Sabtu, 21 Januari 2017

Hari 1 (Tehran & Isfahan, Iran - 05 hingga 09 Januari 2017) - Tak Hairan Lah Pergi Tehran!.


If want to read in English: 
  • PreJourney; 
  • Itinerary;
  • Travel Guide Tehran; 
  • Travel Guide Isfahan; 
  • Day 1 (this part);
  • Day 2 Part 1;
  • Day 2 Part 2;
  • Day 3;
  • Day 4 Part 1; or
  • Day 4 Part 2 & Day 5.



Cop pasport masuk Iran.

Petunjuk: Waktu di Iran adalah UTC +3.5 iaitu empat setengah jam lebih lewat dari waktu Malaysia (UTC +8). Contohnya jika di Malaysia pukul 12:00 tengahari, di Tehran pula pukul 7:30 pagi.


Hari 1 (05 Januari 2017 - Khamis).

Hari ini saya bekerja separuh hari dengan meminta kebenaran untuk pulang awal ke rumah. Maklumlah, penerbangan pun pukul 7:10 petang, kalau balik waktu biasa pun tidak sempat untuk sampai klia2 pun.

Setelah selesai segala barang diisi di dalam beg galas-beg galas kami, maka pukul 2:45 petang, kami pun bertolak dari rumah untukke perhentian bas terdekat. Di sini, kami akan menaiki bas Len Seng (nombor 252) yang sudah lama kami tidak naik. Asalnya kami tidak kisah untuk menaiki bas Len Seng atau bas RapidKL (nombor 251), yang mana dahulu. Namun bas Len Seng juga dulu, itu pun setelah lebih setengah jam menunggu, kir-kira pada pukul 3:25 petang baru sampai. Tambang bas ke Chow Kit adalah RM1.90/orang! Sudah naik tambangnya. Nasib baik bas ini berhawa dingin, kalau dulu, biasanya bas Len Seng ini tiada berhawa dingin dan kalau ada pun rasanya lebih kepada berhawa angin!

Sampai di Chow Kit sekitar pukul 3:45 petang, kami turun di perhentian basnya untuk bertukar kepada bas GoKL yang percuma itu. Laluan dari Chow Kit ke KL Sentral adalah Laluan Merah. Dalam sepuluh minit juga menunggu, sambil-sambil itu, bingit juga mendengar lagi dangdut yang sama diulang-ulang yang berkumandang di kawasan perhentian bas itu.

Tiket Bas Len Seng.

Akhirnya pada pukul 4:10 minit, kami pun sampai di KL Sentral. Kami terus ke pusat khidmat pelanggan AirAsia yang terletak berdepan dengan perhentian bas GoKL di KL Sentral ini, untuk mengesahkan tempahan bas shuttle Skybus/Aerobus di dalam penempahan kami. Semasa di situ, ternampak abang Zul yang datang ke arah kami. Selesai sahaja, kami terus ke stesen bas ke KLIA/klia2 yang tertetak di aras paling bawah KL Sentral, yang lif/tangga/eskalatornya terletak di belakang tangga ke Nu Sentral.

Semasa menuruni eskalator ke stesen bas, ternampak Linda yang lama menunggu. Jadi saya terus ke kaunter tiket untuk menunjuk penempahan kami untuk ditukarkan kepada tiket bas sebenar dan membeli tiket bas untuk Linda. Harga pun sudah naik menjadi RM12.00 sehala. Jadi kalau membeli bersama tempahan AirAsia di laman webnya, harga tiket pergi balik baru RM17.60/orang (bermakna baru RM8.80/orang/hala)! Murah RM3.20! Malah kalau beli di laman web Skybus pun baru RM10.50/hala atau RM21.00 untuk pergi balik! Atau di laman web Aerobus pula, RM9.00/hala atau RM18.00 untuk pergi balik.

Kami segera menaiki bas yang ada yang kemudiannya bergerak pada pukul 4:30 petang walaupun sepatutnya ia bergerak hanya sepuluh minit kemudian, kerana penumpang sudah memenuhi bas. Jadual perjalanan bagi bas shuttle KL Sentral ke klia2 ini adalah setiap 20 minit sekali dan perjalanan mengambil masa kira-kira sejam. Bagi saya, saya lebih suka menaiki perkhidmatan bas shuttle ini berbanding dari Puduraya atau Batu 3 Jalan Ipoh kerana perkhidmatannya lebih dipercayai dan menepati masa.

Tiket Bas Shuttle KL Sentral-klia2.


Kami sampai di klia2 pada pukul 5:20 petang. Semasa dalam perjalanan, Najib memberi mesej yang dia terlepas bas pukul 4:00 dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) dan perlu mengambil bas pukul 5:00 petang. Najib memohon agar kami jangan masuk ke dalam airside terlebih dahulu, kerana dia hendak bersama-sama masuk bersama. Huh, sudah nampak yang kami akan bergegas nanti, maklumlah, pintu pelepasan AirAsiaX kebanyakannya di pintu P atau Q, iaitu di bangunan satelit klia2, jauh tu! Nasib baik kami sudah daftar masuk secara web, maka tidak perlu beratur untuk mendaftar masuk di kaunter lagi. Lagipun kami semua tiada bagasi daftar masuk, semuanya di bawa ke dalam kabin pesawat.

Sambil menunggu Najib, saya pun menyerahkan sijil insurans yang saya belikan untuk ahli kumpulan kembara GTCM (Geng Travel Club Malaysia) yang kebetulan menaiki penerbangan yang sama. Beberapa ahli-ahlinya mempunyai pengalaman mengembara bersama Najib. 

Haji Halig dan Haji Kadir sudah memasuki airside kerana salah faham dengan maklumat yang saya maklumkan. Mereka ingatkan balai berlepas  (yang mempunyai kaunter daftar masuk - departure hall) dengan pintu pelepasan (boarding gate). Agaknya kena guna Bahasa Inggeris rasanya baru tidak keliru, huhuhu.

Setelah Najib sampai pada pukul 6:00 petang, maka bergegaslah kami untuk ke pintu pelepasan P8.  Kami pun sebenarnya belum bersolat Asar sebenarnya. Urusan imigresen dan pemeriksaan kastam tiada masalah, namun apabila sampai di pemeriksaan keselamatan Polis Bantuan Malaysia Airport Berhad, barisan agak panjang! Nasib baik kami, kebetulan terdapat pintu pemeriksaan yang baru dibuka. Jadi kami pun agak cepat juga, dengan saya sudah bersedia membuka semua barang yang dijangka akan melambatkan proses pemeriksaan dan meletakannya di dalam beg saya. Termasuk kasut juga saya sudah siap-siap buka dan meletaknya di dulang untuk diimbas di mesin x-ray. Alhamdulillah lepas.

Namun abang Zul masih tidak dapat begnya lagi. Rupanya, sepasang warganegara China (dilihat pada pasport yang dipegang) telah menarik beg abang Zul dan meletakan beg mereka, yang mana abang Zul telah dahulu berjalan di mesin imbasan badan. Memang kurang ajar betul mereka. Hendak kata mereka dalam tergesa-gesa untuk mengejar panggilan penerbangan tidak juga, siap berjalan berlenggang-lenggang dan singgah di kafe lagi! KURANG AJAR! Jadi saya minta abang Zul patah balik dan menolak begnya ke dalam mesin pengimbas. Selepas itu berjalan lancar. Saya pun berpesan kepada semua, agar pastikan beg masuk ke dalam mesin pengimbas dahulu baru kita melalui mesin imbasan badan, demi mempercepatkan urusan dan juga keselamatan! Mana tahu ada orang ambil kesempatan meletakan barang-barang yang tidak dibenarkan di dalam beg kita.

Kami pun segera ke surau untuk solat. Saya pun berbuat solat jamak qasar bagi mengejar masa, namun agaknya tidak biasa ada rakan pengembara buat solat tamam. Tambahan pula semasa solat, panggilan akhir penerbangan kami berkumandang. Jadi saya dengan telah siap pergi dahulu untuk berbuat apa yang patut (memaklumkan kepada petugas pintu pelepasan untuk menunggu). Lagipun bagi saya masih ada masa kerana baru pukul 6:25 petang.

Alhamdulillah, dalam kekalutan, semua yang ada telah sampai. Kami pun mendapat tempat duduk masing-masing dan bertemu dengan Haji Halig dan Haji Kadir.

Rupa-rupanya ada sebab pihak AirAsiaX membuat panggilan agak awal untuk masuk ke pesawat. Disamping penerbangan yang penuh, rupa-rupanya perangai orang Iran ini yang menyebabkan tindakan ini wajar, walaupun melelahkan kami yang agak lambat. Tidak perlu saya kongsi kesemuanya, namun sampai tempat duduk yang sudah diberikan pun dengan selamba mereka hendak duduk tempat lain. Malah menyuruh kita mencari tempat duduk di tempat lain. Saya pun menyuruh kesemua yang ikut saya jangan mengalah dan bertegas dengan mereka ini. Jadi mereka pun mengalah juga, saya buat begini agar mereka tidak lagi memandang rendah pada orang Malaysia, ini pun berdasarkan pengalaman lepas.

Setelah selesai dengan tempat duduk kami yang kebetulan hampir sebaris, dan kemudian selesai semua hiruk-pikuk, akhirnya pesawat sedia berlepas di mana, pada pukul 7:05 malam, ia meninggalkan pintu pelepasan dan pada pukul 7:15 malam, berlepas pesawat ini di landasan 3 KLIA meninggalkan Malaysia menuju ke Tehran, Iran.



Kami sampai di klia2 (ikon bertema Krismas).

Pesawat 9M-XXZ yang membawa kami ke Tehran.

Kebetulan kami duduk sebaris di dalam penerbangan.


Video: Pesawat AirAsiaX D7 776 berlepas dari klia2 (LCCT KL) ke Tehran.


Setelah dua puluh minit dalam penerbangan, dengan wuduk yang masih ada, saya pun bersolat secara duduk, mengikut rukhsah musafir bagi solat jamak qasar Maghrib & Isyak. Lebih baik awalkan solat dari kita hendak menunggu solat secara sempurna di Lapangan Terbang Antarabangsa Imam Khomeini, Tehran, Iran (IKA) nanti. Lagipun rukhsah sudah diberikanNya, adalah sebaik solat ditunaikan seawal waktu.

Sejam kemudian, petugas-petugas kabin penerbangan mula mengagihkan makanan-makanan yang telah ditempah dan juga menjual makanan kepada penumpang. Paling seronok, sebagaimana penerbangan ke/dari Sydney yang lepas, agihan/jualan hidangan bermula dari belakang, jadi kami dapat awal. Semasa ini pun, nampak ramai orang Iran yang agak kelam-kabut, mudar-mandir. Kami pun menikmati yang makanan yang kami tempah. Walaupun kami ambil dua hidangan masing-masing, kami minta untuk berikan hidangan kedua pada sesi hidangan kedua nanti.

Setelah makan, lampu pesawat dimalapkan untuk tidur. Namun macam biasa, walaupun penat, tetapi jika boleh tidur pun cuma maksima sejam sahaja. Ini mungkin kerana tempat duduk pesawat Airbus A330 AirAsiaX ini yang tidak membantu saya untuk tidur. Mungkin kerana kelebaran tempat duduk dan lebar ruang kepala yang sangat kecil agaknya. Hendak buat macam mana, kalau hendak murah, kena korbankan keselesaan.  Kalau tidak kerana AirAsiaX ini pun, mungkin saya tidak berpeluang untuk ke pelbagai destinasi termasuk Tehran ini.

Satu lagi, mungkin kerana sikap sebilangan warga Iran ini yang tidak menghormati orang lain. Ada yang berborak agak kuat, malah ada yang duduk ditepi tempat duduk orang lain dengan selamba.

Setelah enam jam berada di udara, maka masa makan kedua pun tiba. Lampu penerbangan tidak diterangkan sepenuhnya. Kami pun mendapat hidangan kami, namun hidangan kami ini agak kering. Mungkin kerana ia telah dihangatkan dua kali atau lebih. Atau terlebih hangat. Ini menyebabkan selepas ini saya akan minta untuk mengambil semua makanan pada sesi hidangan pertama sahaja.

Sambil itu, saya perhatikan, ada ramai penumpang (tidak semua) yang mendapat hidangan sandwich pizza ayam. Saya pun hairan kenapa ramai yang terimanya? Adakah ia hidangan popular ke Tehran. Rupa-rupanya ia adalah hidangan percuma. Saya dan isteri tidak dapat kerana kami ada hidangan kedua ketika itu. Tidak mengapalah, bukan rezeki kami.

Setelah hampir lapan jam setengah penerbangan, penerbangan ini akan mendarat di Tehran. Maka jika tadi terdapat sebilangan wanita Iran yang tidak menutup aurat (malah ada yang pakai singlet sehingga menampakkan tatoo!), mula berkelubung menutupi tubuh mereka. Malah siap ada pengumuman lagi memaklumkan agar menutup sebahagian badan (lebih tepat kerana mereka pun tidak sepenuhnya menutup aurat). Kami pun bersedia dengan memakai pakaian musim sejuk dan saya sempat memakai long john. Lagipun pegawai pertama penerbangan memaklumkan suhu adalah pada 5oC!

Jam 11:00 malam waktu Iran (waktu Malaysia pukul 2:30 pagi), mendaratlah kami di IKA dengan pendaratan paling lembut yang pernah saya rasa. Tidak terasa pun bila masa pesawat ini menjejakan tayar gear mendaratnya di bumi Iran ini. Pesawat di parkir di hujung dan walaupun terminal di IKA ini mempunyai jambatan udara (aerobridge), namun untuk penerbangan AirAsiaX ini, ia tidak digunakan. Apabila terdedah sahaja kami dengan udara terbuka, huh, sejuk betul.

Bas telah menunggu kami dan kami pun masuk ke dalam bas tersebut untuk dibawa ke bangunan terminal. Di sana kami terus mengikut arah aliran orang ramai dan juga mengikut tanda arah yang ada. Kami pun sampai di kawasan kaunter imigresen. Sebelum kami terus ke kaunter imigresen, saya ke arah pegawai di depan kaunter visa dan bertanya keperluan visa (sudah tahu tapi cuma hendak pastikan). Pegawai terbabit menyatakan kami pemegang pasport Malaysia tidak perlu visa dan boleh terus ke kaunter imigresen. 

Terdapat juga ada beberapa orang yang menunggu di depan kaunter. Cuma apa yang saya tahu, untuk memohon Visa-on-Arrival (VoA) Iran ini, perlu ada insurans perjalanan. Jika tiada perlu beli di kaunter berdepan dengan kaunter visa ini. Namun pada ketika itu, kaunter insurans ini dan juga kaunter bank tidak dibuka. Tidak tahulah bila akan dibuka.

Kami pun terus ke kaunter imigresen. Seperti biasa jika saya berjalan dengan isteri (atau dengan anak-anak juga), isteri saya yang akan diperiksa dahulu dan saya akan menunggu di belakang (jika pihak imigresen hanya membenarkan pemeriksaan seorang sahaja setiap masa), bagi memastikan agar semua berjalan lancar.

Masa diperiksa, isteri saya ditanya oleh pegawai imigresen tentang visa, malah rasanya pegawai terbabit minta isteri saya untuk memohon visa. Isteri saya membalas dengan agak sikit marah dan tegas, yang mengatakan tiada visa untuk lawatan kurang 15 hari untuk pemegang pasport Malaysia! Terkejut juga pegawai imigresen Iran itu, dan terus dicop pasport isteri saya. Selepas itu giliran saya, pun berjalan lancar tanpa sebarang pertanyaan, begitu juga semua pemegang pasport Malaysia selepas saya.

Alhamdulillah, secara rasmi, saya telah sampai ke negara ke-21 saya.

Peta Laluan Pesawat AirAsiaX D7 776 05 Januari 2017 daripada FlightRadar24.


Cop pasport masuk Iran.


Selepas selesai urusan imigresen, juga setelah semua selesai, maka kami pun turun ke untuk melepasi pemeriksaan kastam juga. Apabila nampak kami hanya berbeg galas sahaja, pegawai kastam memanggil kami untuk terus melepasi mereka. Maka kami pun sampai ke Balai Ketibaan B di IKA ini. Balai Ketibaan B ini terletak di sebelah timur, manakala Balai Ketibaan A di sebelah barat.

Keluar sahaja, di sebelah kiri, akan terjumpa dua kaunter yang menjual kad SIM. Kami terus mancari bangku untuk kami duduk. Saya menyuruh rakan-rakan kembara untuk berehat dahulu dan saya pula meninjau di sekitar. Saya kembali ke kaunter yang menjual kad SIM prabayar tadi untuk menunjau harga. Huh, pertamanya, tiada sebarang pamplet atau bahan-bahan pemasaran lain yang mempunyai Bahasa Inggeris, semuanya dalam Bahasa Farsi!

Oleh kerana hanya Irancell sahaja yang saya selidiki, yang mesra pelancong, maka saya bertanya kepada penjual pakej Irancell. (Penyedia perkhidmatan telekomunikasi selular lain adalah: Hamrah-e-Aval (MCI) dan RighTel, dengan laman web mereka hanya dalam Baasa Farsi sahaja). Harga yang diberi antaranya harga kad SIM berdata 2GB bersekali dengan panggilan suara dan sms (lupa pula kapasitinya) adalah US$15 (+- RM67.50) manakala pakej sama tetapi datanya 5GB adalah US$25 (+-RM112.50)! Huh, mahalnya, tidak jadi saya hendak mengambilnya. Harap berjumpalah di jalanan nanti.

Seterusnya, saya ke Balai Berlepas yang terletak di tingkat atas (tingkat 1, Balai Ketibaan di tingkat G), setelah dimaklumkan terdapat sebuah pengurup wang di situ. Dilihat terdapat ramai orang di balai ini, menunggu untuk masuk ke kawasan kaunter daftar masuk. Untuk masuk ke kawadan kaunter daftar masuk ini perlu memasuki pemeriksaan keselamatan dan hanya pemegang tiket/tempahan sahaja yang boleh masuk.

Di pengurup wang, saya menukar sikit sahaja iaitu US$20.00 sahaja dengan mendapat 784,000 rial (Kadar tukaran (sila lihat lajur beli) US$1:00 = 39,200 rial). Ini kerana saya dimaklumkan jika guna dollar Amerika Syarikat lebih untung di Iran ini (sebenarnya tidak tepat, sebaliknya menggunakan matawang tempatan lebih untung dan kurang kena manipulasi). Ini satu kesilapan, sepatutnya kita tukar sahaja di sini kerana kadarnya agak baik juga. Lagipun, nanti jika mengikut catatan perjalanan saya, kita agak sukar untuk mencari pengurup wang di jalanan, tidak seperti di Malaysia.

Juga dapat diperhatikan, wang Ringgit Malaysia (RM) juga diterima di pengurup wang ini (dipapar sebagai MR, saya perasan pun pasal dalam tulisan Farsi, jelas nampak bunyi ringgit) dengan kadar RM1.00 = 8400 rial. Memandangkan saya memang tidak bawa banyak RM, namun saya memaklumkan kepada rakan-rakan dan mereka ada menukar RM kepada rial, malah kata mereka RM1.00 kertas pun diterima!


Balai ketibaan B, IKA.

Balai ketibaan B, IKA.

Kad Sim Irancell.

Satu-satunya pengurup wang di IKA, di balai berlepas (aras 1).

Kadar tukaran wang di pengurup wang di IKA (Ringgit Malaysia juga diterima).

Kami menunggu di aras G (aras balai ketibaan).

Teksi yang menunggu di luar aras G.

Kami kemudian bergerak ke bangku berdekatan dengan Balai Berlepas A kerana bangku-bangku di sana tidak mempunyai tempat letak tangan (arm rest), lebih mudah untuk baring dan berehat.

Saya mengambil kesempatan untuk berjalan-jalan dan menyelidiki kaedah untuk ke Tehran keesokannya. Sempat juga saya ke Stesen Metro yang terletak berdepan dengan terminal dengan akses di tingkat 1, namum ia belum siap lagi. Saya juga dapat melihat kadar teksi di lapangan terbang ini adalah tetap iaitu dari 700,000 rial (teksi biasa) ke 800,000 rial (teksi van) ke Tehran mengikut jenis teksi.

Setelah itu saya kembali ke tempat rehat untuk berehat sementara menantikan sinar fajar pagi di bumi Tehran ini.  Bermulalah misi dari menjadi hairan dengan Tehran menjadi "Dah Tak Hairan Lah Pergi Tehran!".

Bersambung ke Hari 2 Bahagian 1.

Jika mahu lihat: 





If want to read in English: 
  • PreJourney; 
  • Itinerary;
  • Travel Guide Tehran; 
  • Travel Guide Isfahan; 
  • Day 1 (this part);
  • Day 2 Part 1;
  • Day 2 Part 2;
  • Day 3;
  • Day 4 Part 1; or
  • Day 4 Part 2 & Day 5.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan