Jumaat, 9 September 2016

Pra Kembara (Colombo, Sri Lanka - 09 hingga 12 September 2016) - Sahaja Gatal Kaki Hendak Ke Sri Lanka.

Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • PreJourney (this part);
  • Itinerary;
  • Day 1;
  • Day 2; or
  • Day 3 & 4.


Pengenalan.


Sebenarnya, saya sudah lama memantau harga tiket ke Colombo. Tidak kira Air Asia atau Malindo Air, terutama Malindo Air mula terbang ke sana sejak Disember 2015. Harga antara kedua-dua syarikat tidak jauh berbeza, malah lebih murah Malindo Air. Harga dalam sekitar RM600 pergi balik. Kalau ikut lebih baik saya ambil Malindo Air kalau harga tidak jauh berbeza, kerana Malindo Air menyediakan lebih banyak kemudahan, seperti makanan disekalikan dengan tambang, skrin paparan hiburan dengan kemudahan USB (boleh mengecaj telefon) dan tempat duduk lebih selesa dengan jarak tempat duduk yang lebih besar.


Jika menjadi kenyataan, Sri Lanka akan menjadi negara ke-19 (jika dikira negara yang mempunyai kuasa imigresen tersendiri) yang telah saya lawati. Sri Lanka merupakan sebuah negara pulau di Lautan Hindi yang terletak di Asia Selatan, iaitu di selatan negara India. Dengan keluasan kira 66 000 km2, iaitu kecil sedikit dari negeri Sabah, Sri Lanka mempunyai penduduk kira-kira 20 juta orang penduduk. Ia merupakan salah satu jajahan British, sebelum itu juga pernah dijajah oleh Belanda dan Portugis, ia dikenali sebagai Ceylon sebelum tahun 1972. 


Peta: Sri Lanka.

Colombo pula memang sejak zaman penjajah, telah menjadi ibu negara bagi Sri Lanka. Ia terletak di pantai barat pulau ini. Walaupun begitu, peranan ibu negara Sri Lanka kini dipegang oleh bandar Sri Jayawardenepura Kotte yang merupakan salah satu bandar satelit di pinggir bandaraya Colombo. Jumlah penduduk Colombo adalah kira-kira 2.3 juta orang bagi di dalam kawasan Colombo dan 5.6 juta orang jika termasuk dengan kawasan sekitar. Colombo masih menjadi pusat kegiatan ekonomi utama di Sri Lanka. 


Peta: Colombo, Sri Lanka.

Pada 11 hingga 13 Mac 2016, pihak Persatuan Agensi Perlancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) telah mengadakan pameran yang diadakan setiap enam bulan sekali iaitu MATTA Fair. Memandangkan saya baru pulang dari kembara saya ke Seoul, Korea Selatan pada 10 Mac 2016, maka saya tidak ambil endah pameran ini. Lagipun saya sedang "memburu" tiket AirAsia X untuk ke Sydney bagi kembara saya ke sana pada bulan Oktober 2016 ini. Jadi saya tidak sedar yang Malindo Air telah membuat harga promosi juga yang mana ia termasuk ke Colombo. Terlepas saya.



Promosi Malindo Air sempena MATTA Fair Mac 2016.


Namun, minggu selepas MATTA Fair ini, harga ke Colombo cuma naik sedikit sahaja. Jadi memandangkan saya rasa saya masih mampu untuk pergi, kena pula gatal sangat pula kaki saya hendak ke Sri Lanka ini, maka saya pun sahaja-sahaja melayari laman web Malindo Air. Huh, harga tiket baru RM590.90 je! Apa lagi saya pun cepat-cepat war-warkan kepada sahabat-sahabat dan group dalam Facebook. Jadi abang Zulkifly segera bersetuju. Maka saya pun tempahlah tiket untuk kami berdua. Sebelum ini, dia juga bersetuju akan bersama untuk perjalanan ke Sydney nanti.

Itinerari penerbangan Malindo Air.


Pada 12 April 2016, saya menempah penginapan kami di Colombo nanti melalui Hotels.com di City Motel, Colombo, Sri Lanka. Kami memilih untuk menginap bilik berdua dengan bilik air. Saya memilih hostel ini kerana ia berada dekat dengan Moors Street iaitu kawasan utama di Colombo. Mengikut peta, penginapan ini berdekatan dengan sebuah masjid, jadi mudahlah kami mencari makanan nanti. Harganya RM113.20 untuk semalam, bagi saya agak mahal. Sememangnya harga penginapan di Colombo ini agak mahal juga.


Screenshot Wallet (iOS) tempahan penginapan melalui Hotels.com di City Motel, Colombo.

Pada 02 Mei 2016, saya telah membeli International World Traveller Care Takaful dari eTiQa Takaful, di mana saya mengambil plan Platinum bagi individu untuk perjalanan 01 hingga 05 hari ke zon 2 iaitu negara-negara Asia terpilih (kebanyakan negara Asia termasuk Sri Lanka) berharga RM52.50 sahaja (sebelum saya tolak komisen saya kerana perniagaan saya, HidayahWEALTH, merupakan ejen korporat bagi eTiQa Takaful). Ada pilihan lebih murah iaitu plan Emas yang berharha RM38.00 dan plan Preak berharga RM26.00, tetapi saya memilih plan Platinum pada kali ini kerana inginkan perlindungan yang lebih komprehensif dan menyeluruh.

Nota perlindungan takaful kembara yang diambil untuk perjalanan kali ini.

Jika anda atau kawan-kawan anda ingin mendapatkan takaful tersebut atau lain-lain takaful, boleh mesej saya melalui Facebook saya atau kaedah-kaedah lain. Ini bagi persediaan jika berlaku apa-apa diluar jangka, sekurang-kurangnya ada "kusyen". Sekurang-kurangnya kos perubatan (difahamkan kos perubatan Taiwan dua tiga kali ganda lebih mahal berbanding kos perubatan swasta di Malaysia) dan kos pengurusan jenazah (minta jauh tapi kan maut itu pasti) telah termasuk dalam perlindungan, jadi tidak perlu mengemis dengan orang lain kalau berlaku apa-apa yang tidak diingini dan di luar jangka. Risau juga selepas berlaku beberapa tragedi menimpa orang Malaysia di luar negara baru-baru ini (seperti kes mati lemas di Lombok, Indonesia dan mati kena tikam di Saigon juga dikenali Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam).

Bagi perjalanan ini, kami mencuba pada 03 September 2016 untuk hanya pakai visa Sri Lanka untuk transit sahaja dimana ia boleh berada di dalam Sri Lanka dalam masa 48 jam sahaja. Visa ini percuma sahaja. Jika visa lain seperti visa pelancong atau visa perniagaan, berharga US$30 (+- RM95.00) jika memohon secara dalam talian, atau US$35 (+- RM110.00) jika memohon apabila sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Bandaranaike, Colombo, Sri Lanka (CMB) di kaunter Visa on Arrival (VoA), Jabatan Imigresen Sri Lanka.

Pada 03 September 2016, saya telah menghantar e-mel makluman kehadiran kami di Filipina kepada pihak  Kedutaan Malaysia di Colombo. Pendaftaran melalui e-Konsular juga dilakukan pada masa yang sama.

Saya mendaftar masuk penerbangan pergi kami (OD 185) pada malam 07 September 2016, kerana Malindo Air hanya membenarkan daftar masuk secara web dilakukan 48 jam sebelum masa penerbangan berlepas. Lagipun kami hendak masuk awal kerana hendak ke Plaza Premium Lounge di bangunan satelit sebelum pesawat berlepas.

Saya menukar duit Rupee Sri Lanka (LKR atau Rs.) dan Dollar Amerika Syarikat (USD atau US$ - bagi urusan visa kemasukan, jika visa transit tidak boleh digunakan), pun hanya dibuat pada sehari sebelum pergi (08 September 2016). Saya menukar Rs.3000 dengan RM98.60 (pada kadar Rs.100 dengan harga RM3.50) dan US$35.00 dengan RM145.25 (pada kadar US$1.00 dengan harga RM4.15). Rasa macam cukup sahaja, kalau tidak cukup, saya akan bawa duit sokongan nanti.


Rs.1000 = +- RM35.00

Begitulah persiapan saya untuk perjalanan pada kali ini. Cuma untuk perjalanan ini, dirasakan saya tidak sempat untuk membuat menyelidikan komprehensif yang biasa saya buat seminggu sebelum perjalanan, kerana agak sibuk dalam tugas harian. Saya harap ia mencukupi dan redha akan apa yang berlaku. Semoga ia menjadi perjalanan yang baik juga hendakNya, insya Allah.

Bersambung ke Hari 1.

Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • PreJourney (this part);
  • Itinerary;
  • Day 1;
  • Day 2; or
  • Day 3 & 4.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan