Jumaat, 23 Disember 2016

Kuala Lumpur, Malaysia - 22 Disember 2016 - LRT Lembah Klang Aliran Sri Petaling & Aliran Ampang.

Click here if want to read in English version.


Tren baru enam koc LRT Laluan Sri Petaling/Aliran Ampang.

Setelah seminggu selepas pelancaran MRT Laluan SBK oleh YAB Perdana Menteri Malaysia yang mana ia dibuka kepada kegunaan umum sehari selepasnya (yang mana saya mencubanya pada hari tersebut), saya mencuba kembali keseluruhan sistem LRT pertama Malaysia iaitu LRT Aliran Ampang dan Aliran Sri Petaling. Kebetulan juga hari tersebut (22 Disember 2016) juga merupakan ulangtahun ke-20 Sistem LRT Laluan Ampang ini (awalnya dikenali sebagai sistem LRT STAR - Sistem Transit Aliran Ringan).

Tambahan pula, saya tidak pernah membuat sebarang review mengenai sistem ini, mungkin kerana ia telah beroperasi lebih 20 tahun. Jadi saya mengambil kesempatan untuk membuat catatan mengenainya.

Jika dilihat, pada tarikh 16 Disember 1996 bermulalah satu perubahan di dalam sistem pengangkutan di Kuala Lumpur malah Malaysia, kerana pada masa inilah lahirnya LRT STAR, nama asal bagi kedua-dua laluan LRT Lembah Klang ini. Pada masa ini, perkhidmatan LRT ini beroperasi dari Stesen Ampang hingga Stesen Sultan Ismail, yang mana ia dibina dari atas bekas landasan keretapi KTM cabang Ampang (dari Ampang hingga ke Stesen Plaza Rakyat) dan juga jajaran baru yang dibina secara bertingkat. Boleh dikatakan pada masa itu, ia adalah sistem pengangkutan baru dan moden di Kuala Lumpur.

Kemudian sehari sebelum Sukan Komanwel 1998, iaitu pada 10 Julai 1998, sistem LRT ini bercabang dari Stesen Chan Sow Lin ke arah Sri Petaling (yang berdekatan dengan perkampungan atlet Sukan Komanwel) yang melalui juga Stesen Bukit Jalil yang menjadi tempat utama Sukan Komanwel ini. Maka dari saat ini, kedua-dua laluan LRT ini beroperasi dan berkongsi laluan dari Stesen Chan Sow Lin hingga ke Stesen Sultan Ismail. Akhirnya pada 06 Disember tahun yang sama, kedua-dua laluan ini bertambah lagi empat stesen ke utara yang mana stesen terminalnya adalah di Sentul Timur. 

Sepanjang sejarahnya terdapat banyak peristiwa terutama pengambilalihan pengurusan daripada pihak swasta (STAR) kepada pihak kerajaan menerusi Syarikat Prasarana Negara Berhad (kini Prasana Malaysia Berhad - Prasarana). Kini kedua-dua laluan ini beserta beberapa sistem transit di Kuala Lumpur dioperasikan oleh Rapid Rail Sdn Bhd, anak syarikat Prasarana sendiri di bawah jenama RapidKL, manakala segala aset dipunyai oleh Prasarana. Boleh rujuk sejarah lengkap yang diambil daripada Wikipedia.

Pada tahun 2006, pihak kerajaan memaklumkan Laluan Sri Petaling dan juga satu lagi laluan LRT yang dikendalikan oleh Rapid Rail iaitu LRT Laluan Kelana Jaya dilanjutkan laluannya ke Putra Height di kawasan Puchong. Pembinaan giat dilaksanakan mulai tahun 2010 dan akhirnya peringkat pertama telah beroperasi dari Sri Petaling ke Stesen Kinrara BK5 pada 31 Oktober 2015. Seterusnya ia dilanjutkan sehingga ke Stesen Bandar Puteri pada 31 Mac 2016 dan akhirnya lengkap sehingga Stesen Putra Height pada 30 Jun 2016 serentak bersama-sama Laluan Kelana Jaya. Pada masa ini, Laluan Ampang dipendekan dari Stesen Ampang sehingga Stesen Chan Sow Lin sahaja di mana untuk selanjutnya, pengguna perlu bertukar tren di Laluan Sri Petaling di stesen tersebut. Laluan LRT Laluan Ampang akhirnya kembali beroperasi sehingga Stesen Sentul Timur pada 01 Disember 2016. Memandangkan Laluan Sri Petaling dan Laluan Ampang ini berkongsi laluan dari Stesen Sentul Timur sehingga Stesen Chan Sow Lin, pengguna perlu melihat papan paparan di depan tren atau di papan paparan elektronik di platform atau siaraya di stesen bagi mengetahui laluan tren yang tiba, agar dapat ke destinasi sepatutnya, jika destinasinya adalah selepas Stesen Chan Sow Lin.

Perkhidmatan LRT Laluan Sri Petaling dan Laluan Ampang ini memang melalui laluan utama di Kuala Lumpur khususnya dan Lembah Klang amnya. Laluan Ampang melalui kawasan Ampang dan kemudiannya  ke kawasan Maluri serta bertemu di Chan Sow Lin yang mana terdapat banyak kawasna perumahan dan perbandaran Ampang Jaya. Begitu juga di Laluan Sri Petaling yang menghubungkan kawasan perumahan dan perbandaran Puchong, Bukit Jalil, Sungai Besi dan Cheras (Kuala Lumpur). Malah di sini memang tumpuan warga kota kerana Kompleks Sukan Bukit Jalil dan Terminal Bas Bersepadu Selatan dirangkumi laluannya. Bagi laluan yang dikongsi kedua-dua laluan, ia melalui kawasan pusat bandaraya Kuala Lumpur terutama kawasan Pudu, koridor Jalan Raja Laut (termasuk kawasan Masjid India dan Chow Kit), Pekeliling dan Sentul. Memang kawasan yang diliputi merangkumi kawasan-kawasan utama di Kuala Lumpur.

Kini, sejak tahun 2014, kesemua perkhidmatan rel (termasuk LRT Laluan Sri Petaling (diberikan  kod warna coklat dan kod nombor laluan 4 di dalam sistem transit bersepadu Lembah Klang) dan Laluan Ampang (kod warna kuning dan nombor laluan 3) dan bas di bawah jenama RapidKL telah disepadukan dengan menggunakan kaedah sistem pembayaran pra bayar yang satu iaitu kad MyRapid. Juga, sistem tiket tunai di semua laluan rel juga menggunakan sistem token yang bersepadu, di mana pengguna boleh menukar laluan tanpa perlu membeli tiket lain jika bertukar di beberapa stesen pertukaran. Memang ia memudahkan, pengguna boleh bertukar laluan antara LRT Laluan Sri Petaling, Laluan Ampang, Laluan Kelana Jaya,  Monorel Kuala Lumpur dan BRT Sunway. Akan datang, MRT Laluan SBK juga akan menggunakan sistem pembayaran yang sama apabila sambungan fasa kedua akan beroperasi mulai bulan Julai 2017 nanti. Selain itu, kad Touch'nGo juga boleh digunakan. Bagi mengetahui tambang perkhidmatan ini, boleh layari laman tambang Rapid Rail bagi bayaran tunai atau tanpa tunai (pra bayar). Juga terdapat insentif atau promosi khas bagi pengguna kerap atau golongan tertentu.

Papan kenyataan memaklumkan pembukaan baru laluan sambungan LRT Lembah Klang.


Rajah laluan LRT Laluan Ampang.

Rajah laluan LRT Laluan Sri Petaling.


Kad MyRapid.

Token perjalanan sistem transit RapidKL di bawah Rapid Rail - belian tunai.

Stesen-stesen asal laluan yang siap dibina pada tahun 1996 hingga 1998, kebanyakan stesen-stesennya mempunyai konfugirasi platform tepi melainkan Stesen Ampang, Stesen Chan Sow Lin dan Stesen Bandar Tasik Selatan yang berkonfugirasi platform pulau. Stesen Ampang sehingga Stesen Chan Sow Lin dan Stesen Cheras ke Stesen Bandar Tasik Selatan serta Stesen Sri Petaling dibina di atas aras tanah atau satu aras di bawah (bukan bawah tanah), manakala stesen-stesen lain dibina bertingkat (elevated). Tiada stesen bawah tanah bagi sistem ini. Stesen-stesen ini juga tidak mempunyai kemudahan tambahan seperti tandas dan surau. Semasa pembinaan, lif tidak dibina, namun ia dibina kemudiannya di kebanyakan stesen asal ini untuk kemudahan orang kurang upaya. Namun kini, kebanyakan lif terbabit seperti tidak berfungsi.

Bagi stesen-stesen yang siap dibina pada tahun 2015 dan 2016 pula, kesemua stesen adalah stesen bertingkat dan kebanyakannya mempunyai konfugurasi platform tepi kecuali Stesen Awam Besar yang mempunyai platform pulau dan Stesen Putra Height yang mempunyai gabungan kedua-dua konfugurasi. Walaupun hanya bertaraf LRT, namun bagi saya, ruang aras concourse dan plaform di stesen-stesen baru Laluan Sri Petaling ini lebih besar daripada ruang yang sama di stesen-stesen MRT Laluan SBK. Malah stesen-stesen baru ini lengkap dengan kemudahan tandas dan surau.

Tren baru enam koc LRT Laluan Sri Petaling/Laluan Ampang & keadaan platform bagi stesen-stesen asal (dari Sentul Timur ke Sri Petaling dan dari Miharja ke Ampang).

Keadaan platform (konfugurasi platform tepi) bagi stesen-stesen sambungan baru (dari Awan Besar ke Putra Height) (contoh ini adalah Stesen Puchong Prima). 

Keadaan platform (konfugurasi platform pulau) bagi stesen-stesen sambungan baru, hanya satu iaitu Stesen Awan Besar. 

Keadaan platform di Stesen Putra Height yang berkongsi platform dengan LRT Laluan Kelana Jaya.

Pada peringkat asal, sistem kedua-dua laluan ini menggunakan tren yang dibuat oleh syarikat AdTranz dari Austria yang kini diambil alih oleh kumpulan Bombardier Transportation dari Kanada. Tren dan koc ini memang terbukti bermutu tinggi kerana sepanjang perkhidmatanya, tiada sebarang masalah yang besar dialami berbanding dengan tren Laluan Kelana Jaya dan Monorel Kuala Lumpur serta KTM Komuter. Namun apabila sambungan Laluan Sri Petaling dibuka, maka tren baru yang dibina oleh CSR Zhuzhou, yang digelar AMY digunakan untuk menggantikan tren sebelum ini. Tren ini lebih moden dari tren AdTranz, bagaimanapun ia masih perlu menggunakan pemandu. Cuma bagi saya di kawasan penyambungan antara koc, ruang agak sempit. Setakat tarikh ini, tiada sebarang masalah yang diketahui dialami menerusi tren baru ini.

Tren-tren Amy terbaru LRT Laluan Sri Petaling dan Ampang ini diparkirkan di dua buah depoh iaitu di Ampang dan di Kampung Kuala Sungai Baru yang berhampiran Stesen Putra Height. Tren terbaru ini mempunyai sistem maklumat dinamik di atas setiap pintu masuknya, di mana ia akan menunjukan kedudukan semasa tren ini, di mana sistem ini telah digunakan di tren KTM Komuter model 91 dan KTM ETS model 92 dan 93. Malah terdapat penunjuk pintu mana yang akan dibuka, walaupun makluman ia agak lambat iaitu ketika pintu dibuka. Bagi saya, ia perlu dibuat beberapa ketika sebelum pintu dibuka. Selain itu, terdapat juga sistem paparan maklumat yang selain dari memaparkan maklumat laluan (stesen destinasi akhir dan stesen berikutnya), terdapat video atau iklan dipaparkan. 

Tempat duduk tetap daripada logam (aluminium) namun terdapat lekuk, mengurangkan risiko dari menggelongsor sebagaimana tempat duduk tren AdTranz. Suasana dalaman juga lebih ceria dan nampak lebih luas. Ia juga lebih selesa dengan sistem penghawa dingin yang agak baik.

Keadaan di dalam tren.

Paparan maklumat stesen di atas pintu masuk tren.

Paparan maklumat di dalam tren.

Iklan perkhidmatan MRT dan LRT Laluan Ampang.

Pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), memang menggalakan untuk sistem-sistem pengangkutan terutama sistem rel ini bersepadu antara satu sama lain. Sistem LRT Laluan Sri Petaling dan Laluan Ampang ini mempunyai beberapa stesen yang bersepadu dengan sistem yang lain. Malah antara Laluan Sri Petaling dan Laluan Ampang ini juga bersepadu antara satu sama lain kerana berkongsi laluan antara Stesen Sentul Timur dan Stesen Chan Sow Lin. Stesen-stesen lain yang bersepadu secara langsung adalah Stesen Titiwangsa dan Stesen Hang Tuah yang bersepadu kedua-dua laluan dengan sistem Monorel Kuala Lumpur. Juga, Laluan Sri Petaling dan Laluan Ampang juga bersepadu dengan Laluan Kelana Jaya  di Stesen Masjid Jamek. Ketiga-tiga stesen bersepadu ini mempunyai laluan yang membolehkan pengguna bertukar stesen menggunakan token atau kad sedia ada tanpa perlu membeli tiket baru. Juga dengan pelanjutan perkhidmatan LRT Laluan Sri Petaling dan Laluan Kelana Jaya ke Putra Height, kedua-dua laluan ini juga bersepadu di stesen tersebut malah hanya perlu bertukar di platform sahaja tanpa perlu berjalan di laluan khas. Insya Allah, Laluan Sri Petaling dan Ampang akan bersepadu di Stesen Plaza Rakyat dengan Stesen Merdeka di dalam sistem MRT Laluan SBK dan juga Stesen Maluri akan bersepadu di antara MRT Laluan SBK dengan Laluan Ampang.

Selain itu, terdapat juga beberapa stesen-stesen yang berhubung dengan sistem rel lain namun tidak bersepadu di mana pengguna perlu keluar daripada sistem masing-masing, bermakna perlu membeli token tambang berasing bagi setiap sistem. Dengan perkhidmatan KTM Komuter,Stesen PWTC berhubung dengan Stesen KTM Komuter Putra dengan laluan jejantas berbumbung, begitu juga dengan Stesen Bandaraya dengan  Stesen KTM Komuter Bank Negara. Stesen Bandar Tasik Selatan juga begitu juga dengan tambahan berhubung dengan perkhidmatan ERL KLIA Transit. Di Stesen Sultan Ismail juga mempunyai kemudahan jejantas berbumbung dengan Stesen Monorel Kuala Lumpur Medan Tuanku walaupun jarak kedua-duanya lebih kurang 700 meter. Cuma jangan keliru dengan Stesen Sentul dengan Stesen KTM Komuter Sentul, walaupun mempunyai nama sama, kedua-dua stesen ini agak jauh antara satu sama lain, kira-kira hampir 2 kilometer antara satu sama lain, juga tidak bersepadu. Malah Stesen Sentul Timur lebih dekat dengan Stesen KTM Komuter Sentul berbanding Stesen Sentul. Juga kes yang sama dengan Stesen LRT dan Stesen KTM Komuter Salak Selatan. Kedua-dua ini dipisahkan kira-kira 700 meter dan tidak bersepadu.

Stesen sambungan LRT Masjid Jamek (menyambungkan LRT Laluan Sri Petaling/Laluan Ampang dengan LRT Aliran Kelana Jaya).

Tanda arah pertukaran aliran di Stesen Masjid Jamek.

Stesen sambungan Hang Tuah (menyambungkan LRT Laluan Sri Petaling/Laluan Ampang dengan Monorel KL).

Bagi saya pihak RapidKL dan Prasarana telah berusaha meningkatkan dan menaik taraf perkhidmatan LRT Laluan Sri Petaling dan Laluan Ampang ini sejak mengambil alih dari pihak sebelumnya. Hasilnya perkhidmatan bertambah baik dan ia semakin menjadi kaedah yang digemari bukan sahaja warga kota Kuala Lumpur dan Lembah Klang, malah pelancong yang datang ke Kuala Lumpur. Teruskan berikan perkhidmatan yang lebih baik untuk penggunanya.

Saya mencadangkan agar perkhidmatan LRT ini dilanjutkan dari Sentul Timur ke destinasi lebih jauh seperti Batu Caves atau Selayang demi meliputi kawasan-kawasan yang belum diliputi sistem rel transit ini, bagi memudahkan penduduk di sini ke tempat lain. 

Dengan ulang tahun 20 tahun perkhidmatan LRT kedua-dua laluan ini, menunjukan kematangan di dalam pengendalian perkhidmatannya kepada warga kota. Sebagai penunjuk kemodenan, ia telah mencetus satu wadah baru dalam sistem pengangkutan darat di Kuala Lumpur dan Malaysia. Semoga LRT Laluan Sri Petaling dan Laluan Ampang dapat diteruskan dan ditambah mutunya agar terus relevan kepada warga kota dan pengguna lain.


Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan...


Click here if want to read in English version.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan