10 minit berjalan kaki).


Hotel penginapan kami di Tehran, Hotel Shahriyar.

Peta: Hotel Shahriyar, Jalan Saadi Selatan, Tehran.


BEKALAN ELEKTRIK
Soket plug elektrik digunakan di Iran adalah dari soket jenis C dan jenis F. Bekalan elektrik pula menggunakan voltage 230V 50Hz.


Soket plug di Iran.



TEMPAT MENARIK / LAWATAN

Bazaar Besar Tehran (Grand Bazaar - (Farsi: بازار بزرگ تهران))
Pasar bersejarah. Terletak di selatan Tehran, terdapat banyak koridor yang lebih daripada 10 km persegi.
Stesen Metro Panzdah-e Khordad (Farsi: پانزده خرداد ایستگاه مترو(Laluan 1 (Merah)).


Menara Azadi (Farsi: برج آزادی)
Ia telah dibina untuk memperingati ulang tahun ke-2500 empayar Parsi, menggabungkan unsur-unsur Sassanid dan seni bina Islam. Pintu masuk ke Muzium Azadi berada langsung di aras bawah tanah menara. Kemasukan bagi orang asing: 150,000 rial (+- RM17.65).
Stesen Metro Meydan-e Azadi (Farsi: اایستگاه مترو میدان آزادی) (Laluan 4 (Kuning)).


Istana Golestan (Farsi: کاخ گلستان)
Monumen bersejarah tertua di Tehran. Kompleks ini terdiri daripada 17 istana, muzium, dan Halls. Citadel Golestan (Taman Mawar) adalah salah satu tempat terutamanya dikunjungi di Tehran, iaitu tempat kediaman diraja Qajars 'dan taman adalah sebuah tempat yang aman dan damai di tengah-tengah bandar. Masuk ke pelbagai dewan dan muzium dikenakan bayaran berasingan. Kos rial 940,000 (+- RM110.49) jika anda ingin melihat kesemuanya. Tidak jauh dari Bazaar Besar.

Stesen Metro Panzdah-e Khordad (Laluan 1 (Merah)).

Terdapat banyak lagi tempat boleh dilawati di Tehran, boleh layari Wikitravel untuk maklumat lanjut.



MAKAN / MINUM
Makan dan minum di Iran agak mudah kerana sebagai negara Islam (walaupun majoriti bermahzab Syiah), makanan halal amat mudah diperolehi. (Ingat walaupun Syiah, mereka dari segi fiqh masih Islam dan sembelihan mereka halal di makan, kerana syarat pertama penyembelihan adalah menyebut nama Allah tidak kira mereka Islam (Sunni atau Syiah), Yahudi mahupun Nasrani.).

Biasanya makanan yang utama adalah shish kebab (daging (ayam, lembu atau kambing) yang dilekatkan pada besi seperti pedang dan dipanggang atas bara api) yang dihidangkan dengan roti nan atau kami panggil roti tuala dan juga pelbagai ulam-ulaman dan sayur-sayuran dipanggang serta kobis jeruk dan lemon. Itulah makan malam kami untuk dua malam. Perlu diingat, makanan di timur tengah ini tiada berkuah (cuma orang Melayu Malaysia sahaja yang makan berkuah, sepanjang perjalanan saya ke serata tempat), jadi kita kena biasakan atau mencari alternatif untuk berkuah (saya sudah biasa namun ada kawan-kawan sepengembara yang tidak biasa).


Shish kebab kambing, roti dan makanan sampingan.

Ulam-ulaman untuk dimakan bersama shish kebab.

Kami makan malam shish kebab di sebuah restoran berdekatan dengan Jambatan Si-O-Seh Pol dengan cuaca di bawah paras beku dan angin kuat (kehangatan restoran melegakan kami).


Restoran tempat kami makan malam.

Kad perniagaan restoran di Isfahan.



BELI-BELAH
Walaupun dengan kejatuhan nilai Ringgit Malaysia, namun di Iran, dengan RM125.00, orang Malaysia sudah jadi jutawan! 1,000,000 rial = RM125.00.


Kebanyakan cenderahati pelancong di Iran ini dari jenis mewah tetapi murah, seperti permaidani, barang-barang tembaga dan sebagainya. Ia agak besar bagi pengembara marhaen seperti saya. Cenderahati moden seperti rantai kunci, magnet peti ais dan sebagainya masih baru lagi dan sukar diperolehi. Jika jumpa pun, harga agak mahal.

Sekitar Dataran Naqsh-e Jahan.
Di sebelah pintu dari Jalan Sepah, akan terjumpa beberapa buah kedai cenderahati, betul-betul sebelum memasuki dataran. Jika boleh beli sahaja rantai kunci atau magnet peti ais di sini yang dijual antara 50,000 ke 100,000 (+- RM 5.88-11.76)!

Saya sarankan jika berminat dengan permaidani, belilah di kedai-kedai sekitar Bazaar Isfahn yang mengelilingi dataran ini. Ada dijual juga permaidani yang berusia beratusan tahun.


PATUT TAHU
Setiap bilik di hotel, di surau atau di masjid akan terjumpa sebiji batu yang biasanya bersama sejadah. Batu ini adalah Batu Karbala, yang digunakan oleh penganut Mahzab Syiah untuk menjadi alas dahi semasa sujud di dalam solat. Sebagai penganut Mahzab Sunnah Wal Jemaah (Sunni), kita tidak memerlukan batu ini, letakkan ke tepi sahaja batu ini. Jangan buang pula kerana nanti orang Syiah tidak boleh beribadat pula.


Batu Karbala yang digunakan oleh penganut Mahzab Syiah untuk sujud semasa solat.

Orang Farsi atau orang Iran ini merupakan orang yang peramah dan cintakan kedamaian. Ini jelas dilihat mereka lebih maju dari pelbagai bidang terutama dari segi ketamadunan berbanding dengan orang Arab. Orang Iran bukanlah orang Arab malah bahasanya juga berbeza walaupun banyak perkataan yang sama juga menggunakan sistem tulisan yang sama (cuma terdapat penambahan huruf di dalam Bahasa Farsi). Mereka juga jarang berperang terutama perang saudara berbanding orang Arab. Jadi mereka ini bukanlah orang yang eksrimis seperti yang disangka. Mungkin benar ada orang Syiah yang berkata darah orang Sunni halal tetapi saya percaya ia dikatakan oleh orang Syiah ekstrim daripada orang Arab atau Hindi (Pakistan). Orang Iran ini amat suka menolong walaupun tidak diminta malah sehingga mengajak datang ke rumah atau juga sekadar minum teh di kedai mereka. Wanita yang datang ke Iran ini amat selamat cuma perlu mengikut kod etika berpakaian dan kehidupan di Iran seperti memakai pakaian menutup aurat, memakai cadur (pakaian tutup litup) di masjid dan berada di kawasan dikhaskan untuk wanita di dalam pengangkutan awam. Iran amat selamat.

Pada musim sejuk, walaupun tiada salji seperti ketika kami ke sana (katanya salji turun sekitar dalam bulan Disember 2016, sebulan sebelum kami hadir), namun cuaca terutama waktu malam agak sejuk. Pernah di Isfahan, pada malam, cuaca mencapai -5oC (negatif 5 bawah paras beku)! Jadi persiapkan diri dengan pakaian sejuk terutama long john yang amat membantu. Baju panas disarankan dari jenis kulit. Pakailah beberapa lapis pun, yang penting dapat kurangkan kesejukan.



PETUA
Walaupun orang Iran ini jenis amat mudah menolong orang, namun sebenarnya mereka agak keras juga peribadi mereka. Ini mungkin kerana persekitaran kehidupan mereka yang tinggal di padang pasir yang tandus. Jadi kita perlu bertegas dan nampak tegas dan keras di dalam segala perkara yang dibuat terutama dalam tawar menawar dan berurusan dengan pihak berkaitan. Ada antara mereka mengetahui sifat orang Malaysia yang lemah lembut dan mengambil  kesempatan ke atas kita. Jadi kita perlu bertegas dalam hal ini. Contohnya, semasa tiba (sudahlah penerbangan 8 jam lebih (menaiki kelas ekonomi AirAsiaX pula tu), sampai waktu lewat malam pula tu, pegawai imigresen menyuruh kita untuk membuat visa, sedangkan pemegang pasport Malaysia tidak perlu visa untuk lawatan kurang 15 hari. Kita perlu bertegas dan jika boleh beri bukti (cetakan internet dan sebagainya). Juga semasa bersesak di Metro, kita kena tetap bertegas dan jangan lembut hati untuk memberikan ruang kita kepada orang lain.

Sebolehnya, kita jangan berbicara tentang berbezaan politik dan juga mahzab. Kebanyakan orang Iran memang tidak suka berbicara namun terdapat beberapa orang yang suka memprovokasi. Jadi apa yang diutarakan kita iakan sahaja. Juga kita pun sama, jangan sesekali mengutuk atau memperlekehkan secara berdepan pendapat kita yang berbeza. Simpan sahaja di hati, sebaik-baik dan sedamai-damai orang Iran, jika kita sentuh titik didih mereka, meletup juga. Jadi hormati kepercayaan dan kebudayaan orang tempatan. Baik kata orang, di mana bumi dipijak, disitu langit dijunjung; ibarat menarik benang dalam tepung, benang tidak putus, tepung tidak berselerak.


KESIMPULAN
Iran tidaklah seteruk yang dikatakan orang. Malah bagi saya ia terbalik 360o! Orang Iran memang baik hati dan sudi menolong orang di dalam kesusahan.

Tempat tarikan perlancongan utama juga agak cantik dan dijaga. Memang jika kita ke sana, umpama kita berada di pusat peradapan dunia.

Di kawasan bandar di Iran, persekitaran amat bersih. Jarang kita berjumpa dengan sampah sarap yang bersepah di jalanan. Malah aliran air sungai/anak sungai amat bersih, sehingga terasa hendak terjun mandi! Tong sampah pun susah hendak jumpa. Namun di sekitar lebuhraya/jalan raya terdapat juga sampah sarap bersepah, mungkin kerana kurang penyelengaraan.

Paling penting, Iran amat selamat untuk dikunjungi. Tiada perang besar yang berlaku, kali terakhir pun berakhir kira-kira 29 tahun lalu itupun dengan jirannya Iraq. Perang saudara atau pergaduhan tidak didengari, saya pun hairan kenapa kebanyakan syarikat insurans dan takaful tidak memberi perlindungan bagi perjalanan ke Iran. Mungkin kerana sekatan ekonomi oleh Amerika Syarikat dan sekutu agaknya.

Saya kagum dengan kegigihan rakyat Iran mengharungi hidup walaupun dalam keadaan ekonomi yang mencengkam.

Datanglah ke Iran, banyak perkara yang diselubungi dari pengetahuan umum akan diketahui. Kebenaran akan tersingkap, insya Allah.


Saya dan Menara Azadi.


Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan...

Jika mahu lihat: 




If want to read in English: 
  • PreJourney; 
  • Itinerary;
  • Travel Guide Tehran (this part); 
  • Travel Guide Isfahan; 
  • Day 1;
  • Day 2 Part 1;
  • Day 2 Part 2;
  • Day 3;
  • Day 4 Part 1; or
  • Day 4 Part 2 & Day 5.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan