Selasa, 27 September 2016

Hari 1 (Colombo, Sri Lanka - 09 hingga 12 September 2016) - Terbang Ke Ceylon.

Bersambung dari Pra Kembara.

Jika mahu lihat catatan: 
If want to read in English: 
  • PreJourney;
  • Itinerary;
  • Day 1 (this part);
  • Day 2; or
  • Day 3 & 4.

Peta penerbangan di paparan skrin tempat duduk pesawat Malindo Air OD 185.

Hari 1 (09 September 2016 - Jumaat).


Hari ini, saya mengambil cuti walaupun kalaun itu tidak perlu. Bukan apa, untuk perjalanan ini saya rasa macam tidak buat persediaan sangat. Kurang buat kajian pun ada, jadi rasa macam redha sahaja dengan apa-apa yang terjadi. Mengemas beg galas yang akan jadi galasan di sana pun pada hari ini dibuatnya. Bukan banyak mana pun dibawa, maklumlah cuma 2 hari penuh sahaja di Sri Lanka.

Saya mula bergerak menuju ke KLIA (terminal utama bukan klia2) yang mana Malindo Air telah berpindah kembali ke sana sejak bulan Mac 2016 lagi. Saya bawa bersama wang-wang yang telah saya tukarkan pada hari sebelumnya, juga sedikit baki Dollar Amerika dari kembara-kembara saya yang lepas, disamping wang Dollar Singapura dan juga Ringgit Malaysia sebagai langkah kecemasan. Saya menaiki motorsikal sahaja dan pukul 6:00 petang, tayar motorsikal saya pun mula bergolek.

Oleh kerana hari ini adalah hari Jumaat, maka jalan lebih sesak dari biasa. Saya pun telah berjanji dengan abang Zul, untuk bertemu di kawasan rehat dan rawat (R&R) Sri Kembangan arah selatan, Lebuhraya MEX. Jadi agak lewat juga sampai di situ akibat kesesakan terutama di sebelum sampai Bulatan Kampung Pandan. Saya sampai di R&R Sri Kembangan pada pukul 6:25 petang, namun abang Zul belum sampai lagi. Dia hanya sampai pada pukul 6:45 petang. Jadi kami teruskan perjalanan dan kami singgah di R&R Dengkil arah selatan, Lebuhraya ELITE untuk mengisi minyak motosikal kami.

Setelah selesai mengisi minyak, kami terus ke KLIA dan parkir di ruang parkir motorsikal di Aras G, blok Concourse B pada pukul 7:25 malam. Kena bersiap dengan not duit RM1.00 sekeping untuk bayaran parkir kerana mesin ini terus mengambil duit bukan mengeluarkan tiket dan bayar kemudian. Parkir motorsikal di sini kadarnya adalah RM1.00 setiap kemasukan tanpa mengira masa.

Setelah parkir, kami terus ke Bangunan Terminal Utama (MTB - Main Terminal Building), KLIA dan terus naik ke Aras 5 iaitu Balai Berlepas. Di sini, saya baru sedar bahawa saya tertinggal pas pelepasan di rumah. Jadi kami terus ke barisan E dan ke kaunter E15 yang merupakan kaunter bag drop bagi Malindo Air. Alhamdulillah, dapat cetak semula pas pelepasan dan tanpa membuang masa kami terus membuat urusan imigresen (menggunakan pintu automatik) dan juga kastam. Selesai, kami terus menaiki aerotrain untuk ke Bangunan Terminal Satelit C kerana pintu pelepasan kami adalah di pintu C24.


Pas Pelepasan Malindo Air OD 185.

Oleh kerana pelepasan penerbangan kami dilewatkan kepada pukul 11:40 malam dari asalnya pada pukul 10:25 malam, maka kami mempunyai banyak masa lagi. Maka kami solat dahulu dan kemudian setelah selesai solat, kami ke lounge Plaza Premium Lounge di aras 2, berhampiran dengan pintu C12. Namun orang agak ramai di sana dan penuh, oleh demikian petugas yang ada mencadangkan cawangan baru mereka dengan nama Flight Club yang bertentang dengan cawangan sedia ada.

Resit lounge Flight Club KLIA.


Kami pun ke sana dan menyerahkan kad kredit AmBank Islamic Platinum kami untuk menikmati kemudahan tersebut dengan PERCUMA. Tidak semua kad kredit yang menyediakan kemudahan ini. Jadi kami pun masuk ke dalam lounge dan menikmati makanan dan minuman yang ada di dalamnya. Flight Club ini berbeza sedikit daripada Plaza Premium Lounge yang biasa kerana ia ada lebih moden sedikit. Terdapat juga makanan yang boleh dipesan dengan bayaran di sini berbanding cawangan biasa tiada perkhidmatan ini. Kami ambil makanan dan minuman yang diberi percuma sehaja.

Lounge Flight Club KLIA.

Suasana di dalam Lounge Flight Club KLIA.

Suasana di dalam Lounge Flight Club KLIA.

Setelah dua jam duduk di dalam (kami sebenarnya diberikan tiga jam) kami pun ke pintu pelepasan C24. Kami duduk dan berbual kira-kira 20 minit. Namun saya sedar, orang seperti tiada ke pintu pelepasan itu, maka saya melihat di paparan skrin. Terkejut saya bahawa pintu pelepasan kami telah ditukar ke pintu G2! Masa itu pun hampir pukul 11:00 malam. Maka kami pun bergegas menaiki areotrain untuk ke MTB kerana pintu G2 adalah di sana. 

Tercungap-cungap juga. Nasib baik pintu G2 tidak jauh dari stesen aerotrain. Masa kami tiba di pintu G2, penumpang sudah ramai di kawasan ruang menunggu di dalam pintu pelepasan. Untuk memasukinya, perlu menjalani pemeriksaan keselamatan polis bantuan lapangan terbang dahulu. Saya ke tandas dahulu kerana jika sudah melepasi pemeriksaan keselamtan, agak susah ke tandas, kerana ia berada di luar ruang menunggu. Tidak seperti di klia2. Ini adalah kelemahan di KLIA disamping penumpang ketibaan dan berlepas berada di ruang yang sama. Selain itu, selepas pemeriksaan keselamatan, tiada mesin dispenser air, jadi kenalah bersedia untuk kehausan sepanjang penerbangan. 

Kami terus menjalani pemeriksaan keselamatan dan kemudian turun ke bawah untuk ke ruang menunggu penerbangan. Pintu G2 ini sebenarnya adalah pintu A2 juga. Bezanya adalah G2 adalah pelepasan antarabangsa dan A2 adalah pelepasan domestik. Cuma pintu masuk sahaja berbeza dengan G2 di tingkat 3 dan A2 di tingkat 2. Apabila pintu G2 digunakan, pintu yang berhubung dengan kawasan domestik ditutup. 

Selepas sepuluh minit kami di situ, pintu pelepasan dibuka untuk kami masuk ke dalam pesawat. Kemudian pesawat Malindo Air 9M-LNK yang menjadi penerbangan OD185 ini berlepas dari KLIA pada pukul 11:55 malam.

Peta laluan (FlightRadar24) penerbangan Malindo Air OD185 pada 09 September 2016.

Penumpang penerbangan ini saya lihat bercampur-campur. Tapi yang banyak adalah daripada warganegara Sri Lanka, berdasarkan pasport yang dipegang. Namun terdapat juga orang Malaysia malah orang Melayu pun ada ke Colombo ini. Layanan yang diberikan oleh pembantu penerbangan pun mesra dan baik, lebih baik dari AirAsia atau MAS, mungkin kerana uniform mereka yang putih dan polos agak ye, huhuhu...

Selepas sejam penerbangan kami diberikan makanan yang boleh diplih dari nasi baryani ayam atau nasi biryani vegeterian. Hidangan tersebut disediakan oleh Restoran Syed yang memang popular di Lembah Klang terutama Petaling Jaya. Cuma yang kurang menariknya, makanan sampingan diberikan adalah cuma biskut dan air mineral 250 ml sahaja. Minuman pula ada pilihan air jus oren dan minuman ringan sama ada Coca-Cola atau Sprite sahaja. Tambah baik sedikit sahaja dari penerbangan antarabangsa saya dengan Malindo Air dahulu (ke Delhi pada April dan Mei 2015).

Peta penerbangan di paparan skrin tempat duduk pesawat Malindo Air OD 185.

Setelah makan, lampu penerbangan ditutup dan saya pun membuka skrin paparan di hadapan tempat duduk saya untuk menikmati hiburan yang ada. Walaupun tidak banyak pilihan, namun bolehlah sedikit terhibur. Setelah seberapa ketika, saya agak mengantuk dan menukar paparan kepada peta penerbangan. Saya pun tertidur di dalam penerbangan tersebut yang mengambil masa sedikit dari tiga jam untuk sampai ke bumi Sri Lanka atau dahulu dikenali sebagai Ceylon.

Bersambung ke Hari 2.

Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • PreJourney;
  • Itinerary;
  • Day 1 (this part);
  • Day 2; or
  • Day 3 & 4.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan