Selasa, 24 Januari 2017

Hari 2 Bahagian 2 (Tehran & Isfahan, Iran - 05 hingga 09 Januari 2017) - اصفهان، نصف جهان (Isfahan, Nisf-e Jahan - Isfahan, Separuh Dunia).

If want to read in English: 
  • PreJourney; 
  • Itinerary;
  • Travel Guide Tehran; 
  • Travel Guide Isfahan; 
  • Day 1;
  • Day 2 Part 1;
  • Day 2 Part 2 (this part);
  • Day 3;
  • Day 4 Part 1; or
  • Day 4 Part 2 & Day 5.


Saya bersama lambang kota Isfahan di Jalan Sepah, Isfahan.

Petunjuk: Waktu di Iran adalah UTC +3.5 iaitu empat setengah jam lebih lewat dari waktu Malaysia (UTC +8). Contohnya jika di Malaysia pukul 12:00 tengahari, di Tehran pula pukul 7:30 pagi.


Hari 2 (06 Januari 2017 - Jumaat) Bahagian 2.

Saya dan Najib di lobi Hotel Kaveh ini dalam 15 minit juga. Risau juga, takut mereka tertidur pula. Kalau tidak selesaikan lawatan pada petang atau malam ini, maka esok kami akan bergerak lambat dari Isfahan menuju ke Tehran. Hendak tidak hendak kena selesaikan juga. Akhirnya semua mereka berada juga di lobi hotel pada pukul 4:30 petang. Huh, langit pun sudah menunjukan senja akan datang melabuhkan tirainya.

Lalu kami terus berjalan menuju ke hujung sebelah selatan terminal bas dengan berada di dalam terminal bas. Di luar, sudah terasa kesejukannya. Sampai di hujung, kami keluar dan menuju ke perhentian bas yang terletak tidak jauh dari pintu masuk paling selatan itu. Apabila sampai di perhentian bas tersebut, saya cuba bertanyakan pengangkutan termudah untuk ke Dataran  Naqsh-e Jahan (Farsi: میدان نقش جهان) juga dikenali sebagai Meydan Imam (Farsi: میدان امام) atau Meydan Shah (Farsi: میدان شاه) pada petugas bas yang berada di dalam pondok khas. Nasib baik petugas tersebut boleh berbahasa Inggeris.

Terus dimaklumkan kepada saya yang kami perlu mengambil bas bernombor 91 untuk ke persimpangan berdepan dengan Majlis Perbandaran Isfahan (Isfahan Municipality (Farsi: شهرداری اصفهان)), kemudian dia juga memaklumkan untuk kami berjalan sedikit untuk sampai ke Dataran Naqsh-e Jahan itu. Sempat juga saya bertanya, apa yang dibuatnya. Dia menyatakan bahawa dia merupakan petugas daripada Syarikat Pengangkutan Awam Isfahan yang mengawal selia bas-bas awam di Isfahan ini, di mana dia juga menjual dan menambah nilai kad EScard, yang merupakan kad prabayar bagi menggunakan bas di Isfahan. Namun untuk kami, dinyatakan tidak perlu beli kerana kami hanya menggunakan tidak kerap, dan kebanyakan bas masih menerima tunai. Jadi alhamdulillah, kami bertanya orang yang betul.

Bukan itu sahaja, dia juga membawa kami dan menolong kami mendapatkan bas yang betul dan memaklumkan pemandu bas tersebut untuk menurunkan kami di tempat yang sepatutnya. Kami mengucapkan terima kasih yang amat sangat atas bantuan yang diberikan.

Semasa kami menaiki, kami cuba menanyakan berapa tambang yang dikenakan kepada pemandu bas terbabut, namun dia tidak dapat memahami dan tidak boleh berbahasa Inggeris. Jadi kami mengambil keputusan untuk memberikan ia apabila sampai destinasi nanti.

Bas-bas di Isfahan, dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu di hadapan dikhaskan kepada lelaki dan di bahagian belakang dikhaskan kepada wanita. Di bahagian hadapan, bukannya wanita tidak boleh menaikinya, tetapi perlulah bersama suami atau mahram. Kami tidak mengetahuinya pada awalnya, jadi semua kami menaikinya di bahagian hadapan. Nasib bas kami ini tidak ramai orang, dan orang di Isfahan seperti memahaminya.

Sampai di destinasi, saya kembali ke pemandu dan memberikan wang 50,000 rial (+- RM 5.88), tapi tidak diterimanya. Dia menunjukan tujuh jari untuk membayarnya, awalnya saya mengingatkan 7,000 rial (+- RM 0.82) kerana saya masih keliru. Rupanya dia bermaksud 7,000 toman bersamaan 70,000 rial (+- RM 8.24), bermakna setiap orang tambangnya 10,000 rial (+- RM 1.18). (Setelah saya mencari maklumat, memang tambang bas di Isfahan adalah kadar rata 10,000 rial ke mana-mana destinasi bagi setiap perjalanan). Mulanya kami berikan 100,000 rial, namun ditolak. Rupanya tiada wang baki, betullah. Jadi kebetulan saya ada wang 20,000 rial dan abang Zul mempunyai wang 50,000 rial, maka cukuplah tambang kami.

Perhentian bas bandar di hadapan Terminal Bas Kaveh, Isfahan.

Pengimbas kad tambang (ESCard) bas bandar Isfahan.

Keadaan di dalam bas bandar Isfahan.

Seterusnya, berdasarkan aplikasi telefon bimbit Google Maps, saya mengikut arahnya, dan diikuti yang lain. Di kawasan ini, banyak juga bangunan besar-besar yang mempunyai seni bina menarik dan unik. Kami menyeberang dan sampai di hadapan bangunan Majlis Perbandaran Isfahan. Kami mengambil jalan di sebelah kiri iaitu Jalan Sepah untuk ke bahagian utara Dataran Naqsh-e Jahan. 

Saya pun berseloroh, popular juga kumpulan pelawak di Malaysia iaitu kumpulan Sepah (kini Sepahtu) yang di Isfahan mempunyai jalan yang mengambil mana mereka. Sebenarnya jalan ini mengambil nama sebuah tempat di Isfahan ini. Malah terdapat juga nama bank iaitu Bank Sepah di Isfahan ini.

Kami menyusuri Jalan Sepah dan kebetulan terjumpa dengan lambang kota Isfahan di jalan itu. Jadi memandangkan kami ini pelancong, sudah tentu logo ini menjadi sasaran kami untuk bergambar.

Salah sebuah bangunan di bandar Isfahan.


Papan tanda jalan Jalan Sepah di Isfahan.

Bunga-bunga yang tumbuh di jalanan bandar Isfahan di dalam musim sejuk.

Saya bersama lambang kota Isfahan di Jalan Sepah, Isfahan.

Kami berswafoto pada lambang tersebut.

Seterusnya kami meneruskan perjalanan, dan selepas melepasi bangunan Majlis Perbandaran Isfahan, di sebelah kanan, akan ternampak taman Istana Chehelsotoon (Farsi: کاخ چهلستون). Kami tidak memasukinya, cukup melihatnya dari luar. Memang besar juga taman ini.

Selepas itu, kita akan menjumpai pula Muzium Sejarah Alam Semulajadi Isfahan. Dengan senibina yang bercirikan Islam, di kawasan lapang di hadapan muzium ini terdapat pelbagai patung dinosour. Semasa kami di sana, muzium ini hendak tutup sebenarnya, tambahan pula memang antara niat kami untuk melawatnya.

Seberang sahaja jalan, kami semakin menghampiri Dataran Naqsh-e Jahan. Memang banyak kedai-kedai yang menjual pelbagai barangan, baik dari segi keperluan harian seperti bahan mentah, kacang-kacangan, buah-buahan kering, pakaian, malah terdapat juga kedai menjual cenderahati di sini. Dicadangkan, walaupun cenderahati di sini tidak pelbagai, namun sebaiknya kita boleh membeli magnet peti ais yang berimej mercutanda utama di Iran di sini. Harganya adalah dari 500,000 rial (+- RM 5.88) sekeping. Bagi peminat rantai kunci, agak sukar mendapatinya di sini. Saya sempat membeli sekeping magnet peti ais berimej Jambatan Si-O-Seh Pol. (Sepatutnya saya membeli juga magnet peti ais berimej mercutanda Tehran di sini). Kawasan ini termasuk di dalam Bazaar Mesgarha (Farsi: بازار مسگرها), yang merangkumi juga bazar yang berada di sekeliling Dataran Naqsh-e Jahan.

Muzium Sejarah Alam Semulajadi Isfahan.

Pintu masuk Muzium Alam Semulajadi Isfahan.

Antara kekacang dan buah-buahn kering yang dijual 
di pintu masuk ke Dataran Nasqh-e Jahan.

Kelapa dan kurma, antara snek di Isfahan.

Bazar Mesgarha di sekeliling Dataran Nasqh-e Jahan.


Peta: Perjalanan bas & jalan kaki dari Stesen Bas Kaveh, Isfahan ke Dataran Naqsh-e Jahan.


Sejurus seleas itu, kami pun sampai di kawasan Dataran Nasqh-e Jahan. Memang besar juga dataran ini. Malah dataran ini sebenarnya, dataran buatan manusia kedua terbesar di dunia selepas Dataran Tiananmen di Beijing, China. Dataran ini dibina di antara tahun 1598 dan 1629 oleh Shah (pemerintah) Parsi ketika itu, Shah Abbas. Isfahan merupakan ibu negeri bagi Empayar Parsi pada masa itu. Memang banyak bangunan di Isfahan agak cantik dibina pada zaman tersebut. Malah kerana kecantikan kota Isfahan ini sehingga ia digelar Nisf-e Jahan (Farsi:  نصف جهان), bermaksud separuh daripada dunia, yang bermaksud, hampir segala kecantikan di dunia ada di Isfahan.

Malah maksud Dataran Naqsh-e Jahan sendiri bermaksud bayangan atau imej dunia. Di sekeliling dataran ini terdapat stana Ali Kapu (Farsi: عالی‌ قاپو)Masjid Shah/Masjid Imam (Farsi: مسجد شاه/مسجد امام)Masjid Sheikh Lotfollah (Farsi: مسجد شیخ لطف الله) dan pintu Keisaria yang menuju ke Bazaar Besar (Grand Bazaar) Isfahan (di utara dataran ini, kini sudah tiada). Kiranya, pada zaman kegemilangannya, dataran ini merupakan kota di-Raja bagi empayar Parsi. Dataran ini dan bangunan-bangunan sekitarnya merupakan antara Tapak Warisan UNESCO.

Kami berjalan perlahan-lahan menikmati pelbagai bangunan yang cantik di sekeliling dataran ini. Sampaikan kami tidak sedar yang kami sudah berada di kawasan selatan dataran ini iaitu di pintu Masjid Shah. Semasa menikmati permandangan dataran ini, kami di sapa oleh seorang orang tempatan Iran. Beliau adalah Parsa, pemilik sebuah kedai permaidani di situ.

Banyak juga yang berbualkan, cuma dia mengatakan agak ramai orang Malaysia datang ke Isfahan sejak kebelakangan ini. Jadi dia memang banyak kenalan orang Malaysia cuma belum pernah ke Malaysia sahaja.  Sambil itu, sempat juga dia menceritakan latar belakang dataran ini. Rupanya ketika dahulu, dataran ini merupakan sebuah padang yang antara tujuan utamanya adalah untuk permainan polo. Istana Ali Kapu menjadi pentas utama yang menjadi golongan bangsawan dan diRaja untuk melihat permainan polo dan juga pelbagai majlis utama.

Juga dia memaklumkan bahawa pada masa dahulu Masjid Sheikh Lotfollah adalah khas untuk wanita, dan sebab itu masjid ini tiada menara. Ini kerana menara masjid adalah bertujuan untuk mengumandang azan, dan wanita tidak dibenarkan mengumandangkan azan. Masjid bagi orang lelaki adalah Masjid Shah. Pelbagai reka bentuk ciri-ciri yang ada di sekitar dataran ini juga mempunyai maksud tersirat. Diperhatikan walaupun banyak benda mempunyai pasangan, ia tidak akan mempunyai ciri yang sama. Akan ada salah satunya lebih pendek atau kurang cantik atau kurang perhiasannya. Sebagai contoh, dinding pintu masuk ke Masjid Imam, di sebelah kiri diperbuat dari terazo, di mana ia dihiasi batu-batu berwarna yang teliti pembuatanya. Manakala di sebelah kanan, ia dihiasi imej hampir sama, cuma ia dibuat secara jubin, kurang estetika sikit. Maksud ketidak samaan ini adalah, yang sempurna adalah Allah sahaja, jadi sebagai manusia akan ada kekurangan.

Selepas itu, Parsa mengajak kami untuk minum teh (yang tidak semua pergi kerana takut kena scam). Tapi saya berani menerimanya kerana memang dari wajahnya jelas keikhlasan dan dari bacaan, orang Iran ini tidak berapa hendak scam orang. Jadi saya, isteri saya dan Haji Kadir pun masuk ke dalam kedai dan minum air teh Iran. Memang sedap tehnya, kena pula ia dapat memanaskan badan yang diselubungi kesejukan udara Isfahan. Sambil itu dapat mengetahui permaidani yang dijual oleh Parsa. 

Memang lawa dan indah permaidani yang dijual. Malah ada permaidani yang dibuat beratus tahun. Permaidani-permaidaninya berkualiti tinggi dan halus buatan. Lebih baik dari permaidani yang biasa kita jumpa di Malaysia. Harga jualan permaidani memang bersesuaian dengan kualiti, dari 5,000,000 rial (+- RM 588.24) dan ke atas. Kalau saya ini bukan datang bawa beg galas, mahu juga saya ambil sehelai.

Setelah selesai minum, kami pun meminta diri daripada Parsa, dan berterima kasih atas layanan yang diberikan. Semasa itu, azan Maghrib berkumandang, cuma kami mengambil keputusan untuk tidak solat di masjid. Kami pun meninggalkan Dataran Naqsh-e Jahan untuk berjalan kaki ke Jambatan Si-O-Seh Pol. Saya pun menatap permandangan dataran ini yang memang cantik walaupun waktu malam, sepuasnya.

Panorama Dataran Nasqh-e Jahan.

Saya di Dataran Nasqh-e Jahan.

Pancuran air di Dataran Nasqh-e Jahan.

Istana Ali Kapu.

Saya dan isteri bergambar bersama di Dataran Nasqh-e Jahan..

Antara tumbuh-tumbuhan yang tumbuh di Dataran Nasqh-e Jahan.

Pintu masuk ke Masjid Shah.

Permandangan Dataran Nasqh-e Jahan dari pintu masuk Masjid Shah 
(perhatikan perbezaan batu sebelah kiri dan kanan).

Dinding terazo di sebelah kiri pintu masuk Masjid Shah.

Dinding jubin di sebelah kanan pintu masuk Masjid Shah.

 
Perbezaan antara tiang sebelah kiri dan kanan pintu masuk Masjid Shah.

Pintu masuk Masjid Shah (perhatikan perbezaan sebelah kanan dan kiri tiang).

Bazar berhampiran pintu masuk Masjid Shah.

Haji Kadir dan isteri saya di dalam sebuah kedai pemaidani.

Antara permaidani yang dijual.

Kad perniagaan kedai permaidani.

Seterusnya, kami berjalan dalam keadaan kesejukan udara Isfahan ke Jambatan Si-O-Seh Pol. Saya tidak terasa sangat, mungkin kerana saya memakai long john dan jaket kulit. Rakan-rakan lain yang tidak memakai long john dan hanya memakai baju panas biasa, agak terasa kesejukannya. Kami berjalan kira-kira hampir 2 kilometer. Oleh kerana agak jauh juga, di atas jambatan anak sungai yang airnya jernih ini (sudah tidak jauh sebenarnya ke destinasi kami itu), kami berhenti dan berehat. Setelah berehat seketika, kami pun mengambil keputusan untuk makan malam di restoran berhampiran. Baru saya sedar, kami tidak makan lagi secara bersama sejak sampai ke bumi Iran ini. Hairan juga, sepatutnya dalam cuaca sejuk ini patutnya cepat lapat, atau saya sahaja yang rasa belum lapar lagi, huhuhu.

Sebuah anak sungai semasa perjalanan 
dari Dataran Nasqh-e Jahan ke Jambatan Si-O-Seh Pol.

Peta: Perjalanan jalan kaki dari Dataran Naqsh-e Jahan ke Jambatan Si O Seh Pol.

Kami pun masuk ke dalam sebuah restoran yang agak hampir sebenarnya dengan Jambatan Si-O-Seh Pol ini. Pemilik restoran ini menyapa kami dengan baik, dan juga boleh berbahasa Inggeris juga walaupun tidak berapa lancar. Jadi kami memesan shish kebab di sini. Awalnya, Linda tidak mahu pesan kerana tidak berani makan. Saya pun kata, lepas ini kita tidak akan cuba mencari makanan lain di dalam cuaca sejuk ini, jadi makan sahaja apa yang ada. Jadi dia pun ikut makan, di mana semua mendapat makanan yang sama.

Selepas beberapa ketika, sampailah pesanan kami. Shish Kebab kambing (Linda yang katanya tidak makan kambing, makan juga, yang mana dia hanya tahu ia kambing pada hari keempat iaitu dua hari selepas itu, memang kambing di sana tidak berbau hamis, malah rasa seperti daging lembu) dihidangkan dan disertakan dengan hidangan sampingan berupa tomato dan cili hijau panggang, kobis jeruk yang diwarnakan merah dan sebakul ulam-ulaman yang untuk dimakan bersama shish kebab. Di sini memang tiada sebarang sos di makan bersama, jadi jika mahu kuah, diperahkan lemon. Namun bagi saya ia nekmat, kerana dapat rasa makanan cara Iran asli. Ulam-ulaman tu yang agak menyelerakan kerana terdapat banyak ulam yang tidak biasa dihidang di Malaysia, seperti daun selasih (saiz lebih besar dari di Malaysia), bawang besar, cili benggala, daun salad (jenis butterheadI & rommaine) dan yang tidak pernah saya rasa, radish merah. Memang sedap dan nikmat. Shish kebab kami disertakan dengan roti yang rupanya seperti tuala muka, sampai saya pesan jangan lap muka roti itu, huhuhu.

Sambil makan, kami minum air teh. Kami diberikan pelbagai jenis gula, dari gula biasa ke gula kiub dan juga pertama kami, gula yang terlekat pada batang lidi yang kelihatan seperti gula-gula. Kebab yang kami dapat pun sepasang, maka agak penuh juga lah perut kami. Selesai, saya pun membayar dengan mendahulukan duit rial daripada Haji Halig yang secara tidak rasmi menjadi jurubank kami. Jumlah makan malam kami adalah 1,130,000   rial (+- RM132.94), jadi harga untuk seorang 162,000 rial (+- RM19.06).

Restoran tempat kami makan malam.

Restoran tempat kami makan malam.

Shish kebab kambing, roti dan makanan sampingan.

Ulam-ulaman untuk dimakan bersama shish kebab.

Bergambar bersama selepas makan.

Kad perniagaan restoran di Isfahan.

Resit makan di Isfahan.


Seterusnya kami berjalan kaki sedikit ke Jambatan Si-O-Seh Pol. Di Isfahan ini terdapat banyak jambatan lama, dan jambatan ini antaranya. Selain itu terdapat juga Jambatan Khaju, cuma ia lebih jauh. Cukuplah satu jambatan sahaja buat kunjungan kali ini. Jambatan-jambatan ini merantangi Sungai Zayandeh, dibina pada zaman kegemilangan Empayar Parsi pada tahun 1602. Nama Si-O-Seh itu bermaksud tiga puluh tiga dan Pol adalah jambatan di dalam Bahasa Parsi. Selain itu ia juga dikenali sebagai Jambatan Allāhverdi Khan. 

Pencahayaan menampakan kecantikan jambatan ini pada waktu malam. Cuma malangnya, Sungai Zayadeh telah lama kering, kerana pembinaan empangan di hulu selain terdapat pengalihan aliran untuk tujuan pertanian, yang menyebabkan airan sungai kering sebelum tiba di bandar Isfahan ini. Ramai juga orang berkunjung di sini, dan kami berada kira-kira dua minit di sini.

Kami kemudian beransur dari situ untuk kembali ke penginapan. Namun kami perlu mengharung cuaca sejuk dan angin kuat kira-kira satu kilometer. Hendak buat macam mana, buat masa ini, kami perlu ke depan Sekolah Theologi Chahar Bagh (Farsi: مدرسه چهار باغ) untuk kembali ke penginapan.

Di dalam perjalanan, rupanya kami melalui papan tanda Jalan Kualalumpur. Nama ibu negara Malaysia ini diabadikan di sebatang jalan di Isfahan ini. DI Kuala Lumpur pun terdapat sebatang jalan dinamakan sempena bandar Isfahan ini iaitu Jalan Esfahan yang terletak di sebelah kompleks membeli-belah Sogo, berdekatan dengan Stesen LRT Bandaraya. Bangga pun ada juga.

Jadi setelah mengambil gambar, kami pun segera berjalan ke perhentian bas dan menunggu bas. Kami menunggu kira-kira lima belas minit untuk bas bernombor 91 untuk tiba. Sebelum naik bas, terdapat seorang wanita Iran bertanyakan yang kami hendak ke Kaveh kah (Dalam bahasa Inggeris)? Saya menjawab ya, dan dia memaklumkan boleh baik bas yang hendak sampai (iaitu bas 91) ke perhentian bas ini. Naik sahaja, kami membayar kepada pemandu 70,000 rial (+- RM 8.24), iaitu 10,000 rial (+- RM 1.18) bagi setiap orang. Saya memerhatikan aplikasi telefon bimbit Google Maps untuk mengetahui perhentian yang kami perlu turun. Hendak sampai sahaja, saya memaklumkan, dan wanita tadi, sebelum itu memaklumkan isteri saya dan Linda untuk turun di perhentian tersebut. Baik betul dan suka membantu orang Iran ini sebenarnya. Jadi kami pun turun dan kemudian menaiki jejantas untuk menyeberangi jalan bagi ke bangunan Terminal Bas Kaveh.

Jambatan Si-O-Seh Pol, Isfahan.

Saya dan papan tanda Jalan Kualalumpur, Isfahan.


Peta: Perjalanan jalan kaki dan bas dari Jambatan Si O Seh Pol melalui Jalan Kualalumpur dan ke Stesen Bas Kaveh.

Suhu malam di Isfahan.


Sampai sahaja di penginapan pada pukul 8:30 malam, kami pun membersihkan diri dengan lebih sempurna dan kemudian merehatkan diri setelah mengembara agak jauh pada hari ini. Setelah selesai solat, saya pun sempat berborak dengan Najib, dapat berkenalan lebih lanjut. Kemudian setelah agak lama, kami pun tidur walaupun jika ikutkan masih awal. Lega rasanya dapat tidur dalam kehangatan. Alhamdulillah. 

Lagipun di luar rupa-rupanya sejuk enam darjah Celsius di bawah paras beku, namun tiada salji.

Bersambung ke Hari 3.

Jika mahu lihat: 





If want to read in English: 
  • PreJourney; 
  • Itinerary;
  • Travel Guide Tehran; 
  • Travel Guide Isfahan; 
  • Day 1;
  • Day 2 Part 1;
  • Day 2 Part 2 (this part);
  • Day 3;
  • Day 4 Part 1; or
  • Day 4 Part 2 & Day 5.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan