Ahad, 24 Januari 2016

Hari 2 (Bandaraya Ho Chi Minh (Saigon), Vietnam - 14 hingga 16 Januari 2016) - Kali Pertama Bersolat Jumaat Di Bumi Vietnam.

Bersambung dari Hari 1.

Jika mahu lihat catatan: 
If want to read in English: 
  • Pre Journey; 
  • Itinerary; 
  • Day 1; 
  • Day 2 (this part)or 
  • Day 3. 


Masjid Pusat Saigon juga dikenali Masjid Musulman.


Hari 2 - 15 Januari 2016 (Jumaat).

Pagi di Saigon ini agak awal. Subuh pun masuk pada pukul 4:45 pagi. Pukul 6 pagi sudah mula hendak terang. Tetapi di hotel kami dan juga hotel-hotel lain, waktu sarapan pagi adalah pada pukul 6:30 atau 7:00 pagi. Agak lewatlah juga, kerana suasana ketika itu seperti pukul 8:00 atau 8:30 pagi di Malaysia. Tapi masih awal berbanding di Indonesia, pukul 8:00 pagi baru hendak buka sarapan pagi.

Kuil Sri Mahariaman di Jalan Trudong Dinh, Saigon.

Jadi, sebelum bersarapan, saya keluar berjalan-jalan untuk mengambil angin pagi, di kawasan sekitar hotel.  Dalam berjalan-jalan itu, saya melalui sebuah kuil Hindu, iaitu Kuil Sri Mahariaman, yang hanya satu blok dari hotel kami. Rupa-rupanya, ada juga kuil Hindu di Saigon ini. Selain itu, dapat dilihat orang-orang di Saigon lepak dan bersarapan di tepi kaki lima jalan. Mereka duduk di atas bangku kecil yang mempunyai meja kecil juga. Saya berjalan sampai ke pasar Ben Thant. Ketika ini, kebanyakan pekedai di dalam pasar ini baru sedang membuka kedai masing-masing. Kemudian saya kembali ke hotel untuk bersarapan. Kami bersarapan di Mifuki Hotel iaitu sebelah hotel penginapan kami.


Orang-orang Saigon sedang bersarapan pagi di kaki lima jalan.

Matahari terbit di Bandaraya Ho Chi Minh (Saigon).

Orang-orang Saigon sedang bersarapan pagi di kaki lima jalan.

Usai bersarapan, saya membawa kami semua ke pasar Ben Thanh untuk mereka menyesuaikan diri mereka di sana. Bukan apa, saya hendak mereka tahu mana hendak pergi bila ke situ selepas ini. Di pasar Ben Thanh tidak lama, sekitar setengah jam sahaja, kerana saya ingin membawa mereka ke tempat membeli-belah barangan borong di Saigon, iaitu di pasar Binh Tay atau yang tidak biasa, memanggilnya Chinatown, di Daerah (District) 6 Saigon.

Pintu masuk selatan pasar Ben Thanh.

Bulatan Ben Thanh.

Kami berjalan menuju ke stesen bas Ben Thanh yang bertentangan pasar Ben Thanh melalui Bulatan Ben Thanh. Macam biasa, cabaran di Saigon ini adalah menyeberang jalan, kerana motorsikal agak banyak. Petuanya, bila motorsikal agak sikit sahaja (agak sukar nak tunggu saat ini), seberang sahaja. Jika motorsikal tidak surut, bermakna kita perlu seberang dengan selamba, terus berjalan dengan kadar kelajuan yang sama, kerana motorsikal akan cuba mengelak kita. Jangan tiba-tiba hendak berhenti ke apa, teruskan perjalanan, tahulah motorsikal-motorsikal ini hendak mengelak. Penunggang motorsikal wanita di Saigon ini lebih profesional bawa motorsikal berbanding "rakan sejawat" di Malaysia, huhuhu.


Pasar Ben Thanh dan Bulatan Ben Thanh.

Isteri saya dan kakak-kakaknya sedang menunggu bas di stesen bas Ben Thanh.

Di Stesen Bas Ben Thanh, kami menunggu bas nombor 1 yang akan membawa kami ke Stesen Bas Cho Lon yang tidak berapa jauh dari Pasar Binh Tay. Kami tunggu tidak lama, dalam masa tidak sampai lima minit, sudah sampai bas ini.

Bas nombor 1 Saigon.

Tiket bas nombor 1 Saigon.

Kadar tambang bas ini dari Stesen Bas Ben Thanh ke Stesen Bas Cho Lon adalah cuma 5000 (+- RM1.00) sahaja, kerana ia berada dalam kawasan bandaraya Saigon. Tambang bas henti-henti di Saigon ini, jika perjalanan kurang 18 kilometer, hanya 5000 (+- RM1.00), kalau antara 18 ke 30 kilometer, ₫6000 (+- RM1.20) dan ₫7000 (+- RM1.40) jika antara 30 ke 40 kilometer. Saya tidak pasti, ada bas henti-henti Saigon mempunyai trip perjalanan lebih 40 kilometer. Bas nombor satu ini perlu membayar tambang di pemandu bas, sebagaimana bas RapidKL di Kuala Lumpur, tiada konduktor. Tiketnya pun dicetak melalui pencetak termal pada masa itu juga. Warna bas ini pada masa kami menaikinya adalah warna biru, tidak seperti laluan lain, berwarna hijau (juga bas nombor 152, sebelum ini pada perjalanan ke Saigon pada Oktober 2014, ia berwarna biru).

Suasana bas nombor 1 Saigon.

Stesen bas henti-henti Cho Lon, Saigon.

Setelah hampir setengah jam, kami sampai juga ke ke Stesen Bas Henti-henti Cho Lon di Daerah 6 Saigon. Sebelah stesen bas henti-henti adalah stesen bas antara bandar, di mana bas antara bandar ke luar bandaraya Saigon boleh diambil di sini. Ia adalah slaah satu dari beberapa stesen bas antara bandar di Saigon. Kami berjalan kaki ke Pasar Binh Tay. 


Stesen bas antara bandar Cho Lon, Saigon.

Peta: Perjalanan dari stesen bas Ben Thanh ke stesen bas Cho Lon.

Peta: Perjalanan berjalan kaki dari stesen bas henti-henti Cho Lon ke pasar Binh Tay.

Ramai orang Malaysia yang tidak kenal dengan nama Pasar Binh Tay (Chợ Bình Tây - Bahasa Vietnam), kerana ramai yang memanggilnya Chinatown. Ini sebahagian benar, kerana pasar ini berada di dalam kawasan Chinatown Saigon, iaitu Zon 1 (Phường 1 - Bahasa Vietnam), Daerah 6, Saigon, satu kawasan lebih besar. Pasar ini menjual banyak barang dari barangan basah ke kain-kain baju, kasut, beg dan sebagainya. Di sini terdapat zon-zon khas bagi barang-barang tersebut, ia tidak bercampur. Kebanyakan barang lebih murah beli di sini berbanding Pasar Ben Thanh. Biasanya di Pasar Binh Tay ini, barang dibeli borong, tetapi kalau hendak beli runcit-runcit (sikit-sikit) pun boleh juga.

Pasar Binh Tay di Chinatown, Saigon.

Setelah menunjuk tempat dan cara untuk balik ke hotel kepada isteri saya dan kakak-kakaknya, saya pun meminta diri untuk pulang. Sempat juga saya membeli kacang gajus panggang (yang pecah) berharga cuma ₫120 000 (+- RM24.00) sekilogram, kerana murah. Kalau jenis biasa harganya dua kali ganda, harga yang biasa didapati, malah ada tempat lebih murah, cuma di sini sahaja saya jumpa yang pecah dijual begitu murah, biasa dijual tidak jauh berbeza dari jenis biasa. Jadi adalah kudapan sambil-sambil berjalan.

Saya berehat sekejap di hotel untuk menghilangkan penat, kerana cuaca di Saigon ini agak panas, dan ia memenatkan badan. 


Bangunan kaunter tiket Istana Kemerdekaan Saigon.

Pada pukul 11:00 pagi, saya berjalan kaki dari hotel menuju ke Istana Kemerdekaan (Independence/Reunification Palace) yang tidak saya masuki pada kunjungan lepas, namun ketika saya sampai, kaunter tiket yang telah diubahsuai ditutup sementara. Harga masuk ke sini masih sama iaitu ₫30 000 (+- RM6.00), namun oleh kerana hari ini hari Jumaat, saya hendak berkejar untuk solat Jumaat, jadi saya malas hendak tunggu.

Pejabat Pos Besar Saigon.

Suasana di dalam Pejabat Pos Besar Saigon.

Seterusnya, saya ke kawasan Gereja Notre Dame Saigon dan Pejabat Pos Besar Saigon. Sahaja untuk mengimbau kembali kunjungan ke sini sebelum ini. Selain itu, sebenarnya, saya ingin mencari pejabat cawangan syarikat telekomunikasi selular untuk membeli kad SIM, bagi memudahkan perhubungan saya dengan isteri saya. Selain itu, boleh melanggan perkhidmatan data internet, kerana saya agak berjalan, bukan duduk setempat, malas hendak minta kata laluan WiFi. Memang melambak hotspot WiFi di Saigon ini, yang percuma boleh dikira. Kalau duduk area Malaysia Street itu lainlah cerita.


Gereja Notre Dame Saigon.

Pejabat cawangan Mobifone di sebelah Pejabat Pos Besar Saigon.

Masuk keluar pejabat pos tidak jumpa, akhirnya jumpa juga pejabat cawangan Mobifone dan VNPT (yang mempunyai perkhidmatan selular VinaPhone) di sebelah pejabat pos ini (perlu berjalan menuju selatan kemudian belok ke kiri di Jalan Nguyen Du apabila berjumpa kedai serbaguna Shop & Go). 


Pejabat cawangan VNPT dan VinaPhone di sebelah Pejabat Pos Besar Saigon.

Kad SIM prabayar MAX SIM VinaPhone.

Saya bertanyakan harga kad SIM prabayar, di Mobifone diberikan harga permulaan ₫100 000 (+- RM20.00) dengan nilai kredit ₫50 000 (+-RM10.00). Saya ke sebelah untuk mengetahui harga VinaPhone pula, dan ia berharga ₫35 000 (+- RM7.00) tanpa sebarang kredit. Jadi saya mengambil kad SIM prabayar VinaPhone MAX SIM tersebut, dan menambah ₫100 000 (+- RM20.00) untuk bayaran data 600MB sebanyak ₫70 000 (+- RM14.00)  dan bakinya untuk nilai kredit. Saya membeli satu lagi kat SIM untuk isteri saya dengan menambah nilai ₫10 000 (+- RM2.00) untuk nilai kreditnya.

Kupon tambah nilai ₫10 000 VinaPhone.

Kupon tambah nilai ₫100 000 VinaPhone.


Panggung Opera Saigon.

Saya kemudian berjalan kaki menuju ke Masjid Pusat Saigon juga dikenali Masjid Musulman untuk bersolat Jumaat. Dalam perjalanan, dapat melihat banyak bangunan termsuk banginan Panggung Opera Saigon.


Masjid Pusat Saigon juga dikenali Masjid Musulman.

Sampai di masjid, masih belum dikumandang azan lagi, walaupun pada telefon bimbit saya sudah menunjukan waktu Zohor sudah masuk. Jemaah ada dan semakin bertambah. Saya pun beriktikaf di masjid ini sementara menunggu azan dan khutbah.


Jemaah sedang menunggu solat Jumaat.

Setelah setengah jam menunggu, pada pukul 12:45 tengahari, azan Jumaat pun berkumandang. Kemudian lima belas minit kemudian, khutbah di berikan oleh khatib dalam bahasa Arab, kemudiannya dalam bahasa Inggeris dan akhir sekali dalam bahasa Vietnam. Pertama kali saya mendengar khutbah dalam tiga bahasa sekali. Usai khutbah, khatib tadi tidak mengimamkan solat Jumaat, ia berpindah kepada seorang lelaki yang memperingatkan jemaah dalam bahasa Melayu pula. Memang antarabangsa betul masjid ini, dapat mendengar empat bahasa dalam satu waktu. Akhirnya solat Jumaat ini selesai pada pukul 1:45 tengahari. 


Khutbah sedang diperdengarkan.

Dataran Bandaraya Ho Chi Minh.

Keluar dari masjid, terdapat beberapa pengemis yang saya kira majoritinya adalah bukan Islam berada di depan pintu masuk. Juga terdapat juga penjual makanan halal jalanan menjual makanan. Saya membeli popia Vietnam satu bungkus yang terdapat 4 gulung berharga ₫30 000 (+- RM6.00) untuk saya makan di hotel nanti. 

Dewan Bandaraya & Dataran Bandaraya Ho Chi Minh.

Tugu Ho Chi Minh di depan Dewan Bandaraya Saigon.

Saya pun berjalan pulang ke hotel, melalui Dataran Bandaraya Saigon. Kali ini saya mengambil gambar lagi kerana ia lebih terang dan nampak pada waktu siang. Juga gambar tugu Ho Chi Minh dan bangunan Dewan Bandaraya Saigon juga. Sampai di hotel saya berehat sampai waktu petang dengan menonton televisyen dan melayari internet.


Saya berselfie di depan tugu Ho Chi Minh.

Peta: Perjalanan berjalan kaki saya sekitar pusat bandaraya Saigon.

Restoran Halal Amin.

Pada waktu malam, isteri saya dan kakak-kakaknya pulang ke hotel. Kemudian mereka mengajak saya untuk makan malam, jadi saya membawa mereka ke Restoran Halal Amin yang sudah berubah tempat (bertentangan dengan kedudukan asal mereka ketika kunjukan saya sebelum ini). Restoran ini antara yang termurah di Malaysian Street dan ia sudah naik taraf berbanding sebelum ini. Namun harga makanannya masih sama. Di sini, saya memesan pho iaitu makanan utama orang Vietnam. Isteri saya dan kakak-kakaknya pun sama. Suka juga mereka dengan makanan ini. Harga semangkuk pho ini hanya ₫50 000 (+- RM10.00) berbanding dua atau tiga kali ganda di restoran halal sekitarnya. Kali ini, Kak Yah membelanja sekali lagi dan Idah belanja air kopi ais selepas makan. 

Pho Ayam Kuayteow.

Pho Daging Kuayteow.

Setelah usai makan, kakak-kakak ipar saya meneruskan usaha membeli belah mereka di pasar malam Ben Thanh pula. Saya dan isteri juga membeli belah, cuma kami ada sasaran, untuk membeli kasut untuk ibu dan anak-anak kami, juga beg-beg galas Deuter untuk jualan saya. Jika berminat boleh hubungi saya. Setelah selesai, kami pun pulang untuk merehatkan diri. Ingat hendak berkemas untuk pulang ditangguhkan kerana kepenatan.

Bersambung ke Hari 3.

Jika mahu lihat catatan: 
If want to read in English: 
  • Pre Journey; 
  • Itinerary; 
  • Day 1; 
  • Day 2 (this part)or 
  • Day 3. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan