Jumaat, 19 Ogos 2016

Hari 4 (Manila, Vigan & Puerto Princesa, Filipina - 30 Jun hingga 05 Julai 2016) - Terbang Ke Palawan.

Bersambung dari Hari 3.

Jika mahu lihat catatan: 
If want to read in English: 
  • PreJourney; 
  • Itinerary; 
  • Day 1; 
  • Day 2; 
  • Day 3; 
  • Day 4 (this part)
  • Day 5; or 
  • Day 6. 

Pintu gerbang Perkampungan Islam Manila.

Hari 4 (03 Julai 2016 - Ahad).


Baru sahaja hendak terlelap, namun lampu masjid terpasang semula pada pukul 3:30 pagi untuk persediaan solat Subuh. Tapi saya rasa seperti bersemangat pula untuk beribadah. Jadi sebaik sahaja saya bersahur dengan buah dan air, saya segera ke tandas untuk membersihkan diri. Walaupun tekanan air di dalam tandas agak kecil, saya membasahkan badan dengan tuala kecil dan setelah selesai, terus mengambil wuduk di tempat ambil wuduk. Seterusnya membuat beberapa solat sunat sementara menunggu solat Subuh.

Habis sahaja solat Subuh berjemaah pada pukul 5:00 pagi, saya pun mengambil peluang ini untuk melangsaikan tidur saya, kerana terasa mengantuk pada ketika ini. Begitu juga dengan Akmal. Namun saya bagun semula pada pukul 7:00 pagi dan tidak boleh tidur semula. Jadi saya pun berjalan-jalan keluar untuk "membunuh" masa. Jadi saya ke kawasan Intramuros yang pernah saya datang dua tahun sebelum itu. Keadaan lebih kurang sama sahaja.

Selepas sejam 15 minit, saya pun kembali semula ke masjid. Betul-betul hari ini dan semalam, umpama waktu berjalan agak lambat. Ada hikmahnya itu. Ketika sampai, Akmal pun dah bangun. Saya berehat dahulu dalam setengah jam dan kemudian mengemas beg saya. Saya sempat melihat sekeliling masjid.

Pada pukul 9:15 pagi, Akmal berbincang dengan saya, dan berkata bahawa kita dah boleh bergerak sekarang. Saya bertanya tiada masalahkah kerana penerbangannya lebih lambat. Lagipun di Terminal 4 Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino, Manila (MNL) perlu tunggu di luar (lebih tepat berpanas) terminal sebelum waktu daftar masuk. Dia kata tidak kisah. Maka pada pukul 9:30 pagi kami pun keluar menuju ke stesen LRT-1 Carriedo untuk ke stesen LRT-1 Baclaran (9 stesen).



Saya sedang berjalan menuju ke stesen LRT Carriedo.


Pintu gerbang Perkampungan Islam Manila.


Kami meninggalkan perkampungan Islam Manila dan dalam perjalanan, dapat melihat kegiatan harian orang tempatan yang lebih sibuk. Sampai sahaja ke stesen LRT dan membeli tiket, terus ke platform. Sementara menunggu tren sampai, sempat juga saya memerhati kawasan sekitar stesen ini. Kami menaiki tren seterusnya dan terus menuju ke Baclaran iaitu terminal paling selatan bagi sistem LRT-1 Manila.




Ibupejabat Bank of the Philippines Island (BPI).


Pusat membeli-belah Manila City Plaza.

Gedung pakaian Isetann.

Pasar di bawah stesen LRT Carriedo.



Peta: Perjalanan dari Masjid Emas Manila ke 
Terminal 4, Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino, Manila.


Sampai sahaja di stesen Baclaran pada pukul 10:15 pagi, kami terus ke aras jalan untuk ke Terminal 4 MNL. Di aras jalan ini, terdapat pasar Baclaran yang menjual macam-macam barang keperluan terutamanya pakaian. Jadi sempat juga saya membeli beberapa pasang pakaian peribadi saya di sini. Selanjutnya kami meneruskan perjalanan ke Terminal 4 yang mengambil masa kira-kira 20 minit dari stesen LRT Baclaran.




Suasana dari atas stesen LRT Baclaran.


Tiba di Terminal 4, kami duduk sebentar menghilangkan lelah di tempat duduk di bawah khemah gazebo di depan terminal. Saya melihat, penerbangan saya telah dibuka kaunter daftar masuknya, lalu saya pun masuk. Akmal tinggal di situ kerana penerbangannya lewat 4 jam dari saya punya. Jadi saya pun masuk, sekurang-kurangnya ada penghawa dingin. Rasa bersalah pula pada Akmal, namun nak buat macam mana.

Apabila memasuki Balai Berlepas, semua penumpang perlu menunjukan tiket atau tempahan penerbangan kepada pengawal keselamatan, jika tiada, tidak boleh masuk. Kemudian semua beg perlu diimbas di mesin x-ray dan penumpang perlu melalui mesin pengimbas logam. Di pemeriksaan ini perlu dibuka segala tali pinggang, telefon bimbit dan peralatan logam yang ada di badan kita.

Setelah itu, barulah boleh ke kaunter daftar masuk yang ditetapkan atau mendaftar masuk di kiosk yang disediakan. Seperti saya yang sudah mendaftar masuk secara web, saya terus duduk di tempat duduk yang ada di hujung balai ini. Di sini terdapat stesen mengecaj telefon dan saya mengambil kesempatan ini untuk mengecaj telefon dan bank kuasa saya. Maklumlah sudah hampir dua hari ia tidak tercaj.

Saya menunggu di situ walaupun sebenarnya saya sudah boleh ke dewan menunggu di pintu pelepasan, kerana saya percaya di sini lebih ramai yang menunggu. Sambil-sambil itu saya melihat kaunter daftar masuk untuk penerbangan saya tidak surut dengan penumpang. Setelah dekat dua jam di situ, saya pun masuk ke dewan menunggu.

Apabila hendak masuk, di sini pun perlu menunjukan pas pelepasan untuk masuk ke dalamnya. Setelah itu terdapat satu lagi pemeriksaan keselamatan. Berapa kali mahu periksa lah. Lagipun inikan penerbangan domestik sahaja. Peraturan sama sahaja, letakan beg yang ada beserta dengan peralatan elektronik seperti telefon bimbit, komputer riba dan sebagainya serta barang-barang yang mempunyai logam seperti tali pinggang, jam tangan dan sebagainya di mesin pengimbas x-ray. Diri kita pula perlu melalui mesin pengimbas logam. Setelah selesai dan pengawal keselamatan berpuas hati, baru kita boleh masuk.

Hah, kan betul agak ramai. Saya kemudiannya ternampak stesen mengecaj telefon bimbit di hujung seberang dari pintu masuk tadi. Saya pun ke sana untuk mengecaj saki baki yang belum tercaj. Sanggup berdiri bagi memastikan saya dan peralatan yang dicaj tidak jauh. Tidak berapa lama, terdapat tempat duduk kosong, maka saya pun duduklah.

Berhampiran dengan pintu masuk, terdapat juga kaunter menjual kad SIM oleh kedua-dua telco Smart & Globe. Saya ingatkan ketibaan antarabangsa sahaja ada, di pelepasan domestik pun ada. Di belakang dewan menunggu terdapat beberapa kedai makanan dan kedai lain-lain. Cenderahati pun ada cuma agak mahal. Saya perhatikan juga pada skrin paparan penerbangan yang akan berlepas, terdapat beberapa penerbangan yang dilewatkan.

Apabila melihat cuaca di luar, melalui kaca pintu pelepasan di hadapan, semakin gelap hendak hujan. Akhirnya tidak lama kemudian, hujan turun dengan lebatnya. Selepas itu, pengumuman mengatakan penerbangan saya juga dilewatkan. Huh, ambil kau. Setelah beberapa ketika, dimaklumkan masa pelepasan penerbangan baru ditunda dari pukul 1:45 petang ke pukul 4:15 petang. Hah ambil kau. Tapi bukan penerbangan saya, boleh dikatakan majoriti penerbangan di Terminal 4 pada masa itu juga ditunda. 

Tapi di sini, tidak berapa lama kemudian, penumpang-penumpang penerbangan yang saya naiki dipanggil ke hadapan. Rupanya kami diberikan sebuah kota berisi pelbagai makanan dan minuman. Alhamdulillah, semuanya boleh dimakan dan diminum. Rezeki juga penerbangan ditunda ini. Adalah bekalan saya berbuka nanti.

Pada pukul 3:30 petang, hujan sudah teduh. Akhirnya pada pukul 4:15 petang, penumpang penerbangan AirAsia Zest Z2 430 ke Puerto Princesa dipanggil untuk berlepas. Kami beratur di depan pintu pelepasan dan kemudian pintu dibuka dan kami terus menuju mengikut arah yang diarahkan. Kami berjalan di atas apron untuk ke pesawat. Akhirnya pada pukul 4:35 petang, berlepaslah pesawat ini menuju ke destinasinya.


Balai berlepas Terminal 4 MNL.


Kawasan airside Terminal 4 MNL.


Peta laluan (FlightRadar24) penerbangan AirAsia Z2 430 pada 03 Julai 2016.


Kami sampai di Lapangan Terbang Puerto Princesa (PPS) dalam masa 45 minit dari terikh berlepas. Agak cepat juga. Langit amat cerah ketika penerbangan kami. Setelah selamat mendarat dan pintu pesawat dibuka, kami pun turun ke apron dan terus menuju ke bangunan terminal.



Bangunan terminal PPS dari kawasan apron.


Pesawat RP-C8994 yang menjadi penerbangan AirAsia Z2 430.



Peta: Perjalanan dari Lapangan Terbang Puerto Princesa ke Ezy Stay Pension.


Semasa keluar, terdapat kaunter-kaunter agen pelancongan di luar balai ketibaan. Saya terus sahaja keluar dengan mengambil jalan sebelah kanan. Selepas itu terdapat lorong khas untuk menaiki tricycle (beca motor), yang mana perlu mendapatkan tiket di kaunter sebelah kaunter agen pelancongan tadi. Di luar pagar, terdapat ramai pemandu tricycle persendirian sedang memanggil orang yang keluar dari lapangan terbang untuk mendapatkan khidmat mereka. Ada beza caj kedua-duanya, sudah pastilah caj yang di dalam kawasan lapangan terbang lebih mahal. 

Namun saya tidak mengendahkan kedua-duanya, saya terus berjalan mengikut Google Maps ke penginapan saya yang kurang satu kilometer sahaja dari lapangan terbang. Saya perlu cepat kerana Akmal akan tiba, jika penerbanganya tidak ditunda.



Keadaan penginapan kami: Ezy Stay Pension.


Kad perniagaan Ezy Stay Pension.


Suasana luar dari dalam Ezy Stay Pension.


Sampai di penginapan, iaitu di Ezy Stay Pension, saya terus ke kaunter untuk mendaftar masuk. Pengurusnya iaitu Ray, amat mesra. Dia berborak sambil memproses daftar masuk saya. Banyak juga sambil-sambil itu diborakan. Selepas itu, Ray membawa ke bilik yang diperuntukan kepada kami. Bagi saya ok juga. Saya pun rehat setelah penat seharian.

Oleh kerana waktu berbuka hampir masuk, maka saya pun ke kaunter untuk mengambil air. Cuma di penginapan ini, air minuman diambil dari dispenser dicaj ₱5 (+- RM0.45) bagi setiap botol 1.5 liter. Cuma saya uruskan agar ia dibayar ketika daftar keluar nanti. Jadi adalah air panas untuk saya buat maggi dan air milo, selain buah epal baki sahur pagi tadi. Kira besar sikit berbuka saya pada hari ini.



Antara pakej-pakej pelancongan yang ditawarkan di Ezy Stay Pension.


Kaunter petugas di Ezy Stay Pension.


Selepas saya berbuka dan bersolat, saya ke bawah untuk bertanyakan kepada Ray tentang pakej lawatan ke Sungai Bawah Tanah. Ray menawarkan ₱1400 (+- RM126.00) untuk pakej lengkap. Saya berkata, saya tidak makan kerana berpuasa, jadi tiada diskaun. Dia kata dia akan berbincang dengan empunya pakej. Saya jadi mengambil dengannya kerana harganya lebih murah berbanding tempat lain yang sempat saya lihat semasa perjalanan ke penginapan tadi.

Pada masa itu juga, Akmal menelefon saya mengatakan bahawa telah sampai di PPS. Rupanya bunyi pesawat mendarat tadi adalah pesawatnya. Jadi saya segera ke PPS dengan menahan tricycle yang ada di depan penginapan kerana Ray kata harga tambangnya kalau di sekitar kawasan bandar adalah ₱10 (+- RM0.90) sahaja. (Sebenarnya ia pun kurang tepat, ia adalah ₱8 (+- RM0.72) sahaja). 

Sampai di lapangan terbang, saya menelefon Akmal untuk ke luar pagar. Akhirnya jumpa juga dengan Akmal, dan terus saya ambil satu pemandu Tricycle untuk membawa kami kembali ke penginapan. Pemandu tersebut bernama Saldi dan agak fasih berbahasa Melayu. Dia siap kata, saya sombong pasal tidak mempedulinya semasa awal-awal saya sampai. Dia siap mencerita yang dia selalu ke Sabah menemui saudara-maranya. Juga dalam perjalanan yang singkat itu, banyak juga saya mengetahuinya. Pakej yang ditawarkan juga agak murah, contohnya untuk ke Sungai Bawah Tanah, cuma ₱1400 (+- RM126.00) sahaja. Tetapi saya tidak boleh ambil kerana saya sudah berjanji dengan Ray. Namun jika ada yang mahukan khidmat Saldi boleh telefon +63 906 104 8808.

Setelah sampai di penginapan, asalnya kami ingin keluar untuk berjalan-jalan di bandar Puerto Princesa, namun dibatalkan kerana kami penat. Kami duduk di dalam bilik, berborak tentang apa yang kami rasai di dalam perjalanan kami dan kami menonton televisyen Malaysia menerusi telefon bimbit kerana kelajuan internet di Ezi Stay Pension ini agak laju. Akhirnya kami pun tidur dengan agak nyenyak juga selepas beberapa hari tidur dalam keadaan kurang selesa.

Bersambung ke Hari 5.

Jika mahu lihat catatan: 
If want to read in English: 
  • PreJourney; 
  • Itinerary; 
  • Day 1; 
  • Day 2; 
  • Day 3; 
  • Day 4 (this part)
  • Day 5; or 
  • Day 6. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan